Selasa, 7 Ogos 2012

Pahang Daily Online

Pahang Daily Online


Kerajaan Negeri 'Pulau Pinang' Akan Beri Insentif Bernilai RM100,000 Kepada Datuk Lee Chong Wei

Posted: 07 Aug 2012 12:50 AM PDT

PETALING JAYA, 7 Ogos - Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan memberi insentif sebanyak RM100,000 kepada jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei di atas kejayaannya menjadi rakyat Malaysia pertama memenangi dua pingat perak di Olimpik. Ketua Menterinya, Lim Guan Eng (foto) berkata, insentif tersebut turut diberikan bagi menghargai usaha gigih Chong Wei pada temasya empat tahun sekali itu dan sebagai galakan kepadanya untuk meraih pingat emas pada Sukan Olimpik 2016. Katanya, insentif itu akan diberikan menerusi program ganjaran Perbadanan Bekalan Air Holdings Bhd (PBA) untuk olahragawan Pulau Pinang yang bertaraf dunia. "Walaupun kecundang kepada Lin Dan dalam perlawanan akhir, beliau telah berusaha dengan gigih dan menimbulkan rasa bangga setiap rakyat Malaysia. "Negeri Pulau Pinang berasa bangga dengan kejayaan juara badminton dari Bukit Mertajam ini," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa. Pemain nombor dua dunia itu tewas kepada musuh ketatnya dari China, Lin Dan dengan pungutan mata 21-15,10-21 dan 19-21 dalam masa 79 minit. Dengan kekalahan itu, beliau memperoleh pingat perak kedua selepas kecundang kepada pemain sama dalam aksi akhir di temasya Beijing empat tahun lalu. Terdahulu, Chong Wei mara ke final selepas menundukkan pemain muda China, Chen Long 21-19, 21-11 pada aksi separuh akhir. Sementara itu, Guan Eng berkata, meskipun tewas, semangat perjuangan dan keupayaan pemain berusia 30 tahun itu memberi inspirasi dan menyatukan rakyat Malaysia sebagai satu bangsa, satu semangat dan satu jiwa. "Kerajaan Pulau Pinang akan memberi sokongan penuh kepada beliau untuk meraih pingat emas pada Sukan Olimpik 2016 dan membantu mempersiapkan pengganti yang layak," tambahnya.

[Datuk Lee Chong Wei memang layak untuk diberikan anugerah dan insentif tertinggi kerana beliau telah berjaya mengharumkan nama negara dipersada dunia. Orang mula mengenali Malaysia kerana kejayaan demi kejayaan yang beliau lakarkan dalam acara badminton itu sendiri sebenarnya. Justeru, tindakan Kerajaan Negeri Pulau Pinang memberikan insentif RM100,000 itu juga boleh menjadi pembakar semangat buat Chong Wei dan keluarganya selepas terlepasa ganjaran RM4 juta bila tewas kepada Lin Dan di perlawanan akhir badminton di Olimpik baru-baru ini].

Gagal Dapat "Emas" Di London, Chong Wei Belum Putuskan Aksinya Di Olimpik Rio De Janeiro 2016!

Posted: 06 Aug 2012 11:59 PM PDT

KUALA LUMPUR, 7 Ogos - Datuk Lee Chong Wei (foto) yang baru pulang dari Olimpik London selepas menggondol pingat perak acara badminton, belum memikirkan sama ada beliau akan beraksi di Olimpik Rio De Janeiro pada 2016. Menurut Chong Wei, beliau akan memberi tumpuan kepada sirkit kejohanan dunia lain, tetapi belum memikirkan untuk beraksi di satu lagi sukan Olimpik. Chong Wei ketika ditemui pemberita semasa tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur juga menyatakan rasa terharu dengan sambutan ratusan penyokong beliau yang melaung nama jaguh badminton negara itu.mDalam pada itu Chong Wei enggan mengulas ketika ditanya tindakan pemimpin pembangkang dari DAP, M. Manoharan yang memperlekeh semangat juang yang ditunjukkan oleh beliau. Sementara itu Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Nadzmi Mohd. Salleh mengakui adalah sukar untuk mencari pengganti Chong Wei pada masa ini untuk mewakili Malaysia ke sukan Olimpik pada 2016. Menurut beliau, BAM boleh melahirkan pemain badminton bertaraf dunia melalui rejim latihan tertentu, tetapi untuk menjadi jaguh yang mampu memenangi kejohanan dunia ia memerlukan bakat dan potensi atlet itu sendiri. Masalah itu, jelas beliau, bukan sahaja dihadapi oleh Malaysia, bahkan negara China dan Indonesia yang merupakan kuasa badminton dunia, yang tidak dapat mencari pengganti Lin Dan dan Taufik Hidayat. Sehubungan itu, ujar Nadzmi, beliau mahu persatuan peringkat negeri supaya lebih agresif mencari dan kenal pasti bakat-bakat baru dalam sukan badminton ini untuk diketengahkan.

Sementara itu, difahamkan lebih 1,000 peminat yang mengibarkan bendera dan melaungkan kata-kata sokongan setibanya Chong Wei ke tanah air hari ini. Ruang balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dipenuhi peminat dan penyokong yang tiba seawal 6 pagi dengan membawa sepanduk dan poster antaranya tertera 'LCW - National Hero' dan 'We Love You LCW'. Semasa menantikan ketibaan Chong Wei, mereka turut menyanyikan beberapa lagu patriotik seperti 'Negaraku' dan 'Barisan Kita' secara beramai-ramai. Suasana di balai ketibaan itu riuh apabila berita pesawat Malaysia Airlines MH02 yang membawa Chong Wei dari London dilapor mendarat pada kira-kira 7.30 pagi, dengan peminat mula melaung-laungkan nama beliau berulang kali. Sebaik sahaja Chong Wei melangkah ke balai ketibaan sejam kemudian, para peminat dan penyokong melaungkan slogan 'Malaysia Boleh' dan menyanyikan lagu 'Negaraku' dan 'Barisan Kita' serta melaungkan nama pemain badminton negara itu.


Penyokong kuat Lee Chong Wei ketika di London baru-baru ini iaitu ibunya
Khor Kim Choi serta juga Wong Mew Choo semasa di Plaza Hotel London

[Apapun, yang pasti Datuk Lee Chong Wee masih yang terbaik sebenarnya. Samada faktor usia akan menghalang beliau beraksi di Olimpik 2016 itu hanya beliau yang dapat menentukan potensi dirinya. Jika dilihat kepada semangat juang dan kekentalan permainannya ternyata Chong Wei masih dikelas tersendiri. Amat sukar untuk mencari ganti sehebat beliau walau pun kita ada bakat-bakat baru yang pernah beraksi di pentas dunia. Nama-nama mereka hilang begitu sahaja tanpa sebarang peningkatan dalam permainan masing-masing. Namun, Chong Wei terus keonsisten untuk unggul dalam sukan badminton. Soalnya, apakah kita mampu lahirkan lebih banyak lagi Lee Chong Wei selepas ini? Ia terus menjadi kemusykilan dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) perlu menggilap pemain sehebatnya sejak dari awal bangku sekolah lagi. Jika tidak kesinambungan perjuangan Chong Wei dalam sukan badminton pasti akan terus malap ditelan zaman. Apapun, syabas diucapkan kepada Datuk Lee Chong Wei].

Ramai Kecewa Kenyataan 'MP Paya Besar' Supaya PBT Saman Peniaga, Tidak Kibar Jalur Gemilang !!

Posted: 06 Aug 2012 05:15 PM PDT

KUANTAN, 7 Ogos - Orang ramai di sekitar bandar ini kecewa dan terkejut dengan kenyataan Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail (foto) agar Pihak berkuasa tempatan (PBT) disaran supaya mengambil tindakan tegas, termasuk menyaman mereka (peniaga) yang tidak mengibarkan Jalur Gemilang. Abdul Manan, dalam satu kenyataan beliau menyebut setiap premis perlu diwajibkan mengibarkan Jalur Gemilang kerana dengan kemerdekaan negara selama ini, mereka boleh mencari rezeki. Menurutnya, sudah tiba masanya rakyat negara ini mengukuhkan semangat patriotik mereka setelah mengecap keamanan dan keharmonian sejak lima dekad lalu. Katanya lagi, keuntungan yang mereka (peniaga) dapat selama ini disebabkan oleh keamanan negara. Beliau turut membayangkan kehidupan peniaga sebelum merdeka, mereka hidup dengan penuh kesusahan, begitu juga dengan penduduk pada waktu itu. Malah katanya, peniaga begitu sukar untuk mengembangkan perniagaan tak kala negara sedang dijajah, Namun selepas negara merdeka, peniaga ibarat cendawan tumbuh selepas hujan. Banyak rezeki yang mereka peroleh hingga ke hari ini. Beliau berkata demikian dalam satu program di Felda Bukit G0h baru-baru ini. Susulan kenyataan Abdul Manan itu maka ramai peniaga yang merungut dan mengeluh jika ia dilaksanakan. "Kibar bendera tidak termaktub dalam akta dan perlembagaan negara kita sejak awal kemerdekaan lagi. Malah, mana ada undang-undang yang membolehkan kerajaan menyaman mereka yang tidak kibarkan bendera. Maka itu, kenapa Ahli Parlimen terbabit tergamak keluarkan kenyataan memalukan demikian?. Apakah kerana dia gusar rakyat tidak lagi berbangga dengan Hari Kemerdekaan maka itu mahu dipaksa mereka supaya kibarkan Jalur Gemilang. Peraturan mana yang mahu dipakai?.....", keluh seorang peniaga.

[Kenyataan Ahli Parlimen Paya Besar ini sungguh memalukan dan beliau tidak sepatutnya bercakap demikian dalam sebuah negara demokrasi seperti Malaysia hari ini. Kibar bendera adalah hak mana-mana rakyat dan tidak ada paksaan bagi mereka yang mahu berbuat demikian. Abdul Manan sepatutnya tanya diri kenapa rakyat tidak mahu kibarkan Jalur Gemilang?. Semuanya kerana mereka sudah jemu dan bosan dengan kerajaan yang ada hari ini. Bagi mereka, kerajaan yang korup, amalkan rasuah dan penyelewengan tidak wajar diberi sanjungan, Apatah lagi kerajaan menjadikan tema BN " Janji Ditepati" sebagai slogan hari kebangsaan negara pada kali ini. Justeru itulah mereka malu untuk kibarkan Jalur Gemilang apatah lagi menyimpannya. Tidak perlulah sampai ada tindakan saman yang pasti boleh wujudkan perbalahan antara semua pihak nanti].

Isa Samad: Generasi Kedua Felda Akan Menerima Durian Runtuh "Selepas Hari Raya Aidil Fitri" Ini

Posted: 06 Aug 2012 04:30 PM PDT

KUALA LUMPUR, 6 Ogos - Generasi kedua peneroka Felda dijangka menerima 'durian runtuh' selepas sambutan Aidil Fitri ini, kata Pengerusi Kumpulan Felda Tan Sri Isa Samad (foto) hari ini. Bagaimanapun, katanya tarikh sebenar akan ditentukan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. "Kita tak ada masalah. PM akan tentukan bila, dan kita akan bayar kerana duitnya sudah sedia ada. "Ketika ini, kita (Felda) sedang menguruskan pemberian 'durian runtuh' fasa kedua untuk isteri peneroka. Lebih 50 peratus agihan yang bermula sejak minggu pertama Ramadan telah selesai dibuat kepada mereka yang layak," katanya pada sidang media sebelum majlis Meraikan Anak Yatim dan penerima sumbangan Ramadan anjuran Syarikat Kumpulan Felda di Dewan Perdana Felda di sini. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Felda Global Ventures Datuk Sabri Ahmad. Mengenai majlis meraikan anak yatim dan sumbangan Ramadan itu, Isa berkata program anjuran Yayasan Felda dengan kerjasama Syarikat Kumpulan Felda adalah antara tanggungjawab sosial korporat Felda. "Ini tanggungjawab sosial yang dijalankan selaras dengan program Kasih Felda yang dilancarkan oleh Perdana Menteri. Beliau meminta program kemasyarakatan disebar luas supaya lebih ramai masyarakat di negara ini dapat sedikit sebanyak khidmat daripada Felda, khususnya Yayasan Felda," katanya. Seramai 207 anak yatim dari lapan pertubuhan dan rumah anak yatim di Negeri Sembilan dan Melaka menerima sumbangan pakaian dan duit Raya. Selain itu, seramai 320 fakir miskin, warga emas, orang kurang upaya, dan 56 pesakit di Pusat Hemodialisis Felda turut menerima sumbangan Ramadan berupa duit raya dan juga hamper.

[Ramai yang berpendapat, pemberian bonus durian runtuh untuk generasi kedua Felda ini pasti akan mengundang lebih banyak musibah dari yang sebelumnya. Apa tidaknya, jika durian runtuh untuk isteri peneroka pun kecoh gara-gara ada peneroka yang berkahwin lebih dari satu, atau berkawin baru selepas isteri tua diceraikan. Kekecohan berlaku bila kedua-dua pihak datang ke pejabat Felda untuk menuntut bahagian masing-masing. Kini, bayangkan kedua-dua isteri mempunyai ramai anak dan sudah pastilah kesemua anak akan menuntut bayaran tersebut. Itu belum termasuk anak tiri dan sebagainya. Apapun, semua pihak diminta bersabar dan menghadapi dugaan ini dengan tabah. Pemberian durian runtuh kali ini harus ditangani sebaiknya supaya tiada kejadian tidak diingini berlaku].

Tiada ulasan: