DIALOG RAKYAT |
- Ribuan hadir Himpunan Hijau di Johor
- Khir Toyo: Jangan hina penjawat awam lagi
- RM3j untuk pasar minggu baru di Changkat Jering
- Umno BN dalam dilema untuk hadapi PRU13
- 2,000 jentera hadiri Pra Himpunan Hijau Selangor
- Haji hanya boleh ditunda jika darurat, kata Dr Muhammad ‘Uthman
- Najib didesak hentikan keresahan bakal haji
- Setpol: Projek dari Geran Selangorku diluluskan penjawat awam
- Bekas Ketua Jemaah Nazir KPM sertai PAS
- Penduduk bantah cadangan buka pasar babi
- Enam kawasan catatkan IPU tidak sihat
- Air: Pusat langgar undang-undang, kata MB
- Isu WWW 1: Pas akan urus Nizar
- Agensi Kerajaan Didakwa Kenakan Bayaran Untuk Borang BR1M
- Mufti Perlis: Mengundi Pada Pilihanraya Itu Wajib Untuk Beri Kekuatan Kepada Umat Islam
- Salahuddin: Isu Nizar tak jejas PR di Johor
- Bakal menantu terlibat kes tipu: Rosmah, Najib dicabar saman akhbar Amerika
- Kubur guru digali semula selepas bapa dakwa anak mati dipukul suami
- Najib luluskan pinjaman RM235 juta
- PAS Johor “Hang Tuah : YB Nizar “Hang Jebat”?
- BN Tidak Pernah Pilih Kaum Salur Bantuan - Muhyiddin
- Undi atau haji: Hak politik amanah besar dalam Islam
- Jerebu: Jabatan Pesakit Luar tingkat operasi
- Dinar, dirham Kelantan tarik perhatian Pakistan
- Filem karya orang cacat pendengaran akan ditayang di KL
Ribuan hadir Himpunan Hijau di Johor Posted: 17 Jun 2012 02:35 AM PDT
LEDANG: Himpunan Hijau Ke Putrajaya peringkat Negeri Johor yang diadakan semalam dianggap berjaya telah mencapai sasaran yang telah ditetapkan. Ianya memperlihatkan rekod kehadiran ahli dan penyokong PAS cukup memberansangkan bermula seawal program sehingga kemuncak pada ceramah sebelah malamnya. Program semalam bermula dengan jamuan rakyat pada paginya yang turut dihadiri oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum disambung sebelah petangnya dengan majlis Hi-Tea bersama Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Kemuncak program malam tadi di sebelah malamnya iaitu program munajat dan ceramah oleh pimpinan PAS khususnya mendengar amanat Presiden yang menyaksikan lebih 5,000 yang hadir. Ketua Penerangan PAS Negeri Johor, Tuan Haji Ghazaley Ayub berkata, sasaran kehadiran ahli dan penyokong PAS semalam tercapai. "Jadi kita anggarkan ahli dan penyokong yang hadir pada Himpunan Hijau ini bermula dari jamuan rakyat hingga ke program kemuncak adalah mencapai sasaran 10, 000 orang," katanya dipetik Nusajayakini. Sambutan malam tadi ujarnya sesuatu perkembangan yang sangat baik buat politik negeri Johor apatah lagi rata-rata mereka yang hadir adalah golongan muda. "Masyarakat pelbagai kaum juga cukup selesa dengan program kita sekarang. Ia mengambarkan PAS mula mendapat tempat di hati penduduk negeri Johor", ujar beliau lagi. Selain Presiden PAS, pemimpin lain yang hadir termasuklah Naib Presiden Salahuddin Ayub, Pesuruhjaya PAS Johor Datuk Dr. Mahfodz Mohamed, Tuan Guru Abdullah Hussin dan Saudara Hassan Karim. | |||
Khir Toyo: Jangan hina penjawat awam lagi Posted: 17 Jun 2012 02:31 AM PDT
SHAH ALAM: Dakwaan Dr Khir Toyo bahawa Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkuasa sepenuhnya meluluskan kontrak menggunakan dana Geran Selangorku demi memperkukuh kedudukan politik diSelangor merupakan tuduhan jahat melampau. Demikian kata Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin ketika menjawab tuduhan Khir kononnya projek Geran Selangorku membelakangkan Pegawai Kewangan Negeri. Menurut Faekah, Dr Khir sepatutnya berasa malu kepada rakyat Selangor kerana kegagalan beliau mengutip hutang yang dimilikirakyat Selangor. Kata beliau, Geran Selangorku adalah hasil kebijaksanaan kerajaan Pakatan Rakyat mengutip hutang lapuk yang sengaja dilupakan Dr Khir semasa pemerintahannya atas sebab-sebab yang beliau dan seluruh kepimpinannya sahaja yang maklum. "Setelah kita berjaya mengutiphutang tersebut dan mahu mengembalikan kembali kepada rakyat Selangor melalui Geran Selangorku, sekonyong-konyong Dr Khir mahu mengambil bahagian," katanya. Malangnya Dr Khir terlupa membuat kajian tentang prosedur sebenar penggunaan dana Geran Selangorku yang berjumlah RM300 juta ini, tambah beliau. Mengkritik sekadar mahu menunjukkan beliau masih lagi pemikir utama Umno Selangor. "Apa-apapun, kita tidak hairan Dr Khir boleh mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana kita maklum pengalaman cetek beliau di dalam pentadbiran," jelasnya. Beliau dilantik menjadi Menteri Besar pada penggal pertama dipilih sebagai ADUN. Pastinya beliau tiada pengalaman langsung dalam pentadbiran sama ada di negeri mahupun di peringkat Persekutuan sebelumitu. Namun, beliau nasihatkan Dr Khir, kekurangan pengalaman tersebut tidak menghalalkan beliau membuat kenyataan bodoh dan berniat jahat. Kata Faekah, untuk pengetahuan Dr Khir geran ini tidak termasuk dalam perbendaharaan negeri. Justeru, penggunaannya tidak memerlukan kelulusan Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri. Perkara yang sama dilakukan di peringkat Kerajaan Persekutuan di mana terdapat peruntukan yang dikelola terus dari Jabatan Perdana Menteri di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (Implementation Coordination Unit - ICU) dan tidak melalui KSN mahupun Perbendaharaan. Di bawah projek ICU, semua permohonan cadangan dari ADUN dikemukakan kepada Pegawai Pembangunan Negeri (PPN ) untuk dipanjangkan kepada ICU. Senarai projek dibincang bersama diantara pegawai ICU dan PPN dan keputusan dilakukan oleh pegawai ICU. Senarai projek yang telah diluluskan dipanjangkan semula kepada PPN untuk dikemukakan ke Pejabat Daerah berserta waran pelaksanaan. Geran Selangorku pula diterajui oleh Jawatankuasa Pemandu yang dipengerusikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor. Jawatankuasa ini dianggotai oleh Ketua Pentadbir Perbadanan Menteri Besar (MBI), Jurutera dan Jurunilai dari Jabatan Kerja Raya, Pegawai Unit Perancang Ekonomi Negeri, akauntan dan jurutera bebas serta pegawai-pegawai dari Pejabat Menteri Besar. Kesemua projek yang dikemukakan kepada Jawatankuasa ini diunjurkan oleh ADUN, Pejabat Tanah dan Daerah (PTD),Pihak Berkuasa Tempatan ( PBT) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK). PBT dan PTD diberi tanggung jawab mengeluarkan tender terbuka. Melalui Geran ini juga Kerajaan Negeri telah berusaha menghidupkan semula Geng Jalan (Road Gang) di PBT bagi melaksanakan projek yang mudah dengan cepat seperti penurapan semula jalan-jalan. Road Gang di PBT ini telah lama mati apabila kerajaan BN menswastakan semua projek pembaikan jalan. Tidak seperti projek ICU, di bawah Geran Selangorku kelulusan projek dan sebut harga dilakukan oleh Jawatankuasa Pemandu yang tidak ada kepentingan. Manakala pemberian kontrak pula dibuat olehPBT/PTD masing-masing dan pelaksanaan projek diaudit oleh badan bebas termasuk JKR sebelum bayaran boleh dibuat oleh MBI. Tidak ada satu projek infrastruktur yang ditentukan oleh Menteri Besar sebaliknya diluluskan oleh Jawatankuasa yangdianggotai pegawai tinggi kerajaan. "Adakah Dr Khir mahu menidakkan keupayaandan kepakaran pegawai kerajaan dalam membuat keputusan tentang keutamaan projek?" tanya Faekah. Nampaknya beliau masih tidak insaf dengan penghinaan yang beliau lakukan dengan memberi hadiah penyapu kepada pegawai kerajaan dansekarang mahu mengulanginya dengan tuduhan melulu. Bagi Faekah, lebih baik Dr Khir tutup mulut kerana beliau hanya akan membuka pekung di dada. Segala kesilapan dan kelemahan sepanjang dua penggal menjadi Menteri Besar akan habis terburai. Kerana beliaulah, ratusan juta hutang syarikat pemaju kepada kerajaan negeri tidak dikutip dan ribuan ekar tanah di Bestari Jaya, Bukit Beruntung dan Bukit Jalil jatuh ke tangan pemaju dan tauke-tauke kaya. "Kita faham ramai yang dengki dengan Geran Selangorku diurus secara telus dan teratur, sekali gus menutup ruangmana-mana pihak mengaut keuntungan atas angin sebagai orang tengah. Setiapprojek diberikan terus kepada kontraktor tanpa perlu ada pelobi," dakwanya. Ini berbeza dengan zaman Dr Khirapabila projek-projek diberikan secara terus kepada kaum keluarga, biras, iparduai, suku sakat dan kroni. Prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban langsungtiada, yang ada hanyalah prinsip mengkayakan diri, keluarga dan saudara mara. Amalan hina ini telah berkubur bersama terkuburnya pemerintahan UMNO pada 2008. | |||
RM3j untuk pasar minggu baru di Changkat Jering Posted: 17 Jun 2012 02:23 AM PDT Timbalan Perdana Menteri yang sedang dalam rangka lawatan ke negeri Perak hari ini meluluskan peruntukan RM3 juta untuk membina semula Pasar Minggu Changkat Jering di tapak yang baru di Taiping ketika melakukan tinjauan mesra di pasar itu hari ini. Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat keputusan itu dalam tempoh yang singkat selepas anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Trong Datuk Rosli Husin memohon bagi peruntukan membina semula pasar minggu yang berusia lebih 100 tahun dan dipercayai tertua di negara ini. Rosli kemudiannya mengumumkan kelulusan daripada Muhyiddin itu melalui pembesar suara di pasar itu dan mendapat tepukan gemuruh golongan peniaga serta hadirin yang hadir. Pada tinjauan mesra itu, Muhyiddin, yang tiba pada 9.40 pagi, ditemani Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan pemimpin tempatan bersarapan bersama-sama rakyat setempat dengan menikmati pelbagai juadah antaranya nasi lemak, sate, kuih tempatan dan teh tarik. Beliau melawat pasar berkenaan selama sema sambil bertanya khabar masyarakat peniaga di situ sebelum bergerak untuk menghadiri Program Jelajah Janji Ditepati di Advance Technology Training Centre (ADTEC), Kamunting di Taiping. Pasar yang dimiliki Koperasi Pasar Minggu Changkat Jering Bhd ini mula beroperasi seawal tengah hari pada Sabtu hingga ke malam dan berakhir tengah hari Ahad setiap minggu. Pasar Minggu Changkat Jering terletak di antara Kuala Kangsar dan Taiping, hanya 1 kilometer dari plaza tol Changkat Jering, Lebuhraya Utara-Selatan. Lebih 100 peniaga yang terdiri daripada anggota koperasi menjana pendapatan daripada perniagaan antaranya pelbagai jenis makanan tempatan, kraftangan dan hasil tanaman kampung di pasar minggu yang terkenal itu. Peruntukan akan digunakan untuk memberi keselesaan kepada peniaga dan pengunjung pasar berkenaan di samping mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi seperti tempat letak kenderaan yang terhad. Sementara itu, Setiausaha koperasi berkenaan Yahya Mohd Yusuf melahirkan rasa syukur dengan kelulusan yang dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri itu dan ia akan memberi manfaat yang lebih baik kepada golongan peniaga di situ. "Timbalan Perdana Menteri pernah datang ke sini tapi tiada pengumuman yang besar seperti hari ini. Lebih 100 peniaga meraih rezeki di sini," katanya.- Bernama | |||
Umno BN dalam dilema untuk hadapi PRU13 Posted: 17 Jun 2012 02:21 AM PDT
Dalam dekat ini mood pilihan raya umum ke-13 semakin dirasai. Setiap di antara kita tidak kira ahli politik, pelajar, mahupun orang kampung sedang mencongak tarikh bilakah parlimen akan dibubarkan untuk memberikan laluan kepada PRU13. Walaupun parti pemerintah khususnya UMNO masih lagi berteka-teki berkenaan tarikh keramat tersebut, namun perang bendera antara parti politik sudah pun bermula, tidak kira daripada parti pemerintah mahupun dari parti pembangkang sekali pun. Hal ini sudah menjadi tanda yang jelas bahawa PRU13 tidak lama lagi, dan boleh diadakan pada bila-bila masa sahaja atau paling lewat sekali pun pada hujung tahun ini. Dalam misi menongkah perjalanan menuju tarikh PRU13 yang bakal menjelma, setiap parti politik, kerajaan mahupun pembangkang semakin giat memenangi hati rakyat. Dalam keghairahan menuju PRU13, beberapa perkara yang harus diberi perhatian, terutamanya daripada parti UMNO itu sendiri. Hal ini disebabkan, UMNO boleh dikatakan sedang sakit dan harus diubati sebelum PRU13 berlangsung. UMNO Ketandusan Pemimpin Muda UMNO boleh dikatakan ketandusan pemimpin-pemimpin muda yang berkaliber, berani, dan berjiwa besar. Itulah yang jelas daripada pandangan perspektif penulis. Persoalannya, dimanakah pemimpin-pemimpin muda UMNO yang lain? Ketua Puteri, Ketua Putera UMNO Malaysia boleh dikatakan sebagai golongan pelapis di dalam legasi kepimpinan UMNO. Dalam hal ini penulis tidak dapat melihat dengan lebih jelas apakah peranan yang dimainkan oleh kedua-dua pemimpin muda ini, adakah sebagai memenuhi jawatan yang beri atau pun mahu menjadi popular dengan jawatan yang disandang. Dalam ruangan yang terhad ini penulis ingin memuji peranan yang dimainkan oleh saudara Khairi Jamaluddin selaku Pemuda UMNO Malaysia, yang kiranya ketika ini boleh dikatakan antara pemimpin muda UMNO yang menyerlah daripada kalangan pemimpin-pemimpin muda UMNO lain. Tidak keterlaluan jika penulis katakan bahawa sesetengah anak-anak muda, mahupun mahasiswa mulai kagum dengan kredibiliti, karisma, dan keberanian beliau dalam mengurus sesuatu isu. Kekaguman sesetengah anak muda terhadap beliau bermula dengan keberanian Khairi untuk berdebat dengan saudara Rafizi Ramli berkenaan isu PTPTN. Hal ini disebabkan belum ada lagi dalam kalangan pemimpin UMNO yang sanggup mahupun berani menyahut cabaran untuk berdebat berkenaan isu-isu semasa secara terbuka melainkan debat melibatkan antara Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Datuk Seri Shabery Cheek berkenaan isu harga minyak yang diadakan beberapa tahun lepas di Dewan Syed Nasir Dewan Bahasa dan Pustaka. Bukan lambang parti menjadi pokok perbincangan kali ini, tetapi menjadi kayu ukuran utama ialah penampilan pemimpin muda itu menjadi contoh atau ikon kepada pemimpin-pemimpin muda lain yang untuk terus berani tampil ke hadapan berkongsi idealisme, walaupun idealisme itu bertentangan dengan kehendak masyarakat. Dalam pada masa yang sama Khairi juga turut aktif dalam memberi respond mahupun maklum balas berkenan isu-isu semasa melibatkan golongan muda mahupun mahasiswa. Isu terbaru yang mendapat perhatian beliau adalah berkenaan pembekuan pinjaman PTPTN terhadap mahasiswa baru unisel. Walaupun pendapat yang diberikan oleh Khair lebih kepada mewakili lidah UMNO/BN namun sekurang-kurangnya beliau berani memainkan peranan sebagai pemimpin muda yang harus peka berkenaan isu-isu semasa terutama melibatkan golongan mahasiswa. Persoalan yang harus dijawab oleh saf kepimpinan UMNO sekarang adalah ke mana menghilangnya pemimpin-pemimpin muda UMNO yang lain? Persoalan atau di leman inilah yang harus ditangani oleh UMNO dengan lebih cermat dan serius sekiranya masih lagi bercita-cita untuk kekal di Putrajaya. Penulis melihat pada ketika ini hanya Perdana Menteri sahaja Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dan Timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin yang betul-betul serius untuk memastikan UMNO terus kekal di Putrajaya. Jika kita melihat kepada kedua-dua pemimpin ini mereka bukanlah dalam kalangan pemimpin muda malah boleh dikategorikan sebagai pemimpin yang sudah separuh abad bergelumang dalam kancah politik negara. Siapakah yang ingin memimpin UMNO jika kedua-dua pemimpin ini tidak terdaya lagi? Jika UMNO masih lagi memilih untuk melihat pemimpin muda tidak mampu menerajui kepimpinan parti, terutama saf kepimpinan yang lebih tinggi seperti Majlis Tertinggi UMNO pandangan itu adalah dangkal sama sekali. Hal ini disebabkan, jika kita melihat kepada kepimpinan Pakatan Rakyat, jelas dan nyata bahawa mereka ramai dibarisi pemimpin-pemimpin muda yang berkaliber seperti Mohamad Azmin Ali Timbalan Presiden PKR, Saifuddin Nasition Ismail Setiausaha PKR, Ustaz Nasaruddin Tantawi Ketua Dewan Pemuda Pas, Dato Seri Nizar Jamaluddin, Shamsul Iskandar Ketua Angkatan Muda PKR dan ramai lagi. Jika diamati nama-nama di atas, barisan pemimpinan ini amat dikenali dalam kalangan anak muda mahu pun mahasiswa. Sebab kenapa? Kerana mereka ini sentiasa mengambil berat dan juga cakna berkenaan isu-isu golongan muda berbanding pemimpin UMNO. UMNO harus sedar bahawa zaman sekarang bukanlah zaman orang lama untuk terus berkuasa tetapi zaman yang mana orang lama harus memberi laluan orang muda untuk berkuasa. Dalam erti mudahnya orang lama perlu memberi laluan kepada pimpinan muda untuk berada dalam kedudukan mereka sekarang, ini jelas supaya idea dan pembaharuan-pembaharuan dalam parti dapat dilaksanakan, mengikut acuan politik semasa. UMNO/BN Kurang Idealisme Ternyata UMNO/BN ketika ini sangat tandus dengan idealisme. Mengapa penulis berkata demikian? Hal ini disebabkan, rakyat khususnya golongan muda ingin melihat serta menilai apakah idealisme atau dasar yang ingin dibawa UMNO/BN pada PRU yang akan datang dan bukannya meminta rakyat memutarkan kembali memori yang mana UMNO/BN pernah berjasa dalam membangunkan negara. Ya, UMNO pernah berjasa pada negara dan orang Melayu suatu ketika dahulu, Itu memang benar. UMNO/BN juga harus sedar bahawa rakyat ketika kini bukan mahu melihat apa yang telah dilakukan oleh UMNO suatu ketika dahulu, walaupun bermanfaat hanya sedikit untuk khabarkan, tetapi yang paling penting rakyat mahu melihat apakah dasar atau pun idea yang ingin dibawa oleh UMNO/BN untuk perancangan 5 atau 10 tahun akan datang. Hal ini sangat berlainan dengan PR yang mana gabungan PAS, PKR, dan DAP sangat sarat dengan idealisme-idealisme yang membuatkan rakyat berfikir, menilai setiap dasar yang dikemukakan dan dasar itu akan dilaksanakan sekiranya mereka membentuk kerajaan kelak. Perkara inilah yang tiada di dalam UMNO itu sendiri. Mengapa ia terjadi? Hal ini disebabkan PR dibarisi ramai pemimpin muda yang sarat dengan idealisme dan juga memahami jiwa dan kemahuan anak muda seiringan politik semasa, berbanding dengan UMNO yang dibarisi ramai pemimpin sudah mencapai umur separuh abad. Malah, ramai dalam kalangan pemimpin UMNO tidak memahami jiwa-jiwa golongan muda. Sebab itulah golongan muda menjauhi UMNO yang perkiraan mereka UMNO tidak lebih sebuah parti politik untuk orang-orang lama dan veteran sahaja. UMNO kini boleh digambarkan sebagai baju lama yang telah terlalu usang untuk dipakai. Justeru, baju yang lama yang telah lapuk perlulah diganti dengan baju yang baru dan lebih elok dan mengikut trend semasa. Bukan bermakna baju yang lama harus dibuang begitu sahaja tetapi perlulah diubah suai sedikit supaya bersesuaian dengan peredaran zaman. | |||
2,000 jentera hadiri Pra Himpunan Hijau Selangor Posted: 17 Jun 2012 02:20 AM PDT
SHAH ALAM: Kira-kira 2,000 jentera PAS Selangor hari ini memenuhi Dewan Jubli Perak, Bangunan SUK, dekat sini sempena Himpunan Hijau Fasa 1 peringkat negeri. Himpunan yang bersifat taklimat dalaman parti ini disertai jentera dan ahli di peringkat negeri, kawasan dan cawangan sebagai persiapan menghadapi Himpunan Hijau Fasa 2, 15 Julai depan di Stadium Kuala Selangor. Program di sebelah pagi diisi dengan dua pembentangan kertas kerja selain perasmian oleh Timbalan Presiden, Mohamad Sabu. Kertas kerja pertama iaitu 'Menuju Putrajaya' dibentangkan oleh ahli jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Kamarudin Jaafar manakala kertas kerja kedua 'Adab-adab Pilihan Raya dibentangkan oleh Setiausaha Dewan Ulamak, Khairuddin At-Takiri. Satu lagi kertas kerja mengenai maklumat pilihan raya akan dibentangkan Pengarah Pilihan Raya, Dr Hatta Ramli pada petang ini. Pada pagi tadi juga, Mohamad melancarkan laman sosial facebook PAS Selangor selepas ucapan perasmian. Beliau dalam ucapannya mengingatkan jentera agar bersedia sepenuhnya dari segi mental dan fizikal bagi menghadapi pilihan raya umum yang dijangka paling kotor dalam sejarah. Beliau turut mengingatkan jentera agar menguatkan Pakatan Rakyat melalui tahaluf siasi. Sementara itu, Setiausaha PAS Selangor, Mohd Khairuddin Othman ketika ditemui berkata, himpunan ini menunjukkan sambutan yang paling baik di semua peringkat di Selangor. "Siapa kata PAS tak kuat? Himpunan hari ini membuktikan komitmen jentera di semua peringkat. "Biasa kita libatkan jentera negeri dan kawasan sahaja tapi hari ini jentera cawangan pun turut serta," katanya. Majlis penutup akan disempurnakan Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang jam empat petang ini. | |||
Haji hanya boleh ditunda jika darurat, kata Dr Muhammad ‘Uthman Posted: 17 Jun 2012 02:17 AM PDT KUALA LUMPUR — Pakar akademik Islam tersohor, Dr Muhammad 'Uthman el-Muhammady menegaskan, ibadah haji hanya boleh ditunda atau ditangguhkan dalam keadaan yang mendesak seperti darurat. Dr Muhammad menegaskan, jika seseorang individu itu sudah berniat dan berkemampuan untuk melaksanakan ibadah haji, dia perlu menunaikannya dengan kadar segera tanpa menangguhkan Rukun Islam Kelima itu. "Masalah pilihan raya tidak boleh mengatasi ibadah. Ia tidak boleh diletakkan melebihi tuntutan ibadah. "Kecuali jika kita berada dalam keadaan darurat, seperti peperangan untuk mempertahankan negara, ia diharuskan untuk menunda ibadah haji," tegasnya. Menjelaskan perkara itu, Dr Muhammad berkata, "jika seseorang sudah berniat untuk mengerjakan haji, kemudian menundanya kerana pilihan raya, kemudian dia meninggal dunia sebelum sempat menunaikan ibadah haji, apa dia nak jawab di depan Allah di akhirat nanti?" soalnya apabila ditanya berkenaan tindakan PAS yang menggesa jenteranya menunda ibadah haji jika pilihan raya dilaksanakan di dalam musim haji. Beliau yang merupakan Felo Amat Utama, Ketamadunan dan Kefahaman Islam Antarabangsa, (ISTAK) Universiti Islam Antarabangsa (UIA) menegaskan, perkara berkaitan agama seharusnya tidak dipolitikkan oleh mana-mana pihak. "Jangan dipolitikkan ibadah dan agama," tegasnya lagi. Sebelum ini, Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya menegaskan, mengundi pada pilihan raya adalah wajib dan ia harus diberikan keutamaan bagi memberikan kekuatan kepada umat Islam. Dipetik Sinar Harian, beliau turut berkata, pilihan raya umum yang diadakan dalam musin haji adalah satu tindakan yang tidak wajar, dan boleh mendatangkan fitnah kepada umat Islam di negara ini. Jelas Juanda, jika kerajaan tidak mengambil tindakan yang adil secara menyeluruh, umat Islam juga akan mengalami kelemahan dari segi politiknya. "Janganlah mewujudkan fitnah dan kekeliruan kepada umat Islam dalam soal ibadah mereka kerana kecelaruan dan perangai kurang cerdik orang-orang politik," katanya kepada Sinar Harian. "Jika benar ia diumumkan dalam musim haji nanti, baru kita menyatakan soal hukum kerana bercakap mengenai hukum terhadap perkara yang belum berlaku agak kurang cerdik dan boleh mendatangkan huruhara," katanya. Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid kelmarin bahawa membatalkan niat menunaikan fardu haji kali pertama adalah haram. Mohd Tamyes sebelum ini berkata, jika dibatalkan niat itu hanya kerana perkara duniawi, seseorang itu akan dianggap mati dalam keadaan jahiliah jika belum sempat menunaikan Rukun Islam Kelima itu. Sebelum ini, Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang mahu ahlinya menangguhkan niat menunaikan haji pada tahun ini bagi memberikan fokus kepada PRU13. Bagaimanapun, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, kelmarin, menegaskan haji bukan ibadat yang perlu disegerakan dan meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan supaya pilihan raya tidak dilaksanakan dalam musim haji kerana ibadat itu sangat penting bagi umat Islam. | |||
Najib didesak hentikan keresahan bakal haji Posted: 17 Jun 2012 02:05 AM PDT
SHAH ALAM: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu segera mengumumkan tarikh Pilihan Raya Umum PRU-13 akan datang bagi menghilangkan keresaan yang dihadapi bakal haji pada waktu ini. Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu berkata, selagi perdana menteri itu tidak mengumumkan bila tarikh PRU-13 akan diadakan, selagi itu bakal haji berada dalam keresahan dengan desas-desus yang ditimbulkan. "Najib perlu mengumumkan tarikh pilihan raya supaya orang Islam dapat mengerjakan haji secara aman dan tenteram. "Mereka boleh membuat perancangan jika sekiranya tarikh pilihan raya diadakan pada bulan itu," katanya. Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama di Himpunan Hijau ke Putrajaya peringkat negeri Selangor, di Auditorium Jubli Perak, Bangunan SUK, di sini, pagi tadi. Beliau mengulas spekulasi yang mengatakan pilihanraya akan diadakan pada musim haji iaitu pada bulan Zulhijah atau pertengahan Oktober sehingga pertengahan November. Awal minggu lalu, Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man meminta ahli parti yang terlibat secara langsung dalam pilihanraya seperti calon, wakil calon dan pengarah pilihanraya agar menangguhkan rancangan untuk menunaikan ibadah haji ekoran desas desus itu. Mengulas lanjut, Mohamad berkata, beliau tidak menolak kemungkinan perdana menteri kini berada dalam kebingungan untuk menentukan tarikh tersebut ekoran pelbagai masalah sedang dihadapinya yang menjejaskan BN secara keseluruhan. "Beliau menghadapi beban berat menggalas isu isterinya, dalaman parti, Bersih 3.0 yang tersebar ke seluruh dunia dan isu beliau sendiri dikait dengan Scorpene," katanya. Facebook PAS Selangor Terdahulu dalam program hari ini, PAS Selangor turut melancarkan laman peminat Facebook mereka. Ianya sebagai medium rasmi PAS negeri menyalurkan maklumat khususnya dalam mendekati golongan belia di negeri itu. Face "PAS Selangor" itu boleh akses di pautan https://www.facebook.com/pas.selangor. Hadir sama program hari ini Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Rani Othman, Timbalan Pesuruhjaya Iskandar Abdul Samad, Sallehem Muhyi, Khalid Samad, Setiausaha Mohd Khairuddin Othman, Bendahari Izham Hashim, Ketua Penerangan Saari Sungip. Selain itu turut hadir Ketua Dewan Ulama Ustaz Mohamad Zain Abdul Rahman, Ketua Pemuda Ustaz Hasbullah Mohd Ridwan, Ketua Muslimat Wan Hasrina Wan Hassan dan kepimpinan dari kawasan seluruh negeri. Dianggarkan lebih 2,000 orang hadir dalam program fasa pertama ini sebelum himpunan besaran akan diadakan di Stadium Kuala Selangor pada 15 Julai 2012 nanti. | |||
Setpol: Projek dari Geran Selangorku diluluskan penjawat awam Posted: 17 Jun 2012 02:02 AM PDT MALAYSIA KINI Setiausaha politik kepada menteri besar Selangor, Faekah Husin berkata bekas menteri besar Dr Khir Toyo membuat "tuduhan jahat melampau" apabila mendakwa Tan Sri Khalid Ibrahim menggunakan kuasa meluluskan dana Geran Selangorku untuk kepentingan politik.Jelasnya, geran berjumlah RM300 juta tersebut tidak termasuk dalam perbendaharaan negeri dan tidak memerlukan kelulusan setiausaha kerajaan negeri mahupun pegawai kewangan negeri untuk digunakan. "Perkara yang sama dilakukan di peringkat kerajaan persekutuan di mana terdapat peruntukan yang dikelola terus dari Jabatan Perdana Menteri di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) dan tidak melalui KSN mahupun Perbendaharaan," katanya. Bezanya, kelulusan untuk projek tersebut serta sebut harganya dilakukan oleh jawatankuasa pemandu yang tidak berkepentingan, katanya. Pemberian kontrak pula dibuat oleh pihak berkuasa tempatan (PB) atau pejabat tanah dan daerah (PBT) masing-masing yang mengeluarkan tender terbuka, manakala pelaksanaannya diaudit badan bebas termasuk JKR sebelum bayaran boleh dibuat melalui Perbadanan Menteri Besar, kata Faekah lagi. "Tidak ada satu projek infrastruktur yang ditentukan oleh menteri besar sebaliknya diluluskan oleh jawatankuasa yang dianggotai pegawai tinggi kerajaan. "Adakah Dr Khir mahu menidakkan keupayaan dan kepakaran pegawai kerajaan dalam membuat keputusan tentang keutamaan projek? "Nampaknya beliau masih tidak insaf dengan penghinaan yang beliau lakukan dengan memberi hadiah penyapu kepada pegawai kerajaan dan sekarang mahu mengulanginya dengan tuduhan melulu." Tambahnya, Dr Khir sepatutnya berasa malu kerana gagal mengutip hutang lapuk kerajaan Selangor - yang kini berjaya dikumpul untuk Geran Selangorku. "Geran Selangorku adalah hasil kebijaksanaan kerajaan Pakatan Rakyat mengutip hutang lapuk yang sengaja dilupakan Dr Khir semasa pemerintahannya atas sebab-sebab yang beliau dan seluruh kepimpinannya sahaja yang maklum," katanya. | |||
Bekas Ketua Jemaah Nazir KPM sertai PAS Posted: 17 Jun 2012 01:54 AM PDT
(Gambar: Zabidi (dua dari kiri) dan Nazri (dua dari kanan) diraikan selepas menyerah borang menyertai PAS kepada Tuan Guru Nik Aziz) BAGAN SERAI: Belum reda isu kemasukan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Tanah dan Koperasi Prof Datuk Dr Nik Zain Nik Yusof menyertai PAS, kini seorang lagi bekas pegawai kanan kerajaan mengikut jejak langkah sama. Terbaru, bekas Ketua Jemaah Nazir Kementerian Pelajaran Malaysia, Tuan Haji Ahmad Zabidi Shamsuddin malam tadi menyerahkan borang menyertai PAS. Beliau menyerahkan borang permohonan keahliannya kepada Mursyidul AM PAS, Tuan Guru Dato' Bentara Setia Nik Aziz Nik Mat ketika Himpunan Hijau ke Putrajaya Peringkat Negeri Perak,semalam. Beliau berkhidmat di dalam kerajaan selama 33 tahun dan di Kementerian Pelajaran hampir 10 tahun. Ahmad Zabidi juga pernah menjadi Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu dan bertugas sebagai pengetua di beberapa buah sekolah. Dalam ucapannya sulungnya berkata, disepanjang beliau berkhidmat di kementerian pelajaran, pelbagai kezaliman dan penindasan berlaku. Katanya, kuasa politik pemerintah telah menguasai pentadbiran kerajaan. "Orang yang tidak menyokong BN akan dikenakan tindakan dan mereka ditukarkan jauh dari tempat asal," katanya di hadapan 30ribu hadirin. Ujar Ahmad Zabidi, tindakan itu semata mata guru-guru tersebut tidak sehaluan dengan kerajaan dan bukannya atas kesalahan yang berat. "Yang tukar itu bukanlah Pengarah Pelajaran tetapi tindakan tersebut atas desakan oleh pemimpin Umno dan BN ," jelasnya. Beliau menjelaskan, tindakan seperti ini masih berterusan dan lebih giat dibuat oleh pihak Kementerian Pelajaran atas arahan oleh Umno dan BN. Tambahnya, antara faktor lain mendorongnya menyertai PAS ialah dasar yang diperjuangkan oleh Umno ketika ini berkisarkan sistem sekular ciptaan manusia. Turut menyerahkan borang keahlian PAS ialah AJK Umno Bahagian Gopeng Tuan Haji Nazri Nordin yang bergelumang lebih 30 tahun dalam parti itu kini hilang keyakinan dan melihat perjuangan PAS adalah benar serta mewarisi perjuangan Rasulullah. | |||
Penduduk bantah cadangan buka pasar babi Posted: 17 Jun 2012 01:45 AM PDT Hampir 100 orang berkumpul di hadapan Pasar Awam Simpang Renggam, di Kluang, membantah cadangan membuka pasar babi di kawasan pasar tersebut. Mereka terdiri penduduk sekitar dan peniaga yang mula berada di kawasan pasar itu sejak pukul 10 pagi membawa sepanduk bertulis perkataan menyatakan rasa tidak puas hati terhadap Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR) yang membenarkan penjualan daging berkenaan di situ. Kesemua mereka kemudian menurunkan tanda tangan pada surat bantahan yang dijangka diserahkan kepada Yang Dipertua MDSR, esok. Pengerusi penganjur kumpulan tersebut, Zainudin Ilyas berkata kedudukan pasar itu hanya 6.8 meter dari pasar awam dengan demikian tidak sesuai sekaligus menyentuh sensitiviti peniaga dan pembeli beragama Islam. "Buat masa ini pembukaan pasar itu masih ditangguhkan oleh MDSR setelah menerima teguran penduduk. "Kami tidak mahu bukan hanya ditangguhkan sebaliknya hendaklah dibatalkan terus kerana akan mendatangkan banyak masalah. Pasar itu bersebelahan pula dengan pasar menjual ayam," katanya ketika ditemui pemberita. Zainudin berkata pihaknya mahu pasar babi sedia ada di Kampung Baru Cina kira-kira 500 meter dari Pasar Awam itu dinaiktaraf untuk kemudahan beberapa peniaga supaya tidak perlu berpindah ke tempat baru. Sementara itu, Naib Ketua Pemuda Umno Bahagian Simpang Renggam, Ismail Md Nor berkata pihaknya tidak bersetuju dengan langkah MDSR itu dan berharap pembukaan pasar berkenaan dibatalkan tambahan pula ada bantahan. Seorang kontraktor, Abdul Rashid Rabu, 51, yang tinggal di Taman Mohd Yassin sejak 30 tahun lepas memberitahu bangunan pasar babi itu tidak dibina mengikut spesifikasi dan tidak tertutup. "Ianya betul-betul bersebelahan dengan pasar menjual ayam dan boleh didicemari lalat dan berbau," katanya. - Bernama | |||
Enam kawasan catatkan IPU tidak sihat Posted: 17 Jun 2012 01:43 AM PDT SINAR HARIAN Enam kawasan yang mencatat IPU tertinggi ialah Pelabuhan Klang (113), Shah Alam (125), Petaling Jaya (110), Kuala Selangor (113) di Selangor serta Cheras (106) dan Batu Muda (108) di sini. Sebanyak 39 kawasan di seluruh negara pula mencatat bacaan IPU sederhana berdasarkan bacaan dari 51 stesen pengawasan kualiti udara Jabatan Alam Sekitar (JAS) manakala 8 lagi kawasan mencatat bacaan IPU baik. Menurut laman sesawang Jabatan Alam Sekitar, www.doe.gov.my, tiada kawasan di negara ini yang mencatat bacaan sangat tidak baik dan berbahaya di mana 70 peratus kawasan di seluruh negara berada di tahap bacaan IPU sederhana, 18 peratus di tahap baik dan hanya 12 peratus di tahap tidak sihat. IPU pada tahap antara 0 dan 50 merupakan bacaan baik, sederhana (51-100), tidak sihat (101-200), sangat tidak sihat (201-300) dan berbahaya (lebih 301). Kemerosotan kualiti udara yang sedang dialami di Lembah Klang ketika ini adalah disebabkan pencemaran jerebu merentas sempadan dari Sumatera, Indonesia. Sementara itu, Jabatan Meterologi Malaysia meramalkan hujan di beberapa tempat di Selangor, wilayah Persekutuan Putrajaya dan Kuala Lumpur pagi ini. Menurut laman sesawang jabatan itu, Malaysia kini dilanda Monsun Barat Daya, yang menyebabkan keadaan cuaca panas dan kering, dan keadaan ini dijangka berterusan sehingga September. - Bernama | |||
Air: Pusat langgar undang-undang, kata MB Posted: 17 Jun 2012 01:42 AM PDT KUALA SELANGOR - Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mempersoalkan campur tangan Kerajaan Persekutuan yang menidakkan kuasa Kerajaan Negeri dalam menangani isu air yang berterusan. Khalid berkata, tindakan itu dianggap sebagai melanggar undang-undang yang diluluskan Kerajaan Persekutuan sendiri pada 2006. Menurutnya, hak pengurusan air adalah di bawah kuasa sepenuhnya Kerajaan Negeri seperti yang termaktub dalam Akta Industri Perkhidmatan Air 2006. "Saya rasa Kerajaan Persekutuan tidak boleh untuk tidak melaksanakannya. Ini kerana dalam perlembagaan, air di bawah kuasa negeri tetapi pelaksanaan adalah persefahaman kedua kerajaan. "Kita juga sudah membuat persetujuan dengan Kerajaan Persekutuan dan saya berharap mereka tidak culas dalam melaksanakannya memandangkan kedua kerajaan perlu melaksanakannya demi kepentingan rakyat. "Jika sekiranya mereka masih mempersoalkan tindakan Kerajaan Negeri semata-mata atas dasar politik, kita tunggu sahaja keputusan pilihan raya umum (PRU) nanti. "Ini kerana saya percaya kuasa kehakiman rakyat akan membuktikan siapa lebih berhak mentadbir negeri ini," katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Perasmian Asrama Puteri INPENS International College di sini, semalam. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Selangor, Datuk Seri Noh Omar yang menyifatkan Kerajaan PKR Selangor hanya pandai berforum tetapi gagal menyelesaikan isu bekalan air. Kenyataan ini juga dibuat berikutan Forum Air Selangor yang dikatakan berat sebelah kerana hanya dihadiri Exco kerajaan negeri, ahli-ahli Parlimen dari PR selain wakil media dan dan segelintir orang awam sahaja. Kelmarin, Khalid menyifatkan forum bersama orang awam tanpa melibatkan wakil Kerajaan Pusat dan syarikat konsesi, Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dianggap lebih relevan kepada rakyat untuk membuat pilihan lebih murah bagi mendapatkan bekalan air bersih, selain projek penyaluran air Pahang menerusi pembinaan Loji Rawatan Langat 2. Katanya, Syabas tidak berminat untuk meneruskan perbincangan dalam forum dengan alasan utama mereka ada sebutan kes di mahkamah selain sementara Kerajaan Negeri kecewa apabila kementerian berkaitan juga gagal datang ke forum sama yang dianjurkan sebelum ini. | |||
Isu WWW 1: Pas akan urus Nizar Posted: 17 Jun 2012 01:38 AM PDT BATU PAHAT – Pas meminta agar pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) menguruskan parti mereka sendiri dan tidak campur tangan hal berkaitan dengan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, termasuklah hukuman yang bakal dikenakan ke atas beliau kerana kenyataan yang dikeluarkan terhadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar. Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, apa juga hukuman bakal dikenakan terhadap Nizar adalah hak Pas, bukannya hak Umno atau BN menentukannya. Menurutnya, Pas tidak perlu tunduk kehendak Umno dan BN, begitu juga dengan nasihat yang diberikan. "Baru-baru ini, Ketua Penerangan Umno, Ahmad Maslan ada beri pandangan berkaitan dengan hukuman yang bakal dikenakan terhadap Nizar, tetapi itu kata-kata dia, hukuman yang bakal dikenakan adalah hak kita. "Ini parti kita, dia patut serah pada kita menentukannya dan kita juga tidak perlu sesekali dengar nasihat dia (Ahmad Maslan)," katanya pada Jamuan Rakyat Sempena Himpunan Hijau Ke Putrajaya di Dataran Pas Tongkang Pechah, semalam. Hadir sama, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Menurutnya, Pas akan uruskan partinya sendiri untuk jadi lebih kuat dan sistematik. Dalam pada itu, Abdul Hadi turut menyatakan, rakyat Johor perlu berubah dengan menyokong pakatan pembangkang sekiranya tidak mahu ketinggalan dan menjadi seperti 'ekor cicak'. "Johor akan jadi macam ekor cicak... ekor cicak kita taulah macam mana jika putus...macam tulah juga Johor jika tidak berubah," katanya. Katanya, sekarang ini sudah banyak negeri, termasuk anggota polis dan tentera yang berubah beri sokongan kepada pakatan pembangkang. "Ramai telah berubah sekarang ini, termasuk tentera dan polis, tetapi Johor tidak berubah. Ini membuatkan Johor ketinggalan," katanya. | |||
Agensi Kerajaan Didakwa Kenakan Bayaran Untuk Borang BR1M Posted: 17 Jun 2012 01:36 AM PDT KELAB GREENBOC Kota Galanggi – Dua penduduk Orang Asli Kampung Sematau, dekat sini, mendakwa mereka dikenakan bayaran RM100 oleh kakitangan sebuah agensi kerajaan hanya untuk mengisi dua keping borang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M). Gambar: Rahmat (kiri) bersama beberapa penduduk menyatakan kekesalan terhadap penipuan pihak ketiga hingga nama mereka tercicir daripada menerima BR1M. Rahmat Abdullah, 37, berkata, lelaki itu turut mengenakan bayaran tambahan sebanyak RM20 kepada menantunya sebagai kos pos borang tersebut ke Kuala Lumpur. Menurutnya, dia menjelaskan bayaran itu kerana menyangka kos tersebut sudah ditetapkan untuk perkhidmatan berkenaan. "Lebih mengecewakan saya dan menantu tidak terpilih sebagai penerima bantuan RM500 tersebut selepas membuat permohonan. "Saya berasa tertipu dan terus menunggu walaupun pemberian BR1M dilakukan fasa demi fasa kepada penduduk di bawah Dewan Undangan Negeri Pulau Tawar," katanya. Dia berkata, ramai penduduk kampung terpilih menerima BR1M kecuali dia dan menantu yang masih menunggu untuk fasa berikutnya. "Saya bimbang berlaku keciciran lalu sekali lagi ke pejabat tersebut bersama menantu untuk mendapatkan borang dan mengisi permohonan baru. "Bagaimanapun kami dikenakan bayaran tambahan RM10 bagi setiap borang diisi ketika itu," katanya. Rahmat berkata, namun sehingga kini mereka berdua belum berpeluang mendapatkan RM500 tersebut. "Kami tertipu dan kesal kerana ada pihak memanipulasikan keadaan dengan menindas orang lain untuk mendapatkan wang dengan mudah," katanya. Dia berkata, kini semua fasa pemberian BR1M sudah selesai, namun dia, menantu dan beberapa penduduk Orang Asli lain masih gagal menerima bantuan tersebut. "Saya kesal kerana kami semua tercicir daripada senarai penerima BR1M. Saya terpaksa menyara seramai 14 anak dan berharap bantuan itu dapat meringankan beban keluarga. "Lebih mengecewakan apabila wujudnya pihak ketiga yang mengambil kesempatan terhadap kami dengan mengenakan bayaran sedangkan perkara itu tidak berlaku kepada pemohon BR1M di kawasan lain," katanya. "Saya kesal kerana kami semua tercicir daripada senarai penerima BR1M. Saya terpaksa menyara seramai 14 anak dan berharap bantuan itu dapat meringankan beban keluarga. "Lebih mengecewakan apabila wujudnya pihak ketiga yang mengambil kesempatan terhadap kami dengan mengenakan bayaran sedangkan perkara itu tidak berlaku kepada pemohon BR1M di kawasan lain," katanya. -SH | |||
Mufti Perlis: Mengundi Pada Pilihanraya Itu Wajib Untuk Beri Kekuatan Kepada Umat Islam Posted: 17 Jun 2012 01:34 AM PDT KELAB GREENBOC Haji-PRU: Usah Wujudkan Fitnah, Keliru Shah Alam – Mengadakan pilihanraya umum dalam musim ibadat haji adalah tidak wajar kerana ia boleh mendatangkan fitnah kepada umat Islam. Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya berkata, mengundi pada pilihan raya wajib dan perlu diutamakan untuk beri kekuatan kepada umat Islam. Menurutnya, umat Islam akan terus lemah politiknya jika kerajaan mengambil tindakan tidak adil secara menyeluruh kepada mereka. "Janganlah mewujudkan fitnah dan kekeliruan kepada umat Islam dalam soal ibadat mereka kerana kecelaruan dan perangai kurang cerdik orang-orang politik," katanya kepada Sinar Harian, semalam. Menurut beliau, semua pihak perlu menunggu bilakah Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) diumumkan dahulu sebelum mempersoalkan mengenai hukum menangguhkan haji jika waktu PRU13. "Jika benar ia diumumkan dalam musim haji nanti, baru kita menyatakan hukum kerana bercakap mengenai hukum terhadap perkara yang belum berlaku agak kurang cerdik dan boleh mendatangkan huruhara," katanya. Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid kelmarin bahawa membatalkan niat menunaikan fardu haji kali pertama adalah haram. Sebelum ini, Mohd Tamyes berkata, jika dibatalkan niat itu hanya kerana perkara duniawi, sekiranya dia meninggal dunia sebelum sempat menunaikan haji maka matinya dalam keadaan jahiliah. Mohd Tamyes berkata demikian susulan kenyataan Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang mahu ahlinya (Pas) menangguhkan niat menunaikan haji pada tahun ini bagi memfokuskan kepada PRU13. Bagaimanapun, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, kelmarin, menegaskan haji bukan ibadat yang perlu disegerakan dan meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya memberikan jaminan tidak akan mengadakan pilihan raya pada musim haji kerana ibadat itu sangat penting bagi umat Islam. -SH Nik Aziz setuju penyokong PAS tangguh haji | |||
Salahuddin: Isu Nizar tak jejas PR di Johor Posted: 17 Jun 2012 01:30 AM PDT JOHOR BAHRU - Peluang Pas dan parti-parti komponen lain dalam Pakatan Rakyat (PR) tidak sesekali terjejas walaupun pembangkang dihimpit isu kenyataan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berhubung bidaan nombor pendaftaran WWW 1. Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub berkata, rakyat Johor mampu membuat keputusan berdasarkan kematangan masing-masing dalam politik sekali gus faham mengenai isu yang dibangkitkan. "Saya tidak rasa sama sekali peluang Pas termasuklah PR di negeri ini terjejas kerana rakyat Johor sudah dapat untuk membuat sesuatu keputusan berdasarkan kematangan mereka dalam berpolitik. Isu seperti ini tidak menjejaskan kita kerana rakyat boleh faham tentang isu dibangkitkan. "Mengenai penentangan terhadap Raja-raja Melayu, saya rasa Umno mempunyai sejarah yang begitu panjang. Mengenai kebiadapan dan keterlanjuran mereka menghina Raja-raja Melayu. Rakyat boleh faham dan ada maklumat mengenai hal ini. "Jadi saya rasa ia tidak akan memberikan apa-apa kesan terhadap peluang PR dalam Johor kerana kita tidak langsung menyentuh isu yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutusan dan undang-undang negeri sekali gus Pas menghormati prinsip raja berpelembagaan," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke tapak projek perumahan Taman Desa Kempas di sini, semalam. Mengulas lanjut mengenai surat memohon perkenan menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar oleh Nizar bagi menjernihkan kekalutan yang berlaku, Salahuddin yang akan bertanding kerusi di Johor pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) menyerahkan segalanya kepada pertemuan yang bakal berlaku jika diberikan perkenan oleh baginda. "Saya serahkan perkara ini kepada beliau (Nizar). Permohonan sudah dibuat, jadi kita tunggulah dulu. Dari segi adab sebagai rakyat, Nizar sudah penuhi dengan memohon menghadap Tuanku. "Mengenai tindakan yang bakal dikenakan kepada beliau oleh pucuk pimpinan parti pula, kita lihat sama ada beliau berjaya menghadap Tuanku Sultan Johor atau tidak. Selepas itu, kita lihat perkembangan seterusnya," katanya. Kelmarin, Nizar menghantar surat memohon perkenan menghadap Sultan Johor, bagi mengzahir permohonan maaf berhubung kenyataan beliau menyentuh pembidaan nombor pendaftaran WWW 1. | |||
Bakal menantu terlibat kes tipu: Rosmah, Najib dicabar saman akhbar Amerika Posted: 16 Jun 2012 05:12 PM PDT Oleh Aisha Geoffrey KUALA LUMPUR : Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor menyaman malu akhbar Amerika yang mendakwa bakal menantu mereka terlibat dalam kes penipuan. Zuraida berkata, tindakan undang-undang adalah penting kerana jika terbukti pendedahan itu benar, ia memalukan keluarga Perdana Menteri, selaku pemimpin negara. "Rosmah harus bersedia dengan keputusan mahkamah dan jika disabit kesalahan, keluarga Najib patut saman, tak perlu menafikan," katanya kepada Keadilan Daily. Ahli Parlimen Ampang itu mengulas laporan media yang melaporkan bahawa sumber yang rapat dengan Rosmah menyatakan isu tersebut sengaja diperbesar-besarkan. "Saya hairan bagaimana Rosmah boleh kata tidak ada kena-mengena dengan isu itu sedangkan tertuduh adalah bakal menantu dan suami kepada anak dia, melainkan pertunangan itu diputuskan," katanya. Awal minggu lalu, negara digemparkan dengan isu mengaitkan bakal menantu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak didakwa terlibat dalam kes penipuan. Berdasarkan dokumen mahkamah yang difailkan di Mahkamah Agung Manhattan Amerika Syarikat, Daniyar Nazarbayez, 24, didakwa menipu bapa tirinya seunit kondominium bernilai AS$20 (RM62 juta). Tunang kepada anak perempuan Najib itu merupakan warganegara Kazakhstan dan mempunyai pertalian dengan Presiden Kazakhstan, Nursultan Nazarbayez. Dokumen mahkamah itu menyebut, Daniyar memalsukan dokumen untuk memberikan gambaran bahawa dia berkelulusan sekolah tinggi di Kazakhstan bagi membolehkannya memasuki Universiti columbia, tempat di mana beliau bertemu Nooryana Najwa Najib. Bagaimanapun, sumber akhbar itu berkata, dia sebenarnya bersekolah di Switzerland dan tidak menamatkan pelajaran. Rekod Columbia juga menunjukkan Daniyar masih dalam senarai bekas pelajar dan bergraduasi pada 2010. The New York Post melaporkan, jurucakap Columbia sudah dihubungi tetapi enggan mengulas lanjut. Dokumen mahkamah itu difailkan Bolat Nazarbayez, abang kepada Presiden Kazahkstan dan bekas bapa tiri kepada Daniyar. Bolat mendakwa Daniyar dan ibunya, Maira mengambil kesempatan terhadap beliau dengan menipu unit kondominium Plaza Hotel dan dua pangsapuri mewah bernilai berjuta-juta dolar di Wall Street. "Saman itu menyatakan Daniyar sepatutnya menamakan bapa tirinya sebagai empunya apartment, sebaliknya meletakkan nama ibunya. Lapan bulan kemudian, Maira menjual apartmen tersebut kepada Daniyar dengan harga 1 dolar, kata kertas mahkamah," lapor New York Post. Bakal besan tolak dakwaan pada anak Dalam perkembangan berkaitan, ibu kenapa Daniyar – Maira Nazarbayev menafikan dakwaan terhadap anaknya dan menyifatkan perkara itu sebagai manipulasi politik dan tidak masuk akal. "Saya dan suami tidak pasti siapa sebenarnya di belakang dakwaan yang tidak masuk akal dan bersifat tuduhan ini. "Ini urusan dalaman keluarga yang dimanipulasi dan dipergunakan oleh pelbagai pihak yang mempunyai kepentingan politik," kata Maira dipetik sebagai berkata dalam kenyataan melalui jurucakap perhubungan awam, seperti dilapor Malaysiakini. | |||
Kubur guru digali semula selepas bapa dakwa anak mati dipukul suami Posted: 16 Jun 2012 04:52 PM PDT KOSMOTUMPAT - Kubur seorang guru yang meninggal dunia kelmarin terpaksa digali semula semalam selepas bapanya membuat laporan polis kerana mengesyaki anak perempuannya itu mati akibat dipukul suami. Allahyarham yang berusia sekitar 40-an dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Lada, Wakaf Bharu dan dikatakan meninggal dunia disebabkan serangan jantung. Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, pihaknya telah mendapatkan perintah daripada Mahkamah Majistret Tumpat untuk menggali semula kubur mangsa. | |||
Najib luluskan pinjaman RM235 juta Posted: 16 Jun 2012 04:49 PM PDT KENINGAU - Kerajaan Persekutuan meluluskan pinjaman berjumlah RM235 juta kepada kerajaan negeri Sabah bagi membina sebuah loji rawatan air bersih di sini. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan perkara itu berkata, berita gembira itu adalah sebagai tanda keprihatinan kerajaan bagi memastikan rakyat terutama di kawasan pedalaman menikmati kemudahan asas yang terbaik. Katanya, pembinaan loji itu apabila siap kelak bakal memberi manfaat kepada lebih 200,000 pengguna di daerah itu. "Kehadiran saya di sini bukanlah semata-mata kehadiran kosong tetapi saya ingin mengumumkan berita gembira buat rakyat Keningau iaitu kelulusan pembinaan sebuah loji rawatan air bersih di sini," katanya ketika merasmikan Pusat Kraftangan Sabah di sini semalam. | |||
PAS Johor “Hang Tuah : YB Nizar “Hang Jebat”? Posted: 16 Jun 2012 04:37 PM PDT +2 0 ISU YB Nizar ingin mengadap Tuanku Sultan Johor untuk menceritakan apa yang sebenarnya yang berlaku di dalam isu plet kenderaan yang beliau nyatakan di dalam twitternya, yang tidak pernah diceritakan oleh akhbar pencacai bagi saya adalah satu langkah terpuji. Samada YB Nizar ingin memohon maaf kepada Tuanku atau tidak, itu soal lain tetapi difahamkan atas budibahasa dan adab MB Perak yang sah ini beliau telah pun memohon maaf kepada Tuanku sekiranya Tuanku tersinggung. Baru-baru ini, kita jelas melihat Tuanku bukan sahaja tersinggung malahan dilihat murka kepada YB Nizar. YB Nizar dikatakan dengan berbagai-bagai oleh Tuanku secara terbuka di dalam Dun Johor. YB Nizar mungkin tidak `murka' dengan titah Tuanku sedemikian rupa kerana YB Nizar hanya rakyat biasa. Adakah rakyat biasa juga `murka' dengan cara Tuanku itu? Rakyat juga tidak boleh `murka' kerana `murka' hanya untuk golongan Istana. Rakyat tetap rakyat. PAS sepatutnya bersyukur memiliki tokoh seperti YB Nizar Semalam, saya terbaca di dalam akhbar Sinar (15 Jun). Pesuruhjaya PAS Johor yang bercakap atas kapisiti PAS Johor berharap agar YB Nizar bukan sahaja memohon maaf kepada Tuanku, tetapi juga memohon maaf kepada rakyat Johor. Saya awalnya menjangkakan PAS Johor akan membela YB Nizar kerana bukan mudah untuk mencari tokoh Melayu Islam seperti YB Nizar yang sanggup di cop Penderhaka kerana bersuara atas kebenaran. Bukankah Islam mengajar kita berkatalah walaupun pahit? Bukankah Islam mengingatkan kita bahawa Penguasa akan rosak jika tiada rakyat atau Alim Ulamak yang berani menegur Sang Penguasa? Apakah PAS Johor berpendirian sama seperti pemimpin Umno Johor yang mendakwa YB Nizar derhaka? Adakah PAS Johor berpendirian bahawa YB Nizar telah melakukan kesalahan kepada rakyat Johor sehingga PAS Johor mahu YB Nizar memohon maaf? Di mana pendirian PAS Johor? Kita mudah faham mengapa pemimpin-pemimpin Umno menggelar YB Nizar sebagai penderhaka, tetapi sukar sungguh untuk kita memahami mengapa PAS Johor juga seolah-olah berperangai seperti mereka. Kita faham PAS Johor sedang berhempas pulas untuk menawan beberapa kerusi di Johor dan dikatakan peluang ini amat cerah. Tetapi apabila isu ini timbul. mungkin PAS Johor menganggap YB Nizar telah menggagalkan cita-cita mereka. Rakyat Johor pasti menolak PAS sekiranya YB Nizar tidak memohon maaf kepada seluruh rakyat Johor. Benarkah begitu? Adakah sekiranya YB Nizar memohon maaf kepada seluruh rakyat Johor, maka PAS akan mendapat sokongan rakyat Johor? PAS Johor silap jika berfikiran begitu. Hakikatnya, isu ini adalah hikmah buat PAS Johor untuk menunjukkan bahawa PAS tetap konsisten memperjuangkan keadilan. Di ulangi, "Keadilan'. Rakyat di Johor dari semua kaum terutamanya dari kaum bukan Melayu yang semakin kuat menyokong PR dan PAS pasti akan melihat sejauh mana PAS Johor sanggup mempertahankan tokoh mereka sendiri yang berani kerana benar. Jika tokoh seperti YB Nizar yang pernah disanjung sebagai MB terbaik dari PAS, tidak upaya PAS Johor untuk membelanya, apa jaminan rakyat marhaen dari berbagai kaum akan dibela sekiranya PAS berkuasa di Johor? Saya amat tidak setuju dengan tindakan PAS Johor yang bukan sahaja gagal membela YB Nizar, bahkan menekannya dengan isu ini. Isu pokoknya, adakah YB Nizar benar-benar bersalah dari segi undang-undang negara lebih-lebih lagi menyalahi hukum Islam? Jika benar YB Nizar bersalah, PAS Johor patut mengesyorkan agar PAS Pusat mengambil tindakan terhadap YB Nizar termasuk dipecat jika perlu. Biarlah PAS bersih dari tokoh seperti YB Nizar dan jadilah PAS seiras dengan Umno. Buat apa ke hulu ke hilir bercerita tentang Islam, tentang Jihad, tentang keadilan dan bermacam-macam lagi sejarah Nabi dan para sahabat diceritakan, tetapi hati kecil kita sebenarnya masih mengagung-agungkan selain dari Allah. Sebenarnya tindakan PAS Johor seperti yang disiarkan oleh akhbar Sinar itu menunjukkan PAS Johor tidak memperjuangkan Islam sebenar. PAS Johor mungkin takut kehilangan undi orang-orang Melayu tetapi PAS Johor tidak sedar bahawa sekarang ini orang-orang Melayu sudah semakin sedar yang mana satu pemimpin yang jujur dan ikhlas dan yang mana satu pemimpin yang suka membodek. PAS Johor mungkin gementar dengan perhimpunan yang dikatakan 30, 000 orang itu, tetapi PAS Johor lupa jutaan lagi manusia yang berakal akan mengadili PAS dengan isu ini. Saya mohon PAS Johor menarik balik gesaan terhadap YB Nizar untuk memohon maaf kepada rakyat Johor. YB Nizar sudah memohon maaf dan sanggup untuk mengadap Tuanku Sultan Johor bagi menyatakan isu sebenar dan akan memohon maaf sekali lagi kepada Tuanku Sultan, jadi jangan lah PAS Johor bertindak melampau dari itu. Jika PAS Johor takut untuk membela YB Nizar, biarlah kami dari PAS luar Johor dan PR yang lain akan membela tokoh ini. PAS Johor mungkin ingin menjadi Hang Tuah, YB Nizar pula mungkin dianggap sebagai Hang Jebat. Siapa yang benar, Hang Tuah kah atau Hang Jebat? | |||
BN Tidak Pernah Pilih Kaum Salur Bantuan - Muhyiddin Posted: 16 Jun 2012 04:31 PM PDT MSTAR ONLINE BUTTERWORTH: Barisan Nasional (BN) tidak pernah mengamalkan dasar memilih kaum dalam usahanya untuk membasmi kemiskinan, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. Beliau berkata bantuan yang disalurkan kerajaan pimpinan BN adalah kepada semua kaum yang layak dan mereka yang memerlukan. Katanya dakwaan dan tohmahan pembangkang kononnya BN hanya mementingkan kebajikan orang Melayu adalah satu pembohongan dan fitnah semata-mata kerana semua kaum di negara ini telah menikmati pelbagai jenis bantuan yang disediakan oleh kerajaan pusat. "Kalau BN hanya untuk orang Melayu, hanya bantu orang Melayu sudah lama orang Melayu jadi jutawan. Di Pulau Pinang, masih lagi terdapat orang Melayu yang memerlukan bantuan, begitu juga kaum Cina dan India. "Kita (BN) bela semua kaum yang ada. Dasar kerajaan untuk membantu bumiputera bukan kerana dia Melayu, tetapi kerana miskin. Begitu juga kaum lain," katanya semasa berucap di majlis semarak kasih rakyat di Taman Tanjung Aman, di sini, Sabtu. Muhyiddin berkata semua kaum mempunyai hak yang sama dalam menikmati setiap bantuan termasuk bantuan pendidikan yang disediakan oleh kerajaan. "Kita juga membantu sekolah-sekolah jenis kebangsaan dan sekolah Cina...semua orang berhak mendapat pendidikan, sebagai Menteri Pelajaran, saya pastikan semua rakyat di negara ini mendapat pelajaran sewajarnya," kata beliau. Katanya kerajaan tidak akan berhenti untuk menyalurkan bantuan kepada setiap rakyatnya walaupun sesebuah negeri itu terletak di bawah pimpinan pakatan pembangkang. "Pembangkang hanya minat mempolitikkan isu sahaja dan tidak berbuat apa-apa untuk rakyat, mereka hanya auta sahaja," katanya. Pada majlis itu, Muhyiddin turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM500,000 bagi kawasan Bagan untuk pembangunan di kawasan itu. Lebih 40,000 orang membanjiri majlis anjuran BN negeri di kawasan yang diwakili oleh Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng itu.-BERNAMA | |||
Undi atau haji: Hak politik amanah besar dalam Islam Posted: 16 Jun 2012 04:23 PM PDT SAYA tidak menyangka bahawa tulisan saya yang menyebut haji dan pilihanraya secara sepintas lalu menjadi polemik hangat beberapa hari. Saya hanya menyebut bahawa masyarakat Islam kebanyakannya tidak tahu perbezaan diantara wajib mudoyyak dan wajib muwassa yang tidak ada dalam pelajaran fardu ain. Apabila Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man membuat kenyataan susulan, beliau menjadi sasaran serangan media Umno yang berpelurukan kenyataan berbagai pihak. Maka Umno tidak mengambil kira musim haji atau musim puasa dan sebagainya, kerana Umno tidak menjadikan Islam itu dasar panduan perjuangannya. Subki Latif pernah menjadi sasarannya apabila menyentuh perkara ini ketika menjadi Ketua Penerangan Pas. Media jurubicara Umno mendedahkan kebebalan mereka berkenaan hukum Islam dan mendedahkan kejahilan pemimpin utama mereka sendiri, seterusnya mendedahkan ada dikalangan tokoh agama termasuk berjawatan mufti, bahawa roh dan jasadnya bersama Umno. Paling malang dan menjadi lebai malang ialah kalangan yang jahilnya murakkab, tidak mengenali ilmu usul feqah dan maqasid syariah. Pas tetap berpegang kepada ajaran Islam yang tidak memisahkan politik daripada agama Islam walaupun politik tidak termasuk dalam rukun Islam seperti ibadah haji dan tidak termasuk rukun iman. Begitulah juga wajibnya menutup aurat dan menjelaskan hutang sesama manusia, perkara ini tetap wajib ditunaikan serta-merta, walaupun tidak dimasukkan secara sebutan dalam rukun Islam. Para ulama menegaskan bahawa perkara-perkara yang tidak disebut dalam rukun itu, tetap termasuk dalam rukun pertama dua kalimah syahadah dan tidak boleh dipisahkan daripada mana-mana rukun iman. Dalam perkara wajib, para ulama usul fiqh bukan sahaja membahagikan kepada fardu ain dan fardu kifayah. Perkara wajib juga dibahagikan dari segi kesesuaian kadar waktu menunaikannya, sama ada wajib disegerakan, tidak boleh ditangguh, yang dinamakan wajib mudoyyaq seperti puasa ramadhan dan sembahyang diakhir waktu. Ada juga wajib yang boleh ditangguh kerana luas waktunya dan tidak berdosa menangguhkannya seperti haji dan sembahyang wajib yang lama masanya diawal waktu. Perkara ini dinamakan wajib muwassaa. Apabila bertembung dua perkara yang sama wajibnya, maka didahulukan kepada menunaikan wajib mudoyyaq seperti wanita kematian suami yang wajib menunaikan idah berada di rumah dalam masa beberapa bulan yang ditetapkan oleh al-Quran, dalam masa yang sama dia berharta dan mampu menunaikan haji kali pertama yang wajib dan menjadi rukun Islam. Hukumnya hendaklah menunaikan idahnya terlebih dahulu, wajib berada di rumah kerana wajibnya mudoyyaq dan menangguhkan haji kerana wajibnya muwassa. Walaupun perkara idah tidak termasuk dalam rukun Islam. Begitu juga dengan seseorang yang cukup duitnya menunaikan haji, dalam masa yang sama dia berhutang dan diminta membayar segera, maka hendaklah membayar hutangnya terlebih dahulu atau keluarga wajib diberi nafkah, maka tunaikan nafkah dengan cukup terlebih diutamakan walaupun perkara-perkara tersebut tidak termasuk dalam rukun Islam. Rasulullah SAW menangguhkan ibadat hajinya walaupun diwajibkan lebih awal, ada kalangan ulama yang menyatakan sejak zaman Nabi Adam. Ada yang menyatakan sejak zaman Nabi Ibrahim dan ada yang menyatakan ditahun ketujuh hijrah. Rasulullah SAW membebaskan Makkah (Fathul Makkah) daripada Jahiliyyah terlebih dahulu daripada menunaikan haji dan menghadapi qabilah Hawazin dalam peperangan Hunain. Walaupun banyak harta dan bekalan berada dalam tangan melimpah ruah dan sudah masuk bulan syawal (bulan haji), namun terus pulang ke Madinah tanpa menunaikan haji. Rasulullah SAW menugaskan sahabatnya Abu Bakar R.A supaya memimpin umat Islam menunaikan haji pada tahun kesembilan hijrah. Adapun Rasulullah SAW menangguhkan haji sehingga tahun ke-10 hijrah, sebelum sedikit kewafatan baginda. Para ulama menegaskan bahawa wajib haji adalah muwassa, boleh ditangguh dan Rasulullah SAW mendahulukan urusan politik negaranya dengan menerima rombongan yang datang menyerah diri masuk Islam atau sedia berdamai. Dalam peristiwa Hudaibiyah pula, Rasulullah dan para sahabat telah memakai pakaian ihram bagi menunaikan umrah. Tiba-tiba dihalang memasuki Makkah dan berakhir dengan perjanjian Hudaibiyah yang salah satu syaratnya menangguhkan umrah. Maka ditangguhkan umrah dan dibayar dam(denda) tanpa menunaikan umrah pada tahun tersebut. Umrah ditangguh kerana perjanjian Hudaibiyah memberi kemenangan politik yang tidak boleh ditangguhkan. Kepada Pas, pilihanraya adalah amalan politik yang menjadi hak memilih pemimpin dan kerajaan. Politik adalah sebahagian daripada ajaran Islam, walaupun pilihanraya itu dikatakan asalnya dari Barat. Pasport dan visa haji juga berasal daripada Barat, kedua-duanya tidak termasuk dalam syarat dan rukun haji. Para ulama usul Fiqh menetapkan kaedah bahawa perkara yang menjadi halangan menunaikan yang wajib kalau tidak melakukannya menjadi wajib juga. Begitulah pilihanraya adalah cara memilih pemimpin dan kerajaan yang menjadi perkara wajib mengikut semua mazhab Islam dengan nas dan ijmak kecuali mazhab yang sesat. Al-Quran menyebut ayat-ayat yang banyak dalam beberapa surah menunjukkan memilih pemimpin dan kerajaan adalah perkara yang akan dihisab pada hari qiamat nanti. Amaran ini berulang kali lebih banyak daripada ayat haji dan umrah. Pas tetap mendidik ahli dan penyokongnya bahawa politik tidak boleh dipisahkan daripada agama Islam, laksana tidak boleh dipisahkan kepala dengan badan. Imam Al Ghazali seorang tokoh ulama tasawuf juga menegaskan, "agama adalah asas, kuasa pemerintahan(politik) adalah pengawas. Kalau tidak ada asas runtuh, kalau tidak ada pengawas, hilang tercicir". Maka banyak hukum-hakam Islam dihilangkan kerana politik Islam ditinggalkan. Almarhum Syed Alawi Al Haddad, Mufti Kerajaan Johor ditahun 50-an menyatakan dalam fatwanya yang diterbitkan berkenaan kewajipan pilihanraya dan parti mana yang wajib dipilih. Kepada imam-iman yang masih kuat menyokong Umno di Johor, sila cari buku fatwa ini. Pas yang bersama Pakatan Rakyat, sekiranya diberi kuasa memerintah negara tidak mengizinkan musim haji menafikan hak rakyat menunaikan kewajipan politik ini tanpa mengira menang atau kalah kerana hak politik adalah amanah besar dalam ajaran Islam. Rasulullah SAW menegaskan bahawa menghilangkan amanah ini menjadi salah satu sebab berlakunya kiamat yang menamatkan alam dunia dengan kehancurannya. Akhirnya percayalah bahawa diam lebih baik daripada bercakap kejahilan kerana bercakap dalam perkara yang tidak diketahui mendedahkan kebodohan diri sendiri. Beginilah jadinya apabila lesen memandu dijual, boleh membawa kemalangan. Kalau tauliah ilmu juga boleh dijual beli dengan harta dan pangkat, boleh menyesatkan orang ramai. Namun cahaya ilmu Islam pasti bersuluh dan dipelihara ALLAH. Sesuapa yang mengkhianati ilmu Islam pasti tersungkur akhirnya. Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Presiden Pas | |||
Jerebu: Jabatan Pesakit Luar tingkat operasi Posted: 16 Jun 2012 04:18 PM PDT SINAR HARIAN KUANTAN - Jabatan Pesakit Luar di hospital kerajaan diminta supaya meningkatkan perkhidmatan dan operasi mereka kerana pesakit yang mempunyai masalah respiratori dan mata dijangka meningkat dalam keadaan cuaca berjerebu sekarang. Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, cuaca yang berjerebu kebiasaannya akan memberi kesan kepada pesakit yang mengalami masalah pernafasan dan mata. "Memang kebiasaan apabila cuaca berjerebu, pesakit yang mempunyai masalah pernafasan dan kes respiratori akan meningkat. Justeru Jabatan Pesakit Luar perlu lebih bersedia dengan situasi ini dan memberikan bantuan yang lebih cepat bagi membantu pesakit-pesakit berkenaan," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan kenderaan ambulans kepada Jabatan Kesihatan Negeri Pahang di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini hari ini. Turut hadir ialah Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Nooraini Baba. Liow turut menasihati orang ramai khususnya yang mempunyai masalah pernafasan agar mengurangkan aktiviti luar, minum lebih banyak air dan memakai penutup mulut sekiranya berada di luar rumah. "Kita juga sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar bagi memantau situasi jerebu dan akan memaklumkan kepada orang ramai mengenai Indeks Pencemaran Udara dari semasa ke semasa," katanya. Dalam pada itu, beliau berkata dalam usaha meningkatkan perkhidmatan kecemasan, Kementerian Kesihatan telah meningkatkan waktu maklum balas untuk setiap kes kecemasan kepada 15 minit daripada 30 minit. Justeru katanya pihaknya akan menambah bilangan ambulans dari 1,861 buah kepada 2,500 buah menjelang tahun depan bagi mencapai hasrat tersebut. "Buat masa ini kita telah menambah sebanyak 300 ambulans di seluruh negara manakala untuk negeri Pahang kita serahkan sebanyak lapan buah ambulans tahun ini," katanya. Dr Nooraini dalam ucapannya berkata ambulans yang diterima itu akan ditempatkan di Klinik Kesihatan (KK) Ulu Gali, Raub; KK Bukit Mendi dan Triang, Bera; KK Padang Rumbia, Pekan; KK Jengka 2, Maran; KK Balok, Kuantan; Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh dan HTAA, Kuantan. - Bernama | |||
Dinar, dirham Kelantan tarik perhatian Pakistan Posted: 16 Jun 2012 04:14 PM PDT SINAR HARIAN KOTA BHARU - Kejayaan Kerajaan Negeri Kelantan memperkenalkan mata wang syariah dinar dan dirham bercirikan hologram iaitu yang pertama di dunia menarik perhatian Pakistan. Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa berkata, selaras dengan itu negara tersebut akan memeterai perjanjian dengan negeri ini bagi membantu mereka mengeluarkan dinar dan dirham sendiri. "Esok kita akan mengadakan sidang media berkaitan perkara tersebut dan berharap ia akan berjalan lancar," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Majlis Perasmian Ekspo Perdagangan Dunia Islam dan Konvensyen Halal Berasaskan Dinar dan Dirham di Stadium Sultan Muhammad IV di sini, semalam. Turut hadir pada majlis tersebut ialah, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang merasmikannya dan Gabenor Wilayah Qom Iran, Mohamed Hussien. Menurutnya, selain itu ekspo yang diadakan memberi peluang Kelantan memperkenalkan penggunakan dinar dan dirham ke peringkat antarabangsa apabila ia turut disertai oleh beberapa negara lain seperti Iran, Indonesia, Turki, China dan beberapa negara lain lagi. Husam berkata, melihat kepada sambutan yang diberikan oleh negara-negara lain ia membuatkan Kerajaan Kelantan merasakan mereka tidak bersendiri. Beliau berkata, Kelantan boleh berkembang dari segi ekonomi dan apa yang dilakukan ini merupakan kesinambungan daripada ekspo Cheng Ho yang diadakan sebelum ini. Sementara itu, Nik Abdul Aziz mengajak negara-negara Islam bersatu bagi menghasilkan ciptaan canggih setaraf dengan negara barat bagi mengembalikan semula kegemilangan di zaman saintis-saintis Islam. "Kebiasaannya kita sudah lihat banyak produk makanan yang dihasilkan kenapa tidak kali ini kita bergabung dan mencipa alatan canggih pula. "Saya yakin ia tidak mustahil kerana umat Islam terdiri daripada pelbagai bangsa dan budaya di mana ia akan menjadi kelebihan kepada kita semua," katanya memberikan cadangan semasa menyampaikan ucapan perasmian. | |||
Filem karya orang cacat pendengaran akan ditayang di KL Posted: 16 Jun 2012 04:12 PM PDT SINAR HARIAN NEW DELHI - Sepuluh filem yang dihasilkan golongan cacat pendengaran dari India dan Malaysia akan ditayang pada Festival Filem Pekak Malaysia/India di Kuala Lumpur pada 15 Julai. Delegasi 17 anggota dari India, termasuk enam peserta dari Coimbatore, akan mengambil bahagian pada festival filem itu sempena sambutan ulang tahun ke-15 Persekutuan Orang Pekak Malaysia, demikian dilaporkan akhbar The Hindu di sini, hari ini. Anggota Deaf Empowerment Activities For Literacy Education Accessible Development Employment Rehabilitation and Sports (DEAF LEADERS), Coimbatore, turut menyertai delegasi itu, kata akhbar berkenaan. - Bernama |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan