Shafie Apdal: BN sejak dulu daulatkan syiar Islam Posted: 24 Jun 2012 09:50 AM PDT SEMPORNA - Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menolak tohmahan sesetengah pihak kononnya kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak menunaikan kewajipannya untuk mendaulatkan syiar Islam di negara ini. Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu sebaliknya menegaskan bahawa Umno yang yang kini menjadi tunjang kerajaan BN sudah mendaulatkan syiar Islam jauh lebih awal - sebelum negara ini mencapai kemerdekaan lagi dan meneruskannya hingga negara merdeka. "Dari titik permulaan negara kita bebas daripada penjajahan, kita telah memberi penekanan betapa pentingnya agama Islam di negara ini. Bukan saja kita amalkannya dan melaungkannya tetapi dalam perlembangaan Umno, sebelum merdeka lagi, kita telah letakkan Islam sebagai agama rasmi. "Apabila negara ini merdeka, kita terjemahkannya menjadi tunggak perlembagaan negara ini iaitu agama Islam sebagai agama rasmi negara dan agama lain boleh diamalkan tanpa ada kekangan kepada kaum lain," katanya kepada pemberita selepas menutup program Kursus Asas Haji Peringkat Daerah Semporna di sini hari ini. Shafie menegaskan kerajaan BN tidak tergamak menggunakan agama Islam untuk kepentingan politik. Katanya, program seperti penubuhan universiti Islam, Tabung Haji, penekanan terhadap pendidikan Islam di peringkat pra sekolah, sekolah rendah, sekolah menengah hingga ke peringkat lebih tinggi adalah bukti kerajaan komited mendaulatkan syiar Islam. Sedangkan parti pembangkang, kata beliau, menggunakan agama untuk kepentingan politik hingga sanggup mendakwa sesiapa yang mengundi parti mereka akan masuk syurga. Umno sebaliknya bekerja keras bagi memastikan syiar dan kedududkan agama Islam di negara ini terus terpelihara. "Apa yang kita lakukan sebagai contoh pada hari ini, kita melatih bakal-bakal haji untuk membolehkan mereka menunaikan ibadat dengan sempurna," katanya. Shafie kesal kerana ada pihak yang mempolitikkan agama hingga sanggup berdemonstrasi di luar negara seperti di Arab Saudi hingga boleh menjejas kuota jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci. Menteri itu berkata, kerajaan BN tidak akan menggunakan masjid untuk menabur fitnah, buat ceramah mencerca dan menghasut, seperti dilakukan pembangkang. - Bernama |
Mohammed Mursi Presiden baru Mesir Posted: 24 Jun 2012 09:46 AM PDT KAHERAH - Wakil Ikhwanul Muslimin, Mohammed Mursi diisytihar memenangi pemilihan Presiden Mesir yang pertama selepas Hosni Mubarak digulingkan awal tahun lalu.
Mohammed, yang mewakili Parti Kebebasan dan Keadilan, memperoleh 51.73 peratus undi atau lebih 13 juta undi manakala pencabarnya di pusingan kedua pemilihan, Ahmed Shafiq, yang juga bekas Perdana Menteri era Hosni, mengumpulkan 48.27 peratus undi atau lebih 12 juta undi.
Menjelang pengumuman hari ini, yang mula dibuat sejak jam 9 malam tadi (waktu Malaysia), protes diadakan di Dataran Tahrir ekoran pengumuman Majlis Agung Angkatan Tentera (Scaf) bahawa pihaknya mahu mengurangkan atau mengehadkan kuasa presiden dan pada masa yang mengukuhkan kuasa tentera.
Pemilihan pusingan kedua diadakan awal minggu lepas. Sebaik sahaja pengundian berakhir, kedua-dua calon itu mengisytiharkan diri mereka sebagai pemenang.
Keputusan pemilihan sepatutnya diumumkan Khamis lalu, tetapi ditangguhkan ekoran aduan daripada calon-calon yang bertanding berhubung proses pengundian dan kiraan kertas undi.
Pusingan pertama pemilihan diadakan bulan lalu.
Seramai 50.3 juta pengundi layak mengundi pada pemilihan kali ini. Kira-kira 37,000 kertas undi telah dibatalkan, kata Ketua Suruhanjaya Pemilihan Presiden, Farouk Sultan yang membacakan mukadimah kira-kira 90 minit sebelum mengumumkan nama pemenang sekitar jam 10.30 malam (waktu Malaysia).
Katanya, suruhanjaya itu menerima sebanyak 452 rayuan daripada kedua-dua calon.
Pengumuman itu membawa kepada kegembiraan di kalangan penyokong Mohammed yang berhimpun di Dataran Tahrir sejak beberapa hari lalu.
Kelewatan pengumuman mencetuskan rasa gelisah dan ketegangan di Mesir khususnya di kalangan penyokong dan pengikut Mohammed.
Pengumuman dibuat di sebalik kawalan ketat ekoran kebimbangan bahawa keputusan pemilihan boleh membawa kepada pergaduhan, sekali gus mencetuskan keadaan tidak terkawal sebagaimana disaksikan awal tahun lalu - ketika kebangkitan rakyat yang membawa kepada kejatuhan kepimpinan Hosni.
Keputusan pemilihan pusingan kedua ini diumumkan kira-kira dua minggu selepas Hosni dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dan hampir seminggu selepas pihak pemerintah tentera mengumumkan akan menyerahkan kuasa kepada presiden baru, tetapi mengekalkan beberapa kuasa penting di pihak mereka.
Kuasa presiden dihadkan manakala perlembagaan pula belum dirangka. |
Bob Lokman Masuk Hospital Sebab Sesak Nafas Posted: 23 Jun 2012 10:19 PM PDT Mungkin sekarang musim panas dan bob banyak menjayakan program-program ceramah di merata tempat.
Kita doakan abang bob cepat sembuh dan sihat. Misi hancurkan parti sekular! |
Mipas: Jangan besarkan isu Thaipusam Posted: 23 Jun 2012 08:05 PM PDT SHAH ALAM – Persatuan Progresif India Malaysia (Mipas) meminta agar pemimpin politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tidak memandang serong terhadap kenyataan Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub mengenai perarakan Thaipusam pada debat anjuran Sinar Harian, Selasa lalu. Setiausaha Agungnya, Barathidasan Saminathan berkata, semua pihak perlu melihat secara menyeluruh dan jangan membuat keputusan sesuka hati berdasarkan satu konteks sahaja. Menurutnya, apa yang dimaksudkan oleh Salahuddin adalah perayaan agama seperti Thaipusam dan Maulidul Rasul boleh berlangsung dengan begitu aman tanpa kehadiran pihak keselamatan yang besar. "Mipas berpendapat jika kita tidak dapat menerima pandangan Salahuddin terhadap kenyataan yang salah maka adalah wajar untuk kita menegur beliau. "Tetapi adalah tidak baik dan tidak adil kita menentang semata-mata kerana beliau dari Pakatan Rakyat (PR)," katanya dalam satu kenyataan. Selain itu, Barathidasan turut meminta semua pihak tidak mempolitikkan dan meraih publisiti murahan dari kenyataan tersebut. |
PKR Selangor: Tunggu 'bom jangka' terbaru Posted: 23 Jun 2012 08:03 PM PDT Wartawan Sinar Harian SHAH ALAM - Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafiei menegaskan Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli direhatkan sementara oleh parti untuk memberi tumpuan kepada pendedahan terbaru skandal terbaru membabitkan Umno Selangor. Katanya, faktor itu jugalah yang menyebabkan Rafizi meletak jawatan sebagai Ketua Eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor dan menafikan ia berpunca akibat perpecahan dalam parti. Menurutnya, Rafizi direhatkan sementara oleh parti untuk memberi tumpuan kepada siasatan sebelum mendedahkan skandal terbaru yang jauh lebih besar daripada isu Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) seperti dedahkan sebelum ini. "Tiada perpecahan, itu spekulasi. Rafizi direhatkan untuk mencipta 'bom jangka' yang lebih besar. Sebelum ini beliau menanggung bebanan berat kerana terpaksa buat dua kerja dalam satu masa tetapi kali ini, beliau akan fokus sebagai pengarah strategi dan unitnya beroperasi secara sistematik," katanya. Shuhaimi berkata, pendedahan terbaru itu juga pasti menjejaskan Umno dan Barisan Nasional. "Umno Selangor tunggu sahaja kerana kita mempunyai bahan dan ramuan yang baik untuk memastikan kali ini kepimpinan Umno Selangor, bermula dengan Pengerusi hingga ahli jawatankuasanya terkena dengan 'bom jangka' itu," katanya. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan