Khamis, 17 Mei 2012

.

.


Susupan Petang

Posted: 16 May 2012 11:40 PM PDT

Mahathir Tabur Baja Untuk Suburkan Kebencian Umum Kepadanya

Itu bekas PM Mahathir Mohamad sensitif sangat dengan bau ketiak orang yang tidak menyokong partinya tetapi mati deria bau dengan ketiak agensi atau pun orang menjadi cina buta kepada parti Umno. Semalam dia mengkritik Majlis Peguam yang kononnya banyak bercakap mengenai politik dan bukan soal profesionnya.

Mahathir kalau bak merungkas belakang orang nombor satu.
Lantas itu beliau berpendapat cara majlis itu tidak wajar kerana ia mengelirukan orang ramai. Tetapi saya yakin kalau majlis peguam bersikap membela kerajaan dan mengkritik pembangkang, Mahathir akan jadi macam tikus kesejukan yang jatuh dalam tempayan beras, diam membisu seribu bahasa dan akan menggosok-gosok belakang presiden majlis perguam kerana tindakan itu menguntungkan Umno.

Semua boleh ditenguk dan ditilik apa yang sedang berlaku. Polis, SPR, DBKL dan segala macam agensi kerajaan yang seharusnya tegak di atas prinsip undang-undang sebagai badan awam dan tidak berpihak, tidak pun ditegur Mahathir walaupun badan-badan berkenaan jelas berat sebelah atau cenderong kepada Umno.  Kalau Mahathir cuba hendak menunjukkan dia seorang yang adil beliau harus menegur sama pihak-pihak lain yang memberi sokongan paksa kepada Umno.

Segala macam kemudahan kerajaan dan agensinya digunakan untuk Umno. Lori, kereta, motor kerajaan pun digunakan untuk menyokong Umno. Ambulan yang digunakan untuk mengangkutkan orang sakit juga dicabuli Umno. Pegawai kerajaan yang tidak berdosa atau menyertai Umno juga diheret macam mengheret kuda ke luat untuk berada dalam majlis Umno.

Apakah ada kritikan daripada Mahathir? Tidak ada apa-apa komen dari Mahathir. Kedua biji mata Mahathir buta dari situasi itu dan seluruh indranafasnya juga tepu dan mati dari segala itu. Selaku negarawan Mahathir sepatutnya waras dalam hal ini. Dia seharusnya telah melepaskan negara ini kepada rakyat dan Umno tidak perlu lagi dicampuri olehnya. Cukuplah 22 tahun menjadi PM.

Mahathir mungkin terkilan kalau orang terkedu dan mengkritiknya atas perbuatannya itu, tetapi beliau harus sedar kemarahan dan kritikan umum kepadanya itu kerana sikap dan stail beliau juga.

Perasaan syok sendiri, merasa pandai dari orang lain menyebabkan Mahathir menjadi tidak relevan mirip-mirip sudah nyanyuk. Tindakan membela Umno dengan meneruskan tektik dan strategi diguna sebelum ini menggunakan polis dan badan awam lain memburukkan lagi Umno.

Gara-gara itu walaupun sesetengah teguran dan pandangan Mahathir benar, tetapi orang tidak akan mempercayainya, maka jadilah segala teguran dan kritikan itu baja untuk menyuburkan kebencian umum kepada bekas PM itu. [wm.kl.2:34 pm 17/05/12]

Renungan Pagi

Posted: 16 May 2012 07:35 PM PDT

Pas Kelantan Jangan Main-Main Dengan Projek Lebuh Raya

Tampaknya hasrat dan kesungguhan kerajaan Pas Kelantan untuk membina lebuh raya sendiri sebagai mengganti lebuh raya yang sepatutnya telah dibina tetapi dibatalkan kerana perbezaan politik menjadi kenyataan. Pengumuman untuk memulakan pembinaan lebiuh raya 'persendirian' itu telah dibuat dan majlis pecah tanah akan dilangsungkan pada 28 Mei berhampiran Felcra Berangan Mek Nab Machang.

Kos awal lembuh raya berkenaan sebanyak RM500 juta dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun.

Menurut satu kenyataan dipetik, lebuh raya sepanjang 33 km itu akan dibina di seksyen III  bermula di Bukit Tiu Machang dan akan berakhir di Dusun Damai Kuala Krai.  Seperti mana diumumkan ia akan dibina dan dikendalikan oleh Menta Contruction Sdn Bhd dan Konsortium Temokin Vila Jelas JV Sdn Bhd. Ingin juga diketahui siapakah yang bertanggungjawab membawa kedua-dua syarikat berkenaan?

Tentunya rakyat Kelantan merasa bangga atas usaha kerajaan Kelantan itu. Usaha itu juga menunjukkan sekali lagi rakyat Kelantan khasnya kerajaan Pas berdikari dalam membela rakyat yang dinafikan haknya oleh kerajaan Persekutuan dalam membawa pembangunan kepada Kelantan.

Saya sebagai salah seorang rakyat Kelantan bersetuju kalau ada pihak mengatakan bahawa kejayaan membina lebuh raya itu adalah satu sejarah untuk Kelantan. Tetapi sebelum saya mengikhtirafkannya biarlah ia terlaksana terlebih dahulu seperti mana terbangunnya jambatan Sultan Yahya Petra yang merentangi Sungai Kelantan. Jangan hendaknya cita-cita membina lebuh raya itu setakat meletakkan papan tanda besar sahaja.

Rakyat Kelantan tentunya tidak akan berpuas hati setakat meletakkan papan tanda saja tetapi apa yang mereka mahukan ialah merasai kemudahan yang sudah lama dicemburui itu.

Usaha seperti itu oleh sebuah negeri yang dinafikan hak dan didiskriminasi sepanjang zaman oleh kerajaan pusat sesuatu yang manis dan bermakna. Ia juga terus akan mengajar rakyat Kelantan berdikari dan tidak akan merasa hina atau rendah diri walaupun ditindas dan ditekan oleh kerajaan UBN. Kejayaan lebuh raya itu nanti sudah pasti menjadi mercun tanda material terbesar kerajaan Pas selama 22 tahun.

Sebenarnya keberadaan apa juga di Kelantan hari ini adalah atas kegigihan dan ketinggian semangat rakyat Kelantan seluruhnya yang tidak mudah perlahap kepada bantuan luar yang bersyarat. Pembangunan-pembangunan yang wujud hari ini seperti Bandar Baru Tunjung, Jejantas menyeberangi landasan keretapi di Pasir Mas adalah hasil kerajaan negeri yang tampak jelas di mata.

Cuma di sini apa yang hendak saya tegaskan projek pembinaan lebuh raya itu biarlah ia menjadi realiti dan bukan projek khayalan atau projek bingkas menjelang pilihan raya saja. Saya tidak meragui atas keupayaan rakyat Kelantan dan komitmen kerajaan Kelantan membinanya, tetapi makenismenya itu agar mencabar. Beberapa projek seumpama itu - dibingkaskan menjelang pilihan raya sebelum ini kemudiannya mati tanpa kubur dan hanya meninggalkan secebis keraguan.

Kita tahu sumber kewangan Kelantan sejak akhir-akhir semakin terhad dan makin meruncing. Kenapa kerajaan Kelantan bersungguh menuntut royalti minyak 5% diberikan kepada kerajaan Kelantan ialah kerana sumber kewangan menirus. Kerajaan Kelantan hanya bergantung kepada sumber konvensional seperti cukai tanah dan balak semata-mata. Lain-lain sumber pelancongan, industri hiliran dan sebagainya tidak begitu menggalakkan malahan boleh dikatakan tiada langsung.

Mungkin ada yang bertanya dari mana sumber untuk membiyai lebuh raya berkenaan. Apabila pembinaanya melibatkan hutan lipur, apakah apa-apa hasil yang wujud di kawasan berkenaan seperti emas, besi dan balak akan dipergunakan sebagai cagaran? Apakah balak di hutan itu dijadikan sumber atau modal untuk membina lebuh raya berkenaan? Rasanya elok kalau kerajaan menjelaskan perkara ini agar tidak timbul maslaah dikemudian hari.

Kerajaan perlu membuat tafsiran apa-apa hasil bumi yang terletak di dalam kawasan hutan lipur berkenaan untuk tidak timbul persepsi buruk berlaku apa-apa penyelewengan?

Manakala untuk menampung pembinaan lebuh raya itu rakyat diminta menghulurkan derma pelbagai bahan yang boleh digunakan seperti pasir, batu dan apa-apa sahaja.

Sebenarnya cadangan untuk meminta derma dari rakyat itu satu idea yang bagus untuk pembinaan sebuah lebuh raya. Kalau sebelum ini rakyat berlumba-lumba untuk menderma bagi pembinaan surau dan masjid kenapa tidak lebuh raya. Memang niat dan pahala menderma itu sama sahaja kalau pada di jalan yang diredhai Allah. Membina jalan juga adalah tuntutan dan satu kebajikan. Tetapi disini saya merasai ia tidak serancak membina masjid kerana jalan raya dianggap tidak semulia masjid?

Bagaimana pun cadangan itu masih baik dan boleh diterima. Sekali lagi rakyat dikerah untuk membantu diri mereka sendiri dengan kerajaan menjadi pengendalinya. Kalau ditakdirkan siap nanti bolehlah dinamakan lebuh raya itu dinamakan Lebuh Raya Rakyat (LRR).

Sama-samalah rakyat Kelantan tidak kira Pas atau Umno dan PKR berdoa pembinaan lebuh raya berkenaan menjadi dan berkat. Paling menarik lagi sekiranya dalam masa kerajaan Kelantan membina lebuh raya itu, kerajaan Pusat juga turut membina lebuh raya dari Kota Bharu - Kuala Krai yang sudah diumumkan itu tetapi ditarik balik. Mungkin Mustapa Mohamed boleh mengemukakan cadangan ini kepada bosnya.

Kalau ini berlaku rakyat akan nampak perlumbaan positif di antara dua kerajaan atau dua parti politik Pas dan Umno untuk membangun Kelantan. Perlumbaan itu bolehlah dijadikan sebagai kayu pengukur untuk dinilai rakyat parti mana yang dulu berjaya bina ebuh raya.Rasanya tidak menjadi dosa kalau kedua pihak mengambil pendekatan kerana natijahnya untuk rakyat Kelantan.

Kepada kerajaan Kelantan saya sangat berharap janganlah pembinaan lebuh raya ini hanya berlangsung sekerat jalan sahaja seperti mana projek-projek menjelang pilihan raya sebelum ini seperti projek kambing jamnapari, projek debu, projek padi organik, projek darul digital dan lain-lain. Projek-projek itu pada mulanya bukan main gah lagi signboardnya sebesar ibu gajah dinaikkan di tepi-tepi jalan stratigik tetapi hasilnya tidak nampak sebesar anak kuman kurus pun.

Semua anggota Exco hendak bertanggungjawab dan semua pihak perlu mendokongnya jangan ada seisapa cuba hendak menjadi hero konon dialah yang bertanggungjawah atas projek itu. Tiada kerja yang boleh dilakukan bersendirian melainkan hanya berkhayal. [wm.kl.10:17 am 16/05/12]

Susupan Malam

Posted: 16 May 2012 05:58 AM PDT

Najib Diminta Tukar MB Perlis

Mungkin kerana terlalu kecil maka riuh randah Umno Perlis dalam kandang sendiri tidak kedengaran oleh dunia luar. Diam bukan bermakna Umno Perlis tenang dan tidak menghadapi masalah. Keadaan Umno Perlis hari ini bolehlah diibaratkan sebagai retak menunggu belah atau masalahnya persis api dalam sekan.

Isa Sabu
Penyingkiran Shahidan Kasim sebagai MB Perlis dengan diganti dengan Isa Sabu selepas pilihan raya ke-12 meletakan Umno negeri Indra Kayangan itu dalam kemercingan. Shahidan yang dilihat sebagai bapa pembangunan di Perlis tidak berpuas hati dengan penyingkiran beliau. Penggantian dengan Isa Sabu dianggap satu penghinaan kepadanya.

Shahidan merasakan dia bertanggungjawab kepada pembangunan Perlis dalam beberapa dekad lalu keadaan menyebabkan dia tidak hairan dan memandang hormat kepada orang lain. 

Sejak penyingkiran Shahidan itu para penyokongnya tidak pernah mendiamkan diri berusaha dan berikhtiar untuk mengembalikan kerusi itu kepada Shahidan semula. Tetapi serangan itu tidak begitu ketara untuk mengelakkan dari krisis dalam itu menyinggung hati pihak Istana Perlis.

Pertukaran Shahidan dengan Isa Sabu dikatakan ada campur tangan Istana Perlis. Shahidan dan penyokongnya merasa terkilan atas apa yang berlaku kerana Perdana Menteri ketika itu Abdullah Badawi sudah memberi watikah untuk perlantikan Shahidan sebagai MB Perlis. Penafian Shahidan untuk memasuki ke istana pada satu malam benar-benar mengaibkannya.

Ekoran itu Umno Perlis dalam keadaan retak dan berpecah. Isa Sabu dikatakan tidak mendapat sokongan sebahagian besar pimpinan Umno Perlis dan menganggap beliau sebagai tokoh yang sudah luput tarikh. Tetapi sebahagian Umno yang lain khasnya yang tidak senang dengan permainan politik Shahidan yang membentuk empayar dan regimnya sendiri menyokong dan berdiri teguh di belakang Isa. Apa lagi Isa deiidolakan sebagai MB istana.

Persengketaan Umno Perlis kini tidak dapat disembunyikan lagi. Desakan agar menurunkan Isa Sabu kini sudah pun sampai ke peringkat Presiden Ha Najib Razak. Pihak yang tidak bersetuju dengan Isa Sabu katanya telah memberi kata dua kepada Najib smada kekalkan Isa atau mengambil balik semula Shahidan atau calon altrrnatif Zahidi.

Satu sms yang saya terima petang tadi menjelaskan apa yang berlaku di Perlis mutakhir ini, di mana 24 orang Jawatankuasa Bahagian Arau dan 19 orang jawatankuasa Bahagian Padang Besar menuntut supaya Najib Razak melaksanakan beberapa tuntutan mereka salah satunya agar menukar MB Perlis selepas pilihan raya akan datang.

Alasannya kerana Isa Sabu berprestasi lemah serta tidak mematuhi arahan presiden.

Tuntutan dan desakan ini mungkin akan menjadi faktor utama bakal memecahkan Umno Perlis dan tidak mustahil juga kalau Najib gagal menyelesaikan mungkin Perlis juga akan melayang ke tangan Pakatan Rakyat. Apa juga keputusan nanti sama mengekalkan Isa atau mengambil semula Shahidan Umno Perlis tetap terbelah. Tunggu ulasan lanjut nanti. [mw.kl.8:56 pm 16/05/12]

Tiada ulasan: