Sabtu, 19 Mei 2012

WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI

WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI


Isteri Bekas Tahanan ISA Terima Anugerah

Posted: 19 May 2012 05:50 AM PDT


SHAH ALAM, 19 MEI : Walaupun suaminya menjadi mangsa kekejaman Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Nor Laila Osman setia dan sabar menuntut kebebasan suaminya  Mat Sah Mohd Satray yang ditahan selama lapan tahun.
Penerima Anugerah Isteri Setia ini merupakan seorang guru di sebuah sekolah swasta dan juga aktivis Gerakan Mansuh ISA (GMI) yang berjuang mencari jalan bagi membebaskan suaminya sejak 2002 hingga 2009.
Nor Laila berkata, walaupun suaminya  dibebaskan namun dia akan terus bersama GMI untuk menerangkan kepada seluruh rakyat tentang akta tersebut.
"Saya tidak akan berhenti daripada terus menyebarkan maklumat mengenai kekejaman ISA ini," katanya ketika memberikan ucapan.
Anugerah ini merupakan penghargaan daripada AMALNITA yang bernaung di bawah Yayasan Amal Malaysia (AMAL) dan disampaikan oleh Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali bersama Presiden AMAL, Husin Ismail pada Majlis Pelancaran AMALNITA di Kompleks PKNS pagi ini.
Selain pelancaran AMALNITA, majlis hari ini juga turut mengumpulkan sukarelawan untuk kerja-kerja kemasyarakatan serta misi bantuan kemanusiaan akan datang.
Selain Nor Laila, seorang warga emas Raden Siti Bahja Munir,73, turut menerima Anugerah Siti Khadijah di atas sumbangan selama 37 tahun meneruskan kerja dakwah dan kemasyarakatan.
Beliau melibatkan diri dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Angkatan Belia Islam Malaysia(ABIM) dan banyak menginfakkan harta untuk kerja-kerja amal sejak tahun 1975 sehingga kini.
Bagi Anugerah Ibu Berjasa, penerimanya adalah Siti Habsah Zakaria, 52, yang mengidap kanser payudara tahap ketiga.
Wanita gigih ini membesarkan empat orang anak termasuk seorang anak Orang Kurang Upaya (OKU) selepas suaminya meninggal dunia semasa anak-anaknya masih kecil.

Mahasiswa Dakwa Dipukul Dengan Pistol Oleh Polis

Posted: 19 May 2012 05:47 AM PDT


KUALA LUMPUR, 19 MEI : Seorang penuntut Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) mendakwa diserang dan dipukul anggota polis dengan menggunakan pistol pada 28 April lalu ketika demonstrasi aman BERSIH 3.0.
Mangsa berkenaan Mohd Saufi Othman menjelaskan akibat daripada serangan tersebut kini masih berbekas di tubuhnya.
Menceritakan detik serangan itu, Mohd Saufi berkata, ia berlaku sekitar jam 5 petang dihadapan OCBC Bank berhampiran Masjid Jamek.
Beliau mendakwa dipukul secara beramai-ramai  oleh anggota polis yang memakai uniform dan tidak mempunyai nombor.
"Saya dipijak dan ditumbuk hingga jatuh tetapi kemudian dibantu seorang yang ada berdekatan untuk bangun semula.
"Tetapi bila bangun dengan lagi ramai polis datang memukul dengan gari dan pistol  serta diheret ke kawasan belakang. Saya kena dengan lebih teruk di mana anggota polis menumbuk saya secara berganti. Hidung saya berdarah teruk, bahagian kiri muka luka, tangan saya pun dan dada saya masih ada lebam kerana pistol itu," katanya sambil menunjukkan bahagian tubuhnya yang cedera itu.
Mohd Saufi adalah salah seorang daripada kira-kira 17 orang mangsa BERSIH 3.0 yang hadir dalam sidang media di Dewan Perhimpunan Cina di sini hari ini.
Seorang lagi peserta, Mohd Najib Rahim, 27, dari Kajang berkata, bahagian kepalanya mengalami retak akibat diserang dan dipukul sekumpulan polis pada hari berkenaan.
Dakwanya, insiden di Masjid India berlaku kerana provokasi  polis sendiri biarpun dia mahu memberikan kerjasama dalam perkara tersebut.
"Polis serbu dalam masjid di mana saya lihat ada seorang tua terkena (pukul) dan saya cuba menyelamatkannya. Saya cuba bekerjasama dengan anggota polis tetapi lain yang terjadi apabila baju BERSIH saya ditarik dengan digambarkan saya melawan. Dengan itu anggota polis yang lain datang dan memukul dan menumbuk saya," katanya.
Katanya, beliau turut diheret hingga ke Dataran Merdeka yang akhirnya dimasukkan ke dalam 'Black Maria' hingga malam.
Sementara itu, Pengerusi Bersama BERSIH, Datuk A Samad Said berkata, pihaknya kesal kerana  polis dilihat bertindak ganas.
Menurutnya, selepas penganjuran BERSIH 3.0 pelbagai aduan diterima mengenai kekejaman pihak berkuasa itu dengan pelbagai bukti dikemukakan.
"Amat mengecewakan hingga ke hari ini, pihak kerajaan tidak mengambil tindakan untuk mendakwa pegawai penguatkuasa yang telah menjalankan keganasan. Ini gambaran budaya kebal dan tidak bertanggungjawab pihak polis," katanya.
Berikutan itu, BERSIH menyarankan betapa pentingnya satu badan bebas untuk mengandalikan siasatan terhadap apa yang berlaku.
"Ini untuk mengenal pasti apa dan siapa yang memulakan huru hara dan keganasan. BERSIH bersama SUARAM, Jawatankuasa Hak Asasi Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur & Selangor serta Peguam Untuk Kebebasan (Lawyers For Liberty telah mengumpulkan pengakuan sah dari mangsa keganasan polis ketika Duduk Bantah BERSIH 3.0," katanya.
Hingga kini, katanya, BERSIH telah mendapat aduan daripada 80 individu yang menjadi mangsa akibat keganasan pihak berkuasa itu.
Beliau menambah, pihaknya meminta mangsa yang lain merujuk kepada jawatankuasa BERSIH bagi membuat laporan dan tidak terus pergi kepada pihak polis secara bersendirian kerana ia diyakini mengundang bahaya.
Untuk tujuan itu, pihak terlibat boleh menghubungi talian 012-3496013 atau menyalurkan maklumat menerusi emel : info@bersih.org

Tiada ulasan: