Isnin, 27 Ogos 2012

WFAUZDIN.BLOGSPOT.COM

WFAUZDIN.BLOGSPOT.COM


MALAM INI (28 OGOS) YB NURUL IZZAH DI BALOK DAN MAHKOTA AMAN, KUANTAN

Posted: 27 Aug 2012 09:21 AM PDT

Oleh:  WFAUZDIN NS

KUNJUNGAN Ahli Parlimen Lembah Pantai yang juga Naib Presiden KEADILAN, YB Nurul Izzah ke Kuantan hari ini (28 Ogos 2012) pasti dinantikan oleh semua.  Bermula dengan Jamuan Hari Raya di Keratong 8, Rompin jam 2.00 petang, seterusnya ke Jamuan Teh di Peramu Jaya, Pekan jam 5.00 petang amat dinantikan setelah sebulan aktiviti politik dikurangkan sempena bulan Ramadhan yang lalu.

Kemuncak yang dinantikan oleh rakyat sekitar Kuantan adalah program ceramah oleh anak sulung DS Anwar Ibrahim ini di dua lokasi iaitu di Putra Balok dan juga di Taman Seri Mahkota Jaya, Batu 11, Kuantan.  Sebelum itu, beliau akan bersama penduduk Kuantan di dalam jamuan makan malam di Restoren Mexica, Kuantan jam 07.30 malam.


Sudah tentu banyak isu yang akan didedahkan oleh YB Nurul Izzah kepada rakyat Pahang.  Kajian sesetengah pihak yang menjangkakan bahawa Pahang tidak akan dapat ditawan oleh PR nampaknya menaikkan semangat PR di negeri ini untuk menggandakan usaha agar jangkaan mereka meleset samasekali.  KEADILAN Pahang bersama-sama rakan di dalam PR tidak pernah terpengaruh dengan kajian akademik tersebut.

Sebelum ini, kesemua pimpinan utama KEADILAN telah beberapa kali berkunjung ke Pahang termasuk kunjungan Ketua Umum sendiri yang kerap ke Pahang.  Bahkan, pada 31 Ogos ini DS Anwar Ibrahim akan ke Pahang untuk Program Jamuan Hari Raya di Benta pula.  Begitu juga beliau akan ke Lipis/Bentong untuk program yang sama.  YB Azmin Ali, Timbalan Presiden juga telah berkunjung ke Pahang sebelum ini.  Ini membuktikan Pahang tidak terkecuali dari sasaran PR untuk ditawan di dalam PRU akan datang.

Apa yang perlu kini adalah sokongan rakyat.  Rakyat Pahang harus bangkit untuk melakukan perubahan terutamanya rakyat yang berada di kawasan Felda yang semakin jelas merasakan mereka seringkali tertipu dan dipermainkan.  Amat malang sekali jika Pahang kembali ke tangan Bn angkara para peneroka yang masih tidak sedar bahawa mereka telah terpedaya dengan curahan wang ringgit sedangkan nasib dan masa hadapan jenerasi mereka tergadai.

Penduduk-penduduk di sekitar bandar dan luar kawasan felda kini telah berubah.  Hanya para peneroka sahaja akan menjadi penentu samada Pahang layak bertukar kerajaan.  Pahang tidak akan berubah kerajaan selagi rakyat buta maklumat yang sahih.  Justeru itu, marilah kita bersama-sama hadir di dalam setiap program ceramah anjuran PR bagi mendapatkan maklumat untuk kita fikirkan bersama./wfauzdin.blogspot.com

JIKA MENJADI PM, ANWAR TIDAK MENETAP DI PUTRAJAYA

Posted: 27 Aug 2012 01:19 AM PDT

Oleh:  WFAUZDIN NS

HAMPIR menjadi kenyataan, Anwar akan menjadi PM selepas PRU ke 13 tidak beberapa lama lagi.  Ini adalah melihat kepada perkembangan semasa yang amat menggalakkan, dan perkembangan baik ini boleh dilihat sewaktu kita menyambut Hari Raya Eidul Fitri baru-baru ini yang rata-rata balik ke kampong tidak lekang dari bercerita meluahkan rasa tidak sabar untuk melihat rejim Umno tumbang buat pertama kalinya di dalam sejarah negara.


Rakyat menanti tokoh ini memimpin negara

Anwar di dalam kenyataannya sewaktu Majlis Rumah Terbuka KEADILAN Bukit Gantang membuat pengakuan tidak akan menetap di Putrajaya sekiranya, InsyaAllah, beliau ditakdirkan menjadi PM bagi menggantikan PM yang penuh masalah iaitu Najib.  "Bil elektrik di tempat itu terlalu tinggi," kata Anwar.

Kita tidak hirau samada Anwar mahu menetap di Putrajaya atau tidak, asalkan bukan dari spesis Umno yang banyak mencekik darah rakyat.  Jika pemimpin yang adil dan tahu kesusahan rakyat, rakyat tidak menghiraukan pemimpin mereka mewah.  Contohnya di Brunei, rakyat tidak kisah penguasa mereka hidup mewah kerana rakyat mereka juga tidak susah dan melarat.

Persoalan rakyat sekarang bukan kerana pemimpin itu kaya atau hidup mewah, tetapi persoalannya kemewahan mereka adalah dari hasil mencekik darah rakyat.  Duit rakyat dibaham untuk membela lembu, tetapi lembu tidak ada yang ada hanyalah kondo dan tanah menjadi milik mereka.  Pemimpin bermewah bersama isterinya membeli belah, semua kos ditanggung oleh rakyat, sedangkan rakyat umpama peminta sedekah mengharapkan BR1M dan terpaksa mengisi minyak yang rendah kualitinya kerana harga minyak yang terlalu mahal.  Di Brunei, rakyat setaraf dengan pemimpin menggunakan minyak berkualiti tinggi.  Di sana tiada minyak Ron 95.  Bagi kerajaan Brunei harta kekayaan negeri mesti dirasai oleh rakyat terlebih dahulu.

Sudah sampai masanya rakyat melakukan perubahan dan perubahan ini tidak lama untuk kita buat penilaian iaitu hanya lima tahun sahaja sebelum kita memikirkan samada kerajaan yang baru nanti patut dikekalkan atau tidak.  Kelemahan kita terutamanya orang-orang Melayu adalah takut untuk melakukan perubahan sebab itulah negara kita semakin mundur berbanding dengan negara luar yang sentiasa ingin melihat perubahan ke atas negara mereka.

Marilah kita beri peluang kepada Anwar untuk menggalas tanggungjawab sebagai PM setelah beliau berjaya buktikan kegemilangannya sewaktu beliau menjadi TPM dan Menteri Kewangan dahulu.  Sehingga kini, tiada satu rekod atau kes pun yang berjaya membuktikan Anwar dahulu seorang perasuah atau memiliki kekayaan yang hebat./wfauzdin.blogspot.com

Tiada ulasan: