Jumaat, 6 April 2012

shalehudin

shalehudin


Camana Hassan Ali boleh terlupa nak rakam kisah nie... kahkahkah...

Posted: 06 Apr 2012 10:00 AM PDT

Macam-macam Hal, Ketua Ajaran Ahmad 100 Mahu 13 Isteri

Shah Alam - Wajah muda, penampilan menarik, malah petah berkata-kata. Itu daya penarik dimiliki Ahmad, lelaki didakwa penggerak utama sebuah ajaran diragui hala tujunya dikenali Ajaran Ahmad 100.

Kelebihan dimiliki itu diguna sepenuhnya Ahmad untuk mempopularkan ajarannya yang berpusat di sebuah kediaman di Wangsa Maju, Kuala Lumpur menerusi gerak kerja merekrut pengikut seluruh negara menerusi konsep ceramah berunsur agama dengan dilazatkan dengan kata-kata manis berunsur nasihat.

Bergerak secara sulit menerusi beberapa siri pertemuan rahsia di kediaman terbabit bagi mengelak dihidu pihak berkuasa, misi Ahmad selaku penggerak utama ajaran tersebut ialah mahu melahirkan 25 pengikut yang beriman selain bernafsu menikahi 13 wanita.

Pelik dan meragukan! Malah, menerusi siasatan Sinar Harian berdasarkan maklumat diterima, Ajaran Ahmad 100 banyak mengetengahkan kelicikan dan kehebatan Ahmad bermain kata-kata. Dalam erti kata lain, 'ayat power' Ahmad ini berjaya mempengaruhi ramai pengikut hingga ada sanggup menggadaikan isteri semata-mata mahu menjadi pengikut taat dan diberkati.

Berdasarkan pengakuan beberapa bekas pengikut kepada Sinar Harian, mereka sanggup menyerahkan isteri masing-masing sebagai pemuas nafsu Ahmad menerusi perkahwinan batin selepas terpengaruh janji kurniaan keberkatan hidup di dunia dan akhirat.

"Kami jahil agama, kami terpesona dengan 'kejujuran' Ahmad 100, tetapi akhirnya kami terpedaya, isteri kami jadi mangsa nafsunya." Itulah antara luahan kekesalan bekas pengikut termasuk salah seorangnya mengalirkan air mata sedih berbaur kesal dalam satu pertemuan dengan Sinar Harian, baru-baru ini.

Pada pertemuan itu juga, bekas pengikut Ahmad 100 ini juga mendedahkan,isteri masing-masing diserahkan kepada Ahmad untuk dikahwini secara batin dan sekiranya isteri mereka gagal memikat dan menaikkan nafsu syahwatnya, Ahmad akan menceraikannya dan dibuang daripada kumpulan dengan alasan dia tidak layak menjadi pengikutnya.

Paling tidak masuk akal, Ahmad ini juga didakwa mengelirukan pengikutnya apabila mengakui diri sebagai Imam Mahdi yang mempunyai mukjizat boleh bertemu Malaikat, ALLAH serta mendakwa dia adalah pemimpin alam jin menerusi wahyu diturunkan kepadanya.

Rumah tangga hancur lebur

Salah seorang daripada bekas pengikutnya yang dikenali sebagai Abu (bukan nama sebenar), 37, yang kini terpaksa menerima hakikat rumah tangganya musnah gara-gara ajaran sesat itu.

Abu berkata, pada awalnya dia tertarik menyertai kumpulan itu selepas kagum dengan cara Ahmad yang menasihatinya supaya menjadi orang diredai dan dikasihi ALLAH SWT.

"Kami bertemu di sebuah restoran pada mulanya mahu membincangkan bab pengurusan kewangan dan kemudian bertukar ke topik hukum merokok menyebabkan saya yakin dengannya kerana setiap kata-katanya berlandaskan al-Quran malah dia anggap diri saya kafir dan memerlukan bimbingan dan perlu menempuh ujian untuk menjadi seorang yang beriman," katanya.

Menurutnya, Ahmad yang ketika itu sudah mempunyai dua isteri memberitahu, isteri Abu, Zawiyah, 35, seorang yang baik dan perlu berkahwin dengannya untuk mendapat keberkatan.

"Bermula pada saat itu, saya dan isteri mula dipisahkan secara perlahan-lahan dan licik serta isteri saya tinggal sebilik dengan Ahmad tahun lalu.

"Bagi Ahmad, tidur sebilik dengan isteri saya adalah halal kerana ia adalah satu cara untuk menguji ketaatan dirinya kepada Tuhan dan keadaan itu berlarutan selama setahun sebelum isteri meminta cerai kerana tidak boleh meninggalkan Ahmad," katanya.

Abu berkata, sebelum berpindah ke Kuala Lumpur, isterinya sering berulang-alik dari rumahnya di Kedah ke Kuala Lumpur untuk menemui Ahmad dengan menggunakan alasan­ belajar agama.

"Keadaan bertambah sukar apabila isteri berubah dan menganggap Ahmad adalah segalanya dan sanggup meninggalkan saya dan ibu bapanya semata-mata kerana lelaki itu," katanya.

Dia mula menyedari bahawa ajaran­ Ahmad terpesong, namun gagal berbuat apa-apa kerana setiap pergerakan isterinya dipantau pengikut setia Ahmad.

Lebih memeritkan lagi, Ahmad turut memaksa isterinya menggugurkan kandungan yang berusia 10 minggu dan menetapkan dalil bahawa dirinya tidak boleh memiliki zuriat.

Abu berkata, dia turut dituduh membakar dua kereta milik Ahmad gara-gara cuba membawa Zawiyah pulang ke pangkuannya.

Tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku, dua laporan dibuat kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan pada Februari lalu. -SH

Ulasan GB

Bab ini Hassan Ali dan Unit Selamatkan Aqidahnya tak mahu buat rakaman video ker?

Najib takkan biaq rambut Rosmah kecut punya... kahkahkah...

Posted: 06 Apr 2012 08:28 AM PDT

S'gor bakal tumbang seperti T'ganu

Amin Iskandar
ULASAN Mantan menteri besar Selangor, Dr Khir Toyo akui bahawa partinya, Umno tidak mempunyai calon yang layak menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Secara tidak langsung, Khir Toyo mengesahkan bahawa Khalid dan Pakatan Rakyat melakukan perkara baik di Selangor.


Nama seperti Datuk Seri Zin Mohamed dan Datuk Satim Diman langsung tidak mempunyai ketokohan di mata Khir Toyo.

Kata doktor gigi itu lagi, tidak mustahil Umno Selangor akan membawa pulang 'orang Pusat' ke negeri. Ini bermakna, tidak mustahil Datuk Seri Noh Omar bakal diletakkan sebagai calon menteri besar bagi Umno. Sebagai pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Najib Razak sudah pasti mahu merampas Selangor dengan apa cara sekalipun.

Kegagalan merampas Selangor akan menyebabkan kedudukan Najib sebagai presiden Umno dan perdana menteri tidak selamat.

Pakatan tukar calon MB?

Cakap-cakap mengenai Khalid akan digugurkan sebagai calon menteri besar bagi PKR mula kedengaran. Terdapat banyak versi cerita yang tersebar. Antaranya Khalid dikatakan akan hanya diletakkan di Pusat sekiranya Pakatan mampu merampas Putrajaya.

Pengalaman Khalid sebagai mantan ketua pegawai eksekutif Guthrie dan sebagai menteri besar mungkin akan banyak memberikan manfaat kepada Pakatan di Putrajaya. Khalid dikatakan layak untuk menjadi menteri kewangan berdasarkan kecekapan beliau menguruskan ekonomi Selangor.

Cerita kedua berhubung masalah antara Khalid dan PKR Selangor apabila Majlis Pimpinan Negeri (MPN) tidak sebulu dengan menteri besar. Ini menyebabkan kerjasama antara kerajaan negeri dengan parti tidak begitu mantap. Khalid dikatakan menguruskan negeri Selangor seperti sebuah syarikat yang hanya mengambil kira untung dan rugi. Sedangkan politik itu melangkaui sifir untung dan rugi.

Krisis ini lebih kepada permasalahan dalaman PKR. PAS dan DAP secara amnya tidak mempunyai masalah bekerja dengan Khalid. Jika Pakatan mahu terus memerintah Selangor, krisis Khalid -PKR harus diselesaikan dengan segera. Ini kerana ADUN Ijok itu popular di kalangan rakyat Selangor.

Pertukaran calon menteri besar di saat genting sebegini hanya akan merugikan Pakatan. Khir Toyo sendiri melihat Khalid sebagai calon terbaik Pakatan untuk terus menjadi menteri besar Selangor.

Khalid juga harus menyusun 'sahabat-sahabat' politik beliau agar kedudukan dapat diperkukuhkan. Di dalam politik, tidak mungkin beliau mampu bergerak bersendirian seperti menguruskan syarikat.

Operasi Terengganu

Peningkatan peratusan pengundi baru di kawasan parlimen Subang membimbangkan. Perbezaan dengan kawasan parlimen jiran iaitu Petaling Jaya Utara amat ketara.

Nama menteri besar Selangor didakwa dipindahkan menjadi pengundi kawasan parlimen Lembah Pantai di Kuala Lumpur. Jika namanya turut menjadi mangsa, apa lagi rakyat biasa?

Pada tahun 2004, peratusan pengundian di Terengganu meningkat dengan luar biasa. Kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang memansuhkan cukai pintu dikalahkan oleh BN. Dari segi logiknya, mustahil bagi rakyat Terengganu mengundi untuk membayar kembali cukai pintu. Tetapi itulah yang berlaku.

Selepas berjuang bermati-matian untuk mengembalikan royalti minyak di negeri tersebut, PAS 'dihukum' oleh rakyat. Operasi penambahan pengundi baru yang besar didakwa dijalankan untuk mengalahkan PAS dinamakan Operasi Terengganu.

Dikatakan operator-operator kepada "Operasi Terengganu" telah lama beroperasi di Selangor.

Jangan terkejut jika kerajaan yang memansuhkan bayaran bil air akan kalah kepada parti yang mahu mengembalikan bayaran bil air. Apakah yang akan dilakukan oleh Pakatan untuk berhadapan dengan "Operasi Terengganu"?

Duduk dan hanya menyaksikan? Khayal dengan mimpi-mimpi indah untuk mengambilalih Putrajaya?
Pilihan raya ke-13 akan menjadi ibu kepada segala pilihan raya. Pertarungan hebat antara BN dan Pakatan. BN akan melakukan apa saja untuk menyelamatkan kekuasaan untuk mempertahankan berbilion ringgit. Sementara Pakatan pula menjadi popular dan dilihat mampu menggantikan BN. Sokongan kuat dari pengundi Cina yang mendominasi kawasan bandar akan menyaksikan negeri Johor juga berada dalam bahaya.

Sejarah membuktikan tidak pernah berlaku perubahan rejim melalui pilihan raya di negara dunia ketiga. Jika berlaku di Malaysia, ia akan menjadi sejarah pertama dunia.

Amin Iskandar menerima anugerah zamalah Intelektual Awam Asia (API) 2009-10 untuk menjalankan kajian tentang sejarah pemantauan pilihan raya di Filipina dan Indonesia. Beliau memblog dihttp://www.aminiskandar.blogspot.com dan berkicau di http://www.twitter.com/aminiskandar.

Khalid Samad tibai sapa pulak dah nie... hehe...

Posted: 06 Apr 2012 05:30 AM PDT

Persoalan 'Ancaman Kristianisasi' dan Gejala Murtad

Oleh KHALID SAMAD
Sejak kebelakangan ini, kedengaran isu 'ancaman Kristianisasi' ingin ditonjolkan oleh pihak yang berkepentingan sebagai sesuatu yang sedang melanda ummat Islam, khususnya Negeri Selangor. Walaupun ianya tidak disebut secara terang-terangan, tetapi semua memahami mesej yang cuba disampaikan oleh golongan 'kontraktor upahan UMNO ini, iaitu di bawah PR, aqeedah ummat Islam terancam dan orang Kristian 'bermaharajalela'!

Bagi saya ini adalah bukti tambahan yang mengukuhkan keyakinan saya bahawa BN dan khususnya UMNO ketandusan isu. Seperti dakwaan mereka bahawa DSAI menyokong pembunuhan rakyat Palestine demi menjamin keselamatan Israel, 'ancaman Kristianisasi' merupakan satu lagi 'kisah dogeng' untuk memukul PR. Sedangkan rakyat, khususnya yang di Selangor, dapat melihat sendiri realiti yang berbeza di persekitaran mereka. Masjid dan Surau semakin diimarahkan, bukan semakin sunyi. Para ustadz semakin disanjung dan dihormati, bukan semakin dipinggirkan. Sekolah-sekolah dan tadika Islam semakin dipenuhi murid dan bukan semakin lengang. Malahan, para pemimpin turut kelihatan semakin berakhlak, bukan semakin sombong dan angkuh, tenggelam dalam kemewahan.

Namun, bagi yang tidak mempercayai apa yang dilihat di persekitaran mereka sendiri, maka saya pamerkan bersama jawapan Menteri BN sendiri ke atas soalan yang dikemukakan oleh YB Parit Buntar berhubung statistik murtad di Negara Malaysia.



Jelas terbukti, jawapan yang diberikan oleh YB Menteri adalah:

"Tidak ada penganut agama Islam yang telah murtad berdasarkan tiada jenis permohonan untuk murtad di Mahkamah Syariah, kecuali… (sila baca yang seterusnya)".

Ini bererti segala dakwaan bahawa 'gejala murtad' sedang melanda negara Malaysia, khususnya murtad dalam erti kata orang Islam yang keluar Islam demi memeluk agama Kristian, adalah satu dakwaan yang tidak berasas kepada mana-mana fakta atau perangkaan statistik yang boleh diyakini. Ianya hanya satu dakwaan yang sengaja dihebohkan oleh golongan yang berkepentingan dan tidak berakhlak demi masa depan politik mereka.

ANCAMAN MURTAD YANG SEBENAR

Walaupun begitu, saya tidak menafikan bahawa ummat Islam sememangnya diancam bahaya murtad. Tetapi ianya suatu bahaya yang dihasilkan kejahilan ummat Islam terhadap Islam itu sendiri dalam memahami perkara-perkara yang boleh membatalkan syahadah mereka. Dan di antara perkara yang termasuk di dalam perkara yang boleh membatalkan syahadah itu adalah penolakan hukum-hukum yang telah ditetapkan oleh Allah sebagai hukum-hukum yang zalim atau ketinggalan zaman.

Bahaya murtad yang terhasil dengan cara ini adalah lebih bahaya kerana seseorang individu terus menganggap dirinya seorang Muslim tetapi pada hakikatnya namanya telah digugurkan oleh Allah dari senarai orang yang beriman, Naudzubillahi min dzalik. Ini berlaku kerana dia tidak mengimani bahawa Islam dan segala yang terkandung di dalam ajarannya adalah dari Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana.

Ada juga yang menganggap dirinya Muslim walaupun dia tidak sembahyang atau puasa atau membayar zakat. Ini adalah kerana dia Melayu dan Melayu itu adalah Islam mengikut perlembagaan Malaysia. Golongan ini seolah-olah tidak sedar bahawa Perlembagaan Malaysia bukan merupakan rujukannya pada hari akhirat kelak! Kejahilannya ditambahi lagi oleh pihak UMNO yang ingin memperkukuhkan kedududkan politik mereka dengan menyamakan Islam dengan Melayu. Maka diistiharkan perjuangan untuk Melayu adalah perjuangan untuk Islam! Sedangkan untuk menjadi Melayu dan bersama 'perjuangan Melayu' tidak dijadikan solat, puasa dan sebagainya sebagai rukun-rukunnya. Apatah lagi mengimani kitab-kitab Allah dan Hari akhirat. Seorang Melayu tetap Melayu walaupun dia menolak perkara ini semua!

Bahaya murtad yang sebegini, yang jauh lebih ramai terancam olehnya, hasil pengaruh UMNO, adalah apa yang ingin ditangani oleh PAS.

DATO DR. HASSAN ALI DAN ISU MURTAD

Ada yang bertanyakan saya sejauhmana DHA ikhlas dalam menangani isu murtad. Saya menjawab, keikhlasan adalah merupakan soal hati dan oleh itu sukar untuk diukur kerana ianya sesuatu yang ghaib. Namun, apa yang boleh saya nyatakan ialah begini: sejak beliau memegang jawatan sebagai Pesuruh Jaya PAS Negeri Selangor pada tahun 2003 sehingga 2011, termasuk tempoh beliau sebagai exco-agama dari 2008 hingga 2011, isu murtad telah dibahas dan dibincang begitu kerap dan hangat sekali sebanyak 'yiiiilek' ribu dan 'yiiilek' ratus 'yiiilek' kali banyaknya. Jelas ianya sejak dulu lagi menjadi tajuk kegemaranya yang tidak dibincang.

Kalau dilihat dari turutan kronologinya, ianya hanya mula dibincang selepas beliau tidak lagi dilantik Pesuruh Jaya PAS Negeri Selangor pada tahun 2011. Ia mula disebut oleh beliau hasil peristiwa tindakan penguatkuasa JAIS menceroboh masuk kawasan DUMC pada Ogos 2011. Pada ketika peristiwa pencerobohan itu berlaku, beliau sendiri mengakui beliau tidak dimaklumkan dan hanya mendapat maklumat mengenainya pada pagi esok ketika bersahur apabila YB Eli menghantar sms kepada beliau.
Apabila ditanya Pengarah JAIS sendiri pada jam 9 lebih pada pagi tersebut, Pengarah JAIS juga memaklumkan beliau juga tidak mengetahui mengapa ianya dilakukan; dan semua pihak terpaksa menunggu pasukan penguat-kuasa kembali untuk memberi penerangan mengenai tindakan tersebut.

Apabila semua keterangan telah diterima, termasuk dari pihak NGO dan Gereja yang terlibat, maka terbukti bahawa dakwaan pihak penguatkuasa JAIS bahawa adanya usaha memurtadkan orang Islam dalam majlis tersebut adalah dakwaan yang tidak mempunyai bukti yang kukuh. Maka keluarlah titah Baginda, "bukti tidak mencukupi untuk menyabit kesalahan…". Titah berkenaan turut mengandungi kenyataan bahawa usaha memurtadkan memang dijalankan walaupun pada asalnya diakui bukti tidak mencukupi untuk mengesahkan dakwaan tersebut. Ini bagi saya merupakan sejenis amaran yang dikemukakan pihak Tuanku untuk menentukan tiada usaha oleh mana-mana golongan ke arah itu.

Walau apa pun, isu ini telah dimanfaatkan oleh DHA untuk memukul PAS supaya beliau dikeluarkan dari PAS dan atas isu ini beliau sedang mencari pengaruh untuk menjamin PAS kalah teruk dalam PRU ke 13. Sekiranya ini tercapai maka pada hari itu akan dikatakannya kepada PAS, "padan muka kerana tidak menghargai kehebatan diri saya!" Maka pada hari itu akan terbuktilah kehebatan dirinya dan dengan itu dia akan terus disanjung oleh UMNO dan diberikan jawatan yang bersesuaian dengan kehebatan dirinya. Mungkin inilah yang beliau hajatkan.

Sebenarnya, bukti yang dikemukakan di rumahnya tempoh hari tidak ada apa-apa. Kalau ingin dilihat dari sudut kekukuhan bukti, ianya tidak bernilai sama sekali. Siapa sahaja mampu membuat video yang sebegitu dan hakikat bahawa ianya tidak dibenarkan untuk disalin dan sebagainya amat meragukan. Sekiranya ianya adalah atas alasan 'keselamatan', lagi baik tidak dibuat Sidang Akhbar kalau begitu. Serahkan sahaja kepada pihak berwajib dan biar mereka siasat dan dakwa pihak yang bersalah. Jamil Khir di dalam Parlimen telah mengesahkan kes sebegini sudah boleh didakwa di Mahkamah Sivil, maka apa masalahnya?

Masalahnya ialah isu Kristianisasi ini hendak dipolitikkan dan walaupun status persoalan ini tiada apa-apa perbezaan sejak dulu lagi, ia ingin disensasikan oleh DHA untuk tujuan politik beliau. Maka biarlah beliau terjun dengan labu-labunya. Pada masa yang sama, PAS akan terus membenteras gejala murtad dalam ertikata sebenar melalui usaha meningkatkan kefahaman ummat Islam dan perasaan cintakan Islam di kalangan masyarakat, khususnya orang Islam.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Mahathir sedang tabik spring kat Anwar... kahkahkah...

Posted: 06 Apr 2012 04:55 AM PDT

Kebenaran pahit bagi Dr M: Musuh lamanya Anwar memberi saingan hebat dalam PRU-13

Bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad telah mengakui bahawa ia adalah sukar untuk meramalkan keputusan pilihanraya umum ke-13 disebabkan oleh isyarat "mengelirukan" dari pelbagai pihak.

"Apa yang pasti, ia tidak mudah bagi BN untuk mendapatkan majoriti dua pertiga kali ini. Pembangkang sekarang tidak seperti dulu, dan situasi semasa agak mengelirukan," Bernama melaporkan Mahathir berkata sebegitu.

Pasti sukar bagi Mahathir untuk membuat pengakuan tersebut, kerana gabungan pembangkang Pakatan Rakyat yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, merupakan orang yang dia cuba untuk jatuhkan dan gulingkan dari arena politik sepenuhnya.

Pada tahun 1998, kerana takutkan populariti dan peningkatan pengaruh Anwar dengan orang Melayu, Mahathir sengaja mereka cerita liwat dan tuduhan rasuah kepada bekas Timbalannya dan berjaya dalam memenjarakan Anwar selama 6 tahun. Hanya selepas Mahathir bersara barulah Mahkamah Persekutuan cukup berani untuk menjatuhkan tuduhan dan bebaskan Awar.

Kini berumur 64 tahun, Anwar bersedia untuk memimpin Pakatan Rakyat dalam pilihanraya umum kedua sebagai satu parti gabungan. Walaupun tidak dibenarkan pendaftaran rasmi oleh Pendaftar Pertubuhan, parti-parti Pakatan PKR, PAS dan DAP telah menandatangani Rangka Kerja Polisi Awam dan bersetuju untuk manifesto bersama - Buku Jingga – bagi PU-13. Sementara itu, PU-13 dijangka diadakan sebelum akhir tahun ini.

Mengumpul kekuatan


Sejak pilihanraya umum ke-12 pada tahun 2008, Pakatan Rakyat telah mengumpul kekuatan, dengan dua daripada empat negeri yang ditadbir mereka - Selangor dan Pulau Pinang - dipuji oleh Ketua Audit Negara kerana tadbir urus terbaik. Kedua-dua Pulau Pinang dan Selangor juga telah menarik FDI terbanyak, mengalahkan negeri-negeri yang diperintah BN.

Kebangkitan Anwar dan Pakatan kini dinilai sebagai mempunyai peluang yang sama untuk meningkatkan prestasi mereka dari pilihan raya 2008, dengan ramai pemerhati meramalkan mereka mungkin merampas kerajaan persekutuan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Mahathir nampaknya bersetuju dengan pandangan ini, berkata bahawa pelbagai andaian yang dibuat mengenai sokongan kepada BN tidak kukuh, dengan sesetengah orang mengatakan bahawa ia sedang meningkat dan lain-lain berkata sebaliknya. Mahathir tidak menuding jari kepada sesiapa pun, tetapi sehari yang lalu, beliau menyeru kepada Najib untuk membenarkan 'orang luar' untuk bertanding bagi kerusi di bawah tiket UMNO.

Mahathir mengeluh kekurangan orang Melayu'pintar' dalam Umno, keadaan yang mungkin disebabkan kesalahannya iaitu keengganan untuk melembutkan pendirian tegasnya semasa pemerintahan beliau selama 22 tahun dari tahun 1981 hingga 2003. Malah, sepanjang tempoh perkhidmatan beliau, Malaysia mengalami 'otak longkang' yang besar termasuk dari masyarakat Melayu, tetapi Mahathir sentiasa menganggap isu ini sebagai isu kecil dan 'biarkan mereka pergi jika mereka mahu'.

"Tiada satupun dasar Mahathir menyumbang kepada kelahiran barisan pelapis dalam Umno, tiada apa yang dia boleh kata sekarang. Dan kerosakan itu bukan sahaja kepada Umno tetapi dilanjutkan kepada ekonomi secara keseluruhan, di mana Malaysia kehilangan banyak bakat. Kesan ke atas ekonomi sedang berlaku sekarang dan jika tidak dipulihkan oleh dasar pembaharuan dan dasar baru, kita boleh menjangkakan kemerosotan yang berlanjutan secara menyeluruh," Ramon Navaratnam, pengerusi Pusat bagi Kajian Dasar Awam, kepada Malaysia Chronicle.

Najib gagal dalam kepimpinannya


Dalam beberapa minggu lepas, bekas Menteri Kewangan Daim Zainuddin telah meramalkan BN akan menang dengan mudah dalam hanya tiga buah negeri - Johor, Melaka dan Pahang. Sebahagian besar kesalahan itu telah ditujukan kepada Najib kerana gagal untuk memimpin Umno-BN keluar daripada permasalahan.

Umno melantik Najib sebagai presiden mereka pada tahun 2009 selepas memaksa pendahulunya Abdullah Badawi bersara awal kerana kehilangan 5 negeri daripada 13 kepada Pakatan Rakyat serta majoriti dua pertiga BN yang sudah lama dipegang di Parlimen.

Mahathir dan pemimpin Umno yang lain berharap bahawa Najib akan membalikkan keadaan dan mengembalikan majoriti dua pertiga

yang penting, yang akan membolehkan mereka untuk meminda undang-undang penting untuk kekal berkuasa mungkin lebih satu dekad lagi. Tetapi pembawaanpolitik kekok Najib akan ditolak oleh rakyat, yang kini melihat beliau sebagai seorang penipu.


Dalam komennya, dia telah memberitahu Daim untuk menunjukkan bahawa jika Najib gagal untuk memperbaiki keputusan Badawi, beliau perlu meletak jawatan yang akan memihak kepada sama ada timbalannya Muhyiddin Yassin atau 'pencabar barunya'. Setakat ini, tiada orang baru yang muncul tetapi pertaruhannya adalah bahawa ia boleh mungkin MP Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah, yang telah menyerang Najib kerana polisinya yang tidak teratur dan kepimpinan lemah.

Sepanjang tempoh Najib yang bermula pada April 2009, Malaysia mengalami serangan terburuk intoleransi kaum dan agama. Kumpulan pelampau seperti Perkasa dan Jati telah dipupuk dan dibenarkan untuk berkembang. Pada masa yang sama, Najib menyuarakan dasar kesederhanaan Barat. Tetapi ia kelihatan seperti mereka telah kehilangan keyakinan dengannya, malah Washington Post yang berpengaruh menghentam beliau sebagai "seorang hipokrit".

Namun begitu, walaupun dengan mandatnya untuk memerintah akan tamat pada bulan Mac 2013, Najib telah meneruskan strategi politik busuk yang sama terhadap Anwar, menggunakan perkauman dan ketaksuban agama untuk menakut-nakutkan orang Melayu bagi mengundi untuk Umno supaya ia boleh 'melindungi' mereka dari orang bukan Melayu.

Sementara itu, ekonomi negara kekal diabaikan dan lembut kerana percutian kerap Najib di luar negara yang telah dikritik kerana membakar lubang dalam poket pembayar cukai.

Rasuah kekal pada paras tertinggi dalam rekod, dengan Malaysia tergelincir 4 tempat kepada 60 dalam Indeks Persepsi Rasuah Transparency International 2011. Malaysia menjaringkan 4.3 berbanding New Zealand, yang paling kurang rasuah pada 9.5, dan Somalia dan Korea Utara yang masing-masing menjaringkan 1.0, menjadikan mereka kedua-dua negara yang paling korup dalam penyiasatan. Di ASEAN, Singapura menjaringkan 9.3 dan Brunei 6.3.

Malaysia Chronicle

Azmin tibai Hassan Ali yang buta dan tuli... kahkahkah...

Posted: 06 Apr 2012 02:00 AM PDT

Sekitar Dewan Rakyat


'Hanya yang buta dan tuli percaya fitnah itu'
Azmin Ali berkata, tidak ada sebab kukuh untuk mengungkit kembali isu (dakwaan beliau memiliki saham bernilai jutaan ringgit) selepas SPRM membersihkan dirinya.

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PKR Azmin Ali enggan melayan tuntutan PKR Cabang Ampang yang mencabar beliau menjelaskan mengenai pemilikan saham bernilai jutaan ringgit.

Katanya, tidak ada sebab kukuh untuknya mengungkit kembali isu yang timbul sejak 20 tahun lalu selepas siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati tidak ada bukti yang dapat mengaitkannya dengan dakwaan itu.

"Saya dah terangkan panjang lebar, tiada lagi yang perlu diulas.

"Hanya yang buta dan tuli sahaja percaya fitnah saya ada saham sebegitu banyak," katanya ringkas ketika ditemui FMT di Parlimen hari ini.

Semalam, Ketua Penerangan PKR Ampang Mohd Isa Saidi mengugut untuk keluar parti jika Ahli Parlimen Gombak itu gagal menjelaskan kepada ahli parti mengenai dakwaan beliau dan isterinya memiliki saham sewaktu menjadi pegawai kerajaan pada tahun 1992.

Katanya, penjelasan itu perlu bagi memelihara kepercayaan ahli dan penyokong PKR tidak terjejas.

Beliau juga mendesak Azmin supaya meninggalkan PKR jika masih enggan buka mulut.

Isu ini timbul apabila Presiden Jalur Tiga, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali bulan lalu menimbulkan semula dakwaan Azmin serta isteri termasuk iparnya membeli saham yang nilainya mencecah RM2 juta, sedangkan ketika itu (antara tahun 1990-1994) difahamkan beliau hanya menerima gaji kira-kira RM2,000 saja.

Dakwaan itu awalnya ditimbulkan Pengerusi Yayasan Pembangunan India Malaysia, S A Vickneswaran, namun menyebut nilainya mencecah RM8.5 juta.

Hassan Ali wajib hadam idea nie...

Posted: 05 Apr 2012 11:00 PM PDT

Dedah tanpa perkasa aqidah tak selesai murtad

KUALA LUMPUR, 5 April: Isu murtad tidak akan selesai hanya membuat pendedahan tanpa memperkasakan aqidah umat Islam, kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Memberikan cadangan di Facebook beliau (https://www.facebook.com/ustaztitm), Tuan Ibrahim berkata kerajaan harus mewajibkan lulus mata pelajaran aqidah semua tahap pendidikan bagi pelajar Muslim dan mewajibkan pengambilan subjek pendidikan Islam bagi semua tahap peperiksaan.

"Di samping itu bimbingan saudara baru mesti ditingkatkan dengan setiap negeri mewujudkan pusat bimbingan saudara baru. Dana zakat mesti dimanfaatkan sebaik mungkin bagi memperkasakan aqidah umat Islam," kata beliau.

Tuan Ibrahim juga menegaskan bahawa kemiskinan bukanlah sebab seseorang itu akan menjadi murtad seandainya pegangan agama dapat diperkasakan.

Mengulas mengenai kontroversi pendedahan video murtad dibuat Datuk Dr Hasan Mohamed Ali sebagai satu konspirasi menjatuhkan parti, Pesuruhjaya PAS Pahang itu berkata isu itu tidak akan membawa kesan kerana PAS bukanlah kerajaan persekutuan.

Tegas beliau, PAS tidak pernah melepas tangan dalam isu murtad, bahkan parti cuma tidak ingin melihat isu murtad dipolemikkan.

"PAS melihat sebagai perkara serius yang merupakan tanggungjawab bersama bagi menangani sebarang perkara berkaitan akidah orang Islam," kata beliau.

Mengenai video pendedahan Hasan yang dikatakan sebuah rakaman daripada tahun 2002, beliau berkata Hasan sepatutnya mendedahkan lebih awal ketika beliau masih mempunyai jawatan Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam.

"Mengapa baru sekarang ingin membuat tindakan sebegini?" soal beliau sambil menambah video tersebut juga mendedahkan kelemahan kepimpinan Hasan ketika itu, yang tidak mampu menangani perkara tersebut.

"Sepatutnya melalui pengakuan tersebut Hasan bertindak dengan segera bersama pihak berkuasa yang bertanggungjawab. Melalui rakaman tersebut mereka sudah boleh memanggil mereka yang terlibat untuk disoal siasat bagi mendapatkan penjelasan lebih lengkap dan tepat.

"Bukan dengan mencari jalan menunggu masa sesuai melakukan pendedahan lisan yang boleh mencetuskan kekeliruan," katanya yang dipetik Sinar Harian.- Harakah

PANAS: Ni buktinya Najib Penipu...

Posted: 05 Apr 2012 09:00 PM PDT

(Gambar: Rafizi dan Firdaus Jaafar pada sidang media di parlimen hari ini)

Najib tipu apabila kata aset NFC dibekukan

Rafizi Ramli,
Saya telah menegaskan berkali-kali bahawa semua transaksi yang melibatkan aset dan kepentingan pemilik NFC perlu dibekukan kerana ada kemungkinan besar harta-harta ini diperolehi dengan menggunakan dana awam sebanyak RM250 juta yang diselewengkan dari tujuan asalnya.

Aset dan kepentingan pemilik NFC yang saya maksudkan adalah seperti berikut:

1. Semua pegangan syarikat, saham dan pelaburan di dalam apa-apa entiti yang dibuat selepas tahun 2007, iaitu selepas NFCorp dianugerahkan kontrak RM250 juta untuk mengusahakan Pusat Fidlot Kebangsaan;

2. Semua hartanah, plot tanah dan pelaburan di dalam bidang hartanah yang dibuat selepas tahun 2007, sama ada pembelian di buat atas nama NFC, syarikat-syarikat yang dikuasai oleh pemilik NFC atau pun atas nama mereka sendiri;

3. Sebarang pemindahan wang kepada syarikat atau individu selain dari bayaran operasi biasa NFC; dan

4. Sebarang pertukaran kepentingan melibatkan aset lain, termasuklah kereta, dana, kelengkapan dan lain-lain.

Setakat ini, telah terbukti bahawa pemilik NFC telah menggunakan sebahagian dari dana awam berjumlah RM250 juta untuk tujuan yang tidak ada kena mengena dengan penternakan lembu, terutamanya pelbagai pelaburan di dalam bidang hartanah.

Persoalan yang paling kritikal ialah bagaimanakah kesemua RM250 juta ini akan dapat dipulangkan kembali kepada rakyat, apabila ia terikat di dalam pelbagai bentuk pelaburan hartanah dan harta-harta lain.

Tambahan pula, tidak seorang pun pemilik NFC memberikan jaminan peribadi (personal guarantee) bahawa liabiliti mereka kepada rakyat Malaysia tidak sahaja terhad kepada modal yang dilaburkan di dalam NFC; bahkan kerajaan boleh mengambil alih harta mereka yang lain untuk mendapatkan kembali RM250 juta yang telah dipinjamkan.

Oleh sebab itulah, KEADILAN telah mendesak berkali-kali supaya kerajaan mengambil langkah segera dan tegas untuk membekukan semua harta dan transaksi melibatkan NFC dan pemiliknya, termasuklah harta-harta peribadi yang telah didedahkan selama ini kerana ia adalah cagaran balik untuk mendapatkan kembali dana awam berjumlah RM250 juta itu.

Malangnya, perkara ini tidak berlaku.

Saya boleh mendedahkan bahawa ruang masa yang mengalihkan pandangan rakyat dari skandal NFC kepada isu perletakan jawatan Datuk Seri Shahrizat Jalil telah digunakan untuk mengatur urusniaga yang melupuskan hartanah-hartanah yang sepatutnya dibekukan.

Pemilik-pemilik NFC, iaitu Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail dan anak beliau, Wan Shahinur Izran Mohamad Salleh kini dalam proses memuktamadkan penjualan tiga aset hartanah kepada sebuah syarikat, Insun Development Sdn Bhd bernilai RM3 juta.

Tiga aset hartanah ini dibiayai oleh bank yang sama yang sebelum ini membiayai pembelian 8 unit hartanah mewah di KL Eco City, lalu menimbulkan persoalan sama ada pembiayaan ketiga aset hartanah ini juga adalah berasaskan simpanan deposit dana NFC yang ditempatkan di bank tersebut.

Maklumat hartanah tersebut adalah seperti berikut:

Hartanah 1
Alamat:

B-00-22
Plaza Damas 3
No 63, Jalan Sri Hartamas 1
Taman Sri Hartamas
50480 Kuala Lumpur
Jenis: Tingkat bawah, kedai pejabat 3 tingkat
Harga dilupuskan kepada Insun Development Sdn Bhd: RM1.5 juta

Hartanah 2
Alamat: B-01-22
Plaza Damas 3
No 63, Jalan Sri Hartamas 1
Taman Sri Hartamas
50480 Kuala Lumpur
Jenis:Tingkat 1, kedai pejabat 3 tingkat
Harga dilupuskan kepada
Insun Development Sdn Bhd: RM759,000

Hartanah 3
Alamat:B-02-22
Plaza Damas 3
No 63, Jalan Sri Hartamas 1
Taman Sri Hartamas
50480 Kuala Lumpur
Jenis:Tingkat 2, kedai pejabat 3 tingkat
Harga dilupuskan kepada
Insun Development Sdn Bhd:RM741,000

Urusniaga berjumlah RM3 juta boleh disahkan oleh pengurusan Insun Development Sdn Bhd yang beralamat di 15-5, Signature Office The Boulevard, Midvalley City, 59200 Kuala Lumpur atau pun peguam yang bertindak bagi pihak pembeli iaitu Heng & Co, No 30 Lorong Maarof, Bangsar Park, 59000 Kuala Lumpur. Harga pasaran ketiga-tiga hartanah ini dianggarkan berjumlah RM4 juta, maka pelupusan ini dibuat pada diskaun sebanyak 25%.

Saya membidas sekeras-kerasnya kecuaian pihak berkuasa yang membolehkan urusniaga sebegini terus berlaku terutamanya apabila pelupusan harta dibuat pada harga yang lebih rendah. Ini menjejaskan kemungkinan pihak berkuasa dapat merampas kembali sebarang harta yang dibeli dengan menyalahgunakan dana awam RM250 juta untuk mendapatkan kembali pembayaran dana tersebut kelak.

Jika ini boleh berlaku tanpa sebarang pengawasan, ini bermakna perkara yang sama boleh juga berlaku dengan aset-aset lain yang dimiliki oleh keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil tetapi dibeli menggunakan dana awam (atau pun melalui transaksi melibatkan dana awam) iaitu:

1. Kondominium One Menerong berjumlah RM14 juta

2. 2 plot tanah di Putrajaya berjumlah RM3 juta

3. Kondominium di Orchard Scotts berjumlah RM10 juta

4. 2 kondominium di Marina Bay Suites berjumlah RM34 juta

5. 8 unit rumah kedai pejabat di KL Eco City dianggarkan berjumlah RM12 juta

Urusniaga yang melupuskan harta-harta milik keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil seperti ini membuktikan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah berbohong kepada rakyat apabila beliau mengumumkan bahawa aset NFC telah dibekukan pada 14 Januari 2012 yang lalu.

Sehingga kini, segala urusniaga dan operasi berjalan seperti biasa termasuklah yang melibatkan pelupusan harta yang menjejaskan pengambilan semula dana awam RM250 juta.

----------------------------------------------------------------
Penulis adalah Pengarah Strategi Keadilan

Bomoh mana yang Rosmah nak guna... kahkahkah...

Posted: 05 Apr 2012 07:00 PM PDT

Tarikh PRU: Ini kena tanya Rosmah

KUALA TERENGGANU-Rakyat Malaysia perlu bertanya kepada Datin Seri Rosmah Mansor samada suaminya Perdana Menteri Najib Razak sudah mendapat satu tarikh yang sesuai untuk pilihanraya umum ke 13 (PRU13).

"Beliau berkerja bersama-sama dengan Rosmah bukan dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tun Dr Mahathir atau sesiapa saja dalam Umno, Najib sedang mencari satu tarikh yang boleh memberikan ganjaran 2/3 majoriti di PRU13.

"Bagi Rosmah dan Najib, perkara ini bukanlah susah kerana semua bekas perdana menteri Umno, termasuklah Pak Lah telah memenangi PRU mereka melebihi 2/3 majoriti apabila pertama kali mereka menerajui Barisan Nasional (BN).

"Ini adalah kali pertama untuk Najib dan mereka berdua adalah pendekar, sudah tentu mereka tidak mahu kehebatan politik mereka kelihatan tidak sehebat para pemimpin terdahulu yang membawa BN ke arah kemenangan," kata Setiausaha Agong PAS, Datuk Mustafa Ali kepada Harakahdaily hari ini.

Namun, kata Mustafa , Najib sebenarnya dalam dilemma untuk memilih satu tarikh yang sesuai untuk pilihanraya, kerana seandainya silap, teori RAHMAN akan menjadi kenyataan.

Ini kerana, menurut teori RAHMAN, Najib adalah perdana menteri terakhir daripada Umno.

Teori RAHMAN adalah khabar angin yang sering diperkatakan orang mengenai rancangan menyusun turutan perdana menteri di Malaysia.

Teori RAHMAN merupakan singkatan kepada nama perdana menteri Malaysia yakni Tunku Abdul (R)ahman, Tun (A)bdul Razak, Tun (H)ussien Onn, Tun Dr (M)ahathir, Tun (A)bdullah dan (N)ajib.

"Najib kini sebenarnya tersepit mencari tarikh yang sesuai untuk PRU13. Terlalu awal, negeri-negeri Pakatan Rakyat mungkin tidak ikut.

"Terlalu lambat, segala faktor feel good yang dijana melalui pemberian duit seperti RM100 kepada sekolah rendah, RM200 baucar buku dan RM500 melalui BR1M akan dilupakan," kata Mustafa.

Mustafa berkata pemberian duit bantuan yang bertujuan untuk menunjukkan bahawa pengundi telah mendapat pembelaan tidak akan bertahan lama.

"Untuk kekal perasaan feel good itu, pilihanraya tidak boleh dilengahkan. Seperti kata Mahathir, Melayu mudah lupa," kata Mustafa dengan seloroh.

"Jadi apakah tarikh sesuai untuk Najib? Rasanya Jun hingga pertengahan Julai kerana selepas itu ialah bulan Ramadan, Hari Raya dan orang bersiap hendak pergi menunaikan haji – ia adalah tidak sesuai dan perasaan feel good dah hilang," kata beliau.

Negeri Selangor, pusat pertembungan dalam pilihan raya ini telah mengumumkan bahawa mereka tidak akan ikut serta PRU13 sekiranya ia diadakan sebelum bulan Jun.

Negeri Pakatan Rakyat (PR) yang lain, selain Kelantan belum menyatakan hasrat samada akan turut mengadakan pilihanraya serentak atau tidak.

Dengan itu, Mustafa berkata Najib kini berdepan dengan satu lagi dilemma di mana beliau akan berlawan di PRU13 kemungkinan tanpa hadiah utama, Selangor yang dihajatkannya.

"Kini, PR telah menemui jumlah pengundi hantu yang besar di Selangor, modus operandi yang sama digunakan BN untuk mengalahkan PAS di Terengganu pada 2004.

"Tidak mustahil untuk negeri Pakatan Rakyat untuk menangguhkan pilihanraya ke Mei 2013 untuk membersihkan daftar pemilih terlebih dahulu.

"Najib boleh meneruskan untuk pillihanraya parlimen, dan mungkin menang tapi negeri PR masih kekal," kata Mustafa.

Namun dengan prediksi bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin bahawa BN hanya selamat di tiga negeri iaitu Pahang, Melaka dan Johor, Mustafa bertanya samada Najib berani memanggil PRU13 sekiranya negeri-negeri PR tidak ikut serta.

"Teori RAHMAN akan menjadi kenyataan sekiranya tarikh yang salah dipilih, dan Najib mungkin adalah perdana menteri terakhir daripada Umno dan ketika itu berakhirlah BN," Mustafa memberikan amaran.

Siapakah yang Najib patut rujuk untuk mendapat tarikh PRU13.

"Saya rasa Rosmah. Beliau juga ingin kekal terus berkuasa, jadi beliau mungkin memanggil pilihanraya sekiranya rasa BN boleh menang di peringkat parlimen.

"Peranan Rosmah mungkin ialah mengumpulkan segala prediksi daripada ahli astronomi, nujum, bomoh dan feng shui untuk mendapat tarikh yang sesuai," sindir beliau.

-Harakahdaily


Kisah Lembu dan biola... kahkahkah...

Posted: 05 Apr 2012 05:00 PM PDT

Talibarut Umno.... Main Biola Di Hadapan Lembu

Oleh: reformis1998
"Kalau orang Tionghua, mereka berkata dalam bahasa mereka 'Tui Nui Tan Ching. ' Dan dalam bahasa Inggeris yang mudah… 'Playing The Violin In Front Of Cows'. Bahasa Melayu pula disebut, 'Main Biola Di Hadapan Lembu'.

Itulah kelakuan yang ditunjukkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya, dan lebih tepat lagi oleh Timbalan Pengerusinya Wan Ahmad Wan Omar.

Dalam ramai-ramai pegawai tinggi kerajaan… salah seorang daripada mereka ini yang benar-benar menjadi talibarut kepada UmnoBn, adalah Timbalan Pengerusi SPR ini, kerana terbaru beliau mengelkuarkan kenyataan ini :

SPR berkata lagi: Kami tidak berkuasa

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata bahawa 22 cadangan yang dikemukakan oleh jawatankuasa reformasi pilihanraya adalah di luar bidang kuasanya, sambil menambah bahawa melaksanakan cadangan tersebut akan memakan masa dan "tidak boleh dilaksanakan sebelum pilihan raya umum ke-13", kata Timbalan Pengerusi SPR Wan Ahmad Wan Omar.

Wan Ahmad berkata SPR akan mengadakan mesyuarat minggu ini untuk membincangkan laporan PSC yang telah diluluskan tanpa perbahasan di parlimen semalam.

22 cadangan tersebut bagaimanapun TIDAK menangani kebimbangan seperti langkah-langkah untuk mencegah manipulasi daftar pemilih, warganegara ekspres bagi warga asing untuk penipuan undi, penguatkuasaan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan meningkatkan takrif kesalahan pilihan raya.

Cadangan itu juga tidak memperincikan rancangan untuk menghentikan politik kotor dan cadangan untuk menjemput pemantau antarabangsa sebagai pemerhati pilihan raya.

Ahli Parlimen Pakatan Rakyat mendesak untuk memasukkan laporan minoriti dengan PSC itu, berkata ia menunjukkan bukti-bukti yang konkrit bahawa daftar pemilih tidak bersih seperti yang didakwa, dengan kira-kira 42,000 pengundi yang nama mereka TIDAK dijumpai dalam pangkalan data Jabatan Pendaftaran Negara.

Pembaharuan gabungan pilihanraya Bersih 2.0, yang kecewa dengan ketidakupayaan PSC untuk menghentikan penyalahgunaan pilihan raya, hari ini mengumumkan bahawa perhimpunan ketiga untuk reformasi pilihan raya, yang lebih dikenali sebagai Bersih 3.0, akan diadakan pada 28 April di Dataran Merdeka.

Rakyat Bijak Menilai

Daripada kenyataan yang dikeluarkan dari seorang pegawai tinggi kerajaan seperti ini, Rakyat akan menilai sikap talibarut UmnoBn ini untuk terus mengekalkan kuasa. Bukan sahaja baru kali ini beliau mengeluarkan kenyataan sedemikian, sebelum ini beliau juga dengan jelas menyokong kenyataan Pemuda Umno kononnya peratusan pendaftaran pemilih baru adalah, 1 Melayu dan 40 bukan Melayu, yang jelas cuba menyempurnakan agenda perkauman sempit Umno.


Bukan itu sahaja, yang paling teruk sekali, yang terbaru Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar (gambar) mendedahkan wujudnya 'task force' yang bertanggungjawab memberi taraf kerakyatan kepada warga asing bagi membolehkan mereka mengundi dalam pilihan raya nanti.

Menurut Mahfuz 'task force' tersebut diketuai oleh Penasihat Khas Perdana Menteri Datuk Osman Razak, Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Datuk Tajuddin Wahab, dan Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar. Jelas Mahfuz, isu ini amat serius seolah-olah memperlihatkan kerajaan mahu menjual negara kepada rakyat asing.

Rakyat Perhatikan Telatah Talibarut Ini

Sekarang ini, SPR berkata lagi… "Kami tidak berkuasa".

Namun, dalam masa yang sama, mereka mendakwa mempunyai kuasa (atas kepala Speaker) untuk menentukan sama ada wujud kekosongan kerusi, walaupun kekosongan sesuatu kerusi itu ditentukan oleh Tuan Speaker.

Mereka juga mempunyai kuasa memotong nama kira-kira 106 ribu nama pengundi tanpa dipamerkan kepada awam. Bagaimana pula kuasa yang mereka gunakan untuk menukar nama pengundi awam kepada pengundi pos tentera dan polis sedangkan ada diantaranya dah berumur lebih 60 tahun.

Kuasa yang mereka gunakan untuk membuat persempadanan semula tanpa menggazetkan dan memindahkan pengundi tanpa pengetahuan dan izin pengundi, seperti yang mereka lakukan terhadap Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang telah dipindahkan ke Parlimen Lembah Pantai sedangkan beliau tidak memohon untuk pertukaran alamat atau pertukaran pusat mengundi.

Adakah semua ini SPR boleh kata " kami tidak berkuasa"….

… Rakyat Bijak Menilai


Satu ringgit pun aku tak halai...

Posted: 05 Apr 2012 03:00 PM PDT

Walaupun RM1, menteri tidak boleh belanja lebih

KUALA LUMPUR, 5 April: "Menteri Kewangan tidak boleh berbelanja lebih sekalipun RM1 daripada jumlah diperuntukkan apatah lagi peruntukan itu diluluskan dalam parlimen," tegas Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad (gambar).

Beliau berkata demikian merujuk kepada anggaran perbelanjaan tambahan kedua 2011 (2012) yang dibentangkan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim Siang Chai, dilihat melebihi daripada jumlah yang diperuntukkan.

Tegasnya, Menteri Kewangan hanya boleh mebelanjakan jumlah yang diperuntukkan dalam parlimen, dan jika mahu berbelanja lebih boleh menggunakan dua tabung iaitu tabung kumpulan wang luar jangka dan simpanan luar jangka.

Jumlah peruntukan kumpulan luar jangka sebanyak RM1.5 billion manakala simpanan luar jangka pada tahun 2011 adalah RM2 billion. Kumpulan luar jangka diperuntukan hanya untuk pengurusan, simpanan luar jangka hanya untuk pembangunan (P.70).

"Apa yang kami dapati dalam perbelanjaan tambahan ini, apabila kami menjumlahkan seluruhnya bekalan-bekalan bersabit dengan pengurusan iaitu membabitkan Suruhanjaya Pilihan Raya, Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Perkhidmatan Awam, Perbendaharaan, dan banyak lagi di mana jumlahnya adalah RM3.1 billion iaitu lebih daripada diperuntukan iaitu RM1.5 billion dalam bajet," tegasnya.

Ekoran itu, Dzulkefly mempertikaikan dari mana baki lebih kurang RM1.8 billion datang sedangkan sejumlah wang dari kumpulan wang luar jangka sudah digunakan kesemuanya.

"Kami mempertikaikan dari mana datangnya jumlah ini dan menteri tidak boleh jawab, bahkan beliau pula mengatakan kami yang tidak faham dan tidak betul, yang mengecewakan lagi timbalan Speaker pula bersetuju dengan timbalan menteri," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Katanya, itulah masalah utama yang berlaku dalam aliran kewangan negara apabila perbelanjaan berlebihan daripada jumlah yang diperuntukan, di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Kalau kita tidak bangkitkan perkara ini, siapa yang akan buat. Nak harapkan barisan ahli parlimen BN sudah tentu mereka memilih untuk diam. Sedar-sedar bila Speaker minta setuju atau tidak, mereka hanya laungkan setuju," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail, mencadangkan satu Suruhanjaya Diraja diwujudkan bagi menjalankan penyiasatan terperinci kaedah pengurusan belanjawan negara selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Terdahulu dalam sesi penggulungan, Azan Ismail berkali-kali meminta Timbalan Menteri Kewangan menyatakan dengan jelas anggaran perbelanjaan tambahan itu sehinggakan ditegur Timbalan Speaker, Datuk Ronald Kiandee.

Bagaimanapun Timbalan Menteri Kewangan enggan menjawabnya.- Harakah

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Hi there! I simply wish to give an enormous thumbs up for the
great data you’ve gotten right here on this post.
I might be coming back to your weblog for more soon.

My blog - 水刀抽脂