Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar berkata pakatan pembangkang boleh membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berhubung isu monopoli dalam saluran pengeksportan sarang burung walit ke China.

Beliau berjanji tidak akan melindungi mana-mana pegawai yang melakukan kesalahan.

Bagaimanapun, katanya, sesiapa yang membuat laporan palsu boleh didakwa.

Noh berkata demikian selepas menerima memorandum daripada Pengerusi Gabungan Persatuan-Persatuan Perniagaan Sarang Burung Walit SeMalaysia Lim Lai Soon, yang diiringi Anggota Dewan Undangan Negeri Sekinchan DAP Ng Suee Lim, Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tanjung Karang Mohd Yahya Mat Sahri dan Ketua PKR Cabang Rembau Badrul Hisham Shaharin di Tanjong Karang.

Memorandum itu mendakwa terdapat monopoli dalam saluran pengeskportan sarang burung ke China dan syarat seperti penggunaan pengenalan frekuensi radio (RIFD) merupakan muslihat pegawai tertentu kementerian dengan sekumpulan peniaga sarang burung.

Noh turut membidas tindakan tiga pemimpin pembangkang yang didakwa cuba mempolitikkan isu itu sedangkan kerajaan berhempas pulas berunding dengan Beijing bagi mendapatkan kelulusan mengeksport.

Katanya, Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan beliau sendiri telah ke China dalam usaha mendapatkan kebenaran Beijing agar sarang burung dari Malaysia dibenar memasuki negara itu.

Beliau juga telah menulis surat kepada menteri berkaitan di China seperti yang dijanjikan ketika pertemuan dengan 22 wakil industri sarang burung yang berlangsung selama enam jam di Putrajaya pada 30 Ogos lepas.

Antara permintaan Malaysia ialah kerajaan China tidak menghadkan penggunaan RFID kepada sarang burung dari negara ini sebaliknya boleh juga menggunakan kaedah lain seperti kod bar dan kebenaran mengeksport sarang burung mentah serta belum dibersihkan.

Bagaimanapun, Noh berkata sesiapa sahaja boleh mendapat lesen mengeksport asalkan sarang burung mendapat pengesahan Jabatan Kesihatan dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

Beliau juga berkata cadangan penggunaan RIFD hanya untuk pengeksport bukan penternak burung walit, dan ini menunjukkan masih ada yang tidak faham berhubung isu ini walaupun pengumuman telah dibuat beberapa kali.- Bernama