Isnin, 22 Oktober 2012

Blog-list Malaysia

Blog-list Malaysia


Angkara Chua Soi Lek, Umno Bakal Hancur..

Posted: 21 Oct 2012 09:26 AM PDT

Serangan melampau Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek terhadap PAS, hudud dan Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menimbulkan keresahan dalam Umno sehingga Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak tidak boleh berkata apa-apa dalam isu ini.

"Ramai dalam Umno merungut, siapakah yang benarkan Chua serang Nik Aziz. Orang Melayu di kampung terfikir bagaimana seorang ulama dan hukum hudud boleh dibiarkan dihina Chua yang pernah dirakam video seksnya.

Kalau orang lain, mungkin tak seteruk ini. Tapi Chua, habislah Umno kali ini," kata sumber dalaman Umno kepada Harakahdaily.



Kata beliau, walaupun Umno tidak menyukai Nik Aziz dan menyerangnya daripada sudut isu-isu di Kelantan dan kerjasama dengan DAP, akan tetapi Umno tidak pernah sesekali berani mengutuk peribadi beliau sebagai agamawan.

"MCA dakwa Nik Aziz galakkan rogol. Melayu mana yang percaya? Tuduh Nik Aziz rasuah pun tak masuk, ini tuduh benda yang tidak berasas ini. Video yang dijadikan bukti tu, semua orang Melayu tonton pun faham Nik Aziz sedang mengajar Islam dan menjurus kepada kebaikan," kata sumber itu lagi.

Sumber itu turut mempersoalkan taktik yang digunakan MCA dan Umno untuk meningkatkan undi bukan Islam.

"Undi bukan Islam dah hilang. MCA berkata apapun tiada guna. Tapi sekarang MCA sedang menghalau undi Melayu kepada PAS. Orang Umno seperti saya pun terasa tidak tergamak untuk mengundi MCA, malah terasa kesian kat PAS.

"Macam mana orang Melayu boleh membiarkan orang Cina yang moralnya tercalar seperti Chua untuk menyerang seorang ulama bertaraf Nik Aziz tanpa berkata apa-apa. Betullah, hanya syaitan yang dikenali yang sanggup membiarkan keadaan sedemikian berlaku," tambah beliau.

Ketika ditanya mengenai tarikh PRU13, sumber dalaman itu memberitahu Harakahdaily, Pakatan Rakyat kini di depan dengan simple majority seperti yang dikatakan Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli.

"Tapi selepas bom Chua dan MCA, Najib rasanya terpaksa saja meneruskan lakonan ini dan bertukar serangan kepada DAP. MCA serang PAS tak akan diberi liputan di berita bahasa Melayu, Umno pula serang DAP tidak diliputi di berita bahasa Cina. Perang di Facebook dan internet rasanya boleh diucapkan selamat tinggal," kata beliau.

Harakah



Tiga syarikat kroni dapat kontrak minyak RM2.45 bilion – Anwar

Posted: 21 Oct 2012 08:09 AM PDT

PULAU PINANG: Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan pemberian kontrak bernilai RM2.45 bilion bagi membina pelantar minyak kepada tiga syarikat dipercayai milik kroni Umno Barisan Nasional (BN).

Ketua Umum KEADILAN itu tidak menolak kemungkinan tiga syarikat itu dikhuatiri berperanan menyalur sebahagian keuntungan kepada Umno BN menjelang pilihan raya umum akan datang.

"Saya mahukan wang itu dikembalikan kepada rakyat. Barulah kita mengangkat martabat serta taraf hidup rakyat. Saya nak jadikan Malaysia negara model, negara contoh apabila kita memerintah," katanya.



Kira-kira 10,000 penduduk setempat mengikuti ceramah Anwar di Padang Awam, Taman Semilang, Seberang Jaya, malam tadi.

Beliau memberi penerangan berkenaan beberapa isu semasa dalam negara kepada penduduk di Pulau Pinang diselang-seli 'usikan' kepada pemimpin Umno Barisan Nasional (BN).

Awal Februari ini, Petronas mengumumkan pemberian kontrak Perkhidmatan Risiko (RSC) kepada Petrofac Energy Developments Sdn Bhd (Petrofac), Kencana Energy Sdn Bhd (Kencana Energy) dan Sapura Energy Ventures Sdn Bhd (Sapura Energy).

Sapura Energy, anak syarikat SapuraCrest Petroleum Bhd (SapuraCrest) dianugerah kontrak untuk membangunkan pelantar minyak dan gas berantai yang dianggar bernilai AS$800 juta (RM2.45 bilion) di persisiran pantai Semenanjung.

Kontrak itu ialah yang pertama dianugerah Petronas mengikut perjanjian minyak baru di Malaysia.

Mengikut perjanjian RSC, Petrofac yang memiliki 50 peratus pegangan ekuiti RSC akan mengendalikan operasi membangunkan pelantar terbabit manakala dua syarikat lain iaitu Kencana Energy dan Sapura Energy, masing-masing memegang 25 peratus kepentingan ekuiti.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Kencana adalah Datuk Mokhzani Mahathir, anak bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang baru-baru ini dinamakan sebagai antara individu terkaya di Malaysia dengan harta peribadi bernilai RM1.075 bilion.

Turut tersenarai dalam 40 individu terkaya di Malaysia yang dikeluarkan majalah Malaysian Business itu, adalah Pengerusi CIMB Group, Datuk Seri Nazir Razak, adik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Dalam ceramah itu, Ketua Pembangkang itu mengulangi komitmen Pakatan Rakyat untuk menunaikan janji Buku Jingga kepada rakyat termasuk mengurangkan harga minyak serta merta apabila mentadbir Putrajaya.

Beliau juga memberi jaminan terhadap Datuk Seri Najib Razak selaku Pengerusi BN Umno pula, tidak akan ditindas mahupun dipenjarakan seperti amalan parti pemerintah itu terhadap pimpinan pembangkang.

"Saya mahu hantar Najib jadi duta besar Malaysia ke Mongolia," kata Anwar disambut sorakan meriah dan tepukan gemuruh daripada hadirin.

Anwar juga mendedahkan gelagat Datuk Seri S Samy Vellu ketika beliau masih Timbalan Perdana Menteri, betapa Menteri Kerja Raya itu sentiasa mendesaknya menaik tol.

"September 1998, saya dipenjarakan, Oktober tol naik. Tak lama lagi, mungkin menteri berkenaan dianugerah Tun, Tun Tol," kata Anwar disambut sorakan hadirin.

Kecelaruan Fitnah II

Anwar turut menyentuh kecelaruan pihak pendakwa raya dalam perbicaraan kes Fitnah II yang sedang berlangsung antara 14 Februari lalu hingga 25 Mac depan.

"Pendakwa sekarang bercelaru dengan bukti mereka sendiri. Pertama, muka surat laporan lain. Yang dia bagi saya dengan yang ada pada mereka, tak sama.

"Kedua, bukti tambahan. Mula-mula dalam laporan, bukti ditanda sampai B11. Tiba-tiba hari bicara, jadi B12 pula," kata Anwar.

Beliau yakin kecelaruan itu adalah berkat doa rakyat yang menolak fitnah jahat pemimpin Umno BN kepadanya.

'Ahli Parlimen BN tak perlu pandai'

Dalam nada seloroh, Anwar mengulas pertemuan Najib dengan Ahli Parlimen BN baru-baru ini.

Katanya, Najib memperuntuk masa tiga minit setiap seorang untuk sekadar memastikan mereka menyebut 'setuju' atau 'tidak' sahaja atas hal diusul Perdana Menteri itu.

"Kerja Ahli Parlimen BN tak payah pandai sangat, cuma kena pandai cakap 'setuju'.

"Sebab itu bincang dengan Ahli Parlimen tiga minit, cuma kena tengok pandai sebut setuju atau tidak sahaja," kata Anwar disambut hilai tawa daripada hadirin.

Ceramah Anwar berlangsung selama lebih sejam tamat menjelang pukul 12 malam. Sebaik tamat ceramah itu, hadirin berpusu-pusu berebut bersalaman dengan Anwar.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=7209



DAP bidas Soi Lek manipulasi isu hudud

Posted: 21 Oct 2012 04:58 AM PDT

SHAH ALAM - Ketua Pemuda Sosialis DAP, Anthony Loke membidas Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, yang didakwa menyifatkan "kalau pilih UBAH maksudnya pilih untuk hudud" sebagai kenyataan keterlaluan.

Loke ketika dihubungi Sinar Harian Online berkata, "MCA kini sekarang terpaksa menggunakan pembohongan untuk meraih undi" di kalangan masyarakat Tionghoa.

"Adalah tidak benar dan tipu apabila kalau kita pilih UBAH, ia bermakna kita pilih untuk hudud. Tujuan beliau cakap ini dalam kempen mereka untuk burukkan Islam.



"Walaupun DAP tidak setuju hudud, tetapi kita tidak burukkan Islam. Hudud ialah perjuangan Pas dan kita DAP hormati," tambah beliau.

DAP, komponen Pakatan Rakyat (PR) menggunakan slogan UBAH sebagai bahan kempen menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13.

Soi Lek semalam meminta semua anggota parti itu supaya meningkatkan lagi publisiti dalam usaha menepis dakyah pembangkang.

Beliau berkata, usaha itu perlu diperhebatkan untuk mengelak rakyat daripada dikelirukan dengan dakwaan-dakwaan pembangkang.

Bercakap pada sidang media selepas taklimat tertutup bersama anggota MCA di Wisma MCA semalam, Soi Lek berkata, anggota parti itu juga perlu bijak menangkis janji pembangkang termasuk soal gaji minimum, penghapusan tol dan pelaksanaan hukum hudud yang disifatkannya hanya untuk memancing undi.

Beliau juga berkata, MCA turut menjelaskan isu hudud kepada masyarakat Cina untuk mengelak mereka daripada terus dimanipulasikan pembangkang.

"Ini bukan isu permainan politik, tetapi mungkin menjadi hakikat atau realiti jika mereka (pembangkang) menang (pilihan raya umum) dengan Pas menjadi teraju parti," katanya.



Najib Buat Lawak.. PR Akan Hancurkan Malaysia.. KahKahKah...

Posted: 21 Oct 2012 01:45 AM PDT

Najib: Tiada peluang tukar jika Pakatan hancurkan negara

Datuk Seri Najib Abdul Razak hari ini memberi amaran bahawa rakyat mungkin tidak akan berpeluang untuk menukar kerajaan semula kepada BN sekiranya Pakatan Rakyat gagal menjalankan tugas sebagai kerajaan persekutuan.

Katanya, negara boleh "hancur" dalam tempoh lima tahun sekiranya Pakatan mengambil alih pentadbiran negara.

"Boleh ke tidak mererka ambil risiko, bolehkah kita gadaikan masa depan kita? Ada juga orang kata tapa apa. Kalau tak betul nanti kita tukar balik.



"Jangan kata lima tahun, dalam setahun pun negara kita boleh rosak merudum. Hancur, tertiarap... Ekonomi boleh lumpuh, saham boleh jatuh," katanya dalam ucapan di perhimpunan agung MCA hari ini.

Najib mengambil contoh krisis kewangan yang melanda Malaysia pada 1997, dan menyalahkan menteri kewangan dan timbalan perdana menteri pada waktu itu Datuk Seri Anwar Ibrahim atas perkara itu.

"Siapa menteri kewangan masa itu? Siapa ambil langkah nak serah kepada IMF (International Monetary Fund) supaya pentadbiran negara, kedaulatan negara serah kepada IMF?," soalnya.

Soalan itu disambut dengan laungan "Anwar" daripada para hadirin.

"Kalau kita benarkan perkara itu berlaku hari ini, sesetengah taikor (pembesar) dalam dewan ini, barangkali pakai selipar getah, kaki ayam (sekarang)," katanya lagi.

Oleh itu, beliau menggessa MCA supaya mengingatkan rakyat Malaysia supaya memilik kerajaan yang mempunyai rekod perkhidmatan dan pengalaman.

Sementara itu menurut Bernama, Najib berkata orang Melayu sudah muak dengan DAP, mencabar parti pembangkang itu yang mendakwa sebagai parti pelbagai kaum untuk bertanding di kawasan Melayu.

"Jika DAP sebuah parti pelbagai kaum, saya cabar mereka bertanding di kawasan Melayu. Anda tahu orang Melayu sudah muak dengan DAP...semuanya karut," katanya.

Antara yang hadir ialah Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, Timbalan Presiden Datuk Seri Liow Tiong Lai, dua Naib Presiden Datuk Seri Dr Ng Yen Yen, Senator Datuk Donald Lim Siang Chai dan pemimpin parti komponen BBN (BN) termasuk Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Presiden MIC Datuk Seri G Palanivel dan Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Najib juga bersetuju dengan Presiden MCA bahawa pemimpin-pemimpin DAP kononnya mengutamakan pelbagai kaum tetapi pada hakikatnya tidak begitu.

"Bersikap demokratik...adakah mereka lebih demokratik daripada kami (BN). Jika anda mahu tahu, tanya Tunku Aziz (bekas naib pengerusi DAP kebangsaan Tunku Abdul Aziz Ibrahim), beliau akan beritahu anda," kata Najib sambil menegaskan mesej BN ialah perubahan sebenar dan kemajuan pesat sedang berlaku di Malaysia.

"Reformasi hanya sekadar satu slogan," katanya.

Najib berkata orang boleh mempersoalkan dasar-dasar dan keadilan kerajaan tetapi tidak harus mempersoalkan asas negara ini yang telah dibina berasaskan Perlembagaan.

Perdana Menteri berkata kerajaan telah membuat banyak keputusan yang berisiko politik hanya untuk memastikan ianya adil kepada semua rakyat di negara ini.

Atas asas itu, beliau berkata kerajaan tahu mengenai empat keperluan asas yang menjadi teras perjuangan masyarakat Cina di negara ini dan oleh yang demikian kerajaan sentiasa berusaha untuk memenuhi keperluan kumpulan itu, seboleh yang mungkin.

Keperluan itu termasuk mempunyai ekonomi yang stabil dan berdaya maju, negara yang adil dan saksama, tadbir urus baik dan pendidikan.

"Saya percaya orang Cina ada empat perkara yang dia hendak sangat...orang Cina hendak ekonomi, negara maju. Ekonomi negara kita antara yang terbaik di dunia pada masa ini. Ada pelawat luar negara kagum dengan Malaysia. Dia kata banyak kren di Malaysia dan semuanya sedang buat kerja.

"Ekonomi kita berjalan baik dan dan bajet kita yang mesra rakyat dan bertanggungjawab daripada segi fiskal. (Sebaliknya) Bajet PR, populis dan tidak bertanggungjawab daripada segi fiskal...banyak beza," katanya.

- Bernama



Tiada ulasan: