Kelab Greenboc |
- Hina Islam? Selamat Jalan MCA!
- Suami Cekup Isteri Berkhalwat Di Blik Tidur
- Dr Asri : Umno Perlu Undur Sebab Gagal Sekat Politik Wang
- [HEBAT] Dia Berjalan Kaki 5,700km Untuk Tunaikan Haji
- Chua Soi Lek Kini 'Murshidul Am' Umno
- [BONGKAR] Rafizi Dedah Pemimpin UMNO-BN N9 Kebas Hutan Simpan Tetap
- Akhirnya Ibu Campak Bayi Itu Didakwa Di Mahkamah
Hina Islam? Selamat Jalan MCA! Posted: 24 Oct 2012 12:26 AM PDT Tiada lain yang dapat ku ucapkan kepada Chua Soi Lek selain 'selamat jalan', tatkala seluruh negara melihat betapa gigihnya MCA menggali kubur sendiri sewaktu persidangannya hujung minggu lalu. Sambil mengelap air mata meratapi pemergian parti Cina terbesar di Malaysia, kita turut menitipkan belasungkawa buat United Malays National Organisation yang kian sunyi menyendiri di dalam sebuah barisan politik yang sedang nazak. Mari kita bertafakur sejenak dan mengenang kembali fiasco konvensyen MCA yang baru sahaja berlalu. Kita faham keadaan mereka sekarang. Selalunya orang yang menghampiri ajal akan buat dan cakap yang bukan-bukan. DAP tidak perlu menjawab tuduhan MCA, apatah lagi bermain drama politik MCA. Sebagai sebuah parti yang lama, MCA sepatutnya lebih punya pengalaman dan kebijaksanaan untuk melakukan perkara yang lebih masuk akal, selain menghina Islam secara terang-terangan. Sangkanya permainan begitu akan menjerat DAP, tetapi MCA ternyata silap. DAP, sebagai sebuah parti yang tidak berasaskan kaum mahupun mengangkat nama mana-mana agama; hanya sekadar melihat dengan ekspresi tidak percaya pada politik 'lagak ngeri' yang diperlihatkan MCA dua tiga hari lalu. Tidak menyangka parti Cina tersebut mampu memberanikan diri untuk menyerang dan menghina Islam dan hudud secara terang nyata. Seolah-olah pemimpin MCA ini semua telah salah makan ubat.Mabuknya itu lain macam, hatta menyebabkan kaum Cina lain menepuk kepala dan menggeleng-geleng tidak percaya. Antara tuduhan paling gila pastilah yang keluar dari mulut Naib Pengerusi Wanita MCA, Heng Seai Kie yang mendakwa kononnya PAS menbenarkan merogol wanita bukan Islam sekiranya wanita tersebut tidak menepati peraturan berpakaian yang disarankan agama Islam. Mengucap panjang saya apabila membaca laporan ini. Bagaimana agaknya beliau boleh membenci Islam sampai ke tahap ini, sehingga sanggup memfitnah PAS sampai begitu sekali. Apakah Heng Sai Kie langsung tidak membaca atau melakukan sebarang penyelidikan? Tidak mampu menggaji seorang dua pembantu penyelidik kah? Atau memang betul-betul salah makan ubat? Tidak saya bukan menghina, cuma saya mahu tahu. Bagaimana mungkin dalam negara yang begitu majmuk, masih boleh wujud dua tiga kerat manusia yang begitu tidak peduli dengan sensitiviti sehingga langsung tidak berfikir apabila berkata-kata. Malaysiakini memetik Heng sebagai berkata, "Daripada ucapan Nik Aziz, kami simpulkan bahawa Nik Aziz secara terbuka meminta orang Islam merogol bukan Islam, adakah saya benar?" Dari kejauhan kita dengar bunyi 'pap' yang amat kuat. Bunyi puluhan ribu rakyat Malaysia yang menepuk dahi dengan kenyataan tidak masuk akal ini. Mungkin inilah sebabnya hatta NGO ultra-Melayu, Perkasa pun akhirnya keluar 'fatwa' bahawa haram bagi orang Melayu untuk mengundi MCA. Perkasa, sebagai sebuah NGO pro-UMNO pastinya rasa serba salah untuk bergulat dengan MCA, sebuah parti yang pastinya punya kuasa politik besar dalam Barisan Nasional. Lainlah kalau Perkasa sendiri sudah boleh membaca bahawa ada kemungkinan UMNO akan "fly-solo" dalam pilihanraya akan datang. Apa maksud "fly solo"? Bacaan politik saya dua tiga hari ini memberitahu bahawa akan ada kemungkinan bodoh untuk UMNO meninggalkan regu politik paling akrabnya dan bertanding dalam pilihanraya akan datang dengan penglibatan minima MCA, atau mungkin dengan tidak melibatkan MCA langsung. Dead-weight dah MCA ni, kata orang putih. Seumpama mengusung mayat. Sebagai parti politik yang masih terjerat dalam permainan sentimen perkauman dan agama, MCA tidak belajar dari kesilapan 2008. UMNO tidak boleh terus memberi muka kepada parti politik Cina yang biadap dengan Islam. UMNO pun Islam juga kan? Bukan PAS sahaja yang Islam. Tetapi MCA ini sudah merepek di luar kawalan apabila ia menyangka hanya PAS sahaja yang Islam dan pro hukum Tuhan, tanpa menyedari bahawa dengan menyerang Islam, MCA turut mencederakan UMNO. Kita cuma berharap UMNO tidak cukup bodoh untuk menyahut seruan MCA dan tumpang sekaki dan turut menyerang Islam, tidak kiralah versi siapa pun. Saya yakin UMNO tidak sebodoh itu. (Tetapi malangnya UMNO itu bodoh juga.. -GB) Di penghujung konvensyen MCA jelaslah kepada rakyat Malaysia seluruhnya bahawa tiada lagi harapan untuk parti politik berasaskan kaum yang dengan terang nyata tidak mahu melayan sebarang ide baru menjelang pilihanraya umum akan datang. Ini ertinya MCA akan terus bermain di dalam lingkungan politik perkauman sempit seperti kebiasaannya berpuluh tahun lampau. Dengan sentimen yang dibakar oleh presidennya hujung minggu lalu, pastilah kita boleh mengagak bahawa hanya kebencian terhadap Islam yang akan terus ditiupkan sepanjang kempen pilihanraya umum akan datang. UMNO akan terus berdiam diri kerana yang terkorban hanyalah MCA. Apa guna lagi membantu jasad yang sedang nazak. Maka selamat jalan kita ucapkan buat MCA. Jasamu kan tetap kami kenang – Roketkini. |
Suami Cekup Isteri Berkhalwat Di Blik Tidur Posted: 23 Oct 2012 10:15 PM PDT Ayer Keroh - Luluh hati seorang kontraktor apabila mendengar suara isteri tersayang bergelak ketawa dengan lelaki lain di dalam bilik tidur mereka di kediamannya di sebuah pangsapuri di Ayer Keroh, di sini, lewat malam Ahad lalu. Akibat tidak sanggup melihat kecurangan isteri, lelaki berusia 36 tahun itu menggagahkan diri ke pejabat Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) dan mengetuk pintu jabatan penguat kuasa bagi memaklumkan hal berkenaan, awal pagi kelmarin. Dakwa suami malang itu, dia terpaksa meminta penguat kuasa Jaim mencekup kedua-dua mereka yang berusia 24 tahun apabila dipermainkan isterinya buat kali kedua selepas pernah ditangkap berkhalwat dengan lelaki lain tidak sampai setahun lalu. Lelaki terbabit yang dikenali sebagai Salman berkata, dia yang sedang bekerja pulang ke rumah untuk mengambil pengecas telefon bimbit yang tertinggal. "Isteri yang bekerja sebagai jurujual di sebuah pusat beli-belah di sekitar negeri ini biasanya bekerja pada hujung minggu, bermula jam 9 pagi hingga 11 malam. "Tetapi sebaik sahaja tiba di luar rumah, saya dengar suara seorang perempuan dengan seorang lelaki ketawa bersama. Lebih tiga kali saya memastikan suara itu sebelum terpaksa menerima hakikat bahawa ia milik isteri saya," katanya. Menurutnya, dia dengan berat hati kemudian membuat laporan kepada Jaim kira-kira jam 3 pagi untuk tindakan lanjut. "Dia pernah dicekup bersama lelaki lain tetapi saya beri peluang kedua untuk dia dan saya perbaiki kelemahan masing-masing tetapi kali ini saya tidak mampu bersabar lagi," katanya yang tidak mempunyai anak hasil perkahwinan selama empat tahun. Salman berkata, ia adalah perkahwinan keduanya selepas isteri pertama meninggal dunia akibat barah dan empat anaknya kini tinggal bersama ibunya di Bukit Piatu, di sini. "Saya tidak menyalahkan sesiapa dan reda dengan apa yang berlaku," katanya. Sementara itu, Ketua Penguat kuasa Jaim, Rahimin Bani berkata, serbuan lima anggotanya kira-kira jam 4.15 pagi mendapati terdapat dua wanita dan seorang lelaki di dalam rumah tersebut. "Selepas anggota kami mengetuk pintu rumah beberapa kali, seorang wanita berusia 31 tahun membuka pintu. "Dia kemudian mengetuk dan membuka pintu bilik kedua rumah tersebut. Kami dapati ada seorang lelaki dan wanita di dalamnya," katanya. Menurutnya, selepas disoal siasat, ketiga-tiga mereka ditahan dan dibawa ke pejabat penguat kuasa Jaim untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 iaitu berkurung mendatangkan syak ataupun bersekediaman. -SH |
Dr Asri : Umno Perlu Undur Sebab Gagal Sekat Politik Wang Posted: 23 Oct 2012 08:10 PM PDT Umno harus berundur dari persada politik negara ekoran pengakuan pemimpinnya bahawa politik wang sudah menjadi budaya di dalam Umno yang perlu diterima oleh masyarakat termasuk agamawan yang ingin menyertai parti itu. Saranan itu dibuat oleh bekas Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainal Abidin kerana amalan itu menyebabkan negara diterajui pemimpin yang kaya tetapi tidak semestinya mampu mentadbir negara dengan bijak. Selain itu, menurutnya budaya politik wang itu akhirnya akan melibatkan unsur-unsur rasuah yang akhirnya tidak dapat dikawal. "Terima kasih kepada Ustaz Syahrin kerana menjawab dengan jujur, tetapi saya rasa kalau Umno begitu parah bererti Umno kena berundur. "Kita tidak akan dapat keluar dari masalah ini jika Umno terus dengan cara itu sebab tak kira parti mana akan terpaksa ikut amalan itu. "Kerana orang Melayu dah terbiasa memilih pemimpin bukan kerana ketajaman minda dia, ada idea dan sebagainya tetapi soal dia banyak duit. "Sebab itulah bila seseorang itu jadi pemimpin Umno dia mesti ada duit, mesti ada projek dan perkara ini semakin hari semakin disuburkan," ujar Dr Mohd Asri dalam program Wacana Sinar bertajuk 'Peranan Ulama Menasihati Pemimpin' di sini hari ini. Seorang ahli panelis program itu Syahrin Md Jamaluddin mengakui bahawa wang memainkan peranan amat penting dalam mempengaruhi kedudukan seseorang pemimpin dalam Umno. Syahrin yang merupakan Exco Pemuda Umno berkata pemimpin Umno samada peringkat bahagian ataupun pusat yang tidak memiliki sumber kewangan yang kukuh tidak akan bertahan melebihi tiga bulan dalam Umno. Syahrin memberi contoh di mana ahli Umno akan meminta duit untuk menjalankan program seperti permainan bola sepak dan sambutan keagamaan daripada pemimpin bahagian mereka. Sementara itu, seorang lagi panelis Datuk Siddiq Fadzil pula berkata mekanisma pemilihan pemimpin berdasarkan wang itu merupakan mekanisma 'enjit-enjit semut'. "Ini yang dipanggil mekanisma 'enjit-enjit semut', siapa sakit naik atas,' jadi mekanismanya begitu, pemimpin yang naik atas itu juga pemimpin sakit. |
[HEBAT] Dia Berjalan Kaki 5,700km Untuk Tunaikan Haji Posted: 23 Oct 2012 05:25 PM PDT Sarajevo – Seorang lelaki Islam Bosnia yang berjalan kaki untuk menunaikan ibadah haji di Mekah pada tahun lalu memberitahu agensi berita AFP bahawa dia tiba di kota suci tersebut selepas merentasi tujuh buah negara termasuk Syria yang kini dilanda perang saudara. "Saya tiba di Mekah pada Sabtu lalu. Saya tidak letih, ini merupakan hari paling bahagia dalam hidup saya," kata Senad Hadzic menerusi satu temu bual telefon. Lelaki berusia 47 tahun itu memberitahu, dia berjalan kaki sejauh 5,700 kilometer (km) selama 314 hari merentasi Bosnia, Serbia, Bulgaria, Turki, Syria dan Jordan untuk ke Mekah dengan membawa beg sandang seberat 20 kilogram. Hadzic memaparkan perjalanan tersebut dalam akaun Facebook miliknya termasuk gambar dia memperoleh kad masuk dan keluar Syria yang dikeluarkan oleh kementerian dalam negeri kepada warga asing. "Saya merentasi Syria pada April lalu. Saya berjalan sekitar 500km dalam tempoh 11 hari. Saya melintasi bandar raya Aleppo dan Damsyik serta sejumlah pos kawalan tentera rejim dan pemberontak tetapi saya tidak pernah ditahan. "Di sebuah pos kawalan tentera Presiden Bashar Al-Assad, beberapa askar mengarahkan saya mengosongkan beg sandang saya. Apabila saya menunjukkan al-Quran dan menyatakan saya berjalan kaki ke Mekah, mereka melepaskan saya," ujar Senad. "Saya berjalan kerana Allah, untuk Islam, untuk Bosnia-Herzegovina, untuk ibu bapa dan saudara perempuan saya," tambah lelaki itu. Di laman Facebooknya, dia memberitahu, Tuhan telah menunjukkan jalan ke Mekah dalam mimpinya termasuk menuju ke kota suci itu melalui Syria dan bukan Iraq. Semasa perjalanannya, Senad berdepan suhu sejuk antara -35° darjah Celsius di Bulgaria hingga kepanasan mencecah 44° darjah Celsius di Jordan. Menurutnya, dia terpaksa menunggu di Istanbul selama beberapa minggu untuk mendapatkan kebenaran bagi merentasi Jambatan Bosphorus dengan berjalan kaki, selain dua bulan di sempadan Jordan dan Arab Saudi bagi mendapatkan visa untuk mengerjakan ibadah haji.– AFP. |
Chua Soi Lek Kini 'Murshidul Am' Umno Posted: 23 Oct 2012 08:28 AM PDT Umno bolehlah berpesta habis-habisan apabila Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek makin ganas mengutuk Islam, kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu (gambar). "Ego Presiden MCA sudah melambung hingga ke peringkat tidak takut apa-apa pun lagi untuk mengutuk dan menghina Islam. Dia tahu Umno pasti melindunginya. "Sekarang bolehlah Umno, ulama-ulamanya termasuk lebai-lebai pecacai terbarunya dan semua yang mengampu bodek parti itu memeriahkan lagi sepuas-puasnya pesta mengutuk dan menghina Islam," katanya sambil menyifatkan Chua seolah-olah ditabalkan sebagai 'mursyidul am' Umno dalam pakatan jahat mereka menghina Islam. Mohamad mengingatkan bahawa pakatan jahat mengutuk dan menghina Islam diasas dan dimulakan oleh para pemimpin Umno dan semakin menjadi-jadi apabila PAS memerintah Kelantan pada tahun 1990. "Semua kutukan, penghinaan dan persendaan mereka direkodkan dalam sejarah. "Contohnya, merekalah mencipta istilah 'sup tangan' untuk menghina dan mempersendakan hukum potong tangan seperti yang diperintahkan di dalam al-Quran," katanya. Apabila mereka melihat para pemimpin Umno berbuat demikian, orang-orang bukan Islam akhirnya semakin berani menghina Islam secara terbuka dan lantang, kata Mohamad. Beliau yakin, orang-orang bukan Islam seperti Chua tidak akan berani mengutuk dan menghina Islam jika para pemimpin Umno tidak mengajar mereka berbuat demikian. "Kenyataan Chua bukan sekadar menolak perlaksanaan hudud berdasarkan keyakinan agamanya dan tafsirannya terhadap Perlembagaan, tetapi sudah melampau hingga ke peringkat mengutuk dan menghina Islam," katanya. Mohamad menyifatkan apa yang dilakukan oleh Chua itu sebagai menyambung kerja Umno yang kini sudah pandai berdalih dengan alasan kesesuaian masa untuk melaksanakan hudud, maqasid syariah dan sebagainya. "Dulu ketika mereka tidak pandai lagi menggunakan hujjah dalam ilmu-ilmu Islam seperti maqasid syariah untuk menolak perlaksanaan hukum Islam, para pemimpin Umno dan pengikut mereka mencaci dan mencerca hukum Islam habis-habisan dan menuduh hukum Islam primitif, menimbulkan huru hara dan sebagainya. "Kerja jahat itulah yang kini disambung oleh Chua sekarang dengan restu Umno yang sengaja berdiam diri dengan perbuatan Presiden MCA itu menghina Islam," katanya. Mohamad bagaimanapun menolak dengan tegas untuk menghina agama Chua. "Kita tidak akan hina agama Presiden MCA itu seperti dia menghina agama kita kerana perbuatan itu dilarang di dalam al-Quran. "Kita adalah manusia yang bertamaddun yang tidak akan melakukan kejahatan seperti yang dilakukan oleh Chua," tegas beliau. Ulasan GB Amik kau. Pencacai UMNO selalu menuduh kononnya Karpal Singh atau Lim Kit Siang telah menjadi Mursyidul Am PAS, tetapi hukum kebenaran dan keadilan memulangkan semula tuduhan dan fitnah jahat itu kepada mereka apabila sebenarnya UMNOlah yang BISU apabila Chua Soi Lek menghina Islam. |
[BONGKAR] Rafizi Dedah Pemimpin UMNO-BN N9 Kebas Hutan Simpan Tetap Posted: 23 Oct 2012 06:01 AM PDT Akibat rasuah dan kroni Hutan Simpan Tetap Jeram Padang Selatan di Jempol, Negeri Sembilan seluas 487.3 hektar bertukar milik kepada pemimpin Umno-BN. Hutan yang wartakan sejak 30 Ogos 1918 kini diteroka bagi tujuan pembalakan. Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mendakwa, status hutan simpan tetap itu kemudiannya dibatalkan pada 11 Mac 2004 untuk membolehkan aktiviti pembalakan berlaku di situ. Beliau berkata, pembatalan tersebut bertentangan dengan Seksyen 18(1) Akta Perancangan Bandar Dan Desa (Akta 172). "Berdasarkan siasatan dan kajian yang dilakukan, PKR mendapati bahawa Negeri Sembilan adalah negeri di Semenanjung Malaysia yang paling banyak menghapuskan hutan simpan untuk tujuan pembalakan. "Di antara tahun 2005 hingga 2011, Umno-BN di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan menghapuskan hutan simpan seluas 8,616 hektar melalui pewartaan membatalkan status hutan simpan kekal yang diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang dipengerusikan oleh beliau," katanya. Menurutnya, berdasarkan Rancangan Tempatan Daerah Jempol 2002–2015 jelas menunjukkan bahawa Hutan Simpan Tetap Jeram Padang Selatan adalah berkategori Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) Tahap 1 dan tidak boleh dibangunkan. Sementara Rancangan Struktur Negeri Sembilan 2001–2020 secara jelas menyebut bahawa Zon KSAS pada tahap tinggi perlu dipelihara supaya tidak membawa bencana alam seperti tanah runtuh yang akan mengancam nyawa dan harta benda masyarakat. "Oleh yang demikian, pewartaan membatalkan status hutan simpan tetap bertarikh 11 Mac 2004 adalah tidak sah disisi undang-undang kerana bertentangan dengan rancangan tempatan sedia ada, lalu melanggar Seksyen 18(1) Akta Perancangan Bandar dan Desa. "Malangnya, Umno-BN di bawah pentadbiran dua orang Menteri Besar, Tan Sri Isa Samad dan Mohamad Hassan tidak menghiraukan undang-undang dan membenarkan penerokaan berlaku. Balak di kawasan hutan ini telah ditebang sepenuhnya dan kini ia telah diusahakan pula sebagai kawasan penanaman kelapa sawit," katanya lagi. Tambahnya, PKR turut mempunyai bukti bahawa pimpinan Umno-BN mendapat keuntungan dari tindakanmelanggar undang-undang itu hasil daripada kegiatan pembalakan dan penanaman kelapa sawit. -selangorku |
Akhirnya Ibu Campak Bayi Itu Didakwa Di Mahkamah Posted: 23 Oct 2012 05:28 AM PDT Petaling Jaya: Seorang ibu muda mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam, atas pertuduhan menyebabkan kematian bayi perempuan yang baru dilahirkannya, bulan lepas. Siti Fazlena Sahili, 20, didakwa dengan sengaja mencampak bayi seberat 2.8 kilogram tersebut dari tingkat tiga blok kediamannya dan menyebabkan bayi jatuh ke tempat letak motosikal di bawah. Siti Fazlena, seorang pekerja kilang didakwa melakukan kesalahan itu di No. B1-3-23, Blok 1, Flat Desa Mentari, Jalan PJS 6/5E Sungai Way, di sini, pada 11 pagi, 16 Sept lepas. Dia didakwa mengikut Seksyen 309A Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 309B akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga denda, jika sabit kesalahan. Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Chong Yin Xin menawarkan wang jaminan RM20,000 dengan dua orang penjamin. Bagaimanapun peguam Kamarul Zaman Abdul Rahman yang mewakili Siti Fazlena memohon mahkamah agar jaminan dikurangkan berikutan tertuduh berpendapatan rendah yang perlu menanggung ayahnya yang baharu mengalami kemalangan. Hakim Yasmin Abdul Razak membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 Nov untuk sebutan semula kes. – Bernama klik untuk baca |
You are subscribed to email updates from KELAB GREENBOC To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan