MIMPI SENJA |
- Linda Delgado - Polis perempuan di Arizona USA yang peluk Islam ... Ikuti kisahnya
- Tak boleh la nak makan Tosei free ... Breakfast Tosei depan rumah Timb KPN esok pagi dibatal
- [Video] TERLATEST : Pemimpin Umno Kampar mengamuk, isytihar keluar Umporno
- Filem "Jalan Kembali Bohsia 2" hina Islam
- TGNA saman NST dan Rahim Noor
Linda Delgado - Polis perempuan di Arizona USA yang peluk Islam ... Ikuti kisahnya Posted: 18 May 2012 09:58 PM PDT LINDA DELGADO (gambar sebelah) seorang anggota polis berpangkat Sarjan di Arizona, Amerika Syarikat. Beliau menerima hidayah Allah dan memeluk agama Islam ketika dunia digegarkan dengan isu keganasan. Ikuti kisah beliau bagaimana belia memeluk agama Islam dan suka duka pengalaman beliau. LIMA tahun yang lalu, usia saya 52 tahun dan merupakan seorang Kristian. Saya bukannya ahli pada mana-mana gereja, tapi sepanjang hidup, saya sentiasa mencari kebenaran. Saya menghadiri banyak gereja dan belajar daripada guru-guru mereka. Semuanya tidak lengkap dan saya menyadari tiada apa yang benar melainkan Allah. Sejak usia saya 9 tahun saya membaca Injil setiap hari. Tidak dapat dikatakan, sejak sekian tahun lamanya, kerap kali saya mencari kebenaran yang hakiki. Bertahun-tahun lamanya sepanjang pencarian saya untuk kebenaran, saya mempelajari beberapa ajaran agama. Lebih setahun lamanya saya belajar dua kali seminggu bersama seorang paderi Katolik, tapi tidak boleh menerima kepercayaan Katolik. Kemudian selama setahun saya mempelajari Kesaksian Jehovah dan juga tidak dapat menerima kepercayaan mereka. Saya menghabiskan masa hampir dua tahun bersama Mormon dan masih tidak menjumpai kebenaran. Saya pergi ke beberapa gereja Protestan, sesetengahnya selama beberapa bulan, cuba mencari jawapan pada persoalan saya. Hati saya mengatakan Jesus bukannya Tuhan tapi adalah merupakan Nabi. Hati saya mengatakan Adam dan Hawa bertanggungjawab atas dosa mereka, bukan saya. Hati saya mengatakan saya mesti menyembah Tuhan dan tiada yang lain. Perasaan saya mengatakan saya bertanggungjawab atas usaha baik dan jahat saya dan Tuhan sesekali tidak akan menjelma menjadi manusia untuk memberitahu bukan saya yang dipertanggungjawabkan. Dia tidak perlu hidup dan mati sebagai manusia, kerana Dia ialah Tuhan. Begitulah kedudukan saya, penuh persoalan dan memohon doa kepada Tuhan untuk pertolongan. Saya begitu takut menghadapi maut tanpa mengetahui kebenaran. Saya berdoa dan terus berdoa. Saya menerima jawapan daripada paderi-paderi dan mubaligh-mubaligh mengatakan, "Ini ialah satu misteri". Saya merasakan Tuhan mahukan manusia masuk ke syurga jadi Dia tidak akan menjadikan ianya satu misteri untuk pergi ke sana, bagaimana untuk menguruskan kehidupan ini, dan bagaimana untuk mengenali Dia. Saya tahu hati saya menyatakan iaitu apa yang saya dengar selama ini tidak benar. Saya tinggal di Arizona, Amerika Syarikat dan pada usia 52 tahun belum pernah bercakap dengan orang Islam. Saya seperti kebanyakan orang Barat, telah membaca banyak melalui media mengenai Islam sebagai agama fanatik dan teroris, jadi saya tidak pernah mengkaji apa-apa buku atau maklumat mengenai Islam. Saya tidak tahu apa-apa mengenai agama tersebut. PENEMUAN SAYA Empat tahun yang lalu, saya bersara setelah berkhidmat selama 24 tahun sebagai pegawai polis. Suami saya juga pesara polis. Setahun sebelum kami bersara, saya merupakan seorang sarjan polis dan penyelia. Anggota polis seluruh dunia mempunyai ikatan yang sama, kita panggil sebagai Persaudaraan Penguatkuasa Undang-Undang. Kita sentiasa membantu antara satu sama lain tidak kira polis dari jabatan mana atau negara mana sekalipun. Tahun tersebut saya menerima satu risalah yang memerlukan bantuan daripada sekumpulan anggota polis dari Arab Saudi yang datang ke Amerika Syarikat untuk belajar bahasa Inggeris di universiti berdekatan dan mengadakan latihan di akademi polis di bandar tempat tinggal saya. Anggota polis dari Arab ini sedang mencari rumah untuk mereka tinggal bersama keluarga angkat bertujuan untuk mereka mempelajari budaya Amerika dan mempraktikkan bahasa Inggeris yang mereka pelajari. Anak lelaki saya membesarkan cucu perempuan saya sebagai bapa tunggal. Saya membantunya mencari rumah berhampiran rumah kami agar kami dapat menjaga cucu. Saya berbincang dengan suami saya dan kami bersetuju ada baiknya kita membantu anggota polis tadi. Ianya juga merupakan satu peluang untuk cucu saya mempelajari mengenai orang daripada negara lain. Saya diberitahu anak-anak muda tadi beragama Islam dan saya begitu tertanya-tanya. Seorang jurubahasa dari Arizona State University membawa seorang pemuda Arab bernama Abdul untuk bertemu dengan kami. Kami menunjukkan kepada pemuda tadi bilik tidur dan bilik mandi yang dia akan guna apabila tinggal bersama kami. Saya terus sukakan Abdul. Perwatakannya yang baik dan menghormati orang memikat hati kami! Kemudian Fahd dibawa ke rumah kami. Dia lebih muda dan pemalu, tapi seorang anak muda yang ceria. Saya menjadi tutor mereka dan kami berkongsi banyak pengalaman kerja kepolisian, mengenai Amerika Syarikat dan Arab Saudi, Islam dan lain-lain. Saya memerhatikan bagaimana mereka saling bantu membantu antara satu sama lain dan juga 16 anggota polis Arab Saudi yang lain yang datang mempelajari bahasa Inggeris. Sepanjang tahun mereka di sini, saya menghormati Fahd dan Abdul yang tidak membiarkan budaya Amerika mempengaruhi mereka. Mereka ke masjid setiap hari Jumaat, menunaikan solat pada setiap waktu walaupun mereka keletihan, dan sentiasa berhati-hati apa yang mereka makan dan seterusnya. Mereka menunjukkan kepada saya masakan tradisional mereka dan mereka membawa saya ke pasar dan restoran Arab. Mereka begitu baik dengan cucu saya. Mereka sentiasa memberi cucu saya hadiah, berjenaka dan bersahabat. Mereka melayan saya dan suami saya dengan penuh hormat. Setiap hari mereka akan bertanya sekiranya mereka perlu membantu saya membeli barangan di pasar sebelum mereka pergi belajar bersama anggota polis Arab yang lain. Saya mengajar mereka bagaimana menggunakan komputer, dan saya melanggani akhbar Arab online dan mula membuat carian di internet untuk mempelajari lebih mendalam mengenai mereka, budaya mereka dan agama mereka. Saya tidak mahu melakukan perkara yang boleh menyinggung perasaan mereka. Satu hari, saya menanyakan mereka jika mereka ada Quran lebih. Saya hendak membaca apa yang diperkatakan didalamnya. Mereka membuat permohonan daripada kedutaan mereka di Washington DC dan mendapatkan saya Quran terjemahan bahasa Inggeris, kaset-kaset dan risalah-risalah. Atas kehendak saya, kami mula berbincang mengenai Islam (mereka terpaksa bercakap bahasa Inggeris dan ini menjadi fokus sessi pembelajaran). Saya mula menyayangi anak muda ini, dan mereka memberitahu saya bahawa sayalah orang bukan Islam yang pertama mereka mengajarkan Islam! Setelah setahun, mereka menamatkan pengajian mereka serta latihan di akademi polis. Saya telah dapat membantu mereka dalam pengajian kepolisian, kerana saya pernah menjadi jurulatih polis. Saya mengajak ramai kawan-kawan polis mereka ke rumah saya untuk menyiapkan projek universiti dan mempraktikkan bahasa Inggeris. Seorang daripada mereka membawa isteri ke Amerika, dan saya diajak ke rumah mereka. Mereka begitu baik dan saya berbicara dengan isterinya mengenai pakaian Islam, wudhu dan perkara lain. Seminggu sebelum "anak-anak angkat" saya pulang ke Arab Saudi, saya merancang untuk mengadakan jamuan makan malam dengan hidangan tradisional mereka (saya membeli separuh daripadanya kerana tidak tahu memasaknya). Saya membeli hijab dan baya (gaun panjang). Saya hendak mereka pulang mengingati saya memakai pakaian wanita Islam yang sempurna. MENGUCAP DUA KALIMAH SYAHADAH Sebelum kami mula hendak makan, saya mengucapkan dua kalimah syahadah. Anak-anak muda tadi menangis dan ketawa dan ia sungguh istimewa sekali. Saya percaya dalam hati saya, Allah telah menghantar anak-anak muda ini sebagai membalas jawapan saya dalam doa-doa saya selama ini. Saya percaya Allah telah memilih saya untuk melihat kebenaran pada cahaya Islam. Saya percaya Allah telah menghantar Islam ke pintu rumah saya. Saya memuji-Nya atas sifat keampunan, penyayang dan pengasih-Nya kepada saya. PENGEMBARAAN SAYA DALAM ISLAM Anak-anak angkat Arab saya pulang ke kampung halaman mereka seminggu selepas saya memeluk agama Islam. Saya amat rindukan mereka, tapi masih terasa gembira. Saya telah menghadiri masjid berdekatan tempat tinggal saya sebaik sahaja saya memeluk agama Islam dan mendaftarkan diri saya sebagai seorang Islam. Saya menjangkakan sambutan yang baik daripada masyarakat Islam tempatan. Saya menyangka semua orang Islam adalah seperti anak-anak angkat saya yang telah bersama saya setahun yang lalu. Keluarga saya masih dalam keadaan terperanjat! Mereka menyangka saya akan berpegang pada agama baru ini hanya untuk sementara waktu, menjadi tidak ketentuan, dan beralih ke agama lain, seperti mana yang saya lakukan sebelum ini. Mereka begitu hairan dengan perubahan pada kehidupan harian saya. Suami saya seorang yang serba boleh, jadi dia membeli makanan halal apabila saya katakan kita akan makan makanan halal dan menjauhkan makanan haram, dia setuju. Perubahan seterusnya ialah mengalihkan semua gambar manusia dan gambar haiwan daripada semua bilik di rumah kami. Satu hari apabila suami saya pulang kerja dia mendapati gambar-gambar yang digantung di dinding sebelum ini, telah disusun dalam album. Dia hanya melihat tanpa sebarang komen. Seterusnya saya menulis surat pada keluarga saya yang bukan Islam dan memberitahu mereka keadaan saya dan menjelaskan bagaimana ianya tidak akan mengubah hubungan kekeluargaan. Saya menerangkan sedikit asas Islam. Keluarga saya tetap dengan pendirian mereka, dan saya meneruskan usaha belajar sembahyang dan membaca Quran. Saya menjadi aktif dalam kumpulan wanita Islam melalui internet dan ini memudahkan pembelajaran saya. Saya juga menghadiri kelas asas Islam di masjid apabila saya tidak bekerja. Saya masih seorang sarjan polis ketika itu dan ianya adalah sukar – sebenarya mustahil untuk bertudung. Ini begitu menggusarkan saya dan amat saya bimbang. Hanya lapan bulan lagi dan saya boleh bersara, jadi saya membuat permohonan, lalu dibenarkan untuk bekerja tiga hari seminggu untuk saya membuat perancangan dan projek penyelidikan. Enam bulan berlalu, muslimah di masjid tidak begitu mengendahkan saya. Saya merasa kecewa. Saya terasa seperti orang luar. Saya jadi keliru. Saya cuba bergiat aktif dalam komuniti bersama segelintir muslimah yang baik dengan saya. Saya tercari-cari mereka yang baik hati, setia kawan dan sikap yang baik yang ditelah ditunjukkan oleh anak-anak muda polis Arab pada setiap hari. Saya melakukan banyak kesilapan di masjid, seperti bercakap di tempat sembahyang. Saya pergi ke majlis komuniti dan makan dengan menggunakan tangan kiri; saya menggunakan 'nail polish' dan telah dimarahi. Saya mengambil wudhu dengan cara yang salah dan dipandang serong. Saya menjadi lemah semangat. Pada satu hari saya menerima bungkusan daripada kawan muslimah saya yang saya kenal melalui internet. Dalam bungkunsan tersebut terdapat beberapa abayas, hijabs, stokin sutera dan sekeping nota yang mengalu-alukan kemasukan saya ke dalam agama Islam. Wanita ini daripada Kuwait. Seterusnya seorang muslimah yang baik hati mengirimkan telekung dan sejadah yang dia buat sendiri. Wanita baik ini tinggal di Arab Saudi. Saya menerima e-mel yang saya sentiasa ingat apabila saya terasa seperti orang asing. Nota dalam e-mel tersebut berbunyi: "Saya merasa gembira anda memeluk agama Islam, sebelum saya menemui ramai orang Islam". Ini bukanlah penghinaan. Ianya adalah peringatan iaitu Islam itu sempurna dan kita sebenarnya orang Islam yang tidak sempurna. Sepertimana diri saya sendiri yang mempunyai kelemahan, begitulah juga saudara-saudara Islam saya yang lain. Saya juga mula memahami apa yang saya percaya sebagai anugerah Allah pada umat Islam: iaitu persaudaraan dalam Islam. Empat tahun berlalu, kehidupan saya berubah dengan begitu ketara. Keluarga saya telah menerima dengan rasa baik dan toleran yang saya adalah seorang Islam dan akan sentiasa berada dalam keIslaman. Segala puji bagi Allah yang telah menguji saya yang memeluk Islam dan berhadapan dengan keluarga yang berusaha untuk mengeluarkan saya daripada Islam. Beransur-ansur, saya mendapat kawan setempat dan melalui ruangan siber, ramai kawan-kawan muslimah saya telah menjadi keluarga Islam saya yang membantu, mengasihi dan menjalinkan persahabatan. Penghujung tahun pertama saya memeluk Islam, saya telah jatuh sakit dengan penyakit yang membahayakan. Saya berpegang teguh pada tali Islam dan bersyukur dengan pemberian teh biji hitam dan air zam-zam serta doa daripada sahabat saya serata dunia. Setelah keadaan kesihatan saya bertambah teruk saya menjadi lemah. Saya terpaksa memberhentikan kerja komuniti dan terpisah daripada komuniti Islam setempat. Saya berusaha keras dalam solat saya, menghadapi kesukaran untuk menyebut perkataan Arab, tapi tidak pernah putus asa. Guru yang mengajar Islam membuat beberapa kaset, dan sahabat saya membawanya ke rumah saya. Setelah dua tahun, saya telah belajar empat surah daripada Quran. Ini mungkin nampak sedikit pada kebanyakan orang Islam, tapi untuk saya ianya adalah suatu pencapaian yang besar. Saya belajar memahami ayat-ayat yang diucapkan didalam solat, perjuangan selama dua tahun. Tahun ketiga keIslaman saya, saya terkena serangan sakit jantung dan terpaksa melalui pembedahan jantung. Ianya waktu yang begitu sedih untuk saya, kerana saya tahu saya tidak akan dapat menyentuh dahi saya ke lantai ketika solat, tapi akan selamanya terpaksa duduk atas kerusi untuk menunaikan solat. Pada masa inilah saya memahami kemudahan yang Allah berikan dalam ibadah. Bersembahyang secara duduk di atas kerusi adalah dibolehkan; tidak berpuasa apabila keuzuran adalah dibolehkan. Saya tidak merasakan keIslaman saya kurang apabila saya melakukannya dalam keadaan yang demikian. Setelah menziarahi beberapa buah masjid, ianya adalah seperti Mini Bangsa-Bangsa Bersatu, saya dapat melihat beberapa kumpulan kecil di masjid yang terhasil mengikut bahasa dan budaya bukannya disebabkan oleh suka atau tidak suka pada seseorang. Saya merasa senang walaupun terdapat banyak perbezaan, saya sentiasa boleh mendapatkan ucapan "Assalamualaikum" dan senyuman. Kemudian, saya mula berkenalan dengan mereka yang memeluk Islam seperti saya. Terdapat banyak persamaan antara kita – kami menghadapi ujian yang sama, seperti ahli keluarga yang bukan Islam, kesukaran menyebut perkataan Arab, terasa kesunyian pada hari perayaan Islam, dan tidak mempunyai ahli keluarga untuk berbuka pada bulan Ramadhan. Adakalanya keIslaman kami akan mengakibatkan sahabat lama kita yang tidak boleh menerima perubahan pada diri kita, atau disebabkan oleh aktiviti yang kita tidak dapat bersama dengan mereka yang bukan Islam seperti menari serta pergaulan bebas lelaki dan perempuan. Apabila saya tidak berupaya melakukan khidmat komuniti, saya berusaha dengan cara lain untuk kebaikan komuniti Islam. Saya berterusan memohon pertolongan Allah dalam hal ini. Pada satu hari, cucu saya mencadangkan agar saya menulis buku mengenai anak-anak angkat saya daripada Arab Saudi, Islam dan pengalaman keluarga saya dengan Islam. Saya membuat keputusan untuk menulis buku dan termasuk juga cerita mengenai sekumpulan gadis, Islam dan bukan Islam. Cerita tersebut termasuklah masalah yang dihadapai oleh anak gadis di sekolah dan di rumah dan saya akan menggunakan pengetahuan saya dalam Islam sebagai panduan untuk karektor dalam buku tersebut. Saya mula menulis beberapa siri buku yang dipanggil "Islamic Rose Books". Saya membentuk kumpulan penulis wanita Muslim dan penulis aspirasi dan seterusnya terhasillah persatuan Islamic Writers Alliance (Perikatan Penulis Islam). Perikatan ini ialah organisasi antarabangsa yang memberi sokongan untuk penulis wanita Islam dan penulis aspirasi. Matlamat utama kami ialah untuk mempromosi hasil kerja kami kepada para pembaca dan penerbit. Saya juga membuat keputusan untuk membantu dua Tabung Makanan Islam dengan cara membantu mereka membuat pangkalan data yang digunakan untuk tujuan inventori, pelanggan, dan untuk menghasilkan lapuran yang diperlukan untuk tujuan penajaan serta pembiayaan. Saya juga membuat keputusan iaitu saya akan membelanjakan sebahagian besar keuntungan hasil jualan buku tersebut untuk membeli buku dan ditempatkan di perpustakaan kanak-kanak. Saya dapati banyak perpustakaan yang mempunyai banyak ruangan kosong ditempat buku kanak-kanak Islam. Banyak lagi yang saya perlu pelajari mengenai Islam. Saya tidak pernah jemu membaca Quran dan saya gemar membaca kisah-kisah mengenai tokoh-tokoh Islam yang unggul. Apabila saya merasa ragu-ragu dalam sesuatu perkara, saya akan merujuk pada sunnah Rasul s.a.w. Saya akan melihat bagaimana Baginda saw akan bertindak dalam sesuatu situasi dan saya akan menjadikannya sebagai panduan. Pengembaraan saya dalam Islam akan berterusan, dan saya sentiasa mengharapkan pengalaman-pengalaman baru. Saya bersyukur kepada Allah atas sifat keampunan-Nya dan sifat penyayang-Nya |
Tak boleh la nak makan Tosei free ... Breakfast Tosei depan rumah Timb KPN esok pagi dibatal Posted: 18 May 2012 08:33 PM PDT KUALA LUMPUR: Rancangan untuk mengadakan protes 'tose' di luar rumah Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar pada Ahad ini dibatalkan. Bagaimanapun, gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), WargaAman yang membuat rancangan tersebut akan tetap menyerahkan tose telur berserta kari kambing di rumah Khalid di Ampang. Pengerusi WargaAman, A.Rajaretinam berkata, pihaknya mengambil keputusan untuk membatalkan rancangan itu selepas mendapat nasihat daripada Pengerusi Bersama Bersih, Datuk S. Ambiga dan mereka yang lain supaya tidak meneruskan tindakan protes. "Ambiga menasihati kami supaya membatalkannya kerana tiada gunanya untuk melakukan kesilapan yang sama seperti mereka yang lain dan menceroboh privasi orang lain," kata beliau, yang merujuk pada beberapa demonstrasi yang diadakan di hadapan rumah Ambiga. Rajaretinam berkata, gabungan mereka terdiri daripada 20 NGO yang menghormati privasi Khalid dan tidak mahu menganggu penghuni lain. "Jika terdapat orang yang berhimpun pada Ahad ini, kami tidak akan bertanggungjawab," katanya. Gabungan itu pada mulanya memutuskan untuk menyerahkan tose secara percuma pada Ahad ini di hadapan rumah Khalid bagi mempromosikan makanan warisan negara. Dalam perkembangan lain, Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia atau Ikhlas membatalkan protes susulan "menjual burger" yang sepatutnya akan diadakan di hadapan rumah Ambiga pada 24 Mei ini. Presiden Ikhlas, Mohd Ridzuan Abdullah berkata, keputusan itu dibuat bagi menghormati undang-undang dan pihak berkuasa. "Beratus-ratus peniaga telah bersetuju untuk menyertai kami dalam protes itu. Kami bimbang provokasi yang boleh mencetuskan pergaduhan akan berlaku sekiranya terdapat sejumlah besar yang berhimpun di luar rumah Ambiga. "Oleh itu, kami memutuskan untuk membatalkan protes itu," kata Mohd Ridzuan. Mohd Ridzuan berkata, pihaknya tidak akan bertanggungjawab sekiranya terdapat pihak lain yang mahu meneruskan rancangan itu dan berhimpun di luar rumah Ambiga. Mohd Ridzuan berkata, Ikhlas telah menyerahkan satu memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) pada Jumaat. Beliau berkata, memorandum itu menuntut penganjur perhimpunan yang diadakan pada 28 Julai tahun lalu supaya membayar sebanyak RM817,205 sebagai ganti rugi kepada para peniaga yang mendakwa mengalami kerugian ekoran protes berkenaan. "Ini (tuntutan) ditujukan kepada Bersih dan Patriot, kedua-duanya menganjurkan perhimpunan yang berbeza pada 28 Julai tahun lepas," kata Mohd Ridzuan, sambil menambah, Ikhlas masih membuat pengiraan terhadap kerugian yang dialami peniaga semasa perhimpunan Bersih 3.0 tahun ini. Beberapa anggota Ikhlas pada 10 Mei lalu mendirikan gerai burger dan membuat serahan makanan itu di luar rumah Ambiga di Bukit Damansara. - mStar |
[Video] TERLATEST : Pemimpin Umno Kampar mengamuk, isytihar keluar Umporno Posted: 18 May 2012 09:39 AM PDT |
Filem "Jalan Kembali Bohsia 2" hina Islam Posted: 18 May 2012 06:06 AM PDT PETALING JAYA – Skop Production menyanggah komen mengatakan filem terbitannya, Jalan Kembali Bohsia 2 menghina agama Islam apabila memaparkan watak Keting lakonan Sofi Jikan memaki serta menolak seorang imam sehingga terjatuh di depan sebuah masjid dalam filem itu. Menurut Pengarah Urusan Skop Production, Datuk Yusof Haslam, adegan watak Keting yang merupakan seorang mat rempit itu langsung tidak mengina Islam ataupun memaparkan adegan yang keterlaluan, sebaliknya ia bertujuan memberi keinsafan kepada para penonton filem ini. "Bagi saya, memang wujud mat rempit yang berperangai keterlaluan seperti yang pernah dilalui dan diceritakan oleh kawan saya. Tetapi saya tidak paparkannya secara keterlaluan. Contohnya, dalam adegan filem ini watak Keting hanya sekadar meninggikan suara dan mencabar watak imam itu. "Sedangkan pada mulanya, anak saya yang juga pengarah filem ini, Syamsul Yusof mahukan watak Keting digambarkan menendang imam itu tetapi saya tidak kasi kerana itu keterlaluan. Pada masa sama, dalam adegan itu turut disertakan bacaan surah al-Quran sebagai nasihat yang berkaitan. "Apatah lagi, filem ini dihasilkan dengan menggabungkan elemen aksi, drama, komedi dan keislaman yang menyampaikan mesej-mesej yang baik kepada para penonton," katanya pada sidang akhbar selepas pratonton filem itu di pawagam Cathay, Mutiara Damansara di sini semalam. Selain Sofi Jikan, Jalan Kembali Bohsia 2 yang akan ditayangkan mulai 7 Jun ini di pawagam-pawagam seluruh negara merupakan sekuel daripada filem Bohsia Jangan Pilih Jalan Hitam turut dibintangi oleh Syamsul Yusof, Zizan Razak, Nabila Huda, Salina Saibi dan Sherina Redzuawan. Sementara itu, pengarah Jalan Kembali Bohsia 2, Syamsul Yusof turut menjelaskan filem tersebut bukan sahaja tidak menghina agama Islam, malah ia sarat dengan elemen nasihat dan pengajaran yang menggunakan surah al-Quran bagi menguatkan lagi elemen Islamik di dalamnya. "Ini adalah filem arahan saya yang ketujuh. Sepanjang mengarahkan filem ini adalah filem saya yang paling banyak menyelitkan elemen keislaman di sebaliknya. Dulu saya gunakan juga formula itu dalam filem Khurafat tetapi kali ini unsur keislaman itu saya selitkan lebih banyak lagi. "Bukannya senang memaparkan kisah mat rempit dan bohsia dalam filem serta menyuntik elemen islamik di dalamnya. Itu cabaran saya dalam filem ini," katanya yang juga pengarah Bohsia Jangan Pilih Jalan Hitam yang mengutip tiket RM4.5 juta sewaktu tayangannya pada tahun 2009. – mynewshub.my |
Posted: 18 May 2012 05:04 AM PDT KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menghantar notis saman kepada semua yang terlibat dengan laporan berita 'Nik Aziz father of kafir'. Saman pula akan difaikan minggu depan terhadap mereka yang terlibat di New Strait Times dan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor. Saman itu dibuat ekoran kegagalan kedua dua pihak memohon maaf dan menarik balik tuduhan terhadapnya sebagai "bapa kafir" dalam tempoh yang diberikan. Pengerusi Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia PAS Kelantan Hisham Fauzi (gambar) berkata, pihaknya kini sudah menyiapkan sepenuhnya dokumen dan dijangka memfaikan saman tersebut Isnin depan. "Minggu depan kita akan faikan saman terhadap kedua-dua pihak tersebut, dan kita jangka ianya boleh dibuat Isnin ini," katanya ketika dihubungi Harakahdaily. Sebelum ini, pihaknya telah memberi tempoh 24 jam untuk Rahim menarik balik kenyataan dan memohon maaf secara terbuka kepada Tuan Guru Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS itu. Bagaimanapun tiada sebarang respon daripada Rahim malah beliau tampil menafikannya pula. Isnin lalu pula, pihaknya menghantar notis saman kepad NST dengan memberi tempoh 48 jam untuk akhbar milik Umno itu memenuhi tuntutan. Selain New Straits Times (NST), notis saman itu turut menamakan Ketua Editor NST serta tiga orang wartawan yang terlibat dengan berita itu iaitu Rahmah Ghazali, Lim Poh Lean dan Nik Imran Abdullah. Notis itu antara lain menuntut NST menyiarkan penarikan balik dan permohonan maaf di muka hadapan akhbar itu, manakala enam kali dalam muka yang lain. Mereka juga menuntut disiarkan satu muka penuh sama permohonan maaf itu di akhbar Berita Harian ataupun Utusan Malaysia. Selain itu, turut dituntut bayaran RM1 juta sebagai gantirugi penyelesaian luar mahkamah.Hrkh |
You are subscribed to email updates from MIMPI SENJA To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan