DIALOG RAKYAT |
- Lagu Tema Kemerdekaan Janji Ditepati Ciplak Lagu Kristian Indonesia?
- Inkuiri SUHAKAM ke atas BERSIH 3.0: Ringkasan Mingguan (23 - 26 Julai)
- Pakatan kemaruk hendak perintah negara
- Bekalan air untuk 11 kawasan
- Kualiti udara semakin buruk
- Isu Latheefa balik kepada PKR
- DAP: Dakwa Rafizi mahu balas dendam
- Perubahan politik di Johor, Sabah
- ‘Waterloo’ Najib bermula di Sabah?
- Guru Kafa berkhidmat 20 tahun tapi masih kontrak
- Tarik balik lesen disewa kepada warga asing wajar
- Lagu tema hari kebangsaan akan ditarik?
- Kerabat mahu nasib bekas tentera dibela
- Angaukan Selangor, Sabah pula terlepas
- Gambar fitnah MB Kedah dicekup SPRM tersebar
- Rafizi dicaj bocor akaun NFCorp
- Sebangsa Sejiwa Senegara tema Hari Kemerdekaan PR
- Penahanan Rafizi petanda ketakutan regim BN – AIC Malaysia
- Rafizi dikenakan ikat jamin RM15,000, bicara 10 Sept
- Kes penahanan peguam hak asasi: Peguam k’jaan cuba lindungi polis
- Najib tak nafi beri kontrak LRT Ampang pada kroni
- Polis berat sebelah gari Rafizi tapi suami Shahrizat dikecuali
- Penjenamaan KLIFD, satu lagi projek mega BN
- Hairie Othman belum rancang bertanding p'raya
- DAP hormati perjuangan PAS, bekerjasama membanteras rasuah, salahguna kuasa
Lagu Tema Kemerdekaan Janji Ditepati Ciplak Lagu Kristian Indonesia? Posted: 01 Aug 2012 05:44 AM PDT BERITA SEMASA Selepas kecoh mengenai logo kemerdekaan ke-55 yang dikatakan tidak memenuhi standard seorang perekecipta, kali ini timbul pula masalah lain.Kali ini, lagu tema kemerdekaan Malaysia yang ke-55 tahun ini, "Janji Ditepati" dikatakan menciplak lagu kristian Indonesia berjudul "Serukan Namanya". Seorang penganut Kristian turut meluahkan kesedihannya melalui blog beliau apabila mendapati Lagu Janji Ditepati yang didengarnya saling tak tumpah seperti melodi lagu yang biasa dinyanyikannya di Gereja. Menurut beliau melodi lagu itu serupa dengan sebuah lagu bertajuk "Serukan Namanya" yang merupakan sebuah lagu kerohanian penganut Kristian. Anda dengar dan nilai sendiri. Di bawah ini lagu Janji Ditepati. Dan dibawah ini pula adalah lagu "Kuserukan Namanya". | ||
Inkuiri SUHAKAM ke atas BERSIH 3.0: Ringkasan Mingguan (23 - 26 Julai) Posted: 01 Aug 2012 05:35 AM PDT BERSIH Siasatan awam pihak SUHAKAM ke atas dakwaan pencabulan hak asasi manusia yang berlaku sebelum, semasa dan selepas perhimpunan aman BERSIH 3.0 telah bermula sejak 5 Julai yang lalu. Sehingga kini, seramai 17 orang saksi telah dipanggil untuk memberi keterangan dan pada minggu lepas (23 - 26 Julai), panel siasatan telah mengambil testimoni daripada 9 orang saksi. BERSIH 2.0 berhasrat untuk membentangkan laporan ringkas berhubung testimoni yang diterima daripada orang awam yang berani tampil ke hadapan sebagai saksi. Berikut merupakan sebahagian daripada pelanggaran hak asasi manusia yang telah direkodkan sepanjang inkuiri berlangsung: KEGANASAN POLIS Tujuh daripada sembilan orang saksi menyatakan bahawa mereka telah diserang oleh polis dan kesemua sembilan saksi melihat anggota polis menyerang orang awam yang lain. Malah seorang saksi memberitahu, polis mengarahkan sebuah restoran A&W yang telah dikunci untuk dibuka bagi membolehkan mereka masuk. Sebaik dibuka, polis masuk ke dalam dan terus mengasari serta menahan orang awam yang berada dalam restoran berkenaan. SALAH LAKU POLIS Selain daripada menyerang, polis juga berkelakuan amat ganjil dan sangat tidak professional. Salah seorang daripada saksi telah memberitahu panel penyiasat bahawa dia telah dihina secara perkauman oleh anggota polis yang menyerangnya. Rantai emas yang dipakai dia juga dirampas oleh polis berkenaan dan masih belum dikembalikan walaupun laporan polis telah dibuat. Seorang saksi lain menyatakan bahawa dia melihat sebuah kereta polis dipandu dalam keadaan laju melalui kawasan yang dipenuhi dengan orang awam. Malah terdapat orang awam yang sedang duduk di kawasan tersebut. Terdapat juga seorang saksi yang memberitahu bahawa anggota polis yang memukulnya memakai uniform yang hanya bertanda nama tetapi tidak memiliki nombor pengenalan polis. PENGGUNAAN GAS PEMEDIH MATA SECARA MEMBUTA TULI Terdapat beberapa anggota polis dan FRU yang melepaskan tembakan gas pemedih mata secara terus terhadap orang awam walhal mereka sepatutnya melepaskan tembakan dari jarak yang selamat bagi membolehkan peserta bersurai. Seorang saksi terpaksa menderita hilang penglihatan mata sebelah kiri akibat terkena kelonsong gas pemedih mata yang ditembak dari jarak dekat. Dia baru sahaja bergraduasi dan telah kehilangan pekerjaan pertama akibat kecederaan yang dialami. Beberapa saksi lain menyatakan terlalu banyak gas pemedih mata dilepaskan di kawasan sempit yang dipenuhi orang awam menyebabkan mereka tidak mempunyai ruang untuk menyelamatkan diri. Di awal inkuiri, seorang saksi memberitahu panel siasatan bahawa dia telah terkena kelonsong gas pemedih mata di leher menyebabkan dia pengsan semasa kejadian. MASA TIDAK MENCUKUPI UNTUK BERSURAI Dua orang saksi memberitahu mereka ingin pulang ke rumah pada pukul 4 petang namun terhalang kerana stesyen LRT ditutup. Keadaan ini menyebabkan mereka keliru dan memaksa mereka untuk duduk di kawasan yang sarat dengan tembakan gas pemedih mata dan tembakan meriam air. Pada waktu itu juga polis datang dan menyerang mereka. SERANGAN KE ATAS KAKITANGAN MEDIA Tiga orang wartawan telah memberi keterangan bahawa tag media mereka telah diabaikan oleh pihak polis yang telah merampas kamera mereka, mengarahkan mereka berhenti daripada membuat rakaman dan menyerang mereka. Seorang wartawan yang berjaya melepasi due barisan kawalan polis telah ditumbuk semasa berada ditengah-tengah benteng polis berkenaan. Polis juga enggan menyerahkan semula kad memori yang dirampas daripada kameranya. Salah seorang petugas media pula telah diberi amaran oleh anggota polis agar tidak menangkap gambar dan anggota polis berkenaan cuba merampas kamera serta menendang tag media dia bagi membolehkan dia ditangkap. Dia kemudiannya bertanya arah kepada anggota polis berkenaan namun anggota berkenaan memberi amaran kepadanya dengan mengatakan "Kalau aku nampak kau lagi, aku akan tangkap kau." Petugas media yang ketiga memberitahu panel inkuiri semasa dia sedang duduk di tepi jalan, dia melihat OCPD Dang Wangi sedang memberi arahan kepada sekumpulan anggota polis dengan menggunakan heler, namun dia tidak dapat mendengar arahan tersebut. Setelah itu, kumpulan anggota polis tersebut bersurai dan mula menyerang peserta himpunan secara rawak. Tiba-tiba, tujuh atau lapan orang anggota polis datang ke arahnya dan menyerangnya secara berterusan walaupun dia menjerit memaklumkan dia adalah petugas media. KELAKUAN ANGGOTA POLIS YANG TIDAK KONSISTEN Di sebalik ribuan peserta yang dibenarkan untuk memakai baju kuning, seorang saksi memaklumkan dia diminta oleh oleh pihak polis untuk menanggalkan baju kuning yang dipakainya dan terpaksa pulang ke rumah tanpa kemeja T. Setakat ini, siasatan yang dijalankan oleh pihak SUHAKAM menunjukkan terlalu banyak pencabulan hak asasi yang telah berlaku ke atas peserta "Duduk Bantah" BERSIH 3.0. Siasatan ini akan diteruskan pada minggu ini dengan pendengaran seterusnya pada 1 dan 2 Ogos. Lebih ramai saksi akan dipanggil termasuk daripada anggota polis. BERSIH 2.0 mengharapkan kebenaran akan dapat didedahkan sekaligus memberikan cerita sebenar tentang apa yang telah berlaku pada 28 April 2012 apabila 250,000 rakyat Malaysia tampil untuk menuntut sebuah pilihanraya yang bersih dan adil. Keluar Mengundi, Lawan Penipuan! *Disediakan oleh Jawatankuasa Pemandu Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0). **Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0 adalah: Ambiga Sreenevasan (Pengerusi Bersama), A. Samad Said (Pengerusi Bersama), Ahmad Shukri Abdul Razab, Andrew Khoo, Arul Prakkash, Arumugam K., Awang Abdillah (Kuching), Dominic Hii (Sibu), Dr Farouk Musa, Hishamuddin Rias, Liau Kok Fah, Mark Bujang (Miri), Maria Chin Abdullah, Niloh Ason (Kuching), Richard Y W Yeoh, Dr Subramaniam Pillay, Dr Toh Kin Woon, Dr Wong Chin Huat, Yeo Yang Poh dan Zaid Kamaruddin. | ||
Pakatan kemaruk hendak perintah negara Posted: 01 Aug 2012 05:25 AM PDT Perkasa bidas tema kemerdekaan Pakatan Rakyat - "Sebangsa, Senegara, Sejiwa" PETALING JAYA: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menyifatkan tindakan Pakatan Rakyat mengumumkan tema kemerdekaan alternatif sebagai tanda Pakatan semakin "kemaruk untuk memerintah negara". "Mereka ini kemaruk nak memerintah negara. Tunggulah masa kamu," kata Setiausaha Agung Perkasa, Syed Hassan Syed Ali. Beliau berkata begitu ketika diminta mengulas pengumuman tema kemerdekaan alternatif oleh Pakatan. Sasterawan Negara Datuk A Samad Said mengumumkan "Sebangsa, Senegara, Sejiwa" sebagai tema alternatif Pakatan dalam satu sidang akhbar di ibu pejabat PKR hari ini kerana ia lebih mencerminkan semangat kemerdekaan. Ini bertentangan dengan tema BN "Janji Ditepati". Syed Hassan turut mengecam pengumuman tersebut sebagai "tindakan menyibuk" Pakatan. "Dia orang ni sibuk apa pula? Kerajaan buat bajet, dia pun buat. Kerajaan buat tema kemerdekaan, dia pun buat. Mengarutlah," kata Syed Hassan. | ||
Posted: 01 Aug 2012 04:34 AM PDT Syabas tidak dapat membekalkan air terawat yang mencukupi kepada penduduk di kawasan-kawasan berkenaan. SHAH ALAM: Exco negeri Selangor Ronnie Liu berkata Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri itu akan menghantar bekalan air menggunakan lori tangki ke 11 kawasan yang mengalami masalah air. Kawasan-kawasan terlibat adalah di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ). Dua kawasan di Seri Kembangan di bawah pentadbiran MPSJ manakala sembilan kawasan lain di Balakong di bawah MPKj. "Kerajaan negeri telah mengarahkan PBT menggunakan lori tangki ke kawasan-kawasan yang terjejas dan kos ini kita akan minta Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) bayar sebab mereka tak jalankan tugas dengan efisien. "Bukan itu sahaja, berdasarkan lawatan kita ke kolam simpanan air di Balakong mendapati hampir semua kolam tersebut tidak dijaga dan ada yang rosak," kata Ahli Dewan Undangan Negeri Pandamaran itu dalam sidang media di sini hari ini. Beliau menjelaskan tindakan itu menyebabkan Syabas tidak dapat membekalkan air terawat yang mencukupi kepada penduduk di kawasan-kawasan berkenaan. "Banyak kolam air ini tidak diselenggara dengan baik. Kebanyakannya tidak mempunyai pam air dan motor telah rosak, bukan itu sahaja pintu pagar pun hilang, ini sangat membahayakan keselamatan penduduk khususnya kanak-kanak," katanya. Oleh itu, beliau menggesa Syabas mengambil tindakan segera bagi membaik pulih kolam air yang terjejas kerana sumber air sangat penting dalam kehidupan seharian. "Esok PBT akan buat laporan polis berhubung sikap lepas tangan Syabas terhadap kolam air yang terbiar ini. Kita bimbang ada pihak yang cuba sabotaj dengan tuang racun atau apa sahaja di kawasan kolam air yang tidak berpagar ini. "Mereka (Syabas) sepatutnya ganti motor dan pam yang rosak supaya bekalan air di kawasan yang terjejas mencukupi," katanya. | ||
Posted: 01 Aug 2012 04:30 AM PDT Kadar pencemaran udara di seluruh negara dijangka meningkat. PETALING JAYA: Indeks Pencemaran Udara (IPU) di bandar-bandar utama seluruh negara menunjukkan kualiti udara yang sederhana tetapi dijangka akan meningkat di beberapa tempat dalam masa yang terdekat. Indeks yang dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) setakat 11 pagi ini, menunjukkan bacaan yang tinggi di kawasan Lembah Kelang. Bacaan di Pelabuhan Klang bertambah baik daripada 116 semalam ke 101 hari ini, namun masih dalam keadaan tidak sihat. Shah Alam (81), Banting (79), Kuala Selangor (99), Petaling Jaya (87) dan Shah Alam (81) pula mencatatkan peningkatan IPU berbanding semalam, namun masih dalam keadaan sederhana. Bacaan IPU di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur juga turut mencatatkan peningkatan di beberapa tempat, antaranya Batu Muda (67) dan Cheras (76). Putrajaya pula mencatatkan 71. Terdapat 12 tempat yang mencatatkan IPU sihat di iaitu di Sandakan (46), Kota Kinabalu (48), Keningau (37), Labuan (49), Limbang (43), Tawau (45), Miri (50), Sibu (50), Sri Aman (43), Larkin Lama (47), Kangar (35) dan Langkawi (33). Di kawasan Pantai Timur pula mencatatkan bacaan IPU yang sederhana, Kuantan (63), Kuala Terengganu (73), dan Kota Bharu (66). Di tempat-tempat lain, Ipoh (69), Seremban (69), dan Melaka (58). Secara keseluruhannya, udara di 73 peratus kawasan dalam keadaan sederhana, 23 peratus baik dan sebanyak 4 peratus kawasan di seluruh Malaysia mencatatkan bacaan IPU yang tidak sihat. Jabatan Alam Sekitar dalam kenyataannya menjelaskan bahawa jerebu rentas sempadan dan kualiti udara yang semakin teruk, terutamanya di Lembah Kelang adalah berpunca daripada angin monsun barat daya yang bertiup daripada titik panas di Sumatra. "Kami akan terus memantau kadar bacaan IPU dari semasa ke semasa di seluruh negara dan telah mengaktifkan Pelan Tindakan Jerebu Nasional dan Pelan Tindakan Mencegah Pembakaran Terbuka," katanya. Larangan pembakaran di tempat terbuka masih berkuatkuasa. | ||
Posted: 01 Aug 2012 04:25 AM PDT Kerajaan negeri tidak terlibat dalam membuat sebarang keputusan membabitkan perkara ini. SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini berkata keputusan perletakan jawatan ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Latheefa Koya itu perlu dibuat oleh biro politik Parti Keadilan Rakyat (PKR). "Kerajaan negeri tidak terlibat dalam membuat sebarang keputusan membabitkan perkara ini," katanya dalam satu sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco di sini hari ini. Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita sama ada kerajaan negeri sudah mempunyai keputusan muktamad mengenai perletakan jawatan Latheefa. Pada 26 Julai lalu, Majlis Pimpinan PKR Negeri (MPN) menyerahkan isu perletakan jawatan Latheefa kepada kerajaan negeri untuk sebarang tindakan lanjut. Timbalan Pengerusi PKR Selangor dan juga Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin berkata ini kerana surat perletakan jawatan itu hanya diserahkan kepada kerajaan negeri dan MBPJ. Maka menurut Zuraida, MPN tidak boleh bertindak namun hanya menyatakan pendirian agar Latheefa mempertimbangkan semula perletakan jawatan sebagai ahli majlis. | ||
DAP: Dakwa Rafizi mahu balas dendam Posted: 31 Jul 2012 11:54 PM PDT MALAYSIA KINI Pemimpin pelbagai parti dalam Pakatan Rakyat mengecam tindakan menahan dan mendakwa Pengarah Strategik PKR Rafizi Ramli bawah Akta Institusi Perbankan dan Kewangan (Bafia) pagi ini.Ketua Publisiti DAP Tony Pua berkata, tindakan itu memberi tamparan hebat kepada usaha membasmi rasuah yang mahu dilaksanakan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. "(Ia) melemahkan lagi prestasi yang lebih rendah mengenai Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP)," kata Pua dalam kenyataannya hari ini. Pua (kiri) menyifatkan tindakan itu sebagai "membalas dendam" terhadap si pembocor maklumat. Beliau mendakwa pendakwaan terhadap Rafizi juga bertentangan dengan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, yang bertujuan untuk menggalakkan orang ramai membantu memerangi rasuah. Rafizi hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen Shah bawah Seksyen 97 Bafia kerana mendedahkan tiga akaun kewangan berkaitan National Feedlot Corporation (NFC) dan pengerusinya Mohd Salleh Ismail. Azmin: Cuba tutup pekung Rafizi didakwa menzahirkan baki akaun peribadi NFC, National Meet and Livestock Sdn Bhd, Agroscience Industries Sdn Bhd dan Mohd Salleh kepada perunding media Yusuf Abdullah dan Erle Martin Carvalhoe. Jika sabit kesalahan Rafizboleh dipenjara tiga tahun atau denda RM3 juta. Timbalan Presiden PKR Azmin Ali (bawah) berkata, penahanan dan pendakwaan itu bukti jelas bahawa Umno dan BN terdesak akibat pendedahan skandal National Feedlot Corporation (NFC). "PKR percaya Umno-BN sedang menggunakan pelbagai cara untuk menutup segala pekung penyelewengan dan salah guna kuasa daripada menjadi pengetahuan rakyat. "Namun kita yakin, rakyat Malaysia akan terus bersatu untuk menolak rasuah dan salah guna kuasa demi kemaslahatan negara," katanya. Pemuda PAS: Tindakan Rafizi terpuji Sementara itu, Pemuda PAS beranggapan, penahanan bekas ketua eksekutif pejabat penasihat ekonomi Selangor itu menunjukkan kerajaan persekutuan tidak ikhlas dan telus dalam memastikan negara bebas daripada rasuah. "Kerajaan sepatutnya melihat isu yang ditimbulkan oleh Rafizi jauh lebih utama dan penting berbanding tindakan tindakan beliau yang membocorkan maklumat, kata naib ketua dewan itu Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob (kanan). Raja Ahmad sebaliknya berkata, tindakan Rafizi itu wajar dipuji kerana bertujuan memastikan negara bebas daripada "penyangak rasuah". | ||
Perubahan politik di Johor, Sabah Posted: 31 Jul 2012 11:45 PM PDT
Tidak terdengar lagi rhetoric megah Umno/BN bahawa Johor dan Sabah adalah 'simpanan tetap' atau kubu pertahanan terkuat Umno sejak zaman berzaman. Dengan perkembangan terbaru politik di Sabah pula, negeri itu akan juga mengakhiri zamannya sebagai kubu kuat Umno/BN. Demikianlah putaran roda politik dan setiap pelaku di pentas politik sewajarnya menyedari hakikat ini. Perkembangan baru di Sabah, menunjukkan Pakatan Rakyat dijangka akan mendapat sekurang-kurangnya 14 kerusi di Sabah ekoran tindakan dua anggota Parlimen BN menyokongnya baru-baru ini. Ini jangkaan yang dibuat oleh Ahli Parlimen PAS Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad dalam tulisannya dalam Harakahdaily kelmarin di mana beliau menyimpulkan bahawa simpanan tetap BN di Sabah dan Sarawak sudah tamat. Beliau berkata, 55 kerusi parlimen dari 57 dari Sabah-Sarawak (Borneo) telah dibolosi dan sudah tidak ada lagi jaminan BN mendapat sokongan dari kedua-dua negeri ini. "Hari ini diramalkan ialah 14 kerusi dari Sabah termasuk Kota Kinabalu, Sandakan dan Pensiangan akan mudah tumbang kepada Pakatan Pembangkang," kata ahli Parlimen Kuala Selangor itu yang mengulas tindakan Datuk Seri Panglima Lajim Ukin dan Datuk Wilfred Bumburing yang meninggalkan BN dan menyokong Pakatan Rakyat. Penganalisis politik di Sabah meramalkan akan ramai lagi Adun dan Ahli Parlimen Sabah dari BN akan meninggalkan komponen parti itu dan akan menyertai Pakatan Rakyat. Gelombang ini dikatakan sukar ditahan disebabkan beberapa isu, antaranya, isu kemiskinan terutama di kawasan pedalaman yang tidak ada perubahan sejak zaman berzaman, isu pendatang luar yang melimpahm hampir-hampir tidak terkawal, isu tanah dan pelbagai lagi. Bagaimana pula di Johor - sebuah negeri yang sentiasa dimegahkan oleh Umno sebagai kubu kuatnya. Perkembangan menunjukkan bahawa oleh kerana banyaknya kerusi campuran baik di peringkat Parlimen mahupun Dun di negeri itu menyebabkan ketirisan mendadak sokongan pengundi terutama di kalangan pengundi Cina. Kini tidak lagi terdengar suara angakuh pemimpin Umno Johor yang selama ini bermegah bahawa Johor adalah kubu terkuat Umno. Kalau tidak masakan Muhyidin Yasin menyeru Umno/BN supaya mempertahankan kawasan parlimen Gelang Patah dari jatuh ke tangan Pakatan Rakyat dalam PRU akan datang. Nusa Jaya yang terletak di Gelang Patah adalah pusat pentadbiran kerajaan Johor yang baru. Saya berkunjung ke Gelang Patah beberapa bulan lalu dan mendengar sendiri ulasan dari beberapa penduduk di situ, khususnya kalangan masyarakat Cina, bahawa mereka sangat tertekan dengan harga barang naik, peluang pekerjaan yang sangat terbatas dan lain-lain. Seeorang petani Melayu di situ, Haji Solihin Markom, memberitahu bahawa orang kampung di sini hanya memerhatikan perubahan dari kampung menjadi bandar sedangkan "kedudukan kami macam dulu juga." Yang heboh di sini, katanya, ialah kesibukan orang kampung menjual tanah kerana harga mahal. Tetapi, katanya, adakah mereka berfikir selepas menjual tanah mereka, akhirnya mereka hendak ke mana kerana harga rumah semakin mahal di mana-mana. "Adakah pemimpin politik yang ada di Johor memikirkan hal ini," tanyanya. Pesuruhjaya PAS Johor, Dato' Dr. Mahfodz Mohamad pernah mendedahkan secara terperinci mengenai isu penjualan saham KFCH & QSR kepada CVC serta isu salah urus tadbir tanah oleh kerajaan Johor melalui KPRJ dan isu-isu lain. Sudah sampai masanya, katanya, PAS/Pakatan Rakyat Johor menggandakan usaha dalam mendapatkan mandat dari rakyat untuk menerajui kerajaan dalam usaha mengembalikan hak rakyat yang telah diabaikan oleh Kerajaan Barisan Nasional. Pada pilihan raya umum ke-12 pada 2008, Tan Ah Eng (BN) mengekalkan kerusi parlimennya P162 Gelang Patah. Peratusan kaum ialah Melayu 33.54%, Cina 54.06% India: 12.22% Tan Ah Eng (BN) (33,630) menewaskan Dr. Zaleha Mustafa (PKR) (24,779) dengan majoriti 8,851. Jumlah pengundi undi waktu itu 60,653. Menurut penganalisis politik di Johor, dalam pilihan raya umum 2008, pengundi Cina belum memberikan sokongan sepenuhnya kepada calon dari Pakatan Rakyat. Namun, dengan perkembangan terkini, peratus sokongan pengundi Cina jauh lebih meningkat, bahkan hampir-hampir lapan puluh lima peratus dikatakan menyokong Pakatan. Ini yang membimbangkan Muhyidin Yasin menyebabkan beliau menggesa Umno/BN mempertahankan Gelang Patah. Jika terjadi kejatuhan Gelang Patah, menimbulkan kesan paling buruk kepada Umno/BN. PAS Johor mensasarkan sekurang-kurangnya 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) untuk dimenangi pada pilihan raya umum (PRU) ke-13 akan datang. Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor, Mazlan Aliman berkata, sasaran itu ditetapkan berdasarkan perubahan positif rakyat negeri itu yang kini menyambut baik Pakatan Rakyat, khususnya PAS yang disifatkan 'tidak pernah berlaku dalam sejarah sebelum ini'. Pada PRU yang lalu, PAS bertanding 39 daripada keseluruhan 56 kerusi, manakala PKR dan DAP masing-masing 9 dan 12 kerusi. Dari jumlah ditandingi itu itu PAS hanya menang di dua kerusi iaitu di Dun Maharani dan Sungai Abong. Ini adalah keputusan 2008 yang lalu, di mana kini PAS/Pakatan menaruh harapan akan meraih kemenangan lebih banyak lagi bukan saja di Muar, tetapi juga kawasan Parlimen dan Dun di Batu Pahat, Pontian, Tanjung Piai, Kulai Jaya, Kluang bahkan Johor Bahru sendiri. Kawasan Parlimen Tanjong Piai (P165) kini diwakili oleh Wee Jeck Seng dari MCA. Pihak Umno di kawasan ini dikatakan sangat bimbang dengan kedudukan kawasan ini memandangkan Pakatan Rakyat sedang berusaha bersungguh-sunggu untuk menawan kawasan tersebut yang merupakan kawasan kerusi campuran antara Melayu dan Cina. Kebanyakan kerusi campuran ialah antara 50:50 iaitu antara bilangan pengundi Cina dan Melayu. Hanya beberapa kawasan Parlimen di Johor yang dikatakan mempunyai jumlah pengundi Melayu yang agak ramai. Antaranya, Mersing, Kota Tinggi dan Pontian. Ini yang menyebabkan pemimpin Umno sangat bimbang, memandangkan sokongan pengundi Cina kepada Pakatan Rakyat semakin bertambah. Penganalisis berpendapat, pada PRU akan datang, dijangkakan antara 80 hingga 90% pengundi Cina akan mengundi DAP, sementara antara 70 hingga 80% akan mengundi PAS/PKR. Inilah gelombang perubahan yang akan melanda Johor dan Sabah, walaupun pemimpin BN cuba menafikannya, tetapi pada hakikatnya begitulah. Tunggulah PRU akan datang ini. | ||
‘Waterloo’ Najib bermula di Sabah? Posted: 31 Jul 2012 11:42 PM PDT
Benarkah Najib akan menemui 'Peperangan Waterloo'nya dalam PRU ke-13 ini setelah berperang kecil (skirmishes) termasuk 16 kali pilihanraya kecil (PRK) dalam sesi parlimen ke -12 ini? Umum juga diingatkan bahawa kesemua PRK itu berkesudahan dengan keputusan seri terikat 6-6. Pilihanraya Negeri (PRN) Sarawak pula (April 2011) menyaksikan undi popular Najib-BN menurun sebanyak 8% (45%, 2011 – 37%, 2006). Tidak siapa yang sangsi dengan penghakisan 8% kerajaan BN di PRU ke-13, akan bakal saksikan tumbangnya diperingkat Persekutuan. Maka cakap-cakap Najib semasa berucap di musim Euro Final baru-baru ini untuk membelasah lawannya dengan 14-0 hanyalah bersifat seorang General perang berkeinginan untuk menyuntik semangat kepada bala-tenteranya meskipun sudah jelas petanda-petanda awal kekalahan dalam pertempuran terakhir 'grand royale battle' yang sengaja ditangguh-tangguhkannya. Mutakhir, tidak ada yang lebih mengerikan seorang General Perang yang di saat-saat akhir di medan bertarung, mendapati Lieutenan-lieutenan atau Panglima-panglima Perangnya 'memberontak' lantas meninggalkannya dan lebih parah lagi apabila kini mahu bersama dengan gerombolan lawan dan seterunya. Hampir sah tidak ada pilihanraya selepas Hari Raya ini. Meskipun kononya didakwa diketahui lebih awal lagi, pengumuman untuk keluar parti dan BN, ahli parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Bumburing dan ahli parlimen Beaufort, Datuk Seri Lajim Ukin, juga seorang Timbalan Menteri serta menyokong Pakatan Rakyat (PR) tetap satu yang menggempar dan diluar jangkaan pelbagai pihak pengamat politik tanah air. Di segi 'timing'nya ia amat menggugat kedudukan Najib yang sedang mencari-cari tanda positif untuk pembubaran parlimen selepas hari raya ini. Tambahan Najib sedang berusaha untuk menubuhkan RCI – Suruhanjaya Pendatang Tanpa Izin dan perdamaian atas isu pertikaian kepimpinan Ketua Menteri dan adiknya. Amat sukar untuk beliau mencari penyelesaian terhadap kedua-dua isu yang membakar ini sekaligus menjejas persepsi keutuhan serta kawalan Najib terhadap politik Sabah. Lebih tepat lagi Najib sudah kehilangan atau paling tidaknya 'kekurangan' 'Simpanan Tetap'nya. Persepsi buruk terhadap 'Janji Tidak Tertunai' di negari Borneo ini juga mencalar kepemimpinannya bersabitan kepimpinan Taib Mahmud di Sarawak. Isu ini turut menghempit dan menghantui slogan "Janji DiTepati"nya. Tambahan pulak dikatakan bahawa Taib akan terus kekal menjadi Ketua Menteri Sarawak. Taib cukup memahami bahawa Najib sangat berhajat sokongan dirinya dan tidak bersedia untuk berdepan dengan suasana tidak menentu seperti di Sabah. Kejutan buat Najib bukan kepalang dan amat menyiksakannnya. Kembali menekannya adalah asakan tentang pendedahan pelbagai 'skandal kewangan' yang melibat Ketua Menteri Sabah Musa Aman. Perletakkan jawatan seorang Ketua Jabatan Komplian Global HSBC semalam telah mencetuskan 'expose' urus-tadbir yang sarat dengan rasuah transaksi balak dan pelbagai kegiatan 'penyucian wang' atau 'money laundering' di negeri terkaya tetapi punyai rakyat paling ramai termiskin diseluruh Persekutuan Malaysia itu. Jumlah mencecah RM trillion disebut oleh beliau dan ia ada hubungkait dengan KM Sabah ini mengikut kenyataannya semalam. Pertikaian tertangguh melibatkan Peguam Negara Ghani Patail (dari Lahad Datu) yang sehingga kini menghalang dakwaan rasuah membabitkan Anifah Aman dan Musa Aman tentang rasuah balak juga turut merobek kepercayaan rakyat khasnya warga dan pengundi Sabah. Sementara itu, umum masih ingat kes bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Ramli Yusuf yang mendakwa Peguam Negara Abdul Gani Patail telah mempergunakan SPRM memangsakan beliau dan pasukan penyiasatnya bersabit seorang lelaki didakwa terlibat dalam jenayah terancang, termasuk dalam kegiatan 'Along', loteri haram, pelacuran dan juga pengedaran dadah. Apa pun, 'Simpanan Tetap' Najib yakni 55 kerusi parlimen dari 57 dari Sabah-Sarawak (Borneo) telah dibolosi dan sudah tidak ada lagi jaminan mendapat sokongan dari kedua-dua negeri ini. Hari ini ramalannya ialah 14 kerusi dari Sabah termasuk Kota Kinabalu, Sandakan dan Pensiangan akan bakal tumbang kepada Pakatan Pembangkang. Shafie Afdal yang menanti peluang mengambil alih juga bergelut menangkis tuduhan terlibat dalam 'skandal perhubungan'. Pun begitu ia tidak semudah didakwa sebab formula kerjasama 'pembangkang' juga belum muktamad. Tetap dirasai umum bahawa kalau dulu Najib masih menaroh harap kepada kaum K-D-M dan Melayu di Sabah kini sudah semakin tercalar dan hambar. Bukan sahaja Melayu di Semenanjung sudah terbelah, kini juga di Borneo sementara kaum Cina dan India terus tidak mahu kembali menyokong BN kerana sangat kecewa dengan gelagat dan polisi Umno dan kuncu-kuncu NGOnya seperti Perkas dan Jeti yang melampau. Apakah maknanya buat Najib yang mengikut kajian mutakhir Merdeka Centre bahawa 'tahap keyakinan' atau 'Approval Rating' pada paras 64%, (Jun) menurun 1% dari bulan Mei (65%), sementara tahap keyakinan kepada parti dan Barisan Nasional yang dipimpin terus mengalami penghaksian sokongan ke paras 42%? Kesenjangan sokongan amat ketara. Ramai juga yang masih ingat bahawa Pak Lah sebelum PRUke-12 mendapat 'approval rating setinggi 71%. Ada pakar-pakar Sains Politik yang menyebutkan bahawa perubahan 'turun-naik' sehingga tahap 3% itu tidak signifikan disegi perbezaan undi kerana julat kesilapan (margin of error). Lebih penting lagi adalah 'trend' atau 'pola' penurunan yang jelas di alami Umno-BN yang mutakhir ini sangat ketara. Kerajaan Umno-BN ini yang kini merupakan kerajaan paling tua-lama memerintah (longest serving government) di atas muka bumi ini (selain dari China dan Vietnam – bukan demokrasi), rata-ratanya ditanggapi gagal mengisi pengharapan rakyat setersunya. Kereputan 'kerajaan lama' ini adalah akibat kehilangan kepekaan kepada rakyat yang setia mengangkat mereka dalam setiap PRU. Kegagalan menghayati cita-rasa dan kehendak rakyat ini jelas dengan paling mutakhir cubaan untuk menggunakan slogan "Janji Ditepati" untuk Hari Merdeka tahun ini. Kajian Sinar Harian contohnya menunjukkan bahawa 86% mahukan slogan itu ditukar dan ditolak. Hanya 14 % sahaja yang menyokong slogan tersebut. Umno-BN semacam hilang segala 'sentuhan berbisa' dan 'tarikan' yang satu masa dahulu merekalah segala-galanya semasa zaman awal pasca-Merdeka. Mungkin ketika itu memang mereka punyai kepimpinan yang berkorban untuk rakyat atas nama Kebangsaan Melayunya. Tetapi tidak lagi kini. Pembolotan dan kerakusan penguasa elit Umno-BN sangat menyerlah. NFC dan Felda lambang kegagalan Umno kini. Ceramah bekas tokoh-tokoh Umno seperti Tan Sri Kadir Sheikh Fadzil dan Tamrin Ghafar, adalah sangat tajam mendedahkan 'kebobrokan' dan 'kerakusan' kepimpinan Umno bermula era Tun Mahathir sehingga Najib kini. Najib juga begitu sudah kehilangan stature 'kenegarawanan'nya. Dia sudah terlalu 'mikro' dan kehilangan arah perhitungan 'besar dan makro' terhadap permasalahan negara. Dia terlalu sangat takut untuk hilang kuasa pemerintahan. Tidak ada slogan yang inklusif dan menarik dan merentasi semua segmen rakyat seperti "Bersama Membangunkan Negara Tercinta". Najib hanya mahukan pujian dan pengiktirafan rakyat maka dia terus 'memberi dan membeli' undi rakyat – BRIM 1 dan kini bonus dsbnya. Kesemua untuk membuktikan bahawa beliau peka dan prihatin kepada kesengsaraan rakyat. Pemangsaan rakyat khasnya warga peneroka di Felda dalam jangka jauh dan Lynas di Gebeng membuktikan sebaliknya. Malang! Masa untuk berubah telah sampai. Mampukah rakyat lakukan perubahan ini? Mampukah Pakatan Rakyat mengisi pengharapan rakyat nanti? Apakah PRU ke-13 benar-benar akan menjadi "Waterloo" Najib Tun Razak? Dr Dzulkefly Ahmad, AJK PAS Pusat. | ||
Guru Kafa berkhidmat 20 tahun tapi masih kontrak Posted: 31 Jul 2012 11:38 PM PDT
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) berpandangan diskriminasi terhadap guru Kelas Agama dan Fardhu Ain (Kafa) tidak sewajarnya berlaku kerana sumbangan mereka bukanlah satu usaha yang boleh dipandang remeh. (Para pelajar Kafa yang perlu mendapatkan guru yang terbaik - gambar hiasan) Sehubungan itu, DPPM meminta agar kerajaan Malaysia mengkaji dan mempertimbangkan cadangan yang telah dibuat oleh Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) sejak 16 Mei 2009 lagi sebagaimana yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia yang meminta agar 33,000 guru (Kafa) diserap ke jawatan tetap supaya kebajikan guru-guru Kafa lebih terbela. "Pada masa ini guru Kafa di Malaysia berkhidmat secara kontrak. Mengambil kenyataan daripada Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman, pihak beliau telah menerima banyak rungutan dan keluhan berhubung isu taraf jawatan kontrak dan kebajikan guru Kafa yang tidak terbela," kata Setiausaha DPPM, Khairul Faizi Ahmad Kamil. Malah, katanya terdapat juga aduan yang menyatakan mereka telah berkhidmat selama lebih daripada 20 tahun tetapi secara kontrak. "Perkara ini sewajarnya diberikan perhatian oleh pihak kerajaan," ujar Khairul Faizi (gambar kanan) dalam satu kenyataan. Bahkan, tambah beliau lebih teruk kerana ada guru Kafa yang tidak disambung kontrak perkhidmatannya sedangkan dirinya dibebani dengan pelbagai jenis ansuran seperti kenderaan atau rumah yang perlu mereka jelaskan. Katanya lagi, diskriminasi terhadap guru Kafa tidak sewajarnya berlaku kerana sumbangan mereka dalam memberi pendidikan dan pembentukan generasi rabbani dan madani bukanlah satu usaha yang boleh dipandang remeh dan kecil. Justeru, ujarnya Dewan Pemuda PAS Malaysia mengucapkan tahniah ke atas Kerajaan Negeri Pulau Pinang atas keperihatinan mereka terhadap masalah yang melanda guru Kafa di negeri tersebut. Tambahnya, Kerajaan Negeri Pulau Pinang dilihat konsisten dalam membantu untuk meringankan bebanan guru-guru Kafa terutama apabila kerajaan pusat mengumumkan "duit raya" kepada penjawat-penjawat awam. "Pada tahun 2011, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah membelanjakan lebih RM500 ribu sebagai bonus kepada guru-guru ini. "Terkini pada tahun 2012, sebanyak RM RM3.9 juta telah diperuntukkan untuk pemberian bonus hariraya Aidil Fitri kepada penjawat awam dan guru Kelas Fardhu Ain (Kafa) seluruh negeri itu mulai 9 Ogos depan," ujarnya. Beliau berkata, bagi membela kedudukan dan masa depan guru-guru Kafa, kerajaan perlu menyerapkan mereka ke dalam jawatan tetap. "Tindakan kerajaan ini akan dilihat bijak bahkan seolah-olah hadiah istimewa buat mereka yang telah berkhidmat lama di dalam bidang ini terutamanya," katanya. Tambahnya lagi, bukan sahaja kehidupan mereka lebih terjamin bahkan mereka juga dapat memberikan perhatian yang lebih di dalam pengajaran mereka. "Bagi pihak Dewan Pemuda PAS Malaysia, kami bersedia untuk menerima apa jua pandangan dan keluhan yang sedang menimpa guru-guru Kafa pada masa ini kerana kami percaya bahawa banyak lagi isu yang perlu diberikan perhatian terhadap guru-guru ini," katanya. | ||
Tarik balik lesen disewa kepada warga asing wajar Posted: 31 Jul 2012 11:35 PM PDT
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) menyambut baik langkah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang menggesa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menarik balik lesen perniagaan rakyat tempatan yang menyewakannya kepada warga asing. "Langkah ini dilihat sangat bertepatan kerana Malaysia kini mengalami situasi lambakan warga asing," kata Ketua Penerangannya, Yusapiza Yaacob (gambar). Ini juga, katanya dilihat dapat memberikan suatu pengajaran yang berguna kepada mana-mana pihak yang menyalahgunakan lesen perniagaan yang diberikan. "Sikap suka mengambil 'untung atas angin' seharusnya perlu dikikis dari minda rakyat Malaysia. Semakin hari semakin ramai warga asing yang telah membuka perniagaan mereka sendiri tanpa diketahui dari manakah lesen diperolehi," katanya. Akhirnya, kata beliau mereka ini dilihat seolah-olah mendominasi perniagaan runcit yang sepatutnya dmiliki oleh rakyat tempatan. DPPWP juga, ujar beliau ingin menyeru PBT dan juga Suruhanjaya Pencegarahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar menyiasat rakyat-rakyat tempatan yang memberikan lesen perniagaan ini. Dalam satu kenyataan, beliau berkata ini kerana mereka terdedah dengan gejala rasuah dalam menawarkan lesen perniagaan mereka. Tambahnya, terdapat ramai rakyat Malaysia yang kesempitan hidup yang ingin berniaga namun ada juga yang lebih rela melihat rakyat Malaysia sengsara dengan memberikan lesen kepada warga asing. Selain lesen perniagaan, ujarnya SPRM juga diseru untuk menyiasat penyelewengan petak-petak bazar Ramadhan yang dilihat mengaut keuntungan yang melampau. Menurutnya, petak-petak bazar yang dibeli daripada PBT dengan harga yang murah namun dijual kepada peniaga dengan harga yang melampaui batas. Yusapiza berkata, ini dapat menjejaskan periuk nasi peniaga-peniaga yang ikhlas ingin berniaga. Malah, katanya ada tempat yang mengenakan sewa sehingga RM3,000 sehari di bulan Ramadhan sedangkan bayaran kepada PBT hanyalah RM200 setahun "Justeru, DPPWP mengharapkan agar PBT dan SPRM lebih peka dalam menangani isu-isu penjualan lesen dan tapak perniagaan ini. "DPPWP percaya ianya akan lebih segera dapat dibendung sekiranya tiadanya penglibatan 'orang dalam'," katanya lagi. | ||
Lagu tema hari kebangsaan akan ditarik? Posted: 31 Jul 2012 11:34 PM PDT
KUALA LUMPUR: Kenyataan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim yang meminta pandangan berhubung lagu tema Hari Kebangsaan dilihat memberi bayangan kemungkinan lagu itu juga akan ditarik. Rais melalui Twitter semalam meminta pandangan umum mengenai lagu tema sambutan tersebut ekoran ianya yang dimuat naik ke Youtube menerima kritikan hebat dari penonton. "Apa pandangan saudara tentang lagu Janji Ditepati? Di Youtube dah cecah 140k lebih. Tapi yg 'ibu jari ke bawah' ada juga," tulisnya sebagai mengakui bahawa lagu ciptaannya itu tidak disukai penonton. Sehingga pagi ini, video di Youtube bertajuk Lagu Tema - Janji Ditepati (Hari Merdeka ke-55) tersebut ditonton 229,000 orang dengan 28,377 dislike berbanding hanya 395 yang memilih like. Dalam konem-komen mereka, penonton kebanyakannya mencemuh lirik yang berbunyi "Janji telah ditepati, kini masa balas budi" yang dilihat sebagai kempen politik. Tidak kurang juga yang menganggap pemberian bantuan oleh kerajaan kepada rakyat selama ini adalah tidak ikhlas dan bersifat memancing undi sehingga memaksa rakyat membalas budi. Lagu dengan melodi yang dihasilkan oleh Aye, Jasnie dan Arman E 6 itu juga turut memuatkan selingan rap yang menggariskan pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak seperti 1Malaysia kedai dan Bantuan Rakyat 1Malaysia. Bukan asal Sebenarnya lagu tema yang dimuat naik ke Youtube itu adalah berbeza dengan yang pernah diperdengarkan kali pertama pada himpunan Teksi Rakyat 1Malaysia (TR1MA) bulan lalu. Dalam lagu yang dipersembahkan itu, turut diselit lirik memerli pihak tertentu dengan menggunakan perkataan sinis seprti "Orang sana pandai cakap tapi tak boleh buat,' serta 'Orang sana pandai auta tapi budi tak ada'. Difahamkan terdapat arahan agar rangkap tersebut diubah mungkin kerana terlalu jelas kritikannya. Rangkap asal yang dibuang "Orang sana pandai cakap, tapi tak boleh buat "Orang sana pandai janji..... pada yang tak peduli "Orang sana pandai auta, tapi budi tak ada". Video lagu asal di http://www.youtube.com/watch?v=Jmy2dS-GfFQ | ||
Kerabat mahu nasib bekas tentera dibela Posted: 31 Jul 2012 11:28 PM PDT
KUALA LUMPUR: NGO Kebajikan Rangkaian Vateran Angkatan Tentera (Kerabat) menyifatkan sambutan Hari Pahlawan yang diadakan saban tahun pada 31 Julai bukan sekadar perayaan tradisi semata-mata sebaliknya ia adalah pengharapan baru ratusan ribu anggota tentera yang sedang berkhidmat mahupun bersara. Penasihat Kerabat Mazlan Aliman berkata, masalah kebajikan bekas tentera dari dahulu hingga sekarang masih belum selesai dan sering menjadi perdebatan hangat. Katanya, sejak tertubuhnya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hingga kini direkodkan 300 ribu anggota tentera yang telah menamatkan perkhidmatan, 80 peratus tidak berpencen kerana tidak melepasi 21 tahun perkhidmatan. Tambahnya, nasib bekas tentera yang tidak berpencen di pernah dijanjikan untuk diberi lot tanah tapak rumah dan peluang pekerjaan masih menjadi isu terpenting yang diremehkan kerajaan. "Bayangkan, perajurit kita pertaruhkan nyawa mereka, ramai yang gugur terkorban semasa ancaman komunis, keluar masuk hutan, berada di sempadan negara, memerangi penyeludupan, terkena serang hendap dan mangsa periuk api hingga cacat seumur hidup; sebahagian anggota menyertai misi keamanan Bangsa-bangsa Bersatu di negara bergolak sekurang-kurangnya berpisah selama 6 bulan dengan anak isteri. "Sejauh mana kerajaan benar-benar serius menangani kebajikan anggota tentera kita khususnya yang berpangkat rendah dan tidak menikmati pencen," katanya dalam satu kenyataan. Tegasnya dalam beberapa pertemuan dengan bekas tentera, ada yang hidup menjual air tebu, pisang goreng di tepi jalan untuk menyara anak yang ramai, tidak kurang juga yang menjadi pengawal keselamatan dan buruh binaan. Jelas Mazlan, yang mengakui perlumbaan dari sudut anggota dan kelengkapan pertahanan sangat penting demi menghadapi apa juga kemungkinan pada masa depan. Yang pasti, katanya pemimpin negara nampaknya hanya berlumba mendapatkan komisyen daripada pembelian kelengkapan pertahanan negara semata-mata, misalnya isu komisyen Kapal Selam Scorpene sampai sekarang tidak selesai. Katanya, tawaran Pakatan Rakyat mesti merumus kepada penyusunan semula ATM yang berwajah baru, masa depan perajurit lebih terarah, kebajikan bekas tentera yang menjanjikan nikmat kehidupan ceria. Justeru, Kerabat menuntut agar sebuah Bandar Baru Veteran Tentera di atas tanah seluas seribu ekar yang menjadi model sebuah perkampungan bekas perajurit yang lengkap perumahan moden, pusat latihan serba guna ala tentera, pusat kemahiran dan kemudahan asas serba lengkap. | ||
Angaukan Selangor, Sabah pula terlepas Posted: 31 Jul 2012 11:26 PM PDT
KUALA LUMPUR: Dalam keghairahan untuk merampas Selangor, BN diingatkan agar tidak menjadi seperti peribahasa 'yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran'. Sebaliknya BN perlu meneliti suasana politik di Sabah yang muktahir ini meniupkan gelombang perubahan pimpinan BN, sekaligus rakyat negeri di bawah bayu itu. Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dr. Mohd Hatta Ramli, berkata BN sebelum ini begitu yakin untuk merampas Selangor, namun 'terlepas pandang' terhadap Sabah yang dianggap sebagai 'fix deposit' mereka selama ini. "Jadi, saya nasihatkan BN agar tidak membuang masa untuk mengubah suasana harmoni di Selangor hari ini, tetapi selesaikan kemelut di Sabah hingga menyebabkan dua pimpinan BN bertindak keluar parti," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini. Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Datuk Seri Lajim Ukin dan Datuk Seri Wilfred Bumburing yang mengumumkan keluar dari BN dan menyokong Pakatan Rakyat, baru-baru ini. Dr. Hatta yang juga ahli parlimen Kuala Krai itu berkata gelombang perubahan di Sabah itu bukan sahaja membabitkan kedua-dua pimpinan terbabit, sebaliknya ia juga merupakan satu gelombang rakyat. Beliau juga menjangkakan BN tidak dapat membendung gelombang perubahan tersebut, malah yakin akan ada beberapa lagi nama lain di Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang akan mengambil keputusan sama seperti Lajim dan Wilfred. Ditanya sama ada suasana tersebut akan membuatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menangguhkan lagi pilihan raya, Dr. Hatta berkata ia sesuatu yang tidak mustahil. "Kita harap, pilihan raya dipanggil segera. Tapi, perkiraan saya Najib akan mengambil masa yang lebih lama untuk berbuat demikian. Dia masih resah dan mengharapkan adanya perbalahan di kalangan Pakatan Rakyat untuk diambil kesempatan," tegas beliau lagi. Pada 29 Julai lalu, Lajim yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno mengumumkan perletakan semua jawatannya dalam parti dan BN berkuat kuasa serta-merta, untuk bekerjasama dengan Pakatan Rakyat di Sabah. Perlantikan Lajim sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, dibatalkan serta-merta setelah diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, mengikut peruntukan Fasal (3) Perkara 43A yang dibacakan bersama Fasal(5) Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan. Sementara itu, Wilfred yang mengisytiharkan keluar dari Barisan Nasional (BN) dan menyertai Pakatan Rakyat melalui parti Angkatan Perubahan Sabah yang baru diumumkan penubuhannya. Ahli Parlimen Tuaran itu juga berkata beliau akan menjelajah ke seluruh negeri Sabah untuk membantu Pakatan Rakyat memenangi negeri itu dalam pilihan raya umum akan datang. | ||
Gambar fitnah MB Kedah dicekup SPRM tersebar Posted: 31 Jul 2012 11:21 PM PDT
KUALA LUMPUR: Sebuah akaun di Facebook yang menggelarkan dirinya Anti PKR Club telah membuat fitnah jahat dan jijik kononnya Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak ditahan pihak SPRM kerana menerima rasuah jutaan ringgit. Blog http://omakkau.blogspot.com mendedahkannya. Berikut petikan daripada blog tersebut. Sebuah akaun di Facebook yang menggelarkan dirinya Anti PKR Club telah membuat fitnah jahat dan jijik kononnya Menteri Besar Kedah YAB Datuk Seri Azizan Razak dan Setiausaha Politiknya ditahan pihak SPRM kerana menerima rasuah jutaan ringgit. Wang kononnya dirampas itu telah dipamirkan kepada umum. Sila lihat cara pencacai UMNO membuat gambar yang telah diedit semata-mata mau membuat fitnah. | ||
Rafizi dicaj bocor akaun NFCorp Posted: 31 Jul 2012 11:13 PM PDT [DIKEMAS KINI, JAM 2 PETANG] SHAH ALAM - Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli hari ini dicaj di Mahkamah Sesyen di sini, di bawah Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan (Bafia) 1989 berhubung isu National Feedlot Corporation (NFCorp), yang menjadi isu kontroversi sejak awal November lalu. Beliau yang dibawa ke Mahkamah Seksyen 6, di hadapan Hakim Aslam Zainuddin, didakwa di bawah Seksyen 97(1) Bafia. Rafizi didakwa mendedahkan maklumat rahsia akaun kewangan dan perbankan berkaitan dengan NFC, syarikat projek lembu daging, yang dikaitkan dengan keluarga bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. Bagaimanapun, bekas ketua eksekutif di Pejabat Penasihat Ekonomi Negeri Selangor itu mengaku tidak bersalah. Rafizi, 35, didakwa menzahirkan salinan ringkasan akaun empat pelanggan Public Bank kepada konsultan media Yusuf Abdul Alim dan wartawan The Star, Erle Martin Carvelno. Akaun terbabit adalah milik syarikat NFCorp, National Meat and Livestock Sdn Bhd, Agroscience Industries Sdn Bhd, dan salinan ringkasan baki milik Pengerusi Eksekutif, NFCorp Datuk Mohamad Salleh Ismail. Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Ibu Pejabat PKR, A-1-09, Merchant Square, No 1, Jalan Tropicana Selatan 1, Petaling Jaya, 7 Mac lalu. Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 97(1) Bafia dan boleh dihukum mengikut Seksyen 103(1)(a) akta sama. Ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda RM3 juta atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. Aslam membenarkan Rafizi diikat jamin RM15,000 selepas dikurangkan daripada RM100,000 yang diminta Pegawai Pendakwa Bank Negara Malaysia, Nahra Dollah. Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad sebagai penjamin. Polis menahan pemimpin muda PKR itu di rumahnya di Ampang awal pagi tadi. Akaun itu dilaporkan dimiliki oleh Salleh, suami Shahrizat dan anak-naka mereka. Salleh membuat laporan polis dan aduan kepada Bank Negara. Projek itu menjadi kontroversi ekoran kerugian yang dialami, yang pada awalnya didedahkan oleh Laporan Ketua Audit Negara 2010, yang dibentang di Parlimen. Sebelum ini, Rafizi disiasat kerana bertindak bercanggah dengan Bafia, dengan mendedahkan maklumat sulit perbankan NFCorp. Pada Mei lalu, NFCorp menegaskan Rafizi harus dipertanggungjawabkan terhadap pencabulan Bafia. Syarikat itu yang membuat laporan polis dan kepada Bank Negara mendakwa Rafizi telah bertindak mendedahkan kerahsiaan dokumen yang secara jelas tertera perkataan 'sulit dan peribadi' kepada pihak media. Kenyataan bertarikh 17 Mei lalu syarikat itu menyebut, pada awal bulan itu, Rafizi telah mengedarkan kepada media sepucuk surat bertanda 'sulit dan peribadi' bertarikh 24 April daripada bank terlibat yang telah dialamatkan kepada Johari Mohamad, seorang pegawai bank NFCorp membuka akaun. Menurut peguam-peguam NFC, semua pencabulan dan sikap tidak hormat Rafizi terhadap perkara kerahsiaan adalah disebabkan untuk memenuhi agenda politik peribadinya. Malah menurut para peguam itu, dakwaan Rafizi bahawa NFC sedang memburu 'pemberi maklumat' mengenai NFC adalah salah. | ||
Sebangsa Sejiwa Senegara tema Hari Kemerdekaan PR Posted: 31 Jul 2012 11:07 PM PDT PETALING JAYA - Pakatan Rakyat (PR) yang mempertikaikan tema Hari Kemerdekaan digunakan Kerajaan Pusat, hari ini mengumumkan pihaknya akan menggunakan tema Sebangsa Sejiwa Senegara. Jawatankuasa Tema Hari Kemerdekaan yang dilantik PR telah membuat pengubahsuaian daripada 250 slogan yang diterima sejak minggu lalu selari dengan keadaan rakyat di Malaysia yang berbilang kaum dan agama. Ketua jawatankuasa itu, Datuk A. Samad Said berkata, tema yang dikirim oleh Al Haimi Adam 'Senegara Sebangsa Sehati Sejiwa' telah diubah supaya tidak menyentuh isu sensitif, siasah, perkauman dan diperhalusi sebanyak mungkin. Menurutnya, tema tersebut dilihat lebih neutral dan memberi gambaran kebersamaan rakyat dan negara tanpa ada sebarang agenda politik. "Kita berbincang hampir dua jam untuk pilih, ada banyak tema yang dihantar adalah sama menggambarkan rakyat bersama, sejahtera dan lain-lain. "Akhirnya kami putuskan untuk pilih satu slogan dan turut diubah untuk kesesuaian," katanya pada sidang media di sini hari ini. Sebelum ini, PR telah mendesak kerajaan pusat supaya menukar tema Hari Kemerdekaan 55 Tahun Merdeka Janji Ditepati yang tidak mencerminkan rakyat dan negara serta lebih kepada mewakili Barisan Nasional. Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, tema hari kebangsaan memang menjadi hak kerajaan untuk memilihnya namun biarlah ianya memberi gambaran untuk keseluruhan rakyat dan negara. | ||
Penahanan Rafizi petanda ketakutan regim BN – AIC Malaysia Posted: 31 Jul 2012 11:02 PM PDT KEADILAN DAILYKelab Anwar Ibrahim percaya penahanan Pengarah Strategi PKR, Sdr Rafizi Ramli dibawah BAFIA (Akta Institusi Perbankan dan Kewangan) adalah satu pentafsiran positif bahawa nyawa Barisan Nasional sebagai rejim tunggal di Asean ini bakal berakhir tidak lama lagi.Rafizi yang didakwa pagi tadi di Mahkamah Seksyen Shah Alam sebelum diikat jamin RM 15 ribu, didapati mendedahkan maklumat tiga akaun kewangan berkaitan National Feedlot Corporation (NFC) dan pengerusinya Mohd Salleh Ismail, yang dipercayai terlibat dalam salahguna pinjaman mudah kerajaan dalam projek penternakan lembu fidlot tersebut. AIC yakin anak-anak muda tidak akan goyah malah akan terus berani untuk menyatakan kebenaran dan bersolidariti atas keberanian Rafizi Ramli yang begitu konsisten untuk membongkar salahguna kuasa dan pecah amanah yang selama ini menjadi barah dalam negara kita. AIC melihat tindakan Barisan Nasional untuk menekan Rafizi Ramli ini persis kisah "Singapura Dilanggar Todak" apabila penguasa zalim dan sombong terpaksa akhirnya membunuh anak muda cerdik bernama Hang Nadim kerana kebijaksanaan anak muda itu membuka mata bahawa penguasa adalah lemah dan tidak berupaya mentadbir. Rafizi sejak lebih setahun lalu telah menjadi duri dalam daging terhadap pentadbiran Najib Razak sehingga terpaksa tidak menyambung tugas Shahrizat Jalil sebagai Senator dan Menteri akibat skandal lembu tersebut. Justeru, AIC menyatakan sokongan padu terhadap usaha gigih Rafizi Ramli, dan berterima kasih kerana usaha beliau itu telah membuka mata banyak pihak untuk menyedari bahawa Barisan Nasional sudah tidak lagi diperlukan buat masa depan Malaysia. Cukuplah penindasan, penghinaan dan rompakan yang telah mereka lakukan bukan sahaja ke atas harta tetapi hak dan maruah rakyat Malaysia. Janji bahawa Barisan Nasional akan menzalimi rakyat telah ditepati, kini masa untuk membalas dengan menumbangkan mereka pada PRU 13 akan datang. GENERASI PENGGERAK ZAMAN SAIFUDDIN SHAFI MUHAMMAD Presiden AIC MALAYSIA | ||
Rafizi dikenakan ikat jamin RM15,000, bicara 10 Sept Posted: 31 Jul 2012 10:58 PM PDT Oleh Aisha Geoffrey SHAH ALAM : Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli dilepas dengan dikenakan ikat jamin berjumlah RM15,000. Beliau didakwa di bawah Seksyen 97(1) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 yang membawa hukuman maksimum tiga tahun penjara atau denda RM3 juta. Turut didakwa, bekas kerani Public Bank, Johari Mohamad kerana dituduh bersubahat mendedahkan dokumen perbankan melibatkan skandal National Feedlot Corporation (NFC). Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam, Tuan Aslam Zainuddin membenarkan ikat jamin dengan RM15,000 setiap seorang dengan seorang penjamin. Pengarah Komunikasi KEADILAN, Nik Nazmi Nik Ahmad tampil sebagai penjamin Rafizi, manakala Johari diwakili abangnya. Rafizi dan Johari diwakili peguam, N Surendran. Turut hadir memberi sokongan, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad. Perbicaraan kes ditetapkan pada 10 September depan. Rafizi sebelum ini disiasat mengikut Bafia berikutan keberaniannya mendedahkan butiran penyelewengan perbankan NFC dan ahli pengarahnya, 16 Februari lalu. NFC dikendalikan suami dan anak kepada Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang menyalah guna peruntukan RM250 juta untuk penternakan lembu fidlot. | ||
Kes penahanan peguam hak asasi: Peguam k’jaan cuba lindungi polis Posted: 31 Jul 2012 10:56 PM PDT Oleh Norutul Ilham KUALA LUMPUR : Peguam mewakili kerajaan terpaksa mengitar semula soalan berkenaan permit demi mempertahankan tindakan pihak berkuasa menahan lapan peserta dalam Perarakan Hari Hak Asasi Manusia pada 10 Disember 2007. Soalan itu bertubi-tubi ditanya peguam ketika menyoal saksi ketiga, Latheefa Koya merupakan individu yang ditahan pada hari kejadian. Berdasarkan bukti melalui rakaman video dan gambar perarakan, Latheefa ditanya berulang kali mengenai penyertaan beliau dalam penganjuran itu yang didakwa tidak mendapat permit. Menurut Latheefa perkara itu bercanggah dengan konsep sebenar penganjuran yang mahukan perarakan diadakan secara aman. "Secara keseluruhan selama dua hari ini, kami dalam proses menyaman kerajaan kerana menahan kami tanpa asas. Sebenarnya kami telah dibebaskan daripada pertuduhan sama ada kita berjalan dengan permit atau tiada (permit). "Tapi nampaknya pada peringkat ini, pihak peguam negara masih gunakan alasan yang sama (perarakan) diadakan tanpa permit dan soalan itu tidak releven," katanya ketika ditemui Keadilan Daily. Mereka yang ditahan termasuk lima orang peguam antaranya, N Surendran, Latheefa Koya, R Sivarasa, Eric Paulsen dan Amer Hamzah. Manakala individu lain ialah Anthony Andu, Norazah Othman dan seorang aktivis. Perbicaraan pada hari kedua itu semalam turut memanggil dua lagi saksi iaitu Chan Chee Keong dan Dr Nicholas. Mereka berdua hanya memberikan bukti rakaman video untuk ditonton hakim dan peguam serta gambar bukti. Tindakan kelima-lima peguam selaku plaintif itu adalah bagi mencabar kerajaan ekoran tangkapan mereka secara tidak sah dengan menamakan tiga defenden iaitu, Pemangku Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Che Hamzah Che Ismail, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan Malaysia. Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk John Louis O'Hara menetapkan prosiding perbicaraan diteruskan petang ini memandangkan masih ada saksi yang belum dipanggil memberi keterangan. | ||
Najib tak nafi beri kontrak LRT Ampang pada kroni Posted: 31 Jul 2012 10:51 PM PDT KEADILAN DAILYKUALA LUMPUR : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak menafikan kontrak sambungan LRT Ampang bernilai hampir RM1 bilion dianugerah kepada Konsortium George Kent, kata Pengarah Strategi KEADILAN, Mohd Rafizi RamliRafizi berkata, kenyataan Najib bahawa tiada yang salah mengenai projek itu, mengukuhkan spekulasi bahawa beliau melanggar keputusaan bidaan seperti yang disyaki banyak pihak. "Oleh itu, saya sekali lagi mengulangi desakan bahawa Dato' Seri Najib Tun Razak wajarlah menyatakan secara terbuka sama ada kontrak itu telah pun dianugerahkan kepada Konsortium George Kent kerana itu bakal menjawab pelbagai persoalan mengenai campur tangan beliau di dalam proses pemilihan kontraktor," kata Rafizi. Katanya, beliau mendapat maklumat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil dokumen rasmi dari pejabat Prasarana semalam yang menunjukkan konsortium berkenaan ditolak sebagai pembida sejak awal. "Salah satu dokumen yang diambil adalah kertas-kertas rasmi yang membuktikan bahawa Prasarana telah pun memulangkan kembali bon tender kepada Konsortium George Kent kerana kumpulan itu telah pun dikeluarkan dari senarai pembida berpotensi sejak dari awal lagi. "Maka, sebarang keputusan menganugerahkan kontrak ini kepada Konsortium George Kent sudah tentu bertentangan dengan keputusan penilaian bidaan dan tatacara tender yang diterima pakai," kata Rafizi. Beliau juga mendesak Pengarah Urusan Kumpulan Prasarana, Dato' Shahril Mokhtar mengesahkan dakwaan bahawa bon tender itu dipulangkan. Rafizi sebelum ini mendakwa projek itu sepatutnya diberi kepada Balfour Beatty-Invensys Consortium (Balfour) tetapi atas campur tangan Najib, ia jatuh ke tangan George Kent. | ||
Polis berat sebelah gari Rafizi tapi suami Shahrizat dikecuali Posted: 31 Jul 2012 10:44 PM PDT Oleh Aisha Geoffrey SHAH ALAM : Polis berat sebelah menggari Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli sebaliknya, tindakan ini dikecualikan ke atas suami Shahrizat Jalil, yang sebelum ini diheret ke mahkamah kerana menyalahguna peruntukan RM250 juta untuk penternakan lembu fidlot. "Tindakan itu tidak perlu, ia jelas menunjukkan sikap polis yang berat sebelah bila melibatkan pemimpin Pembangkang," kata Naib Presiden KEADILAN, N Surendran. "Kenapa dulu suami (Datuk Seri) Sharizat Jalil yang juga didakwa tidak pula digari dan ditangkap di rumah awal-awal pagi? Kenapa ada layanan istimewa?," tegasnya. Menurut Surendran, tindakan itu sebenarnya untuk memberi tekanan kepada Rafizi supaya berhenti mendedahkan penyelewengan pemimpin Umno. "Apatah lagi, Rafizi sekarang sedikit demi sedikit mendedahkan skandal LRT (Ampang) yang melibatkan Perdana Menteri, pasti beliau (Najib Razak) juga memainkan peranan dalam konspirasi ke atas Rafizi," katanya. "Kita mengutuk tindakan menggari tersebut. Rafizi bukan penjenayah, malah beliau sepatutnya diberi penghormatan kerana berbakti kepada negara dalam menyelamatkan dana rakyat dari terus diseleweng," tegas Surendran lagi. Rafizi digari bersama-sama bekas kerani Public Bank, Johari Mohamad yang turut didakwa kerana dituduh bersubahat mendedahkan dokumen perbankan melibatkan skandal National Feedlot Corporation (NFC). Rafizi didakwa di bawah Seksyen 97(1) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 yang membawa hukuman maksimum tiga tahun penjara atau denda RM3 juta. Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam, Tuan Aslam Zainuddin membenarkan ikat jamin dengan RM15,000 setiap seorang dengan seorang penjamin. Pengarah Komunikasi KEADILAN, Nik Nazmi Nik Ahmad tampil sebagai penjamin Rafizi, manakala Johari diwakili abangnya. Surendran mewakili Rafizi dan Johari selaku peguam. Perbicaraan kes ditetapkan pada 10 September depan. Rafizi sebelum ini disiasat mengikut Bafia berikutan keberaniannya mendedahkan butiran penyelewengan perbankan NFC dan ahli pengarahnya, 16 Februari lalu. NFC dikendalikan suami dan anak kepada Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Jalil yang menyalah guna peruntukan RM250 juta untuk penternakan lembu fidlot. Pengerusi Eksekutif NFC, Datuk Seri Mohamed Salleh Ismail didakwa di Mahkamah Sesyen 12 Mac lalu atas dakwaan pecah amanah dan melanggar akta syarikat. Bagaimanapun, beliau dikecuali daripada tindakan gari oleh polis. | ||
Penjenamaan KLIFD, satu lagi projek mega BN Posted: 31 Jul 2012 06:21 PM PDT Roketkini.com KUALA LUMPUR: Di kala keadaan ekonomi negara yang tidak menentu, Datuk Seri Najib Razak telah melancarkan penjenamaan semula projek kawasan kewangan antarabangsa Kuala Lumpur (KLIFD) sebagai "Tun Razak Exchange" (TRX) yang akan memakan belanja wang rakyat RM26 billion. Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan Tony Pua berkata, projek Perdana Menteri itu yang mengambil sempena nama bapanya adalah satu lagi projek hartanah kerajaan Barisan Nasional yang dikhuatiri akan mengalami nasib yang serupa seperti projek mega yang lain sebelum ini. Menurutnya, kenyataan Najib yang dipetik sebagai berkata projek itu sebagai "satu permulaan bagi KLIFD berkembang lebih besar dan inklusif" tidak menunjukkan bagaimana ia akan menjadi lebih menyeluruh. "Malah, beliau membayangkan bagaimana projek ini akan jadi lebih eksklusif dengan lebih banyak janji insentif kepada mereka yang dilihat berminat terhadap projek tersebut," ujar beliau. Tambahnya lagi, konsep KLIFD secara keseluruhannya cuma berdasarkan pada andaian bahawa institusi kewangan dan perkhidmatan professional berkaitan perlu mencuba nasib. "Andaian sedemikian sama sekali salah. Tidak ada contoh sinergi atau gabungan bagaimana ibu pejabat Maybank boleh dipindahkan kepada KLIFD berbanding kedudukan sekarang dengan mengecualikan keuntungan faedah cukai," katanya. Beliau menambah, Najib yang juga Menteri Kewangan telah memperkenalkan 10 tahun pengecualian cukai 100 peratus bagi setiap syarikat yang berkelayakan di dalam KLIFD. Katanya, Najib juga memansuhkan faedah yang lain seperti pengecualian duti setem terhadap perjanjian pinjaman dan perkhidmatan, elaun bangunan industri dan mempercepatkan elaun modal bagi syarikat-syarikat dalam ucapan belanjawannya tahun lalu malah pemaju hartanah yang berada di dalam KLIFD mendapat layanan istimewa dengan pengecualian cukai sebanyak 70 peratus untuk 5 tahun. Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara berkata, kerajaan telah pun menyediakan tanah kepada 1MDB tanpa bidaan terbuka, ini menyebabkan berlakunya ketidakadilan bagi mereka yang berjaya kemudiannya. "Kerajaan telah menjelaskan peranan KLIFD untuk menukar Kuala Lumpur kepada "ikon baru dunia kewangan" dan "pusat pilihan kewangan global". Sama halnya dengan Bio-Valley, E-Village dan MSC, semuanya telah ditunjukkan kepada rakyat Malaysia sebagai projek tranformasi dalam bidang berkaitan dan dilancarkan dengan 'penuh gemilang,'" jelas beliau. Walaubagaimanapun, katanya, keputusan untuk menempatkan institusi kewangan global dari kedudukan mereka tidak berdasarkan pilihan dalam bidang hartanah. "Ia sebenarnya berdasarkan kepada permintaan, perkhidmatan dan dana, kecanggihan instrumen kewangan dan keterbukaan ekonomi," ujarnya. – Roketkini.com | ||
Hairie Othman belum rancang bertanding p'raya Posted: 31 Jul 2012 06:11 PM PDT Pelakon Hairie Othman yang baru sahaja menyertai PAS tidak menolak kemungkinan bertanding dalam pilihan raya umum akan datang jika dicalonkan. Hairie ketika dihubungi Malaysiakini bagaimanapun menegaskan bahawa beliau sendiri sendiri belum merancang untuk berbuat demikian buat masa ini. "Itu saya saya tidak menolak (kemungkinan akan dicalonkan). Tetapi buat masa ini saya masih belum memikirkan ke arah itu. Saya anggap diri saya ini sebagai aktivis parti sahaja," kata Hairie. Ura-ura itu timbul apabila beliau dilihat semakin rancak berceramah di pentas PAS selepas menyertai parti itu secara rasmi akhir Jun lalu. Mengulas lanjut, Hairie berkata penyertaannya ke dalam PAS merupakan satu bentuk penghijrahan agama dan politik. "Dua-dua sekali (hijrah agama dan politik), dan sejak masuk PAS ini saya banyak belajar tentang agama," kata Hairie. Penyertaan golongan pelakon dan penyanyi ke dalam parti pembangkang merupakan sesuatu yang jarang berlaku sebelum ini. Salah satu penyebabnya adalah tanggapan bahawa mereka yang berbuat demikian akan sukar mencari makan menerusi media massa perdana yang dilihat menyebelahi parti pemerintah. Mengulas perkara itu, Hairie menegaskan yang beliau yakin rezekinya tetap akan terjamin walaupun bergiat aktif dengan PAS. "Kita sentiasa boleh cari sumber rezeki yang lain," katanya. Menurutnya lagi, sokongan terhadap Pakatan Rakyat di kalangan seniman dan selebriti tanah air juga semakin meningkat akhir-akhir ini. Namun demikian tambahnya, ramai yang memilih untuk tidak menyatakan sokongan mereka secara terbuka kerana tidak mahu sumber pendapatan mereka terjejas. "Kawan-kawan artis ada yang menyokong dan bersama Pakatan Rakyat secara senyap-senyap. "Cuma kebanyakannya memilih untuk tidak menyuarakannya kerana masih mahu kekal dalam industri," kata Hairie. Selain Hairie, turut menyertai PAS setakat ini ialah penyanyi Aishah, pelawak Bob Lokman, dan terbaru pelakon Abby Abadi ketika parti itu dilihat semakin rancak menerima keanggotaan dari selebriti dan bekas pegawai kanan kerajaan. Penglibatan Hairie dalam bidang lakonan bermula menerusi filem pertamanya, Kad Cinta pada tahun 1995. Popularitinya melonjak naik pada tahun 2000 selepas memegang watak Leftenan Adnan dalam filem dengan judul sama. | ||
DAP hormati perjuangan PAS, bekerjasama membanteras rasuah, salahguna kuasa Posted: 31 Jul 2012 06:09 PM PDT Roketkini.com KUALA LUMPUR: DAP dan PAS bersatu tenaga untuk memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa serta melaksanakan amalan integriti dalam kepimpinan yang berteraskan prinsip cekap, akauntabel dan telus. Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, DAP bersetuju dengan usaha PAS memperjuangkan negara berkebajikan yang melindungi rakyat yang miskin, fakir, sakit dan sesiapa yang memerlukan bantuan. "DAP dan PAS boleh dan harus bekerjasama untuk masa depan rakyat Malaysia berdasarkan prinsip bersama yang menyatukan kita daripada membiarkan perbezaan ini untuk memecahbelahkan kita. "Untuk sebab ini, DAP dan PAS telah menandatangani "dasar bersama" yang menyatakan kerangka kerjasama kita dan dasar membina negara-bangsa kerajaan persekutuan Pakatan Rakyat pada masa depan. "Jelas, "dasar bersama" tersebut tidak menyebut tentang perlaksaan negara Islam atau undang-undang hudud dalam kerajaan persekutuan PR masa depan," katanya dalam satu kenyataan hari ini. Sehubungan itu, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan membidas MCA dan Gerakan yang meneruskan serangan tidak bertanggungjawab dan tidak jujur kononnya DAP menyokong PAS dalam pelaksanaan undang-undang hudud dan penubuhan negara Islam serta serangan peribadi yang menampakkan keadaan terdesak mereka untuk meraih kembali sokongan yang sudah hilang. "Saya ingin mengulangi sekali lagi pendirian DAP yang tidak menyokong pelaksanaan negara Islam di Malaysia dan pelaksanaan undang-undang hudud oleh PAS. Pendirian DAP ini konsisten dan tidak pernah goyah," katanya, merujuk kepada penghormatan DAP kepada kontrak sosial dan Perlembagaan Persekutuan yang tidak membenarkan pelaksanaan hukum jenayah Islam itu serta penubuhan negara agama. Katanya, MCA dan Gerakan seakan-akan menjadi orang bersalah yang menyerang orang lain terlebih dahulu dengan cubaan mereka untuk menutup kegagalan menuntut tindakan terhadap pemimpin-pemimpin UMNO yang menyokong pelaksanaan hudud ke atas orang bukan Islam. Kepimpinan UMNO telah bercelaru apabila pemimpin seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menolak untuk melaksanakan hudud tetapi beberapa pemimpin UMNO lain mendesak hudud dilaksanakan untuk semua, termasuk orang bukan-Islam. Menurut Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, UMNO Pulau Pinang yang telah menuntut pelaksanaan hudud di Pulau Pinang dan di serata negara. "Bukan sahaja Ketua Pembangkang Pulau Pinang Dato' Azhar Ibrahim tetapi Ketua Wanita UMNO Kepala Batas juga telah meluluskan ketetapan untuk menyokong undang-undang hudud untuk semua," ujarnya. Beliau menambah, ADUN UMNO Kemelah di Johor, Ayub Rahmat, pula telah menyeru agar Johor menjadi negeri pertama untuk melaksanakan "undang-undang hudud sebenar", yang berbeza dengan versi PAS kerana "undang-undang hudud sebenar" UMNO akan merangkumi rakyat bukan Islam juga. "Dalam erti kata lain, UMNO yang ingin melaksanakan undang-undang hudud ke atas bukan Islam adalah lebih ekstrem berbanding PAS yang hanya ingin melaksanakannya ke atas orang Islam. "Saya tidak dengar pemimpin-pemimpin tertinggi Gerakan mengutuk UMNO ataupun Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek menggunakan kata-kata "sida politik" terhadap UMNO. "Kenapa MCA atau Gerakan tidak meninggalkan BN atas sokongan pemimpin-pemimpin UMNO terhadap hudud untuk semua? DAP tidak akan menggunakan taktik jijik dan kotor yang digunakan oleh MCA dan Gerakan terhadap pemimpin-pemimpin DAP," tambahnya. Guan Eng berkata, DAP tidak pernah menyalah gunakan imuniti Parlimen untuk menonjolkan video seks Chua Soi Lek serta tidak menyerang Chua sebagai orang tidak bermoral yang mempimpin parti tidak bermoral. Menurutnya, DAP juga tidak menjalankan kempen memburuk-burukkan sepertimana Gerakan lakukan terhadap dirinya dan keluarganya. Sebaliknya, beliau menjelaskan, keberanian sedemikian tidak pernah ditunjuk oleh pemimpin-pemimpin Gerakan terhadap UMNO yang disokong penuh walaupun UMNO bagai tidak endah apabila gambar potret Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon telah dikoyakkan. "Jangan kita lupa bahawa UMNOlah yang telah mengharamkan penggunaan kalimah "Allah" dalam kitab injil bahasa Melayu yang digunakan secara luas di Sabah dan Sarawak. "Ini berbeza dengan PAS yang mengambil jalan sederhana yang membenarkan orang Kristian untuk menggunakan kalimah "Allah" seperti yang menjadi kelaziman selama beratus-ratus tahun di Timur Tengah dan Indonesia," tambah beliau. Menurut Guan Eng, jelas terdapat perbezaan di antara kerjasama DAP dan PAS, dengan kerjasama MCA atau Gerakan dan UMNO, apabila PAS dan UMNO dua-dua menyokong hudud dan negara Islam. "PAS menyokong hudud secara terbuka dan tidak ingin melaksanakannya ke atas bukan Islam sementara UMNO hanya menyatakan usaha melaksanakan hudud untuk semua dalam media bahasa Melayu tetapi tidak dalam media bahasa Cina atau Inggeris. "DAP bekerjasama dengan PAS atas prinsip bersama iaitu keadilan, kebebasan dan demokrasi dengan mata terbuka sedangkan MCA, MIC dan Gerakan menyerah diri kepada UMNO dengan mata tertutup," tambah beliau. – Roketkini.com |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan