DIALOG RAKYAT |
- 'Tisu gagah' berbahaya
- Peruntukan Geran Selangorku diragui
- Tidak boleh tangguh haji kerana pilihan raya
- Jerebu: Putrajaya antara 8 kawasan catat IPU tinggi
- PRU13 Selepas Aidilfitri Sebelum Musim Haji
- Khalid Samad:Tabung Haji Juga Tangguh Jamaah Haji Ke Makkah
- Suaram: Pegawai Kanan Abdul Razak Baginda Akan Beri Keterangan Kes Scorpene
- Nizar Jamaluddin Tidak Perlu Layan Isu Plat Kereta
- Penantian 40 Tahun Berakhir Hari Ini
- Akaun Anwar Akaun Muhy!
- SENIMAN terus bergolak & berpecah!
- DBKL Akan Senaraihitam Pesalah Trafik Liat Bayar Kompaun
- Dua Syarat Tambahan Perlu Dipatuhi Lynas Untuk Dapatkan TOL
- Negara dilanda jerebu
- Keputusan kes Umno saman Pas 20 Julai
- 'Kenyataan tidak bertanggungjawab'
- Annuar fail saman, cabar keputusan FAM
Posted: 16 Jun 2012 02:37 AM PDT IPOH – Bukan sekadar tisu biasa, penggunaannya yang dipercayai boleh tampil hebat di ranjang boleh juga menjadi punca lelaki mengalami masalah mati pucuk dan bengkak saraf. Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Penguatkuasa Farmasi, Mazlan Ismail berkata, tisu yang di seludup dari Indonesia dan China itu dikesan mengandungikimia Benzocaine, Lidnocaine dan Anastetic yang digunakan sebagai ubat bius dalam pembedahan. Menurutnya, tisu yang boleh dibeli semurah RM3 setiap bungkus itu mengakibatkan alat kelamin rasa kebas selepas disapu tisu berkenaan. "Ramai yang menyangka ia dihasilkan dengan ekstrak tumbuh-tumbuhan berikutan kandungan kimia tidak dinyatakan pada bungkusan produk. Maklumat palsu juga disebarkan mendakwa tisu ini juga mempunyai kebaikan untuk mencegah penularan penyakit kelamin seperti siplis, gonorrhea dan Aids," katanya. Mazlan berkata, pihaknya telah merampas sejumlah tisu itu ketika melakukan pemeriksaan mengejut di sebuah kedai ubat di Sungai Siput. "Kandungan tisu ini mempunyai banyak bahan kimia keras dan kimia perosak menjadi punca urat saraf lelaki rosak seterusnya akan mati pucuk jika disapu berterusan. "Orang ramai dinasihatkan tidak mudah percaya terhadap produk rangsangan seks sebaliknya mendapatkan khidmat nasihat doktor terlebih dahulu," katanya. | ||
Peruntukan Geran Selangorku diragui Posted: 16 Jun 2012 02:34 AM PDT SHAH ALAM - Peruntukan Geran Selangorku bernilai RM300 juta disediakan oleh Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Pakatan Rakyat (PR) didakwa tidak mengikut prosedur yang ditetapkan. Bekas Menteri Besar, Dr Mohamad Khir Toyo mendakwa, peruntukan tersebut dilakukan tanpa merujuk kepada Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri. "Mengikut prosedur, setiap peruntukan Kerajaan Negeri, ia perlu melalui pegawai kewangan negeri. Bagaimanapun, saya dimaklumkan mereka tidak ikut kelulusan tersebut, sebaliknya, ia berdasarkan keputusan menteri besar saja. "Malah, pegawai kewangan yang telah dilatih untuk menyelia kewangan negeri tidak terlibat langsung dalam peruntukan tersebut," katanya ketika kepada Sinar Harian, semalam. Dr Khir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Panjang berkata, jika proses itu tidak dipatuhi, beliau khuatir peruntukan tersebut boleh disalah guna untuk tujuan politik tertentu. Beliau turut mendakwa, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menggunakan peruntukan itu untuk mengukuhkan kedudukannya dalam Selangor kerana Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ijok itu tidak mempunyai jawatan dalam PKR. April lalu, menerusi tulisannya di blog www.drkhir.com, beliau berkata, berdasarkan carta aliran pemberian geran itu, Abdul Khalid berkuasa secara berseorangan untuk memutuskan siapa yang mendapat kontrak. Dr Khir berkata, senarai Jawatankuasa Pengurusan Geran Selangorku itu juga sebahagian besarnya dianggotai oleh pegawai Abdul Khalid di pejabat menteri besar dan Perbadanan Menteri Besar (MBI). Pada 26 Mac lalu, bekas Exco Kerajaan Negeri, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali mempersoalkan dana RM300 juta di bawah Geran Selangorku yang dikatakan tidak direkodkan di dalam akaun MBI. Menurutnya, keadaan itu menimbulkan keraguan tentang bagaimana program-program di bawah geran tersebut dilaksanakan sekiranya dana berkenaan tidak diletakkan di bawah akaun MBI. Dalam perkembangan lain, Dr Khir turut menafikan dakwaan Umno Selangor terlibat dalam cubaan membeli wakil rakyat PR sebelum ini, sebaliknya beliau mendakwa, kenyataan itu merupakan helah untuk memburuk-burukkan mereka. "Zamil Ibrahim sebelum masuk Kita (Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air) adalah orang PKR dan tidak pernah terlibat dengan Umno. Saya pun tak faham kenapa orang bukan Umno terlibat dalam beli wakil rakyat PR," katanya. Kelmarin, pembangkang menunjukkan rakaman daripada kamera litar tertutup (CCTV) yang mengandungi perbincangan antara lima orang di sebuah restoran di sekitar Lembah Klang, setahun lalu. Pertemuan itu melibatkan dua wakil Ahli Parlimen PR dan dua ejen mewakili Barisan Nasional (BN) serta seorang pemandu kepada ejen. Mereka dikatakan membuat tawaran bernilai RM2 juta sekiranya Ahli Parlimen PR keluar parti. | ||
Tidak boleh tangguh haji kerana pilihan raya Posted: 16 Jun 2012 02:30 AM PDT SHAH ALAM – Ibadat haji yang merupakan Rukun Islam kelima wajib dilaksanakan bagi mereka yang mencukupi syarat dan ia tidak boleh ditangguhkan hanya kerana pilihan raya. Pilihan raya bukanlah syarat ibadat haji perlu ditangguhkan kerana syarat menetapkan dalam menunaikan ibadat haji boleh ditangguhkan dan dikecualikan antaranya disebabkan sakit dan keadaan tidak aman. Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, haji wajib bagi umat Islam yang berkemampuan seperti ada bekalan sepanjang berada di sana, tahap keselamatan yang baik dan tidak berada dalam keadaan nyawa terancam. Menurutnya, bakal jemaah haji juga perlu mampu menyediakan bekalan dan nafkah yang mencukupi kepada ahli keluarganya yang ditinggalkan. "Umat Islam yang mencukupi syarat wajib haji perlu menunaikan ibadah haji kerana sekiranya ditangguhkan, ditakdirkan bakal haji meninggal dunia pada waktu tersebut, kematian itu dalam keadaan seorang Yahudi atau Nasara," katanya kepada Sinar Harian, semalam. Beliau berkata demikian mengulas mengenai kenyataan Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang mahu ahlinya (Pas) menangguhkan niat mereka menunaikan haji pada tahun ini bagi memfokuskan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13). Harussani berkata, perkara itu disebutkan dalam salah satu hadis Nabi Muhammad SAW. "Ia disebutkan dalam hadis dan menunjukkan kematian dalam keadaan sedemikian cukup berat. Jika kita meninggal dunia dalam keadaan mati seorang Yahudi atau Nasara, maka kematian tersebut dalam keadaan dosa besar," katanya. Dalam perkembangan yang sama, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam satu kenyataannya berkata, haji bukan ibadah yang perlu disegerakan dan meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya memberikan jaminan tidak akan mengadakan pilihan raya pada musim haji kerana ibadat itu sangat penting bagi umat Islam. Harussani berkata, kita tidak boleh menyatakan hukum pergi haji tidak perlu terburu- buru dan boleh ditangguhkan kerana sesiapa yang cukup syarat, maka wajib mereka menunaikan ibadat haji. | ||
Jerebu: Putrajaya antara 8 kawasan catat IPU tinggi Posted: 16 Jun 2012 02:26 AM PDT SINAR HARIAN IPU yang dicatat di Wilayah Persekutuan Putrajaya pada 11 pagi tadi ialah 101. Kawasan lain yang mencatat IPU tertinggi ialah Pelabuhan Klang (142), Petaling Jaya (131), Shah Alam (130), Banting (120), Kuala Selangor (101) di Selangor serta Cheras (133) dan Batu Muda (128) di sini. Menurut laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS), www.doe.gov.my, jumlah kawasan yang mencatat kualiti udara tidak sihat meningkat kepada lapan berbanding tujuh kawasan pada 7 pagi ini. Sebanyak 31 kawasan dari 51 stesen pengawasan kualiti udara JAS di seluruh negara pula mencatat bacaan IPU sederhana termasuk di Nilai, Negeri Sembilan dengan bacaan 100, manakala 11 lagi kawasan mencatat bacaan IPU baik. Bacaan IPU 0-50 diklasifikasi sebagai baik, 50-100 (sederhana), 101-200 (tidak sihat), 201-300 (sangat tidak sihat) dan 301 ke atas (berbahaya). Kemerosotan kualiti udara yang dialami di Lembah Klang ketika ini disebabkan pencemaran jerebu merentas sempadan dari Sumatera, Indonesia. - Bernama | ||
PRU13 Selepas Aidilfitri Sebelum Musim Haji Posted: 16 Jun 2012 02:15 AM PDT KELAB GREENBOC Shah Alam - Spekulasi tarikh Pilihan Raya Umum ke -13 (PRU13) berterusan! Sementara bulan Ramadan akan bermula dalam lima minggu manakala Bajet 2013 pula akan dibentangkan akhir September ini, spekulasi sebelum ini bahawa PRU kemungkinan besar dipanggil awal bulan depan dilihat 'terpaksa' dilupakan banyak pihak. Ahli-ahli politik, pemerhati dan anggota panel Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai pertimbangan dan perkiraan sendiri mengapa tarikh PRU13 sebelum Ramadan hanya tinggal ramalan. Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar berkata, mengambil kira perkembangan sejak kebelakangan ke arah persiapan mengadakan pilihanraya, pihaknya memerlukan masa dalam lingkungan sebulan untuk menuju hari pengundian. Sehubungan itu, beliau mengakui bahawa jika hari pengundian PRU13 mahu diadakan sebelum bermulanya Ramadan, Parlimen sewajarnya dibubarkan dalam beberapa hari. "Nampak gaya begitulah (tidak mungkin pilihan raya sebelum Ramadan)," kata beliau ketika ditanya sama ada SPR mempunyai masa yang selesa untuk memanggil pilihan raya jika Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun) tidak dibubarkan awal minggu depan. Sebelum ini, beliau pernah memberitahu Sinar Harian Online bahawa SPR akan selesai 99.9 peratus persiapan mengadakan pilihan raya pada akhir bulan ini. Taklimat pusingan kedua kepada pengurus pilihan raya akan selesai awal minggu akhir bulan ini. "Kita tidak tahu bila Parlimen akan dibubarkan, tetapi apabila Parlimen dibubarkan, kami memerlukan masa untuk menyelesaikan siri proses ke arah pengundian," katanya. Kerja-kerja itu termasuklah mengemaskinikan daftar pemilih, yang akan dihantar ke seluruh negara; menyediakan writ dan notis pilihan raya, memanggil mesyuarat khas yang akan menetapkan tarikh penamaan calon, menyediakan kertas undi termasuk bagi pengundian pos dan awal serta normal, dan menentukan hari mengundi. Apabila Perdana Menteri mengumumkan pembubaran Parlimen, menjadi tanggungjawab SPR dalam menetapkan tarikh-tarikh berkaitan dengan pilihan raya iaitu tarikh keluar writ dan notis, hari penamaan calon, tempoh berkempen dan hari pengundian. SPR diperuntukkan 60 hari untuk memanggil pilihan raya jika Parlimen dan Dun dibubarkan. Wan Ahmad berkata, proses-proses itu memerlukan masa antara tiga hingga empat minggu. Bulan Ramadan akan bermula pada 20 atau 21 Julai iaitu Jumaat atau Sabtu. Jika mengikut tradisi hari pengundian PRU ditetapkan Sabtu atau Ahad, pengundian PRU13 perlu dilangsungkan pada 14 atau 15 Julai supaya pengundi beragama Islam membuat persiapan menyambut Ramadan pada minggu berikutnya. Jika mengambil kira kemungkinan itu, bagi membolehkan SPR mengadakan hari pengundian pada 14 atau 15 Julai, Parlimen perlu dibubarkan Isnin atau Selasa ini. Parlimen juga sedang bersidang sekarang. "Apa pun, sama ada hendak bubar Parlimen atau tidak, itu adalah hak Perdana Menteri. Jika dibubarkan, kami akan mengadakan pilihan raya dalam tempoh 60 hari bermula daripada tarikh kekosongan (Parlimen)," kata Wan Ahmad lagi. Mengambil kira keadaan itu, Pengarah Eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Suffian juga mengakui bahawa spekulasi bahawa PRU13 akan berlangsung awal bulan depan akan meleset sekali lagi. "Setakat ini pun saya tidak nampak apa-apa 'keghairahan akan ada PRU dalam beberapa minggu ini. Nampak gaya, kita kena menunggu sehingga selepas Aidilfitri," katanya lagi. Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pembubaran Parlimen "adalah keputusan politik" yang hanya akan diputuskan oleh Perdana Menteri dengan mengambil kira pelbagai faktor yang beliau rasakan sesuai. "Sebagaimana saya telah katakan sebelum ini, ia keputusan politik. Parlimen boleh dibubarkan bila-bila masa, sekarang, bulan depan ataupun sebagainya. Tiada halangan kepada Perdana Menteri dalam undang-undang," katanya lagi. "Pastinya beliau akan mengambil kira sama ada kesemua agenda dan program sudah dilaksanakan ataupun belum. Jika beliau merasakan sesuai, beliau boleh membubarkan," kata Ahli Parlimen ini. Sehubungan itu katanya, mengambil kira perkembangan dalam masa lima minggu akan datang, "satu-satunya halangan yang ada hanyalah bulan Ramadan." "Masyarakat Islam, orang Melayu tidak mahu pilihan raya diadakan pada bulan Ramadan. Sambutan Gawai dan Pesta Kaamatan baru selesai, sekarang bulan Ramadan," katanya. -SH Ulasan GB Kemungkinan bersar PRU diadakan selepas Aiditfitri tetapi sebelum masuk musim haji iaitu di dalam lingkungan bulan September. | ||
Khalid Samad:Tabung Haji Juga Tangguh Jamaah Haji Ke Makkah Posted: 16 Jun 2012 02:05 AM PDT SHAH ALAM: Isu menangguhkan ibadat haji tidak seharusnya dijadikan isu besar kerana selama ini pun Lembaga Tabung Haji dan kerajaan Arab Saudi juga turut menangguhkan pemergian jamaah haji ke Makkah berikutan koata yang diberikan amat terhad. MP Shah Alam, Khalid Samad berkata ilmuan agama disaran supaya mendengar dan meneliti semua hujah yang dikeluarkan sebelum membuat tafsiran atau sebarang hukum berhubung isu pengguhan ibadah Haji sekiranya Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) ketika musim Haji. Beliau dalam temuramah khas dalam program terus terang terbitan TV Selangor menegaskan, hasrat yang disuarakan oleh Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man supaya kerajaan tidak mengadakan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) ketika musim haji merupakan cadangan yang disokong oleh pihak lain. Menurutnya, soal memilih pemimpin dan pemerintah merupakan satu perkara yang terkandung dalam agama Islam dan bukannya bersifat duniawi. Katanya, sekiranya Umno-BN benar-benar menghormati suara orang Islam, perkara ini perlu diberikan perhatian serius dan bukannya diputar-belitkan. "Pilihanraya ini bagi PAS satu perkara yang amat penting kerana ianya masa bagi menentukan pemimpin dan pemerintah kepada masa depan negara dan umat Islam itu sendiri. "Ini merupakan satu perkara yang tidak boleh dipandang remeh dan kita pisahkan sebagai tanggungjawab keagamaan kita," katanya Tegasnya, PAS sejak dahulu sehingga kini kekal dengan pendirian bahawa agama dan politik tidak boleh dipisahkan. Khalid yang juga AJK Tertinggi Pas Pusat menambah, meskipun tidak berada dalam sausana menjelang pilihanraya, umat Islam yang berkemampuan juga terpaksa menagguhkan hasrat mengadakan ibadat haji ekoran sisitem kuota yang selama ini diamalkan oleh kerajaan menerusi Tabung Haji serta kerajaan Arab Saudi. Sebelum ini, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendakwa Umno-BN akan menafikan hak sebahagian besar rakyat jika mengadakan PRU-13 pada musim haji tahun ini. Hadi menyatakan, hanya segelintir umat Islam yang dapat membezakan di antara wajib mudayyak yang tidak boleh ditangguh dan wajib muwassaa yang boleh ditangguh. Abdul Hadi berkata, Umno yang memisahkan politik daripada agama tidak peduli kepada musim haji yang menafikan hak sebahagian besar rakyat, kerana kaedahnya wajib menang dengan apa cara sekali pun. | ||
Suaram: Pegawai Kanan Abdul Razak Baginda Akan Beri Keterangan Kes Scorpene Posted: 16 Jun 2012 01:58 AM PDT PETALING JAYA: Seorang bekas pegawai kanan Abdul Razak Baginda, akan tampil di mahkamah Perancis bagi memberikan keterangan berhubung skandal pembelian kapal selam Scorpene. Jasbir Singh Chahl, yang merupakan pegawai Perimekar, sebuah syarikat kepunyaan Abdul Razak, telah disapina oleh mahkamah negara itu supaya hadir untuk memberi keterangan. Pengarah SUARAM Cynthia Gabriel berkata Jasbir mempunyai banyak maklumat untuk dikongsikan dan beliau telah sahkan kehadiran beliau pada pendengaran kes tersebut. Pengumuman ini yang dibuat di Majlis Makan Malam Kutipan Dana Ops Scorpene semalam, disambut dengan sorakan dan tepukan gemuruh hadirin. Jasbir merupakan antara saksi yang disenaraikan oleh Suaram untuk disapina oleh mahkamah Perancis bagi kes Scorpene yang akan dibicarakan di negara tersebut. Saksi lain yang telah dipanggil oleh mahkamah tersebut adalah Menteri Pertahanan Datuk Seri Zahid Hamidi dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Abdul Razak yang merupakan bekas pembantu kanan Najib, turut dipanggil mahkamah tersebut. Turut tersenarai adalah Bapa mendiang juru bahasa Altantuya Shaaribu, Dr Setev Shaaribu, pengarah pengurusan Boustead Tan Sri Lodin Wok Kamarudin, penyiasat persendirian, P.Balasubramaniam dan isteri Abdul Razak, Mazlinda. Cynthia turut memberitahu, walaupun pihaknya menghadapi pelbagai rintangan untuk membawakan kes ini di Mahkamah Perancis, tetapi ianya semakin berjalan lancar. Beliau juga berkata walaupun kes ini cuba disisihkan oleh media pro-Umno-BN, ia semakin mendapat liputan meluas di seluruh dunia. Makan malam di Dewan Sivik Majlis Perbandaran Petaling Jaya itu juga dihadiri beberapa Ahli Parlimen termasuk Tony Pua, Nurul Izzah Anwar dan Sivarasa Rasiah. Juga hadir Timbalan Presiden Pas Mohamad Sabu dan ADUN Kota Damansara Dr Nasir Hashim. Di dalam ucapannya, Tony menyelar sikap menteri Umno-BN yang tidak mahu menjawab soalan berkaitan skandal ini di Parlimen dengan alasan dokumen berkaitan kes itu di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA). "Di Parlimen tak boleh dedahkan kononnya dokumen sulit itu tertakluk di bawah OSA, tetapi bila jual pada firma negara asing RM142 juta, 'kaw tim'," kata beliau. Sebelum ini, seorang peguam Perancis, Joseph Breham, mendedahkan dokumen sulit Tentera Laut Diraja Malaysia dijual kepada syarikat pembina kapal Perancis, DCNS. Dokumen tersebut didakwa dijual dengan harga RM 142 juta oleh oleh syarikat Terasasi (Hong Kong) Limited yang dimiliki oleh Abdul Razak dan bapanya, Abdul Malim Baginda. Sementara itu, Makan Malam tersebut berjaya mengumpul RM 200,000 bagi membiayai perbelanjaan pengurusan kes itu di Perancis. Jumlah tersebut diperolehi dari hasil jualan tiket bagi setiap meja makan yang bernilai dari RM10,000 hingga RM1,000, lelongan kemeja-t bertandatangan Cynthia dan lakaran kartun oleh kartunis terkenal, Zunar. Sebanyak 10 helai kemeja-t bertandatangan itu dilelong dengan format 'tender terbuka' dengan bidaan tertinggi bernilai RM2,000 sehelai. Lelongan lakaran kartun yang memaparkan kapal selam scorpene membawa 'rakyat Malaysia' sambil memegang 'C4′ dan sedang cuba merempuh lelaki berlabel 'Najib' pula telah mendapat bidaan tertinggi bernilai RM5,000. | ||
Nizar Jamaluddin Tidak Perlu Layan Isu Plat Kereta Posted: 16 Jun 2012 01:54 AM PDT Mulanya saya malas ulas dan sentuh mengenai isu plat kereta WWW 1 yang membabitkan bekas MB Perak setahun Nizar Jamaluddin dengan sultan Johor. Kepada saya isu itu remeh temeh dan bukan pun membangun politik negara. Jauh sekali untuk membangun minda rakyat negara ini. Sepatutnya isu seperti itu tidak dimasuk pun dalam kepala.
Isunya Nizar dikatakan menulis dalam twitternya yang plat itu dibida dengan menggunakan wang rakyat. Pihak sultan menjelaskan ia dibida dengan wang sendiri. Nizar minta maaf atas salah tulis dan salah tafsirkan itu. Ia kecil saja. Isu seperti ini tidak menjadi isu pun bagi politik Barat. Tetapi kerana ada penyamun yang hendak menyamun isu menerusi isu itu ia diperpanjangkan. Bangkitlah rakyat yang angkat sepanduk mempertahankan sultan mereka. Yang mempertahankan sultan mereka. Yang membela sultan mereka. Baguslah. Bersungguhnya seolah-olah maruah sultan mereka sudah tercemar. Tetapi lucunya mereka bangkit begitu sekali kerana isu plat kereta. Masa isu pulau Batu Putih, isu penjulan pasir ke Singapura, isu Jambatan Bangkok mereka tidak pun bangkit pegang lembing dan kayu untuk mempertahankan sultan mereka, mempertahankan maruah Johor yang melambak ke bumi itu. Budak kecil pun tahu dan merasa lucu dengan apa yang dilakukan oleh panglima pembela sultan. Dituduh Nizar derhaka kepada sultan mereka. Apa derhakanya? Menterjemahkan erti dan makna perbuatan derhaka pun nampaknya kurang tepat. Biarlah itu sikap dan pendirian orang Johor yang berani. Cuma saya hendak sebut kepada Nizar lain kali tidak usah gatal mulut lah soal sultan dan raja-raja ini. Zaman ini mana ada lagi zaman Mufti berani tegur sultan. Mufti yang berani kerana benar sudah pun tidak ada lagi. Jadi bila Mufti sendiri menjadi batang pisang kepada raja jangan pula kita pandai-panai hendak jadi batang balak kepada sultan. Isu lain masih banyak kalau hendak dicakapkan soal pembaziran. Cuba selidik dan kaji. Jangan soal sultan dan raja-raja. Mereka kebal dan zaman ini ramai orang hendak berlindung di sebalik kekebalan. Sejuta kali benar dan betul pun yang Nizar kata ia tidak akan menjadi benar dan betul. Saya lihat bekas MB Perak setahun ini semacam tidak berapa bijak dalam politik. Kurang bijaksana dan kurang daya politiking. Beliau yuang berada dalam sistem politik sekular harus tahu. Bahawa dalam politik sekular tiada kebenaran, tidak ada kejujuran dan tidak ada ketulusan. Kejujuran, niat baik kita pun akan dieksploitasikan menjadi isu dan dijadikan modal untuk membalun kita. Dalam hal plat kereta itu Nizar sudah pun merasai di mana kejujuran dan niat baiknya telah memakan dirinya. Semoga beliau insaf dan selepas ini gam terus soal-soal sultan dan raja dari perbicaraan politiknya. Begitu juga hasrat nak jumpa sultan Johor dan mohon maaf rasanya tidak perlu. Lagipun raja tidak menjawab surat permohonannya. Kalau sultan tidak hendak jumpa diamkan saja, jangan kita mengada-ngada hendak tunjuk berani. Silap hari bulan keberanian dan ketulusan itu akan memarahkan lagi diri kita. Nizar harus belajar dari kesilapan lalu untuk memulihkan reputasinya dalam politik. Gara-gara telah melakukan sembah derhaka kepada sultan Perak - walau pun istilah itu ada Nizar dianggap derhaka. Parahnya konotasi dan erti derhaka atau tidak itu bukan ditentukan oleh raja dan sultan tetapi mereka yang mencari perlindungan dari istana | ||
Penantian 40 Tahun Berakhir Hari Ini Posted: 15 Jun 2012 05:01 PM PDT KLANG : Hasrat 125 penduduk di Kampung Keretapi, di sini untuk memiliki geran tanah setelah menunggu lebih 40 tahun kini menjadi kenyataan. Penderitaan penduduk itu mendapat perhatian Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor setelah sekian lama hak mereka dinafikan Kerajaan Umno-BN dahulu. Penduduk mendakwa sebelum ini, pemimpin-pemimpin Umno-BN dahulu yang bertukar ganti sering berjanji untuk memberi hak milik menjelang pilihanraya. Tetapi apabila pilihanraya berlepas, janji itu tidak ditunaikan. Pengerusi penduduk, Redzuan Dahlan, 63, berkata rata-rata penduduk di kampung terbabit merupakan peneroka asal sejak tahun 1973.Sebelum ini katanya, kebanyakkan penduduk memberi kepercayaan penuh kepada pentadbiran Umno-BN lalu. Tetapi kini tidak lagi. "Kami mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana membantu penduduk. Kami penduduk sangat terharu dan gembira dengan pemberian ini," katanya ketika ditemui. Walaupun sangat teruja, beliau juga berasa sedih. Ramai penduduk kampung yang sudah lama mengejarkan tanah itu tidak sempat menikmati keistimewaan hari ini kerana sudah meninggal dunia. Majlis Penyerahan Geran Hak Milik itu di sampaikan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Hadir sama Exco-exco Kerajaan Negeri, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Khusrin Munawi, Adun Meru, Dr Rani Osman dan MP Kapar, S Manikavasagam. Turut disampaikan dalam Majlis Program Terima Kasih Rakyat Daerah Klang itu ialah kelulusan Lesen Menduduki Sementara (TOL) kepada penduduk Jalan Kenangan dan Jalan Benteng. Abdul Khalid juga menyerahkan sijil Skim Pinjaman ASB negeri dan menyampaikan bantuan pendidikan sebanyak RM250,000 kepada Sekolah Menengah Chung Hua. Penduduk Jalan Kenangan, Hamdan Bakri, 43, berkata seramai 67 orang menerima kelulusan TOL. Kebanyakkan yang menerima merupakan waris yang tinggal di kawasan tanah milik ibu bapa mereka sebelum ini. Beliau berkata beliau kesal apabila pimpinan kerajaan terdahulu menabur pelbagai janji kosong untuk membantu pemohon namun janji tinggal janji. "Setiap kali menjelang pilihan raya umum parti politik tertentu sering kali memainkan isu ini dan berjanji untuk menyelesaikannya. "Demi meraih undi dan sokongan namun itu, hanyalah omong kosong semata-mata," katanya. Hamdan berkata beliau bersyukur kerana penantian itu berakhir dan perjuangan untuk generasi ketiga itu tercapai. "Kita akan usahakan untuk mendapatkan geran hak milik selepas ini. "Tindakan Kerajaan Negeri ini kita nampak ketulusannya. Tahniah kepada Kerajaan Negeri kerana prihatin dan mentadbir negeri Selangor dengan baik," katanya. | ||
Posted: 15 Jun 2012 04:49 PM PDT Aspan Alias Sekarang timbul pula cerita akaun induk Anwar Ibrahim seperti yang disebut oleh Datuk Murad, bekas Naib Governor BNM. Murad berkata ini berlaku semasa Anwar Ibrahim menjadi Menteri Kewangan Malaysia dahulu. Isu ini merupakan isu yang sudah lama, dan mahkamah telah pun memberikan keputusannya yang perkara itu tidak wujud. Tetapi di dalam negara kita yang tidak wujud pun boleh diwujudkan dan yang wujud boleh di"tidakwujudkan". Inilah agaknya konsep "Malaysia Boleh!" Semua boleh berlaku. Tetapi tidak mengapalah jika isu itu ditimbulkan kerana pilihanraya pun sudah hampir. Semuanya akan timbul. Saya pun hendak juga tahu berapa banyak wang yang ada di dalam akaun induk Anwar itu jika akaun itu benar wujud. Anwar sendiri pun bersetuju untuk membukanya tetapi kenalah ada syarat sikit. Syaratnya TS Muhy pun kenalah buka akaunnya juga. Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution, semasa berucap bersama saya di Klang baru-baru ini juga telah bersetuju untuk Anwar membuka segala-galanya dengan syarat Muhy, Najib, Hishammuddin, Khairy dan beberapa orang pemimpin BN sendiri bersetuju untuk membuka akaun masing-masing bersama dengan Anwar Ibrahim. "Once and for all" kita selesaikan isu ini serta-merta. Saya menyebut isu ini kerana cara berpolitik hari ini sangat tidak beretika terutamanya dari pihak Umno/BN. Murad jelas dipergunakan oleh setengah pihak kerana politik setengah pihak. Saya tidak nampak Murad sebagai seorang yang mempunyai kejujuran tetapi itu tidak siapa boleh memperbaiki dirinya kerana itu sudah menjadi naluri bagi seseorang yang terdesak. Anwar memberikan reaksi beliau dengan meminta semua pihak membuka akaun masing-masing dan Muhy kata beliau mempunyai kredibiliti yang meragukan. Anwar berkata beliau pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri dan beliau sebaliknya tahu siapa Muhy ini. Jika sewa rumahnya pun ada pihak yang membayarnya, bayangkan apalagi yang tidak dilakukan oleh Muhy. Anwar nampaknya serius dan meminta Muhy menunjukkan akaun peribadi beliau sendiri. Bagi saya yang masih berada di dalam pencarian ini, saya amat bersetuju dengan cadangan Anwar itu kerana amat penting segala-galanya diketahui umum kerana mereka-mereka ini adalah penjawat awam. Saya rasa perkara ini wajar dilakukan dengan segera seboleh-bolehnya sebelum pilihanraya umum nanti. Anwar sudah pun bersetuju untuk membuka akaunnya maka sekarang giliran Muhy pula untuk menyatakan pendirian beliau samada bersetuju untuk melakukan perkara yang sama. Jika Muhy tidak pernah melakukan rasuah inilah masanya untuk beliau membuktikannya kepada orang ramai yang bakal mengundi nanti. Bagi orang biasa di tepian masyarakat ini saya tidak mungkin mampu untuk membuktikannya tetapi saya juga hendak muktamadkan pandangan saya tentang "conduct" Muhy yang banyak diperkatakan ramai semasa beliau menjadi MB Johor dahulu. Saya juga hendak tahu juga siapa yang membayar sewa rumah beliau seperti yang disebut oleh Anwar Ibrahim itu. Jika benar dakwaan Anwar itu, tentulah Muhy seorang yang amat miskin kerana sewa rumahnya pun ada pihak yang membayarnya. Tentulah orang yang membayar itu sangat baik orangnya. Kalau begitu elok Muhy memohon dari pihak berkuasa untuk memohon rumah murah atau pun bantuan PPRT dari Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar. Kita tidak boleh membiarkan TPM kita itu, dalam kesusahan dan jangan dibiarkan orang lain membayar sewa rumahnya. Dalam pada itu kita tunggu kesudahan kepada isu "akaun Anwar dan akaun Muhy" ini.— aspanaliasnet.blogspot.com | ||
SENIMAN terus bergolak & berpecah! Posted: 15 Jun 2012 04:46 PM PDT Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) terus dihimpit dengan krisis apabila sekumpulan pelakon veteran yang juga ahli Seniman telah membuat satu laporan polis berikutan tidak puas hati dengan persatuan tersebut sejak diterajui kepimpinan generasi muda.Menurut laporan daripada HM, satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Taman Melawati pada pukul 4 petang semalam dihadiri hampir 30 pelakon antaranya Mariani, Datuk Aziz Satar, Zulkifli Zain dan Abu Bakar Omar sambil ditemani beberapa peguam. Wakilnya, pelakon popular pada 1990-an, Abu Bakar Omar berkata, pihaknya membuat laporan polis kerana tidak puas hati dengan tindakan presiden persatuan yang didakwa melakukan beberapa perkara tanpa persetujuan ahli jawatankuasa lain selain menubuhkan jawatankuasa baru. "Saya mendapati terdapat kepincangan serius kerana Minit Mesyuarat Agung (AGM) ke-13 tidak dikemukakan untuk kelulusan bagi mengadakan AGM ke-14 pada 26 Mei lalu. "Malah, ketika mesyuarat itu juga, saya dapati kandungan salinan minit AGM ke-13 itu dipalsukan bagi membolehkan AGM ke-14 diadakan," katanya. Jelas Abu Bakar Omar lagi, ketika AGM ke-14, beliau dan kebanyakan ahli lain tidak menerima notis selan laporan pemeriksa kira-kira kepada ahli juga tidak ditandatangani pemeriksa. Tambahnya, beliau turut percaya bahawa terdapat unsur penyelewengan dalam isu pembelian sebuah bangunan di Setapak, namun enggan mengulas lanjut tentang perkara tersebut. Beliau terut meluahkan rasa kesal terhadap Presiden Seniman, Zed Zaidi yang seakan-akan menuduh mereka sebagai virus dan firaun kecil yang cuba merosakkan persatuan. Dalam pada itu, Zed Zaidi yang dihubungi menyifatkan kumpulan berkenaan sengaja mahu menyalahkannya. "Perkara ini sengaja dicetuskan individu yang tidak berpuas hati. Mereka menggunakan persatuan lain untuk menentang Seniman. "Apa tujuan mereka buat laporan polis itu atas nama Seniman sedangkan saya tidak keluarkan apa-apa surat. Itu sudah salah. Saya mahu tahu tindakan mereka memungut wang melantik peguam menggunakan nama siapa," kata Zed Zaidi. Zed Zaidi (gambar) memberitahu bahawa dia turut ada membuat laporan polis pada minggu lalu dan masih belum menerima surat daripada mahkamah. | ||
DBKL Akan Senaraihitam Pesalah Trafik Liat Bayar Kompaun Posted: 15 Jun 2012 04:41 PM PDT MSTAR ONLINE KUALA LUMPUR: Bermula 1 Julai ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menyenaraihitam nama pesalah lalu lintas yang masih liat membayar kompaun yang dikeluarkan kepada mereka oleh pihak berkuasa tempatan itu. Ketua Pengarah DBKL Datuk Salleh Yusop berkata sepanjang tahun lepas, sebanyak 1,174,445 notis kompaun dikeluarkan kepada pemilik kenderaan atas pelbagai kesalahan lalu lintas manakala dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini sebanyak 310,966 notis kompaun dikeluarkan. "Daripada itu hanya 15 peratus yang membayar kompaun. Jumlah ini menggambarkan sikap tidak bertanggungjawab kalangan mereka yang dikenakan kompaun dan yang memburukkan keadaan mereka akan mengulangi kesalahan yang sama," katanya kepada pemberita selepas menutup Bengkel Prosedur Senarai Hitam Ke Atas Kesalahan Lalulintas di sini, Jumaat. Beliau berkata mereka yang enggan membayar kompaun perlu bersedia menerima implikasi jika disenaraihitamkan mengikut pindaan ke atas Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang diluluskan pada 20 Januari tahun lepas. Salleh berharap dengan melaksanakan langkah itu akan memupuk kesedaran dalam kalangan pemilik kenderaan terhadap peraturan lalu lintas di bandar raya dan tidak mengabaikan kompaun yang dikeluarkan ke atas mereka. Seramai 60 orang pegawai serta petugas DBKL yang akan terlibat dengan proses menyenarai hitam itu termasuk dari Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Undang-Undang dan Pendakwaan, Jabatan Pengurusan Maklumat dan Jabatan Kewangan. -BERNAMA | ||
Dua Syarat Tambahan Perlu Dipatuhi Lynas Untuk Dapatkan TOL Posted: 15 Jun 2012 04:36 PM PDT MSTAR ONLINE KUALA LUMPUR: Dua syarat tambahan perlu dipatuhi Lynas (M) Sdn Bhd bagi mendapatkan lesen pengendalian sementara (TOL) kerana syarat tambahan itu akan dimasukkan dalam syarat lesen yang diputuskan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) pada 30 Jan lepas, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili. Ongkili berkata, beliau mengambil tindakan berdasarkan kuasa yang diberikan mengikut Subseksyen 32 (5) Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 setelah meneliti serta mempertimbangkan semua keterangan yang dikemukakan semasa perbicaraan rayuan tiga individu terhadap keputusan AELB meluluskan TOL secara bersyarat kepada Lynas. "Saya mendapati bahawa mereka (perayu) tidak mempunyai justifikasi dan asas saintifik atau teknikal yang kukuh untuk saya mengetepikan keputusan Lembaga (AELB). "Selain itu, isu-isu yang dibangkitkan perayu juga telah diberi pertimbangan oleh Lembaga (AELB) semasa membuat keputusan mengenai kelulusan TOL," katanya dalam satu kenyataan berhubung keputusan perbicaraan rayuan yang difailkan tiga individu terhadap keputusan AELB meluluskan TOL kepada Lynas. Ongkili, yang membuat keputusan pada Rabu lepas, berkata syarat tambahan itu menghendaki Lynas mengemukakan kepada AELB kaedah imobilisasi unsur-unsur radioaktif dalam residu yang akan dilupuskan untuk menangani situasi terlalu banyak residu terkumpul di Kemudahan Penyimpanan Residu (RSF). "Kaedah imobilisasi bertujuan memerangkap unsur radioaktif daripada tersebar ke alam sekitar," katanya. Daripada segi kemudahan pelupusan residu radioaktif, Ongkili berkata Lynas perlu mengemukakan Pelan Tindakan Kecemasan kepada AELB untuk disahkan bagi mengawal penyebaran debu daripada residu ke udara serta alam sekitar. "Pelan ini diperlukan bagi menangani masalah sekiranya berlaku kegagalan terhadap sistem semburan air serta mengambil kira penyediaan sumber airalternatif secara siap sedia sepenuh masa sebagai langkah kontigensi," katanya. Ongkili berkata, kaedah imobilisasi serta Pelan Tindakan Kecemasan yang diluluskan dan disahkan AELB akan dijadikan sebagai syarat-syarat lesen. "TOL hanya akan dikeluarkan Lembaga (AELB) setelah Lynas mematuhi kesemua syarat yang ditetapkan termasuk dua syarat tambahan tersebut," katanya. Pada 30 Januari lepas, AELB meluluskan Lesen Kelas A (Mengilang - PeringkatPengendalian Sementara). Rayuan terhadap keputusan AELB meluluskan TOL kepada Lynas difailkan Ismail Abu Bakar, Tan Ah Meng dan Abujavalli V Raman di bawah peruntukan Seksyen 32 Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984. Perbicaraan rayuan diadakan pada 17 April lepas. - BERNAMA | ||
Posted: 15 Jun 2012 04:25 PM PDT KOSMO KUALA LUMPUR - Kualiti udara di Lembah Klang dan Perak merosot semalam berpunca daripada pencemaran jerebu merentas sempadan dari Sumatera, Indonesia. Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam satu kenyataan di sini menjangkakan keadaan berjerebu itu akan berterusan untuk beberapa hari akan datang berikutan cuaca yang diramal kering di beberapa negeri di utara dan pantai barat Semenanjung. Katanya, laporan imej satelit NOAA-18 yang dikeluarkan oleh ASEAN Specialised Meterological Centre menunjukkan bilangan titik panas di Sumatera, Indonesia meningkat sejak Selasa lepas. Imej satelit itu juga menunjukkan jerebu dibawa angin dari kawasan titik panas di Wilayah Riau, Sumatera Tengah menghala ke pantai barat Semenanjung Malaysia. Berikutan itu, JAS telah mengaktifkan Pelan Tindakan Mencegah Kebakaran Terbuka di semua negeri serta mempertingkatkan pelaksanaan prosedur standard operasi Program Pencegahan Tanah Gambut Yang Mudah Terbakar. | ||
Keputusan kes Umno saman Pas 20 Julai Posted: 15 Jun 2012 04:22 PM PDT Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Zaki Husin menetapkan tarikh itu selepas peguam kedua-dua pihak selesai memberikan hujahan akhir, hari ini. Umno diwakili Setiausaha Umno Selangor, Ir Datuk Seri Mohd Zin Mohamed, yang memfailkan saman pada 14 September lalu dengan menamakan Mustafa; pencetak akhbar Harakah, Angkatan Edaran Enterprise Sdn Bhd; penyunting akhbar berkenaan Ahmad Lutfi Othman dan wartawan Khairul Azlam Mohamad sebagai defendan. Saman itu antara lain menyebut, Mustafa menerusi satu artikel bertajuk "Pas akan dedah bukti, Umno main peranan operasi Jais" didakwa telah mengaitkan Umno dengan serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke atas Gereja Methodist Damansara Utama, pada 3 Ogos lalu. Pada prosiding semalam, peguam mewakili Mohd Zin, Datuk Mohd Hafarizam Harun berhujah bahawa kenyataan Mustafa berhubung artikel itu telah menjejaskan reputasi Umno. "Mustafa tidak menafikan beliau membuat kenyataan itu dan ia diterbitkan oleh Harakah. Beliau juga akui dapat info menerusi panggilan telefon. Ia khabar angin. Beliau sendiri tidak tahu siapa yang membuat panggilan telefon itu, yang beliau dakwa daripada Jais. "Pengarah Jais, Datuk Marzuki Hussin dalam keterangannya memberitahu serbuan Jais tiada kena-mengena dengan Umno atau mana-mana parti politik. Ini jelas menunjukkan kenyataan Mustafa berbentuk fitnah," katanya. Sementara itu, peguam Hanipa Maidin yang mewakili Mustafa berhujah bahawa kenyataan Mustafa dalam artikel tersebut tidak menyebut Umno Selangor sebaliknya Umno. Menurutnya, Mohd Zin selaku wakil parti itu tidak boleh mengemukakan saman mewakili Umno berdasarkan keterangan saksi dari Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia yang mengatakan, hanya penama yang dimasukkan dalam daftar pertubuhan sahaja berhak menyaman atau disaman oleh mana-mana pihak terhadap pertubuhan berkenaan. "Perkara itu telah ditetapkan dalam Seksyen 9C Akta Pertubuhan," katanya. Keterangan Penolong Pendaftar Pertubuhan Malaysia, Nor Hanis Mazlan, 27, sebelum ini menyebut; Datuk Abdul Rauf Jusof, Setiausaha Kerja Umno Pusat iaitu penjawat awam Umno adalah penama yang berdaftar sebagai pendaftar pertubuhan. Dalam saman itu, Mohd Zin menuntut semua defendan membayar ganti rugi RM10 juta termasuk ganti rugi keterlaluan atau teladan untuk libel dan faedah empat peratus setahun. Beliau juga memohon injunksi untuk menghalang mereka daripada menerbitkan atau menyebabkan penerbitan kata-kata fitnah itu, baik secara lisan atau di media cetak dan Internet. Selain itu, pihaknya menuntut kesemua defendan menerbitkan permohonan maaf secara bertulis di akhbar dan majalah, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. | ||
'Kenyataan tidak bertanggungjawab' Posted: 15 Jun 2012 04:21 PM PDT KOTA BHARU - Timbalan Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Hussin menyifatkan kenyataan Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang meminta calon Pas terpilih dalam pilihan raya menangguhkan ibadah haji sebagai tidak bertanggungjawab. Beliau berkata, tindakan Tuan Ibrahim itu membuktikan Pas meletakkan kepentingan politik mengatasi agama. Awang Adek berkata, pemimpin Pas dilihat mengetepikan kepentingan agama kerana cuba menangguhkan bakal haji menunaikan rukun Islam kelima itu. "Kalau calon itu meninggal dunia tidak sempat pergi Makkah, siapa tanggung dosa? Adakah Tuan Ibrahim; Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat nak tanggung dosa ini," katanya kepada Sinar Harian, semalam. Awang Adek yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata, agama mewajibkan orang Islam berkemampuan dari segi kesihatan dan kewangan menjalani ibadat haji, sekali gus Pas tidak berhak menangguhkan bakal haji menunaikan rukun Islam kelima itu. | ||
Annuar fail saman, cabar keputusan FAM Posted: 15 Jun 2012 04:14 PM PDT SHAH ALAM – Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa memohon deklarasi Mahkamah Tinggi mengisytiharkan keputusan Lembaga Tatatertib FAM yang menggantungnya selama lebih dua tahun sebagai tidak sah. Annuar memfailkan saman pemula terhadap badan induk bola sepak negaraitu pada 5 Jun lalu dengan menamakan FAM sebagai defendan pertama dan Setiausaha Agungnya Datuk Azzuddin Ahmad selaku defendan kedua. Pengurusan kes ditetapkan pada 19 Jun ini di hadapan PenolongPendaftar Kanan Mahkamah Tinggi, Nurul Ain Hamzah. Dalam saman itu, Annuar antara lain menuntut deklarasi bahawa pertuduhan-pertuduhan, perbicaraan tata tertib dan hukuman-hukuman yang dikenakan ke atasnya oleh FAM adalah cacat, tidak sah danterbatal. Beliau turut memohon deklarasi mahkamah bahawa FAM gagal membuktikanpertuduhan-pertuduhan yang dikenakan ke atasnya sehingga diadijatuhkan hukuman gantung dari persatuan. Dalam saman itu, Annuar turut menyebut bahawa tindakan Azzuddin sebagai Ketua Sekretariat FAM menderaf, menyedia dan meluluskan pertuduhan pertama dan kedua yang dihadapinya sebagai cacat dan tidak sah dari segi undang-undang. Menurutnya, tindakan Azzuddin yang melarang beliau diwakili mana-mana pihak di dalam perbicaraan terhadapnya oleh persatuan itu, sebagai berniat jahat (mala fide). Annuar yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) turutmemfailkan perintah injuksi terhadap FAM dan Azzuddin supaya mereka tidak menghalangnya menjalankan tugas sebagai Timbalan Presiden FAMdan daripada membabitkan diri dalam aktiviti bola sepak. Pada masa sama, plaintif juga memohon kos permohonan dalam saman pemula itu ditanggung defendan dan apa-apa relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. Penggantungan Annuar diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib persatuan itu selepas beliau didapati bersalah melanggar Artikel 88 yang mana beliau tidak dibenarkan memberikan kenyataan umum kepada pihak media pada 4 April lalu. Annuar digantung dua tahun bagi kesalahan mengkritik skuad kebangsaan secara terbuka dan enam bulan lagi kerana melanggar arahan Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah pada mesyuarat Exco 4Februari lalu. |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan