Ahad, 24 Jun 2012

MIMPI SENJA

MIMPI SENJA


Lagi perang ceramah PAS vs UMNO di Melaka

Posted: 24 Jun 2012 08:35 AM PDT

Nazri Abdullah,24 Jun 2012

ALAI: Himpunan Hijau Ke Putrajaya peringkat negeri Melaka malam ini bakal menyaksikan ceramah sebelah menyebelah antara PAS dan Umno.

Bertempat di perkarangan Surau Ustaz Ali di Permatang Pasir, Alai, Himpunan Hijau PAS bakal menampilkan 'ayam sabungnya' Mohamad Sabu yang juga Timbalan Presiden PAS sebagai penceramah utama.
Tempat ceramah Umno pula hanya berjarak kira-kira 200 meter dari tempat Himpunan Hijau itu.

(Gambar: Khairul Faizi turut mempamerkan kebolehan bermain gitar.)

Biarpun ceramah Umno hanya dijangka bermula malam ini, namun pembesar suaranya sudah mula diuji dari petang ini sebaik sahaja program Himpunan Hijau bermula kira-kira 4.30 petang.

Ketika program pemuda mengambil pentas di himpunan hijau dengan ucapan dan persembahan, corong pembesar suara di tempat BN yang dihadap betul-betul menghala ke himpunan hijau dipasang lagu-lagu dan nasyid dengat kuatnya.

Beberapa pemimpin pemuda Pakatan ketika berucap mendakwa, gangguan sedemikian merupakan biasa berlaku di sekitar negeri ini.

Selain 'perang' pembesar suara, suasana di sepanjang jalan tempat ceramah juga penuh dengan bendera kedua-dua parti yang digantung di tiang-tiang dan pokok.

Permulaan memberangsangkan

Sementara itu, sambutan terhadap program himpunan hijau pada sebelah petang tadi sangat memberangsangkan.

Hampir 1,000 orang sudah membanjiri perkarangan Surau Ustaz Ali bagi mengikuti program yang akan berlangsung sehingga kemuncaknya malam ini.

Himpunan Hijau ke Putrajaya peringkat negeri Melaka mengambil tema 'Teknologi Hijau, Politik Hijau, Melaka Hijau'.

Antara program yang berlangsung petang tadi termasuklah konvoi motorsikal Alternative Riding Club (ARC), persembahan dari Iwan Syahman, Hafiz Bandboyz dan ucapan pimpinan tempatan.

Turut hadir petang tadi Pesuruhjaya PAS Negeri Adly Zahari serta Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat Khairul Faizi Ahmad Kamil. - Harakah

BOLLYWOOD : Pelakon Rajesh Khanna kritikal

Posted: 24 Jun 2012 07:35 AM PDT

Bintang Bollywood Rajesh Khanna kritikal
Rajesh Khanna yang popular di India dan banyak negara termasuk di Malaysia kritikal
RAJESH Khanna, bintang Bollywood yang dikenali sebagai 'first superstar',  sakit dan tidak makan sejak tiga hari lalu, lapor BBC hari ini.

Memetik pengurusnya, laporan itu berkata, Rajesh, 69, yang turut dikenali dengan nama "Kaka" dimasukkan ke hospital April lalu selepas mengadu kurang sihat.

Artis itu kini berada di rumah dengan dijaga oleh isterinya yang tidak tinggal bersama,  Dimple Kapadia. Dimple juga aktres.

Aktor veteran itu telah berlakon lebih 160 filem, antaranya Kati Patang, Aaradhana, Anand dan Amar Prem.

"Dia tidak sihat, dan dia berada di rumah. Dia telah berhenti daripada makan sejak tiga empat hari lalu.

"Dimple bersama dia dan anak perempuannya Rinke juga melawat dia," kata Ashwin, pengurusnya dipetik agensi berita Press Trust of India. - Sinar Harian

Wanita Islam jadi penari Kelab hanya kerana RM100

Posted: 24 Jun 2012 05:02 AM PDT

Jawi Cekup Empat Wanita Islam Jadi Penari Di Pusat Hiburan
KUALA LUMPUR: Hanya kerana bayaran RM100, empat wanita Islam sanggup memakai pakaian tidak sopan sambil mempersembahkan tarian kepada pengunjung sebuah pusat hiburan di sini ketika kelab itu diserbu oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) malam Sabtu.
Seorang daripada mereka yang hanya dikenali sebagai Baby, 27, berkata dia hanya datang ke pusat hiburan sekiranya mendapat undangan dan menari hanya untuk suka-suka disamping menambah wang saku kerana kebetulan.
Menurut Baby, dia mengambil jurusan tarian ketika belajar di sebuah institusi pengajian swasta satu ketika dulu.
Katanya, ada ejen yang ditugaskan untuk mencari penari dan membayar mereka mengikut ketetapan yang ditentukan.
"Kalau ada undangan, baru saya datang menari kerana bayaran juga mahal untuk 10 ke 15 minit. Saya tidak tertumpu pada pusat hiburan ini saja namun kalau ada undangan di tempat lain dengan bayaran lumayan juga, saya akan sertai," katanya kepada pemberita setelah diambil keterangan oleh pegawai penguatkuasa Jawi ketika serbuan itu.
Seorang lagi wanita yang enggan dikenali berkata beliau menari atas desakan hidup untuk mencari wang saku disamping menghiburkan pengunjung biarpun beliau menyedari tindakannya itu salah di sisi agama Islam.
"Saya hanya menari untuk mencari wang saku dan bukan untuk disentuh oleh pengunjung dan jauh sekali untuk menggadai maruah diri," katanya sambil menambah bahawa beliau menari sejak setahun lalu.
Dalam operasi itu yang bermula pada 10.30 malam dan berakhir 2 pagi itu, 40 anggota penguatkuasa Jawi dengan kerjasama polis dan penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur melakukan serbuan di sebuah pusat hiburan di Jalan Raja Chulan dan dua lagi di Jalan Dooraisamy.
Ketua Pegawai Penguatkuasa Jawi Wan Jaafar Wan Ahmad berkata dalam serbuan itu 10 notis pemberitahuan hadir ke Jawi dikeluarkan untuk siasatan lanjut atas beberapa kesalahan terhadap enam lelaki dan empat wanita beragama Islam.
Katanya, enam lelaki yang berumur lingkungan 25 hingga 45 tahun itu diberikan notis kerana melanggar Seksyen 19 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 iaitu meminum minuman keras manakala empat wanita berumur lingkungan 18 hingga 27 tahun tersebut pula diberi notis menurut Seksyen 29 akta yang sama iaitu melakukan perbuatan tidak sopan di tempat awam.
"Kami menerima banyak aduan daripada orang awam berhubung salah laku orang Islam di sekitar Lembah Klang seperti minum minuman keras dan wanita menjadi pelayan pelangggan (GRO)," katanya kepada pemberita selepas serbuan itu.
Wan Jaafar berkata tujuan serbuan dibuat adalah untuk menyedarkan orang Islam bahawa perbuatan mereka itu salah di sisi agama dan sesi kaunseling akan diberikan untuk mendidik mereka agar bertaubat dan kembali ke pangkal jalan.
"Sekiranya mereka tidak hadir ke sesi kaunseling tersebut tanpa sebarang sebab yang paling munasabah, kami akan buat tindakan susulan dengan mengeluarkan waran tangkap terhadap mereka," katanya. - BERNAMA

Tiada ulasan: