. |
Kerusi Kuala Krai Jadi Rebutan Sesama Sendiri Posted: 30 Jul 2012 05:54 PM PDT MENJELANG TENGAH MALAM Boleh dikatakan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dan parlimen di Kelantan sudah bertuan atau sudah ada sang pemilik. Baik dipihak Pas maupun Umno sudah ada calon masing-masing. Tapisan nama-nama calon di peringkat akhir sudah dibuat dan berada dalam tangan ketua parti masing-masing. Bagi Pas ia tergenggam erat ditangan Nik Abdul Aziz Nik Mat, manakala Umno pula tergenggam erat ditangan Mustapa Mohamed. Sesiapa yang boleh 'menyekah' tangan kedua orang ini mereka akan dapat mengetahui apakah nama mereka ditanda (right) atau pun dipangkah. Nama-nama calon yang sudah ada dalam genggaman Nik Aziz sukar untuk diketahui. Sebagai pemegang amanah beliau tidak akan berkongsi maklumat dengan sesiapa. Sukar untuk Nik Aziz membuka mulut dan semuanya menjadi rahsia beliau seorang.
Kedudukan anaknya, Nik Mohamad Abduh sendiri tidak diceritakan kepada sesiapa. Apakah timbalan Dewan Pemuda Pas Pusat itu bertanding atau tidak belum dapat dipastikan. Tanya berapa kali pun beliau tidak akan membuka mulut. Tetapi saya pasti kali ini Nik Abduh akan turun gelanggang. Berlainan dengan Mustapa. Beliau agak bertolak ansur dan terbuka mengenai calon. Walaupun sesetengahnya sudah dikenal pasti tetapi berubah kembali. Mustapa juga tidak lokek untuk berbincang dan bertanya pihak-pihak tertentu mengenai calon yang dikemukakan kepadanya. Ini menjelaskan Mustapa tidak ada 'kunci' khas untuk memuktamad calon-calon. Bahkan yang pernah dikunci pun ada yang terbuka dan terlepas balik. Makanya walaupun nama-nama calon Umno sudah ada dalam kocek Mustapa, tidak bermakna nama-nama itu sudah muktamad. Masih dalam penilaian dan semakan terakhir. Semakan secara menyeluruh bukan saja mengenai latar belakang diri, tetapi latar belakang keluarga dan 'sain sobat' juga. Ini dirasakan kerana nama-nama ini masih bertukar ganti di peringkat akhir. Pertukaran ini menyebabkan bakal-bakal calon jadi tidur tidak lena, makan tidak kenyang. Sekali berhajat untuk ke kedai gambar untuk pukul gambar buat poster calon, sekali tangguh dulu. Begitu juga yang terpaksa menanggung biaya sendiri sudah pun ada bayangan untuk mengadai tanah atau harta untuk dijadikan belanja pilihan raya. Dalam Umno berbeza, mereka yang merasa akan jadi calon sudah membayangkan berapa banyak yang akan mereka perolehi sekiranya menjadi calon. Mereka akan membungkus wang berkenaan. Sebab itu dalam Umno kalau kalah bertanding tidak mengapa kerana wang imbuhan pasti dapat. Dalam Umno pilihan itu dianggap sebagai perdagangan yang tidak perlu mengeluarkan modal. Perangailah antara punca kenapa berlaku perebutan. Berbalik kepada mauduk awal tadi hari ini lobi melobi masih berterusan di kalangan mereka berhajat untuk jadi calon. Lobi melobi ini bukan saja setakat bahagian, negeri tetapi yang langkah panjang sedikit sanggup melangkah ke Putrajaya atau pun mengikut ke mana perdana menteri pergi, sampai PM yang mempunyai berbagai masalah itu pun naik pening untuk melayan mereka yang tergila hendak bertanding. Pantang kalau Najib Razak atau Muhyuddin Yassin ajak berbuka puasa mereka akan 'berungga' ke rumah presiden dan timbalan presiden itu sanggup tinggal anak isteri atau penyokong di kawasan. Yang penting kena tunjukkan muka kepada pemimpin dulu. Bercakap hal ini bagi Umno ada beberapa kawasan di Kelantan nampak gawat berhubung pemilihan calon ini. Bagaimana Mustapa tidak pening... kalau sampai enam orang nama dicadangkan untuk satu-satu kerusi. Bayangkan yang akan dipilih hanya seorang. Masing-masing mengaku dan merasa layak dan boleh bawa kemenangan kepada parti. Yang 'merohakkan' Mustapa beliau tidak boleh membuat keputusan. Walaupun ada kuasa prerogetif sebagai ketua perhubungan tetapi jarang keputusan itu dihormati. Pernah berlaku sebelum ini nama yang diputuskan oleh Pengerusi Perhubungan kemudian dipotong atau dibatalkan disaat-saat akhir. Implikasinya menyebabkan berlakulah "berkucar wak yah" di dalam parti itu akhirnya membawa kekalahan. Umno di Kelantan bukan lemah dan lawannya Pas bukan kuat. Tetapi kelemahan yang ada kepada Umno ialah ahli tidak dapat menerima dan akur kepada keputusan pucuk pimpinan dan sikap cah keting sesama sendiri terus menjadi kongkalikong politik. Masalah atau budaya inilah menyebabkan Umno kalah. Sekiranya Umno akur, tenang dan menerima keputusan parti dengan redha, barang kali sukar juga untuk Pas merangkul banyak kerusi dan menang secara berterusan sebanyak empat penggal. Kalau budaya cah keting dan kongkalikong politik itu dibuang Umno tidak mustahil berpeluang untuk membentuk kerajaan di Kelantan. Salah satu kawasan yang dikatakan bermasalah dan memeningkan kepala Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan hari ini ialah Kuala Krai. Nama calon untuk kerusi parlimen ini sudah pun ada, tetapi Mustapa sendiri tidak dapat memuktamadkan siapa sebenarnya berhak. Perang untuk menaikkan calon masing-masing berlangsung hangat di Kuala Krai. Keadaan dikatakan parah apabila ada pelobi sanggup memburukkan pihak pesaingnya dengan menaikkan sepanduk dan banner memberi gambaran buruk kepada calon tertentu. Ada tiga nama yang disebut-sebut atau merasakan mereka layak untuk mewakili Kuala Krai, mereka; ketua bahagian Kuala Krai Ramzi Abdul Rahman, bekas calon di pilihan raya kecil Manik Urai, Tuan Aziz Tuan dan seorang ahli akademik Dr Junaidy Abu Bakar. Tuan Aziz merupakan ketua pemuda manakala Junaidy tidak memegang apa-apa jawatan dalam Umno Kuala Krai. Khabarnya kehadirannya di Kuala Krai adalah atas kehendak atasan.
Kalau mengikut hierarki Ramzi dan Tuan Aziz memang layak kerana mereka adalah pemimpin peringkat bahagian. Tetapi sekiranya formula winnable candidate seperti mana disarankan Najib ternyata Dr Junaidy mengatasi kedua calon berkenaan berdasarkan kepada latar belakang pendidikan serta pengalaman dalam pentadbiran. Dan apabila beliau dihantar dari Kuala Lumpur sepatutnya Ramzi dan Tuan Aziz akur dengan order berkenaan. Lagipun tidak ada kemunasabahan untuk Ramzi beralih ke parlimen sebab kalau bertanding di Dun Dabong pun beliau kalah. Macam mana beliau boleh menguasai parlimen yang kawasannya lebih luas dari Dabong. Secara logiknya peluang untuk beliau menang di parlimen lebih sukar. Tetapi inilah yang selalu berlaku terhadap orang politik tetap merasakan kuat walaupun sudah bertongkat. Begitu juga dengan Tuan Aziz. Kalau dalam pilihan raya kecil pun boleh kalah di mana pilihan raya kecil selalunya berpihak kepada BN, apa pula dengan pilihan raya umum. Kerusi parlimen Kuala Krai tentulah lebih sulit dari kerusi Manik Urai. Jika diukur baju kepada badan sendiri, baik Ramzi dan Tuan Aziz elok bertanding (return) di kerusi masing-masing, Ramzi di Dabong, Tuan Aziz di Manik Urai. Manakala ada 'kuliha' kalau Dr Junaidy berhajat untuk mencuba kerusi parlimen Kuala Krai. Kedudukan sebagai anak jati Kuala Krai sudah tentu sedikit sebanyak dapat mengaut simpati dari undi anak beranaknya. Junaidy dikatakan mempunyai keluarga besar dan hubungan dengan pelbagai komuniti di Kuala Krai juga baik termasuk dengan orang Pas. Khabarnya orang yang menjadi pembawa jalan untuk beliau memasuki kawasan hari ini adalah orang Pas yang ada hubungan darah daging dengannya. Selain itu beliau juga ada rangkaian politiknya sendiri kerana abangnya pernah menjadi ketua pemuda Kuala Krai selama dua penggal. Sudah pasti rangkaian dan pengaruh abangnya boleh dipergunakan. Modal paling besar yang ada kepadanya ialah latar belakang pendidikannya serta pengalaman berkhidmat dalam kerajaan. Kini dia merupakan Timbalan Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris, (UPSI) Tanjung Malim. Sebelum ini seorang diplomatik. Beliau menjadi Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Malaysia di Indonesia. Pernah juga berkhidmat di beberapa buah syarikat GLC termasuk Proton. Kalau diukur dari segi pengalaman, pendidikan serta track rekod dalam perkhidmatan Junaidy jauh ke depan berbanding dengan Ramzi dan Tuan Aziz. Memang kena kalau Umno membawa pulang Junaidy ke Kuala Krai atas kapasiti sebagai calon berkelayakan. Persoalan kini sejauh manakah winnable candidate boleh diterima dalam Umno Kuala Krai? Tampaknya ia bukan senang. Hari ini pun bila Junaidy dikatakan sudah mulai bergerak dengan mengadakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan dalam bidang pendidikan dan mendapat sambutan beliau sudah mulai diserang hendap dari belakang oleh pihak-pihak tertentu. Ciri-ciri yang terserlah di Kuala Krai ini penentangan terhadap agenda pucuk pimpinan sebeginilah menyukarkan Umno untuk menang. Seperti diakui kekalahan Umno bukan kerana Pas kuat, tetapi kekalahan Umno kerana kelemahan yang ada kepada parti itu. Tidak dapat menerima orang lebih baik dari kita sebagai calon dan berusaha untuk melemahkan juga termasuk dalam ciri-ciri kelemahan itu yang boleh disifatkan Umno selalu menggali lubang untuk mengambus diri sendiri. [wm.kl.8:41 am 31/07/12] |
You are subscribed to email updates from . To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan