Jumaat, 25 Mei 2012

Kerabu Bersuara ®

Kerabu Bersuara ®


Menteri ghairah lelong plat kenderaan, rakyat sengsara skandal berbilion ringgit

Posted: 25 May 2012 02:46 AM PDT

KUALA LUMPUR, 25 MEI: Yang dituntut oleh rakyat ialah penyelesaian skandal KLIA2 yang bernilai RM3.9 billion, skandal RM12.5 billion PKFZ dan skandal RM12.49 bilion lebihan kos projek landasan keretapi berkembar EDTP.

Tetapi yang dibuat oleh Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha ialah mendabik dada kerana berjaya menjadi penjual nombor plat kenderaan WWW.

Inilah kehebatan seorang Menteri dari MCA dan Barisan Nasional yang diamanahkan oleh negara untuk menjaga kepentingan rakyat, kata Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua.

"Rakyat Malaysia tidak perlukan seorang Menteri Pengangkutan yang cuma berminat melaporkan jumlah lelongan nombor plat WWW daripada menyelesaikan isu besar yang dihadapi," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, Kong tidak berwibawa kerana gagal melindungi dan mempertahankan kepentingan awam melibatkan isu skandal berbilion ringgit, sebaliknya, beliau telah mengadakan beberapa sidang akhbar bagi mengumumkan nilai rekod bidaan tertinggi bagi plat kenderaan WWW yang mencecah RM11.3 juta seperti mana yang dilaporkan Bernama.

Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara berlata, Kong sepatutnya menjelaskan kepada rakyat tentang kenaikan mendadak nilai "terminal kos rendah" KLIA2 dari RM1.7 billion pada 2007 kepada RM3.9 billion tahun lalu adalah akibat penukaran tapak KLIA2 ke kawasan paya gambut.

"Walaubagai mana pun, kenaikan RM2.2 billion tersebut yang membebankan rakyat dijawab Kong yang hanya berkata 'saya tidak mempunyai jawapan kerana keputusan tersebut tidak dibuat oleh Kementerian Pengangkutan', " tambah beliau.

Pua juga berkata, dalam isu Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), Kong yang juga Setiausaha Agong MCA telah mengarahkan bayaran diteruskan kepada pemegang saham Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB). Sedangkan, Lembaga Pelabuhan Klang (PKA) sendiri telah menyaman KDSB sebanyak RM1.6 billion di atas tuntutan berlebihan dan penipuan, tambahnya. Sebaliknya, beliau berkata, Kong pula menuduh PKA dengan mengatakan bahawa setiap jumlah yang dibayar adalah atas nasihat PKA walau pun PKA mengarahkan untuk menghentikan bayaran," ujarnya.

Yang terkini, laporan Business Times yang mendedahkan bahawa MMC-Gamuda telah menuntut arahan perubahan kerja (VO) sebanyak RM1.5 billion dari kerajaan bagi lebihan kos Pembinaan Landasan Berkembar Elektrik (EDTP) Ipoh-Padang besar. "Walau pun ia dinafikan oleh MMC-Gamuda, mereka tetap mengakui bahawa tuntutan "perbelanjaan dan kerugian" tersebut adalah disebabkan oleh kerajaan sendiri. "Nilai projek EDTP ialah RM12.49 billion dan kenaikan sebanyak RM1.5 billion bermaksud kenaikan 12% daripada kos asal," kata Pua.

Menurutnya, semua ini perlu dijelaskan oleh Kong tetapi pemimpin MCA itu terus membisu walau pun sedar segala skandal tersebut telah menyumbang kepada masalah ekonomi negara kerana wang pembayar cukai yang berjumlah berbilion ringgit telah disalah guna dan dibazirkan. – Roketkini.com

Kembalikan tanah sekolah atau kami mogok lapar tanpa henti - NGO

Posted: 25 May 2012 02:41 AM PDT

May 25 2012 / Keadilan Daily
(Oleh Masdar Wahid)

KUALA LUMPUR 25 Mei: Sekumpulan masyarakat India akan mengadakan mogok lapar bermula esok bagi mendesak MIC mengembalikan semula tiga ekar tanah milik Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SRJKT) Effingham di Petaling Jaya yang dirampas sekutu Umno itu sejak 1999.

Kumpulan yang menamakan diri mereka Return Effingham Land Action Team (Reflax) menegaskan, mogok lapar itu hanya dihentikan jika MIC mengembalikan semula tanah itu kepada SRJKT.

"Kami akan memulakan mogok lapar seawal 8.00 pagi Sabtu ini dan ia akan berterusan sehinggalah tanah yang diperuntukkan kepada SRJKT Effingham dikembalikan.

"Mogok diadakan di Water Fountain, Brickfields dan sehingga kini 10 aktivis sudahpun mengesahkan penyertaan" kata Pengerusi Reflax, Manivanan Gowin dalam sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN, semalam.

Turut serta, Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Naib Presiden, Fuziah Salleh; Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), R Sivarasa, Senator S Ramakrishnan, pimpinan parti dan lebih 30 aktivis masyarakat India.

Manivanan berkata, mogok lapar terpaksa dibuat ekoran pelbagai usaha NGO itu sebelum ini termasuk menemui Presiden MIC, Datuk G Palanivel pada 22 Mei lalu ditolak.

"Malah Setiausaha Politik Datuk G Palanivel iaitu Dr Vijay yang diarah menemui kami mengugut wakil Reflax, N Palanivelan dengan mengatakan akan membawa keranda jika sesiapa meninggal dunia hasil daripada mogok lapar ini.

"Beliau juga cuba menakutkan kami mengenai insiden kecederaan depan Pejabat Jabatan Perdana Menteri (JPM) baru-baru ini dan mengingatkan kami agar jaga-jaga kerana kami ada anak dan isteri," katanya.

Sebelum ini, sekumpulan penyokong MIC menyerang dan mencederakan seorang penyokong KEADILAN sehingga berlumuran darah pada himpunan di Putrajaya bertujuan mendesak pentadbiran Datuk Seri Najib Razak menyelesaikan permasalahan kad pengenalan masyarakat India di negara ini.

Manivanan turut kesal dengan keengganan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberi permit kepada himpunan itu sebagaimana dimaklumkan oleh Pengarah Jabatan Perancangan Korporat agensi itu, Dr Ismain Stapa 21 Mei lalu.

"Penolakan permit ini jelas penghinaan kepada pelajar sekolah kerana mogok lapar ini dibuat bagi memperjuangkan pendidikan masyarakat India di negara ini.

"Walaupun tanpa permit, himpunan ini tetap diteruskan dan perkara ini juga sudah dimaklum kepada Balai Polis Travers agar menjaga keselamatan rakyat yang menyertai dan menyokong mogok lapar ini," tegasnya.

Ekoran itu, wakil Reflax, N Palanivelan membuat laporan di balai polis Travers, Brickfields semalam selain mendesak Vijay memohon maaf secara terbuka dalam masa 24 jam.

Sesiapa yang ingin menyertai mogok lapar esok, boleh menghubungi N Palanivelan di talian 016 339 8165.

Pejabat Nurul Izzah dibaling telur oleh samseng Umno

Posted: 25 May 2012 02:38 AM PDT

May 25 2012 / Keadilan Daily
(Oleh Mohd Martin Kahar)

PETALING JAYA 25 Mei: Tindakan provokasi samseng Umno BN nampaknya tiada kesudahan.

Terbaru, Pejabat Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar turut menjadi sasaran tindakan provokatif pihak tidak bertanggungjawab ini.

Nurul Izzah berkata, ketika mahu ke pejabat pagi tadi, beliau menyedari beberapa biji telur dilempar di tangga pejabatnya.

"Kejadian ini disedari pada jam 10.00 pagi. Selepas selesai program di Puchong, saya singgah di pejabat dan mendapati tangga menuju pejabat saya penuh dengan kesan telur pecah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN, di sini tengah hari tadi.

Beliau mengesyaki perbuatan itu dilakukan Pemuda Umno kerana setiap pagi beliau mendapati ramai di kalangan mereka melepak di restoran mamak berhampiran.

Samseng itu Pemuda Umno - Saksi

Posted: 25 May 2012 02:36 AM PDT

May 25 2012 / Keadilan Daily
(Mohd Martin Kahar)

KUALA LUMPUR 25 Mei: KEADILAN telah mengenal pasti samseng Umno yang melempar batu, telur dan botol hingga menyebabkan beberapa penyokong Pakatan Rakyat cedera di ceramah malam tadi.

Menurut Pengarah Operasi Jentera Pilihan Raya KEADILAN Lembah Pantai, Md Zaman Md Tasi, tindakan biadap itu dilakukan oleh Pemuda Umno kawasan berhampiran.

"Saya mengenal pasti mereka adalah Pemuda Umno. Saya merupakan penduduk Lembah Pantai dan mustahil saya tidak mengenali mereka," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN tengahari tadi.

Turut hadir, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dan setiausaha politik pejabat beliau, Fahmi Fadzil.

Zaman berkata, sebelum kejadian itu, beliau menerima sistem pesanan ringkas (SMS) daripada seorang Pemuda Umno yang merupakan rakannya, memberitahu, salah seorang daripada mereka akan mensabotaj program malam itu.
"Saya menyedari SMS itu selepas samseng tersebut memotong kabel bekalan elektrik, bagaimanapun saya tidak mampu berbuat apa-apa" katanya.

Malam tadi, ceramah Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pangsapuri Pantai Permai dicemari aksi samseng Umno yag melempar batu, telur dan botol.
Kejadian itu menyebabkan seorang warga emas parah di kepala dan seorang kanak-kanak berusia 12 tahun dipercayai patah tangan kiri.

Umno upah samseng RM20 untuk maki, serang ceramah Anwar

Posted: 24 May 2012 09:20 PM PDT

May 25 2012 / Keadilan Daily
(Oleh Norutul Ilham)

KUALA LUMPUR 25 Mei: Tindakan terdesak Umno Barisan Nasional (BN) yang sangggup mengupah anak-anak muda sebagai samseng membuktikan budaya memalukan itu akan berterusan selagi Umno memerintah.

"Dengan upah RM20 kepada samseng-samseng didikan Umno itu membuktikan mereka sanggup mempergunakan anak-anak muda demi politik kotor mereka," kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Umum KEADILAN itu berkata demikian ketika menyampaikan ceramah di hadapan lebih 1,000 penyokong di perkarangan Flat Pantai Permai, Lembah Pantai malam tadi.

Provokasi yang sengaja dicetuskan Umno malam tadi bukan sahaja mengganggu penyokong tetapi turut mensasarkan Anwar kerana baru 30 minit beliau berucap, insiden baling objek mula berlaku.

Akibatnya, seorang warga emas dilempar batu menyebabkan kepalanya berdarah diusung penyokong lain dari tapak ceramah dan dibawa ke hospital dalam keadaan separa sedar.

Seorang kanak-kanak berusia 12 tahun, Nurul Balqis turut terkena lontaran batu sebesar kira-kira penumbuk tangan sewaktu Anwar berucap.

Malah, ceramah Umno yang sengaja diadakan lebih kurang 20 meter daripada tapak ceramah KEADILAN itu juga antara usaha Umno mengganggu ucapan pemimpin Pakatan Rakyat.

"Apa yang dia boleh buat, dia ada wang. Dia boleh bayar RM20 untuk pemuda jadi seperti itu. (sambil menunjuk ke arah samseng Umno).

"Dia ugut, kalau dia ingat dia nak baling batu, baling telur, dia ingat nak bagi kita lari semua?" soal Anwar disambut jawapan tidak oleh penyokong.

Tambah Anwar, sepatutnya anak muda harus sedar mereka semua hanya diperalatkan Umno.

"Ingat, dia ambik RM200 juta, dia bayar anak muda RM20 sahaja, ini keadaan sekarang.

"Kalau nak jadi pemimpin negara, jadikan anak Cina, India juga seperti anak kamu. Ini anak Najib, anak dia, anak lain anak 1Malaysia. Maka jeritlah kamu dah dapat RM20," kata beliau disambut sorokan gemuruh penyokong.

Sepanjang ceramah itu juga, Anwar sempat menenangkan penyokong daripada terjebak provokasi oleh samseng Umno.

"Saudara jangan lupa bahawa malam ini adalah saksi, ini cara Umno dan Pemudanya, tiada akhlak, sabar-sabar...," katanya yang tidak takut dengan ancaman samseng upahan itu yang disifatkan seperti cicak mengkarung.

Seawal 8.00 malam lagi, pelbagai usaha provokasi dirancang Umno dengan mengupah samseng-samsengnya menyekat jalan dan mengibarkan kain rentang mengutuk Pakatan Rakyat dan Anwar.

Sekumpulan samseng kira-kira 30 orang itu memakai baju merah dengan mengibarkan bendera selain sengaja menjerit dan memaki hamun orang ramai yang mahu ke ceramah anjuran Parlimen Lembah Pantai itu.

Lebih daripada itu, kumpulan penceramah anjuran Umno tanpa segan silu memaki, mencarut dan memfitnah Anwar.

Antara panel jemputannya, Ummi Hafilda Ali yang sinonim dengan sikap jeliknya apabila menyampaikan ceramah dengan mengaitkan isu liwat, seks dan sebagainya.

Bubu bukan cucu Sultan Selangor

Posted: 24 May 2012 09:16 PM PDT

Oleh: Wartawan Sinar Harian

SHAH ALAM – Kerabat Diraja Selangor mengesahkan Raja Mohammad Syazni Raja Mohammad Rashid, kekasih artis Indonesia Syahrini bukan cucu Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah seperti didakwa.

Tengku Seri Wangsa Diraja, Tengku Datuk Setia Ramli Alhaj Tengku Shahruddin Shah Alhaj berkata, dakwaan tersebut tidak benar memandangkan Sultan Sharafuddin dikurniakan dua puteri iaitu Tengku Zerafina dan Tengku Zatashah serta seorang putera iaitu Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah yang hampir sebaya Raja Mohammad Syazni.

"Saya mengesahkan bahawa Raja Mohammad Syazni Raja Mohammad Rashid bukan cucu Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj," katanya kepada Sinar Harian menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS), semalam.

Terdahulu, Syahrini melalui portal hiburan Indonesia, detikhot. com mendakwa menjalinkan hubungan dengan seorang Kerabat Diraja Selangor, iaitu Raja Mohammad Syazni atau lebih dikenali sebagai Bubu.

Beliau berkata, mereka bercinta sejak dua tahun lalu selepas berkenalan ketika bertemu sempena sambutan tahun baru di Kuala Lumpur pada Disember 2010. Manakala Bubu pula mengesahkan dirinya merupakan Kerabat Diraja Selangor dan bukan berasal dari Bogor dan berketurunan Batak sebagai mana yang dihebohkan media Indonesia sebelum ini.

"Saya ada dengar berita yang tidak menarik mengenai saya. Saya bukan orang Bogor atau Batak. Berita yang anda dengar itu adalah tidak benar.

"Saya keturunan raja, saya adalah cucu Raja Selangor. Nama saya Raja, tak semua orang di Malaysia boleh menggunakan nama itu," kata Bubu.

Video: 5000 Berhimpun Depan Rumah Ambiga.

Posted: 24 May 2012 06:37 PM PDT


aku rasa kesian dengan mamat ni. Nak bercakap berbelit-belit dan terucap-ucap macam pondan

kahkahkahkah

Tiada ulasan: