Ahad, 26 Ogos 2012

.

.


Gelagat 'Bacal' Dan Pembahagian Kerusi Di Rantau Panjang

Posted: 25 Aug 2012 08:22 PM PDT

KEMBARA AIDIFITRI (2)

Malam ini hendak berpaling ke politik kampung sendiri sekilas dengan memberi gambaran mengenai kedudukan Umno dan bakal-bakal calon (bacal) yang kini sedang giat menayang 'bojen' dan membentang manifesto peribadi  kepada rakyat. Mereka berbuat awal-awal lagi mana tahu  takut-takut dipilih menjadi calon.

Khabarnya mereka yang merasakan layak menjadi calon dan teringin sangat melihat gambar ditampal di pokok kepala bergerak aktif masuk kampung keluar kampung tidak kira hujan kilat angin ribut. Pantang ada kematian, perempuan bersalin atau anak lembu jatuh telaga buta, bacal ini akan berlari kenjang masing-masing menghulurkan bantuan.
Atas ke kiri: Abdullah, Ghazali, Mohd Zain dan Shaari.

Macam-macam gaya dan cara dilakukan oleh 'bacal' ini. Salah seorang sudah termasuk dalam kelambu veteran, katanya rajin mengunjungi surau dan masjid yang sebelum ini kalau ditanya mana pintu utama masjid pun tidak tahu. Kalau ada tempat 'berbewah' (kenduri)  bukan saja duduk di bendul tetapi terus menuju ke serambi tempat bergulai ambil sodek terus kacau gulai atau nasi dalam kawah. Pernah terjadi kerana tidak berhati-hati gulai yang dikacau salah seorang bacal ini merencik ke mukanya sampai melecur bawah dagu. Nasib baik tak buruk!

Ada juga bacal ini bergerak menawan hati rakyat dengan cara lain mengikut kemampuan dan idea tersendiri. Ada yang mengadakan pesta fun fair, atau pun menjadi penganjur pertandingan burung candik. Disediakan hadiah berupa basikal, periuk nasi, ataupun basikal chopper dan sebagainya.

Manakala bacal yang ada duit sikit khasnya yang dilantik menjadi pengarah Dun lain pula caranya. Masa bulan Ramadhan baru-baru ini kerap mengadakan majlis berbuka puasa dan memberi zakat fitrah ada yang sekadar RM20 hingga RM30 ringgit seorang. Manakala bacal yang tidak berduit, tidak tahu hendak 'menyangak' duit parti tidak berbuat apa-apa melainkan berdoa. Bacal yang kaki agak panjang sedikit dan ada konteks dengan ibu pejabat parti di KL tidak perlu pedulikan rakyat atau berkhemah di kedai-kedai kopi cukup melangut di bawah dagu pemimpin di ibu kota.

Kerusi dalam kawasan Rantau Panjang ada empat saja, tiga Dun (state) dan satu parlimen. Kerusi-kerusi state, Gual Periok, Buku Tuku dan Meranti. Kerusi Parlimen  ialah Rantau Panjang.

Setakat hari ini ada lapan orang yang disebut-sebut akan menjadi calon (bacal) atau dikatakan layak atau merasakan diri mereka anggun menjadi calon dari pihak Umno. Masing-masing telah "chot" kerusi masing-masing. Mereka, ketua bahagian Rantau Panjang Abdullah Mat Yassin, timbalan ketua Shaari Hussein, naib ketua Mohamad Daud, ketua pemuda Affandi Yusuf.

Selebihnya, bekas ketua bahagian Mohd Zain Ismail, bekas bendahari Ghazali Ismail dan bekas setiausaha bahagian, Mamat Jusoh. Turut sama dijaja sebagai bacal ialah bekas ahli jawatan kuasa bahagian Wan Amiruddin Wan Daud dan bekas pegawai belia Dr Danial. Selain Danial yang lain merupakan pernah menjadi pemimpin Umno bahagian Rantau Panjang.

Daripada lapan calon itu empat pernah bertanding dan dua pernah menjadi wakil rakyat. Yang pernah jadi wakil rakyat (menang) ialah Shaari Hussein (Gual Periok) dan Mat Zain Ismail (Bukit Tuku).

Mereka yang pernah bertanding dan kalah Abdullah Mat Yasssin. Bertanding dua kali, sekali di parlimen Rantau Panjang dan sekali lagi di Dun Meranti, dua-dua tewas. Mohamad Daud dikerusi parlimen Rantau Panjang begitu juga dengan Afandi Yusuf. Manakala yang belum merasai sebagai calon ialah Wan Amiruddin, Mamat Jusoh, Ghazali dan Danial.

Nama-nama kelapan-lapan orang itu khabarnya sudah pun dihantar ke pengetahuan ketua perhubungan Umno Kelantan Mustapa Mohamed. Nama-nama itu sudah melalui saringan di peringkat bahagian dan juga melalui laporan mengenai latar belakang dan keperibadian mereka dari pihak SB. Pendeknya latar belakang, tingkah laku dan rekod perkhidmatan mereka sudah dalam pengetahuan parti.

Apakah Mustapa sudah membuat senarai pendek - memilih satu nama untuk satu kerusi tidak diketahui, ataupun beliau menghantar kesemua nama-nama terlibat. Bagaimana pun ada juga maklumat dalaman mengatakan pihak Mustapa sedang mengenal pasti sehalus-halusnya nama-nama itu untuk disesuai dengan kerusi yang bakal ditandingi. Mustapa terpaksa meninjaun dari berbagai aspek dan berbagai sumber bagi memastikan kemenangan. Bertanding saja tidak ada gunanya kalau kalah.

Sebelum ini Mustapa pernah memanggil beberapa orang tertentu di Rantau Panjang yang bertelagah sesama sendiri bagi menyelesai atau melendikkan keadaan. Pertemuan itu juga tentulah untuk mengelakkan perebutan sesama sendiri di Rantau Panjang. Sebelum ini Umno bahagian Rantau Panjang mengalami pergolakan besar apabila berlaku dua mesyuarat bahagian yang serentak. Umno Rantau Panjang terbelah dua macam buah tembiar masak merah. Satu kumpulan diketuai oleh ketua bahagian sekarang Abdullah Mat Yassin dan satu lagi diketuai bekas ketua Mohd Zain.

Apakah hasil pertemuan itu keadaan Umno Rantau Panjang hari ini sudah tenang? Tetapi yang jelasnya penyelesaian dibuat oleh Mustapa satu keputusan yang adil dan saksama di mana beliau tidak berpihak ke mana-mana pihak dan menafikan peranan mana-mana pihak untuk pembangunan parti. Itu yang beliau harapkan.

Keadilan itu terserlah apabila Mat Zain yang kehilangan jawatan sebagai ketua Umno bahagian dilantik menjadi pengarah Dun Gual Periok, manakala Ghazali Ismail pengarah Dun Bukit Tuku. Shaari walaupun tidak menjadi pengarah mana-mana Dun tetapi diberi keistimewaan bila mana orang-orangnya yang pernah dilantik menjadi Pegawai Penyelia Mukim (PPM) dilantik semula. Ketua pemuda Afandi Yusuf pula dilantik sebagai pengarah Dun Meranti.

Perlantikan atau ambil bicara Mustapa menerusi 'perlantikan' itu menyebabkan kini berlaku 'pengecotan' penanda kerusi bakal ditandingi masing-masing. Atas perasaan pengarah akan dilantik menjadi bacal maka Shaari, Ghazali dan Mat Zain serta Afandi merasakan mereka mempunyai tempat masing-masing dalam pilihan raya akan datang. Apakah realitinya begitu?

Kalau benar begitu Ghazali sepatutnya tidak menjadi pengarah di Bukit Tuku sebaliknya di Gual Periok kerana rumahnya berada dalam Dun Gua Periok, Dun Bukit Tuku patutnya diungguli Mohd Zain. Adapun pertukaran itu bunyinya kerana orang Gual Periok tidak dapat menerima Ghazali maka beliau dipindah. Awal-awal lagi kata setengah orang sebelum pegawai pilihan raya buka pusat mengundi Ghazali sudah kalah kalau diletakkan bertanding di Gual Periok. Apakah jaminannya kalau beliau bertanding di Bukit Tuku?

Selain beliau kerusi Gual Periok juga menjadi idaman Shaari dan Mamat Jusoh. Mungkin Mamat tidak menjadi masalah besar kerana dia hanya berangan-angan saja untuk jadi calon. Bagi Mamat yang sudah berkarat dalam Umno cukup kalau dapat berangan-angan sebagai calon sudah puas baginya. Tetapi Shaari wajar untuk kerusi Gual Periok kerana beliau pernah berkhidmat di situ. Pemerhatian kampung pula berpendapat kalau Shaari turun sekali lagi di kerusi itu dia mampu mengalahkan wakil rakyat Pas kini.

Kalau Shaari di Gual Periok, Mat Zain perlu kembali ke tapak asalnya di Bukit Tuku. Beliau pernah berkhidmat dua penggal di kerusi berkenaan. Pengaruhnya juga ramai di situ. Namun kalau Umno ingin melakukan transformasi mahu meletakkan orang berdarah muda Wan Amiruddin boleh diperjudiankan di Bukit Tuku. Bagi mengelak kekecewaan Mat Zain beliau boleh difikirkan untuk bertanding di kerusi parlimen Rantau Panjang. Macam mana dengan Ghazali?  Kerusi "Golok" ada untuknya.

Struktur perlantikan pengarah Dun hari ini menampakkan persiapan ke arah itu, Mat Zain mungkin akan diletak bertanding di kerusi Rantau Panjang. Bagaimana pun dengan menjelmanya orang bernama Dr Danial bekas pegawai belia dan kini menceburi diri sebagai motivator boleh menggugat peluang Mohd Zain. Danial dikata mempunyai pengalaman luas dalam pengurusan massa dan latar belakang pendidikan yang baik. Dia lepas dari universiti luar negara. Kebelakangan ini sibuk memberi motivasi kepada pelajar dan orang kampung.

Jika hendak dibandingkan kualiti yang ada kepada Danial, dia mengatasi kualiti bacal-bacal lain terutamanya ketua bahagian sendiri Abdullah Mat Yassin. Walaupun Abdullah bekas pegawai kerajaan tetapi dia kalah dari segi syaksiah dan peribadi. Latar belakang dan perangainya di bahagian Rantau Panjang telah merosakkan imej Umno Rantau Panjang. Wajah Abdullah di Rantau Panjang lebih kurang tiang jamban sahaja!

Ringkasnya untuk calon parlimen Rantau Panjang dengan menolak Abdullah, ia ada dua nama bacal saja kini, iaitu Mohd Zain dan Danial. Adapun bekas calon sebelum ini Afandi Yusuf sudah tidak termasuk dalam book kira-kira. Afandi sendiri kini sudah jarang pulang ke Rantau Panjang. Anak muda yang berbakat ini awal-awal lagi sudah patah di tengah jalan disebabkan syok dengan kehidupan Kuala Lumpur. Kalaupun Umno masih mengambil kira atas dia seorang yang boleh membaca doa lebih baik dari bacal lain, mungkin Afandi diletakkan di Meranti untuk berdepan dengan Nasaruddin Daud. Tetapi kalau Abdullah tetap gila hendak jadi calon dia boleh ambil kerusi itu atas kapasitinya sebagai ketua bahagian.

Apapun nama-nama itu semua masih kekal berada dalam senarai bacal kecuali nama Mamat Jusoh dan Mat Daud yang sudah lama bergulung dalam sungaik Golok. Kedua-dua mereka sudah dicicirkan awal-awal lagi. Cuma Umno sedang mencari mekanisme bagaimana untuk merawat hati Abdullah sekiranya namanya juga dicicirkan. Mamat Jusoh tidak menjadi masalah sebab dia seorang yang setia kepada parti sejak dari dulu lagi. Manakala Mat Daud bukan seorang ambisius dalam politik, dia menjadi calon tahun 2004 dulu pun kerana tidak ada seorang pun ahli Umno berminat untuk bertanding di kerusi parlimen Rantau Panjang.

Nama-nama ini sedang diperhatikan. Saya percaya Mustapa sedang memantau nama-nama ini dari masa ke semasa. Walaupun nama-nama ini mungkin sudah dikirimkan kepada presiden parti, tetapi Mustapa masih berhak untuk membuat pindaan disaat-saat terakhir. [wm.kl.10:17 am 26/08/12]

Mahathir Rampas Kuasa Najib?

Posted: 25 Aug 2012 06:03 AM PDT

MENJAMAH MALAM

Sementara Ha Najib Razak terus menelan panadol kerana skait kepala disebabkan beberapa perkembangan terakhir di dalam negara dan juga suasan dalam BN tidak menentu terutamanya di Sabah dan Sarawak, maka tugas untuk melutu Anwar Ibrahim diambil alih sepenuhnya oleh Mahathir Mohamad. Ternyata Najib bukan saingan hebat untuk berdekat dengan Anwar. Keengganan untuk berdebat atas apa jua isu meletakan Najib berada di hujung kaki Anwar.

Mahathir Mohamad
Walaupun Najib muncul sebagai Santa Claus yang membahagi-bahagikan air skrim dan gula-gula untuk rakyat tetapi aksi dan kebaikan itu tidak berjaya melonjakkan markah untuk dirinya. Sokongan dan minat orang ramai kepada BN tetap merudum. Jadi menyedari kelemahan Najib itu maka Mahathir terpaksa 'kudeta' kuasa Najib untuk terus menyerang Anwar.

Mahathir pun sudah terkial-kial, habis giar untuk memancu kelajuannya dalam mengekori Anwar apa lagi hendak memintas. Anwar terlalu laju dan jauh ke depan tanpa mempedulikannya membebel di belakang. Penampilan dengan berbagai idea yang ideal untuk rakyat Malaysia meletakkan Anwar menjadi harapan rakyat. Di Sabah dan Sarawak rakyat ngeri itu sudah mulai merasa Anwar akan menjadi pahlawan membela mereka.

Bidalan baru Mahathir kononya mengambil perpatah Inggeris bebunyi; lebih baik syiatan yang dikenali daripada malaikat yang tidak kenal, menggambarkan kesesatan dan kesongsangan falsafah agama politik Mahathir. Pemikiran Mahathir jelas gelap dan terhijap kelam dari ilmu Islam sehingga dia mengambil bidalan itu untuk menggayungkan yang BN lebih baik dari Pakatan Rakyat atau Anwar.

Apakah Mahathir memahami erti syaitan dan malaikat? Apakah dia membaca sejarah dan biografi kedua mahkluk Allah itu. Syaitan dan malaikat jauh bezanya umpama langit dengan bumi. Syaitan telah terang-terang memperakui akan melakukan tipu daya ke atas manusia bahkan dia berjanji untuk menggoda manusia dari syurga hingga ke atas muka bumi sampai kiamat. Berapa kali di dalam Quran menyebut Allah s.w.t. mengutuk dan mengecam syaitan (sama ada dikenali atau tidak) berbanding dengan malaikat. Inilah kesongsangan dan kejahilan Mahathir dalam agama yang cukup bahaya kalau tidak ditegur.

Berlainan dengan malaikat, tugasnya ialah membawa rahmat, menjaga manusia zahir dan batin. Dalam konteks fungsi dan peranan kedua makhluk ini lebih baik mendekati malaikat yang tidak kenal sebab fungsi dan tugasnya membawa rahmat dan tidak akan mempedayakan manusia.  Malaikat sama ada kenal atau tidak dia tetap akan membawa rahmat.

Syaitan walaupun baik dengan berbagai bentuk penyamaran ia tetap jahat dan kerja-kerjanya membimbing manusia ke arah jahat. Apakah selama ini Mahathir mengambil syaitan yang dikenali untuk menjadi kawannya menyebabkan hidup dan karektor politiknya rencam dan songsang seprerti hari ini? Menghentam Pas, menghentam Anwar tanpa ada henti-henti. Menghentam juga Abdullah Badawi yang cuba membawa malaikat ke dalam raga Umno? Begitukah. Begitulah agaknya.

Perumpamaan dan bidalan Mahathir itu tidak kena. Rakyat yang ada latar belakang agama dan pengetahuan serta tahu mengenai rukun-rukun imam tidak akan mudah terpengaruh dengan gesaan Mahathir itu. Melainkan mereka yang jahil mengenai rukun imam akan menerimanya, akan merasa senang hati dan menganggap syaitan itu sebagai sahabat manakala malaikat yang baik itu musuh yang perlu ditinggalkan jauh.

Mahathir juga perlu meralatkan kata-kata berbunyi; "malaikat" itu bukanlah golongan yang suci kerana "Kadang-kadang, malaikat juga boleh buat bannyak perkara salah," katanya seperti dilapor.

MasyaAllah tergamak Mahathir bermadah demikian mengatakan malaikat juga melakukan kehilafan? Di sini Mahathir menafikan akan penjelasan dan pengakuan bahawa malaikat itu adalah makhluk suci yang tidak ada nafsu amarah. Kata-kata Mahathir itu boleh dianggap dia menyamakan malaikat dengan syaitan. Sebenarnya kata-kata jahil murakab begitu tidak menghairankan kerana sebelum ini Mahathir banyak kali mempersendakan agama dan batang tubuh Nabi kita Muhammad s.a.w. dengan kata-kata yang sikir telinga untuk mendengarnya. Bahkan hudud juga menjadi bola mainan di mulut rapuh Mahathir.

Satu masa beliau pernah mempersendakan orang yang simpan janggut dan memakai jubah. Apabila orang yang cuba meniru sunnah Nabi itu dengan menyimpan janggut, beliau memberi helah kononya Rasulullah menyimpan janggut bukan ada apa-apa keberkatan dan hikmah di sebaliknya, tetapi kerana waktu itu tidak ada gillate (pisau cukur) untuk Nabi mencukur janggutnya.

Begitu sekali tohor dan jahilnya Mahathir dalam memahami sunnah dan perbuatan Rasulullah. Mempersendakan amalan Rasulullah begitu ia boleh meletakkan akidah Mahathir dalam keadaan sengget kalaupun tidak jatuh dan tercelup lumur hanyir.

Mengenai Mahathir ini banyak yang menghirankan kita dan sama sekali tidak sangka orang dianggap bijak, membangun Malaysia, bapa pembangunan moden Malaysia atau Kamal Altartuk Malaysia masih bermain dengan politik ala-ala budak. Misalnya beliau terus mempertikaikan dan memperkecilkan janji-janji atau agenda politik Anwar. Beliau membuat jahil mengenai janji politik.

Katanya politik Anwar macam Barak Obama di mana banyak berjanji tetapi tidak ada jaminan untuk melaksanakannya. Apakah Mahathir masih bangun awal dari tidur dan membuka internet membaca blog-blog pro pembangkang? Kalau Mahathir bangun lewat dan hanya membaca Utusan, Berita Harian, tonton tv RTM dan TV3 serta hanya membaca blog-blog pembodek dan pentaksubnya beliau tidak akan menemui jaminan dimaksudkan itu.

Tidak payah pergi jauh Mahathir cuba baca kenyataan-kenyataan dikeluarkan Pengarah Strategi PKR Mohd Rafizi Ramli. Di situ sahaja kalau Mahathir ikhlas beliau dapat jaminan terhadap janji yang dibuat oleh Anwar itu. Tetapi kalau beliau ralik dan asyik baca media PB beliau akan menemui bidasan mengatakan semua agenda yang diperkenalkan Anwar dan PKR hanya akan membankrupkan negara? Tidak sepatutnya orang sebijak Mahathir terus membaca pendapat dan pandangan orang yang berfikiran sempit penuh emosional yang disiarkan media PB itu.

Duhai Mahathir belajar bangun pagi dan buka internet selepas Subuh. Jangan hanya menulis blog tetapi diisi oleh orang lain kita sendiri buta dan tutup mata, telinga dan hidung kepada syarahan orang lain dalam internet. Ambillah sdedikit keadilan untuk mengseimbangkan diri.

Kalaupun hendak ambil tugas Najib dalam menyerang Anwar ambillah secara baik dan lakukan kerja yang diamanahkan Najib itu dengan baik. Jangan pula kita menjadi tikus yang cuba membaiki labu. Kalau diperhatikan banyak pandangan Mahathir dalam hendak membela Umno terjadi sebaliknya, bela membawa celaka.  Sikap Mahathir menegur Najib daripada mengumumkan (bentuk) suruhanjaya bebas RIC di Sabah telah mencalarkan imej Najib sebagai seorang perdana menteri. Sebagai bekas PM Mahathir tidak sepatutnya menghalang Najib dan berikan peluang kepadanya.

Tindakan atau sikap merasakan diri sendiri pandai dan bijak seperti mana dilakukan ke atas Abdullah Badawi dulu tampaknya dihala pula kepada Najib. Apakah Mahathir mahukan Udin anak Yassin mengambil alih kepimpinan Umno dan tidak yakin pilihan raya ke-13 Umno akan menang dua pertiga kalau ia dinokhodai Najib. Nampak-nampkanya begitulah?

Ada pertemuan sulit di antara Mahathir dengan Muhyiddin paling baru mengenai agenda ini masih belum terdedah lagi? [wm.kl.8:05 pm 25/08/12]

Tiada ulasan: