Selasa, 25 September 2012

WFAUZDIN.BLOGSPOT.COM

WFAUZDIN.BLOGSPOT.COM


US NASHA JANGAN KASI PAS HILANG SEMUA KERANA HANYA SATU BENDA

Posted: 25 Sep 2012 11:56 AM PDT

Oleh:  WFAUZDIN NS

TIADA yang pelik apabila berlaku pertikaman lidah di antara bekas Timbalan Presiden PAS, Us Nasha dengan KM P.Pinang dari DAP, Lim Guan Eng berkaitan Hukum Hudud.  Berpuluh tahun dulu lagi PAS memang sedar bahawa DAP menolak hukum Hudud, begitu juga sebaliknya DAP tahu benar bahawa PAS tidak akan sekali-kali meninggalkan Hukum Hudud di dalam dasar parti dan perjuangannya.

Habis, mengapa menjadi kalut sangat?  DAP ada pemimpin, PAS pun ada pemimpin, bahkan Pakatan Rakyat juga ada kepimpinannya.  Apa keputusan kepimpinan masing-masing?   Semua tahu bahawa Pakatan Rakyat yang telah dipersetujui bersama oleh semua pemimpin dari PAS, PKR dan DAP bahawa Pakatan Rakyat akan mengutamakan terlebih dahulu perjuangan yang selari dengan agama masing-masing seperti penghapusan rasuah, hak asasi, kebebasan media, kebebasan kehakiman, mutu pendidikan dan beberapa perkara lagi yang termaktub di dalam Buku Jingga itu. 

Apabila kesemuanya ini diperjuangkan dan diletakkan di dalam Buku Jingga sebagai perkara yang akan dilaksanakan jika PR memerintah, adakah kesemuanya itu bertentangan dengan hukum Islam atau menjadi kewajipan di dalam Islam untuk dilaksanakan?  Adakah di dalam Buku Jingga tidak disebut soal Hudud, maka kita boleh anggap perjuangan hukum Hudud bakal berakhir?  Jika itu sebagai andaian, maka banyak lagi yang tidak kita sebut dalam Buku Jingga yang mempunyai banyak kebaikan, adakah pasti ianya tidak akan dilaksanakan?

Lim Guan Eng hanya menyebut Hukum Hudud bukan agenda di dalam PR.  Tetapi apabila PAS sendiri menetapkan slogan Negara Berkebajikan, DAP amat bersetuju sekali.  Apakah sokongan DAP terhadap Negara Berkebajikan PAS itu tidak menggembirakan kita?  Di dalam banyak-banyak hukum di dalam Islam ini, hanya hukum Hudud sahaja yang DAP tidak setuju.  Itu pun menjadi masalahkah?  Tidakkah bodohnya kita, hanya kerana satu hukum ini sahaja yang DAP tidak setuju maka kita berbalah sehinggakan mungkin akan kehilangan rakan dalam perjuangan, sekaligus akan menghancurkan cita-cita kita untuk melaksanakan beribu-ribu lagi hukum yang wajib kita laksanakan?  Kita mahu hukum Hudud, tetapi kita bukan sahaja gagal mahu laksanakannya malahan kita gagal semua hukum yang lain yang wajib kita tegakkan.

Jika kita tidak memerintah negara, mustahil kita dapat hapuskan rasuah, penyelewengan, kurangkan perjudian, tingkatkan mutu pendidikan, membantu rakyat yang miskin dan banyak lagi perkara yang juga menjadi kewajipan kita untuk ditegakkan selain hukum Hudud.  Apabila kita berbalah hanya dengan satu isu hukum ini sahaja, kita bakal memberikan ruang kepada pihak musuh yang pastinya akan terus melakukan berbagai kezaliman dan kemungkaran.  Apakah kita sanggup melihat ini semua?

Sepatutnya kita merasa bertuah kerana DAP hanya menentang hukum Hudud sahaja sedangkan lain-lain ibadah kita DAP menyokong penuh bahkan DAP di P.Pinang banyak membantu meningkatkan Syiar Islam di negeri tersebut berbanding di zaman Bn.  Di sinilah kita akan diuji kebijaksanaan untuk mendahulukan yang mana lebih baik kerana tiada jaminan bahawa DAP akan kekal selama-lamanya akan menentang hukum Hudud.   Terbaru, kajian menunjukkan hampir 50 % kaum Cina bersetuju dengan Hukum Hudud, tidakkah ini memberikan gambaran bahawa perjuangan PAS semakin berjaya?

Buat Us Nasha, lebih baik serahkan kepada kebijaksanaan pimpinan di dalam PAS menangani isu ini.  Beliau hanya boleh bersuara atau menegur jika terbukti PAS sanggup membuang hukum Hudud dari dasar atau perjuangannya.  Selagi PAS komited dengan perjuangan yang asal, tidak perlulah Us Nasha ambil hati sangat dengan kata-kata DAP itu.  Biarlah isu ini ditangani dengan penuh hikmah dan bijaksana.  Di dalam 10 menu yang PAS sediakan untuk DAP makan, jika DAP hanya sudi makan sembilan daripadanya, itu sudah cukup baik bagi PAS dan satu menu lagi itu simpanlah dulu jangan dibuang.  Tiba masanya, menu yang satu lagi itu mungkin boleh dinikmati bersama./wfauzdin.blogspot.com

Tiada ulasan: