DIALOG RAKYAT |
- Kamera AES Berharga RM120,000 Tumbang Menyembah Bumi!
- Jangan guna hudud untuk pancing undi, MCA
- Rakyat Selangor kecapi pelbagai nikmat
- Komen isu semasa bukan pendirian tetap Perkasa
- 'Kong abai sebab kemalangan utama'
- Ronnie Liu, Khir Toyo selesai kes fitnah
- MP Umno: ICAC siasat, lepaskan Musa Aman
- Tengkorak muzium disimpan dalam tong
- Isu rogol: DAP tepuk meja bela Nik Aziz
- Kelantan bincang beri imbuhan kepada ' The Red Warriors'
- SPR: Faktor cuaca bukan penghalang urus PRU13
- 4 tuntutan 'Grand Final PR' sebelum PRU13
- Melayu tak berpecah, hanya konflik politik
- Tarikh kahwin Chong Wei-Mew Choo dicepatkan
- Muhyiddin: BN tidak kisah Nik Aziz tanding atau tidak
- Utusan Malaysia : Tiada Maknanya Kebebasan Media di Malaysia. Kami Kena Saman Berkali-kali!!
- Setengah bilion bina rumah kos rendah, S’ngor, P Pinang catat sejarah
- MCA luluskan 16 resolusi
- Sikap MCA bakal parahkan undi Umno
- Kerana usia kini kurang mengacara
- PKPIM saran 'kelas pemulihan' hudud pada Soi Lek
- Rais: Kementerian teliti sekatan pada blog aksi seks
- Sidang media ‘bekas KPN’ di Bangkok dibatalkan
- Penjenayah larikan RM180,000 wang ATM melalui lubang sampah
- Masyarakat Cina sertai dialog Negara Berkebajikan PAS
Kamera AES Berharga RM120,000 Tumbang Menyembah Bumi! Posted: 22 Oct 2012 05:55 AM PDT KELAB GREENBOC Rempuh AES kerana Silau! Sebuah kamera AES tumbang kerana di langgar oleh sebuah kenderaan yang pemandunya terperanjat setelah lampu sportligt yang sangat menyilaukan mata dari AES ini berkelip di hadapannya dan mengenai tepat pada mata dan penglihatannya. Akibat dari kejadian itu sepasukan anggota bomba terpaksa di kerah dan bergegas ke tempat kejadian yang mana kamera AES itu telah gagal berfungsi dengan sempurna dan hampir 30 minit tidak henti henti berkelip setelah pelanggaran itu, dikatakan urat sarat AES ini telah tersumbat dan putus. Ini menyebabkan gangguan pada pengguna jalanraya yang lain yang mana ianya menyilaukan mata dan membuatkan trafik tidak bergerak sejauh 10 kilometer akibat orang ramai takut terkena bahan radioaktif yang di hasilkan dari kilauan cahaya dari kamera AES itu. . Ketika kejadian, seorang saksi mengatakan, bagaimana kamera AES yang berharga RM 120 ribu ini tidak mempunyai ketahanan yang kuat dan kukuh? Sepatutnya kamera AES ini tidak akan tumbang kerana dengan harga sebegitu mahal, adalah mustahil ia adalah barang tiruan yang lembik dan tidak berkualiti. Semasa kejadian, keadaan jalan yang teruk dan berlubang lubang menyukarkan lagi pasukan bomba untuk sampai ke kawasan kejadian, bomba akhirnya dapat menyelesaikan masalah itu apabila kamera AES itu tadi di humban ke dalam lori mengangkut sampah dari majlis bandaraya. @tiewnama - AES - Amno Eletronic Sideincome. | ||
Jangan guna hudud untuk pancing undi, MCA Posted: 22 Oct 2012 05:46 AM PDT Perkasa melihat tindakan MCA mengguna hudud sebagai menghina Islam. PETALING JAYA: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) hari ini memberi amaran kepada MCA kerana menghina umat Islam dengan membangkitkan isu hudud. "Isu hudud biar orang Islam tentukan. Jika mahu undi bukan ini caranya sehingga menghina dan mempertikaikan agama orang lain. Apakah ini sifat–sifat seorang presiden parti politik? "Jangan sampai kami gunakan kuasa (mengundi) yang ada pada kami bila tiba pilihan raya," kata ketua Wira Perkasa Irwan Fahmi dalam satu kenyataan media. Tiga hari yang lalu presiden MCA Datuk Dr Chua Soi Lek berkata pelaksanaan hukum hudud akan menjejaskan 1.2 juta peluang pekerjaan di dalam sektor pelancongan dan perkhidmatan. Hukuman hudud merupakan salah satu hasrat yang ingin dilaksanakan oleh PAS sekiranya memenangi pilihan raya umum ke 13 nanti. "Angka yang ada pada tangan saya adalah sekitar 1.2 juta. Ini akan menjadi realiti, sebagaimana dijangkakan, PAS menjadi parti dominan," kata beliau. "Ini akan menjadi realiti jika PAS menjadi parti dominan jika Pakatan Rakyat memegang kuasa. Ia akan menjadi parti dominan Pakatan Rakyat," kata Dr Chua. Irwan turut mengingatkan Dr Chua agar berusaha mendapatkan kembali sokongan masyarakat Cina yang telah hilang semasa pilihan raya umum ke 12 pada 2008. "Sepatutnya MCA bekerja keras untuk mengembalikan kepercayaan kaum mereka, bukan dengan menghina orang lain. Kaum mereka menolak mereka secara terang pada tahun 2008," kata Irwan. | ||
Rakyat Selangor kecapi pelbagai nikmat Posted: 22 Oct 2012 05:39 AM PDT Menteri Besar berkata rakyat negeri ini dapat menikmati pelbagai manfaat melalui pentadbiran yang telus dengan penganjuran pelbagai program dan bantuan. SHAH ALAM: Rakyat Selangor kini dapat merasai perbezaan melalui perubahan yang dilakukan dan mengecapi pelbagai nikmat selepas Pilihan Raya Umum 2008, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Beliau berkata, rakyat negeri ini dapat menikmati pelbagai manfaat melalui pentadbiran yang telus dengan penganjuran pelbagai program dan bantuan seperti pemberian air percuma, skim bagi warga emas dan wanita serta tuisyen percuma bagi pelajar-pelajar di negeri ini. "Cara kita mengurus negeri ini menunjukkan Selangor merupakan di antara negeri yang terbaik pentadbirannya. Jika dilakukan perbandingan dengan kerajaan Umno-Barisan Nasional sebelum ini kita ternyata lebih baik. "Prestasi cemerlang Selangor dalam bidang ekonomi dan pentadbiran diakui Ketua Audit Negara dalam laporannya," kata beliau kepada penduduk Ijok semalam. Menurutnya, sokongan rakyat terhadap Pakatan Rakyat semakin meningkat sekaligus mencerminkan kepercayaan masyarakat negeri ini untuk terus bersama Pakatan. Abdul Khalid berkata, sejak beliau memulakan rombongan Jelajah Merdeka Rakyat di beberapa kawasan di Selangor seperti di Desa Air Hitam, Puchong dan Pantai Morib, Kuala Langat, kehadiran rakyat di setiap ceramah amat menggalakkan dan mendapat sokongan ramai. "Biarpun hujan lebat pada pagi dan petang, ianya tidak mematahkan semangat penduduk di setiap kawasan yang dikunjungi untuk hadir beramai-ramai bagi mendengar amanat dan mesej yang dibawa oleh pemimpin Pakatan," terang beliau. Selain Puchong, Kuala Langat dan Ijok, rombongan semalam turut mengunjungi Pandamaran di Klang dan Kampung Assam Jawa di Kapar sebelum mengakhiri perjalanan di parkir Stadium Shah Alam. Abdul Khalid MB terbaik Sementara itu, Penasihat Ekonomi Selangor Datuk Seri Anwar Ibrahim di dalam ucapannya di Shah Alam, memuji pentadbiran Abdul Khalid sambil menyifatkan beliau sebagai Menteri Besar Selangor yang terbaik. "Saya akui beliau merupakan seorang yang sangat cermat dan berkira dalam menguruskan wang di negeri ini. "Tetapi sikap inilah yang diperlukan seorang pemimpin bagi menjamin wang negeri ini dikembalikan kepada rakyat untuk menikmatinya," katanya di hadapan kira-kira 6,000 hadirin. Katanya, integriti tinggi yang dimiliki Abdul Khalid menyebabkan negeri ini mampu mempunyai rizab simpanan sehingga RM2.2 bilion walaupun membelanjakan wang yang banyak bagi program bantuan rakyat seperti skim air percuma, Jom Shopping, TUNAS dan Sri Kembar. "Dahulunya bekas Menteri Besar, Dr Mohamad Khir Toyo mendakwa Selangor akan bankrup jika berhasrat memberikan air percuma. "Tetapi dengan pentadbiran yang telus dibuktikan oleh Abdul Khalid, simpanan negeri meningkat daripada RM1 bilion kepada RM2.2 bilion walaupun memberikan pelbagai kemudahan kepada rakyat," kata Ketua Pembangkang itu. | ||
Komen isu semasa bukan pendirian tetap Perkasa Posted: 22 Oct 2012 05:35 AM PDT Pendirian Perkasa tetap untuk berpihak kepada BN dan sekaligus MCA. KUALA LUMPUR: Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali menjelaskan perbezaan pendapat beliau dan Ketua Wira Perkasa Irwan Fahmi semalam berhubung isu hudud yang dibangkitkan Presiden MCA Datuk Sri Chua Soi Lek sebagai teguran semata-mata. "Ketua Wira hanya beri respon isu semasa. Kalau tak beri respon, Perkasa dihentam," jelas Ibrahim ketika ditanya perkara ini di pekarangan Dewan Rakyat hari ini. Semalam Ketua Wira Perkasa Irwan Fahmi memberi amaran agar MCA tidak menggunakan isu hudud untuk memancing undi. Walau bagaimanapun Ibrahim Ali yang juga ahli parlimen Bebas Pasir Mas menyifatkan kritikan Chua sebagai perbezaan pendapat semata-mata dan berpandangan MCA mempunyai hak meluahkan pendapat. "Kalau tidak orang Cina akan berkata MCA tidak bersuara kerana DAP pun main isu hudud," jelas beliau. Ibrahim turut menegaskan pendirian Perkasa untuk menyokong Barisan Nasional (BN) dan MCA di dalam pilihan raya umum ke 13 berdasarkan faktor keselamatan dan kemakmuran. "Pendirian Perkasa di dalam isu ini adalah untuk menyokong BN berdasarkan faktor keselamatan dan kemakmuran. "Pakatan Rakyat belum bersedia menggantikan BN. Mereka tidak boleh sentuh perlembagaan, Artikel 153 dan belum didaftarkan sebagai pakatan politik," kata Ibrahim. Lihat juga: Kritik hudud: Ibrahim Ali pertahan CSL Jangan guna hudud untuk pancing undi, MCA | ||
'Kong abai sebab kemalangan utama' Posted: 22 Oct 2012 05:32 AM PDT MP Selayang William Leong mempersoalkan kenyataan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha bahawa sistem penguatkuasaan automatik (AES) yang mensasarkan pemandu melebihi had laju adalah bertujuan untuk mengurangkan kemalangan. Katanya, kerajaan tidak bertindak ke atas penyebab kemalangan jalan raya lain seperti yang melibatkan pengguna motosikal. Beliau memberi contoh, sebahagian besar daripada kematian akibat kemalangan jalan raya melibatkan pengguna motosikal kerana laluan khas motosikal tidak mencukupi. Katanya, statistik kemalangan jalan raya pada 2005 menunjukkan sebanyak 31,222 kematian akibat kemalangan motosikal – yang merupakan 66 peratus daripada kesemua kemalangan di Malaysia. Leong berkata laporan oleh polis dan Institut Kajian Kesemalatan Jalan Raya (Miros) menunjukkan, sebanyak 120,156 kemalangan berlaku melibatkan 9.4 juta pengguna motosikal. Daripada jumlah itu, sebanyak 12,112 kematian berkenaan melibatkan penunggang (3,614 kes) kematian dan pemboncong (422 kes). VIDEO l 2.58 min | ||
Ronnie Liu, Khir Toyo selesai kes fitnah Posted: 22 Oct 2012 05:30 AM PDT Exco Kerajaan Negeri Selangor Liu Tian Khiew atau Ronnie Liu dan bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo hari ini mencapai persetujuan bersama untuk menyelesaikan kes saman fitnah yang difailkan pada 2008. Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad menetapkan esok untuk merekod terma penyelesaian yang dipersetujui kedua-dua pihak. Peguam Mohd Haijan Omar yang mewakili Ronnie Liu memberitahu pemberita mengenai perkara itu selepas pihak-pihak berkenaan menemui hakim di dalam kamar. Pada 6 Okt 2008, Liu menyaman Dr Mohamad Khir kerana didakwa memfitnah dengan mengaitkan beliau dalam usaha menghalang penghapusan kegiatan pelacuran. Liu mendakwa Dr Mohamad Khir mengeluarkan perkataan palsu dan berunsur fitnah mengenai perkara itu dalam satu artikel yang dicetak dan disiarkan di sebuah akhbar berbahasa Cina pada 9 Mei 2008.- Bernama | ||
MP Umno: ICAC siasat, lepaskan Musa Aman Posted: 22 Oct 2012 05:23 AM PDT Datuk Abdul Rahman Dahlan (BN-Kota Belud) hari ini menjelaskan bahawa badan penyiasat rasuah Hong Kong, Independent Commission Against Corruption (ICAC) menyiasat Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman serta beberapa orang pemimpin Umno. Badan itu kemudiannya mengisytiharkan bahawa tiada rasuah terlibat dalam sumbangan RM40 juta kepada Umno negeri, katanya. Tambahnya, dalam siasatan selama dua tahun itu, penyiasat ICAC pergi ke Sabah untuk bertemu pemimpin politik Sabah termasuk ketua menteri. Tiada sesiapa menghalang mahupun memberitahu ICAC supaya tidak menjalankan siasatan tersebut, katanya lagi dalam satu persidangan Dewan Rakyat hari ini. Katanya, siasatan ICAC memberi perakuan setelah membuat siasatan menyeluruh dan apabila bukti menunjukkan ia hanya sumbangan politik. Beliau menjawab soalan yang dikemukakan Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timor) yang mempersoalkan sama ada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia telah memastikan sekiranya wang RM40 juta itu merupakan wang sogokan daripada hasil balak. | ||
Tengkorak muzium disimpan dalam tong Posted: 22 Oct 2012 05:20 AM PDT MALAYSIA KINI Audit itu mendapati walaupun RM328,098 dibelanja untuk membangunkan sistem katalog koleksi barang antik kerajaan negeri, tiada satu pun peninggalan arkeologi, termasuk tengkorak manusia dikatalogkan. Sistem itu bertujuan untuk mengurus serta mengawal maklumat dan mengesan koleksi muzium. "Pihak jabatan menganggarkan terdapat sejumlah 150,000 koleksi. "Bagaimanapun disebabkan rekod pendaftaran tidak diselenggara, jumlah sebenar koleksi tidak dapat ditentukan," laporan itu dipetik. Bahan-bahan arkib juga mengalami nasib yang sama, sementara hanya 87 daripada 140,420 peninggalan zoologikal dan 15,603 daripada 26,700 peninggalan etnologikal dikatalogkan ke dalam sistem itu. Penyimpanan tidak teratur itu dijadikan alasan kepada sistem katalog yang tidak sempurna, walaupun kos menyelenggara sistem katalog itu adalah RM30,000 setahun. | ||
Isu rogol: DAP tepuk meja bela Nik Aziz Posted: 22 Oct 2012 05:14 AM PDT DAP hari ini berkobar-kobar mempertahankan PAS ekoran tuduhan pemimpin MCA bahawa mursyidul am parti itu Datuk Nik Aziz Nik Mat membenarkan orang Islam merogol bukan Islam. Bangkit mempertahankan Nik Aziz yang dirujuknya sebagai "Tok Guru", Anthony Loke (DAP-Rasah) menyifatkan kenyataan Naib Pengerusi Wanita MCA Heng Seah Kie yang disokong Presiden MCA Datuk Seri Chua Soi Lek itu sebagai "paling biadap". "Chua Soi Lek ialah presiden MCA yang paling biadap," katanya sambil menepuk meja. Speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia kemudiannya mematikan mikrofon Loke (atas) dan meminta anggota parlimen Rasah tidak membawa hujah politik dalam dewan. Bercakap dalam Persidangan Agung Wanita MCA di Kuala Lumpur kelmarin, Heng menuduh PAS membenarkan merogol wanita bukan Islam sekiranya mereka tidak mematuhi kod etika pakaian Islam. Heng membuat kesimpulan itu berdasarkan video lama Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat yang didakwa menyebut wanita patut dirogol jika tidak menutup aurat. "Daripada ucapan Nik Aziz, kami simpulkan bahawa Nik Aziz secara terbuka meminta orang Islam merogol bukan Islam, adakah saya benar?" tanya Heng di hadapan 1,032 perwakilan. Dr Chua dalam sidang media selepas itu mempertahankan kenyataan Heng itu kerana mendakwa ia benar. | ||
Kelantan bincang beri imbuhan kepada ' The Red Warriors' Posted: 22 Oct 2012 05:10 AM PDT SINAR HARIAN KOTA BAHRU - Kerajaan negeri Kelantan bercadang memberi imbuhan kepada barisan pemain 'The Red Warriors' kerana menjuarai Piala Malaysia musim ini. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Datuk Abdul Fatah Mahmood berkata pasukan itu yang telah mengharumkan nama negeri, wajar diberikan ganjaran. "Kerajaan negeri akan bermesyuarat dalam masa terdekat untuk menentukan bentuk imbuhan yang akan diberikan kepada pemain berkenaan atas kejayaan itu," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. Abdul Fatah berkata kerajaan negeri mengucapkan tahniah kepada pasukan Kelantan atas kejayaan itu dan cadangan pemberian imbuhan itu ialah sebagai menghargai kesungguhan mereka dalam mencatat kejuaraan 'treble' musim ini. Kelantan yang sebelum ini meraih gelaran juara Liga Super dan Piala FA, melengkapkan kejuaraan treble apabila menjulang Piala Malaysia 2012 dengan menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 3-2, dalam perlawanan sengit, Sabtu lepas. "Saya turut memuji sikap pemain dan penyokong pasukan Kelantan yang menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi dalam menjuarai kejohanan itu, khususnya pada perlawanan akhir Piala Malaysia menentang ATM," tambah beliau.- Bernama | ||
SPR: Faktor cuaca bukan penghalang urus PRU13 Posted: 22 Oct 2012 05:05 AM PDT PUTRAJAYA – Sekiranya Parlimen dibubarkan dalam bulan ini atau awal November, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terpaksa mencari tarikh "paling cantik dalam keadaan yang buruk" untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), kata Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof. Hal ini kerana dikhabarkan, bermula pertengahan bulan depan, beberapa negeri dikatakan bakal terjejas teruk apabila angin monsun timur laut melanda beberapa negeri di Semenanjung Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak. Namun SPR selaku agensi yang bertanggungjawab untuk menjalankan proses pilihan raya, kata beliau, terpaksa akur untuk mengadakan pilihan raya dalam tempoh yang telah ditetapkan walaupun dalam keadaan cuaca yang tidak menentu. "Memang salah satu faktor yang dibimbangkan oleh SPR apabila menentukan tarikh-tarikh penting seperti tarikh penamaan calon dan yang paling penting, tarikh pilihan raya ialah faktor cuaca. "(Tetapi) kalau hari ini tiba-tiba Perdana Menteri bubar Dewan (Parlimen), saya hanya ada 60 hari termasuklah bulan November," katanya kepada Sinar Harian Online. Dalam temu bual eksklusif di pejabatnya di sini, Abdul Aziz berkata, SPR memerlukan perancangan yang teliti terutama dalam aspek keselamatan bagi memastikan pilihan raya umum berjalan lancar meskipun berhadapan masalah bencana alam. "Kita akan mendapatkan kerjasama daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN), kita berjaga-jagalah. MKN akan membantu kita dari segi menggunakan perkhidmatan tentera, polis, perkhidmatan bomba, perkhidmatan Jabatan Pertahanan Awam Negara (JPAM) atau jabatan-jabatan lain untuk turut membantu untuk mengangkut atau menyelamat pengundi-pengundi. "Jika sekiranya Dewan dibubarkan dalam tempoh terdekat, SPR tidak ada pilihan," katanya. Lima negeri dikatakan bakal terjejas teruk apabila angin monsun timur laut melanda iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak dan Johor. Jabatan Pengairan dan Saliran turut memberi amaran kepada orang ramai, negara bakal berhadapan risiko banjir besar antara November hingga Mac tahun hadapan. Pengarah Bahagian Hidrologi dan Sumber Air, Datuk Hanapi Mohamad Noor berkata, purata hujan tahunan adalah 3,000 milimeter (mm) dan menambah: "dengan 1,800mm yang dicatatkan dari Januari kepada September, ia dijangka akan lebih 1,200mm dari Oktober hingga Disember dan ini merupakan jumlah yang banyak." Hanapi berkata, banjir yang akan berlaku jika hujan yang turun dalam bulan tersebut berterusan selama satu hingga tiga hari di kawasan yang sama. Sementara Kuala Lumpur pula dikatakan akan berhadapan dengan banjir kilat dalam tempoh yang sama. Difahamkan jabatan-jabatan tertentu yang bertanggungjawab juga sudah bersedia untuk menghadapi situasi getir itu. | ||
4 tuntutan 'Grand Final PR' sebelum PRU13 Posted: 22 Oct 2012 05:03 AM PDT KUANTAN – Pakatan Rakyat (PR) akan mengadakan satu perhimpunan besar-besaran pada 12 Januari depan bagi membuat tuntutan terhadap empat perkara menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13). Pada perhimpunan 'Grand Final' itu peserta akan memakai empat warna baju sama ada kuning, merah, hijau dan oren yang setiap satunya mewakili tuntutan berkaitan. Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu berkata, perhimpunan itu diadakan susulan daripada Bersih 3.0 yang menuntut pilihan raya yang adil dan bersih tetapi tidak dilayan kerajaan. Menurutnya, selain perhimpunan 'Grand Final' berkenaan, pelancaran perhimpunan kebangkitan rakyat akan berlangsung di Seremban pada 3 November ini. "Pada awalnya perhimpunan besar-besaran itu dijangkakan pada 3 November tetapi atas alasan tertentu ia akan diadakan pada 12 Januari 2013 sekiranya Pilihan raya belum berlangsung. "Pada perhimpunan itu peserta akan memakai baju kuning sebagai tuntutan Pilihan raya bersih dan tuntutan Bersih 3.0, (warna) hijau tuntutan terhadap penjagaan alam sekitar termasuk mengenai projek Lynas, merah menuntut royalti minyak di Kelantan, manakala oren tuntutan berkaitan Felda," katanya sempena ucaptama Konvensyen PR Peringkat Pahang, di Bukit Sekilau di sini, semalam. Katanya, tujuan pemakaian baju empat warna itu agar segala tuntutan yang dilakukan pada perhimpunan itu akan ditunaikan. "Mengenai lokasi, kita akan memilih sama ada di Stadium Bukit Jalil atau Stadium Merdeka seperti yang pernah dijanjikan Perdana Menteri dan jika tidak dibenarkan perhimpunan akan diteruskan di luar stadium," katanya. Beliau berkata, perhimpunan kebangkitan rakyat bukan sahaja akan dilakukan di Seremban tetapi akan diadakan secara berperingkat mengikut lokasi atau zon dan seramai sejuta penyokong disasarkan. Hadir sama, Naib Presiden PKR, Fuziah Salleh dan pemimpin PR yang lain serta seramai 630 peserta hadir menjayakan konvensyen itu. Sementara itu, Mohamad Sabu berkata, bukan mudah untuk menentang Umno yang mempunyai banyak agenda. "Kita sebenarnya mempunyai harapan besar untuk menggantikan kerajaan sekarang dan menjadikannya sebagai kerajaan persekutuan PR," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Kuantan. | ||
Melayu tak berpecah, hanya konflik politik Posted: 22 Oct 2012 05:02 AM PDT ANALISIS - Isu perpecahan di kalangan kaum Melayu sebenarnya bukan baru. Ia menjadi bahan perbualan hangat sejak selepas Pilihan Raya Umum 2008. Lebih-lebih ia sendiri pernah dibangkitkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Lipatan laporan media sepanjang tiga tahun lalu membuktikan perkara ini. Hujung minggu lalu, Dr Mahathir, bekas Presiden Umno dan bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN), menafikan beliau sebagai punca perpecahan orang Melayu. Malah kata beliau, tindakannya memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim pada awal September 1998 bukan punca perpecahan. Mengulas perkara itu, penganalisis-penganalisis yang dihubungi Sinar Harian Online juga berpandangan sedemikian. Sebaliknya penganalisis menekankan ideologi yang berlainan di kalangan kaum Melayu adalah asas puncanya. Prof Madya Dr Mohammad Agus Yusoff berkata, tidak wajar menuding jari ke arah Perdana Menteri keempat itu sebagai punca perpecahan di kalangan Melayu. Ini kerana kata beliau, sejak dulu lagi sememangnya Melayu ini hidup dalam kelompok berpuak-puak. "Bukan kerana Tun Mahathir pecat Anwar Melayu jadi berpecah-belah, sebaliknya sikap orang Melayu sendiri yang menjadi punca. "Kalau kita lihat terlalu ramai golongan yang terlalu ekstrem berpolitik, ahli Umno ekstrem dengan Umno, ahli Pas ekstrem dengan Pas termasuk juga penyokong parti lain," katanya. "Jadi dapat saya lihat di sini, budaya politik yang terlalu ekstrem ini menjadi punca utama tetapi ia bukan dipanggil perpecahan Melayu, sebaliknya konflik politik di kalangan Melayu," ulas beliau. Tambahnya, golongan yang ekstrem politik ini bukan sesuatu yang baru kerana ia wujud sejak dulu lagi. "Jangan kita panggil Melayu berpecah disebabkan Tun Mahathir, andaian ini kurang tepat," katanya. Tambah beliau, "masyarakat negara ini harus mencari 'unity in diversity', bukan kesatuan dalam persamaan," katanya. Dr Mahathir, Presiden Umno kelima, melepaskan jawatan Perdana Menteri dan jawatan parti itu selepas 22 tahun. Beliau menggantikan Tun Hussein Onn dan pada Oktober 2003, Tun Abdullah Ahmad Badawi menggantikannya. Seorang lagi penganalisis politik dari Universiti Putra Malaysia, Prof Dr Jayum Jawan turut berpendapat tidak ada gunanya bagi kita menuding jari ke atas Dr Mahathir. "Adalah sesuatu yang tidak tepat bagi kita menuding jari kerana dunia kini sudah berubah dan masyarakat kini sudah semakin bijak bagi menerima polemik politik negara," katanya. Beliau turut menolak yang Melayu kini sudah berpecah kerana dari pemerhatian, terlalu banyak pendedahan politik yang diterima masyarakat kini menyebabkan mereka selesa. "Rakyat kini bukan melihat parti politik lagi bagi bergantung harap tetapi mereka semakin bijak melihat saluran yang ditawarkan oleh parti politik ini," katanya. Berbanding sebelum ini, orang Melayu yang sudah masak dengan politik domestik sudah ada banyak pilihan – bagi menentukan parti yang sesuai dans selari dengan cita rasa ideologi mereka. Sehubungan itu beliau menarik perhatian bahawa Dr Mahathir memberi banyak perubahan besar kepada negara dan ini tidak menjadi isu, malah menjadi satu kebanggaan negara. "Memang Tun Mahathir yang patut bertanggungjawab dalam pemikiran Melayu kini kerana beliau yang membawa kepada perubahan pemikiran masyarakat, bukan punca Melayu berpecah," ujarnya. Isu perpecahan di kalangan masyarakat Melayu tidak seharusnya timbul kerana kita semua sedia maklum Melayu juga yang melengkapi dalam semua parti-parti politik negara ini. "Melayu memang terbahagi kepada dua jika dikira dalam politik, ada yang lebih menjurus kepada Umno, ada yang menjurus kepada Pas, tetapi diri sendiri yang harus bijak menilai mana baik, mana buruk," katanya. Sementara Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) menjelang tiba, Jayum menambah, rakyat kini menilai parti politik yang mampu menawarkan pakej lebih baik dan calon mereka yang akan dipilih bagi memimpin negara. Semasa dianjukan soalan yang ini, BN yang memerintah sejak negara merdeka mempertahankan Dr Mahathir dalam isu memecat Anwar. Ketika itu Anwar merupakan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno. Malah menyandang jawatan Menteri Kewangan. Kini Anwar mengetuai Pakatan Rakyat dan bertindak sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen. Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan percaya Dr Mahathir memecat bekas timbalannya atas sebab yang munasabah dan oleh itu, tidak adil mendakwa mantan perdana menteri itu menjadi punca perpecahan Melayu. "Anwar sendiri memberi imej negatif kepada masyarakat Melayu, sebab sikap peribadi beliau ini sebenarnya yang membawa kepada perpecahan," katanya kepada Sinar Harian Online. "Tidak sepatutnya Melayu berpecah disebabkan Anwar dipecat satu ketika dulu, ia tidak masuk akal," tegasnya. Beliau menambah, Anwar sengaja meminta simpati rakyat seakan-akan beliau dizalimi sedangkan ia berpunca dari kes peribadinya sendiri yang rakyat negara ini mampu menilai sendiri sejauh mana kebenarannya. "Kita juga perlu lihat bagaimana Melayu terlalu yakin dengan Pas yang kononnya mahu memperjuangkan Islam sebaliknya moto mereka kini seakan-akan sudah bertukar kepada negara berkebajikan yang sudah lama Umno laksanakan," kata wakil rakyat ini. Parti komponen BN, MIC turut berpendapat yang pemecatan Anwar bukan menjadi punca utama Melayu negara ini berpecah. "Tindakan beliau ketika itu betul dan beliau hanya mempertahankan kedudukannya sebagai perdana menteri dan mahu berlaku adil terhadap timbalannya," kata Setiausaha Agungnya, Datuk S. Murugessan. Menurutnya lagi, keadaan teknologi kini yang semakin berkembang juga menyebabkan banyak berlaku fitnah dan semakin banyak ruang bagi mereka yang tidak bertanggungjawab memberi pandangan paribadi masing-masing. "Sangat tidak adil jika tuduh bekas pemimpin negara sebegitu rupa, kita perlu ingat perjuangan beliau dalam membangunkan negara," ujarnya. Beliau menambah, berbeza pandangan di kalangan masyarakat Melayu tidak seharusnya menjadi punca kepada perpecahan. "Saya tidak setuju jika Tun Mahathir dituduh begitu, ia sangat tidak adil," tegasnya. Jika berundur, lipatan sejarah menunjukkan bahawa polemik mengenai perpecahan di kalangan Melayu sudah wujud lama. Malah ia menjadi bahan perbualan sejak Tun Musa Hitam meletakkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan disusuli dengan pertandingan sengit pemilihan jawatan Majlis Tertinggi Umno pada 1987. Sepanjang lima dekad ini, isu ini menjadi fokus utama selepas Pilihan Raya Umum 2008. | ||
Tarikh kahwin Chong Wei-Mew Choo dicepatkan Posted: 22 Oct 2012 04:55 AM PDT SINAR HARIAN KUALA LUMPUR - Pilihan hati Datuk Lee Chong Wei iaitu bekas pemain badminton wanita negara Wong Mew Choo, amat disenangi ahli keluarga pemain nombor satu dunia itu. Abang Chong Wei, Lee Chong Hoon berkata, seluruh ahli keluarga terutama ibu dan ayah mereka, sangat gembira apabila adik bongsunya itu akhirnya mengambil keputusan untuk mengahwini Mew Choo setelah hampir 12 tahun menjalin hubungan. "Mak saya sangat gembira, seluruh keluarga sangat gembira dengan perkahwinan ini. Setelah sekian lama akhirnya mereka akan disatukan," katanya selepas sidang media pengumuman rasmi majlis perkahwinan pasangan itu di pejabat Chong Wei di Bandar Puteri, Puchong di sini hari ini. Kedua-dua bakal pengantin, bagaimanapun, tidak hadir pada majlis tersebut. Chong Hoon berkata, mengikut tradisi kaum Cina pasangan itu sebaiknya tidak keseorangan ketika sebarang majlis rasmi dan oleh kerana Chong Wei masih berada di Denmark, Mew Choo tidak mengambil bahagian pada majlis kali ini. "Mereka akan hadir bersama untuk beberapa sidang media yang akan diadakan lagi selepas ini," katanya yang juga mesra dipanggil Joe. Sebagai antara orang yang rapat dengan pasangan itu, beliau berkata, kedua-dua mereka melengkapi antara satu sama lain selain saling memahami khususnya berkaitan kerjaya sebagai pemain badminton. "Setahu saya juga, selama ini Chong Wei tidak mempunyai teman wanita istimewa lain selain Mew Choo walaupun hubungan mereka 'on' 'off' sepanjang 11 tahun ini," katanya. Chong Hoon berkata majlis makan malam resepsi perkahwinan akan diadakan pada 9 November dan 10 November di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Katanya, majlis pada 9 November melibatkan lebih kurang 1,000 jemputan tetamu kehormat (VIP) dan antara yang diundang ialah Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, beberapa Menteri kabinet serta ahli-ahli korporat dari dalam dan luar negara. "Manakala bagi malam kedua, Chong Wei akan mengadakan majlis buat kaum keluarga dan sahabat handai yang melibatkan 1,500 jemputan termasuk 500 krew bertugas. "Kami juga buat masa ini tidak dapat menyatakan jumlah sebenar kos majlis kerana kebanyakan kos ditanggung oleh penaja," katanya. Menurut beliau, tarikh bagi majlis tersebut dipilih berdasarkan nasihat 'Master' selain mengambil kira jadual ketat pemenang perak Olimpik itu. "Jika mengikut perancangan awal, majlis sepatutnya diadakan tahun hadapan. Bagaimanapun berikutan kematian nenek Mew Choo baru-baru ini, mengikut kepercayaan masyarakat Cina mereka dikehendaki berkahwin dalam masa 100 hari selepas kematian tersebut atau terpaksa menunggu tiga tahun lagi," jelasnya. Beliau berkata, adiknya tidak mahu menunggu tiga tahun lagi dan oleh sebab itu tarikh perkahwinan dipercepatkan. "Tarikh bagi majlis pendaftaran perkahwinan pula akan diumumkan oleh Chong Wei sendiri tidak lama lagi," katanya lagi. - Bernama | ||
Muhyiddin: BN tidak kisah Nik Aziz tanding atau tidak Posted: 22 Oct 2012 04:54 AM PDT SINAR HARIAN KAJANG - Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Barisan Nasional (BN) tidak kisah sama ada Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan bertanding atau tidak dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang. "Itu hak dia, saya tiada hak nak komen terpulang kepada kepimpinan Pas jika fikir beliau (Datuk Nik Aziz Nik Mat) masih bertenaga dan tajam fikiran, saya tak nak komen lebih terserah kepada rakyat untuk menilai," katanya. Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN dan Timbalan Presiden Umno berkata, BN telah pun bersiap sedia dengan jentera pilihan raya dan menawarkan kepimpinan yang berwibawa untuk bertanding di negeri tersebut. Muhyiddin diminta mengulas laporan yang membayangkan Mursyidul Am Pas itu akan bertanding dalam PRU13. "Apa yang pasti BN akan menawarkan kepimpinan berwibawa untuk bertanding termasuk calon yang bakal dinamakan menjadi Menteri Besar sekiranya diberi mandat untuk mentadbir Kelantan," katanya kepada pemberita di Batu 14, Hulu Langat dekat sini. Beliau berharap rakyat Kelantan memberi perhatian terhadap perkara ini dan dapat membuat perbandingan berhubung siapa yang lebih layak memimpin negeri itu dan ia bukan terhad atas tokoh agama sahaja bagi menyelesaikan isu-isu berbangkit di negeri itu. "..dari segi pentadbiran, pengurusan menyelesaikan masalah isu-isu berbangkit di negeri itu termasuk soal air yang tidak dapat diselesaikan, kemiskinan tegar masih banyak dan isu-isu sosial... itu juga perlu diberi perhatian," katanya. "Harap rakyat Kelantan dapat buat perbandingan siapa yang lebih bersesuaian dan layak bukan atas tokoh agama sahaja," katanya. Muhyiddin berkata, hanya rakyat Kelantan yang mempunyai jawapan berhubung apa yang akan berlaku ke atas negeri itu dalam tempoh lima tahun akan datang sekiranya Nik Abdul Aziz bertanding pada pilihan raya akan datang dan sekali lagi menjadi menteri besar. "Saya tidak boleh jawab hanya orang di Kelantan yang boleh menjawabnya," katanya. - Bernama | ||
Utusan Malaysia : Tiada Maknanya Kebebasan Media di Malaysia. Kami Kena Saman Berkali-kali!! Posted: 21 Oct 2012 10:57 PM PDT Kalau dilihat daripada jumlah saman demi saman yang diterima pihak Utusan Malaysia berdasarkan laporan berita mereka, kami sebenarnya agak musykil di mana mereka mendapat dana untuk terus menampung operasi syarikat mereka dengan baik? Sedangkan jumlah jualan akhbar Utusan Malaysia tidak seberapa… Suka untuk kami kongsikan di sini hasil tulisan Pengarang Utusan Malaysia, Marhaini Kamaruddin yang mengupas isu kebebasan akhbar di Malaysia. Katanya :
Ehem…..sebenarnya ada beza jika berkata berdasarkan emosi dengan berhujah dengan fakta. Kebebasan bersuara berdasar fakta tidak sama dengan kebebasan menabur fitnah. Ada banyak perbezaan di situ.
Sebentar. Bukankah akhbar Utusan Malaysia disaman dan telah dibuktikan bersalah oleh perintah mahkamah untuk beberapa kes saman fitnah yang dibuat oleh beberapa tokoh politik? Apabila sudah didapati bersalah maknanya ada laporan berita yang disampaikan tiada kebenarannya….atau dalam bahasa yang lebih jelasnya adalah FITNAH!
Orang akan saman apabila mendapati laporan berita yang disampaikan adalah tidak benar, biar pihak mahkamah yang membuat keputusannya. Jikalau Utusan Malaysia tak buat fitnah dengan memutar belit "berita asal", kami merasakan tiada siapa yang akan saman pihak Utusan Malaysia. Jadi, tidak timbul ada cubaan nak membunuh kerjaya kewartawanan. Sebenarnya jika anda sudah masuk dalam dunia kewartawanan, anda perlu tahu etika ketika menulis dan berkongsi berita dengan pembaca. Tetapi…..tetapi jika ada "kesilapan" yang bukan sekali tetapi sudah berkali-kali walaupun amaran telah diberikan, anda perlu sanggup menanggung risikonya. Berani buat, berani……………
Jikalau bebas dan benar, buat apa nak takut kena saman? Apa yang nak dirisaukan? Tulis yang betul, yang benar apa pun tak marah. Kalau tulis berbelit-belit dan menipu, fitnah orang ikut suka hati, bersedialah untuk disaman. Kebebasan media untuk menulis yang benar bukan untuk mengada-ada kan cerita atau fitnah. Buatlah penyelidikan & sedikit penyiasatan dan laporkan yang benar kepada pembaca. Kalau setakat putar belit cerita untuk kepentingan pihak-pihak tertentu itu dah kira tak beretika namanya. P/S : Utusan Malaysia kami kira untuk tempoh penerbitan mereka bermula dengan Utusan Melayu, sepatutnya sudah matang dalam penerbitan laporan berita mereka, dan perlu lebih peka dengan perkembangan & peredaran masa yang mana maklumat sampai ke tangan rakyat Malaysia dengan begitu pantas tanpa sebarang "tapisan"……. | ||
Setengah bilion bina rumah kos rendah, S’ngor, P Pinang catat sejarah Posted: 21 Oct 2012 10:50 PM PDT Oleh Norutul Ilham KUALA LUMPUR : Kerajaan Selangor dan Pulau Pinang catat sejarah ulung menyediakan RM500 juta untuk pembinaan rumah kos rendah tanpa bantuan Kerajaan Pusat. Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kedua-dua negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat (Pakatan) itu sedia meneruskan pembangunan projek tersebut walaupun ia adalah tanggungjawab Kerajaan Pusat. "Kita bukan nak serang seperti yang dibuat Umno, tapi kita akan berikan fakta, rumah kos rendah ini tanggungjawab siapa? Tetapi Selangor dan Pulau Pinang catat sejarah buat pertama kali sediakan setengah bilion untuk bina rumah kos rendah. "Masa saya jadi Menteri Kewangan, tanggungjawab bina rumah kos rendah adalah kerajaan Pusat, bukan kerajaan negeri. Kerajaan negeri hanya beri tanah dan mempercepatkan proses kelulusan pembinaan," katanya di depan 8,000 hadirin pada Majlis Makan Malam KEADILAN Selangor 2012 di perkarangan parkir Stadium Melawati Shah Alam, malam tadi sempena Jelajah Merdeka Rakyat ke negeri itu. Menyentuh kejayaan Selangor, Anwar menyifatkan Tan Sri Khalid Ibrahim Menteri Besar paling berjaya. "Sebagai Menteri Besar, Selangor adalah yang paling berjaya dalam sejarah, tengok bagaimana beliau (Khalid) boleh kutip hutang daripada syarikat Talam. Tapi isu ini tidak pernah disiarkan. Lebihan wang negeri melebihi RM2 bilion, ini baru empat tahun memerintah. "Apa beza (pentadbiran) Pakatan, kita tunjukkan pelaksanaan, contohnya apa yang kita buat selepas pilihan raya, beri air percuma kepada rakyat," kata Ketua Umum KEADILAN itu. Prestasi kewangan Selangor mengikut Laporan Ketua Audit Negara 2011 membanggakan apabila hasil wang pelaburan yang diperoleh pada 2011 meningkat sebanyak RM1.55 bilion berbanding tahun sebelumnya. Pencapaian ini sekaligus mengekalkan peningkatan wang pelaburan negeri itu bagi tahun kelima berturut-turut. "Saya tak jamin pemimpin Umno tidak ambil tanah negeri, bawa syarikat negeri dan komisen berbilion ringgit. "Sebab itu paling penting integriti moral yang perlu ada dalam politik negara dan antarabangsa. Masalah kita dalam negara kerana (apabila) orang masuk politik itu untuk cari kekayaan. Menteri mana tidak ambil saham Bumiputera, lembu pun diambilnya," kata Penasihat Ekonomi Selangor itu. Anwar turut mempersoal Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang sanggup mempertahan 'penyangak' negara daripada membela rakyat. "Najib kenapa kamu pertahankan orang yang rompak negara, rasuah? Mengapa kamu tiada keberanian untuk lawan perkara ini? "Nak jadi pemimpin kerana berani, tengok Syed Mokhtar (Al-Bukhari), nak apa pun boleh, KTM (Keretapi Tanah Melayu) dapat, beras dapat, gula dapat, Tanjung Pelepas pun terlepas," sinisnya. | ||
Posted: 21 Oct 2012 10:46 PM PDT Perhimpunan Agung MCA ke-59 meluluskan 16 resolusi yang antara lain menyokong sepenuhnya pelaksanaan skim gaji minimum RM900 dan lanjutan umur persaraan demi meningkatkan daya saing negara secara keseluruhan.Resolusi yang meliputi lima aspek iaitu hal ehwal parti, ekonomi, pendidikan, politik dan masyarakat itu diumum Speaker Datuk Yik Phooi Hong selepas penggulungan perbahasan, di Wisma MCA pada Ahad. Pada aspek hal ehwal parti, MCA menyokong sepenuhnya program mesra rakyat yang dijalankan oleh parti untuk memanfaatkan anggota parti dan rakyat. Selain itu, MCA menyeru anggota akar umbi mempergiatkan kempen dan memantapkan perpaduan parti bagi menjamin kemenangan MCA dan Barisan Nasional, serta menegaskan pendirian untuk tidak menerima jawatan dalam kerajaan jika parti gagal mencapai keputusan yang lebih baik pada pilihan raya umum ke-13. Pada aspek politik, MCA mengecam pakatan pembangkang kerana menyemai budaya politik kebencian yang menggugat perpaduan negara demi kepentingan politik mereka sendiri, dan mengelirukan masyarakat Cina mengenai hukum hudud PAS. Resolusi ekonomi antaranya menyokong dasar liberalisasi kerajaan untuk melonjakkan Malaysia ke status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020, serta langkah peralihan subsidi pukal kepada subsidi bersasar dalan Belanjawan 2013. Dalam pendidikan, parti itu mengalu-alukan langkah menaik taraf Kolej Tunku Abdul Rahman kepada status kolej universiti serta mengekalkan geran sepadan supaya pendidikan tinggi berkualiti dengan yuran rendah dapat diteruskan. Kursus-kursus vokasional dalam bahasa ibunda dapat disediakan agar lebih ramai belia menyertai latihan vokasional, menyokong penubuhan Sekolah Menengah Chong Hwa Kuantan serta menggesa supaya kelas peralihan di sekolah menengah dikekalkan dan mengekalkan kurikulum bahasa Malaysia yang sedia ada di sekolah vernakular. Selain itu, MCA menggesa kerajaan meneruskan pelaksanaan dasar pendidikan berteraskan pelbagai bahasa untuk meningkatkan penguasaan bahasa dalam kalangan belia demi menghadapi cabaran globalisasi. Pada aspek masyarakat, parti itu menyokong agenda antijenayah kerajaan untuk menjadikan Malaysia negara yang lebih selamat serta usaha berterusan kerajaan untuk menambah perwakilan wanita pada peringkat pembuat keputusan di semua sektor. | ||
Sikap MCA bakal parahkan undi Umno Posted: 21 Oct 2012 10:44 PM PDT Serangan melampau Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek terhadap PAS, hudud dan Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menimbulkan keresahan dalam Umno sehingga Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak tidak boleh berkata apa-apa dalam isu ini. "Ramai dalam Umno merungut, siapakah yang benarkan Chua serang Nik Aziz. Orang Melayu di kampung terfikir bagaimana seorang ulama dan hukum hudud boleh dibiarkan dihina Chua yang pernah dirakam video seksnya. Kalau orang lain, mungkin tak seteruk ini. Tapi Chua, habislah Umno kali ini," kata sumber dalaman Umno kepada Harakahdaily. Kata beliau, walaupun Umno tidak menyukai Nik Aziz dan menyerangnya daripada sudut isu-isu di Kelantan dan kerjasama dengan DAP, akan tetapi Umno tidak pernah sesekali berani mengutuk peribadi beliau sebagai agamawan. "MCA dakwa Nik Aziz galakkan rogol. Melayu mana yang percaya? Tuduh Nik Aziz rasuah pun tak masuk, ini tuduh benda yang tidak berasas ini. Video yang dijadikan bukti tu, semua orang Melayu tonton pun faham Nik Aziz sedang mengajar Islam dan menjurus kepada kebaikan," kata sumber itu lagi. Sumber itu turut mempersoalkan taktik yang digunakan MCA dan Umno untuk meningkatkan undi bukan Islam. "Undi bukan Islam dah hilang. MCA berkata apapun tiada guna. Tapi sekarang MCA sedang menghalau undi Melayu kepada PAS. Orang Umno seperti saya pun terasa tidak tergamak untuk mengundi MCA, malah terasa kesian kat PAS. "Macam mana orang Melayu boleh membiarkan orang Cina yang moralnya tercalar seperti Chua untuk menyerang seorang ulama bertaraf Nik Aziz tanpa berkata apa-apa. Betullah, hanya syaitan yang dikenali yang sanggup membiarkan keadaan sedemikian berlaku," tambah beliau. Ketika ditanya mengenai tarikh PRU13, sumber dalaman itu memberitahu Harakahdaily, Pakatan Rakyat kini di depan dengan simple majority seperti yang dikatakan Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli. "Tapi selepas bom Chua dan MCA, Najib rasanya terpaksa saja meneruskan lakonan ini dan bertukar serangan kepada DAP. MCA serang PAS tak akan diberi liputan di berita bahasa Melayu, Umno pula serang DAP tidak diliputi di berita bahasa Cina. Perang di Facebook dan internet rasanya boleh diucapkan selamat tinggal," kata beliau. | ||
Kerana usia kini kurang mengacara Posted: 21 Oct 2012 10:41 PM PDT Pengacara terkenal, Aznil Hj Nawawi berkata peralihannya kepada pengacaraan program berbentuk ilmiah dan serius kebelakangan ini bukan kerana dirinya sudah tidak relevan dengan program hiburan.Sebaliknya, Aznil, 50, berkata, ia adalah proses normal seiring dengan kematangan usia selepas 22 tahun berkecimpung dalam dunia penyiaran televisyen. "Saya cenderung kepada program berbentuk ilmiah kebelakangan ini seiring dengan kematangan usia. "Selepas 22 tahun dalam bidang ini, tiba masanya untuk saya berkembang kepada pengacaraan yang lebih serius dan bersesuaian dengan kepentingan negara dan tanggungjawab sosial. "Saya tidak berkecil hati jika ada yang anggap saya sudah tidak relevan dengan dunia pengacaraan hiburan kerana saya sudah buktikan semuanya selama ini baik dari segi populariti mahu pun pencapaian," katanya. Bagaimanapun, Aznil berkata, peralihan itu tidak bermaksud dia tidak terlibat langsung dalam program hiburan cuma lebih mengutamakan program yang mempunyai pengisian dan konsep lebih ilmiah dan serius. "Bukanlah bermakna saya tidak buat program hiburan langsung cuma saya pilih mengikut kesesuaian. Saya masih buat program hiburan jika ia mempunyai pengisian lebih ilmiah dan serius. "Peralihan ini sekaligus membuka peluang kepada muka-muka baru dalam bidang pengacaraan program hiburan untuk menimba pengalaman mereka," katanya. Hos program On Air itu berkata, keutamaannya kini juga tertumpu pada pembentukan pengacara pelapis tanah air, selain projek-projek tanggungjawab sosial membabitkan sektor kerajaan dan swasta. "Sejak dilantik sebagai Timbalan Presiden Personaliti Astro Bahagian Perniagaan Melayu pada Mei lalu, tumpuan saya kini adalah pada proses pembentukan pengacara-pengacara pelapis tanah air. "Ilmu dan pengalaman yang ada wajar saya curahkan pada anak bangsa saya sendiri. Kini adalah masanya untuk saya menyumbang semula kepada bidang ini," kata duta Sihat 1Malaysia Kementerian Kesihatan Malaysia ini. | ||
PKPIM saran 'kelas pemulihan' hudud pada Soi Lek Posted: 21 Oct 2012 10:35 PM PDT MALAYSIA KINI Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) meminta agar Presiden MCA, DAtuk Seri Chua Soi Lek membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung kenyataan beliau mengenai isu hukuman hudud. Dalam satu kenyataan media, Presiden PKPIM, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, permohonan maaf itu perlu bagi memastikan isu tersebut tidak dijadikan modal politik untuk pilihan raya umum ke-13 (PRU 13). "PKPIM khuathir sekiranya Chua Soi Lek akan berterusan menjadikan hudud sebagai agenda murahan beliau dalam memenangi kelompok pengundi cina dalam PRU ke-13 akan datang. "Kami dengan tegas menyarankan Chua Soi Lek dan MCA keseluruhannya membuat permohonan maaf secara terbuka mengenai kenyataan yang dibuat berkenaan hudud ini," katanya. Khamis lalu, Chua mendakwa seramai 1.2 juta rakyat Malaysia akan kehilangan kerja sekiranya PAS melaksanakan hudud di Malaysia. Pada ucapan di perhimpunan Agung MCA ke-59 yang berlangsung semalam pula, Chua berkata lapan daripada 11 negara yang melaksanakan hudud dianggap sebagai antara negara paling korup, tidak stabil dan tidak selamat. Sehubungan itu, Fahmi turut menggesa agar teguran keras dan "kelas pemulihan" diberi kepada Chua dan ahli MCA lain supaya memahami hukuman tersebut. Beliau turut mempersoalkan adakah Chua diberi keistimewaan sehingga boleh bercakap secara bebas mengenai hukuman hudud. "PKPIM mempersoalkan adakah beliau diberi keistimewaan dan hak oleh kerajaan untuk bercakap secara bebas mengenai hudud seolah-oleh beliau mewakili umat Islam terbanyak? "Atau adakah disebabkan prinsip kebebasan bersuara dalam konteks demokrasi atau kerana MCA sebagai parti dalam gabungan Barisan Nasional? "Justeru, teguran keras dan kelas pemulihan perlu diberikan kepada beliau oleh rakan-rakan Melayu-Islam yang berada dalam BN atau setidak-tidaknya kelompok atau individu yang mesra BN," kata Fahmi lagi. Menurut Fahmi, PKPIM dan beberapa NGO termasuk Abim telah banyak mengemukakan bantahan, menyerahkan memorandum dan beberapa artikel serta buku mengenai hudud untuk dibaca dan difahami Chua. Malangnya, Fahmi berkata, beliau merasakan Chua tiada masa untuk membaca dan memahami mesej yang disampaikan oleh gerakan Islam dan majoriti umat Islam dalam negara. "Jika tidak mampu, PKPIM merasakan lebih ramai individu, NGO Islam atau mana-mana pihak yang sanggup berdialog dan bersemuka dengan beliau bagi menjelaskan berkenaan perlaksanaan undang-undang Islam ini di Malaysia," katanya. | ||
Rais: Kementerian teliti sekatan pada blog aksi seks Posted: 21 Oct 2012 10:34 PM PDT Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata beliau akan meneliti laporan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung sekatan terhadap penyiaran temubual pasangan yang terlibat dengan aksi seks dalam blog 'Sumptuos Erotica'. Kerajaan, katanya mempunyai kuasa terakhir sama ada perlu diambil tindakan fizikal dari segi undang-undang atau tidak. "Saya akan lihat dahulu apa-apa laporannya, tetapi saya cenderung untuk mengatakan kita tidak wajar melayani apa-apa yang disohorkan menerusi internet yang melibatkan pornografi," katanya kepada pemberita selepas melancarkan buku biografi 'Zubir Said The Composer of Majulah Singapura' di Kuala Lumpur semalam. Rais berkata walau bagaimana mana moden sekalipun rakyat pada masa kini, soal pornografi di internet dan budaya untuk mempopularkan pornografi sama ada secara langsung atau tidak adalah tidak wajar diberi tekanan dan digalakkan. "Sama ada dapat disiarkan atau tidak itu bukan saya untuk tentukan, SKMM akan lihat dan saya akan ambil laporannya," katanya. Alvin Tan Jye Yee, rakyat Malaysia yang mengambil jurusan undang-undang di Universiti Nasional Singapura dan teman wanitanya Vivian Lee mendapat perhatian ramai apabila mereka mempamerkan bahan lucah serta memasukkan gambar dan video aksi seks mereka di blog. Stesen radio Red FM dan Capital FM yang menemubual pasangan itu bagaimanapun gagal menyiarkan rakaman temubual tersebut yang sepatutnya ke udara pada slot 2 petang semalam kerana tidak mendapat keizinan daripada SKMM. Mengenai lagu 'Harapan Bangsa' nyanyian penyanyi terkenal Jaclyn Victor yang dikatakan menyentuh sensitiviti umat Islam di negara ini, Rais berkata kementerian akan menyiasat dan meneliti lirik lagu tersebut. "Kita siasat dan jangan tiba-tiba ambil tindakan. Kadangkala sebutan itu mengandungi pengertian mendalam, kami boleh buat kajian itu dan akan laksanakan tuntutan orang ramai sekiranya diperlukan," katanya.- Bernama | ||
Sidang media ‘bekas KPN’ di Bangkok dibatalkan Posted: 21 Oct 2012 10:28 PM PDT Semalam The Malaysian Insider melaporkan, Musa Hassan (gambar) telah menafikan dakwaan bahawa beliau akan bercakap kepada wartawan di Bangkok tentang kes pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu dan merasa hairan dengan spekulasi tentang aktivitinya. "Saya terperanjat apabila mendengar berita ini. Saya tahu tentang ini pun apabila ada wartawan menghubungi saya. Mana ada, saya masih di sini (Malaysia)," kata Musa kepada The Malaysian Insider. Acara tersebut bertajuk "Pendedahan baru dalam pembunuhan Altantuya" dijadualkan pada pukul 11 pagi waktu Bangkok diadakan selepas enam tahun selepas gadis tersebut diletupkan dengan bahan letupan oleh dua orang anggota pengiring keselamatan Malaysia di Shah Alam. Kedua-dua anggota polis tersebut telah didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman akan tetapi kedua-duanya telah merayu hukuman mati yang dijatuhkan. "Saya tak faham mengapa semenjak dua menjak ni saya sering menjadi sasaran pelbagai spekulasi. "Saya harap pihak-pihak tidak bertanggungjawab ini berhenti menganggu saya," tambah bekas ketua polis yang bersara pada tahun 2010 selepas kontraknya tamat. Secara kebetulan, kedua-dua anggota Unit Tindakan Khas (UTK) yang dijatuhkan hukuman mati itu akan didengar rayuannya pada 31 Oktober dan 1 November. Inspektor Azilah Hadri, 34, dan Koperal Sirul Azhar, 39, dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 9 April 2009, setelah didapati bersalah membunuh Altantuya di Mukim Bukit Raja antara 9.45 malam 18 Oktober 2006 dan 9.45 malam hari berikutnya. Penganalisis Abdul Razak Baginda, 50 yang turut didakwa bersama kedua-dua anggota UTK itu dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 31 Oktober dengan alasan tiada prima facie terhadapnya. | ||
Penjenayah larikan RM180,000 wang ATM melalui lubang sampah Posted: 21 Oct 2012 10:23 PM PDT THE MALAYSIAN INSIDER KUALA LUMPUR— Sekumpulan penjenayah melarikan wang RM180,000 setelah memecah masuk ke ruang mesin pengeluaran wang automatik (ATM) Agro Bank melalui laluan sampah di Dataran Sunway, Kota Damansara di sini, awal hari ini. Jurucakap polis berkata kejadian dipercayai berlaku antara 3 hingga 5 pagi dengan penjenayah memecah masuk melalui lubang sampah untuk mengelak dikesan alat rakaman dan sistem penggera sebelum mengumpil mesin ATM tersebut. Pengawal bertugas tidak menyedari kejadian itu dan ia hanya disedari apabila kakitangan bank mendapati mesin berkenaan dipecahkan sebelum memaklumkan kepada polis, kata jurucakap polis. Katanya, anggota polis bahagian forensik menjalankan siasatan di tempat kejadian. — Bernama | ||
Masyarakat Cina sertai dialog Negara Berkebajikan PAS Posted: 21 Oct 2012 10:15 PM PDT
KLUANG: PAS Johor buat kali keduanya mengadakan majlis dialog dengan masyarakat Cina di negeri ini yang dibuat melalui Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP). Lebih 50 peserta yang terdiri dari kalangan orang Cina di bandar ini menyertai majlis dialog itu. Dengan diketuai oleh Pesuruhajaya PAS Johor, Dr Mahfodz Mohamad, PAS secara berterus terang dan bersemuka dengan masyarakat Cina bagi menerangkan dasarnya. "Ini kali kedua kita bua majlis sebegini selepas kita adakan di Johor Bharu sebelum ini untuk zon selatan," kata Dr Mahfodz ketika memberikan ucapan aluan-aluannya di majlis yang dinamakan Dialog PAS dan Negara Kebajikan itu. Beliau berkata, PAS Johor akan mengadakan sekali lagi dialog sebegini untuk zon utara Johor pula. Dialog untuk memberikan kefahaman tentang perjuangan PAS ini diadakan di tengah-tengah pemimpin MCA melalui presidennya, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek semakin galak menyerang hukum Islam iaitu hudud. "Berbeza kita dengan Umno. Kita mahu semua rakan kita memahami perjuangan yang dibawa oleh PAS agar tidak berlaku salah faham," kata Dr Mahfodz. Selain Dr Mahfodz, AJK PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad yang merupakan salah seorang yang terlibat dalam membuat draf konsep Negara Berkebajikan PAS turut serta di majlis ini. Pemimpin DHPP termasuk ketuanya, Hu Pang Chaw, Ketua Pemuda PAS Johor, Suhaizan Kaiat dan Yang Dipertua PAS Kluang, Khairul Faizi turut serta dalam majlis dialog ini. |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan