Khamis, 12 April 2012

labun KulupSakah...

labun KulupSakah...


Cerpen Kak Ijat Kampung Lembah

Posted: 11 Apr 2012 09:01 PM PDT

Cerpen ini telah tersiar dua minggu lepas di akhbar Suara Keadilan edisi 60.

Kak Ijat melangkah laju-laju. Kakinya terasa berat. Amat payah rasanya membawa tubuh yang gempal gedempol itu tetapi digagahkannya juga.

"Kak Ijat gila! Kak Ijat gila!"

Suara sekumpulan kanak-kanak menyorak mengejeknya semakin rancak. Kak Ijat geram tetapi dia tidak mahu melayan. Langkahnya dicepatkan lagi. Kali ini lebih laju rentaknya.

"Kak Ijat gila! Kak Ijat gila! Mooo...Mooo..." sorak mereka lagi. Seorang kanak-kanak paling kecil yang berbogel berlari memintasnya dengan jari telunjuk kedua belah tangan diletakkan di kepalanya sambil berbunyi, "Moooo....."

Kak Ijat menahan sabar. Kalau diikutkan hati mahu ditempelengnya budak itu. Dia terus berlari-lari anak menuju rumahnya. Gaya larinya yang sumbang itu mengundang ketawa kecil sekumpulan warga kampung Lembah Berpantai yang bersidai di warung kopi tepi jalan. Kak Ijat membiarkan suara ketawa mereka dan ejekan kanak-kanak itu berlalu. Dia mahu segera sampai ke rumah.

Sesampai di rumah banglo mewahnya dia meluru ke dalam bilik, menghempaskan tubuh ke atas katil dan menangis terhinggut-hinggut. Bunyi keriut katil yang tersiksa dengan berat badan Kak Ijat berselang-seli dengan esak tangisnya.

"Mengapa orang kampung Lembah Berpantai ini sangat dengkikan aku? Salahkah aku menjadi kaya? Bukankah abangku Tok Najik penghulu kampung ini? Mestilah kekayaannya disalurkan kepadaku? Mengapa mesti dengki?" Raungnya seorang diri. Diramas-ramasnya bantal yang bersarung gambar kartun lembu. "Tak cukup abangku menjadi sasaran fitnah mereka kononnya takutkan bini, aku pun dijadikan mangsa. Dasar Melayu tak habis-habis hasad dengki." Rengusnya sambil memancutkan saki baki air sirih di dalam mulut.

Tidak! Tiba-tiba dia berpendapat bukan itu sebabnya dia dituduh gila. Bukan sebab abangnya atau kakak iparnya Kak Ros yang kuat berboros. Tetapi kerana hobi peliknya yang selalu dibuatnya sejak akhir -akhir ini. "Apa yang mereka sibuk? Aku hanya melayani hobiku untuk isi kesunyian. Suamiku jarang pulang kerana sibuk menguruskan perniagaan di Singapura. Anak-anak sudah bekerja di ibu kota. Mereka pun tidak menghalang hobiku."

Ini semua Razifi punya angkara. Dia yang menghebohkan ke seluruh kampung Lembah Berpantai tentang hobi peliknya. Razifi, pemuda yang bekerja di stesen minyak hujung pekan itu memang suka mengendapnya. Sudahlah mengendap, dihebohkannya pula hobi peliknya sehingga habis seisi kampung tahu dan menuduhnya gila. Kak Ijat tahu sebenarnya yang mengarahkan heboh-heboh itu ialah Haji Nuar, paman Razifi yang dengki dengan abangnya dan ingin merebut jawatan penghulu. Disuruhnya Razifi menfitnah Kak Ijat untuk menekan Tok Najik. Kak Ijat pasti. Heboh-heboh ini sampai juga ke kampung seberang, kampung Dalam Pantai. Ustazah Nurul Ijah yang comel itu pun turut mencanangkannya. Kak Ijat bengang tetapi tidaklah bengang seperti dia bengang terhadap Cik Kamilah, sahabat baiknya sendiri. Cik Kamilah menghasut kaum wanita seluruh kampung Lembah Berpantai supaya pulaukan Kak Ijat. Katanya hobi Kak Ijat menjejaskan imej wanita kampung itu. Kemana-mana mereka pergi orang akan ketawakan kampung mereka. Cik Kamilah mahu Kak Ijat letak jawatan sebagai Ketua Wanita kampung Lembah Berpantai.

Zrappp!!
Tiba-tiba persis kilat Kak Ijat bangun. Dia mahu semua ini berakhir. Dia mahu bersemuka dengan Razifi untuk menyelesaikan semua ini. Kak Ijat mengumpulkan kemarahannya dan melangkah menuju ke rumah Razifi selepas mengenakan selendang merah pusakanya.

Sesampai sahaja di halaman rumah Razifi, Kak Ijat terus menjerit, " Hey Razifi! Budak derhaka tak sedar diri! Berlagak kau sekarang ya? Kalau aku tak rekomen kau kerja di stesen minyak tu jangan harap kau boleh kerja di situ! Tak guna!" Jerit Kak Ijat sambil menyingsing lengan bajunya. Razifi yang sedang bersantai menonton rancangan Rajalawak di Parlimen menerusi kaca televisyen hanya tersengih. Kak Ijat terus membebel entah apa-apa. Sesekali dia menyelak kainnya. Jiran-jiran mula keluar meninjau sambil ketawa. Anak-anak kecil mula berkumpul bersorak-sorak. Ibu Razifi, Kak Zurai hanya tersengih di sebalik langsir jendela.
Kak Ijat puas. Suara anak-anak kecil dan ketawa jiran sudah tidak berkesan di hatinya lagi. Kemarahannya sudah dilempiaskan. Dia kini menuju ke rumah Cik Kamilah.

"Hoi Kamilah! Aku tahu kau mahu ambil jawatan aku. Kau sengaja buruk-burukkan aku. Kau lupakah abang aku penghulu? Kau lupa kakak ipar aku Kak Ros lebih penghulu daripada abang aku? Kalau dia mahu aku terus jadi ketua apa yang kau boleh buat?" Kak Ijat menjerit tidak memberi peluang Cik Kamilah membalas. Kaum wanita yang tadi berkumpul berlonggok bersama Cik Kamilah terdiam. Lama kelamaan mereka sepakat menjerit, "Hidup Kak Ijat! Kami sokong Kak Ijat! Mooooo!!". Kaum wanita itu berlari mencium tangan Kak Ijat, meminta maaf. Cik Kamilah tersenyum kelat.

Kak Ijat tersenyum seronok. Hidungnya kembang. Hatinya puas. Dilapnya peluh berbau rempah kari yang mengalir dari dahinya. Perhitungannya sudah selesai. Kini dia melangkah pula ke bendang. Dia tidak sabar untuk mengecap nikmat hobi barunya. Dia tidak peduli jika mereka kata dia gila. Suaminya tidak marah. Anak-anaknya tidak kisah.

"Mooooo!" Kak Ijat melaung sebaik sahaja sampai ke bendang. Dua tiga kali melaung, tiba-tiba muncul dari semak-semak empat ekor lembu kesayangannya. Lembu-lembu itu menggesel manja apabila Kak Ijat menggosok tubuh mereka. Kak Ijat kemudian menunggang salah seekor lembu yang paling gemuk dan mengarahkannya berjalan pulang ke rumah. Lembu-lembu yang lain mengikut dari belakang dengan patuh. Kak Ijat menyanyi riang. Orang-orang kampung Lembah Berpantai tersenyum-senyum memerhati. Kak Ijat tidak peduli. Biar mereka kata dia gila. Biarkan. Dia mahu cepat sampai ke rumah melayani hobi baharunya- TIDUR DENGAN LEMBU-LEMBUNYA.







Tiada ulasan: