Ahad, 17 Jun 2012

Kerabu Bersuara ®

Kerabu Bersuara ®


Isu Felda: Kami tidak biadap, kata Pengerusi Anak

Posted: 17 Jun 2012 12:01 AM PDT

Oleh: Jamilah Hamzah
Tarikh: June 17, 2012

SHAH ALAM - Persatuan Anak-Anak Peneroka Kebangsaan (Anak) menegaskan, tindakan pihaknya menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menghalang penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) di Bursa Malaysia satu tindakan yang wajar dan bukannya biadap seperti didakwa Umno.

Pengerusinya, Mazlan Aliman berkata, persatuan mereka melakukan perkara yang betul bagi memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong selaku ketua negara bagi menghalang penyenaraian FGVH.

"Kami tak rasa salah dan biadap kalau kami cuba menyelesaikan isu ini melalui Yang di-Pertuan Agong kerana baginda ketua negara.

"Kami juga yakin Majlis Raja-raja akan memperkenankan usul yang diperjuangkan Anak ini," kata beliau ketika dihubungi Sinar Harian Online.

Semalam, ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan tindakan Anak yang cuba mengheret istana dalam isu penyenaraian FGVH sebagai satu tindakan biadap dan perjuangan yang tidak jujur.

Beliau berkata, tindakan Pengerusi Anak yang mahu membabitkan Yang di-Pertuan Agong supaya campur tangan bagi menghalang penyenaraian itu, adalah satu percubaan mengheret istana dalam kancah politik pihak pembangkang.

"Anak tidak jujur dalam perjuangannya, Mazlan merupakan ahli parti pembangkang, dan cubaan itu amat tidak menghormati Perlembagaan Negara apabila cuba melibatkan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah bagi menghalang penyenaraian FGVH di Bursa Saham," katanya.

Mengulas lanjut, Mazlan menyatakan tindakan siapa lebih biadap apabila melakukan sesuatu tanpa berunding terlebih dahulu dengan Majlis Raja-raja.

"Kalau itu biadap, mana lebih biadap memajakkan tanah Felda kepada syarikat FGVH tanpa membuat rundingan dengan Majlis Raja-raja terlebih dahulu atau cuba untuk membuat rundingan dengan Majlis Raja-raja?

"Anak hanya ingin serahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memohon perkenan Majlis Raja-raja supaya batalkan penyenaraian FGVH di Bursa Malaysia," katanya.

Katanya lagi, Anak telah menghantar memorandum kepada pelbagai pihak termasuk Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti dan Perdana Menteri sendiri dalam tempoh lapan bulan lalu, namun tidak mempunyai sebarang respons daripada pihak kerajaan.

"Langkah untuk hantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong pada 14 Julai ini dibuat setelah kerajaan tidak memberi sebarang maklum balas kepada kami.

"Kami tak mahu kejadian tak diingini berlaku kemudian hari dengan isu penyenaraian FGVH, masa itu siapa yang akan dipersalahkan," katanya.

Dalam pada itu, Mazlan turut mendesak Ismail yang juga seorang anggota Kabinet iaitu Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan supaya memperjelaskan status kedudukan Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad dalam majlis koperasi Felda.

"Saya desak Datuk Seri Ismail, beritahu kami bagaimana Tan Sri Isa boleh menjadi ahli koperasi sedangkan beliau bukan terdiri daripada ahli Felda," katanya lagi.

Tiada ulasan: