Isnin, 16 Julai 2012

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Kes Altantuya: Kementerian Mongolia, penyiasat ke Malaysia

Posted: 16 Jul 2012 02:40 AM PDT

Oleh Aliff Fikri


KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya dua kementerian dari Mongolia akan datang ke Malaysia bersama penyiasat mereka pada Ogos ini untuk mengendalikan kes pembunuhan Altantuya Shaaribuu, kata Ahli Parlimen Kelana Jaya, Loh Gwo Burne.

"Berdasarkan laporan yang saya perolehi, kemungkinan dua kementerian Mongolia akan turut hadir bersama.

Kementerian tersebut adalah Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan dan juga Kementerian Keadilan.

"Kementerian lain dari sana juga berkemungkinan besar akan turut bersama ke Malaysia untuk melihat perkembangan siasatan," kata beliau kepada Keadilan Daily.

Gwo Burne berkata, kedatangan penyiasat dan Kementerian Mongolia mungkin untuk tempoh beberapa minggu.

"Skop siasatan pula lebih kepada dari segi aspek polis dan prosedur undang-undang negara. Mereka juga akan melihat hubungan antara polis Mongolia-Malaysia.

"Penguakuasa undang-undang dari Mongolia juga akan dihantar untuk membantu penyiasatan," jelas Gwo Burne.

Samseng Umno terima RM50 ganggu ceramah Anwar

Posted: 16 Jul 2012 02:38 AM PDT

Oleh Aisha Geoffrey


KUALA LUMPUR : Seorang samseng upahan Umno yang ditangkap ketika mengganggu ceramah Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pekan Kuah Langkawi mengaku kumpulannya diberi upah RM50 seorang hanya untuk membuat kacau, kata saksi, Angah Habib.

Samseng Umno yang ditangkap oleh Angah


"Mereka sebenarnya adalah kumpulan mat rempit, yang membuat provokasi sejak ketibaan Anwar di Lapangan Terbang Langkawi dan ikut sampai Masjid Pekan Kuah," kata Angah yang juga Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Kedah.

Beliau yang bertugas semasa tangkapan pada Ceramah Merdeka Rakyat di situ Jumaat lalu berkata, hampir 30 buah kereta dicalarkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab dalam insiden berkenaan.

"Mereka ganggu pula ceramah di sebelah malam, calar kereta sambil buat bising terutama ketika Anwar sedang berucap," jelasnya.

Menurut Angah, selain SAMM, turut serta dalam operasi itu adalah KEADILAN Kedah dan Unit Amal.
Pemuda berusia awal 20 an itu berjaya dicekup sebelum dibawa ke Balai Polis Kuah.

Dianggarkan, lebih kurang 5,000 penyokong hadir dalam ceramah tersebut yang turut mengecam tindakan provokasi samseng upahan itu.

Najib dicabar siasat kes Scorpene, Altantuya

Posted: 16 Jul 2012 02:32 AM PDT

Oleh Nazar Hashim


KUALA LUMPUR i: Kerajaan Datuk Seri Najib Razak dicabar menyiasat skandal Scorpene dan kaitan Perdana Menteri itu dengan pembunuhan Altantuya Shaaribuu, jika benar beliau tidak terlibat dalam kes berkenaan, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Kita sudah mendedahkan semua bukti mengenai dakwaan penglibatan mereka yang terlibat mengenai pembunuhan Altantuya dan juga pembelian kapal selam Scorpene yang sedang dibicarakan di Mahkamah Perancis.

"Kenapa mereka tak mahu siasat dakwaan tersebut jika benar pemimpin yang mereka dokong itu, tidak terlibat dalam kedua-dua kes yang amat mengejutkan negara serta dunia antarabangsa," soalnya ketika ceramah 'Merdeka Rakyat' di tapak pasar ramadan, Pekan Kuah, Jumaat lalu.

Kata Anwar, mustahil Najib tidak mengetahui urusan pembelian Scorpene ketika menerajui Kementerian Pertahanan, begitu juga Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri ketika itu.

Bercakap di hadapan lebih 5,000 hadirin, Ketua Pembangkang itu mengulangi desakan supaya Najib dan pemilik Perimekar Sdn Bhd, Abdul Razak Baginda memberi keterangan di Mahkamah Perancis.

"Jika beliau desak rakyat supaya hormati mahkamah, kenapa Najib sendiri tidak mahu menghormati Mahkamah Perancis yang turut melibatkan namanya serta Abdul Razak Baginda dalam isu Scorpene," tegas Anwar lagi.

Kes Scorpene: Sepina akan diserah oleh Kedutaan Perancis

Posted: 16 Jul 2012 02:28 AM PDT

Oleh Sidiqin Omar




KUALA LUMPUR : Sepina kepada saksi pertama kes rasuah pembelian kapal selam Scorpene oleh Malaysia, Jasbir Singh Chahl akan dihantar melalui Kedutaan Perancis, kata Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Cynthia Gabriel.

"Mahkamah (Perancis) tidak akan gunakan khidmat kurier. Mereka akan sampaikan secara langsung, supaya saksi 'acknowledge' (mengesah terima) arahan tersebut," katanya kepada Keadilan Daily.

Cara demikian kata Cynthia, merupakan jalan terbaik dan berharap kerajaan Malaysia memberi kerjasama dan laluan kepada siasatan.

Siasatan kes bersambung semula sebaik salah seorang dari dua hakim penyiasat kembali bertugas selepas bercuti dua minggu.

"Kita difahamkan, sekarang ini, pasukan penyiasat dalam perbincangan untuk memanggil saksi-saksi lain dari Malaysia. Bila masanya? Akan ditentukan kemudian. Yang penting, panggil saksi pertama dulu," katanya.

Menurut Cynthia, Hakim Penyiasat, Roger Le Roire dan Serge Tounaire kini sedang meneliti jaringan dan transaksi kewangan Terasasi, syarikat milik Abdul Razak Baginda di Hong Kong.

"Yang pasti Razak Baginda akan disepina kerana dia pemilik Terasasi," jelasnya.

Peguam Suaram, Joseph Breham pada sidang media di Bangkok 31 Mei lalu mendedahkan, Terasasi menerima Euro 36 juta (RM144 juta) daripada syarikat pertahanan, Thales International yang berpusat di Perancis, dikenali sebagai Thint Asia.

'Urusniaga' itu ialah penjualan dokumen yang sangat sulit – penilaian Tentera Laut Diraja Malaysia terhadap kapal selam Scorpene, kononnya untuk kerja-kerja 'kejuruteraan komersial'.

Jumaat lalu, Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli mendedahkan, syarikat Thales yang dikaitkan dengan rasuah dalam urusniaga Scorpene, terbabit dalam gabungan syarikat Konsortium George Kent-Wijet-Thales yang dianugerahkan projek tambahan LRT Ampang bernilai RM1 bilion.

Isu air: Selangor mahu campur tangan dalam Syabas

Posted: 16 Jul 2012 02:26 AM PDT

KEADILAN DAILY

SHAH ALAM : Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim menegaskan, kerajaan negeri tidak akan berdiam diri berikutan pengumuman Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) berkenaan catuan air di negeri itu.



Menurut beliau, tindakan campur tangan itu terpaksa diambil susulan pengumuman yang meragukan, ditambah pula beberapa kegagalan Syabas dalam menangani masalah air.

"Kerajaan negeri membuat keputusan menggunakan kuasa di bawah Klausa 32 dalam perjanjian konsesi untuk memberi notis kepada Kerajaan Persekutuan untuk kerajaan negeri "step-in" dalam operasi Syabas.

"Ini jelas ditunjukkan apabila Syabas setakat bulan April 2012, mempunyai tanggungan jumlah tertunggak kepada operator rawatan air dianggarkan sebanyak RM2.8 bilion.

"Syabas juga gagal menurunkan kadar air tidak terhasil (non-revenue water) kepada 20 peratus.

Tambah pula, laporan awal audit mendapati Syabas tidak melaksanakan kerja-kerja capex (capital expenditure) mereka dengan baik," katanya pada kenyataan.

Berhubung pengumuman mengejut Syabas yang mahu mengadakan catuan air di kawasan utama di Lembah Klang, Menteri Besar itu sebaliknya mahukan satu pemantauan khas berhubung perkara tersebut.

"Untuk menjaga kepentingan rakyat Selangor, kerajaan negeri meminta Datuk Setiausaha Kerajaan Negeri bersama Pengawal Selia Air Negeri untuk memantau perkhidmatan air oleh Syabas.

Jawatankuasa ini akan minta Syabas memberi laporan harian untuk menerangkan kedudukan air semasa.

"Konsortium Abass juga akan diminta menyertai jawatakuasa ini yang mana syarikat itu akan memanggil pakar bebas yang berpengalaman semasa krisis air 1998 untuk memantau kesahihan laporan dan maklumat oleh Syabas," ujar Khalid.

Tambahnya, kenyataan Syabas itu sama sekali bertentangan dengan hakikat sebenar kerana kesemua empangan penuh.

"Perlu ditekan di sini, keadaaan sekarang tidak boleh disamakan dengan krisis air pada 1998 kerana tujuh empangan negeri di seluruh Selangor mempunyai kapaisiti air yang cukup dan melimpah.

"Kerajaan negeri menggesa supaya proses penstrukturan semula industri air diteruskan dengan segera kerana Syabas jelas tidak berkemampuan untuk memberi perkhidmatan air yang baik kepada pengguna," katanya.

Suarakan Kehendak Anda Dalam Belanjawan Selangor 2013

Posted: 16 Jul 2012 02:21 AM PDT





VIDEO: IKLAN Jemputan Ke Majlis Dialog Belanjawan Selangor 2013 Peringkat PBT 

Orang ramai di jemput ke siri dialog bajet Selangor 2013 yang akan berlangsung daripada 17 hingga 27 Julai.

Tujuan dialog ini adalah bagi mengumpul maklum balas daripada masyarakat setempat supaya belanjawan negeri dapat dirancang dengan mengambil kira kepentingan orang ramai.

Program ini julung kalinya diperkenalkan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor sejak 2008 dan selari dengan prinsip  pentadbiran dari rakyat untuk rakyat.

Sesi dialog yang dikendalikan Unit Perancang Ekonomi Selangor (UPEN) akan bertempat di pejabat pihak berkuasa tempatan di seluruh Selangor.

Berikut adalah senarai setiap siri dialog. Untuk maklumat lanjut sila hubungi 03 5544 7120


Umno Tubuh Unit Khas Fitnah Pembangkang, Kata Abdul Kadir

Posted: 16 Jul 2012 02:18 AM PDT





KUALA SELANGOR: Veteran Umno, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir mendakwa kerajaan Umno-BN mewujudkan sebuah unit khas untuk menlancarkan fitnah terhadap pemimpin pembangkang.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan 6,000 orang di Himpunan Hijau Menuju Ke Putrajaya peringkat Negeri Selangor, di Stadium Kuala Selangor malam tadi.

"Mereka dah wujudkan unit khas cipta fitnah.

"Buat fitnah, fitnah, fitnah, tetapi bila keluarkan kenyataan menerangkan keadaan sebenar untuk menafikan dakwaan tersebut, tak terbit, terus dok panjangkan fitnah itu lagi," kata Abdul Kadir.

Beliau yang juga bekas menteri Kerajaan Pusat turut menceritakan bagaimana kerajaan sekarang memaksa rakyat mengisi borang keahlian Umno sebelum boleh memohon pelbagai peruntukan dan kemudahan yang sepatutnya menjadi hak rakyat.

"Kamu lapar ya? Saya ada pinggan cantik, nasi dengan lauk yang sedap-sedap.

"Kalau kamu mahu, kamu kena merangkak ke mari dan 'tabik' saya dahulu, kemudian barulah saya beri nasi kamu," kata Abdul Kadir apabila menggambarkan kesombongan Umno tatkala menghulurkan 'bantuan' kepada rakyat.

Beliau turut melahirkan rasa hormat dan kagum dengan pendirian ahli PAS yang tetap mempertahankan maruah mereka walaupun menerima tekanan hebat dari parti korup yang mentadbir negara selama 54 tahun itu.

"Sebab itulah saya tabik kepada ahli PAS kerana walaupun hidup susah, nak mohon peruntukan bantuan kerajaan tak boleh, tetapi tak gadai maruah mereka untuk mendapatkan 'nasi' itu," katanya lagi.

Sebelum ini, sudah diketahui umum bahawa beberapa agensi kerajaan mengenakan 'syarat tambahan' tatkala memohon sebarang peruntukan dan bantuan yang disediakan kerajaan untuk rakyat.

Antara 'syarat tambahan' tersebut, pemohon tersebut diwajibkan menjadi ahli Umno atau dikehendaki mengisi borang keahlian Umno sekiranya masih belum berbuat demikian.

Antara agensi yang kerap diperkatakan di kalangan masyarakat umum negara ini adalah agensi yang terlibat dengan permohonan Pinjaman Tekun, permohonan rumah kos rendah, pinjaman pelajaran dari agensi kerajaan, permohonan tanah rancangan Felda serta Felcra dan beberapa yang lain.

Selain Abdul Kadir, turut menyampaikan ucapannya malam tadi, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Exco Kanan Selangor, Teresa Kok dan Timbalan Pesuruhjaya II PAS Negeri Selangor, Iskandar Abd Samad.

Selain itu, Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abd Aziz Nik Mat turut menyampaikan amanatnya melalui tayangan video.

Dalam amanat Nik Aziz, beliau menyeru semua golongan masyarakat khususnya ahli-ahli PAS agar bersedia untuk menumbangkan kerajaan Umno-BN yang dianggapnya sebagai merosakan perpaduan penduduk negara ini.

Perhimpunan malam tadi turut dimeriahkan dengan cabutan nombor bertuah yang menawarkan hadiah telefon bimbit jenama Samsung Galaxy, basikal dan ketuhar gelombang mikro.

Tarikh Pilihan Raya Najib, Muhyiddin Tidak Sepakat

Posted: 16 Jul 2012 02:14 AM PDT





SHAH ALAM  : Kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa tarikh Pilihan Raya Umum Ke 13(PRU13) sesuai diadakan tahun ini ternyata bertentangan dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang sebelum ini membayangkan akan mengadakan pilihan raya sehingga mandat berakhir.

Naib Presiden PKR, Tian Chua berkata kenyataan dibuat Muhyiddin selaku Timbalan Perdana Menteri mendedahkan kepada umum betapa pemimpin Umno-BN bercanggah pendapat dalam perkara ini.

Ini disebabkan, dakwanya, Perdana Menteri sendiri tidak pernah mengatakan atau memberi gambaran bila pilihan raya akan diadakan.

Sehubungan itu, ia menimbulkan masalah kepada rakyat dan mereka boleh menilai perkara itu termasuk soal pendirian pemimpin negara dari Umno-BN.

"Kenyataan dibuat Timbalan Perdana Menteri dalam perkara ini jelas berbeza dengan apa yang diperkatakan Perdana Menteri, jadi ia kini menjadi teka teki di kalangan rakyat bila tarikh pilihan raya yang sebenarnya. Pemimpin dalam Umno-BN sendiri tidak sekata dalam isu ini," katanya kepada TVSelangor ketika dihubungi di sini hari ini.

Tian Chua berkata, rakyat tidak seharusnya dibebankan dengan perkara itu dan satu ketetapan perlu dilakukan demi kepentingan rakyat di negara ini.

"Maka kini ia menimbulkan persoalan atau masalah kepada rakyat yang sepatutnya maklum bila pilihan raya itu akan diadakan supaya tidak timbul keraguan sama ada ia diadakan pada tarikh tertentu atau ketika tempoh matang pentadbiran berakhir," katanya.

Beliau berkata, sekiranya tarikh pilihan raya itu ditetapkan bila akan dijalankan maka ia akan memudahkan semua pihak terlibat termasuk parti politik, pihak berkuasa, jabatan dan agensi kerajaan serta rakyat sebagai pengundi.

Di Malaysia tarikh pilihan raya menjadi satu misteri dan keputusannya secara mutlak terletak kepada kehendak Perdana Menteri.

[MELETUP LAGI] Seorang Lagi Selebriti Bersama PAS - Yatt Hamzah -updated

Posted: 16 Jul 2012 02:00 AM PDT


KELAB GREENBOC


Seorang lagi selebriti telah ditemui di Himpunan Hijau Kuala Selangor hari ini. Beliau berada di celahan ribuan manusia yang membanjiri Stadium Kuala Selangor petang tadi.

Beliau ialah Yatt Hamzah yang satu ketika pernah kisahnya disiarkan di blog ini dimana kepalanya melekat lebih setengah jam pada sejadah ketika dia melakukan solat taubat.

Dalam sujud yang lama itu, Yatt berkata, dia nampak jelas setiap wanita mendedahkan aurat dipanggang api neraka yang amat dahsyat.

Tahniah kepada Yatt Hamzah yang telah berhijrah dan ahlan wa sahlan ke dalam saf perjuangan Parti Islam SeMalaysia.



Himpunan Hijau Ke Putrajaya - Suasana di Stadium Kuala Selangor sebentar tadi ketika azan Maghrib berkumandang untuk sama-sama menunaikan solat fardhu Maghrib


Maha suci Tuhanku Yang Maha Tinggi dan segala pujian untukNya

Satu lagi sudut di Himpunan Hijau

Berpusu-pusu di dalam stadium


Yatt hamzah di pentas PAS bersama pimpinan Muslimat PAS Selangor



Laporan sebelum ini
klik untuk baca

Talam-MCA: S’gor tunggu dan lihat

Posted: 16 Jul 2012 01:51 AM PDT

 
Menteri Besar juga enggan megulas perletakan jawatan Latheefa Koya sebagai Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memandangkan surat belum diterima. 




SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor mengambil sikap "tunggu dan lihat" sebelum tindakan susulan dibuat berhubung dakwaan MCA yang menuduh wujud penyelewengan wang lebih RM1 bilion bagi menyelamatkan syarikat Talam Corporation Bhd.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, beliau menggalakkan MCA untuk terus membuat kenyataan secara terperinci sehingga angka tersebut mencecah RM1 bilion.

"Kerajaan negeri akan tunggu dahulu. Tapi kita galakkan MCA untuk buat kenyataan terperinci sehingga angka itu mencecah RM1 bi lion," katanya ketika ditanya pemberita tentang saman ke atas MCA berhubung dakwaan tersebut.

MCA sebelum ini mendakwa kerajaan negeri berbohong mengenai usaha mengutip semula hutang bernilai jutaan ringgit dari Talam yang berhutang dengan beberapa syarikat milik kerajaan negeri kerana hutang-hutang itu belum lagi dibayar.

Sementara itu, menyentuh mengenai perletakan jawatan Latheefa Koya sebagai Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Abdul Khalid enggan mengulas lanjut perkara itu memandangkan surat belum diterima pihaknya.

Latheefa yang juga merupakan Pengarah Biro Guaman PKR, melalui fax kepada FMT hari ini menyatakan perletakan jawatan beliau sebagai Ahli Majlis MBPJ.

FMT sebelum ini melaporkan wujud perbincangan dalam satu mesyuarat untuk memecat Latheefa sebagai ahli majlis.

Bagaimanapun menurut Abdul Khalid sebelum ini, keputusan muktamad belum diterima namun tidak menafikan wujud perbincangan untuk pemecatan Latheefa.

Susulan kes amuk: Muhdalina didakwa

Posted: 15 Jul 2012 11:24 PM PDT


Wartawan Sinar Harian

Amuk di JPM
Amuk di JPM
 
 
PUTRAJAYA - Muhdalina Ahmad yang mengamuk bersama rakannya, Khalil Afandi Abd Hamid, di kompleks Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya Isnin lalu, didakwa di Mahkamah Majistret hari ini.
Khalil Afandi terbunuh selepas dia ditembak oleh polis ketika kejadian.

Muhdalina yang dihadapkan di Mahkamah Sesyen Putrajaya, didakwa bertindak mengugut seorang pegawai polis dengan menggunakan pedang samurai.

Dia juga dikenakan tuduhan membawa pedang samurai.

Muhdalina didakwa melakukan kesalahan itu di Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri, Presint 1, kira-kira jam 2.30 petang 9 Julai lalu.

Hakim Mohd Kafli Che Ali menetapkan wang jamin RM5,000 bagi setiap kesalahan. Kes itu akan disebut semula pada 29 Ogos ini.

Surat terbuka AWER kepada PM Najib

Posted: 15 Jul 2012 11:21 PM PDT

 Piarapakaran S


Rujukan kami: awer.2012.009bm

15 JULAI 2012

Kepada,
YAB DATO' SRI MOHD NAJIB BIN TUN HAJI ABDUL RAZAK

Perdana Menteri
Pejabat Perdana Menteri,
Blok Utama, Bangunan Perdana Putra,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 Putrajaya

YAB Dato' Sri,

PENYIASATAN BEBAS (INDEPENDENT INVESTIGATION) KE ATAS PIHAK BERKUASA PEMBANGUNAN TENAGA LESTARI (SEDA)

Perkara di atas dirujuk.

Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) telah mengutarakan pelbagai isu yang berkaitan dengan pembangunan Tenaga Boleh Diperbaharui (RE) dan kaedah yang digunakan di Malaysia.  Agenda Teknologi Hijau yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan dan diikrarkan oleh YAB Dato 'Sri diganggu-gugat oleh peningkatan kelemahan dan pengaburan kebenaran (whitewashing) serta tuduhan salah laku dalam sistem Tarif Galakan (Feed-in-Tariff / FiT) baru-baru ini.

YAB Dato' Sri, kami ingin mengetengahkan beberapa isu berkaitan dengan SEDA yang memerlukan campur tangan Kabinet:

(i) Mekanisme FiT telah diterima pakai (bukan dibangunkan sepenuhnya) oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) bagi pelaksanaan projek-projek RE.  25% pengguna domestik serta pengguna-pengguna kategori lain dari institusi, perniagaan, industri, dan sebagainya, di Semenanjung Malaysia menyumbang kepada FiT.  Kos FiT kepada perniagaan disalurkan secara langsung kepada rakyat melalui kos perkhidmatan dan produk.  Akhirnya, semua kos FiT akan dibayar oleh rakyat dan ini adalah satu fakta ekonomi yang tidak boleh disangkal di seluruh dunia.

(ii) Sehingga kini, formula penetapan kos unit FiT masih tidak diketahui.  Bagaimana KeTTHA dan perunding mereka mendapat kos seunit kiloWattjam (kWj) yang sedang ditawarkan?  Tiada ketelusan dalam keadaan ini.  Adakah terdapat pengiraan untuk menentukan Perbelanjaan Modal (capex), Perbelanjaan Operasi (opex), Keuntungan yang Dikawalselia dan Ganjaran Kecekapan?  FiT dibiayai oleh rakyat dan rakyat mesti mengetahui mekanisme dan butir-butir pengiraannya.  Malahan, seorang perunding yang merupakan sebahagian daripada pembangunan mekanisme FiT ini melabelkan SEDA sebagai "Robin Hood songsang" (mencuri daripada golongan miskin dan memberi kepada golongan kaya) dan menghantar e-mel aduan yang panjang kepada AWER kerana KeTTHA gagal untuk membuat pembetulan.

(iii) Pelaksanaan RE melalui mekanisme FiT masih boleh dipersoalkan.  Model ini tidak menjamin pertumbuhan industri RE yang mampan dan berterusan.  Gambaran yang diberi kepada media dan rakyat adalah bertentangan dengan realiti.  Apa yang berlaku selepas "tahun-tahun menguntungkan"?  Adakah pelabur akan terus melabur? Ia adalah jelas bahawa pertumbuhan RE mestilah berasaskan sumber tempatan (indigenous) dengan capex dan opex yang berpatutan.  Keperluan teknologi adalah juga satu lagi pra-syarat.  Model masa kini hanya melihat pada kadar FiT yang menguntungkan dan model-model yang diguna di luar negara telah terbukti ia tidak mampan bagi mengekalkan pertumbuhan industri RE dalam jangka masa panjang.  Unjuran kos dan bekalan bahan mentah juga menunjukkan perbezaan yang ketara. Sebagai contoh:

a. Biojisim (biomas) kelapa sawit - serat daripada kelapa sawit boleh ditukar kepada pembungkusan berasaskan kertas.  Oleh itu, perkembangan bagi biomas kelapa sawit akan menghadapi persaingan daripada industri kertas kerana pulangan ekonomi yang cepat dan pengiktirafan alam sekitar yang lebih baik untuk pembungkusan berasaskan kertas.  Selain itu, kertas boleh dikitar semula dan mempunyai jangka hayat yang lebih panjang.  Kita juga harus ingat bahawa wang dan pengiktirafan merupakan keutamaan kepada peniaga.

b. Solar Photovoltaic (PV) - panel solar dan bahagian-bahagian lain seperti penyongsang (inverter) dan bateri memerlukan bahan mentah.  Perubahan yang mendadak kepada permintaan solar PV akan menyebabkan kos bahan mentah naik mendadak.  Gas asli dan arang batu adalah contoh yang baik untuk rujukan serta-merta.

(iv) Baru-baru ini, beberapa ahli parlimen telah mendedahkan dalam media mengenai oligopoli (sejenis monopoli) FiT solar PV yang dikaitkan kepada individu tertentu.  FiT mesti tidak boleh disalahgunakan untuk amalan monopoli.  SEDA (termasuk ahli lembaga pengarah dan kakitangan) tidak boleh terus menuding jari kepada objek yang tidak bernyawa seperti sistem komputer jika wujud masalah atau mengiktirafnya sebagai mekanisme "telus".  Sebuah komputer hanya boleh menjadi mekanisme kawalan kerana manusia masih mengawal input dan outputnya.  Tindakan perlu diambil untuk mencegah sesetengah pihak mengaut keuntungan berlebihan daripada wang rakyat yang disumbangkan untuk FiT.

(v) Secara relatif, Malaysia mempunyai Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dan bilangan penduduk yang lebih kecil, maka ia adalah kurang bijak dan tidak strategik bagi Malaysia untuk membentuk sebuah agensi yang tidak diperlukan (redundant) seperti SEDA.  Malahan, terdapat "cerita dalaman" di mana KeTTHA jelas mengenainya.  Tugas SEDA boleh dijalankan dengan mudah oleh Suruhanjaya Tenaga ataupun Green Technology Corporation.  Sebelum Akta SEDA dan RE diluluskan di Parlimen, cadangan ini juga telah diberikan kepada KeTTHA tetapi ia tidak dihiraukan langsung.  Laporan kami mengenai industri elektrik bertajuk, "Perjuangan: Masa Depan Industri Eletrik Negara Kita" yang diterbitkan pada Jun 2011 juga telah menekankan keperluan untuk agensi tunggal untuk tenaga iaitu Suruhanjaya Tenaga bagi sistem ekonomi seperti Malaysia.

(vi) Berdasarkan laporan media, SEDA juga memohon peruntukan penyelidikan dan pembangunan (R & D).  Memandangkan SEDA adalah agensi redundant dan duplikasi, SEDA tidak harus dibenarkan untuk mengulangi apa yang Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sedang laksanakan.  Ini adalah kerana ia akan membazirkan wang rakyat.  MOSTI perlu meneruskan kerja R & D yang berkaitan dengan RE.

(vii) AWER juga telah mengutarakan beberapa kali kepada KeTTHA bahawa SEDA, agensi yang redundant, tidak boleh menjalankan sebarang tugas berkaitan Kecekapan Tenaga (EE).  Sebenarnya, SEDA tidak mempunyai sebarang bidang kuasa berkaitan EE.  SEDA sudahpun dibayangi kegagalan seperti menggunakan model yang tidak sesuai untuk pembangunan RE, Program Rebat SAVE (di mana ia tidak mempunyai sebarang bidang kuasa) dan kini isu solar PV.  Pelaksanaan Kecekapan Tenaga mesti dijalankan oleh Suruhanjaya Tenaga kerana mereka diberi kuasa oleh Akta Suruhanjaya Tenaga dan Akta Bekalan Elektrik.  SEDA masih belum mencapai apa-apa kejayaan kecuali beberapa kegagalan yang ketara seperti yang dinyatakan di atas.

AWER menyeru YAB Dato' Sri untuk membentuk sebuah panel bebas untuk menyiasat semua perkara di atas.  Panel ini juga perlu mengkaji pelaksanaan Akta Tenaga Boleh Diperbaharui 2011 secara langsung di bawah Suruhanjaya Tenaga untuk mengelakkan redundancy dan pembaziran dana operasi.  Seksyen 14 Akta Suruhanjaya Tenaga 2001 dengan jelas menetapkan bidang kuasa untuk membangunkan RE di bawah Suruhanjaya Tenaga.  Ini juga bermakna Akta SEDA 2011 perlu dimansuhkan kerana sifatnya yang berunsurkan redundant.  Adalah penting untuk membina industri RE yang berkembang tetapi model yang diguna pakai sekarang akan gagal kerana ia tidak mampan dan Malaysia bukanlah pemilik teknologi.  Laporan siasatan ini juga mesti disiarkan untuk pengetahuan umum.

AWER juga telah mengutarakan isu-isu ini kepada KeTTHA beberapa kali dan semua kebimbangan dan cadangan kami tidak dipedulikan.  Malaysia memerlukan model yang kukuh, mampan dan berdaya maju untuk membangunkan industri RE secara mampan tetapi FiT tidak menjamin perkara ini.  Jika Malaysia benar-benar berhasrat untuk mempunyai Pembangunan Lestari, kita perlu merombak rancangan dan pelaksanaan yang sedia ada supaya ia berasaskan sains dan keupayaan negara. Mengakui dan membetulkan kesilapan adalah perkara mulia berbanding dengan meninggalkannya berkembang menjadi satu bencana.

Kami menghargai masa dan pertimbangan yang diberikan oleh YAB Dato' Sri kepada kami dan kami berharap bahawa Kerajaan Persekutuan akan melindungi kepentingan awam seperti yang digema di "1 Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" serta mempertimbangkan cadangan yang diberikan oleh AWER sewajarnya.

Terima kasih.

Yang benar,
PIARAPAKARAN S.
Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER)

Rock, pengaruh artis dan ketakutan pemerintah

Posted: 15 Jul 2012 11:19 PM PDT


Di mana-mana dalam dunia ini tidak dapat dinafikan, golongan artis atau selebriti dunia hiburan sangat berpengaruh dan sering menjadi ikutan orang ramai khususnya anak-anak muda.  Berbagai jolokan untuk mereka seperti "role model", "trendsetter" atau ikon yang bisa memberi impak kepada dunia.  Kerenah atau aksi mereka menjadi ikutan.  Jika mereka menceburi politik mudah sahaja mereka menang bertanding.  Bayangkan Ronald Reagan, seorang pelakon cerita-cerita koboi boleh menjadi Presiden Amerika Syarikat.  Begitu juga penggusti Jesse Ventura ataupun si "Terminator" Arnold Scwarzenegger boleh menjadi gabenor.  Di Filipina artis bernama Joseph Estrada juga pernah menjadi orang nombor satu.

Inilah ketakutan yang sering menghantui ahli politik.  Bintang Hollywood seperti Mel Gibson, Al Pacino atau Robert DeNiro mudah sahaja membelasah pentadbiran Rumah Putih jika dasar yang dijalankan tidak dipersetujui dan peminat mereka menyambut dan menyokong pandangan idola pujaan mereka.  Selebriti seperti Michael Douglas, Angelina Jolie dan Edward Norton dipilih menjadi duta pelbagai kempen seperti kempen keamanan, alam sekitar atau sayangi haiwan.  Pengaruh mereka diperlukan untuk menarik orang ramai.

Di Malaysia fenomena artis menyokong parti pembangkang semakin hebat sekarang ini tetapi tidak dapat dinafikan kebanyakan artis yang berhijrah ini sudah kurang popular dan telah melepasi usia.  Yang baharu-baharu masih mahu cari makan, tidak boleh lawan.  Bayangkan apa akan berlaku jika artis yang sedang meletup, berpengaruh dan menjadi ikon hari ini tiba-tiba melaungkan slogan "Reformasi"?  Saya teringat ketika muzik rock menjadi anutan anak muda Malaysia pertengahan 1980-an dahulu.  Mereka lantang memperjuangkan lanun cetak rompak yang begitu berleluasa sekali.  Barangkali pihak yang terbabit dengan sindiket cetak rompak (mungkin orang yang berpengaruh terlibat dengan kegiatan ini seperti yang digambarkan di dalam filem Kembara Seniman Jalanan) berasa tergugat maka muzik rock telah diharamkan. 

 Alasan kambinghitamnya ialah rock membawa budaya negatif seperti dadah, seks bebas dan alkohol.  Peraturan diketatkan seperti berambut panjang tidak dibenarkan muncul di dalam program televisyen.  Apa kena mengena rambut dengan muzik?  Tetapi itulah sang kuasawan.  Taringnya tajam menggigit mangsa yang lemah.  Peraturan ini bagaimanapun gagal memadamkan api muzik rock dan pengaruhnya.  Album kumpulan rock terus laku dan mereka menyampaikan mesej perjuangan yang keras melawan kerenah birokrasi ini.  Lagu "Keadilan" nyanyian kumpulan Lefthanded yang liriknya ditulis S.Amin Shahab lantang memprotes:-
  " Bukankah kita ini punya akal dan hati
    bisa ambil juga beri pendapat sendiri
    Jangan ikut sesuka hati kelak engkau susah sendiri
"

Begitu juga lagu Belenggu Irama nyanyian kumpulan Wings yang liriknya ditulis oleh Bob Lokman (hari ini ahli PAS) menyuarakan tidak puas hati dengan bait-bait seperti:-
     "Perintahmu adalah belenggu
       Menggenggamku dengan kuasamu
       Membuat aku menjadi layu
       Dalam suasana yang masih baru"


Peristiwa yang tidak boleh dilupakan malah boleh dikatakan sebuah malapetaka buat insan seni apabila Kementerian Penerangan dengan menterinya ketika itu menyiarkan secara langsung acara memotong rambut dua rockers terkenal- Amy Search dan Awie Wings.  Inilah ibu segala penghinaan oleh kuasawan yang mahu memberi peringatan agar artis-artis jangan lawan mereka.  

 Sebenarnya ia bermula apabila seorang pengarah filem komedi mempersoalkan lambakan drama dari Hong Kong memenuhi slot di RTM dan juga sebuah syarikat produksi milik kroni menguasai stesen televisyen milik kerajaan.  Selepas membangkitkan isu itu pengarah filem komedi ini tidak membuat susulan tetapi disambung perjuangannya oleh pengarah filem berani Nasir Jani. 

 Dalam sebuah rancangan "talk show" di TV3 Nasir Jani yang disiarkan secara langsung ketika itu, beliau telah mencarut dan mengangkat jari hantu sehingga menggemparkan Malaysia dan membawa kesan pemberhentian serta-merta program tersebut.  Nasir Jani terus dikenakan tekanan seperti disabitkan dengan masalah dadah, ajaran sesat dan sakit mental.  

Suatu ketika Nasir Jani hadir ke mahkamah dengan memakai kemeja T bertulis kata-kata kesat kepada Mahathir-Perdana Menteri ketika itu.  Nasir Jani juga pernah membaling batu pejabat FINAS kerana memprotes.  Imej seniman tersebut cuba dikotorkan untuk menyorok kerja keji mereka.  Taktik inilah yang selalu digunakan seterusnya beberapa tahun kemudian seperti Kumpulan Militan Malaysia yang dikatakan mahu berperang dengan pembesar negara dan juga kumpulan Black Metal mengamalkan ilmu hitam yang menyesatkan akidah.  

Sebelum itu, jangan lupa pula imej buruk dilemparkan terhadap PAS di dalam peristiwa Memali termasuk juga penyelewengan ajaran di dalam gerakan Al Arqam.  Melalui media genggaman pemerintah, semuanya boleh dilakukan untuk menghalalkan kebusukan mereka.

Isu pemberian slot program televisyen yang dibangkitkan ini cuba dialihkan dengan kumpulan rock menjadi kambing hitam.  Mereka bukan sahaja tidak boleh muncul di kaca televisyen malah lagu-lagi kumpulan rock ketika itu tidak akan disiarkan di radio jika mereka tidak memotong rambut.  Lucu bukan? Apa perlunya memotong rambut kerana yang hendak disiarkan hanyalah lagu, bukan rambut.  Itulah kerajaan Barisan Nasional sejak dulu, kini dan selamanya.  

Rentetan itu satu demi satu kumpulan rock akur demi mencari rezeki.  Hanya gergasi rock Search dan Wings yang ramai pengikut sahaja enggan menurut perintah.  Kerajaan kuku besi ini terus mencengkam tengkuk mengeluarkan arahan kumpulan rock yang tidak memotong rambut juga diharamkan membuat persembahan pentas.  Melaka negeri pertama menyokong arahan sial ini.  Dua kumpulan rock tersohor ini akhirnya akur dan terpaksa menebalkan muka muncul di pagi hari secara langsung di kaca televisyen untuk dipotong rambut.

Saya ketika itu menampal keratan akhbar Utusan Malaysia yang mewawancara A.Samad Said di mana Sasterawan Negara itu melahirkan rasa simpati terhadap Amy dan Awie dengan frasa "mereka tewas kerana diasak teruk sehingga ke dinding".  Sebab itulah saya berpendapat kerajaan tidak serius menangani masalah cetak rompak kerana khuatir golongan artis menjadi kaya dan berpengaruh sehingga menggugat mereka. 

 Bayangkan betapa besarnya pengaruh Search dan Wings yang mampu mengumpulkan 20-30 ribu penonton setiap kali konsert.  Apa akan jadi jika sedang membuat persembahan, mereka melaungkan slogan "Lawan Kerajaan"?  Apakah anak-anak muda ini akan bangkit menyokongnya?  Sebab itulah artis mesti dikembirikan semangat juangnya.  Dan imej rock terus dipandang serong dengan pengaruh dadah, arak dan seks bebas (walaupun tidak dinafikan ia ada berlaku tetapi apa kurangnya pengaruh rasuah, penyelewengan kuasa dan rompakan yang dilakukan oleh pemimpin tertinggi kerajaan yang lebih berbahaya dan membawa kerosakan seluruh sistem di dalam sesebuah daulah).

Muzik Rock yang asalnya lahir di Barat memperjuangkan suara berontak marhaen yang tertindas telah dilemahkan.  Ia bukan lagi membawa suara perjuangan tetapi hanya kekal sebagai muzik hiburan dan fesyen pakaian.  Ini kita dapat lihat apabila Amy dan Awie yang pernah dipotong rambut secara hina oleh pemerintah telah lemah dan menjadi penyokong kuat pula sebuah kerajaan pembela cetak rompak dan juga seribu satu lagi penyelewengan dan salah guna kuasa.

*Ronasina dengan nama asalnya, Mohd Affandi Ramli adalah penulis, kartunis dan aktivis.

Sidang DUN Kedah cuma 1 jam 18 minit

Posted: 15 Jul 2012 11:12 PM PDT

Daripada lebih 50 soalan, hanya 5 yang dijawab. 




PETALING JAYA: Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah hari mungkin mencatat sejarah kerana ia dijalankan hanya 1 jam 18 minit.

Ketua Pembangkang DUN, Datuk Seri Mahadzir Khalid berkata, kerajaan negeri PAS berbuat demikian kerana tidak mahu menjawab isu-isu besar yang timbul sekarang ini.

Katanya, daripada lebih 50 soalan yang dikemukakan oleh wakil rakyat BN dan Pakatan Rakyat, hanya lima soalan yang dijawab.

"Soalan-soalan `heavy weight'seperti pembalakan,  dia letak belakang kerana satu taktik tidak mahu menjawabnya.

Sebaliknya soalan-soalan remeh seperti pihak berkuasa tempatan dan bazar Ramadan diutamakan.

"Kita buat rayuan supaya dilanjutkan masa supaya lebih banyak soalan dijawab ditolak oleh Speaker, Datuk Dr Abd Isa Ismail" katanya ketika dihubungi.

Sidang DUN Kedah hari ini bermula jam 9 pagi dan berakhir pukul 10. 18 pagi.

ANAK desak PKNK jual balik semua saham FGVH

Posted: 15 Jul 2012 11:10 PM PDT

 
Mazlan Aliman juga akan mencadangkan agar syarikat berkaitan kerajaan tersebut menjual saham dan memohon maaf pada rakyat. 




PETALING JAYA: Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan(ANAK) Mazlan Aliman mahu Perbadanan Kerajaan Negeri Kedah (PKNK) menjual kembali saham Felda Global Ventures Holdings (FGVH) sekiranya mereka telah membelinya.

"Kita konsisten dengan pendirian menentang FGVH. Saya telah nyatakan pendirian saya dalam mesyuarat PAS Pusat.

"Jika benar, saya akan bantah kerana ia bertentangan dengan solidariti parti komponen Pakatan Rakyat.

"Kita juga akan mencadangkan agar syarikat berkaitan kerajaan tersebut menjual saham dan memohon maaf pada rakyat," kata Mazlan yang juga ahli Jawatan Kuasa PAS Pusat dan Ketua Penerangan PAS Johor.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan PKNK yang membeli 500,000 unit saham peruntukan Kementerian Perdagangan dan Industri Antarabangsa  (MITI) untuk kuota bumiputera pada harga RM4.55 beberapa hari yang lalu.

Saham FGVH mula diperdagangkan di Bursa Saham Kuala Lumpur pada 28 Jun lalu.

Menurut Mazlan, beliau akan turut mengetengahkan isu ini kepada pimpinan PAS Pusat untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Ini kerana PKNK dipengerusikan oleh Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang juga adalah Pesuruhjaya PAS Kedah.

Bidas Timbalan Menteri

Mazlan turut berkata bahawa ANAK akan membuat pemeriksaan sama ada syarikat berkaitan kerajaan di negeri pimpinan Pakatan Rakyat lain turut ditawarkan untuk membeli saham FGVH.

Dalam perkembangan berkaitan beliau turut membidas kenyataan Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan berkenaan Himpunan Oren pada hari Sabtu.

"Kalau warga Felda sokong, adakah referendum dibuat atau peneroka diumpan dengan habuan sebanyak RM5,000 sebanyak tiga kali," kata Mazlan.

Menurut laporan media semalam, Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata kurangnya penyertaan peneroka  membuktikan kerajaan BN mengambil langkah yang betul yang disokong penuh oleh peneroka Felda.

"Pada perkiraan saya tak kurang dari 10,000 orang menyertai Perhimpunan Oren. Bagi peneroka Felda ia satu sejarah kerana tak pernah sekali pun sejak 1974 perhimpunan disertai peneroka untuk menyatakan bantahan," kata Mazlan.

Beliau turut mendakwa jumlah penentangan terhadap FGVH sebenarnya jauh lebih besar terutamanya di kalangan anak muda kerana mereka bimbang ibu bapa mereka ditipu.

Mazlan percaya bahawa penentangan anak muda yang terdedah kepada sumber maklumat Internet akan menampakkan kesan di dalam pilihan raya umum ke 13 kerana kawasan peneroka FELDA meliputi 54 kawasan parlimen.

Siasatan GLC rugi RM100j selesai?

Posted: 15 Jul 2012 11:02 PM PDT

MALAYSIA CHRONICLE


KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan siasatan berhubung kes syarikat milik kerajaan (GLC) yang dilaporkan mengalami kerugian lebih RM100 juta dipercayai akibat penyelewengan dan rasuah oleh pegawai kanannya telah selesai.

Menurut sumber, pihaknya juga dijangka membuat tangkapan dan pendakwaan terhadap individu terlibat dalam masa terdekat.

Beberapa individu lain termasuk kakitangan syarikat yang dilantik oleh kerajaan negeri bagi menguruskan projek berkenaan juga akan ditahan dan didakwa.

Sementara itu, Pengerusi Sime Darby Berhad (Sime Darby), Tun Musa Hitam menafikan konglomerat tersebut merupakan GLC yang dilaporkan mengalami kerugian lebih RM100 juta dipercayai akibat penyelewengan dan rasuah oleh pegawai kanannya.-Utusan

PRU-13 tak mungkin tahun depan?

Posted: 15 Jul 2012 11:00 PM PDT

MALAYSIA CHRONICLE



KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggambarkan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) tidak akan diadakan tahun depan.

Beliau berkata, tahun ini adalah masa yang terbaik untuk diadakan pilihan raya umum itu.

''Saya tak fikir ia akan berlangsung tahun depan. Wallahualam. Tak tahulah Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak). Tetapi saya beritahu yang terbaik adalah tahun ini.

''Jadi, kalau tahun ini sekarang sudah Julai, bulan puasa. Ada orang tanya apakah bulan puasa nak diadakan pilihan raya? Saya kata, apa salahnya?,'' ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Batu di Kompleks Darul Kifayah, Taman Koperasi Polis Fasa II, di sini hari ini.

Menurutnya, tidak ada salahnya juga jika pilihan raya umum diadakan pada Ogos iaitu ketika umat Islam meraikan Hari Raya Aidilfitri dan menyambut Hari Kebangsaan.

Hadir sama pada majlis itu ialah Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Syed Ali Alhabshee dan Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Yahaya Mat Ghani.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, para pemimpin Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO di semua peringkat juga perlu bekerja keras bagi menambat hati pengundi sementara menunggu tarikh pilihan raya umum diumumkan.

''Presiden parti (Datuk Seri Najib) juga tidak berhenti kerja siang malam. Ingatlah, Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu adalah satu isyarat dan amaran besar buat kita. Kalau tak berubah, ikut cara lama, malas dan tak turun ke bawah, tak payah tanyalah bila mahu diadakan pilihan raya. Sebab itu setiap hari Perdana Menteri turun padang. Rakyat ceritakan masalah, kita tak boleh 'tutup telinga'.

''Kita adakan pelbagai program seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M). Kita bagi semua, tak tanya dia UMNO atau Pas atau DAP atau Parti Keadilan Rakyat (PKR). Kemudiannya bantuan buku dan persekolahan, Kedai Rakyat 1Malaysia, Kedai Kain Rakyat 1Malaysia. Orang kata ini kosmetik. Bukan, ini serius. Semuanya untuk rakyat,'' jelasnya.

Katanya, tindakan Perdana Menteri yang selalu turun padang seharusnya dicontohi oleh pemimpin-pemimpin lain di semua peringkat dalam parti.

''Selangor, Kedah kita kalah. Sebab itu kena bantu kembalikan semula kepada BN. Dekati rakyat agar tidak ada yang terbiar,'' tegasnya.

Terdahulu pada majlis sama, beliau menyampaikan surat tawaran rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kepada 12 penerima selain penyampaian peralatan keusahawanan untuk 69 penerima di bawah Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen (M3P) Batu.

Muhyiddin turut mengarahkan Yahaya membawa wakil penduduk Kampung Medan Wira dan Kampung Chubadak Jaya di Batu untuk bertemu beliau bagi membincangkan masalah yang dihadapi penduduk di kampung berkenaan.-Utusan

Jentera penerangan Umno, BN perlu diperhebatkan lagi, kata Zahid Hamidi

Posted: 15 Jul 2012 10:57 PM PDT

THE MALAYSIAN INSIDER

BAGAN DATOH — Jentera penerangan Umno dan Barisan Nasional (BN) peringkat bahagian perlu diperhebatkan lagi termasuk usaha mewujudkan 'media troopers' menangkis tohmahan yang sering dilemparkan pembangkang melalui media sosial.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pembangkang menggunakan media sosial menyerang dan memfitnah Umno dan BN dengan isu-isu negatif yang boleh meracuni pemikiran rakyat.

"Oleh yang demikian, Umno dan BN perlu mendekati kumpulan pelayar media sosial agar hal yang sebenar dapat diperjelaskan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Pergerakan Wanita Umno bahagian Bagan Datoh di Wisma Umno di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan berkata penjelasan perlu dilakukan kerana kira-kira 17 juta daripada 28 juta penduduk negara ini lebih cenderung mendapat maklumat menerusi media sosial daripada media arus perdana.

Beliau berkata 'media troopers' adalah saluran yang cukup penting bagi membetulkan dakwaan yang digambarkan oleh pelayar media pembangkang.

"Oleh sebab itu, adalah penting untuk kita mengaktifkan kumpulan 'media troopers' kita bagi membetulkan keadaan.

"Saya yakin anggota Pemuda Umno dan BN boleh melakukannya kerana sekarang ini ia merupakan satu kumpulan kecil dan saya berterima kasih kepada 'media troopers' yang ada tetapi masih tidak mencukupi," katanya.

Ahmad Zahid berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak turut mengambil inisiatif menjawab segala permasalahan yang timbul melalui media sosial yang dikendalikannya secara peribadi.

"Oleh kerana permasalahan yang ditimbulkan bukan hanya berkaitan dengan soal parti dan kerajaan tetapi melibatkan perkara-perkara yang lain," katanya. — Bernama

Amuk JPM: Polis panggil adik Muhdalina – wanita bersama lelaki amuk

Posted: 15 Jul 2012 10:52 PM PDT

THE MALAYSIAN INSIDER


SHAH ALAM– Polis Di Raja Malaysia (PDRM) memanggil adik kepada Muhdalina, wanita yang bersama Khalil Afandi Abdul Hamid – ditembak mati akibat mengamuk di Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri (JPM), baru-baru ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Abdul Razak Abdul Majid, polis menemui lelaki itu kelmarin untuk mengambil keterangan.


"Siasatan kes itu masih dijalankan.

"Kita akan panggil sesiapa sahaja yang boleh membantu siasatan," lapor Sinar Harian hari ini.

Menurut Abdul Razak lagi, kertas siasatan akan disiapkan dalam jangkamasa terdekat. Sebelum ini, lima individu dipanggil bagi membantu siasatan berhubung kejadian amuk terbabit.

Individu itu antaranya, suami Muhdalina, isteri Khalil Afandi Abd Hamid dan seorang penulis blog.
Dalam kejadian itu, polis melepaskan tembakan setelah Khalil Afandi dan Muhdalina mengamuk dengan bersenjatakan pedang samurai.

Tembakan itu menyebabkan Khalil Afandi Abd Hamid maut ketika dirawat di Hospital Putrajaya, manakala Muhdalina cedera di paha kanan.

Ketua pemuda Umno Johor bertukar dalam permainan politik pilihan raya, kata sumber

Posted: 15 Jul 2012 10:48 PM PDT


KUALA LUMPUR – Perebutan kuasa di Johor telah menyebabkan ketua pemuda Umno negeri ditukar dengan calon lebih neutral pada hujung minggu lalu kerana menteri besar, Datuk Abdul Ghani Othman membuat percubaan untuk kekal bagi penggal kelima dinegeri kelahiran Umno selepas pilihan raya umum (PRU) akan dating, kata sumber.

Ketua pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menamakan ketua pemuda Parit Sulong, Datuk Zulkurnain Kamisan sabtu lalu untuk menggantikan Mohd Fadil Muskon, yang dikatakan mempunyai masalah dengan Ghani (gambar) selepas menganjurkan perhimpunan taat setia kepada Sultan Johor pada 10 Jun lalu dalam isu pembelian nombor pendaftaran 'WWW 1', kata sumber lagi.

"Fadil disuruh supaya tidak menganjurkan acara tersebut kerana ia akan memberikan imej negatif kepada Umno.

"Semenjak itu, beliau tidak disukai dan kepimpinan negeri mahukan beliau digantikan," kata sumber kapada The Malaysian Insider.

Perhimpunan Menjunjung Taat Setia di Istana Pasir Pelangi dihadiri ramai tetapi hanya beberapa kerat pemimpin Umno negeri untuk menyokong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Dikhabarkan pemimpin Umno negeri mahu menjarakkan diri mereka dalam isu pembelian nombor pendataran kenderaan beharga RM520,000 oleh sultan pada ketika keadaan ekonomi yang tidak baik.

Fadil tidak mempedulikan garis yang diambil oleh pimpinan negeri – meneruskan perhimpunan tersebut selepas mendapat sokongan daripada majority rakyat Johor yang begitu taat kepada sultan mereka.

Majoriti rakyat Johor juga merasa terhina apabila menteri besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin mempersoalkan tindakan sultan mereka. Umno dilancarkan di pekarangan istana pada tahun 1946 – menyebabkan rapatnya hubungan antara parti tersebut dan istana negeri.

"Walaupun hubungan rapat dengan istana negeri, kepimpinan negeri tidak mencabar arahan yang diberikan apalagi disaat-saat genting bagi Ghani yang mahu kekal di Johor.

"Sebab itu Fadil dikenakan tindakan keras," kata sumber lain dari parti tersebut.

Terdapat cakap-cakap tentang Ghani akan dibawa ke pusat walaupun akhbar arus perdana melaporkan tentang hubungan rapat menteri besar empat penggal itu dengan Sultan Ibrahim.

Beberapa nama disebut-sebut untuk menggantikan Ghani seperti menteri pendidikan tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin dan naib ketua pemuda Umno, Datuk Razali Ibrahim.

Musuh tradisi, PAS mengatakan 16 ketua pemuda Umno bahagian turut menentang Fadil yang rapat dengan Khairy akan tetapi, ketua pemuda Umno itu menafikan rombakan berlaku disebabkan oleh sikap perpecahan dalaman parti.

Ketua pemuda Umno bahagian Tebrau, Syahrin Jamaludin salah seorang dari ketua pemuda Umno bahagian yang dikatakan menentang Fadil menafikan dakwaan PAS dan mengatakan parti tersebut mereka-reka cerita kerana sudah ketandusan isu.

Sumber parti mengatakan 16 ketua pemuda Umno bahagian mahukan Razali dilantik sebagai ketua pemuda Umno negeri manakala Ghani dikatakan menyokong ketua pemuda Umno Bakri, Mohd Fuad Tukirin, memperlihatkan perpecahan dalam parti tersebut.

"Sukar untuk Khairy dan dia telah memilih untuk masa depan parti dengan memilih seorang yang lebih neutral untuk memimpin pemuda negeri," kata satu lagi sumber.

Fadil walaubagaimanapun telah dilantik menjadi pegawai khas ketua pemuda Umno dalam secretariat Pemuda Barisan Nasional (BN).

Khairy mengatakan perlantikan itu adalah rombakan kecil dalam persediaan untuk menghadapi PRU 13 dan Zulkurnain hari memperkemaskan pergerakan pemuda Umno negeri  demi mendekati majoriti yang merupakan pengundi atas pagar.

Dua minggu lalu, ketua pemuda Umno menafikan khabar angin pemecatan Fadil dengan mengatakan rombakan turut berlaku di Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Sabah.

"Ini adalah perkara biasa, tida yang luarbiasa.

"Di Pulau Pinang, Selangor dan Sabah, saya telah melakukan perubahan dalam kepimpinan pemuda negeri.

"Untuk negeri lain, saya sedang melihat situasi, jika perlu ditukar, saya akan tukar," kata beliau dengan mengatakan akan berlaku perubahan di Johor.

Sumber Umno mengatakan perubahan menunjukkan keretakan dalam parti terutamanya antara pemuda dan kepimpinan Umno negeri.

"Pemuda mempunyai idea dan mahu mendekati semua orang, dari keluarga di Raja sehingga orang di jalanan akan tetapi, kepimpinan negeri hanya mahu mempertahankan kedudukan mereka.

"Kes Fadil adalah satu contoh," kata satu sumber.

Zulkurnain akan menghadapi cabaran besar untuk menyusun pergerakan pemuda negeri Johor oleh kerana perpecahan dalaman terutamanya jika pilihan raya diadakan dalam jangkamasa terdekat.

"Umno boleh menang besar jika semua bekerjasama.

"Ini adalah sesuatu yang sukar dilakukan," kata sumber dalaman parti yang lain.

Terdapat lebih kurang 12 juta pengundi yang layak mengundi dalam PRU akan datang di peringkat pusat dan negeri jika semua bersetuju dengan satu tarikh.

Umno itu sudah terlalu fakir dalam perjuangan

Posted: 15 Jul 2012 10:40 PM PDT

Aspan Alias,
Muhyiddin menyeru agar UMNO mempertahankan kerusi Gelang Patah habis-habisan kerana Gelang Patah merupakan kawasan yang menempatkan pusat pentadbiran negeri Johor dan mempunyai infrastuktur yang terbaik di negeri Johor. Di dalam kawasan ini jugalah terletaknya Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan berbagai-bagai infrastruktur terbaik di negeri Johor.

Kenyataan seperti ini yang datangnya dari Timbalan Perdana Menteri dan ianya membayangkan bahawa negeri Johor juga merupakan negeri yang sangat ditakuti oleh BN dalam menghadapi PRU yang akan datang ini. Kenyataan yang membayangkan ketakutan dari pihak BN tidak pernah kita dengar sebelum ini jika ia melibatkan negeri Johor kerana Johor sebelum ini merupakan kubu kuat BN sejak negara mengadakan pilihanraya.

BN dan UMNO di negeri Johor sebelum ini hanya mengambil pilihanraya umum sebagai satu pesta sahaja kerana bak kata orang UMNO semasa parti itu kuat dahulu, 'calon UMNO tidak payah turun berkempen. Hantarkan songkok untuk mewakili calon-calon-calonnya sahaja sudah cukup dan BN akan menang'. Tetapi kenyataan yang datang dari seorang Timbalan Perdana Menteri yang juga merupakan anak Johor ini, amat jelas yang BN di Johor tidak boleh lagi bercakap takbur seperti dahulu. Keadaan sudah berubah dan rakyat lebih fokus untuk mencari pemimpin dan parti yang lebih berguna dari dahulu.

Muhyiddin meminta UMNO dan BN Johor perlu melipat gandakan usaha untuk mempertahankan Gelang Patah daripada ditawan oleh Pakatan Rakyat. Ia bermakna Johor terutamanya di Gelang Patah UMNO sedang berada di posisi defensif di tengah-tengah kemaraan pengaruh Pakatan Rakyat sekarang ini. Jika Gelang Patah yang merupakan kubu tradisi BN Johor sudah berada di posisi defensif, bagaimana agaknya di kawasan-kawasan lain yang lebih lemah dari Gelang Patah?

Mungkin apa yang dikatakan oleh setengah pemimpin-pemimpin UMNO dan BN di Johor yang mereka (BN) kali ini akan hilang sepuluh kerusi parlimen dalam pilihanraya umum yang akan datang itu memang akan menjadi kenyataan. Mungkin itu jugalah sebabnya kenapa Salahuddin Ayub, Naib Presiden PAS yang sekarang mewakili kawasan Kubang Kerian mengambil keputusan untuk kembali ke Johor untuk menjadikan impian PR menjadi pemerintah kepada kerajaan Johor menjadi kenyataan selepas PRU yang akan datang ini.

Jika penekanan dan tumpuan kepada kawasan Gelang Patah ini keterlaluan mungkin ada kemungkinan yang Gelang Patah dan beberapa kawasan Parlimen di Johor akan kekal dalam BN dan yang lainnya akan jatuh ke tangan Pakatan Rakyat.

Tidak ada perkara yang tidak menjadi kemungkinan dalam politik negara pada hari ini. Contohnya tidak pernah sesiapa terfikir yang UMNO akan menjadi seperti hari ini; fakir dalam perjuangannya serta miskin dalam nilai dan budaya bangsa yang dipimpinnya.

Itu semualah yang menjadikan UMNO sudah hilang seluruh identitinya sebagai sebuah parti pemerintah yang bermaruah dan berintergriti sehinggakan parti itu tidak akan kebah dari stigma yang terlalu buruk di sisi pandangan rakyat yang ramai. - http://aspanaliasnet.blogspot.com

Umno gerun hadapi fenomena sertai PAS

Posted: 15 Jul 2012 10:34 PM PDT

Nazli Ibrahim, Selangorku,


(Salah seorang yang menyertai PAS di Stadium Kuala Selangor)

KUALA SELANGOR: Fenomena kemasukkan ramai bekas pegawai tinggi kerajaan menyertai PAS pada masa kini menggerunkan Umno-BN.

Tindakan tersebut juga membuktikan PAS bersama Pakatan Rakyat (PR) bersedia untuk menakluki Putrajaya.

Demikian menurut Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu ketika menyampaikan ceramahnya dalam Himpunan Hijau Menuju Ke Putrajaya peringkat Negeri Selangor, di Stadium Kuala Selangor malam tadi.



"Bekas orang nombor tiga dalam Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Datuk Fauzi Shaari sudah pun menyertai PAS, jadi ahli seumur hidup dan saya juga nampak bekas Ketua Polis, Tan Sri Musa Hassan sedang mengintai-intai untuk bersama kita.

"Hari ini Tan Sri Musa dah kata perangkaan jenayah yang dikeluarkan oleh PDRM tak boleh dipercayai sebenarnya jenayah meningkat dengan dahsyat," katanya yang popular dengan panggilan Mat Sabu.

Dalam perhimpunan yang dihadiri kira-kira lebih 6,000 hadirin itu, tiga lagi bekas pegawai kanan kerajaan turut menyerahkan borang keahlian untuk menyertai PAS.

Mereka adalah bekas Pegawai Tadbir Diplomatik(PTD) selama 33 tahun yang juga bekas Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Ismail Hamzah dan bekas Pengarah Kanan Lembaga Pertubuhan Peladang, Abd Rahman Taib.

Manakala seorang lagi adalah bekas Pengarah Sumber Manusia Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang juga pernah menjawat jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Pulau Pinang, Yusuf Hassan.

Menurut Yusuf, kemasukan golongan pesara kerajaan dalam PAS akan dapat membantu parti itu mengurus tadbir kerajaan apabila PR memenangi pilihan raya kelak.

"Saudara semua jangan takut kerana kita menyediakan pakar-pakar dari dalam kerajaan dari pelbagai bidang untuk membantu saudara-saudari semua mengurus tadbir negara ini dengan baik.

"Pengalaman yang kami ada, akan kami curahkan untuk membantu rakyat dan menjadi negara yang paling baik," ujar beliau.

Tuduh Pemuda PAS menipu: Umno dituntut penjelasan

Posted: 15 Jul 2012 10:30 PM PDT

Harakahdaily,
JOHOR BAHRU: Pemuda PAS Johor mendesak Pemuda Umno membuat penjelasan ekoran dakwaan mereka terhadap PAS sebelum ini kerana terbukti dakwaan PAS sebelum ini.

Ini berikutan perubahan pucuk pimpinan Pemuda Umno Johor mulai esok, kata Ketua Pemuda PAS Johor, Suhaizan Kaiat (gambar).

"Saya mewakili rakyat Negeri Johor mahukan penjelasan daripada semua Ketua-ketua Pemuda UMNO yang telah menafikan dalam akhbar dan menuduh Pemuda PAS Johor dengan pelbagai
tuduhan.

"Rakyat Johor mahu tahu siapa yang menipu dalam pergolakkan Pemuda UMNO Johor.

"Adakah Pemuda UMNO menipu rakyat Johor? Mereka yang menipu tidak layak menjadi pemimpin negeri dan negara ini," kata Suhaizan dalam kenyataannya hari ini.

Baru-baru ini, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin Abu Bakar mengumumkan pertukaran Ketua Pemuda Umno Johor.

Ketuanya, Mohd Fadil Muskon (gambar) disingkirkan dari jawatannya.

Beliau digantikan oleh Ketua Pemuda Umno bahagian Parit Sulong, Datuk Zulkurnain Kamisan.

Pengumuman ini dibuat sendiri oleh Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Pemuda Umno bahagian Pulai di Dewan Tan Sri Mohamed Rahmat di Johor Bahru 14 Julai lepas.

"Pelantikan ini adalah rombakan kecil yang saya janjikan sebelum ini sebagai persediaan bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 yang akan datang," kata Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.

Dalam kenyataannya pada 28 Jun 2012 lalu, Suhaizan berkata, 16 Ketua Pemuda UMNO bahagian di Johor telah menolak kepimpinan Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd Fadil Muskon.

Mereka telah mendesak Ketua Pemuda UMNO Johor meletakkan Jawatan.

Namun kepimpinan Pemuda Umno Malaysia dan Johor telah menafikan pergolakkan ini dengan menuduh beliau dan Pemuda PAS Johor dengan perbagai tuduhan.

"Kini dengan perubahan kepimpinan UMNO Negeri Johor bermula esok membuktikan kebenaran
kenyataan saya sebelum ini.

"Mustahil bagi mana-mana parti politik membuat perubahan kepimpinan disaat-saat genting menghadapi pilihanraya terutamanya di Johor yang menjadi sasaran Pakatan Rakyat (PR) untuk menawannya," kata Suhaizan dalam kenyataannya itu.

The Malaysian Insider dalam laporannya pula berkata, Pemuda Umno Johor berpecah dua dengan satu kumpulan yang dipimpin oleh Mohd Fadil Muskon bertembung dengan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Ghani Othman.

Mohd Fadil Muskon, dikatakan mempunyai masalah dengan Ghani selepas menganjurkan perhimpunan taat setia kepada Sultan Johor pada 10 Jun lalu dalam isu pembelian nombor pendaftaran 'WWW 1'.

"Fadil disuruh supaya tidak menganjurkan acara tersebut kerana ia akan memberikan imej negatif kepada Umno.

"Semenjak itu, beliau tidak disukai dan kepimpinan negeri mahukan beliau digantikan," kata sumber kapada The Malaysian Insider, tulis Editornya, Jahabar Sadiq.

Perhimpunan Menjunjung Taat Setia di Istana Pasir Pelangi dihadiri ramai tetapi hanya beberapa kerat pemimpin Umno negeri untuk menyokong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Dikhabarkan pemimpin Umno negeri mahu menjarakkan diri mereka dalam isu pembelian nombor pendataran kenderaan beharga RM520,000 oleh sultan pada ketika keadaan ekonomi yang tidak baik.

200 pendemo anti-ISA untuk minggu ketiga

Posted: 15 Jul 2012 05:55 PM PDT

S Pathmawathy


 
Kira-kira 200 orang berkumpul di pusat tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Kamunting, Perak hari ini untuk minggu ketiga berturut-turut bagi menuntut pembebasan 45 tahanan terakhir.

Penyelaras Gerakan Mansuhkan ISA Syukri Abdul Razab berkata, kehadiran pada awalnya dijangka sehingga 500 orang jika tidak kerana sekatan jalan raya yang dilakukan polis.

Katanya, perhimpunan yang bermula jam 11 pagi itu berlangsung hampir dua jam sebelum diikuti lawatan anggota keluarga tahanan.

Menurutnya lagi, perhimpunan itu turut disertai anggota dan penyokong PAS sekitar Perak.

"Kami berjaya membawa kumpulan besar kerana mereka (PAS) menyertai. Jika tidak kerana sekatan jalan raya, angka ini akan jauh lebih besar," katanya kepada Malaysiakini.

Seramai 45 orang, termasuk 25 warganegara asing masih ditahan di kem Kamunting atas pelbagai alasan termasuk penyeludupan manusia, aktiviti keganasan dan pemalsuan dokumen.

Azrinaz: 'Saya masih sama seperti dahulu'

Posted: 15 Jul 2012 05:53 PM PDT

KIFFY RAZAK

Azrinaz: 'Saya masih sama seperti dahulu'
Azrinaz Mazhar Hakim ketika ditemu bual oleh majalah NONA, Mei lalu. - Foto ihsan NONA
 
Azrinaz: 'Saya masih sama seperti dahulu'
Nona Keluaran Julai
 
SUDAH lama sebenarnya impian untuk menjadikan Cik Puan Azrinaz Mazhar Hakim sebagai penghias wajah hadapan Nona, tetapi kesempatan itu belum terbuka.

Lantaran itu saya membawa angan-angan itu berganti tahun dan akhirnya alhamdulillah... kala menyuarakan hasrat tersebut awal bulan lalu pada Saidatulnisa, Azrinaz bersetuju.

Namun tarikhnya belum dapat diputuskan kerana tuan punya diri terlalu padat dengan pelbagai urusan. Beliau di Malaysia hanya untuk beberapa hari bagi menjalani rakaman program ON AIR, kemudiannya akan terus terbang ke Singapura, Brunei, London dan Sepanyol.

Oh! Bukan mudah sebenarnya untuk mendapatkan insan yang pernah mengejutkan rakyat Malaysia dan Brunei dengan kisah perkahwinannya, malah pernah menjadi insan dikenali dunia.

Namun, saya enggan berputus asa, berbalas pesanan ringkas melalui Saidatulnisa sebagai insan perantaraan.

Kata saya, jika Azrinaz tidak sempat balik ke Malaysia, ingin sekali saya ke Singapura atau Brunei bagi memenuhi impian ini. Jawab Azrinaz, "amboiiiii bukan main lagi Kiffy ni!"

Dengan pantas saya berbalas, "saya memang betul-betul inginkan Azrinaz sebagai penghias wajah depan Nona, berusaha tangga kejayaan."

Selang beberapa hari dan secara berterusan, pesanan ringkas saya sering mengganggu Saidatulnisa dan Azrinaz! Maafkan saya kerana selagi tidak diputuskan tarikh pertemuan, tidak boleh duduk diam dibuatnya.

Alhamdulillah, saya mendapat jawapan yang ditunggu-tunggu. Rasa kebahagiaan bertamu, sujud syukur saya kepada-Nya kerana membuka pintu hati Azrinaz untuk menerima lamaran ini.

Namun sehari sebelum sesi fotografi diadakan, petang itu saya menerima pesanan ringkas dari Azrinaz mengenai busana yang ingin dipakai. Kata sepakat diputuskan Azrinaz akan membawa beberapa helaian koleksi peribadinya dan saya akan memilih beberapa lagi daripada pereka tempatan.

Selepas Maghrib, lampu merah berkelip-kelip di telefon bimbit saya menandakan ada pesanan ringkas.
Terbeliak biji mata saya membacanya, "saya minta maaf sangat-sangat. Saya tidak boleh buat Nona esok atas sebab-sebab tertentu. Saya minta maaf atas kesulitan ini."

Lidah saya menjadi kelu, tergamam tanpa boleh berkata apa-apa. 'Deadline' majalah sememangnya di atas garisan.

Saya seperti nyawa-nyawa ikan kerana tidak ada sebarang penghias wajah lain sebagai pengganti. Saya percaya, Azrinaz tidak bermaksud untuk berbuat demikian.

Pastinya di atas sebab tertentu, beliau terpaksa menarik diri pada saat akhir. Saya bertemu ketua editor untuk memaklumkan perkara ini.

Selepas beberapa baris ayat, suara saya semakin bergetar dan air mata mengalir. Saya tidak dapat menahannya lagi perasaan kecewa ini kerana segala-galanya sudah hampir di kemuncak, hanya menanti detik pertemuan itu sahaja.

Namun, saya perlu berfikiran positif dan bertenang untuk memikirkan apa yang seharus saya lakukan seterusnya. Dalam suasana muram dan sempat menghabiskan dua pinggan nasi (begitu cara saya melepaskan segala rasa tekanan).

Tepat jam 9.03 malam, saya menerima pesanan ringkas daripada Azrinaz menyatakan, beliau telah berusaha menyelesaikan beberapa perkara dan Insya-Allah esok boleh dilaksanakan.

Sekali lagi air mata saya mengalir, tanda gembira dan bersyukur. Alhamdulillah... impian bakal tercipta. Terima kasih berkali-kali saya ucapkan buat Azrinaz.

Tanggal 26 Mei 2012. Hari yang ditunggu tiba, saya dan Azrinaz bertentang mata, membuka bicara kemesraan dengan tenang.

Seindah itu juga aura kemewahan Penthouse Le Meridien, menyambut pertemuan kami ini. Azrinaz sekali lagi meminta maaf atas segala kesulitan yang telah berlaku dan saya faham keadaan ini juga bukan mudah baginya. Ia menjadi sebahagian daripada kenangan teristimewa dalam hidup saya untuk berkongsi kisah perjalanan sewaktu sesi, UP CLOSE & PERSONAL WITH AZRINAZ MAZHAR HAKIM diadakan khas buat semua pembaca Nona...

PERTEMUAN BERMAKNA

Wanita anggun yang sering kali saya lihat di kaca televisyen dan dada akhbar, kini berada di hadapan mata. Tipu kiranya saya menyatakan tidak berasa gementar pada awal pertemuan tetapi Azrinaz membuka ruang dirinya untuk sesiapa sahaja yang berada di sekeliling, berasa cukup selesa. Tampil dengan gaya kasual chic!

Azrinaz menyarung skinny jeans bersama white t-shirt DIOR dan jaket ala-old school rona biru gelap.

Langkah diatur kemas bersama sepatu LV dan menggenggam tas tangan daripada jenama yang sama. Tutur kata kala berbicara sopan dan lemah lembut, jelas mencerminkan keperibadian dirinya yang merendah diri dan disenangi.

"Saya tidak menghilang kemana-mana. Sekarang saya sering berulang-alik di Malaysia, Brunei dan London. Jika di Brunei, masa saya sepenuhnya bersama anak-anak. Pulang ke Malaysia, waktu bersama keluarga dan saya masih lagi tinggal di sini bersama ibu dan ayah. Ini tanah tumpah darah, sejauh mana saya pergi Malaysia tetap di hati.Ó"

"Sejak dari dahulu lagi, sewaktu bekerja sebagai penyampai dan wartawan penyiaran saya tidak menerima atau keluar di mana-mana wawancara untuk majalah atau sebagainya. Termasuklah juga sewaktu berumah tangga, saya lebih selesa untuk 'low profile'.

"Cuma sekarang saya memberi banyak tumpuan kepada urusan peribadi dan perniagaan hartanah bersama ayah tercinta kerana beliau sememangnya dari dahulu lagi terlibat dalam jurusan ini," jelas Azrinaz dengan tenang.

Adakah disebabkan kerinduan dalam dunia penyiaran membuatkan Azrinaz menerima undangan sebagai salah seorang juri dan tenaga pengajar untuk rancangan ON AIR.

"Ya! Masih ada rindu saya pada bidang yang pernah diceburi. Dunia kewartawanan senantiasa dekat dalam hati saya.

"Menerima tawaran tersebut bukanlah kerana ingin glamor atau bayarannya, saya ingin berkongsi pengalaman bersama mereka yang benar-benar ingin berkecimpung dalam industri ini. Malah topik untuk episod yang saya hadir sebagai juri dan penasihat, amat sesuai sekali dengan rujukan yang diberikan kepada saya 'ratu stand upper'.

"Malah jadual rakaman tidak terlalu lama dan saya terima dari segi profesional, walaupun beberapa kali saya berfikir juga untuk membuat come back!".

"Malah saya cukup teruja apabila berpeluang untuk bekerjasama dengan Aznil Nawawi dan melepas kerinduan bertemu Datin Seri Normala. Banyak yang kami sempat berbual dan bicarakan termasuk perancangan perniagaan yang mungkin boleh dilakukan suatu hari nanti, insya-Allah." ujar Azrinaz.

Selepas ini, mungkin Azrinaz akan kembali aktif di hadapan kamera?

"Oh! Tidak lagi aktif seperti dahulu. Saya hanya lakukan jika ada masa kelapangan dan sebagai hobi.

"Sebenarnya gemuruh juga apabila berhadapan dengan kamera buat pertama kalinya, setelah lama ditinggalkan. Kamera sekarang pun sudah kecil berbanding dahulu (ketawa kecil Azrinaz). Paling penting saya rasa gembira sangat, rasanya seperti kembali ke zaman muda dahulu."

Sempat saya berseloroh pada Azrinaz, sekarang pun masih kekal muda, cantik dan langsing lagi. Tersenyum malu, Azrinaz.

Nasihat terbaik daripada Azrinaz buat mereka yang ingin menjadikan bidang kewartawanan penyiaran sebagai satu kerjaya, "mereka seharusnya lebih fokus dengan pilihan kerjaya ini, bukan sekadar untuk menjadi seorang yang glamor. Harus bermula dari bawah, tidak cerewet dan jangan sesekali menjadi diva. Selain itu, sebagai seorang wartawan penyiaran penampilan harus dijaga."

"Kerjaya ini menuntut anda untuk bersedia 24 jam dan kadang-kadang masa peribadi juga terpaksa dikorbankan. Tetapi ia cukup menyeronokkan dan banyak pengalaman yang bakal diperoleh. Kita akan belajar lebih banyak erti kehidupan dari masyarakat biasa sehinggalah ke tahap VVIP. Semuanya ini bergantung pada kesungguhan dan minat mendalam individu tersebut."

"Hidup ibarat sebuah perjalanan, penuh liku-liku. Terkadang jalan yang kita tempuh mulus tanpa hambatan. Namun tak jarang juga jalan yang kita lewati berkelok-kelok, berbatu-batu dan juga terjal. Ada ketika sambil berjalan, kita mungkin tersungkur. Namun segala kesedihan dan kegembiraan itu menjadi momen sejarah peribadi yang tidak mungkin dilupakan.

"Hampir separuh perjalanan hidup saya di muka bumi telah dilalui dengan pelbagai warna. Saya reda dengan segala-galanya, setiap yang berlaku ada hikmahnya. Saya jadikan sebagai satu bingkisan perjalanan hidup yang cukup istimewa. Walaupun status kini berbeza, namun keperibadian saya masih sama seperti dahulu."

Tiada ulasan: