Jumaat, 27 Julai 2012

.

.


Mahathir Ada Kepentingan 20% Dalam Berjaya Group?

Posted: 27 Jul 2012 02:16 AM PDT

Sebelum Berbuka

Mahathir Mohamd bekas PM selama 22 tahun yang ditaati dan dianggap tokoh 'syahdu' serta dianggap sebagai mujadid oleh setengah glongan dalam Umno menganggap bekas PM itu sebagai terbaik apabila tidak mengumpul harta untuk dirinya sepanjang berkhidmat sebagai perdana menteri, terdedah akan kemunafikannya apabila seorang ahli korporat memberitahu Mahathir dikatakan mempunyai banyak kepentingan dalam beberapa syarikat tertentu di negara ini.

Mahathir Mohamad
Kata ahli korport itu Mahathir mengaut keuntungan menerusi komisyen yang diberikan oleh syarikat-syarikat di mana mendapat projek bernilaian billion ringgit yang dianugerahkan olehnya. Mahathir juga mendapat komisyen (saguhati) dari setiap projek mega yang diluluskan bernilai ratusan juta ringgit.

Beliau yang mengakui menjadi senang kerana Mahathir, mendedahkan Mahathir dikatakan mempunyai kepentiungan 20% dalam syarikat Berjaya Group yang turut terlibat dalam perjudian seperti Sport Toto, Magnum dan sebagainya.

"Mungkin ramai orang tidak tahu akan kepentingan Mahathir kerana kebijaksanaan beliau dalam menyembunyikan kepentingan itu," kata ahli korporat itu yang menjadi nomines kepada tokoh perniagaan terkenal dari Umno di zaman Mahathir berkuasa.

Akui beliau yang kini masih menjadi beberapa lembaga pengarah syarikat ada kepentingan dengan Umno, pandangan dan sokongannya kepada Mahathir berubah apabila mengetahui hal itu.

Jelasnya lagi selain Berjaya Group, Mahathir juga mempunyai kepentingan dalam beberapa syarikat gergasi lain. Misalnya syarikat pembinaan (kontrektor) telah menganugerahkan beberap unit banglo untuk Mahathir yang kini hasilnya dikutip dengan menyewakan dengan pendapat RM800,000.00 sebulan.

Paling mengejutkan Mahathir juga dikatakan, mempunyai kepentingan bukan dari syarikat-syarikat besar tetapi syarikat kecil juga beliau mendapat manfaatnya. Di Langkawi katanya Mahathir memiliki beberapa gerai yang disewakan kepada peniaga tempatan dengan kutipan hasil kurang RM1,000 untuk satu unit.

Pendedahan ini menafikan tanggapan seorang wakil rakyat yang menjual kepada orang kampung Mahathir kononnya perdana menteri yang tidak kaya dan paling bersih. Wakil rakyat yang pernah menyatakan kesanggupan untuk mencium punggung Mahathir pernah mendapat imbuhan RM1 juta tunai dari bekas PM itu, bertegas mempertahankan Mahathir paling bersih di antara pemimpin yang lain di negara ini.

Ketidakpercayaan Mahathir adalah PM Malaysia terkaya juga timbul apabila setiap kali ditimbulkan isu pembolotan harta, Mahathir berjaya meragui keyakinan orang ramai dengan jawaban yang bersifat menyinis.Apa-apa sesuatu yang benar mengenai dirinya akan diakui secara sinis menyebabkan orang tidak percaya kepada dakwaan buruk ke atasnya.

Misalnya kalau ada tuduhan mengatakan dia seorang diktator atau tidak amanah akan dijawab; iya saya memang diktator dan tidak amanah. Secara tidak langsung dengan jawaban menyinis itu Mahathir boleh mengelirukan pandangan orang terhadapnya.

Sebenarnya banyak bukti jelas menunjukkan Mahathir banyak membolot harta negara. Contohnya macam mana salah seorang anak lelakinya  boleh muncul menjadi orang yang disenaraikan 10 terkaya di negara ini. Apakah perniagaan anak lelaki beliau itu? Tidak pernah terdedah apa-apa perniagaan anak lelakinya itu seperti mana dilakukan Syed Mukhtar Al Bukhari atau orang-rang kaya lain khasnya dari kalangan Cina.

Kekayaan anak Mahathir itu pasti akan menjadi tanda tanya. Kegagalan mencari sumbernya akan menyerlahkan bahawa kekayaan anaknya itu adalah hasil pemberian Mahathir untuk anak-anaknya. Dari mana wang itu diperolehi? Jawablah sendiri. Kata Abdullah Badawi setelah jadi PM baru dia mengetahui bahawa seorang PM mempunyai kuasa besar boleh melakukan apa saja, dan mungkin mengumpulkan harta kekayaan kemudian dicampak kepada anak beranak sendiri. Cis... kepada wakil rakyat yang menjual kononnya Mahathir PM terbersih! [wm.kl.3:48 pm 27/07/12]

Tukar Machang Dengan Bachok Apakah Tindakan Betul?

Posted: 26 Jul 2012 11:20 PM PDT

Mengalah Hari

Seperti awal-awal diketahui Saifuddin Nasution Ismail telah bersiap sedia untuk meninggalkan Kelantan seperti dua orang lagi ahli parlimen yang berstatus sama beliau sebagai bukan anak Kelantan, iaini Salahudin Ayub, (Kubang Kerian) dan Nasharudin Mat Isa (Bachok). Ketiga mereka adalah orang luar yang bukan anak Kelantan.

Apakah tindakan mereka itu ada kena mengenai dengan plan dikemukakan pihak tertentu dalam Pas Kelantan yang tidak mahu lagi kepada orang luar bertanding di Kelantan kerana tindakan itu mencuri peluang anak-anak Kelantan berbakat menyempatkan diri menjadi pemimpin.

Saifuddin Nasution Ismail
Bagaimana pun nasib seorang lagi ahli Parlimen luar Kelantan, Dr Mohd Hatta Ramli (Kuala Krai) masih belum diketahui. Setakat ini tidak ada pula ternampak signal merah diberikan kepada Bendahari Pas Pusat itu agar juga keluar dari Kelantan. Namun ada gerakan bawah tanah di Kuala Krai berpusat di Guchil yang mahu Hatta juga ikut pulang bersama Saluhudin Ayub, Nasharudin dan Saifuddin.

Ada molek dan ada tidaknya kalau ahli parlimen luar Kelantan itu pulang ke kampung halaman sendiri. Misalnya kesediaan Salahuddin untuk akur kepada kehendak dan suasana semasa politik di Johor adalah tepat. Beliau anak Johor kelahiran Tanjung Pia wajar pulang ke negeri asalnya. Pas yang kini mula berkembang dan mendapat tempat di hati orang Johor memerlukan seorang tokoh intlek-harmonis seperti Salahuddin.

Begitu juga kalau Saifuddin pulang ke negeri asalnya di Kedah. Molek benar beliau bertanding di Kulim Bandar Bharu, kawasan yang dikencing hancing dan diberak oleh ahli parlimen 9/10. PKR perlu memulihkan imejnya di kawasan itu selepas rakyat dikencing hidup-hidup oleh si pembohong nombor wahid Malaysia. Sudah pasti kehadiran Saifuddin akan terubat sakit hati rakyat kawasan itu serta menyuntik semangat kepercayaan semula kepada PKR.

Bagaimana pun di sini saya tidak hendak mengisahkan akan kepulangan wakil rakyat luar itu, tetapi apa yang hendak saya 'mengutir' sedikit mengenai tindakan PKR Kelantan yang telah melakukan pertukaran kerusi, 'sayang sama sayang' dengan Pas melibatkan dua kerusi. Katanya kerusi Machang yang bakal ditinggalkan Saifuddin akan ditukar secara 'sayang sama sayang' dengan kerusi Bachok milik Pas.

Urusan pertukaran ini khabarnya sudah dibuat. PKR telah menghantar surat rasmi kepada Setiausaha Badan Perhubungan Pas Kelantan menyatakan nawaitu dan tujuannya. Sama ada Pas menerima atau tidak cadangan ini tidak dapat disahkan. Soalnya apakah rasional pertukaran itu dilakukan dan apakah Pas semudah itu akan menyerahkan kerusi itu?  Pentingnya apakah PKR sudah berbincang lumat dengan Pas Bachok?

Memang kedudukan PKR di Machang kurang selamat. Walaupun ahli parlimennya disandang sendiri Setiausaha Agung PKR yang juga merupakan tokoh masa depan dalam PKR tetapi ia tidak menjamin sokongan. Saifuddin gagal menjadi seorang wakil rakyat ala-ala Kelantan seperti mana dikehendaki. Kesibukan beliau selaku setiausaha agung parti juga menambahkan ketempangannya di Machang. Justeru kerana tidak mampu memenuhi naluri politik Kelantan yang unit dan masih terkepong dalam kelontong nyiur itu menyebabkan Saifuddin sendiri meragui akan sokongannya kekal. Dalam pilihan raya lalu Saifuddin yang berlawan dengan Sazmi Miah hanya menang lebih 1,460 nundi saja.Makanya sebelum kalah baik mengalah.

Perkembangan itu menyebabkan Saifuddin perlu meninggalkan Machang dan dalam masa sama satu mekenisme perlu dicari bagi mengekalkan kerusi berkenaan. Pemerhti politik kabur untuk melihat masa depan kerusi Machang apakah ia dapat dipertahankan atau tidak. Dalam masa sama PKR tidak ada tokoh 'galak' di Machang untuk menjadi pengganti Saifuddin.

Begitulah unit dan ganjilnya politik ini. Tokoh yang berwibawa, dikenali sebagai pemidato yang mapan dengan hujah, fakta dan figure bukan bererti berjaya mendapat sokongan rakyat. Ertinya, rakyat bukan saja mahu kepada wakil yang bijak dan petah bercakap tetapi yang penting reti dan rajin bergaul serta 'menguruspedulikan' apa yang mereka mahukan mengikut budaya dan tradisi yang mereka fahami. Dalam hal ini Saifuddin seperti gagal atau tidak betah untuk menuruti budaya itu.

Mungkin atas masalah itu maka kerusi Machang perlu dikembalikan kepada Pas untuk diuruskannya. Pas dilihat berkemampuan untuk mempertahankan kerusi berkenaan. Pas mempunyai ramai tokoh untuk dicalonkan. Misalnya menantu MB yang pernah menjadi kontroversi sebelum ini, Abdul Arifahmi Abdul Rahaman boleh diketengahkan untuk dijadikan calon. Keilmuan dimiliki bekas Ceo PMBK itu sudah pasti dapat membawa idea-idea baru bagi membangun Machang. Cuma sayang sedikit Ariffahmi belum dilihat sebagai seorang wajah bakal wakil rakyat sebaliknya dominan sebagai tokoh korporat. Mungkin beliau masih memerlukan sedikit masa lagi untuk diasuh menjadi wakil rakyat.

Zulkefli dan Ariffahmi boleh ganti Saifuddin di Machang.
Begitu juga Adun Pulai Chondong, Zulkefli Mamat boleh dibawa ke kerusi parlimen. Lagipun prestasinya di Pulai Chondong katanya sudah tidak mengacang seperti dulu. Cara berfikir dan gagasan-gagasan idea perniagaanya yang tidak membuahkan hasil lumayan selalu diperkatakan sebagai tanda-tanda kegagalan beliau sebagai wakil rakyat. Wajar juga kalau Pas mahu kekalkan Zulkefli sebagai wakil rakyat beliau dibawa ke dewan Parlimen.

Pendeknya dari segi calon Pas mengatasi PKR. Kalau itulah alasan PKR hendak melepaskan kerusi Machang kepada Pas memang logik merupakan satu keputusan yang betul. Tidak ada guna kerusi itu dipertahankan kalau ianya tidak akan membawa kemenangan. Boleh bertanding tetapi kalah, tidak ada apa-apa erti sebab dalam politik kemenangan kandati satu undi itulah hakikat dan makrifatnya.
 
Kerusi yang dikatakan menjadi sasaran dan idaman PKR ialah Bachok. Persoalan timbul kenapa PKR memilih Bachok. Apakah asas-asas yang menjadi penilaian maka Bachok dipinang oleh PKR bukan kerusi lain, misalnya Kota Bharu, Gua Musang, Jeli, Pasir Puteh atau pun Pasir Mas. Inilah yang hendak diketahui, formula apa dan mimpi apa digunakan oleh PKR maka Bachok dipilih.

Dan kalau pun perlu pertukaran, apakah ianya mesti kerusi parlimen juga kerana Machang adalah parlimen? Perhitungan secara 'harfiah' begitu, parlimen dengan parlimen tidak begitu bagus. Yang penting PKR perlu memikirkan pertukaran itu memastikan kemenangan. Kalau ada mana-mana kerusi Adun yang boleh menjana kemenangan PKR kenapa tidak pilih kerusi state sahaja?

Pandangan parlimen harus ditukar dengan parlimen bukan bijak dalam konteks politik di Kelantan. PKR harus sedar realitinya bukan mudah untuk mereka menguasai parlimen dengan kedudukan dan pengaruh yang terhad. Maka wajar PKR bertukar kerusi, mencari kerusi yang kondusif dan lebih menyakinkan. Lagipun PKR bersahabat dengan Pas menerusi PKR. Kalau kerusi parlimen penting untuk membolehkan Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim jadi perdana menteri, bukahkah Pas sudah ada dan akan membantunya? Jadi kerusi parlimen bukannya satu-satu pilihan.

Wan Suhaimi Wan Daud
PKR atau mana-mana pihak kena ubah cara berfikir dalam menentukan kemenangan. Bagi saya pertukaran terbaik untuk menyelamatkan kerusi PKR (parlimen Machang) ialah dengan memilih mana-mana kerusi state yang boleh memberi jaminan. Dalam tinjauan rambang saya salah satu kerusi state di mana PKR mempunyai pengaruh dan kekuatan ialah di Dun Chetok di Pasir Mas. Jadi kenapa PKR tidak berfikir untuk bertukar ganti parlimen Machang dengan Dun Perak. Juga adil rasanya kalau PKR mewakili salah satu Dun di Parlimen Pasir Mas bagi menunjukkan kesepakatan. Kewajaran ini ditambah dengan keterserlahannya pengaruh PKR di sini yang diterajui Dr Wan Suhaimi Wan Daud.

Apa pun berbalik kepada Bachok mungkin PKR terutamanya Pengerusi Perhubungan PKR Kelantan Abdul Aziz Kadir yang dilihat sebagai kapten parti ada rahsia tersendiri kenapa Bachok menjadi pilihan.
Boleh jadi juga kerana Bachok adalah kerusi bakal ditinggalkan orang luar (Nasharudin), maka ia menjadi idaman. Kalau berdasarkan pengaruh PKR tidak berapa kuat di Bachok. Ketua Cabangnya pun orang tidak tahu. PKR tidak begitu menonjol di Bachok.

Kalau hendak dikira Tumpat dan Pasir Mas lebih sesuai untuk dijadikan pertukaran. PKR memang menyerlah di kedua buah cabang itu. Berani dikatakan pengaruh dan kemeriahan PKR di Pasir Mas dan Tumpat mengatasi pengaruh dan kemeriahan Ketereh dan Tanah Merah walaupun cabang itu mempunyai ahli Parlimen.

Kenapa kawasan ini tidak menjadi pilihan atau pun perjudian PKR untuk ditukar dengan Machang. Disebabkan kerana kabur mengenai asas dan formula ini sesetengah orang jadi fikir tidak habis kenapa PKR memilih Bachok untuk dijadi tukar ganti.

PKR Kelantan khasnya Pengerusi Perhubungannya Abdul Aziz Kadir perlu memberi jawaban tepat dengan tindakan ini. Aziz dan biro politik juga perlu membuat penilaian semula apakah pertukaran ini tepat dan betul yang akhirnya boleh memengkan parti itu dan tidak ada mana-mana orang terluka hati dengan formula berkenaan?

Adalah malang sekali seperti mana disebut pemilihan Bachok kalau sekadar ingin memberi laluan kepada bekas ketua Umno Bachok Zaiyadi Awang Noh bertanding di situ. Kajian politik yang menunjukkan Zaiyadi mampu berdepan dengan Awang Adek tidak boleh dijadikan asas utama untuk PKR mengambil Bachok. PKR harus melihat dari semua sudut. Mungkin betul dari pihak Aziz Kadir atau Saifuddin Nasution dan sebagainya, tetapi tidak tepat bagi orang lain.

Andaian Zaiyadi boleh menewaskan Awang Adek sebenarnya tidak cukup dan bukan alasan konkrit untuk PKR memilih Bachok. Masih ada sudut-sudut lain yang perlu dilihat secara serisu dan menyeluruh. Misalnya Pas sendiri mempunyai calon yang mungkin sama hebat kalaupun tidak lebih hebat dari Zaiyadi. Apakah perbincang mendalam dengan Pas sudah dibuat bukan saja di peringkat tertinggi tetapi dari kalangan akar umbi. Pandangan dan maklumat akar umbi diperlukan kerana kalau teralpa perkara ini ia boleh menimbulkan masalah besar.

Mengenai Zayadi, kalau betul PKR ingin menyandangkan harapan kepada bekas ketua pemuda Umno itu, apa yang perlu dititik beratkan oleh PKR ialah Zaiyadi masih belum menjadi ahli PKR. Beliau bukan seorang pejuang PKR dan jasanya kepada parti masih belum ada seurut bulu roma. Kalaulah sandaran itu diletakkan kerana hubung sentimental dengan Zaiyadi semasa dalam Umno ia tidak kena, kerana Umno dan PKR harus dipisahbezaskan.

Dan jika Zaiyadi benar-benar bersedia untuk menjadi calon PKR beliau harus melakukan korban kubra. Beliau harus keluar dari sayap perteduhan untuk menunjukkan kejantanan dan kepahlawanan beliau sebagai seorang pejuang. Angan-angan akan ada orang akan menghamparkan karpet merah untuk kita juga jangan dijadikan pertaruhan. Dalam politik seseorang itu kena berani, bermuka tebal dan sanggup mengambil risiko. Cagaran untuk sebuah perjuangan ialah pengorbanan! [wm.kl.1:13 pm 27/07/12]

Al Haram As Syarif Merindui Sapaan Kita

Posted: 26 Jul 2012 03:45 PM PDT

Catatan Musafir Umrah (2)

Apabila menerima berita berupa tawaran untuk ke masjid Al Aqsa saya jadi terperagah sama ada hendak percaya atau tidak 'pertanyaan tawaran' itu. Saya kira ianya sebagai satu ilusi dan harapan orang yang kekagenan tidak menentu saja untuk melihat dan menyapa masjid berkenaan. Mana mungkin untuk ke Baitulmaqdis kerana ia kini dikuasai oleh regim haram Israel dan kedudukan Palestin masih terus bergolak?

Kira-kira 25 tahun sebelum ini saya pernah mencuba untuk ke Palestin, tujuannya sama untuk melihat dan menziarahi masjid berkenaan serta tempat sejarah di sekitarnya. Namun usaha itu gagal. Saya cuba masuk bersama satu rombongan dari Mesir menerusi Terusan Suez tetapi tidak berjaya. Sampai dipertengahan jalan kami di minta berundur.

Lebuhraya dari airport ke airport, bersih dan cantik.
Ketika melawat Lebanon empat tahun lepas saya ke bandar Tripoli di mana bandar itu bersepadanan dengan Syria... juga timbul keinginan untuk melangkah ke Baitulmaqdis. Terfikir apakah boleh kalau saya menyusup masuk ke Juruselam?

Masjid Al Aqsa di zoom dari Bukit Olives.
Foto As Sakhra ini saya rakam khas untuk anda.
Tetapi kerana mengenangkan kekejaman Israel manakala negaraku Malaysia tiada hubungan diplomatik, bahkan di pasport menghalang keras dari memasuki Israel, hasrat dan keinginan itu dipendamkan begitu saja. Hanya saya melihat bukit bukau di Tripoli yang memisahkan Syria - Israel dengan Lebanon. Selepas pada itu saya tidak terfikir untuk menjejak kaki ke Baitulmaqdis bahkan berkhayal di bawah pokok jambu batu pun tidak, apa lagi untuk bersolat dan menghayati pelbagai tempat bersejarah dan penuh sentimental di bandar suci itu.

Hinggalah saya diberitahu ada pakej umrah ke tiga buah masjid termasuk ke Baitulmuqadis, cita-cita dan rindu lama itu berbunga kembali. Saya membuat sedikit penyelidikan, benar pintu ke Baitulmaqdis kini sudah terselak sedikit, dan masjid al Asqa sedia menanti tetamu dari Asia Tenggara bagi menghuraikan penyeksaan Zionis ke atasnya.Orang-orang yang disalid rindu sudah pun terbang ke sana.

Apa lagi, tawaran  bak mimpi itu saya menerimanya penuh bernafsu. Saya melupai akan keadaan iklim dan cuaca yang panas di Timur Tengah ketika ini, khasnya di Makkah dan Madinah yang mencecah hingga 47 celcius.  Saya terus memunajat serta memahatkan azam dan nekad dihati; kali ini aku akan melakukan umrah di tiga masjid suci agamaku, Islam. Aku ingin melakar sejarah peribadi.

Dalam pada itu teringat juga fatwa dari beberapa ulamak yang melarang umat Islam ke Israel, kerana kononnya pemergian itu sebagai membantu bangsa jahat dan bajingan itu. Kedatangan kita akan  memberi sokongan dan ikut menyumbang ekonomi kepada negara Zionis itu? Fatwa itu sedikit sebanyak boleh menggugahkan perasaan. Tetapi bila mengingatkan fatwa adalah suatu konsensus ulamak yang dibuat atas maslahat-maslahat tertentu, bukan mutlak, atau firman menjadikan saya sedia untuk melanggar fatwa berkenaan.

Saya menjadikan firman Tuhan kita, yang mengezetkan masjid Al Aqsa adalah antara tiga masjid suci di mana darjat dan nilai kepada sesiapa mendirikan atau menghormati masjid itu akan mendapat pahala berlipat ganda. Kedudukan masjid itu begitu suci dan agung sekali. Ini terbukti dengan firman Allah dalam Surah Ishak ayat 1 bermaksud; Maha Suci Allah yang memperjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam dari masjid Haram ke masjid Al Aqsa yang kami berkati di sekelilingnya. Sesungguhnya Dialah Tuhan yang maha mendengar lagi maha mengetahui.

Keinginan dan nekad juga terletak atas keyakinan dan ijtihad sendiri. Saya bertanya kepada diri sendiri kalau aku sebagai orang mengakui muslim tidak mengunjungi masjid itu siapa lagi. Mustahil ia akan dihormati dan disanjungi oleh si kafir. Bagi saya sikap menjauhkan diri dari masjid itu atau pun memulaunya kerana ia dikuasai Israel merugikan masjid itu sendiri dan secara tidak langsung menunjukkan orang muslim takut untuk membela haknya. Mengambil sikap akur atau takut dengan keadaan yang berlaku bagi saya samalah dengan mahu melupa rumah suci itu.Bukankan tidak menghiraukan kepada sesuatu dianjurkan Allah satu kebaculan?

Sebab itu dalam soal ini kalau boleh semua orang Islam perlu menjadi seperti Israel, maksudnya semangat dan kesombongan didalam membela haknya. Israel tidak pernah gentar dan merasa berputus asa, bangsa penyembah anak lembu merah itu tetap memperjuang dan mempertahankan haknya menegakkan kebatilan. Dalam masa sama mereka juga merampas hak orang lain. Padahal masjid Al Aqsa itu khasnya dan amnya Al Haram as Syarif kawasan meliputi masjid dan Kubah Batu Sakhara itu adalah hak Islam, hak yang benar dan lagi dibenarkan serta wajib dipertahankan kemuliaanya.

Berdasarkan pemikiran dan pandangan emosi itu saya merasakan fatwa itu; menjauh masjid Al Aqsa dengan apa juga alasan keduniaan tidak relevan dan tepat. Fatwa melarang mengujungi Israel untuk melaram ke tempat-tempa hiburan, perjudian, sexsual dan sebagainya memang betul dan berdosa, tetapi kalau mengunjung al Haram as Syarif kawasan dimana terletaknya kubah batu as Sahkara atau Dome of the rock serta masjid Al Aqsa rasanya tidak salah?

Jadi saya membuat kesimpulan sendiri untuk menafikan fatwa dan larangan itu dengan menegaskan, saya akan memasuki Palestin untuk ke Baitulmaqdis bagi menziarahi dua memorial bersejarah itu. Kalau tertakdir saya akan mati di sana, saya akan menganggap kematian itu sebagai syahid. Dengan membuat fatwa itu saya mengagah diri juga untuk ke Israel. Diam-diam sebelum 'israk' ke Israel saya merenung dalam-dalam ke muka isteri, anak-anak dan cucu saya.

Rasa gerun dan takut

Sebelum berlepas timbul juga rasa gerun dan takut berbaur dengan kebimbangan yang cemas. Perasaan itu bertangkai dan berbuah di hujung hati sanubari.  Apa lagi mendengar berbagai cerita dan penjelasan menakutkan mengenai Israel oleh pihak agen umrah. Kononnya kawalan dan pemeriksaan ketat sekali sehingga boleh memenatkan diri. Peralatan IT termasuk laptop, galaxy, camera video dan sebagainya tidak digalakkan. Peralatan itu semua boleh melengahkan perjalanan kerana akan melalui pemeriksaan yang detail dan renyah atau pun tidak mustahil akan dirampas terus.

Gara-gara itu saya meninggal gadget yang agak canggih dan membawa yang sekadar boleh digunakan saja. Bukan saja saya, orang lain juga rupanya begitu. Phobia atau rasa takut kepada Israel menyebabkan saya akur tanpa hujung periksa meninggalkan segala peralatan 'perang' saya dan membawa sekadar saja. Saya sudah bersedia untuk kehilangan segala peralatan itu jika berlaku sesuatu di luar dugaan.

Ketakutan kepada Israel ini sebenarnya ditokok tambah walaupun kejahatannya memang tidak terlawan oleh bangsa dan kaum lain. Israel adalah bangsa paling jahat dan bangsat di dunia ini. Tetapi ketakutan kepadanya adalah diperbesarkan.

Perkara ini dilakukan Israel sendiri. Mereka mempropagandakan mengenai apa saja yang tidak menyenangkan manusia di sana. Tujuannya ialah mereka tidak mahu dunia luar (Islam) datang melawat Baitumaqdis. Bagi mereka lawatan itu akan memberi semangat dan kekuatan kepada umat Islam di sana untuk terus mempertahankan masjid dan segala artifek sejarah yang penting itu. Lawatan umat Islam dari luar bagaikan memberi setitik darah kepada muslim di Baitumaqdis untuk mereka menerus jihad. Israel sendiri tahu kunjungan umat muslim ke Baitumaqdis sebagai menambah roh untuk menghidupkan masjid itu.

Makanya media massa terus menerus menaburkan propaganda dengan menyebarkan keadaan-keadaan tidak menyenangkan di sana. Digambarkan berlaku pergolakan dan pesengketaan. Seolah tidak ada ruang untuk kita menapak di sana bagi menjengok masjid Al Aqsa. Mendengar dari laporan-laporan itu ia seolah-olah Baitulmaqdis dihujani peluru setiap hari. Setiap kali membaca laporan menyebabkan terbayang di mata akan mayat bergelimpangan. Itulah yang kita rasa dan nampak. Pihak Yahudi berjaya menakutkan umat Islam dari dunia luar untuk datang bertandang ke sana hatta untuk menuruti sunnah Rasulullah.

Apabila menjejak kaki ke bumi Israel (sebenarnya Palestin) apa yang dibayangkan itu tidak begitu rupanya.  Tel Aviv bandar raya Israel aman dan damai. Malahan bandaraya ini juga indah dan moden. Apa yang digambarkan peperangan itu, tidak terjadi di sana. Kekalutan berlaku jauh dari Baitulmaqdis. Pergolakan sebenarnya berlaku di Semenanjung Gaza, Hebron dan tempat-tempat lain.

Melihat dan merasai itu terjawab kepada saya kenapa pesengketaan berpanjangan tanpa ada selang masa tidak berlaku di Baitumaqdis. Ia adalah kerana di sini adalah bandar atau tanah suci yang diterima oleh penganut tiga agama samawi; Islam, Yahudi dan Kristian. Keutuhan Baitulmaqdis sebagai tanah suci masih dihormati oleh semua pihak. Dalam erti kata lain semangat dan kepercayaan beragama penduduk di sini masih utuh dan menebal. Dari segi sejarahnya Yahudi memperakui bahawa kawasan itu Al Haram As Syarif adalah tempat suci yang tidak boleh diladuni dengan darah.

Kenapa dikatakan begitu kerana kalau dilihat kepada kekuataan serta kelengkapan yang ada kepada Israel yang menguasai bandar berkenaan mereka boleh hancurkan bila-bila masa masjid Al Aqsa. Namun kerana mereka yakin dan mempercayai bahawa masjid itu dipagar oleh para malaikat, dijaga sendiri oleh Tuhan menyebabkan mereka terpaksa berpura-pura menghormati kawasan itu tanpa menumpahnya dengan darah.

Mungkin juga mereka sedar bahawa usaha itu tidak akan berhasil. Beribu tahun sebelum ini mereka pernah melakukan pembunuhan ke atas muslim dan pengkhianatan ke atas masjid itu secara langsung sampai sebahagian besar masjid itu hancur. Tetapi kerana ia sudah digezetkan sebagai dijaga oleh Tuhan, kehancuran itu dibina semula seperti mana yang ada pada hari ini menjadikan mereka waspada dan berpura-pura.

Hasrat dan cita-cita Yahudi untuk menghancurkan tidak akan padam selama-lamanya, hinggalah ke hari kiamat. Tetapi saya percaya usaha itu tidak akan berjaya selagi umat Islam masih wujud di atas dunia ini. Doa-doa yang dibaca untuk kesejahteraan Al Haram As Syariff akan menjadikan bumi suci itu akan dipelihara dan dijamin Allah.

Kebenaran daripada kitab-kitab bahawa Palestin sebagai bumi penuh berkat memang dapat dirasai oleh sesiapa saja yang hijabnya dibuka Allah. Saya sendiri merasai keadaan ini. Sebaik pesawat memasuki ke ruang udara Tel Aviv, tatkala melemparkan pandangan ke luar tingkat melihat pertama kali bumi itu menyebabkan bulu roma merembang dengan tiba-tiba. Kelembutan, kedamaian dan kesejukan menyelinap masuk ke dalam diri, persis menghisap sirap dengan straw di kala kehausan. Aduh...

Perasaan seterusnya tidak dapat digambarkan. Terasa tidak mahu turun dari pesawat dan biarlah ia menerawang meratah ke segenap bumi para nabi dan ambiak itu. Terbukti (al bayinat) buat saya terhadap apa yang dikisahkan dalam kitab, atau pun apa yang disebut-sebut oleh arwah datuk saya, bahawa Baitulmaqdis adalah sebahagian daripada syurga begitulah mitos dan legendanya! Tetapi ternyata ia benar!

Bersambung.
[wm.kl. 6:27 am 27/07/12]

Tiada ulasan: