Jumaat, 15 Jun 2012

WFAUZDIN.BLOGSPOT.COM

WFAUZDIN.BLOGSPOT.COM


PAS JOHOR `HANG TUAH', YB NIZAR `HANG JEBAT'?

Posted: 15 Jun 2012 10:11 AM PDT

Oleh:  WFAUZDIN NS

ISU YB Nizar ingin mengadap Tuanku Sultan Johor untuk menceritakan apa yang sebenarnya yang berlaku di dalam isu plet kenderaan yang beliau nyatakan di dalam twitternya, yang tidak pernah diceritakan oleh akhbar pencacai bagi saya adalah satu langkah terpuji.  Samada YB Nizar ingin memohon maaf kepada Tuanku atau tidak, itu soal lain tetapi difahamkan atas budibahasa dan adab MB Perak yang sah ini beliau telah pun memohon maaf kepada Tuanku sekiranya Tuanku tersinggung.

Baru-baru ini, kita jelas melihat Tuanku bukan sahaja tersinggung malahan dilihat murka kepada YB Nizar.  YB Nizar dikatakan dengan berbagai-bagai oleh Tuanku secara terbuka di dalam Dun Johor.  YB Nizar mungkin tidak `murka' dengan titah Tuanku sedemikian rupa kerana YB Nizar hanya rakyat biasa.  Adakah rakyat biasa juga `murka' dengan cara Tuanku itu?  Rakyat juga tidak boleh `murka' kerana `murka' hanya untuk golongan Istana.  Rakyat tetap rakyat.

PAS sepatutnya bersyukur memiliki tokoh seperti YB Nizar

Semalam, saya terbaca di dalam akhbar Sinar (15 Jun).  Pesuruhjaya PAS Johor yang bercakap atas kapisiti PAS Johor berharap agar YB Nizar bukan sahaja memohon maaf kepada Tuanku, tetapi juga memohon maaf kepada rakyat Johor.  Saya awalnya menjangkakan PAS Johor akan membela YB Nizar kerana bukan mudah untuk mencari tokoh Melayu Islam seperti YB Nizar yang sanggup di cop Penderhaka kerana bersuara atas kebenaran.  Bukankah Islam mengajar kita berkatalah walaupun pahit?  Bukankah Islam mengingatkan kita bahawa Penguasa akan rosak jika tiada rakyat atau Alim Ulamak yang berani menegur Sang Penguasa?

Apakah PAS Johor berpendirian sama seperti pemimpin Umno Johor yang mendakwa YB Nizar derhaka?  Adakah PAS Johor berpendirian bahawa YB Nizar telah melakukan kesalahan kepada rakyat Johor sehingga PAS Johor mahu YB Nizar memohon maaf?  Di mana pendirian PAS Johor?  Kita mudah faham mengapa pemimpin-pemimpin Umno menggelar YB Nizar sebagai penderhaka, tetapi sukar sungguh untuk kita memahami mengapa PAS Johor juga seolah-olah berperangai seperti mereka.

Kita faham PAS Johor sedang berhempas pulas untuk menawan beberapa kerusi di Johor dan dikatakan peluang ini amat cerah.  Tetapi apabila isu ini timbul. mungkin PAS Johor menganggap YB Nizar telah menggagalkan cita-cita mereka.  Rakyat Johor pasti menolak PAS sekiranya YB Nizar tidak memohon maaf kepada seluruh rakyat Johor.  Benarkah begitu?  Adakah sekiranya YB Nizar memohon maaf kepada seluruh rakyat Johor, maka PAS akan mendapat sokongan rakyat Johor?  

PAS Johor silap jika berfikiran begitu.  Hakikatnya, isu ini adalah hikmah buat PAS Johor untuk menunjukkan bahawa PAS tetap konsisten memperjuangkan keadilan.  Di ulangi, "Keadilan'.  Rakyat di Johor dari semua kaum terutamanya dari kaum bukan Melayu yang semakin kuat menyokong PR dan PAS pasti akan melihat sejauh mana PAS Johor sanggup mempertahankan tokoh mereka sendiri yang berani kerana benar.  Jika tokoh seperti YB Nizar yang pernah disanjung sebagai MB terbaik dari PAS, tidak upaya PAS Johor untuk membelanya, apa jaminan rakyat marhaen dari berbagai kaum akan dibela sekiranya PAS berkuasa di Johor?

Saya amat tidak setuju dengan tindakan PAS Johor yang bukan sahaja gagal membela YB Nizar, bahkan menekannya dengan isu ini.  Isu pokoknya, adakah YB Nizar benar-benar bersalah dari segi undang-undang negara lebih-lebih lagi menyalahi hukum Islam?  Jika benar YB Nizar bersalah, PAS Johor patut mengesyorkan agar PAS Pusat mengambil tindakan terhadap YB Nizar termasuk dipecat jika perlu.  Biarlah PAS bersih dari tokoh seperti YB Nizar dan jadilah PAS seiras dengan Umno.  Buat apa ke hulu ke hilir bercerita tentang Islam, tentang Jihad, tentang keadilan dan bermacam-macam lagi sejarah Nabi dan para sahabat diceritakan, tetapi hati kecil kita sebenarnya masih mengagung-agungkan selain dari Allah.

Sebenarnya tindakan PAS Johor seperti yang disiarkan oleh akhbar Sinar itu menunjukkan PAS Johor tidak memperjuangkan Islam sebenar.  PAS Johor mungkin takut kehilangan undi orang-orang Melayu tetapi PAS Johor tidak sedar bahawa sekarang ini orang-orang Melayu sudah semakin sedar yang mana satu pemimpin yang jujur dan ikhlas dan yang mana satu pemimpin yang suka membodek.  PAS Johor mungkin gementar dengan perhimpunan yang dikatakan 30, 000 orang itu, tetapi PAS Johor lupa jutaan lagi manusia yang berakal akan mengadili PAS dengan isu ini.

Saya mohon PAS Johor menarik balik gesaan terhadap YB Nizar untuk memohon maaf kepada rakyat Johor.  YB Nizar sudah memohon maaf dan sanggup untuk mengadap Tuanku Sultan Johor bagi menyatakan isu sebenar dan akan memohon maaf sekali lagi kepada Tuanku Sultan, jadi jangan lah PAS Johor bertindak melampau dari itu.  Jika PAS Johor takut untuk membela YB Nizar, biarlah kami dari PAS luar Johor dan PR yang lain akan membela tokoh ini.  PAS Johor mungkin ingin menjadi Hang Tuah, YB Nizar pula mungkin dianggap sebagai Hang Jebat.  Siapa yang benar, Hang Tuah kah atau Hang Jebat?/wfauzdin.blogspot.com

Tiada ulasan: