MIMPI SENJA |
- ARTIS : Sharifah Sofia Dihalau Dari Disko Kerana Muncul Berhijab
- Najib pemimpin sebuah kerajaan yang lemah - Mahathir
- Malaysia akan jadi bahan lawak antarabangsa jika .......
ARTIS : Sharifah Sofia Dihalau Dari Disko Kerana Muncul Berhijab Posted: 09 Aug 2012 08:39 PM PDT KUALA LUMPUR: Pelakon Sharifah Sofia melalui pengalaman telah dihalau keluar oleh pemilik sebuah disko di sini kerana kehadirannya ke pusat hiburan berkenaan dalam keadaan berhijab. Sofia atau nama sebenarnya Sharifah Sofia Syed Hussein, 27, yang bertudung sejak 1 Julai lalu berkata, peristiwa itu berlaku ketika dia mahu menghabiskan masa di pusat hiburan yang menjadi aktivitinya selama ini. "Saya fikir apa salahnya wanita bertudung seperti saya untuk masuk pusat hiburan? Semasa di dalam pusat itu, kebanyakan wanita menunjukkan reaksi pelik terhadap saya sehinggalah pekerja di situ meminta saya keluar sedangkan mereka kenal dengan saya. "Masa itu saya tertanya-tanya kenapa kehadiran saya dipersoalkan kerana saya bukannya mengambil minuman keras ataupun buat perkara yang tidak senonoh pun?" katanya kepada mStar Online pada majlis berbuka puasa bersama artis-artis veteran di Saloma Bistro di sini, Rabu. Jelasnya, selepas kejadian itu, dia berkongsi pengalaman tersebut dengan para peminat menerusi Twitter miliknya serta membaca buku-buku panduan agama Islam, barulah dia memahami kewajaran untuk menjauhkan diri daripada tempat-tempat tersebut jika mahu berhijrah menjadi lebih baik. Bagaimanapun tambah Sofia, penghijrahan yang dilakukannya ini dianggap sebagai melengkapi tuntutan syarak yang wajib dilakukan seseorang wanita Muslimah. Kata Sofia, dia mula mendalami Islam sejak mengandung anak sulungnya iaitu Sharifah Ariana Syed Ismail yang kini berusia setahun setengah melalui pembacaan buku dan juga mendapatkan panduan di Internet. "Sebelum bertudung, bukan bermakna saya ini 'kosong' tentang pengetahuan Islam. Cuma kali ini saya lebih mendalaminya dan mahu diri ini sempurna dengan tidak meninggalkan amalan wajib. "Tindakan ini ditambahkan lagi ketika suami menunaikan ibadah Haji pada tahun lalu dan tibalah masanya untuk saya melakukan tanggungjawab sebagai isteri bagi menjaga nama baiknya. "Alhamdulillah, kini saya sudah berhijrah. Mungkin inilah masanya untuk saya memelihara keseluruhan pakej diri," ujarnya. Sementara itu, mengenai perkembangan kerjayanya, anak kelahiran Liverpool, England ini berkata, dia berhasrat untuk menjadi ibu sepenuh masa tetapi tidak bermakna mahu meninggalkan terus dunia seni. - mStar |
Najib pemimpin sebuah kerajaan yang lemah - Mahathir Posted: 09 Aug 2012 07:11 PM PDT 9 Ogos 2012 SHAH ALAM - Di sebalik spekulasi bahawa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan dipanggil dalam waktu terdekat, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan, kekurangan besar yang sedang dilalui Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri ialah beliau mewarisi sebuah kerajaan yang lemah. "Masalah di sini bukan Najib... beliau pemimpin sebuah kerajaan yang lemah," kata Dr Mahathir yang menyandang jawatan Perdana Menteri selama 22 tahun sebelum bersara pada Oktober 2003. Bercakap kepada Bloomberg, Dr Mahathir berkata, sebarang bentuk berpaling tadah akan menyebabkan "BN kalah dalam pilihan raya akan datang." BN, perikatan 13 parti memerintah Kerajaan Pusat sejak negara merdeka. Malaysia akan menyambut Hari Kemerdekaan ke-55 31 Ogos ini. Ia akan disusuli dengan sambutan Hari Malaysia pada 16 September. Hasil kajian Merdeka Center diumumkan bulan lalu menyebut bahawa Najib, Perdana Menteri yang keenam, masih menikmati paras populariti 'stabil' yang positif. Bulan lalu, dua ahli Parlimen BN dari Sabah mengisytiharkan tindakan memutuskan 'hubungan dengan parti masing-masing. Empat tahun lalu parti komponen BN di Sabah, Sapp telah keluar daripada perikatan tersebut. Najib mengambil alih jawatan perdana menteri pada April 2009 - setahun selepas PRU12, yang menyaksikan BN hilang majoriit dua pertiga di Parlimen selain kehilangan kuasa kerajaan di empat lagi negeri. Dalam temu bual itu, Dr Mahathir berkata, rakan Umno dalam BN iaitu MCA, Gerakan dan MIC telah berhadapan dengan masalah kepimpinan sehingga menyebabkan perikatan itu lemah. Pun begitu menurut beliau, kedudukan BN lebih baik berbanding 2008. "Najib lebih popular sekarang," kata Dr Mahathir, yang juga bekas Presiden Umno. "Sebelum ini, rakyat bukan menentang BN, tetapi mereka marah dengan perdana menteri sebelum ini, keluarganya dan menantunya," kata beliau dengan merujuk kepada penggantinya, Tun Abdullah Ahmad Badawi. - Sinar Harian |
Malaysia akan jadi bahan lawak antarabangsa jika ....... Posted: 09 Aug 2012 07:48 AM PDT (Oleh Sidiqin Omar) KUALA LUMPUR 9 Ogos: Malaysia akan jadi bahan lawak antarabangsa jika keluarga mendiang wanita Mongolia, Altantuya Shaaribuu dihalang memasuki negara ini, kata Ahli Parlimen Kelana Jaya, Loh Gwo Burne. "Jika ia dilakukan, bermakna Malaysia kena bersedia untuk dijadikan bahan lawak antarabangsa. Harap-harap perkara ini tak berlaku," kata Gwo Burne, merujuk khabar angin mengatakan bapa Altantuya, Setev Shaaribuu dan seluruh keluarganya akan dihalang dari memasuki Malaysia. Keluarga Altantuya dijadual tiba ke Malaysia untuk mengikuti pendengaran semula rayuan dua bekas pegawai khas Najib Razak yang dijatuhi hukuman mati akibat membunuh Altantuya, iaitu Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar pada 27 dan 28 Ogos ini. "Itu hak keluarga mereka. Sebagai kerajaan yang terbuka, Malaysia mesti membenarkan mereka mengikuti perbicaraan," tegas Gwo Burne ketika dihubungi. Menurut Gwo Burne, beliau difahamkan oleh Pejabat Konsul Mongolia di Malaysia, pemakluman secara rasmi kehadiran Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri & Perdagangan dan Kementerian Keadilan Mongolia belum lagi dibuat. "Tidak ada lagi maklumat tentang kehadiran dua Kementerian Mongolia itu ke Malaysia," kata Gwo Burne yang sebelum ini mendesak Kementerian Luar Malaysia, menyantuni ketibaan delegasi pemerhati negara itu secara rasmi. "Pegawai kerajaan Mongolia yang guna laluan diplomatik tidak perlu permohonan visa berbanding bapa Altantuya dan keluarganya. Mereka perlu memohon visa. Visa dikeluarkan pejabat konsul atau kedutaan mengambil masa lebih seminggu. "Kita berharap permohonan visa Setev dan keluarga mereka selesai segera," kata Gwo Burne. Altantuya dibunuh secara kejam apabila mayatnya diletupkan menggunakan bom C4 di Hutan Simpan Puncak Alam, Shah Alam antara malam 18 Oktober dan 19 Oktober 2006. Beliau adalah penterjemah kepada Abdul Razak Baginda dalam pembelian Scorpene dan turut dikait mempunyai hubungan dengan Razak dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Dua anggota Unit Tindakan Khas dan pengiring kepada Najib, Inspektor Azilah Hadri, 34, dan Koperal Sirul Azhar, 39, dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 9 April 2009, setelah didapati bersalah membunuh Altantuya di Mukim Bukit Raja antara 9.45 malam 18 Oktober 2006 dan 9.45 malam hari berikutnya. Hakim dalam kes perbicaraan itu tidak memutuskan motif pembunuhan. Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=34261 |
You are subscribed to email updates from MIMPI SENJA To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan