KUALA TERENGGANU - "Tiada peluang kedua untuk 'anai-anai' dan parasit dalam parti," tegas Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Ahmad Said.
Ahmad yang menganggap ahli Umno yang sabotaj parti sebagai anai-anai dan parasit berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas sekiranya wujud ahli yang sengaja menjatuhkan parti, demi kepentingan peribadi.
"Kadang kala setiap kali pilihan raya, memang ada yang sabotaj parti tapi jarang diambil tindakan, jadi saya harap kali ini, tindakan tegas dibuat kerana kita tidak mahu orang yang bertindak mengikut kepentingan diri sendiri.
"Di Terengganu, kita ada jumpa yang ambil tindakan sama tapi tiada tindakan tegas dibuat, jadi saya harap kali ini kita singkirkan sebagaimana saranan Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin," katanya ketika ditemui pada Majlis Mesra Aidilfitri TNB peringkat negeri di Jalan Bukit Kecil, di sini.
Sebelum ini, media melaporkan, Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan mana-mana ahli yang melakukan sabotaj terhadap calon parti pada PRU13, akan disingkirkan.
Muhyiddin menegaskan, keputusan itu wajar kerana kesalahan itu terlalu besar dan merupakan pengkhianatan kerana ia boleh mengakibatkan parti kalah.