Kira-kira 100 pemandu lori berkumpul serta meletakkan kenderaan masing-masing di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Tapah sebagai membantah larangan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri ke atas lori lebih 14 tayar daripada mengangkut pasir ke luar dari Perak.
  
Difahamkan lebih banyak pemandu lori akan menyertai bantahan di R&R hala utara itu sehingga kerajaan negeri menyelesaikan masalah mereka.
  
Dilaporkan 60 peratus pengusaha pasir terbabit adalah dari Selangor.
  
Anggota polis turut berada di kawasan berkenaan bagi memastikan tindakan membantah itu tidak mengganggu lalulintas manakala pegawai PTG yang berada di situ kelihatan berbincang dengan pemandu.
  
Bagaimanapun tidak diketahui butir-butir perbincangan.
  
Seorang jurucakap kumpulan pemandu itu yang enggan memberikan pengenalan diri berkata larangan PTG itu bermula 15 Jun lepas.
  
"Tiada alasan dan sebab diberikan terhadap larangan itu...ia boleh memberi kesan kepada kehidupan pemandu lori berkenaan kerana mereka juga ada tanggungjawab kewangan," katanya.
  
Beliau juga menekankan bahawa sektor pembinaan akan 'menderita' akibat larangan itu dan mereka turut tertakluk kepada kontrak penawaran pasir, silika dan produk pasir yang lain untuk pembinaan projek besar seperti MRT dan Sentul Raya di Selangor.
  
"Larangan itu akan memberi kesan yang sangat teruk kepada aktiviti ekonomi, pihak berkuasa perlu segera batalkan larangan itu," katanya.
  
Pengarah PTG negeri Datuk Syed Mokhtar Syed Iddris dan Timbalan Pengarah (Pengurusan) PTG negeri Latipah Sehibi tidak dapat dihubungi untuk menjelaskan isu berkenaan. - Bernama