. |
- Mengenali dan Mencari Calon Parlimen Kelantan
- Pendirian Pemimpin Perkasa(m) Tidak Sekata
- Lebih Baik Kata Masuk Arab Dari Masuk Melayu
Mengenali dan Mencari Calon Parlimen Kelantan Posted: 22 Oct 2012 02:13 AM PDT ANALISA POLITIK Sekiranya Pas dan PKR Kelantan kekal dengan status quo dalam pembahagian kerusi pada pilihan raya akan datang, ini bermakna Pas akan memperolehi 41 daripada 45 kerusi Dewan Undangan Negeri dan 11 daripada 14 kerusi parlimen. Selebih dari kerusi itu adalah diperuntukan kepada PKR. Dalam catatan ini saya tidak mahu mengulas mengenai kedudukan kerusi Dun, tetapi akan cuba memberi fokus kepada kerusi parlimen terlebih dahulu. Status quo hari ini adalah berdasarkan pencapaian pada pilihan raya umum ke-12 lalu.
Dalam pilihan raya lalu dari 11 kerusi parlimen ditandingi Pas, sembilan kerusi menang. Kerusi-kerusi yang dimenangi Pas ialah, Tumpat, Rantau Panjang, Pasir Mas, Kota Bharu, Pengkalan Chepa, Bachok, Pasir Puteh, Kubang Kerian dan Kuala Krai. PKR diperuntukan tiga kerusi parlimen menang disemua kerusi. Kerusi-kerusi itu ialah Ketereh, Machang dan Tanah Merah. Menerusi catatan atau analisa kecil ini saya tidak akan mengheret sama PKR kerana saya mengira PKR sudah pun membuat keputusan dan keputusan itu tepat untuk menyelamatkan kerusi-kerusi tersebut? Tampaknya PKR konfident benar parti itu akan menang dengan majoriti besar dalam pilihan raya akan datang. Untuk rekod ketiga-tiga kerusi parlimen dimenangi PKR itu dengan majoriti di bawah 2,000 undi. Kerusi Tanah Merah menang dengan 1,548 undi, Machang 1,450 dan Ketereh dengan majoriti 400 undi, majoriti paling kecil. Dua kerusi lagi iaitu Gua Musang dan Jeli adalah milik Umno di mana kedudukan dan pencapaian kedua-dua wakil rakyat itu menjadikan kedua kerusi itu sebagai benih buat UBN di Kelantan. Jeli diwakili "hougun siou" Mustapa Mohamed manakala Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah. Saya juga yakin mereka akan dikekalkan di kerusi berkenaan pada pilhan raya akan datang, dengan tambahan kerusi state untuk Mustapa sekiranya disaat-saat akhir Umno Kelantan membuat perhitungan mereka akan mampu menumbangkan kerajaan Pas, Mustapa akan diminta bertanding di state di samping kerusi parlimen Jeli. Perletakkan Mustapa di state pastinya di kerusi Air Lanas membolehkan Mustapa dilantik menjadi Menteri Besar bagi mengganti Tokguru Nik Aziz. Mustapa pernah menang dikerusi itu tahun 2004. Mengenai Mustapa dan Umno kita tinggal dulu, akan diulas dalam siri akan datang. Berbalik kepada mauduk asal tadi iaitu, mencari siapakan calon-calon sesuai untuk diletakkan di kerusi parlimen di pihak Pas, saya ingin mengatakan kepada Pas, kali ini parti itu perlu berhati-hati dan bijak memilih calonnya. Bagi saya calon kali ini bukan saja seseorang yang boleh membawa kemenangan demi memastikan Pakatan Rakyat cukup korum untuk memerintah Malaysia, tetapi yang boleh diharap atau dilantik menjadi pemimpin nasional. Ertinya yang mempunyai kualiti 'boleh menang' dan 'boleh menjadi pemimpin'. Calon parlimen kali ini mestilah berkualiti, bukan saja fizikal tetapi dari segi minda. Seorang yang beketrampilan dan profesional. Seorang yang mempunyai syakisah dan latar belakang pendidikan yang mampan. Calon yang hendak diletakkan nanti bukan lagi bertaraf cikgu pencen, askar pencen, atau pegawai kerajaan pencen secara opsyen, atau pun ustaz berserban bersar dan berjanggut lebat, tetapi yang berciri-ciri yang disebutkan di atas tadi. Justeru kali ini Pas tidak boleh hanya mengira atau mengambil ciri-ciri calon atau watak yang boleh menang saja seperti diamalkan sebelum ini, tetapi biarlah yang ada wawasan dan kaliber. Ciri-ciri dan watak calon parlimen hendaklah berbeza dengan calon di peringkat Adun kecuali yang dikenal pasti untuk menjadi anggota mesyuarat kerajaan (Exco), mereka sewajarnya mempunyai kualiti setanding dengan calon parlimen. Mereka yang berperwatakan kampung, berperangai macam pegawai kerajaan pencen, berfikiran jumud, tidak memiliki sebarang ketrampilan (kelulusan iktisad) dan hanya tahu membaca Qur'an dan Hadith saja, atau tukang-tukang lawak dengan kisah Abu Nawas dan hikayat 1,001 malam, yang tidak tahu bagaimana menterjemah falsafah dan ajarannya dieksploit didalam kehidupan juga tidak penting. Keutamaan yang perlu ditekankan kepada latar belakang pendidikan, profesinolisme, konteks dan hubungannya serta jalinan (net working) kepimpinannya luas. Saya menerima pandangan bekas MP Rantau Panjang Abdul Fatah Haron yang pernah mencadangkan agar calon parlimen dipilih dari mereka yang ada ijazah. Apa dimaksudkan Abdul Fatah itu ialah seseorang yang luas pengetahuan dan memiliki beberapa kebolehan profesional, penuh dengan ilmu untuk berdebat dan berhujah di parlimen. Beliau pernah menjadi anggota Parlimen mungkin beliau tahu susah senang ataupun kekoknya menjadi ahli parlimen yang tidak mempunyai kelulusan apabala sesekali ingin mengambil bahagian atau disuruh oleh whip parti untuk membentang apa-apa usul di parlimen. Fatah adalah antara wakil rakyat yang tidak memiliki ijazah. Saya ingin perluas dan memantapkan lagi apa yang disarankan Fatah, bukan saja setakat ada ijazah pertama, tetapi kalau boleh biarlah calon-calon yang hendak dikemukakan memiliki ijazah di peringkat master dan Phd. Sejajar itu ada track record dalam pengurusan kewangan, pentadbiran dan oraganisasi massa peringkat nasional. Atau sekurang-kurangnya calon perlu seorang yang rajin dan faham dunia politik dan tanggungjawabnya. Di samping itu yang memiliki ilmu agama yang mantap. Khabarnya ada beberapa kerusi yang bakal menerima calon baru. Jadi eloklah kalau calon-calon baru itu diambil berdasarkan kriteria yang disebut di atas tadi. Kerusi-kerusi yang akan mengalami pertukaran ialah Pengkalan Chepa, Bachok, Pasir Puteh, Kubang Kerian, Kota Bharu dan Pasir Mas. Seakan sudah pasti kerusi-kerusi ini tidak lagi diwakilkan oleh wakil yang ada sekarang. Abdul Halim Abdul Rahman yang mewakili Pengkalan Chepa tidak lagi akan dikekalkan dan muka baru akan diletakkan di situ. Begitu juga dengan Bachok yang diwakili Nasharudin Mat Isa akan diganti dengan calon baru. Kerusi Pasir Puteh yang diwakili Muhamamd Hussein juga akan turut sama diganti dengan muka baru. Kubang Kerian yang ditinggalkan Sallahuddin Ayub yang tugas untuk menggempur Johor bagi mengubah lanskap politik negeri itu akan diganti dengan muka baru. Begitu juga dengan kerusi Kota Bharu, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah tidak lagi akan diturunkan semula. Sebenarnya alasan atau sebab untuk Wan Rahim digugurkan tidak berapa tepat. Alasan beliau sendiri yang beliau sudah tua tidak merupakan alasan konkrit. Sebab dalam dunia politik tidak ada istilah tua bahkan dalam politik tradisional makin tua makin berminyak. Manakala kerusi Pasir Mas yang sebelum ini Pas pinjamkan kepada seorang manusia jalang juga akan mendapat calon baru. Manakala kedudukan atau perkembangan di kerusi-kerusi Tumpat diwakil Kamaruddin Jaaffar, Kuala Krai di wakil Dr Mohd Hatta Ramli dan kerusi Rantau Panjang diwakil Siti Zailah Yusuf tidak ada kedengaran ianya akan mengalami perubahan. Kecuali kerusi Rantau Panjang ada perhitungan dan perkiraan untuk mengubah Zailah ke kerusi Dun Gual Periok. Kalau ini berlaku pertukaran itu maka kekosongan ditinggalkan Zailah perlu difikirkan, bererti Rantau Panjang juga akan mempunyai bakal wakil rakyat baru. Untuk kerusi Jeli dan Gua Musang sehingga ini Pas tidak belum memutuskan sama ada calon lama, Mohd Apandi Mohmad (Jeli) dan Dr Zulkefli Mohamed (Gua Musang) dikekalkan atau tidak. Atau pun ada plan kontingensi di kedua-dua kerusi berkenaan? [wm.kl.11:08 am 20/10/12] Bersambung di bahagian ke dua. | ||||
Pendirian Pemimpin Perkasa(m) Tidak Sekata Posted: 21 Oct 2012 07:22 PM PDT ULASAN ISU Ding dingggg... apa sudah jadi dengan Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) – saya panggil Perkasa(m), nampaknya Ngo 'bercongik ekor' dalam mempertahanakan bangsa Melayu kini berada dalam keadaan tidak selari dan sukar untuk difahami. Kononnya pertubuhan ini diwujudkan untuk menjaga kepentingan Melayu, Islam dan raja-raja Melayu tetapi ada ketikanya ia melencong jauh dari apa yang dimatlamatkan. Tindakan tanduk dan akhlak sesetengah ahlinya tidak mempamirkan sifatnya yang sebenar apabila sesetengah tindakannya tidak mencerminkan ianya dari sebuah kumpulan Melayu. Bahkan sesetengah tindakan dan kata bual pemimpinnya busuk dan cabuk. Ada juga ahli yang bertindak 'menyerang' orang sedang berceramah dalam masjid? Begitulah kalau sesuatu itu digerakkan dengan niat dan nawaitu yang tidak betul ia tidak boleh bertahan lama. Kebusukan itu boleh ditusuk beberapa hari tetapi bukan untuk seminggu apa lagi sebulan! Apa lagi kalau sesuatu perjuangan itu cuba digerakan oleh kehendak naluri seorang manusia saja ia akan hancur dan musnah akhirnya. Tidak ada mana-mana gagasan besar dan hebat di dunia ini dapat dibangunkan oleh seorang manusia. Kerja paling baik untuk dilakukan secara bersendirian ialah berkhayal. Akhir-akhir ini pula nampak semacam wujud ketidakselarian di antara orang-orang besarnya. Paling jelas ialah bagaiman Presidennya, Inche Ibrahim Ali tidak sekata dengan Setiausaha Agungnya Syed Hassan Syed Ali dalam isu-isu tertentu. Perkara paling jelas ialah mengenai isu penghinaan hudud oleh Presiden MCA Chua Soi Lek. Dalam memberi reaksi kepada kenyataan Soi Lek, Syed Hassan membayangkan pertubuhan itu tidak bersedia untuk mengundi calon MCA walaupun konsesus telah diambil Ngo itu akan menyokong BN. Dalam kenyataanya kepada sebuah portal internet Syed Hassan menegaskan: Pertubuhan itu tidak akan berkompromi dengan sesiapa dalam masalah Islam. Beliau lantas membayangkan haram bagi ahli Perkasa(m) mengundi calon MCA. Pendirian Syed Hasan dalam soal ini jelas dan ia mencerminkan aspirasi sebenar pertubuhan itu sebagai pembela Melayu. Katanya seperti mana dipetik; "Soal Islam, tiada kompromi daripada PERKASA. Haram umat Islam dalam PERKASA memilih pihak yang menghina Islam," kata Syed Hassan. "Sudah berkali-kali PERKASA ingatkan MCA supaya jangan hina Islam dan mana-mana pihak pun jangan sesekali politikan Islam. (Presiden MCA) Dr Soi Lek masih ada masa untuk tarik balik kenyataannya itu sebelum terlambat. Mengenai cara Soi Lek yang bermain politik itu tidak disenang pertubuhan itu dan jika mengikut nada kenyataan Syed Hassan itu sekiranya Soi Lek tidak memohon maaf menyebabkan pertubuhan itu akan memulau MCA di dalam pilihan raya akan datang. Bagaiamanapun pendirian dan ketegasan Syed Hassan itu seperti ditolak oleh presidennya, Inchek Ibrahim Ali yang mempunyai pandangan apologetik kepada permainan politik kotor dan bahaya Soi Lek. Ibrahim seperti mana dipetik mengatakan pertubuhan itu tetap akan menyokong MCA. "Justeru saya akan pastikan dan menyeru anggota Perkasa di peringkat akar umbi supaya memberi sokongan kepada calon BN termasuk calon MCA." Demikian ketetasan Ibrahim dipetik. Apakah erti dan makna dua kenyataan dari dua orang kuat Perkasa(m)? Kenyataan siapakah yang harus diikuti oleh ahli? Sikap tidak jelas dan kabur dari dua kenyataan itu menyebabkan ahli pertubuhan itu juga menjadi kabur. Satu masa mereka diminta menolak MCA dan di masa lain diminta menyokong MCA. Apakah Perkasa(m) mahu meletakkan ahli dan pengikutnya dalam kebingungan dan masing-masing akhirnya membuat keputusan sendiri? Sikap tidak jelas inilah juga menjadikan MCA akan jadi lebih besar kepala. Sudah tentu Soi Lek dan mana-mana pemimpin MCA akan mengguna pakai kenyataan dan pendirian Ibrahim itu bagi mempertahankan cacian dan penghinaan mereka terhadap Islam. Dengan jaminan Ibrahim itu selepas ini pemimpin MCA tidak gentar lagi untuk membuat kenyataan jauh lebih teruk dari sebelum ini kerana mereka sudah ada pembela dari Perkasa(m). Persoalannya apakah kekaburan dan ketidakselarian dalam membuat kenyataan dalam memberi respons bagi menterbiah pemimpin MCA ini menggambarkan pertubuhan itu kini juga dalam keadaan kabur dan sedang menghadapi perbalahan sesama sendiri? Hanya masa dan keadaan akan menentukannya. Yang jelas dan nyatanya sudah ramai pemimpin Perkasa(m) yang diawal penubuhan dulu sudah meninggalkan Ngo berkenaan. Masing-masing merasa tidak selesa dan tertipu dengan tindak tanduk presidennya yang suka memandu kenderaan itu mengikut kesukaannya tanpa mematuhi peraturan lalu lintas dan menuju ke destinasi yang sah. Jadi mana-mana ahli yang tidak buta huruf dan makrifah dengan perjuangan mengambil sikap mufarakahdan 'cau' dari Perkasa(m). [wm.kl.10:11 am 22/10/12] | ||||
Lebih Baik Kata Masuk Arab Dari Masuk Melayu Posted: 21 Oct 2012 06:52 PM PDT PANDANGAN Saya menerima beberapa respons terhadap catatan "Politik MCA surut ke belakang". Semua pengomen melahirkan rasa kecewa dan kesal dengan cara beberapa orang pemimpin MCA memainkan isu hudud kerana ia sebagai tidak relevan dan agak melampau. Dalam banyak-banyak komen yang dikirim menerusi email itu saya tertarik dengan komen Muhammad Adam Lee Abdullah. Beliau merupakan seorang saudara baru Islam yang berbangsa tionghua. Muhammad Adam ini juga seorang penjengok setia blog MT yang merupakan OKU hilang penglihatan. Atas kerajinan dan idea serta pandangan bernas beliau saya mengucapkan berbanyak terima kasih semoga sdr terus memberi respons dan pandangan tersendiri. Berikut adalah komen beliau: Assalamu'alaikum. Alhamdulillah, suatu analisa berfakta yang tak perlu dipertikai, khasnya saudara-saudara seagama Melayu Islam, dan masyarakat saya sendiri (Cina). Sebab itulah juga masih kedapatan sesetengah orang Cina kita di sini akan secara jahil menuduh kita "masuk Melayu" bila kita memeluk Islam. Saya sendiri telah diuji untuk memberikan kefahaman kepada emak saya dalam hal ini ketika saya mula-mula memeluk Islam; lantas, antara lain, saya menyatakan, kalau begitulah yang nak dimaksudkan (masuk Melayu), baik kita kata masuk Arab aja, sebab segala bacaan dalam solat sehingga ke awal dan akhir doa, menggunakan bahasa Arab belaka, kan? Itu baru isu simple; belum lagi isu seperti yang kini lantang dikritik para politikus MCA yang dah makin hilang arah ni, serta didiamkan membatu trillionan bahasa oleh UMNO bangang syaitan ni, kan? Malah, yang pelik bin ajaibnya, di kalangan ilmuan agama seperti Dr. Hasan Aqidah tu pun boleh diam cam tu ja ... So, nampak benar UMNO dan sekalian sekutunya yang kini jadi tandem basikal MCA, kan? Bukankah itu juga bukti benar janji-Nya yang antara lain: "Dan barangsiapa yang berpaling daripada peringatan-Ku, maka baginya kehidupan dunia yang sempit, dan Kami (Allah) akan menghimpunkannya pada hari qiamat berkeadaan buta!" ... Apapun, ini hanyalah sekilas pandangan saya yang juga masih perlu mengaji lebih banyak, dan sesungguhnya Allahlah Yang Maha Mengetahui. Terima kasih.
|
You are subscribed to email updates from . To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan