Jumaat, 27 April 2012

AKU INGIN BEBAS

AKU INGIN BEBAS


FITNAHKAH SAIFUDDIN APABILA WAN AHMAD SENDIRI MENGAKU SEBAGAI AHLI UMNO TETAPI TIDAK INGAT BILA!...

Posted: 26 Apr 2012 05:04 PM PDT



SHAH ALAM - Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar mengakui beliau pernah menjadi ahli Umno sambil menegaskan, apa yang dibangkitkan oleh Pakatan Rakyat satu "fitnah, tidak matang dan bertujuan menjatuhkan imejnya."
Bagaimanapun Wan Ahmad tidak ingat bila dan cawangan mana beliau didaftarkan sebagai ahli kerana pendaftaran itu dilakukan orang lain.
"Mungkin saya didaftarkan pada penghujung 70-an atau awal 80-an di cawangan Gombak, Damansara atau Subang Jaya," kata beliau kepada Sinar Harian.
Beliau menjelaskan demikian ketika menjawab cabaran Datuk Saifuddin Nasution Ismail kelmarin supaya menafikan beliau bukan ahli Umno bagi membuktikan beliau benar-benar berkecuali.
Wan Ahmad mendakwa, sejak menyertai Umno, beliau tidak pernah hadir apa sahaja aktiviti dan mesyuarat parti itu.
Ditanya berulang kali sama ada beliau masih ahli Umno, beliau berkata: "Saya tidak tahu dan tidak pernah ambil tahu. Saya bukan ahli politik, saya kakitangan kerajaan dan masih kekal sehingga ke hari ini. Saya bercakap benar."
Wan Ahmad, anak kelahiran Terengganu, menjadi pegawai di Kementerian Luar Negeri pada akhir 70-an dan dilantik sebagai Setiausaha SPR pada 1998 dan dilantik sebagai Timbalan Pengerusi SPR selepas bersara.
Katanya, dalam proses itu, beliau tidak pernah memeriksa status keahliannya dalam Umno.
"Semua kakitangan awam tidak dibenarkan aktif dalam mana-mana parti. Sekiranya mahu aktif, mereka perlu melepaskan jawatan yang dipegang. Saya masih berkhidmat, dan itu bukti saya bukan ahli yang aktif," katanya.
Beliau menyifatkan isu keahliannya yang ditimbulkan oleh Saifuddin sebagai fitnah, tidak matang dan bertujuan menjatuhkan imejnya.
Wan Ahmad menegaskan, tidak perlu bagi Saifuddin menimbulkan cerita lama dan remeh-temeh kerana 'semua orang ada sejarah masing-masing'.
Katanya, perlu diingat ketika menjadi ahli Umno lebih 30 tahun lalu, beliau tidak tahu masa depannya.
"Semua orang begitu. Hanya ALLAH yang tahu. Itu kisah lama, tiada kena mengena dengan jawatan saya sekarang. Saya bukannya nak bertanding (dalam pilihan raya) hingga (Saifuddin) mengancam peribadi saya.
"Mengapa perlu nama saya dijadikan sasaran sedangkan tugas SPR hanya menyediakan perkhidmatan terbaik untuk pilihan raya," katanya.
Beliau turut melahirkan hasrat bertemu Saifuddin bagi mendapatkan penjelasan mengapa dirinya dikaitkan dengan isu keahlian Umno.
"Saya ingin bertemu dengannya. Mahu dengar sendiri, apa motif beliau berbuat begini, sedangkan SPR selama ini telus dalam menjalankan kerja yang diamanahkan.
"Jika dikatakan tidak telus, bagaimana pilihan raya sebelum ini banyak kerusi dimenangi pihak pembangkang? SPR sentiasa mengutamakan tugas dan memberikan perkhidmatan terbaik dan tidak ada kena mengena dalam isu politik," katanya. sinarhairan

Tiada ulasan: