Ahad, 19 Ogos 2012

Pahang Daily Online

Pahang Daily Online


Selamat Hari Raya Aidil Fitri Buat Semua Pembaca

Posted: 18 Aug 2012 09:48 AM PDT

Warga kerja Pahang Daily Online (PDO) mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri kepada semua pembaca yang beragama Islam. Semoga hari raya ini akan dapat memberi kekuatan kepada kita untuk terus mengeratkan lagi ukhwah dan persahabatan di alam siber ini. Kami juga menyusun sepuluh jari untuk memohon maaf kepada semua pihak seandainya ada artikel panas yang dikeluarkan di blog ini sejak mula ia dilancarkan telah menyinggung perasaan mana-mana pihak. PDO adalah sebuah portal bebas yang tidak terikat dengan mana-mana parti politik kepartian dan kami akan terus mengkritik dan menjadi penegur yang efiesyen pada masa akan datang. Ambillah teguran yang dibuat sebagai sempadan untuk kita sama-sama memperbaiki diri kita semua. Selamat Hari Raya Aidil Fitri. Admin

Posted: 18 Aug 2012 09:32 AM PDT

"Tengku Mahkota Pahang" Ingatkan Orang Islam Tidak "Cemari Institusi Masjid" Untuk Berpolitik !

Posted: 18 Aug 2012 08:41 AM PDT

TEMERLOH, 18 Ogos - Umat Islam diingatkan tidak menjadikan masjid sebagai tempat berpolitik, sebaliknya rumah ibadat itu perlu dimanfaatkan untuk beribadat serta berkumpul bagi meningkatkan perpaduan di kalangan ummah. Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah (foto) bertitah, sekiranya masjid yang tersergam indah itu disalahgunakan bagi tujuan kempen dan berpolitik ia akan menjejaskan kesucian rumah keagungan umat Islam tersebut. "Jika hendak berpolitik keluar dari masjid kerana masjid yang dibina itu perlu digunakan untuk beribadat dan menimba ilmu dunia dan akhirat sahaja," titah baginda. Tengku Abdullah bertitah demikian semasa merasmikan masjid baru Kampung Sanggang berharga RM450,000 yang dinamakan Masjid Saidina Abu Bakar As-Sidek, di sini baru-baru ini. Turut berangkat, Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. Sementara itu, Tengku Abdullah bertitah, keamanan adalah nikmat Allah SWT yang tidak ternilai harganya namun masih ada kelompok yang cenderung meruntuhkan tamadun negara yang sedang dibina. Titah baginda, pergolakan yang berlaku di Asia Barat perlu dijadikan iktibar berguna kepada rakyat negara ini terutamanya umat Islam apabila beberapa negara di rantau berkenaan kini dalam ambang kehancuran. Baginda bertitah, tragedi di negara berkenaan turut menyentuh perasaan hati saudara seagama di negara ini kerana secara langsung telah menjejaskan maruah dan imej agama Islam. "Beta sangat khuatir dan bimbang pergolakan sedemikian berlaku di negara ini jika rakyat berterusan tidak menghormati undang-undang serta melakukan apa juga aktiviti secara melampau.

"Sikap atau keegoan mana-mana individu atau kumpulan yang tidak menghormati keutuhan undang-undang dan rakus memecahbelahkan perpaduan antara satu sama lain perlu dihindari segera," titah baginda. Tengku Abdullah bertitah lagi, rakyat perlu mengekalkan hubungan dan perpaduan kerana segala kemewahan serta nikmat yang dikecapi itu adalah hasil kerjasama dan perpaduan semua kaum. Titah baginda, budaya bekerjasama dan saling menghormati antara satu sama lain itu memberi impak besar terhadap keupayaan dan kesejahteraan generasi akan datang.

Tragedi: 'Pelajar Tingkatan Lima' Maut, Manakala Adiknya Cedera Kemalangan Di K.Lipis Semalam !!

Posted: 17 Aug 2012 10:23 PM PDT

KUANTAN, 18 Ogos - Seorang pelajar Tingkatan Lima terbunuh manakala adiknya cedera selepas motosikal yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan dua lagi kenderaan di KM22, Jalan Lipis-Merapoh, dekat Kuala Lipis semalam. Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, Superitendan Mohamed Fauzi AbdulRahim berkata, dalam kemalangan kira-kira 10.45 pagi itu, Amir Shariff Suhaimi,17, mati di tempat kejadian manakala adiknya, Azwani Wan Shazarina, 13, hanya cedera ringan. Katanya, kejadian berlaku apabila motosikal yang dinaiki dua beradik itu dipercayai bergesel dengan sebuah lagi motosikal menyebabkannya terbabas ke laluan bertentangan dan dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda. Pemandu kenderaan pacuan empat roda telah melarikan diri dan setakat ini belum membuat laporan polis berhubung kejadian itu, katanya kepada pemberita. "Saksi kejadian diminta tampil di balai polis berhampiran untuk membantu siasatan," katanya. Adiknya Azwani dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Lipis manakala penunggang sebuah lagi motosikal tidak cedera.

Tragedi: 'Sebelas Cedera Tiga Parah', Dua Gerabak Keretapi 'Ekspres Wau' Tergelincir Di Kuala Lipis !

Posted: 16 Aug 2012 05:02 PM PDT

KUANTAN, 18 Ogos - Sebelas penumpang cedera dan tiga daripadanya parah, apabila dua gerabak keretaapi yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kelantan tergelincir di Merapoh dekat Lipis, awal pagi ini. Ketua Polis Daerah Kuala Lipis Supt Abdul Razak Hasan berkata dua daripada 14 gerabak kereta api Ekspres Wau itu tergelincir kira-kira 11 kilometer selepas Stesen Keretapi Merapoh pada pukul 6.30 pagi. Katanya tiga mangsa yang parah dan lapan cedera ringan itu dihantar ke Hospital Gua Musang, Kelantan untuk rawatan lanjut dan identiti kesemua mangsa belum diketahui. Beliau berkata gerabak yang tergelincir itu ditinggalkan di tempat kejadian sebelum kereta api itu meneruskan perjalanan ke Tumpat lebih kurang dua jam kemudian. Abdul Razak berkata punca kejadian itu masih dalam siasatan.

Tiada ulasan: