Isnin, 25 Jun 2012

.

.


Kenyataan Media

Posted: 25 Jun 2012 02:45 AM PDT

 Fokus Rafizi Menumbangkan UBN

Seperti mana yang dijanjikan Pengarah Strategi PKR Mohd Rafizi Ramli telah membuat kenyataan menjelaskan berhubung tindakan beliau melepaskan jawatan Esekutif di Pejabat Penasihat Ekonomi Kerajaan Selangor yang telah diheret oleh UBN menjadi isu politik taraf kaki lima.

Perkara ini mendapat perhatian presiden Umno Ha Najib Razak yang mentafsirkan ia sebagai satu krisis PKR di Selangor. Anwar Ibrahim pula turut memberi respons terhadap kenyataan Najib itu dengan menjelaskan perletakan jawatan Rafizi dan serangan menerusi twitter terhadap Setiausaha Politik MB Selangor, Faekah Hussein bukan krisis. 

Berikut adalah kenyataan Rafizi berhubung perkara berkenaan;

Keputusan peribadi saya untuk menarik diri dari jawatan di Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor telah diperbesarkan oleh media Umno bahawa kononnya ia petanda wujud keretakan di dalam pentadbiran Kerajaan Selangor yang ditunjangi KEADILAN.
Saya telah menjelaskan seawal minggu lepas bahawa ia keputusan peribadi yang telah lama saya rancang demi menumpukan perhatian sepenuhnya kepada usaha KEADILAN dan Pakatan Rakyat menumbangkan Umno/Barisan Nasional.
Saya  mula-mula menyatakan hasrat untuk menarik diri dari pentadbiran Kerajaan Selangor dalam bulan Oktober 2011 semasa KEADILAN mula menumpukan perhatian serius membongkarkan penyelewengan NFC. Memandangkan tarikh pilihanraya umum belum jelas ketika itu, saya diminta menangguhkan hasrat itu.
Kini, pembubaran Dewan Rakyat perlulah dibuat dalam tempoh kurang dari satu tahun. Dengan kepastian ini, saya yakin masa dan tenaga saya lebih baik ditumpukan kepada usaha merancang kempen KEADILAN dan menyusun strategi menghadapi pilihanraya. Apatah lagi apabila pentadbiran Kerajaan Selangor di bawah kepimpinan YAB Tan Sri Khalid Ibrahim adalah utuh dan telah mempamerkan pencapaian cemerlang setakat ini.
Oleh yang demikian, saya sekali lagi menegaskan bahawa perletakan jawatan ini adalah satu tindakan biasa yang juga dilandaskan pada asas moral kerana seorang ahli politik tidak wajar dibayar gaji dari wang rakyat apabila tumpuannya cenderong kepada aktiviti politik partinya.
Malang sekali, konsep kebertanggungjawaban sebegini tidak wujud di dalam Umno/Barisan Nasional.
Saban hari, Umno/Barisan Nasional menggunakan jawatan dan kemudahan kerajaan yang ditanggung oleh rakyat untuk membayar pimpinan dan aktivis mereka; sedangkan keseluruhan masa digunakan untuk berkempen politik bagi parti mereka.
Contoh penyelewengan wang rakyat sebegini ialah kehadiran lantikan politik di jabatan-jabatan kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan sedangkan mereka bertugas untuk Umno/Barisan Nasional.
Malah, sebuah jabatan khas iaitu JASA ditubuhkan semata-mata untuk membayar gaji pimpinan dan aktivis Umno/Barisan Nasional yang kemudiannya digunakan sepenuhnya untuk berkempen politik.
Sudah menjadi budaya Umno/Barisan Nasional bahawa seorang pemimpin berebutkan jawatan politik untuk mendapat tempat di dalam kerajaan dan menikmati habuan lumayan sedang mereka tiada sumbangan kepada kerajaan.
Oleh sebab itulah, Umno/Barisan Nasional cepat-cepat memutar belitkan tindakan saya menarik diri dari Kerajaan Selangor kerana mereka berfikiran budaya politik di dalam KEADILAN sama seperti yang diamalkan mereka.
KEADILAN adalah sebuah parti reformasi. Budaya politik kami berbeza dan saya cukup tidak selesa menerima gaji dari tabung rakyat apabila tumpuan saya lebih kepada kerja politik. Selain mahu menumpukan sepenuhnya kepada usaha menumbangkan Umno/Barisan Nasional, saya juga mahu terus kekal dengan perjuangan reformasi yang memisahkan kerja politik dari dana rakyat.
Rakyat akan dapat menghakimi sendiri putar belit Umno/Barisan Nasional ini apabila saya makin lantang membongkarkan rasuah dan penyelewengan mereka.
Hari ini bermula siri pendedahan besar berhubung Projek LRT Ampang yang melibatkan Dato' Seri Najib Tun Razak sendiri.
Esok saya akan mula duduk berbincang dengan Cik Faekah Hussin untuk meneliti semula fail-fail penyelewengan yang berlaku di Selangor semasa pentadbiran Umno dahulu, sebagai menyahut seruan pimpinan Umno agar saya membongkarkan penyelewengan yang berlaku di Selangor.
Oleh kerana penyelewengan yang berlaku hanyalah semasa Umno memerintah, maka senanglah saya menumpukan sepenuh perhatian menyiasat penyelewengan ini seperti yang diminta mereka.

MOHD RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN
25 JUN 2012

Sumbangsih Penjengok

Posted: 24 Jun 2012 08:37 PM PDT

Saya menerima catatan ringkas yang berkualiti dari bekas presiden Gamis Mohd Yusof Hadhari mengenai kemenangan Dr Mohamad Morsi sebagai presiden Mesir. Dalam lampirannya beliau meminta saya menyiarkan tulisan itu. Kerana tidak disebut nama media atau ruang, dan saya percaya dihantar untuk blog MT maka saya siarkan catatan beliau itu di sini. Terima kasih kerana sudi berkongsi dengan penjenguk blog Merah Tinta. - MSO.

Mohd Yusof Hadhari
KEMENANGAN IKHWANUL MUSLIMIN 
MENGGUNAKAN TEKNOLOGI 1400TAHUN YANG LALU

Kita renungi bagaimana bermulanya perjuangan Ikhwan Muslimin yang diasaskan oleh Syeikh Hasan al-Banna di Mesir. Dalam keadaan ekonomi umat Islam pada masa itu yang amat menyedihkan, ditambah pula dengan kemiskinan yang merata, maksiat serta jenayah yang berleluasa, dan amalan Islam pula difokuskan kepada beberapa juzuk ibadah sedangkan tiada usaha yang serius untuk membebaskan umat Islam daripada gejala tersebut. Jika ada yang beramal dengan Islam sekalipun, mereka dilihat sebagai kelompok yang terpencil, dipandang rendah dan hina.

Tambahan pula, gerakan Kristian yang menular di kalangan umat Islam menjadikan Syeikh Hasan al-Banna mengambil peranan untuk melakukan perubahan besar dengan menubuhkan Ikhwan Muslimin. Tujuannya adalah untuk menyedarkan umat Islam yang tertanggal diri mereka semangat jihad, dikerumuni musuh Islam dan ditimpa penyakit wahn, iaitu cinta dunia dan takutkan kematian. Perubahan masyarakat dalam Ikhwan bermula dengan perubahan individu yang ditarbiah untuk mengembalikan kesedaran mereka  untuk berjihad, berusaha untuk melakukan perubahan positif dalam masyarakat.

Jika kita melihat antara prinsip perubahan yang diketengahkan oleh Ikhwan Muslimin ialah "As-Solah Qobla Al-Islah", iaitu memperbaiki diri sebelum memperbaiki masyarakat. Mereka yang mampu memperbaiki dirinya, maka ia mampu melakukan Islah iaitu memperbaiki masyarakat di sekelilingnya. Untuk memperbaiki ummah kata Naib Mursyid Am Ikhwan Muslimin, Syeikh Jum'ah Amin, seseorang perlu menjadi abid dahulu, iaitu menghambakan diri kepada Allah subhanahu wataala dengan membanyakkan amal yang medekatkan diri dengan Allah subhanahu wataala.

"Jadilah kamu hamba (Allah) sebelum kamu menjadi pemimpin (ummah)," pesan Syeikh Jum'ah Amin.

Ikhwan Muslimin mengambil pendekatan tarbiah rabbaniyyah dengan cara mendidik ahlinya supaya rapat dengan Allah subhanahu wataala dengan membaca al-Quran satu juzuk sehari, istighfar 100 kali sehari, qiyamullail minimum dua rakaat, berzikir secara ma'tsur supaya lidah basah dengan mengingati dan mendekatkan diri kepada Allah subhanahu wataala. Mengambil kata-kata hikmah Saiyidina Abu Bakar radiallahuanhu kepada tentera Islam tentang rahsia kemenangan ke atas musuh iaitu "Sesungguhnya kamu tidak akan dapat kemenangan selagi mana kamu tidak dekat dengan Allah."

Usaha-usaha yang pernah dilakukan oleh Syeikh Hassan Al-Banna dalam membangunkan masyarakat antaranya dengan mengkaji  cabaran, halangan dan masalah yang membelenggu ummah, mengkaji pengajaran sejarah Islam dan umat terdahulu dan mengkaji sejarah dan pengajaran gerakan kebangkitan di seluruh dunia. Al-Banna turut membahagikan masyarakat kepada empat golongan dengan pendekatan dakwah yang berbeza iaitu golongan yang percaya kepada kebenaran, golongan oportunis, golongan yang teragak-agak dan golongan yang menentang.

Kemenangan Presiden baru Mesir, Dr Mohammed Morsi yang mewakili Ikhwan Muslimin menjadi topik yang hangat di bicarakan seluruh dunia termasuk gerakan Islam di Malaysia. Kemenangan yang di peroleh Ikhwan Muslimin setelah 83 tahun memperjuangkannya perlu menjadi pencetus semangat buat seluruh gerakan Islam dunia yang lainnya.

Disebalik kemenangan Ikhwan Muslimin, kita melihat kemenangan itu bukan di raih hanya disebabkan kepakaran strategi politik semata-mata, tetapi pimpinan serta ahlinya sangat pemurah masanya dengan Allah subhanahu wataala dalam perjuangan mereka.  Melihat kepada anggota Majlis Parlimen Mesir sekarang terhimpun di dalamnya, lebih dari 140 orang hafal al-Quran. Lebih dari 100 orang hafal dan menguasai 10.000 hadis. Lebih dari 180 orang hafal separuh al-Quran. Lebih dari 170 orang bergelar doktor pakar dari pelbagai bidang dan disiplin ilmu. Lebih dari 50 orang tidak memiliki kereta peribadi. Lebih dari 350 orang adalah bekas tahanan politik berkisar 6-10 tahun penjara dan 4 orang wanita yang bertudung kemas.

Jadi, apakah kekuatan atau teknologi yang Ikhwan Muslimin gunakan? Coretan sejarah Salahudin al-Ayubi juga memilih mereka yang bangun malam sebagai barisan mujahidin paling hadapan untuk menggempur musuh? Ataupun sehingga Umar Abd Aziz berkata, "  Bagaimana mata ini dapat tertutup rapat dan tenteram sedangkan ia tak tahu di mana kelak ia akan kembali di antara dua tempat.." Teknologi ini telah wujud 1400 tahun yang lalu dan telah pun dibuktikan kemampuannya untuk menghasilkan superhuman yang mantap dari kaca mata Islam. Teknologi yang dimaksudkan ialah qiamullail.

Tahniah saya ucapkan di atas kemenangan calon Ikhwan Muslimin yang bertanding untuk Pilihanraya Presiden di Mesir . Semoga kemenangan Islam akan hadir di bumi Malaysia dengan kemenangan Parti Islam pada PRU-13 akan datang.

"Allah subhanahu wataala memberi rezeki kepada semua hambanya, tetapi Allah tidak memberi  agama  ini (untuk diperjuangkan) kepada sesiapa yang tidak dicintai-Nya."

Huraian Mustaqim

Posted: 24 Jun 2012 05:11 AM PDT

Mana Pemimpin Pas Lain Yang Zuhud
Tok Guru Sudah Terlebih Famous

Tidak dapat dinafikan lambakan gambar atau foto Tok Guru Nik Aziz Nik Mat dalam pelbagai fesyen dan suasana menyerlahkan realiti kehidupan diri dan keluarganya banyak tersebar dalam internet baik di  Fb, twitter, ruang blog dan sebagainya. Gambar itu memberi gambaran akan keistimewaan dan keunikan beliau sebagai Menteri Besar dari rahim ulamak di mana perkara ini jarang berlaku di Malaysia. Ertinya boleh dibilang dengan jari ulamak yang menjadi ketua umarak, MB atau menteri.

Salah satu foto Tok Guru menunjukkan kesahajaannya.
Gambar yang disebar itu dalam berbagai viarasi, baik semasa beliau di pentas politik, di podium kuliah di kerusi rasminya, atau pun di masjid dan surau. Gambar-gambar aktiviti ibadat dan perjuangan beliau sungguh mengugah perasaan. Gambar beliau sedang makan, mendirikan solat atau pun melakukan tahalul - cukur rambut atau upacara membelah mulut bayi memberi impak dan sentuhan jiwa yang tinggi untuk mengasihinya.

Tidak cukup itu gambar beliau bermesra dengan anak isteri dan keluarga dan juga gambar beliau sedang dipicit atau diurut belakang dan kaki oleh anak-anak murid dan orang yang menyayanginya memberi dan menerbit perasaan tersendiri pada perenungnya. Benarlah kata orang gambar memberi seribu makna.


Penyebaran gambar itu menyebabkan orang ramai mengenali hati budi dan sejauh dalamnya 'kausar' beliau, dapat menilai tahap kerendahan dan kezuhudan dirinya. Mengenai dirinya menjadi buah mulut, di mana-mana saja orang bercakap mengenai diri dan juga stail kepimpinannya. Kerana itu semua beliau menjadi ikon dan dijadikan maskot politik negara ini.

Tidak terlampau kalau saya sebutkan keterkenalan Tok Guru Nik Aziz sebagai seorang Menteri Besar dan ulamak sudah melangkau ke seluruh benua. Mana-mana negara yang boleh akses internet pasti akan menemui gambar beliau dan mengetahui syaksiahnya. Inilah hebat dan berkesannya internet dalam mempropangdakan sesuatu.

Penyebaran foto beliau itu sesuatu yang baik dan bagus serta satu strategi ampuh bagi politik Pas. Ia menjadi satu medium atau saluran dakwah bagi Pas. Di samping ia boleh mengenalkan beliau kepada dunia tetapi ia juga dapat mengenalkan beliau sebagai seorang pemimpin bertaraf ulamak yang berilmu dan mempunyai pendekatan yang tersendiri dan khusyusi. Ini semua menguntungkan Pas dan sekaligus Islam yang dijadikan ideologi oleh Pas.

Pas sesungguhnya berbangga memiliki sosok seperti itu. Kerana itulah kehebatan, sebutan mengenai Nik Aziz bukan saja bergema di seluruh negeri Cik Siti Wan Kembang malahan kehebatan dan keistimewaannya mengimbau ke seluruh negara. Bukan saja anak-anak Tadika dan Pasti tetapi juga pentadbir, politician bukan saja dari Pas bahkan dari Umno juga. Hakikat inilah menyebabkan Umno khasnya mencari seibu jalan dan menggunakan seribu senjata (termasuk fitnah) untuk membunuh keperibadian agama dan politik Nik Aziz.

Mengenai anugerah ini saya tampak Pas menggunakan secukupnya modal dan aset yang ada satu ini. Bahkan bagi Pas Kelantan seolah parti itu tidak ada modal lain lagi selain Nik Aziz. Nik Aziz dan Nik Aziz. Tidak salah kalau Pas meletakkan Nik Aziz sebagai ikon dan maskot politiknya kerana ia wajar di atas kehebatan dan keilmuan Nik Aziz dalam agama dan politik. Kandati beliau sudah tidak ada lagi di dunia ini pun kehebatan dan keistimewaan serta keunikan beliau itu akan disebut-sebut dan diingati serta dijadikan pendorong meneruskan perjuangan. Beliau akan disebut seperti para salahfusoleh yang berjasa kepada Allah seumpama Fadzil Noor yang kehebatan dan kebijaksanaan politiknya terus disebut.

Bagaimana pun dalam hal ini Pas semasa sudah terlebih dalam menggunakan Nik Aziz untuk perjuangannya. Cara Pas mengidola dan mengkultuskan Nik Aziz sudah sampai keperingkat yang perlu membuat ralat. Maksudnya di sini bukan kehebatan dan keilmuannya, tetapi cara Pas menjadikan Tok Guru sebagai aset dan modal politiknya tanpa memperhitungkan keadaan sekelilingnya. Kerana mereka meletakkan Tok Guru terlalu besar menyebabkan pemandangan sesetengah ahli dan penyokong Pas sehinggakan mereka tidak nampak benda lain lagi dan merasakan Tok Guru akan ada selama-lamanya. Sikap dan persepsi ini sesuatu negatif. 

Apabila menyedari akan keterlaluan ini menyebabkan timbul dalam minda saya, apakah hanya Tok Guru  yang berhak mendapat pujian dan sanjungan begitu? Maksudnya kenapa Pas dalam masa sama tidak meletakkan pemimpin pengiring kepada beliau? Walaupun Nik Aziz sendiri tidak menyebut secara pasti siapa selepas beliau tetapi Pas perlu memberi isyarat dan kenyitan mata akan pemimpin yang akan mengambil alih tempatnya. Sepatutnya ahli dan penyokong Pas dapat membaca sir dan maknawi yang terpendalam di dalam kalbun Nik Aziz.

Dalam soal ini saya ingin mempersoalkan tentang sikap taksub atau pun sanjungan berlebihan kepada Nik Aziz yang pada saya tidak seimbang. Bahkan ada kalanya sampai ke peringkat elemen khurafat. Maksudnya kenapa hanya Tok Guru sahaja ditonjolkan sebagai pemimpin zuhud, tawaduk, bersifat qana'ah dan mudah basa. Apakah tidak ada lain-lain pemimpin dalam Pas yang mewarisi sifat-sifat itu? Apakah Pas terlupa? Sikap terlupa seperti ini menyebabkan Pas akan berhadapan dengan kekosongan selepas ini apabila Tok Guru tiba-tiba sudah tiada lagi.

Kekosongan inilah yang perlu difikir oleh Pas khasnya oleh rakyat yang kini terlebih ghairah  mendaulatkan Nik Aziz sebagai ikon dan idola mereka? Sudah sampai masanya para pengidola dan penyanjung ini urut sama menjaja nama-nama lain yang bakal menerajui Pas di masa depan. Apa yag hendak ditegaskan ialah para pendokong perlu mempamikir dan menjualkan akan kehebatan pemimpin lain, baik dari segi karektor, sifat, perwatakan, kebolehan dan sebagainya dan bukan saja Nik Aziz.

Perkara ini penting didedahkan misalnya mengenai latar belakang, fikrah perjuangan, wawasan dan juga kebolehan mereka dalam mentadbir dan mengolahkan politik secara kreatif. Sesiapa yang memiliki sifat-sifat ini perlulah didedahkan seluas-luasnya kepada rakyat agar mudah rakyat membuat penilaian dan pemilihan. Harus difahami seorang yang bakal menjadi pemimpin bukan saja setakat mampu menjadi syeikh di majlis tahalil atau pun menjadi iman solat hajat dan bermunajat.

Saya sangat berharap selepas ini akan ada foto-foto mereka yang disenaraikan akan menjadi pemimpin masa depan akan ada foto-foto mereka yang beraksi atau bersahaja seperti foto-foto Tok Guru itu dipamirkan dalam dada Fb atau twitter. Hendaknya para penyokong masing atau orang perseorang dapat mengudp-datekan foto-foto ini untuk renung bersama.

Apakah apabila tiada gambar-gambar ini - tokoh selain Nik Aziz, disebabkan tiada tokoh yang seiras Nik Aziz? Mungkin? Sebab gambar-gambar bersahaja begini yang nilainya tinggi tidak boleh dibuat-buat atau pun dilakonkan. Ia hendaklah bersahaja. Manakala gambar yang bersahaja pula akan muncul dari tindakan yang bersahaja dan tidak dibuat-buat.

Alangkan ruginya bagi Pas atau mana-mana juga jemaah kalau hanya mengagung atau memberi air time yang berlebihan kepada seseorang saja apa lagi yang sudah terlebih famous?  Sekiranya memang tidak ada tokoh yang bersikap dan bersifat seperti Nik Aziz untuk diambil gambar ini bermakna bahawa selepas Nik Aziz ini Pas menghadapi masalah.  Nik Aziz sendiri mungkin boleh disifatkan gagal kerana selama 22 tahun menjadi MB tidak berjaya melahirkan seorang murid yang hampir menyamai murbbinya, atau pun muridnya gagal menghayati ajaran gurunya.

Sekali lagi diharapkan selepas ini hendaknya akan ada gambar pemimpin Pas baik wakil rakyat atau sesiapa yang diposting dalam Fb dan blog menunjukkan keserdahnaan hidup mereka. Tetapi dalam pada itu jangan pula mengada-ngada masukkan gambar lakonan seperti wakil rakyat sedang memotong rumput di kawasan rumah sendiri, menarik lembu, menziarahi orang sakit dan sebagainya. Walaupun foto sebegitu ia satu promosi yang baik tetapi gambar seperti itu menyebabkan orang akan kata kita masuk bakul angkat sendiri. [wm.kl.7:48 pm 24/06/12]

Tiada ulasan: