Khamis, 17 Mei 2012

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Keganasan Polis: BERSIH Gesa Suhakam Siasat & Bertindak

Posted: 17 May 2012 12:30 AM PDT

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menggesa Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menubuhkan panel siasatan bebas dan terbuka ke atas pencabulan hak asasi oleh polis sewaktu perhimpunan 28 April lalu.

Perkara itu dinyatakan dalam memorandum yang diserahkan BERSIH kepada Pesuruhjaya Suhakam, James Nayagam petang tadi.

Bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan memorandum tersebut, pengerusi bersama BERSIH Datuk S Ambiga berkata, keganasan yang dilakukan polis semasa perhimpunan tersebut merupakan tindakan paling buruk setakat ini.

"Pencabulan hak asasi sehingga ke tahap ini tidak wajar dibiarkan berlalu begitu sahaja tanpa kita mengetahui kebenaran dan keadilan buat semua mangsa," katanya ketika membaca satu kenyataan.

Mengulas mengenai dakwaan tindakan ganas polis ke atas peserta perhimpunan yang menyerah diri kepada pasukan itu, Ambiga berkata perbuatan seperti itu hanya akan memburukkan keadaan.

Tambahnya, sehingga kini polis hanya mengumumkan senarai 141 orang yang dikehendaki tetapi tidak mendedahkan nama dalam senarai itu.

Ramai yang masih tidak tahu sekiranya nama mereka juga termasuk dalam senarai tersebut, katanya lagi kepada pemberita.

Dipukul lepas serah diri

Dalam pertemuan sama, BERSIH melalui peguam Lawyers for Liberty (LFL) turut menggesa Suhakam campur tangan dalam isu berkenaan.

Peguam LFL, Fadiah Nadwa Fikri, memaklumkan kepada Suhakam mengenai kes melibatkan seorang peserta perhimpunan, Mohd Safuan Mamat, 25 tahun yang mendakwa dipukul dengan getah hos air supaya mengaku bersalah selepas menyerah diri 14 Mei lalu.

"Ini amat merisaukan kerana polis sudah mula memburu mereka yang disenaraikan ini," kata Fadiah kepada pemberita.


Katanya, badan peguam itu bimbang polis akan menangkap orang ramai tanpa ditemani peguam sewaktu ditahan dan menerima nasib seperti Mohd Safuan.

Pesuruhjaya Suhakam, James Nayagam yang menerima memorandum itu memberi jaminan Suhakam akan menelitinya dan menemui BERSIH dalam masa seminggu.

"Kami akan meneliti memorandum ini dan memaklumkan orang ramai.

"Kami juga akan menghubungi Ketua Polis Negara untuk tindakan susulan berkaitan akses (peguam) kepada mereka yang ditahan," katanya. -mk



Aspan Alias: Politik UMNO Tidak Boleh Lari Dari Bontot & Punggung

Posted: 16 May 2012 10:07 PM PDT

UMNO: Tak payah guna kepala, sekarang guna punggung pula

Saya berasa geli hati dengan gelagat UMNO yang kian hari kian memalukan. Pagi semalam sekumpulan penyokong parti itu telah berbaris di hadapan kediaman Ambiga, Pengerusi Bersih, dengan menonggeng dan menunjukkan bontot pada rumah Ambiga. UMNO sudah menjadi parti lawak dan telah benar-benar jatuh martabatnya dengan sikap yang ditunjukkan oleh penyokong tegarnya itu.

Kemasukan saya ke dalam DAP dahulu disambut oleh seorang dua sebagai tindakan politik bangkrap. Tetapi sebenarnya apa yang berlaku semalam itu merupakan betul-betul politik bangkrap yang tidak ada tolok bandingnya.

Nampaknya politik UMNO ini tidak lagi boleh lari dari bontot dan punggung, sejak 14 tahun yang lalu. Sudah tidak terlarat untuk membesarkan isu bontot dan punggung. Saiful, sekarang mereka memanjangkan lagi perjuangan berlandaskan pada bontot dan punggung.

Dalam kesemua 213 negara yang berkerajaan di dunia ini, Malaysialah yang parti pemerintahnya mempertahankan kuasa dengan menggunakan bontot dan punggung dan ini amat memalukan. Saya tidak tahu bagaimanakah perasaan mereka-mereka ini semasa melakukan kerja keji ini.

Malah nampaknya mereka berbangga melakukannya. Masa demi masa UMNO melakukan kerja-kerja yang tidak menunjukkan tamadun yang asas sebagai rakyat sebuah negara yang mengaku sebagai negara sedang membangun yang termasyhur di dunia ini. Melakukan kerja menonggeng terhadap rumah Ambiga itu merupakan kerja sia-sia dan ianya amat mengerikan untuk memberikan mandat kepada parti yang sudah bangkrap politiknya.

Tidak beberapa lama dahulu UMNO telah mengejutkan rakyat dengan tindakan penyokongnya menghantar kek berbentuk tahi kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng. Apabila politik BN sudah sampai ke tahap ini, bagaimana sesetengah pemimpin UMNO masih mengaku bahawa parti itu boleh mempertahankan maruah Melayu dan menjaga Agama Islam, agama anutan kesemua orang Melayu itu.

Mengapa UMNO sanggup melakukan kerja-kerja yang tidak semenggah ini, tetapi begitu marah apabila parti itu dikritik dan tidak mendapat sokongan orang Melayu yang rata-ratanya beragama Islam? Apa Islamnya dengan tindakan sekumpulan manusia yang hidup pada zaman ini melakukan 'exercise punggung' di hadapan rumah Ambiga?

Inikah mentaliti yang berjanji untuk membawa transformasi kepada negara dalam segala bidang sedangkan penyokong kepada kepimpinan yang ada pada hari semalam telah menunjukkan sikap kuno dan menjijikkan. Berapakah upah yang mereka terima untuk melakukan itu tidak dapat dipastikan tetapi yang pasti UMNO sudah bangkrap dan saya jangka masih ada yang mempertahankan kerja itu sebagai kerja mulia dan perlu untuk menyambung kuasa politik UMNO dan BN itu.

Tidak dapat dibayangkan bagaimanalah masyarakat antarabangsa memandang terhadap kita semua. Sekolot-kolot negara-negara Afrika tidak ada kejadian seburuk dan sehina ini berlaku dalam politik mereka.

UMNO memang sah sebagai sebuah parti yang sudah hilang hidayah kerana mereka berbangga dengan melakukan kerja-kerja yang memalukan ini. Tidak pernah terfikir yang UMNO sudah jatuh sedemikian rendah darjat dan martabatnya.

Sesungguhnya kelemahan yang sedang dihadapi oleh UMNO ini berpunca dari kelemahan UMNO itu sendiri. UMNO sudah menjadi parti yang penuh dengan kekalutan dan marilah kita bertindak dan berdoa agar selepas pilihanraya ini nanti tidak akan ada lagi kejadian-kejadian sehina ini lagi berlaku dalam politik negara kita lagi.

Ianya amat memalukan kita semua. Kadang-kadang kesian juga melihat UMNO ini. Tapi sudah tidak dapat lagi berbuat apa-apa kerana ia sudah terlalu jauh tersasar dari sasaran perjuangan. Hilang agama, hilang budaya dan hilang adab serta adat Melayunya.

Melayu telah hilang segala identitinya. Itulah sumbangan terbesar UMNO terhadap bangsanya.
-aspanalias

Laporan sebelum ini
klik untuk baca




Mari Mari Mari - NGO Edar Tosai Percuma Depan Rumah Timbalan KPN

Posted: 16 May 2012 07:11 PM PDT

Tosai Percuma di luar rumah timbalan IGP

Mula-mula burger, kemudian senaman punggung... dan Ahad ini tosai pula.

Mengambil kata-kata Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar, sekumpulan NGO vokal India memutuskan untuk menyajikan tosai percuma di luar rumahnya di Ampang, dari jam 10 pagi hari berkenaan

Setiausaha WargaAMAN, S Barathidasan berkata, NGO-NGO tersebut akan bertemu malam ini untuk membincangkan mengenai persiapannya.

Bagaimanapun, Barathidasan menegaskan ia bukan satu protes, atau ada sebarang kaitan dengan 'protes burger' di depan rumah Pengerusi Bersama BERSIH, Datuk S Ambiga minggu lalu.

"Ini sebenarnya satu kempen kesedaran. Tosai adalah makanan yang sihat dan sajian sarapan bagi masyarakat India. Kami mahu mempromosinya," katanya ketika dihubungi.

Kumpulan itu memilih untuk membuka gerai di luar rumah Khalid di Taman Bukit Teratai Khalid kerana mereka "menghormati" beliau.

"Beliau telah berkata bahawa gerai boleh dibuka di hadapan rumah orang dan kami menghormati apa yang beliau katakan".


Barathidasan menambah bahawa kumpulan itu akan memohon permit dari Majlis Perbandaran Ampang Jaya untuk gerai tersebut, dan mungkin meneruskannya juga walaupun ia ditolak.

"Kita hanya mahu beri orang ramai sarapan yang sihat. Kami tidak menjual apa-apa," katanya. -mk

Ulasan GB

Seringkali GB bertanya di blog ini, apabila polis tidak dihormati lagi, salah siapa sebenarnya?

Polis perlu merenung sendiri kesalahan sendiri sebelum menuding ke arah orang lain.

Apabila polis gagal untuk berkhidmat secara adil, saksama dan tanpa diskriminasi, tindakan keterlaluan dan zalim mereka itu akan hanya menyebabkan rakyat bertambah benci terhadap mereka.

Itu hukum kebenaran dan keadilan.

Dan "kos sebenar" terhadap kezaliaman polis itu akan ditanggung oleh UMNO BN di peti undi semasa pilihanraya nanti.

Memang benar kata Timbalan Presiden PAS, Mohd Sabu sebelum ini:

Bersih 3.0 mati: Hisham, timbalan KPN merapu

KUALA LUMPUR, 14 Mei: Dulu dia dakwa tiada bukti wujud unsur pecah amanah dalam projek ternakan lembu Pusat Fidlot Nasional (NFC), sekarang dakwa pula polis ada bukti unsur-unsur mahu kematian dalam perhimpunan Bersih 3.0.

Demikian jawapan serta merta Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu apabila diminta mengulas tentang dakwaan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar mengenai perkara itu ketika beliau menyokong dakwaan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Hishammuddin sebelum itu mendakwa, terdapat unsur-unsur semasa perhimpunan Bersih 3.0 yang mahu menyebabkan kematian.

"Dulu polis itu (Khalid) kata tak ada bukti berlaku pecah amanah dalam projek NFC. Tak lama selepas itu (Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed) Nazri (Abd Aziz) beritahu kita berlaku kes pecah amanah bila National Feedlot Corporation (NFCorp) langgar syarat pinjaman.

"Dulu menteri itu (Hishammuddin) kata rampas kamera wartawan ikut garis panduan operasi polis (SOP). Tak berapa hari lepas itu, Ketua Polis Negara (Tan Sri Ismail Omar) terpaksa betulkan kenyataan itu dan kata rampas kamera wartawan bukan SOP," kata Mohamad.

Bagi beliau, dua peristiwa itu sudah cukup untuk memberitahu rakyat sama ada cakap kedua-duanya boleh dipercayai atau tidak.

"Menteri itu banyak sangat bercakap merapu. Elok sangat kalau dia pergi dapatkan rawatan professional," katanya.

Sebelum perhimpunan Bersih 3.0 dan ketika dia menjangka perhimpunan itu tidak mendapat sambutan, kata Mohamad, Menteri Dalam Negeri kata himpunan Bersih 3.0 bukan ancaman keselamatan.

"Bila kerajaan Umno terkejut dengan kehadiran ratusan ribu rakyat dan mereka kucar-kacirkan perhimpunan aman itu, menteri itu tuduh pula saya dan (Ahli Jawatankuasa Bersih) Hishamudin Rais ajak anak-anak muda yang berhimpun malam sebelumnya supaya masuk ke dalam Dataran Merdeka.

"Sedangkan yang sebenarnya kami ditugaskan oleh mesyuarat Jawatankuasa Bersih supaya berpesan kepada orang ramai terutama anak-anak muda yang berhimpun di sekitar kawasan itu supaya jangan memasuki Dataran Merdeka.

"Dia dan Umno tak habis-habis cakap merapu sebab mereka macam cacing kepanasan," katanya.
-HD


Isu Haram Jadah: Najib Tak Sedar Beliau Yang Bakal Terima Padah

Posted: 16 May 2012 05:06 PM PDT

Rata-rata rakyat menyifatkan makian "haram jadah" Najib kepada rakyatnya amat keterlaluan dan hanya akan memberi padah kepada Najib sendiri.

Najib dalam ucapannya di Majlis Sejahtera Peneroka bersama Perdana Menteri di Jengka 8 juga berkata dirinya tidak redha dan tidak rela pembangkang mengambil 'durian runtuh' RM15,000 itu selepas cuba menghalang penyenaraian FGVHB.

"Haram jadah mereka tu. Jangan terima kebaikan daripada penyenaraian (FGVHB). Saya nak tengok muka-muka mereka ni terima durian runtuh. Haram jadah," katanya.

Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad mengulas Najib sepatutnya bertindak adil terhadap peneroka kerana semuanya berhak menerima 'durian runtuh' selepas tanah mereka dicagarkan untuk penyenaraian FGVHB.

"Ini hak peneroka, tanah peneroka, apa isunya nak maki hamun…eh duit siapa ni? Cara ucapannya memang tak nampak langsung Perdana Menteri punya material," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Pengerusi Biro Felda dan Orang Asal KEADILAN, Suhaimi Said berkata, perkataan 'haram jadah' yang digunakan Najib langsung tidak menggambarkan dirinya sebagai seorang pemimpin, apatah lagi negarawan yang baik.

"Najib sangat terdesak dan panik dengan kebangkitan peneroka yang menuntut hak mereka hingga sanggup mencerca peneroka Felda.

"Ramai peneroka marah dengan kata-katanya. Adakah orang seperti ini masih mahu dipertahankan?," katanya

Sementara itu Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman kepimpinan Anak Negeri Johor telah membuat laporan polis di Balai Polis Kulai,terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abd Razak.

Kata Mazlan, ia ekoran ucapan Najib ketika mengumumkan 'Durian Runtuh' di Felda Jengka 8 di Pahang pada 8 Mei lalu.

Beliau berkata, 'haram jadah' dalam kamus DBP bermaksud 'Anak Luar Nikah' dan ia sangat bertentangan prinsip Rukunegara- Kesopanan dan Kesusilaan'; apatah lagi ajaran Islam yang menekankan ketinggian akhlak dan moral, lebih-lebih lagi pemimpin yang sepatutnya menjadi contoh ikutan rakyat.

"Laporan polis mendesak PM menarik balik ucapannya dan meminta maaf secara terbuka kerana golongan yang tidak bersetuju dengan penyenaraian FGVH di Bursa Malaysia terlalu ramai," ujarnya.

GB pernah menyatakan bahawa: Najib telah memulakan sesuatu yang tidak baik maka hukum kebenaran dan keadilan akan mengambil tempatnya, sesuatu yang tidak baik itulah bakal menimpa Najib semula. You get back what you give.

Apabila Najib memaki rakyatnya iaitu sesetengah peneroka yang tidak bersetuju dengan penyenaraian Felda Global Ventures Holding (FGVH) di Bursa Malaysia, itu tanda-tanda akan berakhirnya tempoh Najib sebagai PM Malaysia... Percayalah!

Di dalam konteks masyarakat melayu ia dinamakan "buang tabiat".

Gejala buang tabiat lazimnya berlaku di saat-saat akhir kehidupan seseorang.

Najib telah gagal dengan ujian sepertimana seorang bapa memaki hamun lantaran gagal menghadapi rencamnya karenah anak-anak sendiri. Pendek umur ayah sedemikian kerana tidak berupaya menguruskan stress.


Seorang pengkomen di blog GB memberi komennya:

Aduhai Najib...mu satu orang kata HARAM JADAH kepada 1000 peneroka...maka 1000 peneroka akan kata HARAM JADAH kepada mu seorang...fikir fikirkan lah..!!

Kita sekadar ingin mengingat dan menyedarkan Najib agar jangan keterlaluan melalui peristiwa betapa Allah itu Maha Tinggi dan Maha Berkuasa, dan kita juga ingin mendengar kot-kot ada penafian dari Najib mengenainya atau jika ada pengakuan Najib bahawa beliau tidak takut dengan peringatanNya itu.

Najib Terkena Cacar Balik Dari Hanoi

PM dinasihatkan berehat selepas tanda awal cacar

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dinasihatkan agar berehat di kediaman dan mengelakkan daripada menghadiri semua majlis rasmi berikutan rawatan perubatan selepas terdapat simptom penyakit cacar.

Penasihat media beliau, Datuk Seri Jalaludin Bahaudin, dalam kenyataan kepada Bernama menyatakan bahawa Perdana Menteri mula merasa kurang sihat dan kemudian didapati ada ruam panas, sakit otot dan sendi pada hari terakhir Sidang Kemuncak Asean ke-17 dan berkaitan di Hanoi, Vietnam selama tiga hari.

"Setibanya di Subang (Selangor) hari ini, beliau menunjukkan ada tanda-tanda awal menghidapi penyakit cacar dan dengan segera mendapat rawatan.

Oleh kerana ubat diberikan awal, Perdana Menteri menunjukkan respon yang baik," katanya sambil menambah doktor peribadi Najib menasihatkan Perdana Menteri berehat di kediaman dan mengelak daripada menghadiri semua majlis awam dan rasmi.

"Perdana Menteri memohon maaf atas segala kesulitan," katanya.
- BERNAMA 1/11/2010


Najib Dan Rosmah Kemalangan Di Senawang

Kereta yang dinaiki oleh Dato Seri najib Tun Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor terlibat dalam satu kemalangan di Lebuhraya Senawang, Ayer Keroh. Kereta yang dinaiki mereka terbabas dan terbalik di tepi lebuhraya tersebut. Jangan salah faham ya..

Ini kisah yang berlaku pada tahun 1988 semasa Dato Seri Najib menjawat Jawatan Menteri Belia Dan Sukan. Sekadar mengimbau sejarah yang ramai tidak mengetahuinya.





Ini bukan fitnah! Kita sekadar mengingatkan kepada mereka yang lupa. Jangan sampai nanti kamu-kamu menuduh rakyat tidak pernah menegurmu dan menuduh Allah tidak pernah menurunkan peringatanNya.


Sahut dan sambutlah seruan Tuhan kamu (yang mengajak kamu beriman), sebelum datangnya dari Allah – hari yang tidak dapat ditolak; pada hari itu tidak ada bagi kamu tempat berlindung (dari azab-Nya), dan tidak ada pula bagi kamu sebarang alasan untuk menafikan (kesalahan yang kamu telah lakukan). Oleh itu, jika mereka berpaling ingkar, maka Kami tidak mengutusmu (wahai Muhammad) sebagai pengawas terhadap mereka; tugasmu tidak lain hanyalah menyampaikan (apa yang diperintahkan kepadamu). [asy-Syura 42: 47-48]


Bagi yang belum tonton/dengar Najib mengharam-jadahkan peneroka, sila lihat video di bawah:


Senaman Punggung Loya Dan Menjijikkan - Tetapi Sudah Menjadi Budaya UMNO

Posted: 16 May 2012 07:56 AM PDT

Hanya si bacul suka goyang punggung – Kobat

KUALA LUMPUR 16 Mei: Tindakan Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM) mengadakan 'senaman punggung' depan kediaman Pengerusi Bersama Bersih, Datuk S Ambiga sangat memalukan, kata Datuk Fauzi Abdul Rahman.

Pengerusi Kor Bekas Anggota Tentera/Perajurit (Kobat) KEADILAN Pahang itu menyifatkan, kumpulan yang diketuai Mohd Ali Baharom berfikir menggunakan punggung.

"Tindakan ini sangat biadab, jijik dan meloyakan kerana hanya mereka yang berfikir menggunakan punggung sahaja melakukan aksi tidak bertamadun itu," katanya dihubungi Keadilan Daily.

Jika PVTM tidak bersetuju dengan Ambiga, persoalan pokok kata Fauzi ialah, adakah aksi yang dilakukan kumpulan itu beradab dan sesuai dengan adat dan tata susila rakyat Malaysia?

"Kami dari Kobat, malah puluhan ribu dari bekas-bekas tentera tidak sedikit pun megah dengan aksi `goyang punggung' di hadapan seorang wanita untuk membuktikan `kejantanan' bekas tentera.

"Hanya pondan di lorong-lorong atau seorang bacul sahaja suka menggoyang-goyangkan punggung dan ianya amat menjijikkan," tegasnya.

Beliau turut melihat tekanan berterusan puak seumpama itu melakukan pelbagai aksi di depan rumah Ambiga untuk mengalih perhatian rakyat yang menuntut pilihan raya bersih dan adil sebagaimana dibuktikan pada Himpunan Bersih 28 April lalu.

"Tentera sepatutnya menyokong Bersih kerana NGO ini bertujuan baik iaitu menuntut pentadbiran Datuk Seri Najib Razak antaranya membersihkan daftar pemilih.

"Daftar pemilih di Malaysia kotor sebab warga asingpun turut mengundi dan dalam hal ini, tentera patut sokong dan bukan menjadi alat Umno," tegas Fauzi lagi.

Mengenai pengabaian Kementerian Pertahanan terhadap bekas tentera yang lumpuh, beliau turut mengaitkannya dengan aksi senaman punggung itu.

"Sebab itu saya katakan, aksi goyang punggung ini tidak menyelesaikan masalah golongan tentera yang masih ramai hidup susah sebab Najib kekal enggan turunkan harga minyak termasuk abaikan bekas tentera.

"Kobat pula tidak bercadang menggoyang punggung depan rumah Najib dan disaksikan Rosmah Mansor kerana ia tidak menyelesai masalah negara yang menuju bankrap ekoran rasuah Umno dan sekutunya," katanya sinis.

Sehubungan itu, beliau menyeru tentera dan bekas tentera melakukan perubahan pada Pilihan Raya Umum akan datang dengan menolak Najib yang terus memperalat segelintir bekas tentera demi kepentingan hayat politik Umno.

Fauzi yang merupakan anak saudara kepada Allahyarham Tan Sri General Abdul Hamid Bidin, bekas Yang Di-Pertua Persatuan Bekas Perajurit Malaysia menubuhkan Kobat di Pahang bertujuan membela nasib bekas tentera dan perajurit negara.

Penubuhannya berikutan nasib kumpulan terbabit tidak terbela khasnya di Pahang walaupun Najib pernah menjadi Menteri Pertahanan sebanyak dua kali masing-masing pada 1990 hingga 1995 dan 1999 hingga 2008. -KD


Senaman punggung langgar adab, budaya Melayu – Teras

KUALA LUMPUR 16 Mei: Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Mohd Azmi Abdul Hamid menyifatkan 'senaman punggung' oleh bekas tentera di depan kediaman Pengerusi Bersama Bersih, Datuk S Ambiga sebagai tindakan bodoh dan gila.

Katanya, tindakan itu tidak patut diterima oleh mana-mana pihak kerana ia tidak menunjukkan tata susila dan budaya Melayu yang sebenar.

"Saya cukup kesal dengan kelakuan mereka yang langsung tidak matang dan beradap.

"Apatah lagi ia adalah satu provokasi dan boleh menimbulkan ketegangan (di kalangan masyarakat),"
katanya kepada Keadilan Daily.

Beliau juga kesal sikap lepas tangan pihak berwajib kerana tidak menghalang kelakuan di kediaman peribadi itu.

"(Pihak berkuasa) seolah merestui, (ia) patut dihalang kerana mengganggu kediaman dan privasi (Ambiga)," katanya.

Semalam, dilaporkan 15 anggota tentera dari Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM) berdemonstrasi di depan kediaman Ambiga kerana membantah peranan beliau dalam perhimpunan Bersih 3.0 dan apa yang dikatakan sebagai 'gerakan seks bebas'.

Selain membawa sepanduk mengutuk Ambiga dan Bersih 3.0, mereka turut menarik perhatian dengan membongkok dan menggoyangkan punggung ke arah kediaman peguam itu.

Demonstrasi ini dilihat sebagai susulan 'protes Burger' oleh Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) 10 Mei lalu yang membuka gerai burger di hadapan rumah beliau.

Mohd Azmi sehubungan itu, menyeru semua pihak, terutama ahli agama dan bekas tentera untuk tegas mengecam aksi tersebut.

"Mereka telah menghina Islam, (kerana) mencetuskan fitnah dan salah faham terutamanya kepada masyarakat bukan Islam.

"Ia juga memberi gambaran buruk kepada bekas tentera, padahal hanya dilakukan oleh sebilangan kecil sahaja," kata beliau lagi.
-KD


Ulasan GB

Budaya tonggeng bontot bak lembu-lembu itu sebenarnya seperti sudah menjadi budaya UMNO. Mengapa GB katakan begitu?

Kerana setakat ini belum ada mana-mana pemimpin dan ulamak UMNO yang menyelarnya.

Kedua, hampir kesemua blogger-blogger pro-UMNO "menyokong" tindakan bekas tentera tersebut.

Ketiga dimana-mana saja kita boleh tonton pemuda-pemudi UMNO menunjukkan aksi lucah dengan menonggengkan bontotnya terhadap orang yang tak disukainya di khalayak ramai seperti gambar di bawah:












Begitukah akhlak orang Islam. Tidak, Ia adalah "budaya murtad" yang lansung tidak dibendung oleh ulamak-ulamak UMNO!

Polis Diselar Kerana Masih Mengganas Sekalipun Perhimpunan BERSIH Sudah Tamat

Posted: 16 May 2012 05:54 AM PDT

BERSIH dakwa polis pukul individu dikehendaki

BERSIH hari ini mengecam tindakan polis yang didakwa memukul peserta himpunan 28 April lalu selepas menyerah diri kepada polis.

Kecaman itu dibuat selepas peserta himpunan itu Mohd Safuan Mamat mendakwa dipukul dengan salur getah supaya mengaku bersalah di ibu pejabat polis daerah (IPD) Dang Wangi 14 Mei lalu.

"Jadi apa (mesej) yang polis mahu sampaikan?

"Adakah itu yang akan dilakukan terhadap mereka yang lain?" tanya Ahli Jawatankuasa Pemandu BERSIH, Maria Chin Abdullah pada sidang media di Kuala Lumpur sebentar tadi.

Polis sebelum ini mengeluarkan senarai gambar 141 individu yang diminta menyerah diri untuk membantu siasatan berhubung himpunan BERSIH 3.0 hujung bulan lalu.

Bagaimanapun, empat daripada gambar itu dikenal pasti pengguna Internet sebagai individu sama.

Dalam sidang media pagi tadi BERSIH turut mengumumkan akan mengadakan sidang akhbar menampilkan hampir 100 orang yang mendakwa menjadi mangsa keganasan polis.

Ia akan diadakan pada jam 11 pagi pada 19 Mei ini di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), kata ahli jawatankuasanya, Hishamuddin Rais.

"Mereka ini adalah mangsa dan mereka diganasi polis (pada 28 Aril lalu)," kata Hishamuddin.

Menurut Maria Chin pula, sebahagian mereka yang hadir itu akan menampilkan bukti dalam bentuk gambar dan menceritakan semula pengalaman mereka diganasi polis dan juga layanan diterima di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), Jalan Semarak.

"Kita akan dengar dari mulut mereka sendiri kali ini, dan bukannya daripada kami," kata Maria. -mk

Kalau polis belasah, apa perlu mahkamah

KUALA LUMPUR, 16 Mei: Kalau polis ikut suka hati pukul peserta Bersih 3.0 yang menyerah diri, tidak perlu ada mahkamah, kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Sambil mengutuk tindakan membelasah Mohd Safuan Mamat, peserta Bersih yang menyerah diri dengan sukarela, beliau melihat tindakan itu akan menambahkan kebencian rakyat.

"Kalau sudah tidak mahu ikut peraturan dan seronok sangat membelasah orang ikut suka hati, suruh polis runtuhkan semua mahkamah dan lepas itu bolehlah mereka hukum orang ikut suka hati," kata Mohamad yang ternyata marah dengan tindakan tersebut.

Beliau menyifatkan perbuatan itu sebagai sengaja tidak mahu mengikut peraturan.

"Mereka sengaja tidak mahu ikut peraturan dan saya tidak mahu cakap fasal peraturan dan sifat perikemanusiaan sebab saya sudah tidak nampak sifat-sifat itu ada pada mereka yang membelasah orang lain sesuka hati," katanya.

Mohamad yakin, jika kekejaman seperti itu berterusan dan berleluasa, mungkin jutaan rakyat akan berhimpun sendiri tanpa perlu digerakkan oleh mana-mana pemimpin atau pertubuhan.

"Hari ini, sebahagian rakyat sudah tidak nampak perbezaan antara polis dan Umno.

"Jika rasa sakit hati rakyat tidak dapat dikawal lagi, bukan lagi ratusan ribu malah berjuta rakyat akan berhimpun sendiri di seluruh negara melawan Umno," katanya.

Mohamad juga yakin apa yang berlaku itu akan menjadikan rakyat semakin nampak keengganan kerajaan Umno Barisan Nasional (BN) untuk menerima dan menyetujui pilihan raya yang adil dan bersih.

"Saya yakin, isu utama yang rakyat nampak dengan lebih jelas ialah Umno BN tidak mahu pilihan raya yang adil dan bersih," kata beliau.

Rakyat juga, katanya, akan semakin memahami bahawa tindakan ganas yang berterusan itu adalah disebabkan ketakutan Umno apabila melihat ratusan ribu rakyat berhimpun dalam perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu.

"Mereka tidak sangka ratusan ribu rakyat berhimpun, mereka panik dan seperti kerbau yang disembelih, dia menendang-nendang sana sini," katanya.

Mohd Safuan yang membuat laporan polis semalam terhadap tindakan membelasahnya itu berkata, dia ditahan dan dipukul oleh pihak polis selepas menyerah diri pada hari Isnin.

Pemuda dari Marang, Terengganu itu mengadu, selepas ditendang masuk ke dalam sebuah bilik, beliau dipukul di mukanya dengan batang paip hitam oleh anggota polis yang memakai pakaian seragam sambil memaksa beliau mengaku beliaulah yang memukul kereta polis ketika perhimpunan Bersih 3.0.

Mohd Safuan juga dipukul di bahunya dengan batang paip hitam itu.

Apabila dibawa ke lokap, beliau ditampar pula oleh tahanan lain selepas polis yang membawanya ke lokap itu memberitahu "dia ni Bersih, gangster".

Mohd Safuan juga mengadu beliau dipaksa membuat pengakuan dan menandatangani borang tertentu.
-HD


BERSIH : Polis Diminta Keluarkan Senarai Nama 120 Individu Dijejaki

KUALA LUMPUR, 16 MEI: Polis diminta mengeluarkan senarai nama kepada pihak media sekiranya mereka benar-benar ingin menjejaki peserta yang didakwa mencetuskan keganasan pada hari perhimpunan Bersih 3.0 yang lalu.

Ahli Jawatankuasa Pemandu Bersih, Maria Chin Abdullah berkata, perkara ini perlu bagi mengelakkan kesilapan tangkapan meskipun ada beberapa perserta yang menyerah diri setelah melihat gambar yang dipaparkan oleh polis.

"Apa yang penting adalah kalau ada 100 orang yang diburu oleh polis senarai mesti dikeluarkan. Kalau saya tidak tahu saya ada dalam senarai bagaimana saya ingin menyerahkan diri kepada pihak polis," katanya.

Maria Chin berkata awal minggu ini, seorang individu bernama Mohd Safuan Mamat @ Nordin, 25 telah menyerahkan diri kepada pihak polis di Balai Polis Dang Wangi bagi membantu siasatan berhubung himpunan BERSIH 3.0 pada 28 April lalu.

Mohd Safuan mendakwa dia dipukul oleh seorang aggota berpakaian biasa ketika dibawa ke lokap dan dipaksa untuk mengaku merosakkan kereta peronda polis.

Apabila beliau tidak mengaku bersalah terhadap tuduhan itu Mohd Safuan mendakwa dia telah dipukul menggunakan batang paip hitam di bahagian badan dan ditendang.

Setelah dia dimasukkan ke dalam lokap, beliau mendakwa tahanan lain di dalam bilik tersebut menampar beliau sebanyak empat kali namun pihak polis tidak mengambil apa-apa tindakan.

Beliau dihadapkan ke mahkamah dengan pertuduhan di bawah Seksyen 440 dan 174 Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen Jenayah (5), Jalan Duta Kuala Lumpur pada 15 Mei lalu.

Maria turut memaklumkan, setakat ini pihaknya sedang mengumpul segala maklumat berhubung mangsa kekasaran polis pada perhimpunan berkenaan dan akan berbincang bersama pihak guaman bagi menentukan tindakan seterusnya.
-selangorku




Ulasan GB

Amat keterlaluan. Kita minta KPN dan Timbalan KPN menanggung dan menjawab persoalan ini.

Sebagai rakyat biasa, kita sudah tiada tempat lain untuk mengadu. Apa yang mampu kita lakukan hanyalah menadah tangan kepada Allah supaya mengambil tindakan tegas kepada pihak berkenaan termasuklah KPN dan Timbalan KPN jika kedua-duanya enggan bertanggungjawab.

Tiada ulasan: