Ahad, 27 Mei 2012

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Rais buta mana harta negara & Umno

Posted: 27 May 2012 07:54 AM PDT

Ahmad Lutfi Othman
 
 


Ketika PAS dimomokkan sebagai Parti Islam yang ghairah mengejar kuasa sehingga melupakan dasar perjuangan sucinya, namun dalam masa sama berbondong-bondong orang ramai memohon keahlian, termasuk tokoh-tokoh terkemuka dan selebriti terkenal.Semasa aktivis dan penyokong Pakatan Rakyat — tidak terkecuali PAS — ditohmah sebagai perusuh dalam demonstrasi suku juta umat, Bersih 3.0, dengan pelbagai kempen propaganda, termasuk melalui siaran RTM pada waktu puncak, memaparkan peserta himpunan "mengganasi pihak keselamatan", kita dikejutkan dengan perisytiharan beberapa bekas pegawai kanan polis menyertai Parti Islam.

(Semasa mengunjungi Miri, lebih sebulan lalu, memenuhi jemputan program kewartawanan media baru, saya bertemu dengan bekas Timbalan Residen Miri — jawatan hampir sama dengan Penolong Pegawai Daerah — Johari Bujang, yang kemudiannya baru-baru ini dilaporkan telah menyertai PAS).

Berita itu sepatutnya menenggelamkan dakyah bekas Ketua-Ketua Polis Negara — Hanif Omar, Rahim Noor dan Musa Hassan — yang cuba memalitkan imej "kotor dan ganas", juga "berunsurkan komunis" terhadap perhimpunan menuntut pilihan raya adil dan bersih, 28 April lalu.

Pada 20 Mei lalu, di hadapan lebih 5,000 hadirin, bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Dato' Fauzi Shafie (antara segelintir kecil nama-nama pegawai kanan polis yang diingati ramai), telah menyerahkan borang keahlian PAS kepada Tuan Guru Abdul Hadi Awang, di Ulu Sepetang, Larut, Perak.

Menerusi YouTube, saya agak teruja mendengar muqadimah ucapan Fauzi, yang dikira mantap dan sarat dengan peringatan agama, sekali gus menggambarkan sikap dan komitmen padunya terhadap perjuangan Islam yang dibawa PAS. Beliau seperti mahu memanfaatkan baki usianya untuk mendaulatkan agama Allah.

Sebelum itu, di Perak juga, bekas Ketua Polis Daerah (OCPD) Slim River, Abdullah Omar turut menyertai PAS. Dalam ceramahnya di Dungun, 24 Januari lalu, Abdullah berkata beliau masuk PAS kerana PAS adalah parti yang sah di sisi undang-undang,  berdaftar dengan pendaftar pertubuhan, dan lebih penting kerana dipimpin tokoh-tokoh yang ingin membawa negara kepada pemerintahan Islam, tidak sepertimana kebanyakan pemimpin Umno yang terlibat dengan pelbagai skandal.

Abdullah seolah-olah menjawab lebih awal siri serangan yang bakal dihadapi  Fauzi. Akhbar Berita Harian, 22 Mei lalu, memilih tajuk utama halaman lapan,  "Veteran polis rasa terguris", dengan tajuk kecil, "Keputusan bekas Pengarah JSJ sertai PAS dianggap khianati kerajaan".

Ia ekoran reaksi Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia, Shafie Bakri, dengan penyertaan Fauzi bersama PAS. Shafie berkata, pihaknya terkejut dan keliru dengan tindakan Fauzi itu.

"Saya pun tak tahu apa pertimbangan beliau (Fauzi) sedangkan ketika dalam PDRM, beliau memegang jawatan kanan selain mendapat gaji yang tinggi dan berpencen. Kini bila bersara, sertai pula pembangkang, agak ganjil tindakan beliau itu," kata Shafie, seperti dilaporkan Berita Harian.

Saya sendiri terkejut bagaimana Berita Harian memilih tajuk kecil "… dianggap khianati kerajaan" hanya kerana bekas pegawai tertinggi polis itu menyertai PAS. Usaha "pembodohan massa" (meminjam ungkapan Dr Siddiq Fadzil ini) dalam suasana rakyat semakin terbuka menilai amalan demokrasi dan celik politik itu cukup memalukan.

Sebelum ini, akhbar dalam kumpulan yang sama, New Straits Times (NST) telah melabelkan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai "bapa kafir" dan tidak mahu memohon maaf walaupun selepas didesak berbuat demikian.

Segera saya mengirim SMS kepada Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu minta respons awal terhadap laporan Berita Harian itu. Tanpa perlu menunggu lama, Mat Sabu yang banyak menjalin hubungan dengan tokoh-tokoh kenamaan pesara tinggi kerajaan dan juga bekas pimpinan Umno, membalas: "Inilah doktrin yang melahirkan kebangangan polis dan bekas polis …tak kenal antara kerajaan dengan Umno."

Rakan saya, seorang pegawai polis, turut membalas SMS sama: "Apakah Shafie faham erti dan amalan demokrasi yang sebenarnya?"

Menyedihkan sekali, jika hal-hal semudah itu, seperti kebebasan untuk memilih menyertai mana-mana parti politik berdaftar — hatta proaktif untuk menjatuhkan kerajaan melalui saluran undang-undang — dikaitkan dengan istilah-istilah yang langsung tidak relevan, misalnya "khianati kerajaan".

Mungkin kalau zaman dahulu (zaman Hanif Omar) akan mudah dilabelkan dengan  "anasir subversif", malah tidak mustahil dicap "prokomunis", atau  dikaitkan dengan "aliran Marxisme" (satu istilah yang cukup digemari Rahim Noor).

Kepada pertanyaan wartawan Harakahdaily, Fauzi berkata: "Memang kalau ikut keselesaan, dengan wang pencen dan hasil bulanan dari perniagaan saya dan keluarga, ia sudah cukup untuk saya. Saya boleh duduk rehat sahaja.  Tapi, semacam ada rasa satu tanggungjawab untuk saya bersama PAS kini."

Semasa menjadi Ketua Polis Dang Wangi, Fauzi terkenal dengan tindakannya membanteras maksiat di pusat bandaraya Kuala Lumpur. Tindakan beliau pernah dikecam oleh seorang menteri yang menyifatkan tindakan Fauzi akan "menghalau pelancong" dari negara ini.

Dalam pada itu, seorang rakan lama, juga bekas wartawan ekonomi, meminta Harakah memberi penekanan kepada berita Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Dr Rais Yatim memperuntukkan RM200,000 kepada semua ahli veteran Umno dan Mubarak (Majlis Bekas Wakil Rakyat BN) di setiap negeri dengan menyediakan komputer riba  dan latihan pengurusan media baru, sebagai persiapan menghadapi PRU13.

Sekali lagi ungkapan paling sesuai untuk Rais, seperti dilafazkan Mohamad Sabu: "…tak kenal antara kerajaan dan Umno." Rais yang satu ketika dahulu prihatin dan komited dengan prinsip-prinsip asas demokrasi, kini seperti tidak dapat membedakan di antara wang kerajaan yang diperolehi daripada pembayar cukai dengan dana politik Umno.

Tindakan Rais itu membuatkan kenyataannya yang lebih penting kurang diperhatikan, iaitu "kertas kabinet berhubung permintaan mendapatkan akses sama rata terhadap media bagi parti-parti politik yang mahu membentangkan manifesto pilihan raya mereka kepada orang ramai" telah disiapkan.

Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) yang saya terajui cukup berminat dengan isu akses media sama rata sewaktu kempen PRU13, terutama membabitkan media yang dibiayai dana awam, seperti RTM dan Bernama. Sewaktu konvensyen KAMI, 12 Mei lalu, seperti disaran V Anbalagan, Setiausaha Agung NUJ, telah dirumuskan bahawa satu badan khas yang bebas perlu ditubuhkan bagi memantau perjalanan media berkenaan.

Bagaimanapun saya curiga kemampuan Rais untuk bertindak adil dalam menyiapkan kertas kabinet, terutama untuk menyambut saranan SPR agar diberikan airtime berkempen, yang munasabah untuk semua parti bertanding dalam PRU13 nanti.

BERSIH 3.0: Mahathir kutuk anak sendiri?

Posted: 27 May 2012 07:26 AM PDT

Roketkini.com




KUALA LUMPUR: Kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad kononnya perhimpunan BERSIH 3.0 adalah "persediaan untuk menolak keputusan PRU13 jika parti lawan gagal memenanginya" menimbulkan persoalan sama ada bekas Perdana Menteri itu mengecam anaknya sendiri Datin Paduka Marina Mahathir yang menyokong dan menyertai perhimpunan tersebut pada 28 April lalu.

Malah, Marina juga telah menyokong dan menyertai perhimpunan aman BERSIH 2.0 pada Julai tahun lalu.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, tuduhan Mahathir yang tidak masuk akal itu mencerminkan sikapnya sendiri dan membangkitkan pertanyaan sama ada anaknya Marina "tidak cerdik" kerana sanggup menjadi "alat" kepada BERSIH 3.0 dan Pakatan Rakyat.

"Mahathir sepatutnya memuji Marina kerana semangat perjuangan dan patriotismenya menyertai BERSIH 3.0 dan BERSIH 2.0, dan bukannya menghentam anaknya serta ratusan ribu rakyat Malaysia yang menyertai perhimpunan tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimana pun, katanya, dakwaan tidak berasas Mahathir itu telah menjadi bukti kelima yang melibatkan kempen pihak tertinggi untuk memomokkan BERSIH 3.0.

Dalam tulisan blognya baru-baru ini, Mahathir telah mendakwa kononnya "kekalahan (Pakatan) akan dituruti dengan demonstrasi ganas yang tidak berhenti-henti supaya keputusan pilihanraya ditolak dan satu Kerajaan lain didirikan…Kemudian mereka akan berusaha untuk mengadakan pilihanraya sekali lagi yang boleh dimanipulasi oleh mereka…Malaysia akan bertukar menjadi negara yang tidak lagi stabil dan tidak dapat memajukan negara untuk kebajikan rakyat."

Menurut Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur, empat bukti awal telah diberikan oleh para pemimpin besar yang memang berniat jahat terhadap BERSIH 3.0, iaitu:

·         Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah menuduh bahawa BERSIH 3.0 adalah cubaan Pakatan Rakyat untuk menggulingkan kerajaan;

·         Bekas Ketua Polis Negara Tun Hanif Omar menyokong Najib dengan mendakwa bahawa BERSIH 3.0 didalangi oleh komunis; (Hanif telah dilantik menjadi pengerusi "panel penyiasat bebas" untuk menyiasat perhimpunan BERSIH 3.0!)

·         Bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Rahim Noor menyokong Najib dengan mendakwa BERSIH 3.0 menggunakan taktik "Marxist" serta menuduh Pakatan Rakyat mahu pertumpahan darah kerana tidak yakin untuk menawan Putrajaya melalui pilihan raya (Rahim pernah dipenjarakan kerana menumbuk, memukul dan mencederakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu dalam tahanan polis pada 1998); dan

·         Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein dalam wawancara dengan akhbar milik MCA, Sudany Star pada 20 Mei, bahawa "demokrasi telah dirampas" pada 28 April (Hishammuddin pada mulanya berkata BERSIH 3.0 berhak mengadakan perhimpunan di Dataran Merdeka pada 28 April).

Kit Siang berkata, kesemua pemimpin itu sepatutnya menjadi saksi utama dalam siasatan perhimpunan BERSIH 3.0 kerana mereka telah mengeluarkan kenyataan-kenyataan sedemikian.

"Jika mereka gagal mengemukakan bukti untuk mempertahankan tuduhan-tuduhan mereka terhadap BERSIH 3.0 dan Pakatan Rakyat, maka mereka perlu menarik balik kenyataan serta meminta maaf kepada rakyat Malaysia kerana telah berbohong dan memfitnah," katanya. – Roketkini.com

Kelantan selesai isu tanah wat Siam di Tumpat

Posted: 27 May 2012 06:40 AM PDT

Azman Mustafa,

TUMPAT: Isu tanah wat Siam milik penganut agama Buddha di sini yang berlarutan sejak zaman kerajaan Barisan Nasional (BN) kini diselesaikan kerajaan PAS.

Sebelum ini pemimpin masyarakat Siam meluahkan rasa bimbang berhubung status tanah rumah ibadat mereka yang tidak selesai.

Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, mana-mana tanah milik kaum Siam di kawasan ini yang pernah dilelong suatu ketika dahulu akan dipulangkan kepada tuan asalnya.

Katanya, bagi mewujudkan keharmonian di antara kaum di Kelantan setiap bangsa perlulah menghormati kebudayaan kaum lain.

"Jangan ada di antara mana-mana  rakyat di negeri ini memaksa kaum minoriti supaya ikut budaya hidup mereka," katanya pada Majlis Ramah Mesra Bersama Kaum Siam di Wat Machimmaram, Kampung Jubakar Darat baru-baru ini.

Menurutnya sikap seperti itu boleh mencetuskan rasa tidak puas hati dan permusuhan yang akan merugikan semua pihak.

Menteri Besar berkata, dalam usaha meningkatkan syiar Islam, kepentingan dan hak kaum-kaum lain tidak pernah diabaikan memandangkan mereka juga rakyat Kelantan.

Hadir sama anggota Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaafar dan Ketua Wat Buddha, Prak Kru Vitidthamanat, Adun Kelaboran, Mohd Zaki Ibrahim, Penyelia Dun Pengkalan Kubor, Wan Rosdi Wan Ibrahim dan Ketua Pemuda PAS, Mohd Rosli Abdullah.

Pada program tersebut yang dianjur Majlis Daerah Tumpat sebanyak 200 hamper diberi kepada ketua-ketua wat dan warga emas kaum Siam.

Semua calon layak jadi MB Kedah, kata ketua Umno

Posted: 27 May 2012 06:34 AM PDT

SINAR HARIAN

Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah
 
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah.
 
 
ALOR SETAR -  Semua calon Umno yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) layak menjadi Menteri Besar, kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah.
  
Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Bakar Bata itu berkata calon Menteri Besar akan ditentukan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak setelah Barisan Nasional (BN) berjaya merampas kembali Kedah.
  
"Yang penting sekarang ialah fokus dan bekerja keras untuk menang...lepas itu kita lihat siapa lebih layak (jadi Menteri Besar)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan kursus ketua unit PRU13 Parlimen Alor Setar di sini hari ini.
  
Ahmad Bashah berkata, spekulasi bahawa timbalannya Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir bakal menjadi Menteri Besar Kedah dan akan bertanding kerusi DUN pada PRU13 sengaja ditimbulkan oleh pihak luar bertujuan memecah-belahkan Umno negeri.
  
"Umno tidak perlu tonjolkan sesiapa untuk jadi Menteri Besar kerana calon yang bakal bertanding pun tidak dihebohkan," katanya sambil meminta semua media elektronik, cetak termasuk blog segera menghentikan spekulasi tersebut. – Bernama

Kabinet diminta percepatkan kelulusan litar perlumbaan 'Drag'

Posted: 27 May 2012 06:29 AM PDT

SINAR HARIAN

Hari Belia Negara 2012
 
Himpunan Jutaan Belia Putrajaya 23-27 Mei 2012
 
 
PUTRAJAYA - Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata beliau akan meminta Kabinet mempercepatkan kelulusan pembinaan litar bagi perlumbaan 'drag' bagi mengelak kejadian tidak diingini sekiranya ia dianjurkan di jalan raya.
  
Beliau berkata peruntukan itu ialah bagi membina litar lurus sepanjang kira-kira 800 meter dengan kemudahan tempat duduk untuk penonton memandangkan sukan permotoran tersebut semakin mendapat tempat dalam kalangan anak muda.
  
"Kita pernah memohon tetapi belum dapat kelulusan. Jadi saya akan maklumkan kepada Kabinet supaya disegerakan kelulusan peruntukan yang diperlukan," katanya kepada pemberita selepas melawat kawasan kemalangan ketika perlumbaan 'drag' yang diadakan sempena Himpunan Jutaan Belia 2012 di Presint 19, malam tadi.
  
Dalam kemalangan itu, 17 penonton cedera termasuk empat parah apabila sebuah kereta yang terlibat dalam perlumbaan itu terbabas dan merempuh penonton yang berada di kawasan yang dibenarkan untuk menyaksikan sukan permotoran itu.
  
'Drag' ialah perlumbaan kereta atau motosikal di trek pendek dan lurus, dengan pelumba dikehendaki menghabiskan cabaran dalam tempoh paling singkat. Ia menggunakan enjin berkuasa tinggi dan mengeluarkan bunyi bising.

Ahmad Shabery berkata sukan itu tidak patut dihentikan semata-mata kerana kemalangan tersebut kerana dikhuatiri mereka yang meminati sukan itu akan berlumba secara haram termasuk di tempat awam yang jauh lebih bahaya.
  
"Perlumbaan ini adalah satu sukan yang dianggap sebagai satu aktiviti pembangunan belia yang mana mereka boleh memahami konsep sukan permotoran daripada segi kejuruteraan, kecekapan pemanduan dan sebagainya," kata beliau.
  
Ahmad Shabery berkata beliau juga akan melihat kepada penubuhan badan induk sukan berkenaan kerana pada masa ini tiada badan khusus bagi mengawal selia sukan itu dengan lebih berkesan.
  
"Kita ada beberapa badan dan persatuan yang melibatkan sukan permotoran tetapi adakah ia merangkumi perlumbaan seperti ini. Saya perlu mendapatkan lebih maklumat tentang perkara itu," katanya. - Bernama

DAP: PRU13 bakal muncul pilihan raya paling ganas

Posted: 27 May 2012 06:27 AM PDT

Wartawan Sinar Harian

DAP: PRU13 bakal muncul pilihan raya paling ganas
 
Lim Guan Eng
 
 
SHAH ALAM - DAP, komponen Pakatan Rakyat (PR), mendakwa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) bakal muncul sebagai pilihan raya paling ganas dalam sejarah akibat keadaan terdesak Barisan Nasional (BN) untuk kekal kuasa tanpa mengira apa kaedah untuk memperoleh undi dan sokongan rakyat.

Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata, sejak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggunakan ungkapan "dahsyat iaitu kalau berkecai tulang dan juga badan, walau bercerai jasad dari nyawa", menunjukkan Umno makin menggunakan bahasa kebencian dan keganasan dalam arena politik.

"Seruan Najib pada hari itu membuktikan bahawa bahasa keganasan bukan sekadar terhad kepada kata-kata tetapi sudah pun menjadi tindak-tanduk samseng yang ganas dan tidak berakal," kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Sehubungan itu kata beliau, DAP mahu mengingatkan agar BN mengambil iktibar daripada taktik-taktik keganasan bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak terhadap rakyatnya yang akhirnya telah gagal dan ditolak.

"Rakyat sudah tidak takut dengan taktik-taktik penindasan kerana mereka mahukan kebebasan," katanya lagi.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, walaupun keganasan penyokong-penyokong Umno terhadap para pemimpin dan penyokong PR sudah dibuktikan dengan gambar dan rakaman video, mereka yang bertanggungjawab masih belum didakwa di mahkamah.

"Malah penyokong-penyokong Umno yang dirakam memukul dan mencederakan wartawan dan jurugambar di Pulau Pinang dalam dua insiden pada Julai lepas dan 26 Februari lalu juga tidak didakwa," katanya dengan merujuk kepada insiden ketika ceramah perdana PKR di Lembah Pantai, Khamis lalu.

Selain itu, Guan Eng juga pihaknya mengecam keganasan bersiri dalam tempoh beberapa minggu lalu ketika acara-acara Pakatan Rakyat, yang membabitkan pemimpin-pemimpin PR di Felda Lepar Hilir, Pahang; Sembrong Johor, Padang Kota Lama, Pulau Pinang; Merlimau, Melaka; Pekan Bangi, Kuala Kangsar dan di Pengerang, Johor.

Katanya, kegagalan polis dan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan ke atas samseng-samseng di kalangan penyokong BN hanya akan menggalakkan lebih keganasan terhadap pemimpin-pemimpin dan penyokong-penyokong PR.

"Ini membuktikan bahawa kerajaan BN tidak berminat dengan pilihan raya yang bersih, bebas dan adil tetapi ingin menyemai ketakutan dan sanggup mempertikaikan demokrasi.

"DAP menyatakan kebimbangan untuk keselamatan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menjadi sasaran utama ahli-ahli Umno.

"Adakah pemimpin-pemimpin PR, termasuk Ketua Menteri dan wakil-wakil rakyat, perlu dicederakan sebelum apa-apa tindakan diambil untuk melindungi mereka bagi memastikan kempen politik yang bebas daripada keganasan?" katanya lagi.

Umno Panik dan ‘Tungging Punggung’; Wahid Ulangi Cabar MB Terenganu Debat

Posted: 27 May 2012 06:15 AM PDT



Skuad BO  


KUALA NERUS – Umno danBarisan Nasional (BN) menjadi 'panik' dengan perkembangan politik yang menyebelahi PAS dan Pakatan Rakyat, menyebabkan parti itu mengambil tindakan yang memalukan dan diluar pemikiran yang waras.

Menurut Pesuruhjaya PAS Terengganu, Haji Mohd Abdul Wahid Endut antara tindakan 'memalukan' yang dilakukan oleh Umno termasuk menuduh PAS sebagai pati ajaran sesat, memanggil rakyat dengan gelaran 'haram jadah', menggelar Mursyidul Am PAS sebagai 'bapa segala kafir'.

"Nampak dia (Umno) menggelabah Najib pulak ada dikalangan peneroka tak setuju nak menyenaraikan Felda Global Venture, dia panggil peneroka 'haram jadah', ini menggambarkan kepada kita sekarang ini Umno cukup menggelabah,

"Umno panik kita nampak sangat bila dia panic dia buat benda-benda yang diluar  pemikiran yang waras (selepas) dok tuduh ajaran sesat, dok tuduh bapa kafir bila bila kita buat Bersih 3.0 berjaya, tindak balas tak cerdik dia pakat pergi rumah Ambiga pakat 'tungging punggung'!,"kata Haji Wahid.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika Majlis Hi-Tea anjuran Dewan Muslimat PAS Batu Rakit pada Jumaat 25 Mei, di restoran as-Syakirin, dekat sini.

Menurut Hj Wahid walaupun Umno melemparka pelbagai tusuhan terhadap PAS tetapi semakin ramai yang menyertai PAS termasuk golongan cerdik pandai dan profesional.

Justeru kata belia, sekiranya PAS dan Pakatan Rakyat dapat mengekalkan 'momentum' sokongan rakyat dan memiliki dana yang cukup, InsyaAllah PAS akan menang dalam pilihanraya umum ke-13 akan datang.

Sementara itu, Haji Wahid mengulangi cabaran debat dengan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berdebat mengenai isu-isu setempat sebagai reaksi positif beliau terhadap penganjuran Debat Sinar, Selasa lalu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu berkata, debat di peringkat negeri membabitkan beliau dan Ahmad perlu dilakukan bagi menyelesaikan masalah terutama membabitkan pembangunan dan sebagainya yang menjadi persoalan sehingga kini.

Wahid berkata, pihaknya bersedia untuk berdebat pada bila-bila masa sahaja sama ada sebelum atau selepas pilihan raya umum akan datang.

"Kalau di Terengganu debat boleh dilakukan antara saya dan Ahmad Said. Bila-bila masa sahaja. Kalau berbahas dalam Sidang Dun tidak sempat cakap sudah dipotong," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan ceramah politik di pekarangan Pejabat Perhubungan Pas Terengganu.

Turut hadir Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu.

Wahid turut mencadangkan bahawa debat perlu berkisar pada isu yang membabitkan hak rakyat.

Beliau turut mencadangkan isu runtuhan bumbung bangunan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang tidak diketahui status sebenar sehingga kini dan juga penarikan balik saman royalti minyak terhadap Petronas dan Kerajaan Pusat.

Katanya, debat akan membantu kedua-dua pihak mengupas persoalan yang berlaku secara lebih menyeluruh.

"Kita berdebat mengenai isu Terengganu seperti stadium runtuh, royalti minyak tarik balik. Sedangkan itu hak rakyat Terengganu dan saya sanggup, apatah lagi dengan Ahmad... bila-bila masa," katanya.

Jingga 13: "PM bukan Melayu" propaganda murahan

Posted: 27 May 2012 06:00 AM PDT

 DK Vicky


JINGGA 13 menyatakan sokongan tehadap kenyataan dan pendirian Lim Kit Siang, Ketua Parlimen DAP yang menyatakan Perdana Menteri tetap daripada orang Melayu membuktikan bahawa segala propaganda murahan UMNO dan Media UMNO telah pun terjawab dan menafikan segala hasutan dan sentimen perkauman yang dimainkan yang bertujuan meraih sokongan secara kotor dan jijik.

UMNO dan media UMNO sepatutnya sedar bahawa dalam Perlembagaan Persekutuan tercatat secara jelas bahawa tidak termaktub hanya orang Melayu sahaja boleh menyandang jawatan Perdana Menteri.  Berdasarkan perlembagaan mana-mana warganegara boleh menjawat jawatan Perdana Menteri.

Sentimen perkauman yang cuba dicetuskan bukan sahaja bertujuan memburukkan DAP dan Pakatan Rakyat tetapi bertujuan mewujudkan ketegangan kaum yang boleh mengugat keharmonian dan perpaduan kaum yang telah terbina sekian lama di atas prinsip dan dasar yang jelas dipupuk demi kecintaan kepada negara, malah kesetiaan pelbagai kaum di Malaysia terhadap Raja dan Negara sudah tidak perlu dipertikai dan dinafikan oleh sesiapa pun.

UMNO dan media UMNO terutama Utusan Malaysia wajib menghentikan segala propaganda murahan yang sengaja diwujudkan bagi tujuan kepentingan meraih sokongan orang Melayu dalam pilihanraya semata-mata.

JINGGA 13 yakin seluruh rakyat Malaysia tidak mudah terpengaruh dengan propaganda murahan tersebut kerana rakyat Malaysia sudah semakin matang dan mampu menilai sesuatu maklumat dengan bijaksana di atas prinsip perpaduan kaum yang sama-sama membangunkan negara Malaysia tercinta ini.

*Kenyataan media oleh DK Vicky selaku Setiausaha JINGGA 13.

Mahathir sedang mengumumkan Marina diperguna untuk gulingkan kerajaan Najib?

Posted: 27 May 2012 05:58 AM PDT



Rakyat Malaysia patut berterima kasih kepada bekas Perdana Menteri Mahathir kerana telah menyediakan bukti kelima mengenai kempen fitnah untuk memburuk-burukkan BERSIH 3.0 dan Pakatan Rakyat dan mengapa "panel penyiasatan bebas" yang diketuai oleh Haniff Omar tidak boleh diterima sama sekali dan mesti ditolak dengan sekeras-kerasnya.

Empat bukti yang lain yang telah diberikan oleh Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri dan dua bekas Ketua Polis Negara, yakni:

1. Dakwaan melulu yang tidak bertanggungjawab oleh Perdana Menteri, Najib Razak bahawa perhimpunan BERSIH 3.0 sebenarnya adalah satu "kudeta" atau percubaan oleh pihak pembangkang untuk menggulingkan kerajaan;

2. Sokongan padu yang diberikan dengan serta-merta oleh bekas Ketua Polis Negara Haniff Omar bagi dakwaan Najib mengenai cubaan untuk menggulingkan kerajaan yang juga menyatakan bahawa beliau telah mengenalpasti individu-individu pesimpati komunis di BERSIH 3.0 yang dilihat dalam peristiwa demonstrasi tahun 1970-an dengan lebih dakwaan bahawa kanak-kanak dan ejen-ejen provokasi digunakan sebagai taktik komunis.

3. Rahim Noor, bekas Ketua Polis Negara yang telah memberikan sokongan padu dengan serta-merta kepada teori menggulingkan kerajaan juga telah melemparkan tuduhan bahawa BERSIH 3.0 telah menggunakan taktik "Marxist" serta menuduh pihak pembangkang mahu melihat tumpahnya darah kerana tidak yakin akan dapat menakluk Putrajaya.

4. Dakwaan Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin Hussein dalam temuduga bersama Sunday Star pada 20 Mei bahawa "demokrasi telah dirampas" (hijacked) pada 28 April.

Tulisan blog Mahathir dua hari yang lepas bahawa perhimpunan BERSIH 3.0 adalah satu "penyediaan" oleh Pakatan Rakyat untuk mencetuskan kekecohan dan rusuhan untuk menolak keputusan Pilihanraya Umum Ke-13 sekiranya pihak pembangkang kalah adalah bukti yang kelima dalam kempen fitnah dan tohmahan BERSIH 3.0 dan Pakatan Rakyat yang melibatkan bekas Perdana Menteri, dua Ketua Polis Negara, walaupun mereka semua ini, sampai sekarang belum lagi membekalkan sekelumit pun bukti untuk menyokong pendirian dan pendapat mereka, yang telah dinyatakan pada bulan yang lepas.

Apa yang telah mereka lakukan dengan "melonggokkan" semua pendapat mereka itu adalah supaya "panel penyiasatan bebas" Haniff ditolak sama sekali kerana tiada sesiapapun yang akan percaya bahawa panel tersebut benar-benar bebas, adil dan objektif apabila wujudnya kempen fitnah yang dilancarkan terhadap BERSIH 3.0 dan Pakatan Rakyat.

Malah, Haniff (gambar kiri), bersama-sama dengan Mahathir, Hishammuddin dan Rahim Noor haruslah tampil kehadapan sebagai saksi utama untuk memberi justifikasi dakwaan mereka di hadapan panel penyiasatan yang benar-benar bebas, adil dan kredibel berhubung apa yang benar-benar telah berlaku dalam perhimpunan BERSIH 3.0 pada 28 April dimana keganasan telah dicetuskan, tidak kira kakitangan polis, wakil-wakil media atau peserta-peserta yang telah berhimpun di sana.

Jika kelima-lima daripada mereka, Najib, Mahathir, Hishammuddin, Haniff and Rahim Noor - tidak mampu untuk menyediakan apa-apa bukti untuk menyokong dakwaan mereka terhadap BERSIH 3.0 dan Pakatan Rakyat, kesemua VVIP ini harus menarik balik dakwaan tidak berasas ini dan memohon maaf dengan mulia dan tertib kepada semua rakyat Malaysia.

Adakah gambaran ini memberikan idea bahawa Marina Mahathir telah dipergunakan oleh BERSIH 3.0 dan Pakatan Rakyat untuk menggulingkan kerajaan Najib dengan menggunakan keganasan, seperi yang dinyatakan oleh Mahathir?

Adakah Mahathir sedang menggunakan alat yang sama untuk memburuk-burukkan imej 200,000 hingga 300,000 rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama, kawasan, kelas, jantina dan umur yang telah turun padang pada 28 April untuk menyahut seruan untuk menuntut pilihanraya yang bebas dan bersih di Malaysia?

Mahathir patut memuji anaknya Marina di atas semangat kerakyatan dan patriotisme dalam penyertaannya dalam BERSIH 3.0 pada 28 April dan BERSIH 2.0 pada 9 Julai 2011, daripada mengutuk dan mencemuhnya dan peserta-peserta yang lain dalam perhimpunan BERSIH 3.0.

Baca: Mahathir ramal demo ganas untuk gulingkan kerajaan pilihan rakyat

*Kenyataan media oleh Lim Kit Siang (gambar kanan) selaku Ketua Parlimen DAP dan Ahli Parlimen Ipoh Timur.

PAS khuatir kempen PRU-13 dicemari keganasan

Posted: 27 May 2012 12:42 AM PDT



Abdul Aziz Mustafa, 

KUALA LUMPUR: PAS tidak menolak kemungkinan serangan berterusan terhadap ceramah dan majlis Pakatan Rakyat (PR) adalah sebagai amaran dari pihak tertentu bahawa mereka akan menggunakan keganasan dalam pilihan raya akan datang.

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, perkara itu tidak mustahil berlaku jika melihat kepada tren kebelakangan ini yang mengupah samseng jalanan melakukan serangan fizikal terhadap pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyat.

"Semakin hampir pilihan raya, semakin banyak kita mendengar berita serangan dan keganasan parti tertentu terhadap ceramah-ceramah dan majlis-majlis PR.

"Rakyat hendaklah bersedia menghadapi kemungkinan mereka akan mengganas habis-habisan terutama dalam tempoh berkempen pilihan raya umum akan datang asalkan dapat mempertahankan kuasa," katanya.

Insiden terbaru ialah apabila batu dan telur dibaling dari kawasan ceramah Umno ke tempat Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang berucap di Apartmen Pantai Permai, Lembah Pantai malam tadi.

Seorang warga emas yang menghadiri ceramah itu cedera dan berdarah di kepalanya akibat serangan itu.

Bagi Mahfuz, apa yang berlaku itu menyebabkan rakyat melihat Umno sanggup melakukan apa sahaja asalkan dapat mematahkan gerakan PR untuk meyakinkan rakyat.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu menyifatkan apa yang berlaku itu menunjukkan Umno semakin cemas dan takut kehilangan kuasa.

"Bagi memastikan mimpi ngeri mereka itu tidak menjadi kenyataan, mereka memilih keganasan untuk menakut-nakutkan rakyat," katanya.

Mahfuz berkata, kalau sebelum ini kumpulan pengganas masuk menceroboh dan menyerang ceramah dan majlis PR untuk menunjuk handal, tetapi sekarang mereka memilih menyerang dari jauh dan selepas itu mereka menafikan mereka yang melakukan perbuatan itu.

"Tidak perlulah baling batu sembunyi tangan kerana rakyat tahu siapa yang ada kepentingan untuk menyerang ceramah-ceramah dan majlis-majlis PR.

"Tanpa perlu berfikir pun rakyat boleh memberikan jawapan serta merta siapa pengganas yang menyerang  ceramah-ceramah dan majlis-majlis PR sehingga berkali-kali mengakibatkan pertumpahan darah," katanya.

Mahfuz meminta rakyat membuat keputusan adakah mereka mahu negara ini diperintah oleh parti gangster atau Pakatan Rakyat.

Peluang pelaburan RM20 juta terlepas kerana perhimpunan

Posted: 27 May 2012 12:38 AM PDT

THE MALAYSIAN ISNIDER


PUTRAJAYA– Kuala Lumpur terlepas peluang pelaburan RM20 juta selepas pelabur Korea Selatan menangguhkan hasratnya itu berikutan kekecohan perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lepas, kata Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Beliau berkata ahli perniagaan Korea Selatan itu menemuinya sebelum perhimpunan dan menyatakan hasrat melabur di Kuala Lumpur namun menangguhkan tujuannya itu selepas melihat keganasan yang terjadi.

"Selepas Bersih, saya menghubungi beliau bertanyakan keputusannya tetapi jawapan diberi 'tidak sekarang' selepas melihat menerusi televisyen keadaan tidak menentu di ibu negara," kata Raja Nong Chik kepada pemberita selepas merasmikan majlis Segmen Luar Bandar di Perhimpunaan Jutaan Belia sempena Hari Belia Negara di sini hari ini.

Beliau berkata kerugian yang ditanggung tidak termasuk yang terpaksa dialami para peniaga di ibu negara, malah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sendiri mengeluarkan belanja RM300,000 membaiki kerosakan yang berlaku semasa perhimpunan.

Katanya, kerugian tidak termasuk kos yang terpaksa dibayar kepada Alam Flora untuk kerja pembersihan sampah yang ditinggalkan oleh ribuan penyokong Bersih.

Raja Nong Chik berkata ratusan ribu ringgit terpaksa dikeluarkan untuk membersih dan menyusun kembali kawasan yang terjejas selepas perhimpunan haram sebelum itu, Bersih 2.0, pada 2011.

Beliau menjelaskan walaupun Dataran Merdeka sebuah kawasan awam, ia merupakan tapak bersejarah dan menjadi tanggungjawab DBKL menjaga dan melindungi kawasan itu.

"Kalau hendak demonstrasi kita beri mereka tempat seperti dalam stadium. Perbuatan mereka menyalahi Akta Perhimpunan Aman sedangkan akta itu telah menetapkan tempat-tempat berhimpun yang dibolehkan," katanya.

"Perhimpunan yang telah dibuat di kawasan terkawal seperti Stadium Bukit Jalil baru-baru ini, tidak diganggu oleh pihak berkuasa, tetapi penyokong Bersih berkeras hendak ke Dataran Merdeka sedangkan dataran tersebut adalah kepunyaan orang ramai dan pelancong," katanya.

Raja Nong Chik berkata penyokong Bersih tidak sepatutnya memutar belitkan fakta dengan menyatakan Dataran Merdeka adalah hak rakyat dan mereka bebas berbuat apa sahaja sedangkan kebebasan itu juga milik orang ramai yang cintakan keamanan. – Bernama

Samseng: PKR tuntut penjelasan Nong Chik

Posted: 27 May 2012 12:36 AM PDT

Muhammad Faizal,
 
PETALING JAYA: PKR hari ini menuntut penjelasan daripada Ketua Bahagian Umno Lembah Pantai Dato Raja Nong Chik berhubung serangan terhadap ceramah parti itu di Apartmen Pantai Permai malam tadi.

Naib ketuanya Nurul Izzah Anwar berkata, selain Nong Chik, Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak serta Ketua Pemudanya Khairy Jamaluddin juga perlu bertanggungjawab atas insiden itu.

"Sekiranya mereka tidak melakukan sedemikian, maka Umno telah melampaui batas.

"Semua tindakan kekerasan ini merupakan tidak lain tidak bukan suatu deklarasi perang terhadap rakyat, yang memberi restu untuk menyerang rakyat dan membunuh demokrasi," katanya pada sidang media di ibu Pejabat PKR di sini tengah hari tadi.

Dalam insiden 11 malam tadi, penyokong Umno yang berada di majlis ceramah mereka di kuarters Dewan Bandaraya Raya Kuala Lumpur (DBKL) Pantai Dalam didakwa membalik batu dan telur ke kawasan ceramah Pakatan Rakyat yang terletak berhampiran.

Ketika Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang berucap.

Ekoran insiden itu, seorang warga emas cedera di kepalanya manakala seorang kanak-kanak juga didakwa cedera dan dikhuatiri patah tangan.

Selain itu, tayar kereta milik Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang diletakkan berdekatan tapak ceramah juga didakwa ditoreh oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Menurut Nurul Izzah lagi, beberapa pegawainya juga turut diugut sebelum dan sewaktu program ceramah tersebut berlangsung.

"Cukup jelas bahawa tindakan samseng Umno yang mana telah mengadakan ceramah di dalam kawasan kuarters Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang hanya berjarak 100 meter dari ceramah PKR adalah suatu tindakan provokasi yang cukup tidak bertanggungjawab.

"PKR mengesa pihak polis untuk menyiasat insiden ini dan juga insiden-insiden seumpamanya dengan sepenuhnya agar mereka yang tidak bertanggungjawab dapat dibawa ke muka pengadilan," katanya.

Kolej kroni tuntut RM15 bilion dari PTPTN

Posted: 27 May 2012 12:34 AM PDT


Harakahdaily,

KUALA LUMPUR: PAS menyifatkan PTPTN kini menjadi sumber kewangan untuk mengkayakan kroni Umno dalam perniagaan pendidikan mereka.

Tanpa menolak ada kebaikan yang dibawa PTPTN tetapi masalah yang dihadapi negara sekarang adalah penyalahgunaan tabung ini untuk kepentingan kroni ekoran kerangkanya yang tidak sihat.

Demikian kata anggota Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad, dalam kenyataannya kepada Harakahdaily hari ini.

Beliau mengulas kejayaan wakil Pakatan Rakyat dalam debat PTPTN, Rafizi Ramli baru-baru ini yang disifatkan beliau berjaya menyampai mesej PTPTN perlu dimansuhkan dan digantikan dengan pendidikan percuma.

Dr Dzulkefly juga melahirkan rasa kebimbangan dengan usaha Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang cuba mewajibkan semua pelajar lepasan SPM menyertainya kerana unsur salah guna kroni juga sudah berlaku sekarang.

"Saya mendapat maklumat tentang sebuah kolej swasta yang kini sedang 'memaksa dan menuntut' PTPTN membuat bayaran RM15 bilion untuk membiayai pelajar mereka mengikuti kursus jururawat yang dikenakan RM90,000 seorang untuk seluruh pengajiannya," beritahu Dr Dzulkefly.

Kolej swasta ini, katanya, menawarkan kursus jururawat dengan jaminan kononnya kerja terjamin.

Atas alasan itu, kolej-kolej ini mengenakan yuran yang tinggi kepada pelajarnya dan yuran ini diperolehi dengan membuat pinjaman daripada PTPTN.

"Inilah bagaimana caranya kroni Umno ini memeras duit rakyat melalui PTPTN ini," kata beliau kepada Harakahdaily.

Kini, kata Dr Dzulkefly (gambar), berlaku lambakan graduan kursus jururawat  dalam pasaran kerana penawarannya sudah terlalu tinggi berbanding dengan keperluan negara.

"Sekarang kolej-kolej ini mula menuntut wang dari PTPTN untuk pelajar mereka. Pelajar yang keluar pula tidak ada pekerjaan, bagaimana mereka hendak bayar balik hutang ini.

"Hasilnya kerajaan yang terpaksa tanggung lalu membuat pinjaman dari institusi kewangan untuk mengisi tabung ini sebagaimana yang didedahkan Khairy (Jamaludin) dalam debat baru-baru ini," kata Dr Dzulkefly.

Khairy dalam Debat PTPTN baru-baru ini memberitahu, PTPTN membuat pinjaman dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan beberapa bank untuk mengisi tabung PTPTN yang hampir kering itu.

Pelajar pula hanya perlu membayar balik pinjaman yang mereka buat, manakala bunga atau faedah bank itu ditanggung oleh kerajaan, kata Khairy.

Bagi Rafizi, kerangka tanggungan pendidikan melalui sistem PTPTN itu menyebabkan negara menanggung terlalu banyak hutang dan akan sampai masa kerajaan tidak mampu menampungnya lagi.

Sebelum masa itu sampai, beliau meminta PTPTN dikaji balik dan Pakatan Rakyat mencadangkan pendidikan percuma ditawarkan kepada rakyat negara ini.

Menurut Dr Dzulkefly,  sekurang-kurangnya 19 negara di dunia memberi 'pendidikan percuma' dalam pelbagai pendekatan dan kaedah perlaksanaan di peringkat universiti.

Dari jumlah itu lapan negara yang tidak langsung mengenakan yuran universiti: Argentina, Brazil, Finland, Germany, Iran, Mexico, Sweden dan Arab Saudi.

"Rafizi Ramli jelas sandarkan hujjah beliau bahawa negara ini kaya. Benar, Bank Dunia mengiktiraf bahawa Malaysia adalah antara negara terkaya di dunia diukur di segi 'sumber per kapita'. Sudah tentu sama atau lebih kaya dari kebanyakan negara tersenarai tadi," katanya.

Tegasnya, kata beliau, Rafizi berhujah bahawa negara yang menjana RM181 bilion pendapatan setahun ini mampu memberikan pendidikan percuma, seandainya rasuah dapat dikekang, ketirisan dikurangkan dan prioriti diperbetulkan.

Malulah sikit, kita sudah 54 tahun merdeka - Tamrin

Posted: 27 May 2012 12:32 AM PDT


Ahmad Danial


MELAKA: Vateran Umno, Tamrin Ghafar kesal dengan tindakan partinya itu yang sejak kebelakangan ini menggunakan samseng untuk mengganggu ceramah Pakatan Rakyat.

"Malulah sikit dengan tindakan samseng baling batu, telur dan lain-lain, kita sudah merdeka lebih dari 54 tahun, takkan masih nak mengamalkan politik macam ini".

"Saya seru pemimpin Umno supaya bertindak matang dan bukan kebudak-budakan macam ini" tegasnya yang merupakan anak kepada bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Ghafar Baba.

Beliau berkata demikian pada ceramah anjuran Majlis Tindakan Dun Ayer Molek di sini malam tadi.

Sementara itu Tamrin berkata, beliau rela dipecat dari Umno demi menegakkan kebenaran dan menentang penyelewengan.

"Saya masih ahli Umno, saya rela dipecat dari Umno demi rakyat, demi menegakkan kebenaran dan menentang penyelewengan," ujarnya yang juga bekas Pengerusi MARA.

"Umno ibarat kereta yang rosak dan buruk, saya seorang mekanik baiki yang mana skru longgar dan goyang," katanya.

PM akan lancar prospectus penyenaraian FGVH Khamis depan

Posted: 27 May 2012 12:26 AM PDT

THE MALAYSIAN INSIDER


DUNGUN – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan melancarkan prospektus penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGVH) di Kuala Lumpur Khamis depan.

Menyatakan demikian, Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berkata, pelancaran itu bagi membolehkan FGVH disenaraikan ke Bursa Malaysia.

"Cuma tinggal beberapa hari saja lagi untuk Datuk Seri Najib melancarkan kempen penyenaraian FGVH serta proses penerimaan tempahan di mana 20 peratus sahamnya menjadi milik peneroka yang berjumlah 112,635 orang.

"Manakala 17 peratus lagi sahamnya dipegang oleh badan amanah jemaah menteri yang menjaga Felda," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan sambutan Hari Kesihatan Felda Wilayah Terengganu dan sambutan Hari Tibi Sedunia peringkat negeri Terengganu di Ketengah Jaya dekat sini hari ini.

Mohd Isa berkata, daripada 20 peratus saham milik peneroka itu yang mendapat untung, ia akan diagihkan kepada semua 112,635 peneroka berkenaan.

Katanya selain itu Felda juga mengagihkan saham kepada kerajaan-kerajaan negeri dan yang menjadi amalan Felda, saham-saham juga akan diagihkan kepada institusi-institusi pelaburan seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tabung Haji dan lain-lain.

Sementara itu mengenai Hari Tibi Sedunia beliau berkata, terdapat peningkatan kes penyakit Tibi di kawasan gugusan Felda Kerteh yang mempunyai hampir 20,000 peneroka.

Katanya, pada tahun 2010 terdapat 17 warga Felda mengidap penyakit Tibi di negeri Terengganu, manakala pada tahun lepas meningkat kepada 32 orang.

Katanya yang membimbangkan sehingga bulan April tahun ini terdapat 18 kes warga Felda yang mengidap penyakit berkenaan di negeri itu.

"Oleh itu saya menyeru orang ramai bersama-sama memainkan peranan untuk menghentikan penularan penyakit Tibi di negara kita agar sasaran jangka panjang iaitu eliminasi Tibi daripada menjadi masalah kesihatan awam di dunia menjelang tahun 2050 akan dapat dicapai," katanya. – Bernama

Johor sedia untuk buat perubahan besar

Posted: 27 May 2012 12:23 AM PDT

Abdul Aziz Mustafa,



(Salahudin memimpin usaha PAS untuk membebaskan Johor dari kekangan BN)


KUALA LUMPUR: Johor kini bukan lagi Johor dulu di mana puluhan orang sahaja hadiri ceramah PAS.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, jumlah ribuan hadirin dalam ceramah-ceramah PAS di kawasan-kawasan Melayu semakin menjadi perkara biasa di Johor.

Lebih memberansangkan, katanya, ialah apabila mereka yang hadir itu terdiri dari penduduk tempatan.

"Kecuali majlis-majlis khas yang besar di mana mungkin ahli-ahli PAS dari seluruh Johor hadir beramai-ramai, kehadiran adalah dari penduduk tempatan.

"Maknanya, kalau 1,000 yang hadir ceramah-ceramah kita, hampir semuanya adalah penduduk tempatan," kata Salahuddin.

Bagi beliau, apa yang berlaku itu membuktikan PAS dan Pakatan Rakyat (PR) semakin mendapat sambutan di kalangan masyarakat Melayu di negeri itu.

"Dulu, Umno bukan sahaja tak pandang langsung kita, malah memperlekehkan.

"Hari ini, ada pemimpin tertinggi Umno yang berucap menyatakan akan mempertahankan Johor (dari PR)," katanya.

Mengenai sambutan di kalangan masyarakat Cina pula, Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, Umno sendiri semakin merasai bahangnya.

"Tak manis kita sendiri yang membuat dakwaan tetapi ada yang menyatakan pengundi-pengundi Cina di Johor akan menyebabkan parti itu sakit teruk.

"Bekas Presiden MCA (Ling Liong Sik) sendiri menjangkakan BN (Barisan Nasional) mungkin akan kehilangan sejumlah sokongan di Johor.

"Saya yakin perkataan sejumlah yang digunakan oleh Liong Sik itu merujuk kepada masyarakat Cina," kata Salahuddin.

Sebab itulah, kata beliau, ada yang menumpukan kempen yang lebih agresif di kawasan-kawasan Melayu.

Pandangan Salahuddin itu diakui oleh Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu (gambar).

"Saya selalu beritahu kawan-kawan bahawa dahulu memang benar pandangan yang menyatakan majlis ceramah (menjadi keutamaan) nombor lapan di Johor.

"Tetapi sekarang, ceramah mungkin sudah jadi nombor satu," katanya.

Mohamad memberitahu, baru-baru ini beliau ditugaskan berceramah di dua kawasan yang berdekatan di Johor pada malam yang sama.

"Kehadiran di kedua-dua kawasan itu berjumlah ribuan orang," katanya.

Beliau juga bersetuju dengan pandangan Salahuddin bahawa hampir semua yang hadir adalah penduduk tempatan.

"Zaman orang PAS pergi beramai-ramai berpuluh-puluh batu semata-mata kerana hendak mendengar ceramah seperti tahun lapan puluhan dahulu sudah berlalu.

"Sekarang yang datang hampir semua orang tempatan dan saya berani kata sebahagian besarnya bukan ahli PAS pun," kata Mohamad lagi.

Nik Aziz sebak pelajar Yik solat berlantai tanah

Posted: 27 May 2012 12:15 AM PDT

Salmah Mat Husain|Foto: Rizal Tahir,



MACHANG: Di saat pihak tertentu yang tidak sebulu dengan perjuangan Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menuduh sebagai 'bapa kafir', beliau terus menunaikan solat sunat rutin hariannya tidak kira di mana sahaja berada.

Semalam Tuan Guru menunaikan solat sunat syukur sebaik sahaja melihat pelajar menunaikan solat sunat dhuha di bawah pokok tanpa sejadah dan hanya berlantaikan tanah di hujung dewan Madu bersebelahan khemah masing-masing.

Tuan Guru tidak dapat membendung perasaan sedih gembiranya apabila melihat pelajar sekolah aliran Yayasan Islam Kelantan (Yik) menunaikan solat sunat dhuha.

Lebih 1,000 pelajar Yik menghadiri program Muqayyam Tarbawi di Kompleks Tarbiah Islam Ulama (Madu), dekat sini pagi semalam, antara pengisiannya menunaikan solat sunat dhuha.

Tuan Guru yang kebetulan melalui laluan itu untuk merasmikan Muktamar Dewan Ulamak PAS Kelantan di dewan besar Madu, tidak dapat menahan sebak kerana syukur anak didik rakyat Kelantan di bawah pentadbiran kerajaan negeri begitu tekun menunaikan solat sunat itu.

Kerana sebak dan terharu yang amat sangat, menyebabkan bacaan solatnya sesekali teresak dan terganggu.

Tuan Guru mendedahkan perkara itu sewaktu berucap merasmikan Muktamar Dewan Ulamak PAS Kelantan.

"Di saat-saat anak muda merempit di jalan-jalan, di tengah anak-anak muda lepak di pasaraya, di tengah anak-anak muda leka bersama teman masing-masing di luar Kelantan, tetapi pelajar Yik, anak muda Kelantan tekun menunaikan solat.

"Saya tidak dapat menahan sebak, saya begitu terharu, ya Allah ini hasil yang telah kami dapat hasil pentadbiran kami selama 22 tahun lalu, subhanallah," ujarnya sekali lagi lagi menahan sebak.

Hampir seluruh pelajar Yik mewakili program yang diadakan setiap tahun selama tiga hari itu.

Selain seminar, turut diadakan slot solat berjemaah, riadah, qiamullail dan lain-lain lagi.

BN khuatir persepsi pengundi atas dakwaan terhadap Bersih

Posted: 27 May 2012 12:05 AM PDT


KUALA LUMPUR— Tindakan perundangan yang diambil kerajaan Barisan Nasional (BN) terhadap pemimpin Bersih di bawah Akta Perhimpunan Aman (PAA) telah menimbulkan keresahan dikalangan pemimpin mereka yang mana tindakan itu akan mengakibatkan pembangkang mendakwa akta itu lebih tegas berbanding akta sebelumnya.

Walaupun mereka berkata kepada The Malaysian Insider akta itu perlu dihormati, mereka masih lagi tidak pasti bagaimana pengundi akan menerima penggunaan akta itu, kunci perundangan dalam pentadbiran Najib dalam pembaharuan demokrasi, dengan pilihan raya yang semakin hampir.

Rabu lalu, 10 ahli Jawatankuasa Pemandu Bersih termasuk Pengerusinya,  Datuk Ambiga Sreenevasan, menjadi individu pertama disaman di bawah PAA, yang dikuatkuasakan sehari sebelum demonstrasi 28 April.

Kerajaan menuntut RM122,000 atas kerosakan 15 kenderaan di bawah Seksyen 6(2)(g) PAA yang mana menyatakan penganjur perlu "memastikan perhimpunan membahayakan kesihatan dan mencetuskan kerosakan harta dan alam sekitar."

Datuk Seri Najib Razak berkata apabila memperkenalkan akta itu, ia adalah "revolusi" perundangan yang membenarkan kebebasan bersuara menurut norma-norma antarabangsa.

Namun pemimpin Pakatan Rakyat (PR) berkata, saman tersebut pada Selasa diikuti dengan dakwaan terhadap penyertaan dalam perhimpunan haram terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Azmin Ali, menunjukkan perdana menteri bukanlah reformis, sebaliknya bertindak.

"Ini adalah perkara penting bagaimana rakyat akan melihat kerajaan, dengan menghantar signal yang bercampur aduk," kata Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah kepada The Malaysian Insider.

Ahli Jawatankuasa Pusat MCA  Datuk Ti Lian Ker turut bersetuju dengan Lim Kit Siang bahawa tindakan itu adalah "lebih kepada pelaksanaan dan dibuat kerana kehadirannya telah dicabar dan jika tiada tindakan, di mana pihak berkuasa?"

Namun beliau menegaskan kerajaan mempunyai pilihan yang terhad dalam perkara itu.

"Bersih menyatakan 'punca' dan mereka mempunyai moral tinggi. Tapi kerajaan perlu meletakkan kaki di bumi nyata dan kamu tidak boleh melangkaui undang-undang," kata peguam ini, yang juga Pengerusi MCA Kuantan.

Naib Pengerusi Kelab Penyokong BN,  Datuk Abdul Rahman Dahlan turut berkata walaupun sesetengah pihak mengatakan PAA "tidak adil, ia masih undang-undang dan telah dilanggar."

"Kita semakin hampir dengan pilihan raya, tidak perlu lagi asyik turun ke jalanan, PR boleh letakkan dalam manifesto mereka dan lihat jika rakya sokong demonstrasi bebas tanpa penguatkuasaan," kata Ahli Parlimen Kota Belud itu.

Pembangkang telah keluar Dewan November lalu apabila akta tersebut dibahaskan di Parlimen selepas mengkritik akta tersebut, yang mana menghalang "usul perhimpunan" yang dilihat lebih terus berbanding Myanmar, negara yang mempunyai hak asasi manusia yang paling rendah di dunia.

Perhimpunan 28 April lalu melihat ribuan perusuh berkumpul di enam kawasan berbeza sebelum menuju dan berkumpul di Dataran Merdeka dalam keadaan aman sehingga jam 2.30 petang apabila Ambiga mengarahkan peserta untuk bersurai.

Walaubagaimanapun, arahan tersebut tidak diendahkan perusuh dan kebanyakan daripada mereka berlegar di sekitar Dataran Merdeka yang mana mahkamah telahpun menguatkuasakan arahan melarang mereka berada di kawasan tersebut.

Sejurus jam 3 petang, perusuh kemudiannya merempuh masuk ke kawasan dataran selepas merobohkan halangan di kawasan dataran yang mana memaksa pihak polis melepaskan gas pemedih mata dan meriam air.

Kekacauan itu turut menyaksikan beberapa kereta polis mengalami kerosakan.

Himpunan Jutaan Belia: 17 cedera kemalangan acara drag

Posted: 26 May 2012 11:51 PM PDT

Wartawan Sinar Harian

Hari Belia Negara 2012
 
Himpunan Jutaan Belia Putrajaya 23-27 Mei 2012
 
 
PUTRAJAYA - Seramai 17 penonton perlumbaan drag yang diadakan sempena Himpunan Jutaan Belia 2012 di sini cedera termasuk empat yang parah apabila sebuah daripada kereta yang mengambil bahagian dalam acara tersebut terbabas.
  
Dalam kejadian yang berlaku tengah malam tadi di Lebuh Wadi Ehsan di Presint 19, kereta terbabit dikatakan hilang kawalan semasa sesi ujian sebelum perlumbaan sebenar, menyebabkan ia melanggar sekumpulan penonton yang dikatakan berada di luar kawasan yang dibenarkan.
  
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata empat yang cedera parah itu masih dirawat di Hospital Putrajaya manakala pemandu kereta tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan.
  
Beliau berkata perlumbaan tersebut telahpun dihentikan dan beliau akan meminta pihak penganjur membuat siasatan rapi termasuk membuat laporan polis.
  
"Saya tak mahu lagi tragedi seperti ini berlaku di masa hadapan. Saya sedih dan dukacita kepada mangsa dan keluarga mereka dan ini amat dikesali oleh pihak saya sendiri. Dan kita akan lihat apa bentuk bantuan yang boleh diberikan," katanya kepada pemberita selepas melawat kawasan kejadian hari ini.

Ahmad Shabery berkata program perlumbaan itu diatur oleh penganjur yang berpengalaman namun beliau difahamkan tidak ada satu badan yang khusus yang menyelia dan mengawasi perlumbaan seperti itu.
  
Diminta mengulas mengenai dakwaan aspek keselamatan diabaikan penganjur, beliau berkata terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan dan beliau akan menunggu laporan penuh bagi mengenal pasti punca kejadian.
  
Beliau berkata beliau turut dimaklumkan pihak penganjur telah memberi amaran supaya orang ramai berada di belakang bahagian yang dibenarkan, namun apabila sesi itu berlangsung ramai yang tidak mengendahkan arahan tersebut disebabkan kawasan tersebut terlalu sesak dengan kira-kira 10,000 penonton, katanya.
   
Ketua Polis Daerah Putrajaya, ACP Abdul Razak Abdul Majid ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan berkata ia masih dalam siasatan. – Bernama

Dakwaan provokasi: Biar pengundi nilai, kata Umno

Posted: 26 May 2012 11:48 PM PDT

Nurul Aini Mohamed Ali

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim
 
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim
 
 
SHAH ALAM -  Pendirian Umno tidak sedikit pun terjejas dengan kenyataan Nurul Izzah Anwar yang menafikan dakwaan bahawa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memulakan provokasi ketika ceramah PKR di pekarangan Pangsapuri Pantai Permai, Lembah Pantai, Kuala Lumpur, Khamis lalu.

Semalam, kepimpinan Umno Lembah Pantai mendakwa PKR membuat tuduhan tidak berasas kononnya ceramah anjurannya di Lembah Pantai diserang oleh ahli parti teras Barisan Nasional (BN) itu.

Dalam reaksi segera pada petang semalam, Nurul Izzah, Ahli Parlimen Lembah Pantai dan Naib Presiden PKR, menolak dakwaan Umno itu.

Kata Nurul Izzah, pihaknya mempunyai bukti rakaman video yang boleh menunjukkan dakwaan Umno Lembah Pantai tidak berasas.

Ketika dihubungi Sinar Harian Online hari ini, Ketua Penerangan Umno Lembah Pantai, Datuk Ibrahim Thambychik berkata, PKR boleh terus-menerus membuat penafian, tetapi yakin penduduk Lembah Pantai sendiri tidak dapat menafikan apa sebenarnya berlaku tempoh hari.

"Kita tidak kisah jika PKR ingin nafikan kerana bagi Umno, kita akan memberi sepenuh kebebasan kepada penduduk Lembah Pantai bagi menilai sendiri insiden itu.

"Mereka sendiri ada di situ, jadi seharusnya mereka tahu pihak mana yang bersalah," kata beliau.

Beliau sendiri hadir dalam majlis anjuran Majlis Permuafakatan Muslim Lembah Pantai ketika hari kejadian dan melihat dengan jelas bagaimana penyokong PKR mula membuat kecoh dan mengejek seorang ustaz yang sedang memberi ceramah.

"Keadaan ini tidak sepatutnya berlaku kerana penyokong PKR seolah-olah tidak menghormati dan mempersendakan agama dalam majlis yang sedang berjalan ketika itu," tambah beliau.

Pihaknya juga menasihati ahli Umno agar sentiasa bertenang dan tidak cepat melatah dengan insiden yang berlaku tempoh hari.

"Jangan timbulkan sebarang spekulasi. Biarkan mereka (PKR) menuduh kita, tetapi kita jangan menuduh mereka dalam isu ini. Jangan kita membuat spekulasi yang tidak berasas seperti yang mereka buat," tambah beliau.

Malah menurut beliau, Anwar membuat kesilapan yang besar kerana telah merosakkan imejnya sendiri di hadapan penduduk Lembah Pantai apabila mengeluarkan perkataan kesat yang ditujukan kepada ahli Umno malam itu.

Rumah setinggan di Jalan Peel hangus terbakar

Posted: 26 May 2012 11:45 PM PDT





 
Kira-kira 29 unit rumah setinggan, termasuk bengkel baiki kereta, kedai runcit dan stor menyimpan barangan, di Jalan Peel di Kuala Lumpur terbakar pagi ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khirudin Drahman berkata bomba menerima laporan pada kira-kira 9.07 pagi ini dan sampai di tempat kejadian kira-kira lapan minit kemudian.

"Lima jentera bomba yang tiga daripadanya dari Balai Bomba Hang Tuah dan selebihnya dari Balai Bomba Pudu dan Bandar Tun Razak telah dikejarkan ke tempat kejadian dan berjaya memadamkan api dalam masa setengah jam," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur, hari ini.

Khirudin berkata, punca kebakaran masih dalam siasatan dan tiada sebarang kecederaan atau kematian dilaporkan setakat ini.

"Anggaran kerugian masih dalam siasatan pihak bancian Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan mangsa-mangsa yang terlibat ditempatkan di Dewan St.John berhampiran untuk sementara waktu," katanya.

Sementara itu, seorang daripada mangsa kebakaran Tang Poh Mei, 37, berkata dia hanya menyedari mengenai kebakaran itu apabila terasa panas di dalam biliknya.

"Saya berasa hairan kenapa panas sangat kerana saya guna pendingin hawa di dalam bilik. Apabila saya lihat keluar rupa-rupanya ada kebakaran. Saya cepat-cepat mengeluarkan segala dokumen dan barangan yang penting.

"Saya cuma sempat menyelamatkan beberapa barangan sahaja kerana keadaan berlaku dengan cepat dan rumah saya juga telah hangus terbakar,"katanya. Bernama

Malam Jumaat luar biasa di Pantai Dalam

Posted: 26 May 2012 11:41 PM PDT

 
Ahmad Fadli KC
 
SAKSI MATA Hari Khamis 24 Mei yang lalu sepatutnya sama seperti hari-hari Khamis lain. Saya ditugaskan membuat liputan ceramah politik PKR - satu perkara yang biasa saya lakukan sebelum bertugas di Malaysiakini lagi. Ceramah itu dijadual berlangsung di Pantai Dalam, yang terletak dalam kawasan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.

Sepanjang jalan bermula dari stesen Petronas Pantai Dalam ke tapak ceramah di PPR Pantai Permai aliran trafik lebih sesak daripada biasa.

pantai dalam kerinchi pkr 240512Kelihatan pemuda-pemuda berbaju-T merah memegang kain rentang berdiri di kiri kanan jalan. Pada kain rentang tersebut tertulis mesej-mesej antaranya "Anwar kaki pusing", "Parti anak-beranak", dan "Parti Kencing Rakyat"

Saya tidak pasti sekiranya kesesakan trafik hari itu berpunca daripada kebanjiran ramai orang ke ceramah Pakatan Rakyat yang merupakan satu perkara biasa, atau kerana jalan raya ke tapak ceramah menjadi semakin sempit dengan kehadiran pemuda-pemuda berbaju merah tadi.

Kira-kira 10 meter dari tapak ceramah PKR rupa-rupanya turut berlangsung satu lagi ceramah politik. Kain rentang ceramah politik itu bertulis "Ganyang Petualang Negara", dipercayai ditujukan buat Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Jangkaan saya tepat apabila mendapati antara penceramah yang dijadualkan berucap di pentas itu adalah Ummi Hafilda Ali, seperti yang dapat dilihat pada satu kain rentang.

Wah! Ini kali pertama saya bakal melihat Ummi Hafilda berceramah dan juga ceramah politik berkembar.

Di pentas ceramah PKR, Nurul Izzah Anwar baru mengambil tempat untuk berceramah. Selang beberapa minit beliau berucap suaranya tiba-tiba 'hilang' daripada sistem siaraya.

Nurul Izzah Pantai dalam ceramahPada waktu itu, saya mengagak ia mugkin disebabkan gangguan teknikal yang kadang-kala berlaku pada mana-mana ceramah. Namun, pada masa sama lampu khemah menempatkan Nurul Izzah turut gelap. Rupa-rupanya tapak ceramah PKR putus bekalan elektrik.

Beberapa petugas ceramah berlari ke blok apartmen bersebelahan yang membekalkan kuasa elektrik ke tapak ceramah. Saya bergegas mengekori mereka.

"Wayar kena potong-potong! Wayar kena potong!" jerit seorang petugas. Apabila saya tiba, saya lihat wayar elektrik terputus dua. Selepas saya merakamkan beberapa keping gambar, petugas ceramah menyambung semula wayar itu dan bekalan elektrik di tapak ceramah PKR kembali pulih.

Saya beredar ke tapak ceramah Umno untuk meninjau suasana di situ. Ummi Hafilda sedang berucap dan kira-kira 200 orang berpakaian merah sedang mendengar ucapannya. Mereka memenuhi kira-kira dua daripada lima khemah tersedia. Ummi kelihatan manis - berjubah kain licin nipis berwarna hijau. Ummi berucap menggunakan rostrum dan sambil berucap kain jubahnya ditiup angin kipas pentas di belakangnya.

Saya kembali ke tapak ceramah PKR dan mengambil tempat hampir dengan khemah ceramah untuk mengikuti ceramah Anwar yang baru menaiki pentas.. Kini Anwar sedang berucap.

man hit by stone in umno counter rally against pkr ceramah lembah pantaiTiba-tiba, beberapa orang hadirin di sebelah saya bangun berdiri dan keadaan bertukar menjadi kecoh. Saya tertanya-tanya apa yang berlaku. Mereka bising-bising dan meninjau-ninjau ke arah belakang.

Rupa-rupanya salah seorang daripada mereka dibaling telur dan mereka cuba mencari dari arah mana datangnya telur itu. Anwar yang menyedari perkara itu meminta hadirin bertenang dan meneruskan ceramahnya semula.

Selang beberapa minit Anwar berucap, tiba-tiba hadirin ceramah berhampiran saya kembali berdiri dan keadaan kembali kecoh. Namun suasananya kali ini terasa lebih panik.
Saya ternampak seorang wanita mempamerkan wajah takut selepas beliau meninjau ke bahagian belakang khemah tersebut. Pada masa itu juga beberapa kamera video yang merakam ucapan Anwar diangkat dan jurukamera bergegas berpusing ke belakang.

"Beri laluan! Beri laluan!" jerit suara dari arah belakang saya. Seorang lelaki tua berbaju putih dengan kesan tompok darah dipapah dekat dengan pentas ceramah dalam keadaan tidak bermaya. Apabila beliau dipapah semakin dekat dengan tempat saya berdiri, kelihatan darah mengalir keluar dari dahinya dengan tidak berhenti-henti.

Orang ramai mendudukkan beliau di atas kerusi di hadapan pentas. Keadaan sekeliling bertambah panik kerana darah masih terus mengalir keluar dari dahinya dan menitik ke atas baju-T beliau.
Melihat keadaan lelaki itu Anwar melaungkan "Pemuda Umno sial! Pemuda Umno sial!" melalui sistem pembesar suara.

Lelaki itu kemudian diusung keluar dari tapak ceramah dan dibawa ke tempat lain masih dalam keadaan separa sedar - dipercayai untuk rawatan.

Tidak berpuas hati dengan perkara yang berlaku, penyokong lelaki PKR mula berdiri dan bergerak ke arah pintu pagar kuarters DBKL yang memisahkan ceramah PKR dan ceramah Umno.
Pada masa sama penyokong Umno dari dalam kawasan kuarters DBKL turut bergerak ke arah pagar tersebut. Namun jumlah mereka hanya dianggarkan satu perlima daripada penyokong PKR.

Di pentas Umno, Ummi masih berceramah begitu juga Anwar di tapak ceramah PKR.

Penyokong kedua-dua pihak mula menjerit-jerit ke arah satu sama lain. Kedua-duanya kelihatan seolah-seolah sedia untuk bertempur dan akan memanjat pagar ke sebelah pihak satu lagi jika polis tidak berkawal berhampiran pagar itu.

Keadaan yang sama berterusan sewaktu Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad mula berucap di sebelah PKR. Di pihak Umno, Ummi Hafilda masih lagi berucap. Namun beliau akan menghentikan ucapannya untuk mendengar butiran ucapan Khalid Samad dan membidasnya secara spontan.

Saya kini berada di antara pagar yang memisahkan kedua-dua penyokong. Dari tempat saya berdiri, sekali sekala saya ternampak beberapa penyokong Umno dengan bendera Malaysia diikat menyembunyikan wajah mereka melontar telur dan botol air mineral ke arah penyokong PKR. Polis berdiri memerhatikan perkara tersebut tetapi mereka tidak pula melarangnya.

Sekitar dua puluh minit kemudian keadaan tegang beransur reda. Sorak-menyorak sudah berkurangan. Saya kembali ke tapak ceramah PKR. Khalid Samad sedang berucap dan menceritakan kejayaan-kejayaan negeri Selangor kepada penduduk setempat.

Saya dan rakan setugas, Koh Jun Lin dihampiri seorang lelaki. Menurutnya ada seorang budak perempuan turut menjadi mangsa lontaran batu pada malam itu. Kami mengikut lelaki itu ke bahagian khemah penceramah dan menemubual budak perempuan itu dengan ditemani ibunya.

Ceramah berakhir tidak lama kemudian apabila Khalid Samad membacakan doa sebagai penutup ucapan beliau.

Merenung kembali perkara yang baru sahaja berlaku beberapa minit lalu, saya tidak dapat membayangkan bagaimana suasana pilihan raya umum kelak.

Amukan 'yob pasior' londeh pekung busuk Umno

Posted: 26 May 2012 05:41 PM PDT

MALAYSIA CHRONICLE


Isunya hanyalah berpunca daripada orang kuat Umno, yang mengamuk kerana tidak dapat projek pasir. Dalam loghat Perak pasir disebut 'pasior'.

Di Selangor suatu ketika, Umno cuba memburuk-burukkan kerajaan Pakatan Rakyat dalam isu pasir, tetapi gagal. Akhirnya mereka hanya menjadi 'beruk-beruk yang menggoyangkan pokok', seperti kata Khairy Jamaluddin satu ketika dulu.

Umno jadi malu, apabila seorang pengusaha pasir yang merupakan Naib Ketua Pemuda Umno Bahagian Kampar, Zamhuri Md Zin, mengamuk memaki hamun Umno dan kerajaan BN Perak, pimpinan Dato' Seri Zambry Abdul Kadir.

Zamhuri marah kerana sokongannya kepada Umno selama hampir tiga dekad, tidak memudahkan beliau mendapat projek pasir.

Jadi, untuk melepaskan geram, beliau marahkan kerajaan negeri Perak dan berlakon konon-kononnya memarahi Zambry menerusi telefon, walaupun dikhabarkan, akhirnya pecah rahsia, beliau sekadar berlakon dan bukannya menghubungi Zambry pun.

Apa pun, Zamhuri layak digelar 'Yob Pasior' oleh rakyat Perak kerana begitu lantang menuntut projek pasir.

Ceritanya, beberapa hari selepas mengamuk memaki hamun partinya, isytihar keluar daripada Umno dan mengisytihar diri menyokong DAP, Zamhuri kembali memohon maaf kepada seluruh kepimpinan Umno di atas tindak tanduk beliau.

Kedua-dua video mengenai amukan dan permohonan maaf Zamhuri, boleh dimuat turun menerusi laman Youtube.

Soal mengapa beliau memohon maaf dan kembali kepada Umno, apa benda yang beliau dapat, hanya beliau yang tahu.

Namun, seperti kebanyakan penyangak-penyangak Umno lain, mereka bergaduh sesama sendiri dalam Umno-BN, Pakatan Rakyat pula yang menjadi 'ulam' , untuk dipersalahkan.

Teman menyentuh mengenai Zamhuri, bukan kerana hendak membalas keceluparannya, bukan juga kerana bencikan beliau.

Tetapi bagi teman, beliau adalah jelmaan manifestasi pelaksana, pendukung dan pemimpin Umno yang hipokrit, hidup mereka hanya mengejar projek, dengan menyandarkan perjuangan atas nama Melayu-Islam. Orang Perak kata spesies 'mangkuk hayun' macam inilah yang harus ditolak rakyat.

Zamhuri adalah bukti, mereka-mereka dalam Umno, bukan pejuang Melayu tulen. Mereka adalah insan haprak yang merebut kuasa untuk kepentingan diri, mengumpul sebanyak mana kekayaan dengan amalan rasuah yang amat jijik.

Zamhuri bukan calang-calang orang di Perak. Selain Naib Ketua Pemuda bahagian, beliau juga Ketua Cawangan dan Bendahari Pilihan Raya Umno Kampar.

Lagi hebat, beliau adalah kakitangan kerajaan dengan Gred N48. Satu lagi persoalan yang timbul, inilah dia kerja Umno, menggunakan jawatan dalam kerajaan untuk mendapatkan projek pasir dan lain-lain.

Boleh atau tidak kakitangan kerajaan berniaga dan mendapat projek dari kerajaan? Beliau harus disiasat nama syarikat dan dibongkar apa kepentingannya dan dalam konteks ini, boleh disabitkan dengan penyalahgunaan kuasa dan kepentingan.

Jika beliau menyalahgunakan kuasa, Zamhuri boleh dianggap lebih kurang macam perangai Ketua Wanita Umno, Dato' Seri Shahrizat Jalil yang terbabit dalam skandal NFC. Caranya sama, amaun saja berbeza.

Jika kita melihat amukannya di laman Youtube Jumaat lalu, Zamhuri dengan loghat pekat Peraknya mengamuk selama lebih tujuh minit. Dengan jelas Zamhuri sendiri yang meminta amukkannya dimasukkan ke dalam Youtube.

Zamhuri ketika itu, mengisytiharkan keluar daripada Umno setelah lebih 27 tahun bersama parti itu dan menyatakan hasrat untuk menyertai DAP.

Zamhuri berkata, tindakan tersebut diambil kerana parti yang telah memerintah lebih 50 tahun itu gagal menjaga orang Melayu dan tidak lagi relevan.

Jelas suaranya, memaki hamun beberapa orang yang cuba memujuknya, termasuk Setiausaha Umno Bahagian Kampar, Zainal Abidin Selamat yang berada di situ.

Termasuk yang menjadi mangsa hamunannya ialah Ketua Umno Bahagian Kampar, Dato' Mohd Radzi Manan, yang dikatakan cuba memujuk beliau.

Jelas di laman Youtube apabila telefon bimbitnya berdering (dipercayai dari Dato' Radzi), Zamhuri mengamuk sambil menjawab telefon dengan mengatakan:

"Dato' Radzi telefon aku. Saya tekad hari ni Dato', apa jadi pun hari ni saya tekad..hidup DAP. Dato' kerajaan Umno-BN tak boleh tolong orang Melayu baik masuk parti lain Dato'."

Selepas Zamhuri mencampakkan telefon ke atas meja, sambil dipujuk beberapa orang. Zamhuri tidak mempedulikan mereka.

Disambung amukannnya, "Ha tengok sampai seluruh Perak menelefon. Baru nak menolong. Nak bagi rasuah baru dapat, nak menyembah rupe (serupa) ini..ha tolong aaa (menyembah cara Cina beribadat)," laungnya, dalam loghat Perak yang pekat.

"Ini semua rasuah. Nak kawteem, nak ajak karaoke, nak ajak makan, nak bagi rasuah, nak bagi amoi, aku kabo ke kome (beritahu kamu), nak bawa (amoi) dari Siam baru seronok hati

"Minta cara betul semua tak boleh, nak sogok baru boleh," tibai Zamhuri.

Malah beliau melaungkan takbir seraya berkata, "Allahu akbar! Saya sokong tukar kerajaan, Allahu akbar!
Hahaha..itulah drama pendek pencacai Umno yang berjaya melondehkan imej kotor, jijik dan nista Umno di Perak, dan juga di seluruh negara.

Orang kata morale of the story, kalau nak dapat projek kerajaan Umno, mesti bagi rasuah duit dan betina.

Kepada orang Perak, eloklah deme pikior balik daripada menyokong Umno ni. Teman idak le menuduh ape-ape, yang menuduh Umno jahat, kaki rasuah, kaki betine dan menyundal ni adalah Zamhuri si yob pasior.

Ate..itulah kerojenya deme tu. Gune nama Melayu-Islam, tapi menyundal dari 'atas perut hingga ke bawah perut.' Kongkali kong betul.

Umno Perak, silalah.. ambillah Zamhuri balik, Pakatan Rakyat tak sior (mahu) pun dia, teman tak semawa, dia yang terkinja-kinja. Alahai yob, 'nasi dah jadi bubur.'--Harakahdaily

Kurang kouta haji tiada kaitan dengan Bersih 3.0

Posted: 26 May 2012 05:36 PM PDT

Sofi Wahab,



(Perhimpunan Bersih 3.0 di Masjid Nabawi, Madinah)


MELAKA: Ketua Dewan Ulama PAS Pahang, Ustaz Mokhtar Senik berkata kerajaan Arab Saudi tidak pernah mengeluarkan kenyataan bahawa kouta haji untuk jemaah Malaysia dikurangkan disebabkan demonstrasi Bersih 3.0 di Madinah dan Mekah hujung bulan lalu.

"Menteri Di Jabatan Perdana Menteri jangan bohong, tidak ada satupun kenyataan dari Arab Saudi yang menyatakan kouta jemaah kita dikurangkan kerana isu Bersih 3.0.

"Saya telefon sahabat-sahabat di Arab Saudi, mereka bagi tahu tidak satu pun berita tentang kouta dikurangkan kerana Bersih 3.0, satu berita kolum kecil pun tak ada," ujar Ustaz Mokhtar Senik dalam ceramahnya dekat sini.

Beliau berkata demikian pada ceramah di Jalan Tiang Tua, Pengkalan Minyak di sini malam tadi.

Beliau berkata kerajaan BN cuba untuk memburukkan Bersih 3.0 dengan mengaitkan isu kouta haji dengan penganjuran bantahan aman itu di Arab Saudi.

Roboh untuk buat yang baru

"Apa yang berlaku kouta haji semua negara dikurangkan kerana tindakan mereka merobohkan penempatan jemaah haji untuk digantikan dengan penempatan baru.

"Jadi oleh kerana ianya belum siap maka kouta tersebut dikurangkan.

"Tidak berbangkit langsung soal kemarahan kerajaan Arab Saudi terhadap demonstrasi Bersih 3.0," tegas Ustaz Mokhtar (gambar).

Menurut Ustaz Mokhtar, kerajaan Arab Saudi mempunyai pegawai-pegawai kedutaan mereka di Malaysia yang memantau dan meneliti himpunan Bersih 3.0.

"Pegawai-pegawai kedutaan mereka bukan duduk diam, mereka mengkaji objektif himpunan Bersih dan mereka melaporkan kepada Duta dan kerajaan mereka.

"Mereka tahu dan faham apa tujuan dan objektif Bersih 3.0, amat malang apabila kerajaan BN cuba menipu rakyat sekali lagi," tambah Ustaz Mokhtar.

Terbukti Umno cetus kejadian berdarah

Posted: 26 May 2012 05:27 PM PDT




Abdul Aziz Mustafa,    


KUALA LUMPUR: Bukan Pakatan Rakyat (PR), tetapi terbukti Umno yang mencetuskan begitu banyak kejadian berdarah, kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Ketika menolak dakwaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa demonstrasi ganas akan dianjurkan tanpa henti jika jika PR tewas dalam pilihan raya umum ke-13, beliau berkata fakta sejarah dengan sendirinya akan mendorong rakyat menolak dakwaan itu.

"Memanglah, saya tak marah langsung dengan apa yang Dr Mahathir kata. Biarlah, dalam negara demokrasi, dia pun ada hak untuk bercakap juga walaupun orang waras tergelak sakan dengan kata-katanya.

"Apa yang penting ialah kita mesti terus mengajak rakyat melihat fakta sejarah yang sebenarnya, walaupun apa pun yang dikatakan oleh siapa pun," katanya.

Mohamad yakin, dalam zaman penyebaran maklumat yang serba pantas dan meluas ini, seseorang yang bercakap tidak berdasarkan apa yang sebenarnya berlaku terdedah kepada pelbagai tuduhan.

"Tidak banyak yang boleh kita buat untuk melarang rakyat yang sakit hati menuduh Dr Mahathir buta, nyanyuk atau gila akibat kenyataannya itu," kata beliau sambil menyatakan simpati kepada bekas Presiden Umno yang kelihatan begitu takut untuk menghadapi perubahan itu.

Beliau juga berharap Dr Mahathir tidak lagi mengulangi kenyataan sedemikian kerana beliau "tidak seronok kalau tokoh yang paling lama menjadi Perdana Menteri itu dituduh dengan pelbagai kata nista".

"Satu dunia tahu bahawa yang tidak henti-henti diserang dengan ganas ialah ceramah-ceramah dan perhimpunan-perhimpunan PR dan juga perhimpunan rakyat yang lain yang menolak Umno dan BN (Barisan Nasional).

"Malah, bukan majlis dan perhimpunan sahaja yang diserang dan diganggu sehingga berkali-kali berlaku kejadian berdarah, rumah kediaman pun mereka serang.

"Rumah saya diserang dan dibakar, rumah (Pengerusi Bersama Bersi, Datuk S) Ambiga mereka pergi tungging punggung dan lakukan pelbagai gangguan," katanya.

Tiada ulasan: