Sabtu, 25 Ogos 2012

Pahang Daily Online

Pahang Daily Online


Bukit Koman: 'Ancaman Baru' Selepas Lynas, PAS Persoal Tindakan Bawa Masuk Pelaburan Berisiko

Posted: 24 Aug 2012 05:28 PM PDT

Kita semua tahu bagaimana Pahang, sebuah negeri yang terbesar di Semenanjung telah dikurniakan khazanah Alam Semulajadi yang luas sehingga sebahagian darinya dijadikan sumber rezeki kepada penduduknya malah hasil tanaman, ternakan malah sumber air dari negeri itu disalurkan pula ke negeri-negeri yang lain. Demikian ditegaskan oleh Zulkefly Mohamad Omar (foto) ialah AJK PAS Pusat dan Merangkap Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS Pusat dalam Harakahdaily semalam. "Kawasan tanahnya pula terlalu luas sehingga ada sahabat-sahabat saya dari PAS Negeri adakalanya mengeluh letih sehingga ada yang demam beberapa hari kerana terpaksa bergerak jauh menunaikan tanggungjawab masing-masing ke seluruh pelosok negeri. Di atas bantuan merekalah, pendedahan demi pendedahan jenayah Alam Sekitar di negeri itu dipaparkan buat pengetahuan umum. Saya dimaklumkan ada di antara petugas-petugas kita yang terdedah kepada ancaman keselamatan oleh pihak yang tertentu ketika proses mengumpulkan bukti jenayah itu. Inilah komitmen PAS untuk melindungi keselamatan, kesihatan dan pemuliharaan alam sekitar di negara ini sehingga sanggup meletakkan misi itu melebihi kepentingan diri dan keluarga", katanya. Ancaman sisa radioaktif Lynas di Gebeng Kuantan, pencemaran Sungai di Cameron Highlands, Bentong dan di Kuala Lipis, pembangunan dan penerokaan tanah tidak terkawal dilereng bukit di sekitar Cameron Highlands, pusat insinerator di Blue Valley, projek Hidroelektrik di Ulu Jelai, pembalakan haram, serta pencemaran Tasik Chini yang dijangka akan pupus menjelang tahun 2030 adalah sebahagian dari bukti jelas kerakusan pemerintah khususnya di negeri itu yang meratah sumber alam ini seolah-olah alam yang kita pinjam ini tidak perlu dipulang kembali seperti sediakala kepada anak kita.

Wajarkah Industri Berat Dan Berisiko Jadi Pilihan

Bukankah kita hanya meminjam? Tetapi kenapakah kerajaan negeri di bawah UMNO dan Barisan Nasional menjadikan semua itu Milik dan Hak Kekal mereka? Ketika semua lokasi yang saya sebutkan tadi sedang diratah oleh pihak tertentu, penduduk sebuah perkampungan di Bukit Koman Raub pula sedang berjuang selama lebih 3 tahun demi nyawa keluarga mereka dari ancaman bahan kimia Cyanide yang amat bertoksik itu malah dikatakan antara bahan kimia yang paling merbahaya di dunia ini dan pernah diberi gelaran 'agen pembunuh' ketika Perang Dunia Pertama dan Kedua. Tahukah anda bahawa rakyat terpaksa membayar dengan harga yang tinggi dan tanpa pengetahuan mereka akan bahaya sebenar yang wujud disekeliling kita? Kenapakah industri berat atau berisiko tinggi seperti ini sentiasa menjadi pilihan UMNO dan Barisan Nasional? Adakah kerana lebih tinggi risikonya, maka lebih besar pulangannya kepada negara atau adakah kerana besar pulangannya kepada kroni-kroni mereka?"Saya pernah menegur wakil MITI kerana tidak berhati-hati ketika menerima kemasukan industri berisiko tinggi seperti LYNAS kerana terlalu teruja untuk mencapai sasaran 'FDI' atau 'Foreign Direct Investment' negara. Tidak salah untuk menerima pelaburan luar asing tetapi biarlah keutamaan kepada keselamatan dan kesihatan penduduk diambil kira terlebih dahulu sebelum pelaburan luar asing itu diluluskan.Yang lebih mendukacitakan ialah tindakan memberi pengecualian cukai selama 12 tahun oleh Kerajaan Malaysia walaupun LYNAS menyatakan bahawa mereka memperolehi pendapatan 8 billion setahun", kata beliau. Bukankah banyak industri luar lain yang boleh dibawa masuk oleh MITI? Industri di mana Malaysia mahir dan berpengalaman di dalam menguruskannya. Tidak yakinkah kerajaan kita untuk capai sasaran FDI itu tanpa industri berisiko tinggi seperti itu.

[Bagi kerajaan, mungkin mereka ada sebab tertentu mengapa pelaburan berisiko tinggi ini dibawa masuk ke negara kita. Namun, dalam masa yang sama rakyat tidak mahu terus hidup dalam risiko. Mereka tidak mahu dijadikan "tikus makmal" untuk menjadi bahan ujikaji sesuatu projek berisiko yang boleh menjejaskan kesihatan dan masa depan anak cucu mereka. Sebab itulah mereka bangkit menentang seperti yang berlaku sekarang. Bagi mereka, daripada hidup didalam ketakutan akibat berhadapan dengan risiko yang bakal terjadi maka lebih baik mereka halang industri berkenaan beroperasi. Inilah hakikat yang sebenaranya. Namun, kerajaan tidak gemar semua itu, maka mereka pasti akan pertahankanya bermati-matian dengan berbagai alasan yang terkadang tidak boleh masuk dek akal oleh mereka yang berfikiran waras. Dek kerana itulah juga mereka sedaya upaya cuba menghalang. Baca seterusnya sini].

MB: Negeri Pahang Terus Terima Pelaburan Asing Di Sebalik 'Kekecohan' Kontroversi Kilang Lynas !

Posted: 24 Aug 2012 05:09 PM PDT

BENTONG, 24 Ogos - Negeri Pahang kini terus menerima pelaburan asing meskipun isu kilang Lynas di Gebeng, Kuantan masih dibangkitkan pembangkang, kata Menteri Besar Pahang Dato' Sri Adnan Yaakob (foto). Beliau berkata terbaru, pelabur dari negara China bersetuju melabur RM1 bilion bagi membina sebuah kilang dan membesarkan Pelabuhan Kuantan demi kepentingan perdagangan. Selain itu, katanya, negeri itu turut menerima pelaburan asing RM2 bilion setiap tahun yang membuka banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Pahang. "jJika benar pembinaan kilang Lynas itu bahaya, kenapa ramai pelabur luar terus berminat melabur di Kuantan, malah sebuah sekolah Cina persendirian akan dibina di Kuantan tidak lama lagi," katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri di Dewan Majlis Perbandaran Bentong di sini, malam Khamis. Adnan berkata, senario itu membuktikan bahawa pembinaan kilang Lynas itu tidak berbahaya dan sengaja dipolitikkan pakatan pembangkang menjelang pilihan raya umum, tidak lama lagi. Katanya, setakat ini beliau belum menerima laporan mengenai penjualan tanah atau rumah di kawasan Gebeng oleh penduduk setempat kerana bimbangkan operasi syarikat pemprosesan nadir bumi dari Australia itu, didakwa menghasilkan radiasi yang boleh memudaratkan kesihatan. Sebaliknya, Adnan berkata semakin ramai yang menemuinya bagi mendapatkan sokongan, peluang pekerjaan dan kontrak di kilang Lynas. Lynas memilih beroperasi di Malaysia kerana kos pengeluarannya lebih murah berbanding Australia sementara China telah memperketat eksport produk itu. Lynas Corporation juga telah memperoleh lesen untuk bina kilang di kedua-dua negara itu.

Tragedi: 'Warga Emas Serta Remaja' Maut Dalam Dua Kemalangan Berasingan Di Pahang Semalam

Posted: 24 Aug 2012 04:56 PM PDT

KUANTAN, 24 Ogos - Seorang wanita warga emas dan seorang pelajar tingkatan empat maut dalam dua kemalangan jalan raya di Pahang, Khamis. Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, Supt Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata dalam kejadian pertama di Km 45, Jalan Simpang Kerayong-Mayam, dekat Bera, Khadijah Tan, 60, mati selepas motosikal yang dibonceng melanggar seekor lembu. Kejadian berlaku pukul 3.20 petang ketika mangsa dalam perjalanan ke arah Jalan Kumai menuju ke Simpang Kerayong, katanya kepada pemberita, di sini Jumaat. Beliau berkata ketika tiba di tempat kejadian, seekor lembu tiba-tiba melintas jalan menyebabkan penunggang motosikal itu tidak sempat mengelak dan akibat rempuhan tersebut mangsa tercampak ke atas jalan. Mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian dada dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di klinik kesihatan, sementara penunggang pula hanya cedera ringan. Kemalangan kedua berlaku pukul 4 petang di Jalan Kuantan-Kemaman dekat Balok di sini, membabitkan sebuah motosikal dan kenderaan pacuan empat roda. Motosikal yang ditunggang Ahmad Raziman Ab. Razak, 16, dipercayai merempuh bahagian belakang kenderaan itu menyebabkan remaja berkenaan tercampak ke atas jalan mengalami cedera parah pada bahagian badan. Mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan. Mohamed Fauzi berkata siasatan awal polis mendapati mangsa tidak mempunyai lesen memandu yang sah.

Tiada ulasan: