Rabu, 27 Jun 2012

.

.


Jenayah Dalam Pejabat Air Kelantan?

Posted: 27 Jun 2012 12:37 AM PDT

Sebelum Lelap

Pagi tadi saya menerima satu panggilan telefon dari Kota Bharu Kelantan yang agak mengejutkan. Pemanggil itu bertanya apakah saya sudah tahu satu kejadian yang memalukan menimpa pejabat Syarikat Air Kelantan Sdn. Bhd yang bertanggungjawab mengurus dan membekalkan air bersih untuk rakyat Kelantan.

Kening saya berkerut keruh mendengar berita itu kerana tidak terdengar apa-apa pula cerita pelik di Kota Bharu berhubung dengan mana-mana agensi atau syarikat berkaitan kerajaan negeri. Cerita hangat di Kota Bharu semalam hanya mengenai demo pre-royalti di perkarangan SUK, sebelum ini mengenai penyelewengan yang dikatakan berlaku dalam Kelantan Gold Trade (KGT) bersabit dinar dan dirham.

Menurut pemanggil itu kejadian itu berlaku enam hari lepas dan berita ini sudah mulai bergerak dan menjadi cakap-cakap di kalangan pegawai kerajaan amnya dan khasnya dari kalangan kakitangan syarikat Air Kelantan SB itu. Ertinya kejadian ini tidak boleh ditusuk selindungkan lagi. Apa lagi kejadian ini juga sudah sampai ke pengetahuan pihak polis, cuma belum terbau oleh media massa sahaja.

Tidak dapat dipastikan apaklah MB juga telah dimaklumkan dengan kejadian ini?

Kejadian dimaksudkan itu ialah mengenai bilik seorang pengawai di syarikat itu telah dipecah dan beberapa peralatan pejabat termasuk komputer serta dokumen penting dilarikan. Kejadian ini agak anih sedikit kerana orang terlibat dalam kejadian ini ialah kakitangan bertaraf pegawai syarikat air itu sendiri.

Pelik dikatakan kerana ia berlaku dalam rumah sendiri dan dilakukan orang rumah sendiri? Empat orang pegawai terlibat katanya sudah dikenal pasti. Nama dan IC mereka pun ada dalam simpanan saya. Polis juga sudah menyiasat dan keempat-empat pegawai itu sudah dipanggil polis. Pihak yang menjadi pengarah kepada kejadian itu juga telah mengakui apa yang berlaku.

Sukar untuk dianalisa kenapa dan mengapa kejadian ini terjadi? Apabila ia berlaku ke atas bilik sorang pegawai yang bertanggung jawab membuat semakan ke atas pembelian, tander, kontrak (oditor) dan sebagainya ia boleh diandaikan dengan bermacam-macam kejadian buruk dan jelek. Mungkin kejadian itu ada kaitan dengan usaha untuk melupuskan maklumat tertentu. Kalau maklumat apakah perkara itu?

Sebelum ini ada tuduhan mengatakan berlaku penyelwengan dalam syarikat berkenaan. Pihak musuh dan ada sekelompok 'jebong' di Kelantan juga telah membuat aduan kepada SPRM. Apakah jenayah yang berlaku di pejabat itu ada hubung kait dengan laporan ke SPRM itu?

Kita tunggu apa perkembangan selanjutnya. Pihak kerajaan negeri khasnya Exco yang bertanggungjawab mengawal dan menjaga hal ehwal air di Kelantan perlu memberi penjelasan apa sebenarnya yang berlaku. Penjelasan segera sangat perlu setidak-tidaknya kepada MB. Dan sekiranya kejadian itu melibatkan jenayah yang boleh merosakkan kerajaan negeri mereka perlu dikena tindakan tegas tanpa ampun maaf kerana ia melibatkan kepentingan rakyat.

Beberapa orang pegawai yang dikatan terlibat wajar digantung jawatan sementara siasatan kes itu selesai. Dalam pada itu jangan pula ada pihak yang cuba menyusuk punca kejadian ini atau pun mendiamkan dari pengetahuan kerajaan atas alasan kerana tidak mahu kerajaan menanggung malu.

Sesuatu yang busuk dan jelek itu perlu didedahkan demi nama baik kerajaan. Dalam hal ini sumpah dan ikrar Rasulullah s.a.w.yang berbunyi; sekiranya Fatimah mencuri aku akan potong tangannya hendaklah dihayati. [wm.kl.3:32 am 27/06/12]

Menanti Natijah Tahrir Square Di Dataran Merdeka

Posted: 26 Jun 2012 09:09 PM PDT

Ulasan Semasa

Pengesahan secara rasmi Dr Mohamed Morsi,61 sebagai presiden baru Mesir beberapa hari lepas disambut dengan linangan air mata kesyukuran dan laungan Allahuakbar oleh umat Islam bukan saja 26 jaziah Mesir tetapi di seluruh dunia. Mereka yang berjiwa Islam akan emosi dengan kemenangan itu.

Pergumuman itu yang hakikatnya kemenangan Ikhwan Muslim dianggap sebagai satu kejayaan besar umat di seluruh dunia yang mencintai tertegaknya hukum Allah dan syariah Muhammad di atas muka bumi ini. Ini kerana Ihwan Muslim dianggap sebagai siasah politik Islam yang bukan saja diterima pakai di Mesir tetapi diseluruh dunia. Jauh dari itu diharap perubahan atau kejayaan Islam di Mesir akan menjadi penyuntik semangat gerakan Islam di tempat lain termasuk Malaysia juga.

Dr Mohamed Morsi
Apa lagi di Nusantara ini, Malaysia dan Indonesia, semangat jihad Ikhwan Muslimim sudah lama terhimbau ke mari, di bawa oleh pemuka-pemuka Islam Melayu yang menuntut di Timur Tengah tahun-tahun 30an hingga 50an. Keberanian orang Melayu melawan kolonialisme sedikit sebanyak dipandu oleh semangat Ikhwan Muslimim. Justeru kemenangan di Mesir itu juga dirai atau dirasakan kemenangan bersama harakah Islamiyah di Malaysia terutamanya mereka yang intim dan akrab dengan Ikhwan Muslimim.

Dari sisi lain kemenangan Ikhwan Muslimim dan pemilihan Dr Mohamed Morsi itu menjadi ubat kedukaan dan kekecewaan umat Islam di sebelah sini yang masih belum menggenggam kemenangan sebenar? Umno walaupun ianya ditunggaki Melayu namun kerana perjuangannya tidak berasaskan kepada Quran dan Hadith secara holistik, tepatnya sekular, sekular maknanya jahiliah, tidak dianggap sebagai gerakan dan siasah Islam.

Walaupun ada cendekiawan dan ulamak cuba mempertahankan Umno sebagai perjuangan Islam dan UBN kerajaan Islam namun penemuan dan bukti-bukti kemungkaran, rasuah, penyelewengan, politik fitnah dan sebagainya yang dipraktik oleh UBN menafikan Malaysia sebagai sebuah kerajaan Islam.

Sejajar itu maka harapan yang membunga akan berlaku perubahan di Malaysia sudah berputih dengan kejayaan induk mereka itu. Timbul harapan tinggi menggunung di dalam dada para mujahidin di sini yang gerakan Islam di Malaysia terutamanya badan siasah seperti Pas, Ngo seperti Abim, Jim, dan lain-lain mengimpikan kemenangan itu dan ia akan juga akan tergapai.

Teori domino akan berlaku, yang dimulakan di Mesir itu. Atau kejayaan muqadimmahnya lebih awal dari itu ia bermula di Tunisia apabila diktator Zainal Abidin Ali dijatuhkan, ia merebak ke Mesir menumbangkan Hosni Mubarak kemudian ke Libya meranapkan kerajaan 'kuffar' moden Muhammar Ghadafi. Kejayana awal Ikhwan Muslimim ialah apabila berjaya menumbangkan Hosni Mubarak menerusi tunjuk perasaan besar-besar selama 18 hari di Tahrir Square. Kejatuhan Hosni memberi signifiken besar kerana Ikhwan Muslimim itu sendiri ditubuhkan di Mesir, 1928 M.

Himpunan di Tahrir Square itulah terilhamnya Berish 3 di Kuala Lumpur? Ia menggerakkan semangat anak-anak muda untuk berhimpun dan membuat penentangan secara agresif dan terbuka. Pemerhati dan pemimpin politik kita juga percaya penyakit di Mesir itu akan berlaku di sini. Bukan saja pemimpin pembangkang melaungkan serunai itu semerdunya, tetapi pemimpin UImno juga naik menggeletar menyaksikan ledakan himpunan itu. Apa tidaknya Perdana Menteri Najib Razak sendiri bermimpi ada darah merah di Dataran Merdeka bakal menyumbatkan hidungnya lantas itu tunjuk perasaan yang dijanjikan secara aman, duduk dan bantah dilarang keras.

Kejayaan calon Ikhwan Muslimim dipilih sebagai presiden Mesir itu menyemarakkan lagi semangat umat Islam dan Islam di Malaysia untuk menumbangkan kerajaan UBN yang dilihat tidak Islamik. Ini menyebabkan orang-orang di sini merasakan semangat Medan Tahrir dan aura perjuangan Ikhwan Muslimim itu sedang mara ke Malaysia. Gema perjuangan menuntut hak dan keadilan di Khairah sedang terbang ke Kuala Lumpur. Semua pihak peka dan bangkit melambai kedatanagnnya. Persoalan kini apakah keadaan di Mesir itu akan berlaku di sini?

Jika dilihat secara fizikal dan geografi politik memang ada kemungkina itu. Secara alminya sesuatu kebangkitan itu akan berjangkit ke sebuah negara ke sebuah negara lain. Negara lain dijadikan cermin oleh rakyat negara lain untuk ditiru segala-galakannya baik politik, budaya, fesyen dan sosial. Kebangkitan rakyat, kesedaran rakyat persis penyakit atau wabak yang cepat menular, seperti Aid, ataupun wabak selesema burung atau H1N1 dan sebagai. Kelupaan atau kegagalan menyangkal menyebabkan penyakit akan mudah berjangkit dan akan akan berlakukan kematian.

Justeru mereka atau individu kurang daya tahan, kurang anti bodi akan cepat disinggahi penyakit. Soalnya apakah kita rakyat Malaysia mengalami kekurangan daya tahan dan mengalami sindrom untuk sedia menerima; kemarahan dan kemaraan rakyat seperti di Medan Tahrir?

Saya ada pandangan dan simpulan-simpulan sendiri di dalam soal ini. Secara adilnya saya bersetuju kalau berlaku kebangkitan yang kemudian merubah dan menggantikan apa yang ada. Lagipun sudah lebih setengah abad kerajaan yang bertakhta hari ini bermain dengan kuasa kotornya. Dalam kata lain kalau kerajaan ini adalah sultan atau raja ia sudah zalim yang tidak lagi wajar disembah tetapi patut disanggah.

Kita tengok apa yang berlaku di Mesir dahulu kemudian kita bandingkan kemungkin-kemungkin yang akan terjolor mari. Hanya perasamaan suasana, persamaan keadaan, persamaan perasaan, persamaan tuntutan, persamaan kerjasama, perasamaan keyakinan (tauhid) saja yang boleh memungkinkan itu. Tanpa persamaan-persamaan atau ruang-ruang itu ia tidak akan mudah terjadi, atau pun kalau ia marak, kemarakannya mudah ditangani.

Perkara pokok yang wajar direnungi apakah tapak perjuangan bangsa atau rakyat negara ini sama dengan tapak perjuangan Ikhwan Muslimim di Mesir itu. Apakah kebenaran ada dalam perjuangan rakyat negara ini sama dengan kebenaran dalam badang perjuangan Ikhwan Muslimim? Kita perhatikan ini secara ringkas pada perkara-perkara pokok.

Perjuangan di Mesir ialah menuntut agar syariat Islam dilaksanakan di atas muka bumi ini. Intipati perjuangan itu diterima oleh umum. Lantas itu Ikhwan Muslimim diwujudkan untuk menyediakan tentera atau pejuang-pejuang, para mujahid yang berani menuntut hak dan kewajiban itu. Dalam erti kata lain Mesir sudah ditabur dengan pejuang menegakkan Islam sejak lebih 80 tahun. Gerakan Ikhwan Muslimim yang diasaskan oleh Hassan Al Bana lah bertanggung jawab menyemaikan benih ini.

Apakah keadaan sama wujud di negera kita? Kalau pun ada benih-benih yang menyamai di Mesir itu ianya dilakukan oleh Parti Islam Se Malaysia (Pas). Dalam masa sama pula Pas menghadapi tentangan hebat dari Umno untuk membangkutkan benih yang Pas selam dalam baja itu selama ini. Usia benih yang disemai Pas baru berusia 60 tahun. Mungkin ia sudah pra matang tetapi Pas atau benih Islam menghadapi beberapa hambatan-hambatan lain yang tidak dialami oleh Ikhwan Muslimim.

Dari kira-kira 27 juta rakyat negara ini tidak sampai 5 juta yang tersemai dengan benih Islam itu. Ia berbeza dengan di Mesir dari 74 juta penduduknya 90% adalah beragama Islam dalam erti kata lain mempunyai agenda dan kepercayaan yang sama. Ertinya dari jumlah kualiti dan kuantiti benih Islam di Mesir yang ditanam Ikhwan Muslimim jauh lebih besar dari apa yang wujud di Malaysia. Selain itu juga konsep, semangat dan roh Ikhwan Muslimim itu terhimbau dan dikenali di seluruh dunia, sebaliknya Pas masih bergelewatan di bumi sendiri.

Perkara lain yang perlu difikirkan ialah mengenai keadaan sosial, jenis-jenis (kaum) rakyat negara kita dengan Mesir. Di Mesir negera itu tidak ada masalah kerana majoritinya bangsa Arab beragama Islam yang mempunyai akidah dan mazhab yang sama. Jadi kedudukan ini mudah untuk diuruskan kerana ia tidak ada pertikaian kepentingan dan konflit sesama sendiri.

Di Malaysia umat Islam hanya 15  atau 17 juta sahaja. Itu pun ia terbahagi kepada dua bahagian besar yang dipisahkan oleh fahaman dan mazhab politik Pas dan Umno. Walaupun kedua-duanya Islam tetapi mereka diasingkan atau terasing dengan ideologi politik di mana ideologi politik dilihat berada di atas dari kepercayaan agama. Ini tidak termasuk lagi perpecahan-perpecahan kecil yang membentuk dari sukuan fahaman Islam yang tidak sekata dengan kedua kelompok besar itu, Umno dan Pas.

Suasana atau perbezaan yang tidak seharus berlaku ini menjadi masalah dan sekaligus menjadi penghalang.  Realiti ini boleh dilihat bila mana Pas ingin melaksanakan Islam syumul, Umno hanya menerima Islam sebahagian saja atau dari aspek atau juzuk-juzuk yang meyelesakan kehidupan atau mengemukkan amarah mereka. Dalam soal menamakan Islam pun wujud perbezaan di antara Pas dengan Umno. Umno kata Islam Hadhari (kini tukar kepada Islam Wasatiyah) Pas kata Hadarah Islamiyah. Dari sudut bahasa dan istilah pun masih belum berlaga.

Perbeszaan dan ketidaksekata inilah yang menjadi penghalang dan dosa-dosa terhijap yang menyulitkan kepada pembentukan Islam syumul di Malaysia.

Hanya berdasarkan kepada dua faktor ini saja meletakkan sukar untuk Malaysia mewujudkan Tahrir Squarernya sendiri. Selain itu sedar atau tidak, bahawa mereka tidak beragama Islam terus berjuang menghalang tertegaknya Islam di negara ini. Golongan ini menyelit menjadi kawan baik dengan Islam menerusi parti-parti politik atau persepakatan politik yang tidak memberi untung dari konteks agama.

Selain dari perbezaan itu masih ada perbezaan lain yang tidak mudah untuk berlakunya kebangkitan seperti di Medan Tahrir itu. Seperti diketahui sistem ekonomi dan politik di Mesir sudah lama menekan rakyat bahawan. Penekanan itu sudah sampai peringkat zalim yang perlu diperangi hatta sampai nyawa tergadai. Kadar kemiskinan dan kemeranaan hidup rakyat begitu teruk sekali. Manifestasi kezaliman Firauan yang memerintah Mesir kuno telah terbawa ke zaman Mesir moden.
Para ulamak Al Azhar mengunjungi Morsi.

Kerajaan moden Mesir tidak ada program untuk memajukan rakyat seperti mana berlaku di Malaysia. Pembangunan tanah, DEB, pendidikan dan sebagainya tidak diwujudkan di Mesir. Berlainan di Malaysia, kerajaan melakukan apa saja terfikir untuk memajukan rakyat. Dalam kata lain kepedulian kepada rakyat dan nasib rakyat ada di sini tetapi tidak di Mesir.

Justeru tahap kemarahan rakyat negara ini kepada kerajaan kerana kemeranaan dan kemelaratan hidup tidak sampai seperti di Mesir. Rakyat di Malaysia masih boleh berbangga bahkan pencapaian kemajuan infrastruktur dan sisitem pentabdiran jauh lebih baik dari Mesir. Realiti ini sekali lagi akan tidak menjadi faktor penyebab untuk rakyat bangkit seperti di Medan Tahrir itu atas asas-asas dan faktor yang berlaku di Mesir.

Tegasnya berdasarkan kenyataan dan suasana itulah maka saya berpandangan pembangkitan seperti di Medan Tahrir itu tidak mungkin akan berlaku di Malaysia ini. Kita hanya boleh mengangan-angankan tetapi tidak boleh mengharap ia akan berlaku. Kalau pejuang Islam termasuk Pas di Malaysia menunggu akan berlakunya kebangkitan seperti di Medan Tahrir itu, ia satu penungguan yang sia-sia sahaja persis mengharapkan air dari fotomargana. Melainkan sudah ada penyatuan zahir dan batin dari kalangan umat Melayu dan Islam dari semua cabang ideologi politik, dari semua aliran dan mazhab barulah kita akan menerima natijah seperti dari gelora di Medan Tahrir itu. [wm.kl.12:08 t/hari 27/06/12]

Tuntutan Royalti Minyak: Elak Tumpah Darah

Posted: 26 Jun 2012 04:06 AM PDT

[ULASAN PETANG]

Apa dibimbangi mengenai 'demo serentak' di antara puak menyokong royalti minyak dengan puak yang anti royalti minyak diberikan kepada kerajaan Kelantan tampaknya menjadi kenyataan. Keecohan di lapangan demo berhampiran Kota Darulnaim telah berlaku sampai ada yang tercedera dan dikejarkan ke hospital. Beberapa laporan polis juga turut sama dibuat.

Gaya himpunan menuntut royalti minyak di depan SUK.
Keadaannya tidaklah 'belah mana'. Tetapi malam ini tengoklah apa yang akan dilaporkan dalam tv yang sudah terkena TB dan esoknya dalam media-media massa PB. Kejadian itu akan diberikan gambaran menakutkan Kelantan akan digambarkan tidak selamat. Kelantan akan diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga. Asap pemedih mata yang dikeluarkan oleh senapang polis, kandati tidak perlu sebenarnya, akan dijadikan bukti telah berlaku kekecohan dan ketegangan.

Ulasan akan dibuat, kekecohan itu mungkin akan menjadi lebih besar kalau tanpa kawalan dan pemantauan polis. Polis diletakan sebagai pihak yang berjasa dan berkhdimat dalam peristiwa pagi tadi. Orang tidak akan nampak dan terlupa bahawa kekecohan yang berlaku di Kota Bharu dan menimbulkan kesesakan jalan raya ialah kerana sikap polis juga yang kurang bijak kalau pun tidak kurang cerdik.

Ini puak yang mengambil kesempatan untuk tunjuk perasaan.
permulaan menuntut royalti minyak itu katanya mendapat permit polis. Saya percaya pihak satu lagi juga mendapat permit polis. Kalau dua-dua mendapat permit polis apakah tidak boleh difahamkan di sini ada maksud polis sengaja melepas kedua-dua ayam jalak dan jantan politik itu untuk berlaga di antara satu sama lain? Bolehkah dianggap begitu?

Polis sudah boleh membaca situasi yang akan berlaku. Maka polis tidak sepatutnya meluluskan permit untuk dua puak dalam masa dan jarak yang tidak jauh. Polis patut asing dan elakkan apa-apa dari berlaku kejadian buruk dan anggota polis juga tidak akan menjadi susah. Kepandaian polis untuk meletakkan dirinya tidak berpihak atas nama demokrasi dan perofesional dalam konteks ini salah. Tugas polis bukan saja menyuraikan kekalutan tetapi mencegah lebih awal inilah sikap profesional namanya.

Sekali lagi bagi saya ia disengjakan. Makanya kesengajaan ini sepatutnya ditangkap awal oleh semua pihak khasnya dari pihak menyokong royalti diberikan kepada Kelantan. Bukan ertinya tidak perlu berusaha dan berikhtiar mendapatkan royalti, tetapi provokasi yang hendak dibuat itu biarlah munasabah dan berhikmah. Kalau pihak menyokong dapat meramal awal apa yang berlaku kekecohan yang boleh mencacatkan Kelantan dapat dielakkan.

Pun begitu kita tidak mahu ia disalah anggap. Maksudnya niat untuk membela kerajaan dan rakyat bertukar menjadi sebaliknya menyebabkan kerajaan kerugian dan rakyat 'bersaja'. Maksudnya jangan ssmpai Pas jadi terkorban dengan hasrat yang murni itu lantaran tiada kebijaksanaan. Kekuasaan Pas di Kelantan perlu dipelihara dan jangan diusik dengan keadaan-keadaan tidak sepatutnya.

Perkara pokok yang kena utamakan di nsini menjaga keselamatan kerajaan Pas di Kelantan. Tidak ada guna sedikit pun kalau royalti minyak diperolehi, tetapi Pas tumbang?

Rujuk sejarah lampau

Selamanya saya suka merujuk krepada peristiwa tahun 1978 di mana ketika berlaku krissis kepimpinan dalam Pas di antara Mohd Asri dan Muhammad Nasir (kedua Allahyarham). Siapa yang memula dan menarik krisis itu sehinggakan kerajaan Pas akhirnya jatuh. Jawabnya tidak lain dan tidak bukan ialah, media penjilat buntut. Ia diperbesar dan ditokok tambahkan oleh wartawan yang diupah oleh Umno. Adapun kenapa media memperolehi rahsia atau punca itu kerana pemimpin Pas sendiri yang tidak hemah.

Mulanya krisis itu cuma kecil dan berlaku dalam rumah tangga Pas, yang boleh diumpamakan seperti anak lipas yang masuk dalam baju sahaja. Tetapi keran ada campur tangan media massa dibantu dengan sikap tidak panjang akal beberapa pemimpin Pas menyebabkan ia terheret ke muka khalayak.  Krisis itu terheret keluar dan diketahui oleh umum. Umno yang sememangnya jahat, bak jerat yang tidak pernah melupa pelanduk terus memngambil kesempatan dan menggumba krisis itu sehingga menjadi petaka. Hasil gumbaan bertalu-talu itu apa terjadi, kerajaan Pas jatuh.

Perlu diingat keturunan Abu Jahal, Abu Lahab dan Abdullah bin Ubai yang pernah berperanan dalam demonstrasi di Kelantan tahun 1978 sebahagiannya masih hidup dan ada hari ini. Munngkin mereka sudah uzur tetapi mereka boleh mengarahnya dari atas tikar di tempat yang jauh. Keturunan mereka juga terus memain peranan kerana menjadi kelazimannya bapak yang jahat akan melahirkan anak yang jahat juga.

Sejarah dan petaka ini perlu diingat-ingati sebaik mungkin oleh generasi lampau dan perlu dipelajari genarasi hari ini. Jangan kerana ghairah hendak menuntut royalti tercetus keadaan buruk yang mana akhirnya keadaan itu nanti akan dilapor oleh PB sampai ia menjadi besar dan mendapat perhatian dunia. Kalau itu berlaku Pas yang miskin media massa dan segala-gala itu berada juga senjata akan berada dalam keadaan terkakapi-kapai.

Fahamkah apa yang hendak saya sampaikan ini?

Sebagai rakyat Kelantan saya menyokong tuntutan itu. Cuma mungkin saya seorang yang mempunyai semangat yang kecil dan keimanan nipis, maka saya berdoa dari jauh. Orang menggunakan doa sebagai senjata adalah orang yang kerdil dan naif dari segi kegedebean. Bagaimana pun dalam keadaan hari ini walaupun kita dianggap beriman tipis dan kerdil rasanya lebih baik dari bertindak secara agresif tetapi membahayakan diri dan negeri. 

Dari dulu lagi saya mengharap tindakan dan jihad menuntut royalti minyak perlu dibuat secara bijaksana dan sepadu. Cara paling baik ialah menerusi rundingan. Jangan jemu untuk mengadakan perundingan. Tindakan-tindakan politik baik untuk mempopularkan diri dan sebagainya tidak wajar. Apa lagi kalau isu itu untuk menjagohkan diri. Membawa isu royalti ke mahkamah adalah tindakan akhir yang betul tetapi bagi saya bukan jalan terakhir yang tuntas. Kenapa, bila fail royalti telah berada di mahkamah menyebabkan ruang lingkup kita mengenainya sempit dan terbatas.

Dalam kita mempercayai media-massa, kehakiman, polis dan segala macam institusi tidak berpihak dan bersimpati kepada kita, apa juga kes tidak perlu dirujuk dan diharap kepada badan-badan rasmi itu. Ia boleh dilakukan apabila kita sudah yakin, atau tidak lagi mengkritik kepada institusi itu sebagai berat sebelah dan sebagainya. Anihnya dalam situasi itu isu minyak itu dihenyahkan juga kepada mahkamah.

Biarlah perkara itu sudah terlucut dan yang penting lihat kepada apa yang berlaku sekarang ini. Menuntut  royalti minyak secara dilakukan sekarang ini tidak akan memberi kesan melainkan keseronokan kerana dapat berhimpun sambil bersorak dan mengetik etak. Umno hanya akan tersenyum melihat apa yang berlaku, dalam masa sama pula para broker dan barua Umno akan terus bergerak menggunakan tindakan itu untuk mengambil peluang mengkhianati kerajaan Kelantan. Mungkin cara hari ini menyeronokkan generasi belia, tetapi orang tua harus pastikan apakah ia sesuai dan selari dengan perjuangan Pas? Pastikan cara menghalakan matlamat.

I am sorry, (kecek Inggeris sikit) saya juga kurang faham dengan acara hari ini. Apakah tujuan dan matlamatnya, dan simbol yang hendak ditonjolkan? Apakah ianya untuk menunjukkan rakyat Kelantan menyokong tindakan  Pas? Begitukah?

Apa yang pelik dan meyebabkan kepala saya tergaru-garu, maksud di sebalik himpunan hari ini yang hanya untuk menyerahkan plak titah ucapan Sultan Mohammad Ke V semasa merasmikan sidang DUN Kelantan yang berharap gas didaratkan di negeri Kelantan. Itu saja. Maksud titah ucapan baginda itu diterjemhkan sebagai Tuanku mendesak royalti minyak di berikan segera.

Apabila titah ucapan itu dijaja dan dijadikan plak ia menunjukkan seolah baginda begitu berkehendak royalti itu untuk Kelantan dan rakyat baginda. Soalnya apakah titah ucapan dan mesej Tuanku itu benar bermaksud begitu? Dan apakah titah ucapan baginda itu tidak didengari oleh kerajaan Pusat atau kalangan pemimpin Umno di Kelantan, seperti Mustapa Mohamed, Awang Adek Hussein dan lain-lain? Begitukah?

Hemat saya, pihak Kuala Lumpur sudah pun mendengar maksud dan konotasi titah ucapan itu seperti mana dilafazkan. Jadi apabila mereka tidak sedia menunaikannya itu bermakna mereka tidak mendengar suara batin dan mesej Tuanku. Kedegilan ini boleh dianggap sebagai dungu dan menderhaka. Pun begitu kerajaan Federal masih ada alasan kalau pun tidak bingkas segera kepada titah ucapan Tuanku itu. Ini kerana royalti itu kini masih dalam pertimbangan mahkamah. Setakat ini hanya pihak Pas sahaja mengemukakan bukti-buklti yang royalti itu jelas milik Pas. Tetapi apabila ia dibawa kepada pertimbangan dan perhatian mahkamah semua pihak kena menunggu keputusan mahkamah. Mahkamah akan menentukan apakah dakwaan dibuat kerajaan Kelantan itu benar?

Jadi biarlahlah mahkamah membuat keputusan apakah kerajaan Kelantan berhak atau tidak. Sultan juga mungkin sudah dinasihti perkara ini. Apabila keputusan itu berpihak kepada kerajaan Kelantan, nah di kala ini bolehlah rakyat Kelantan bangkit menuntut hak mereka semahunya termasuk untuk berkhemah tujuh hari dan tujuh malam di depan SUK. Mereka sudah ada alasan kuat untuk berbuat demikian.

Itulah implikasi yang berlaku apabila isu royalti dibawa ke mahakmah untuk diputuskan. Mengikut undang-undang dan precedence apa-apa pertikaian terhadap apa-apa isu yang masih dalam pertimbangan mahkamah ia akan dianggap sebagai subjudis. Ia tidak boleh dipertikaikan. Kerana itu bagi Umno bila isu itu dibawa ke mahkamah mereka lega kerana isu itu terkunci di mahkamah.

Mengenai penyerahana plak titah ucapan Sultan tadi, saya fikir pihak yang patut diserahkan bukan kerajaan Kelantan, atau pemimpin Pas yang menerimanya. Ia patut dihantar kepada Mustapa Mohamed selaku ketua Umno dan juga menteri yang dilihat bersekongkol dengan niat tidak mahu memberi royalti itu kepada Kelantan seperti mana cadang sdr Mohd Sabree Shafei.

Tidakkah maksud plak itu untuk memberi tahu bahawa Sultan pun sokong supaya royalti minyak diserahkan kepada Kelantan. Nah makanya yang perlu diberi tahu pendirian Tuanku itu bukan Husam Musa dan pemimpin Pas tetapi Mustapa Mohamed. Sepatutnya puak-puak sokong royalti itu berarak ke Pejabat Umno atau ke rumah Mustapa Mohamed dan jika berani berarak ke Putrajaya untuk diserahkan kepada perdana menteri Najib Razak.

Apbial ia diserahkan kepada Husam walaupun sebagai mewakili MB Nik Aziz ia melucukan. Husam dan semua pemimpin Pas dan kerajaan sudah tahu akan hakikat yang sultan menyokong royalti diberikan kepada kerajaan Kelantan. Jadi tidak ada apa-apa keistimewaan lagi plat itu diserahkan kepada kerajaan Kelantan dan diterima Husam melainkan dapat dicapturekan gmbar yang Husam menjunjung tinggi titah ucapan dan gambar wajah Tuanku itu. Itu saja.

Jikalau usaha ini hendak diteruskan, pastikan ia dijalankan dalam keadaan selamat dan teratur. Jangan memberi jalan dan ruang untuk para 'jebong' menganggu majlis itu. Jebong jebong penggangu itu tidak boleh dilayan kerana tahap pemikiran mereka lebih kurang beruk, kera sahaja. Kalau mereka ada akal, ikhlas dan berjuang untuk kepentingan rrakyat dan bukan ***** **** mereka, mereka tidak wajar menentangnya. Bahkan mereka akan bersama menyuarakan tuntutan dan membuat aksi tuntutan dengan puak yang menyokong itu. Itu baru bijak dan cerdik.

Biarpun buat masa ini tidak ada kerelevensinya untuk menuntut royalti itu disebabkan ia dalam perkiraan mahkamah tetapi usaha-usaha yang tidak sampai menjadi subjudis perlu dilakukan. Tindakan himpunan (berdemo) bagi saya tidak begitu elok dan cocok dengan perjuangan Pas. Sebaik tindakan ialah berdoa dan bermunajatlah kepada Allah. Buatlah solat hajat dan menunjat di stadium beramai-ramai. Acap kali pun tidak mengapa.

Lebih bermakna lagi dalam munajat itu undanglah sama Tuanku Sultan. Paling elok biarlah Tuanku mengepalai solat dan menujat itu. Sebelum ini ada rancangan untuk menghantar 40 ulamak bermunajat di Makkah dan Madinah, tetapi kenapa usaha itu senyap dan tidak diteruskan? Apakah ia tidak mendapat restu dan jika benar kenapa? Bila ia disebut tetapi tidak dilaksanakan maka orang akan nampak projek itu tidak ikhlas dan lebih kepada gimik politik. Parahnya ia akan dispekulasikan dengan pelbagai persepsi-persepsi buruk. [wm.kl.6:15 pm 26/06/12]

Tiada ulasan: