Sabtu, 4 Ogos 2012

Blog-list Malaysia

Blog-list Malaysia


JK Khas Royalti: Najib jangan hanya 'sembang kedai kopi'

Posted: 04 Aug 2012 12:27 AM PDT

KUALA LUMPUR: PAS mahu kerajaan menjelaskan terma penubuhan jawatankuasa khas yang akan mengkaji isu bayaran tunai daripada hasil petroleum kepada negeri-negeri di pantai Timur Semenanjung Malaysia.

Meskipun menyambut baik langkah itu, Naib Presiden, Salahuddin Ayub berkata, sebelum sebarang perundingan diadakan, kerajaan negeri dan anggota Parlimen mesti dijelaskan tujuan utama penubuhan jawatankuasa tersebut.

"Saya menyambut baik penubuhan jawatankuasa ini tetapi ingin mendapat penjelasan mengenai terma-terma jawatankuasa ini dan mestilah dijelaskan kepada kerajaan negeri dan ahli Parlimen.


"Terma mestilah menyatakan dengan jelas perundingan itu kerana kita tidak mahu jawatankuasa ini sekadar untuk bersembang minum kopi," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian kepada Harakahdaily hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini dilaporkan berkata, jawatankuasa khas tersebut akan membuat kajian untuk mengenal pasti negeri-negeri yang layak menerima bayaran tunai daripada hasil petroleum di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

Jawatankuasa akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad dan akan dianggotai oleh pakar undang-undang dari dalam dan luar negara, wakil dari kerajaan negeri Pahang, Kelantan dan Terengganu yang diperkenan Sultan negeri-negeri tersebut.

Akur desakan rakyat

Salahuddin berkata, langkah kerajaan ini membuktikan mereka terpaksa akur dengan tuntutan rakyat yang mahu hak mereka dikembalikan.

"Ini langkah terdesak perdana menteri. Akhirnya Putrajaya terpaksa akur dengan tuntutan rakyat dan satu kejayaan awal setelah usaha kita membawa perkara ini ke Parlimen," katanya lagi.

Namun tambah beliau, PAS menuntut kerajaan serius menubuhkan jawatankuasa ini, bukan semata-mata untuk meraih sokongan rakyat dalam pilihan raya umum nanti.

"Kita tak mahu jawatankuasa ini menjadi gimik politik menjelang pilihan raya untuk mengaburi mata rakyat," katanya.

http://www.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/12212-jk-khas-royalti-najib-jangan-hanya-sembang-kedai-kopi


'Awan Nano' Tawar Cipta Lirik Lagu Merdeka

Posted: 03 Aug 2012 10:20 PM PDT

Penulis lirik terkenal Buddhi Hekayat hari ini menawarkan diri untuk membantu kerajaan menggubah lagu dan lirik bertemakan kemerdekaan yang baru setelah lagu sedia ada "Janji Ditepati" dipertikaikan.

Malah, Buddhi Hekayat atau nama sebenarnya Hasmi Hashim bersedia terlibat dengan usaha itu walaupun tidak diberikan sebarang bayaran.

"Hendaknya niat ini tidaklah dipandang remeh dan serong oleh pihak menteri apabila beliau sendiri menyebutkan bahawa persoalan negara harus melampaui kepentingan mana-mana politik kepartian apatah lagi sekadar dasar kerajaan sekalipun," katanya.


Dalam kenyataannya hari ini, Buddhi Hekayat menegaskan keperluan mempunyai lagu kebangsaan dan kemerdekaan sendiri dan tulen, seperti dituntut generasi Malaysia hari ini.

"Kemelut berkaitan lagu berkenaan itu sama sekali tak pula membayangkan bahawa Malaysia kekurangan bakat dalam bidang muzik," kata penulis lirik yang terkenal dengan lagu "Awan Nano" nyanyian Hafiz AF.

"Saya percaya, di kalangan anak-anak bangsa kita, ramai sekali yang mempunyai bakat kemampuan untuk sama-sama menggubah lagu yang mengandungi semangat dan roh kemerdekaan tanah air tercinta ini."

Kritikan masyarakat ada asas

Sementara itu, menyentuh langkah kerajaan untuk menyiasat Janji Ditepati yang didakwa diciplak daripada lagu gereja Indonesia, Buddhi Hekayat berkata, beliau percaya rata-raya rakyat Malaysia menyambut baik.

"Selepas saya sendiri mendengar lagu dan meneliti liriknya, perlu diakui bahawa kritikan masyarakat, khususnya masyarakat di ruang siber memang berasas.

"Belum pernah dalam sejarah Malaysia, perlunya sebuah panel penyiasat diwujudkan hanya untuk menyiasat sebuah lagu," kata pemenang Anugerah Juara Lagu (AJL) dan Anugerah Planet Muzik (APM) Singapura itu.

Beliau bagaimanapun menolak kenyataan komposer Jasnie Mohd Yaakub yang mendakwa Janji Ditepati belum dimuktamadkan.

"Selepas mendapat kritikan hebat, adalah aneh dan tidak munasabah bagi lagu "Janji Ditepati" yang sudah diperdengarkan-juga sepertimana logo kemerdekaan tahun ini-dikatakan masih tak muktamad dan tetap berada dalam proses penyediaan.

"Jawapan ini terdengar sebagai jawapan politik semata-mata," katanya yang juga aktivis parti pembangkang.


Najib hantar surat minta wakil bincang royalti Kelantan

Posted: 03 Aug 2012 06:16 PM PDT




KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memberitahu, Perdana Menteri telah menghantar surat kepada beliau memintanya menghantar wakil untuk membincangkan pembayaran royalti minyak untuk Kelantan.

Menurut beliau, surat itu dihantar kepada beliau Jumaat semalam dan sampai ke tangan Setiausaha Sulitnya, Rosdi Mohamad.

Perkara ini dimaklumkan oleh Tuan Guru Nik Aziz kepada Harakahdaily sebaik sahaja selesai solat subuh di masjid berhampiran rumahnya di Pulau Melaka pagi ini.


Beliau juga turut memaklumkan berita ini dalam tazkirah Subuh yang disampaikan beliau sebaik sahaja selesai solat Subuh di Masjid Pulau Melaka, bersebelahan rumahnya pagi ini.

Kelantan sejak sekian lama memperjuangkan agar Petronas membayar royalti minyak kepadanya berdasarkan telaga minyak yang ada berdekatan dengan pantai Kelantan.

Namun, kerajaan Pusat hanya membayar wang ehsan kepada wakilnya, Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) yang ada di Kelantan dan bukannya kepada kerajaan negeri sebagaimana yang tercatat dalam perjanjian.

Ekoran itu, Kerajaan Negeri Kelantan telah memfailkan saman terhadap Petronas namun kerajaan pusat memohon untuk menjadi defendan bersama.

Baru-baru ini, anggota Parlimen Gua Musang yang juga bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah meminta kerajaan pusat menyelesai isu royalti Kelantan ini sebelum pilihan raya umum ke 13.

"Surat ni diterima oleh Setiausaha Sulit saya, Encik Rosdi (Mohamad). Tetapi kerana hari cuti, dia baru bagi kepada saya," kata Tuan Guru Nik Aziz kepada Harakahdaily.

Sebelum menghantar wakil Kelantan untuk berunding, Tuan Guru Nik Aziz berkata, beliau akan menghadap Tuanku Sultan Kelantan untuk membincangkan perkara ini.

Yang menariknya, istilah yang digunakan dalam surat ini adalah pembayaran 'bayaran tunai'.

Jawatankuasa ini pula akan bersidang dalam tempoh enam bulan bagi menentukan pembayaran ini.

Reaksi

Sementara itu, Tuan Guru Nik Aziz menyambut baik keputusan kerajaan ini dan menyifatkannya sebagai keberkatan bulan Ramadhan.

"Semoga Allah membuka pintu hati kerajaan Pusat selepas jawatankuasa ini bersidang," katanya.

Beliau juga beranggapan, apa yang berlaku ini sedikit sebanyak adalah berkat doa rakyat Kelantan termasuk 40 orang ulama yang pergi ke Mekah sebelum ini untuk bermunajat kepada Allah agar diselesaikan isu ini segera.

Beliau juga meminta semua rakyat Kelantan terus berdoa agar pembayaran royalti ini menjadi kenyataan.

Tuan Guru Nik Aziz juga berkata, beliau sangat gembira jika bayaran royalti ini menjadi kenyataan tetapi sedar ia adalah satu amanah besar dari Allah.

"Harta kerajaan ini tidak boleh buat pandai-pandai, harta sendiri pun tidak boleh buat ikut sedap je," kata beliau.

Jadi kenyataan

Jika bayaran ini menjadi kenyataan bermakna apa yang dikatakan oleh dua wakil kerajaan Pusat di Kelantan selama ini bercanggah dengan surat Perdana Menteri ini, kata Tuan Guru Nik Aziz.

"PM nak buat jawatankuasa khas, Timbalan Menteri (Datuk) Awang Adek kata sudah bayar wang ehsan.

"Seorang lagi Menteri (Datuk Mustapha Mohamad) pula mengaku dalam DUN, dia yang sekat," kata Tuan Guru Nik Aziz.

http://harakahdaily.net/index.php/headline/12207-najib-hantar-surat-mintar-wakil-bincang-royalti



Merdeka - Rais Yatim Kena Belasah Lagi..

Posted: 03 Aug 2012 03:13 PM PDT

Sekarang orang menyalahkan, BN, Umno dan Najib, kata Datuk Hashim Suboh.

Bekas Ketua Penerangan Umno Perlis, Datuk Hashim Suboh menyelar Datuk Dr Rais Yatim dan menyifatkan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan sebagai punca kontroversi sambutan hari merdeka 31 Ogos ini.

"Dr Rais anggota kabinet yang tidak memahami erti tranformasi yang mahu dibuat oleh Perdana Menteri. Beliau telah merosakkan momentum sambutan hari merdeka.


"Kerana beliau, pembangkang telah mempolitikkan tema hari merdeka.

"Elok sahaja dia (Dr Rais) meletakkan jawatan dan berundur. Orang tua tidak memahami keperluan semasa.

"Beliau telah merosakkan momentum tranformasi Datuk Seri Najib Tun Razak. Sekarang orang menyalahkan, BN, Umno dan Najib," kata beliau hari ini.

Pakatan Rakyat tolak

Menurut Hashim, tema sambutan hari merdeka perlu bercirikan semangat kenegaraan bagi memastikan semua rakyat merasa bangga menjadi warga yang merdeka.

Bagaimanapun, Katanya, kebebalan politik Dr Rais boleh menyebabkan sambutan hari merdeka menjadi hambar.

"Kita simpati dengan Perdana Menteri yang mahu melaksanakan tranformasi tetapi dibantutkan oleh ahli-ahli kabinet yang tidak memahaminya.

"Menteri-menteri kabinet juga perlu tranformasi tetapi berlainan sekali dengan yang ini. Beliau tidak memahami tranformasi," tambah Hashim lagi.

Pakatan Rakyat menolak tema Janji Ditepati kerana mendakwa ia kempen BN.

Sebaliknya memilih tema alternatif "Sebangsa, Senegara, sebagaimana diumumkan Pengerusi jawatankuasa pemilihan tema tersebut, Datuk A Samad Said baru-baru ini.

Pakatan Rakyat juga memberi tempoh seminggu supaya Janji Ditepati ditarik balik

- Free Malaysia Today


Sabah Hampir Karam.. Najib Terpaksa Bergegas Ke Sana..

Posted: 03 Aug 2012 07:17 AM PDT

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata beliau sendiri akan turun ke Sabah ekoran pembelotan dua anggota Parlimen BN, di mana beliau akan mengumumkan terma rujukan untuk suruhanjaya diraja (RCI) bagi menyiasat isu pendatang haram negeri itu.

Beliau juga menolak anggapan bahawa lebih ramai anggota parti komponen BN akan berpaling tadah, antaranya daripada Upko dan Parti Liberal Demokratik (LDP).

"Setakat ini ia hanya desas desus, tetapi apa yang lebih penting sekarang, kedudukan kita tidak tercancam dan kita mampu menangani cabaran ini," katanya.


Bercakap dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno, beliau berkata, BN akan mengambil langkah yang perlu untuk mengukuhkan Umno dan BN di negeri itu.

RCI itu diumumkan pada 1 Jun lalu tetapi belum ada sebarang perincian dikemukakan setakat ini.

Najib berkata beliau sudah bertemu beberapa pemimpin BN Sabah ekoran pembelotan sebelum ini tetapi akan sekali lagi turun pada pada Sabtu ini.


Tun Salleh Abas Sedia Bantu Kes Bafia Rafizi Ramli

Posted: 03 Aug 2012 05:17 AM PDT


Najib pertahan tindakan dakwa Rafizi

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mempertahankan langkah mendakwa Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli di mahkamah kerana mendedahkan akaun berkaitan National Feedlot Corporation (NFC).

Ini kerana, kata Najib, mendedahkannya kepada umum dianggap bertentangan dengan Akta Institusi Perbankan dan Kewangan (Bafia).

Katanya lagi, sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan patut menyalurkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Wang Rakyat - Noh Omar Dimalukan Exco Selangor

Posted: 03 Aug 2012 01:08 AM PDT

SHAH ALAM: Exco Selangor, Dr Yaakob Sapari, menafikan dakwaan Datuk Seri Noh Omar kononnya Kerajaan Negeri menyalahgunakan wang rakyat untuk membiayai kos guaman Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli.

Menurut Dr Yaakob, dana itu diperolehi menerusi peruntukan Geran Selangorku bernilai RM5 juta bagi Program Pembasmian Rasuah dan Penyelewengan.

"Noh tidak layak berbicara soal wang rakyat kerana beliau sendiri tidak mampu menyelamatkan penyelewengan dana Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC) berjumlah RM250 juta oleh pemimpin Umno-BN," kata Sapari.


Sejak kepincangan itu didedahkan, katanya, selaku Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Noh tidak mengambil sebarang tindakan bagi mendapatkan semula wang rakyat yang disalahgunakan oleh Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Salleh.

"Selaku menteri, Noh gagal menunaikan tanggungjawab untuk berkhidmat dan menjaga amanah rakyat termasuk memastikan tiada penyelewengan melibatkan dana kerajaan.

"Walaupun pinjaman RM250 juta diluluskan sebelum Noh memegang kementerian itu, beliau sepatutnya mengambil langkah-langkah tertentu untuk memastikan keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil mengembalikan semula dana itu kepada kerajaan," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah beliau lagi, Geran Selangorku sememangnya diperuntukan untuk kegunaan rakyat antaranya, Pengenalan Gaji Minima, Program Memperkasakan Wanita, Pembinaan Infrastruktur Sukan, Pembaikan Infrastruktur dan Program Pengukuhan Demokrasi.

Katanya, bantuan yang disalurkan Kerajaan Negeri bukan untuk membantu kroni, sebaliknya sebagai sokongan terhadap usaha dan keberanian Rafizi mendedahkan kepincangan pengurusan dana rakyat.

"Rafizi adalah mangsa ketidakadilan sistem di negara ini apabila pelapor kes rasuah dan penyelewengan dilayan seperti pengganas dengan tangannya digari ketika dibawa ke mahkamah manakala suspek rasuah pula diberi layanan VIP.

"Rakyat Selangor dan Malaysia dapat menilai ketidakadilan yang berlaku di bawah pemerintahan Umno-BN.

"Kita yakin bahawa penilaian ini akan membawa kepada perubahan besar pada Pilihan Raya Umum (PRU-13) akan datang," kata Dr Yaakob.


Tiada ulasan: