Isnin, 14 Mei 2012

Pahang Daily Online

Pahang Daily Online


Panas: Blogger Cucumatkilau Mahu Umum Undur Diri Dari Kancah Politik Dalam Masa Terdekat Ini!

Posted: 14 May 2012 02:15 AM PDT

KUANTAN, 14 Mei - Ini berita panas yang baru kami terima sekitar jam 5.00 petang tadi. Blogger panas, Cucumatkilau (CMK) yang juga merupakan salah seorang krew PDO mahu umumkan pengunduran dirinya dari kancah politik dalam masa terdekat ini. Dalam posting terbaru di blognya, beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambilkira senario politik semasa dan terkini termasuk kedudukan beliau yang tidak berparti sejak meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 11 Februari 2011 yang lalu. "Selepas lebih 13 tahun CMK bergelar BLOGGER maka kemungkinan besar CMK akan berehat dari politik dalam masa terdekat ini. Ia bagi membolehkan CMK bertindak sebagai Aktivis Rakyat yang bebas dalam kontek yang lebih terbuka untuk membela rakyat pelbagai agama dan fahaman politik. Jika hasrat ini diteruskan maka CMK kemungkinan besar tidak akan sertai PRU13 tidak lama lagi. CMK memohon maaf kepada sahabat, rakan dan taulan atas keputusan yang amat berat ini. Perjuangan tetap diteruskan dalam situasi yang berbeza selepas ini. CMK mahu menumpukan semula sepenuh perhatian untuk membina semula ekonomi dan keluarga. Keputusan rasmi akan dibuat dalam masa terdekat ini", katanya. Baca selanjutnya di BLOG beliau.

Sambutan Hari Belia Negeri Pahang 'Yo Fest 2012' Di Taman Bandar Indera Mahkota 18-20 Mei Ini !!

Posted: 14 May 2012 12:33 AM PDT


KUANTAN, 14 Mei - Orang ramai dijemput hadir ke program Sambutan Hari Belia Pahang "Yo! Fest 2012" di Taman Bandar Indera Mahkota bermula dari 18 hingga 20 Mei ini. Program yang bermula jam 8.00 pagi hingga 10.00 malam itu akan diserikan dengan berbagai acara menarik untuk pengunjung. Antara acara tersebut ialah persembahan Belon Udara Panas, Pertunjukkan Kereta dan Motor Berhias, Drif Drag, Capoeira, Nitro RC Car, Skyrunner, KMX Spider Drift dan sebagainya Turut diadakan ialah pertandingan Drag Motor dan Kereta, X-Games, Karaoke, Kucing Cantik dan pertandingan Ayam Serama. Turut akan diadakan acara berbentuk kerohanian termasuk Solat Hajat dan Tahlil, Seminar Usahawan Produk Halal, Kenduri Bersama Jabatan Mufti Pahang, Belia Berselawat, Soal Jawab Beliau Bersama Ustaz, Cerapat Langit Bersama Ahli Falak dan Karaoke Nasyid. Turut akan diadakan ialah Seminar Keusahawanan, Temuduga Terbuka daripada 30 buah syarikat yang turut serta dalam program itu nanti. Info lanjut klik facebook Yo Fest

Sultan Pahang: Program Transformasi Najib Bawa Impak Besar Kehidupan Rakyat Dalam Negara Ini

Posted: 14 May 2012 12:10 AM PDT

KUANTAN 14 Mei - Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah (foto) bertitah, program transformasi yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berlandaskan konsep 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, membawa impak kepada kehidupan seluruh rakyat di negara ini. Titah baginda, program berkenaan yang disokong dengan program transformasi kerajaan, ekonomi, politik dan luar bandar serta pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesepuluh dan Kesebelas ternyata memberi manfaat kepada semua pihak. "Pengisian program seperti Perumahan Rakyat 1Malaysia, Bantuan Rakyat 1Malaysia, Kedai Rakyat 1Malaysia, Klinik 1Malaysia dan program bantuan persekolahan telah membawa impak kepada kehidupan rakyat tanpa mengira kaum, kedudukan dan fahaman politik. "Sehubungan itu, beta mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri kerana telah membangunkan kerangka program transformasi ini," titah baginda pada Istiadat Pembukaan Persidangan Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Pahang yang ke-12 di wisma Sri Pahang hari ini.

Polis Bersiap Sedia Untuk Buru 121 Peserta Bersih!

Posted: 14 May 2012 12:05 AM PDT

KUALA LUMPUR 14 Mei - Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar (foto) hari ini berkata polis akan melancarkan operasi memburu besar-besaran terhadap 121 peserta perhimpunan Bersih 3.0 yang belum menyerah diri setelah diberi tempoh seminggu untuk berbuat demikian. Sehingga petang ini, hanya 21 individu daripada 141 peserta menyerah diri atau ditahan, setelah gambar mereka diedarkan kepada media minggu lalu dan tempoh tersebut akan tamat esok.

Suhakam: Pendengaran Awam, Hak Tanah Orang Asal (Asal) Di Temerloh Pahang Pada 12-17 Mei Ini

Posted: 13 May 2012 11:52 PM PDT

KUALA LUMPUR, 14 Mei - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) akan meneruskan pendengaran awam inkuirinasional ke atas hak tanah Orang Asal/Asli di Malaysia Hak Tanah Orang Asal/Asli pada 12 hingga 17 Mei ini di Temerloh, Pahang. "Sebanyak 18 kes akan diperdengarkan melibatkan dakwaan pencerobohan kawasan, pentadbiran projek komersial, tadahan air, empangan dan hutan simpan," kata kenyataan Suhakam. Setakat ini, tambahnya, 79 kes telah dikemukakan dalam sesi pendengaran awam iaitu 34 kes di Sarawak, 15 kes melibatkan Selangor dan Negeri Sembilan, Johor (8), Kelantan (10) kes dan 12 kes lagi di Perak. Antara isu-isu lain yang telah didengar, kata kenyataan itu lagi, termasuklah pembalakan, pencemaran dan ladang rakyat. Menurutnya lagi, pendengaran awam ini antara lain untuk mengenal pasti faktor-faktor yang menghalang Orang Asal/Asli daripada merealisasikan hak asasi ke atas tanah adat berasaskan keperluan mereka. "Selain itu pendengaran awam ini juga adalah untuk mengumpulkan maklumat sama ada berbentuk lisan mahupun dokumen daripada saksi-saksi yang dipanggil oleh ahli panel berdasarkan aduan-aduan yang diterima," tambahnya. Ahli panel terdiri daripada Tan Sri Hasmy Agam (Pengerusi), Datuk Dr Khaw Lake Tee (Naib Pengerusi), dan Pesuruhjaya Jannie Lasimbang serta dibantu oleh Konsultan Bebas Datuk Dr Denison Jayasooria dan Dr Collin Nicholas. Sesi pendengaran awam ini juga terbuka kepada orang awam. sumber

Tiada ulasan: