Rabu, 4 April 2012

Senyum Tangis Sendu

Senyum Tangis Sendu


Maut Langgar Unta

Posted: 04 Apr 2012 12:00 AM PDT



SHARJAH: Seorang lelaki berusia 28 tahun maut semalam selepas kenderaannya melanggar unta di jalan Maleha.

Mangsa sedang memandu kereta dari Kalba menuju ke bandar raya Sharjah untuk ke tempat kerja jam 5.30 pagi, kata sumber polis.

Kenderaan mangsa terbakar ekoran nahas itu dan pemandunya mati serta-merta di tempat kejadian.

Unta berkenaan turut mati dalam kemalangan itu.

Ekoran nahas itu, pemerintah Sharjah mengarahkan pagar dibina bagi mengelak unta dan haiwan lain berkeliaran di jalan raya. - GN

Kalau Polis Mahu Jadi Penyamun, Penyamun Nak Jadi Apa?

Posted: 03 Apr 2012 09:30 PM PDT



KUALA LUMPUR: Seorang pemilik syarikat produksi mendakwa kerugian lebih RM40,000 selepas disamun sekumpulan lima lelaki dipercayai anggota polis ketika memandu kenderaan disewa syarikatnya di Jalan Tangsi, di sini, 19 Mac lalu.

Lebih mengecewakan lelaki terbabit, dia bukan saja disamun, malah turut dipukul dan dikurung lebih 12 jam di sebuah hotel di ibu negara sebelum dibebaskan dan diperas ugut lima lelaki terbabit.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Alif, 22, berkata, kejadian berlaku jam 10.45 malam ketika dia memandu Honda Civic yang disewa sebelum dihalang sebuah van.

"Beberapa saat selepas itu, empat lelaki turun daripada van berkenaan sambil seorang daripada mereka menunjukkan kad kuasa polis dan mengarahkan saya keluar.

"Saya enggan menurut kehendak mereka, namun seorang daripada lelaki itu merosakkan pemegang pintu kenderaan sebelum memaksa saya duduk di belakang manakala seorang lagi memecut kenderaan berkenaan," katanya yang datang ke Balai Berita, semalam.

Alif berkata, dia dibawa ke Stadium Badminton Cheras, kononnya untuk berjumpa seorang lelaki berpangkat sarjan mejar bagi menyelesaikan masalahnya.

Beberapa minit selepas itu, seorang lelaki yang mendakwa sebagai sarjan mejar muncul dan memberitahu mangsa melakukan pelbagai kesalahan dan perlu membayar RM50,000 jika mahu rekod kesalahannya dipadam.

"Mereka merampas dompet sebelum menumbuk dan menendang perut saya. "Saya dibawa ke dua bank di Jalan Tun Perak dan Jalan Raja Laut untuk mengeluarkan RM3,000 dan RM5,000.

"Lelaki terbabit memberitahu wang itu tidak cukup untuk memadam rekod kesalahan lampau saya dan mengarahkan supaya saya meminjam duit daripada sesiapa untuk diberikan kepada mereka, namun saya hanya mendapatkan tambahan RM3,000 daripada seorang rakan," katanya.

Tidak cukup dengan itu, Alif dibawa ke perkarangan Balai Polis Pudu di Cheras untuk berjumpa seorang lagi lelaki mengaku cif inspektor dan memberitahu wang yang diberikannya sebanyak RM16,450 masih tidak mencukupi.

Alif kemudian dibawa ke sebuah hotel di Jalan Raja Laut dan dikurung dengan tangan bergari sambil dijaga tiga lelaki yang tidak dikenalinya.

"Keesokan harinya, jam 8.30 pagi, dua lelaki mengaku koperal dan sarjan membawa saya keluar untuk mengeluarkan lagi wang dari dua bank di Sentul Raya sebanyak RM 8,000," katanya.

Menurutnya, akibat bimbang keselamatannya, dia mengambil masa sehari sebelum melaporkan perkara itu kepada polis di Balai Polis Tun H S Lee, di sini, pada 21 Mac lalu.

Sebaik saja mendapat tahu mangsa membuat laporan polis, lelaki terbabit meninggalkan kereta yang dilarikan mereka di sebuah stesen minyak di Jalan Kuching.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa, mengesahkan menerima laporan itu dan berkata empat suspek ditahan dan dua daripadanya anggota polis. Katanya, anggota terbabit kini digantung tugas dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan.

Malam Buat di Rumah Sewa, Pagi Buat dan Kena Cekup

Posted: 03 Apr 2012 07:00 PM PDT



JITRA: Tidak serik - itulah gambaran sesuai bagi sepasang kekasih yang ditangkap khalwat dua kali dalam tempoh 10 jam oleh kakitangan Pejabat Agama Daerah Kubang Pasu di dua lokasi berbeza di sini, semalam. Pasangan pelajar sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) berusia 19 dan 20 tahun itu kali pertama ditangkap berdua-duaan di sebuah rumah sewa di Taman Mahsuri di sini, jam 12.05 tengah malam kelmarin, dan dicekup kali kedua di sebuah motel murah di Taman Ehsan, dua kilometer dari lokasi pertama kira-kira jam 10 pagi semalam.

Sumber pejabat agama itu berkata, mereka ditahan ketika serbuan dilakukan di rumah sewa pelajar perempuan dan ketika pemeriksaan dilakukan pasangan itu berada berdua-duaan dalam sebuah bilik, manakala seorang rakannya tidur di bilik berasingan. 

Pelajar perempuan itu berasal dari Kampung Sungai Korok di sini dan rakan serumahnya belajar di semester pertama sebuah IPTA di sini, manakala teman lelakinya yang berasal dari Kampung Teluk Malik, juga di sini belajar di sebuah IPTA lain. 

Sumber berkata, sebaik menerima laporan, sepasukan anggota penguat kuasa pejabat agama membuat pemeriksaan dan mendapati pintu rumah itu berkunci dari dalam. 

"Selepas mengetuk pintu dan memberi salam, pintu dibuka remaja perempuan yang berpakaian lengkap dan membenarkan pemeriksaan dijalankan dan hasilnya mendapati dua motosikal, termasuk motosikal lelaki itu diletakkan di ruang tamu rumah bagi mengelak dikesan pihak berkuasa," katanya.

Bunuh Kekasih Guna Sotong

Posted: 03 Apr 2012 04:39 PM PDT



SEOUL: Seorang lelaki Korea Selatan ditahan selepas didakwa membunuh teman wanitanya yang dipercayai tercekik ketika memakan seekor sotong kurita yang masih hidup. 

Selepas satu siasatan yang memakan masa beberapa bulan, suspek yang hanya dikenali sebagai Kim ditahan atas tuduhan membunuh, Jumaat lalu selepas siasatan dijalankan beberapa bulan, kata pendakwa Lee Geon-Tae di Incheon, barat Seoul. "Kim akan didakwa dalam masa 10 hari lagi.

"Beliau masih lagi menafikan tuduhan, kami percaya mempunyai bukti yang cukup untuk mendakwanya," kata pendakwa terbabit tanpa mengulas lanjut. 

Suspek yang kini berusia 31 tahun, mendaftar masuk ke sebuah motel di Incheon bersama teman wanitanya itu dalam kejadian April 2010 selepas membeli dua ekor sotong kurita hidup dari sebuah restoran. 

Lelaki itu kemudiannya dilaporkan menghubungi pihak motel memberitahu teman wanitanya pengsan dan berhenti bernafas selepas memakan seekor daripada sotong terbabit. – AFP

Tiada ulasan: