Sabtu, 24 Mac 2012

shalehudin

shalehudin


Agak hampa sapa yang kena tanggung nih...

Posted: 24 Mar 2012 11:00 AM PDT

Pasaraya keluarga Shahrizat rugi di Singapura, siapa tanggung?

Pasaraya milik keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil di Singapura, Farmhouse Supermarkets, dilaporkan telah arahkan keluar dari Rochester Mall kerana tidak mampu menyediakan premis pasaraya tersebut pada waktu yang ditetapkan serta gagal menyediakan bayaran sewa.

Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua berkata, keadaan itu adalah satu lagi ,mala petaka yang menimpa rakyat Malaysia.

Ini adalah kerana penubuhan pasaraya itu di Singapura dikatakan dengan menggunakan wang rakyat melalui projek Pusat Fidlot Kebangaan yang diberikan kepada National Feedlot Corporation (NFCorp) yang telah pun dibongkarkan oleh Pengarah Strategik PKR Rafizi Ramli, katanya.

Menurutnya, Pengarah Eksekutif NFCorp Datuk Seri Dr Mohd Salleh Ismail telah menyatakan bahawa tujuan penubuhan pasaraya tersebut adalah untuk menjadi tapak untuk mengeksport daging lembu NFC ke Singapura.

Kenyataan Mohd Salleh itu becanggah dengan fakta bahawa kerajaan Singapura tidak membenarkan sebarang import daging lembu dari Malaysia.

"Kita mahu bertanya, jika kerajaan Singapura tidak membenarkan sebarang import daging lembu dari Malaysia, jadi apa sebenarnya tujuan pasaraya tersebut?

"Yang kedua, saya mahu bertanya apakah yang telah terjadi kepada kesemua wang digunakan untuk pasaraya tersebut. Adakah ianya telah lesap, dan berapa pula jumlahnya?" soal Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara.

Beliau juga mahu jawapan diberikan kepada rakyat tentang siapa yang terpaksa menanggung segala kerugian tersebut.

"Adakah wang hasil kerugian tersebut akan ditanggung oleh keluarga Shahrizat atau pun daripada akaun NFC yang datangnya dari wang rakyat?" tanya beliau lagi.

Menurut Pua, penjelasan yang sewajarnya perlu diberikan oleh mereka yang terlibat dan beliau berharap agar kerugian pasaraya tersebut ditanggung oleh keluarga Shahrizat kerana syarikat pasaraya tersebut terletak atas nama keluarga mereka, meski pun mereka telah menggunakan wang NFC tersebut. Roketkini.com

Berbulu lagi la pecacai UMNO... kahkahkah...

Posted: 24 Mar 2012 08:51 AM PDT

PBT Selangor yang terbaik - Sistem Star Rating


SHAH ALAM, 24 Mac: Negeri Selangor mendahului negeri-negeri lain di Malaysia apabila dua majlis bandaraya dan enam majlis perbandaran mendapat empat bintang dalam "Sistem Star Rating" bagi Pihak Berkuasa Tempatan pada 2010/2011.

Majlis bandaraya dan majlis perbandaran di Negeri Selangor yang mendapat empat bintang ialah Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Perbandaran Klang (MPK), Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Majlis Perbandaran Sepang (MPSp) dan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

Manakala empat majlis daerah di Selangor mendapat taraf tiga bintang iaitu Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) dan Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS).

Keputusan ini satu peningkatan drastik dan memberangsangkan bagi kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan di Negeri Selangor.

Ia juga membuktikan kerjasama baik antara kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan dalam usaha meningkatkan perkhidmatan kepada rakyat.

Sehingga kini difahamkan Kementerian yang berkenaan tidak mahu mengisytiharkan keputusan ini ekoran kejayaan utama negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat khasnya Selangor.

Kejayaan dicapai Selangor ini berlaku ketika media BN terus-terusan memburuk-burukkan kerajaan negeri Selangor dalam media mereka.

"Saya mengucapkan tahniah kepada semua Dato' Bandar dan Yang di-Pertua (YDP) pihak berkuasa tempatan serta pegawai mereka dan berharap mereka akan terus berusaha bagi memastikan penyampaian perkhidmatan berjalan dengan baik," kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim (gambar).

Sebanyak 354 indikator digunakan dalam Sistem Star Rating bagi Pihak Berkuasa Tempatan berdasarkan 4 bidang utama iaitu pengurusan, perkhidmatan-perkhidmatan teras, pengurusan pelanggan dan penyertaan komuniti.

Sistem ini – yang bermula pada 2008 atas saranan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan – juga menggunakan borang soal selidik daripada responden yang terdiri daripada penduduk (70%), peniaga (20%) dan NGO (10%).

Sistem Star Rating bagi Pihak Berkuasa Tempatan bagi tahun 2010/2011 ini, tiada satu pun pihak berkuasa tempatan di Malaysia yang berjaya mendapat taraf 5 bintang.- Harakahdaily

Pakatan Rakyat "jangan syok sendiri"..

Posted: 24 Mar 2012 07:38 AM PDT


Oleh Ahmad Lutfi Othman

Memang seronok membaca telahan bekas Menteri Kewangan dan veteran Umno, Daim Zainuddin. Jika menjelang Pilihan Raya Umum 2008 beliau meramalkan BN kalah di Kedah, Selangor dan Pulau Pinang, kali ini beliau hanya menjangka Johor, Melaka dan Pahang dapat memberi kemenangan mudah buat gabungan parti yang memerintah sejak merdeka itu.

Beliau juga melihat Negeri Sembilan dan Perlis sukar dipertahankan BN, difaktorkan oleh perpecahan dalaman Umno yang teruk. Tidak pasti pula bagaimana tanggapannya terhadap Terengganu, negeri yang masih dianggap kubu kuat PAS dan turut menyaksikan pergolakan kepemimpinan Umno.

Yang jelas, Daim tidak menyenaraikan Terengganu bersama tiga negeri selamat di selatan itu. Apa pun, BN dilihat memang tidak berpeluang di Kelantan dan Pulau Pinang tetapi masih ada ruang di Kedah dan Selangor, dengan syarat menampilkan kepimpinan sesuai -- sesuatu yang paling sukar dilakukan Umno.

Sebut saja nama Ahmad Bashah Md Hanipah di Kedah dan Noh Omar di Selangor, saya yakin, persepsi pengundi kepada Umno sukar diubah.

Untuk mengekalkan Perak (yang direbut BN melalui rampasan kuasa) akan menjadi cabaran terbesar bagi BN, kata Daim. Menurut pemerhati politik, Umno negeri itu juga hebat bergolak dan kedudukan Dr Zambry Abd Kadir dilihat goyah. Pengalaman setahun di bawah Menteri Besar Nizar Jamaluddin pula memikat hati pengundi.

Tentulah lega para aktivis dan penyokong Pakatan Rakyat mendengar pandangan Daim, ketika ditemubual akhbar harian Cina, Nanyang Siang Pau, yang disiar pada 20 Mac itu.

Ditambah dengan analisis politik bekas Adun Pulau Manis, Pekan, Ariff Sabri Abd Aziz, bahawa Sabah dan Sarawak -- selama ini dianggap deposit tetap BN -- bakal menghadiahkan hampir 20 kerusi Parlimen kepada Pakatan.

Manakala Johor yang dianggap Daim sebagai selamat buat BN, sebenarnya menimbulkan kerisauan amat sangat kepada Muhyiddin Yassin dan Ghani Othman. Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub dan Pengerusi KeADILan Johor, Dr Chua Jui Ming rasanya mempunyai cerita menarik tentang perkembangan terkini di sana.

Kepada pembaca yang sering mengikuti tulisan saya, tentu dapat mengagak bagaimana saya cuba menafsirkan situasi seumpama ini. Agak kerap saya melontarkan pelbagai persoalan dan tanda tanya sehingga boleh memancung rasa lega dan seronok aktivis Pakatan itu.

Ya, saya lebih suka melihat realiti politik dalam konteks "situasi terburuk yang mungkin berlaku", dan dengan itu masih berupaya untuk merancang dan melakukan penambahbaikan atau "mengetatkan skru yang longgar".

Dalam bahasa mudah, saya cuba mengingatkan, "jangan syok sendiri" atau membunyikan "loceng amaran" lebih awal agar tidak mudah leka dengan ramalan (malah tinjauan di lapangan) yang sebenarnya bergantung rapat dengan bermacam-macam faktor, dan dalam politik ia boleh berubah dengan drastik sekali.

Rakyat kini berpeluang melihat, merasai serta menghakimi pemerintahan dan prestasi Pakatan, sepertimana mereka lakukan selama ini kepada BN.

Kalau pada 2008, pengundi membuat pilihan mungkin didorong oleh faktor amarah kepada BN, tidak puas hati dengan Abdullah Ahmad Badawi atau memprotes wakil rakyat setempat, sekarang prestasi Pakatan (kerajaan, GLC, ahli majlis dan wakil rakyat) turut dinilai, juga dengan kacamata kritis, malah mungkin secara lebih kritikal, dengan merujuk janji-janji atau manifesto yang dibuat.

Justeru, apabila mendengar keluhan penduduk yang terbabit dengan banjir kilat di Lembah Jaya Utara, Ampang dan sekitar Dusun Tua, Hulu Langat (tidak terkecuali rungutan aktivis parti yang membantu mangsa), dua minggu lalu, yang tidak berpuas hati dengan sikap kerajaan negeri, saya menganggapnya sebagai hal serius dan tidak boleh dipandang ringan.

Mangsa bah mungkin terharu dengan tindakan proaktif sukarelawan yang pantas membersihkan rumah mereka dan kawasan sekitar, serta menawarkan makanan dan pakaian percuma, namun penduduk mengharapkan lebih daripada itu, khususnya daripada sebuah kerajaan berkebajikan dan paling kaya!

Mereka mahu "jaminan keselamatan", misalnya dari segi sistem saliran dan sungai yang efisyen, agar tidak lagi fobia dengan hujan lebat yang bakal menenggelamkan, selain bantuan one-off di atas kerosakan harta benda yang begitu besar, dan menyegerakan proses pemulihan kemudahan infrastruktur, termasuk jambatan yang hilang dibawa arus deras.

Untuk 10 hari pertama, rasa tidak puas hati dan kecewa terhadap kerajaan negeri agak meluas. Kebetulan saya sering mengunjungi lokasi terbabit memandangkan jarak rumah saya tidak sampai 2km dari tempat kejadian.

"Jangan sampai peluang Pakatan untuk pertahan Selangor terjejas hanya kerana dasar terlalu berjimat cermat kita sehingga mangsa banjir berasa diabaikan. Takkan duit berbilion kerajaan negeri nak diwariskan kepada BN untuk difaraid sesama mereka?" tegur seorang aktivis PAS, seminggu selepas banjir kilat.

"Jangan jadikan isu yang mudah itu payah untuk diselesaikan," kata seorang profesor sains politik kepada saya, merujuk kejadian bah di daerah Hulu Langat. "Rakyat kalau marah, apatah lagi dekat dengan PRU13, parah jawabnya. Isu-isu kebajikan, berkaitan kos sara hidup dan keselamatan, cukup mempengaruhi undi mereka," tekannya lagi.

Alhamdulillah, Menteri Besar Khalid Ibrahim, pada Isnin lalu, membuat pengumuman yang melegakan. Daripada bantuan awal sebanyak RM300,000, Khalid, selepas majlis pembukaan sidang Dun Selangor, pada 19 Mac, menegaskan dua perkara penting.

Saya menyedarinya daripada posting anggota Exco Kerajaan Negeri, Iskandar A Samad dalam Facebook. Pertama, kerajaan negeri akan menanggung kos membaik-pulih infrastruktur yang musnah akibat banjir, termasuk pembinaan sebuah jambatan yang runtuh di Lembah Jaya Utara. Peruntukan adalah daripada geran Selangorku. Anak-anak syarikat kerajaan negeri, seperti PKNS, akan turut membantu. Kedua, bantuan bagi setiap keluarga yang terlibat dinaikkan kepada RM1,000.

Pimpinan utama Pakatan yang kini menerajui empat negeri, termasuk dua negeri terkaya, tentunya menyedari, kuasa yang tidak dikendalikan secara penuh amanah dan tanggungjawab, mudah terseret dengan pelbagai salahlaku.

Dakwaan bahawa anggota pentadbiran kerajaan negeri Pakatan turut terbabit dengan penyalahgunaan kuasa, korupsi dan amalan pilih kasih tidak boleh diremehkan begitu saja. Tidak semestinya apabila tiada laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), maka segalanya dianggap beres dan bersih.

Soal integriti mesti dibudayakan dan menjadi prinsip penting. Sesungguhnya banyak amalan yang "salah daripada segi moral dan akhlak" boleh terlepas dengan mudah jika diteropong melalui kacamata undang-undang.

Dalam zaman langit terbuka ini, rakyat mampu membuat penilaian sendiri terhadap setiap dakwaan, sama ada kepada BN mahupun Pakatan. Prestasi Adun dan ahli Parlimen serta sikap sesetengah daripadanya yang mengabaikan kepentingan rakyat, yang turut dipersoalkan pengundi, juga perlu ditangani dengan serius.

Kolumnis Amin Iskandar merumuskan dalam satu tulisannya: "Jika khianat rakyat, tsunami yang melanda BN  pada Mac 2008 tidak mustahil akan berbalik kepada Pakatan. Yang pasti, rakyat bukan lagi bodoh dan mudah untuk diperkotak-katikkan."

Sekadar beberapa tinjauan rambang di negeri-negeri tertentu, terutama selepas bercakap dengan pemimpin Pakatan akar umbi, khususnya penggerak PAS peringkat kawasan, saya dapati banyak perkara yang dilihat indah dari atas rupanya masih "berserabut" di bawah. Sesetengah aktivis ini terkepung dengan masalah yang tidak mampu diselesaikan sendirian. Mereka mengharapkan bimbingan pemimpin atasan, terutama melalui lawatan kerja dan program bersama rakyat.

"Ada pemimpin yang memegang jawatan penting dalam kerajaan negeri seperti tidak mengambil berat soal aktiviti parti. Saya membayangkan jika mereka, yang lebih dikenali rakyat itu, dapat turun ke kawasan-kawasan yang bakal ditandingi PAS. Jadilah seperti Tok Guru Nik Aziz, yang tetap menjelajah ke seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak, walaupun semua orang tahu Tok Guru kerap uzur," luahan hati seorang Yang Dipertua PAS Kawasan kepada saya.

"Semasa ramai ghairah mengimpikan penguasaan Putrajaya, saya nak ingatkan bahawa kubu kuat kita sendiri, Kelantan, jika tidak diberi perhatian serius, pun boleh terlepas, atau mengulangi situasi genting seperti selepas pilihan raya 2004," seorang pemimpin peringkat pertengahan PAS memberi amaran.

"Saya setuju pandangan Lutfi, apa pun keadaannya, PAS mesti mempertahankan negeri tradisi kita, khususnya Kelantan, dan juga Kedah. Kalau boleh, kita dapat ambil alih Terengganu semula. Ya, jangan pandang ringan cabaran Umno Kelantan," tegasnya kepada saya, sambil menekankan kerisauannya selama ini, agar PAS tidak dilihat ditolak oleh pengundi Melayu-Islam.

Tidak syak lagi, pertarungan dan perdebatan mengenai isu kontroversial mudah untuk diungguli Pakatan, tetapi bagaimana dengan persiapan dan tipu muslihat "di padang permainan" sebenar?


"Tapi, janganlah semua orang nak bercakap benda yang sama," tegur seorang pengkaji politik. "Misalnya, bila heboh isu NFC semua nak jadi macam Pengarah Strategi KeADILan, Rafizi Ramli ... semua nak ceramah isu lembu. Patutnya, ada penceramah yang hadam masalah tempatan, dan timbulkan problem seharian audien, yang perlu ditangani segera," ujarnya.

Apabila Pengerusi Umno Negeri, Najib Razak kerap melafazkan keyakinannya untuk menawan kembali Selangor-- terbaru di Puchong Perdana, 18 Mac lalu -- mungkin ramai di antara kita melihatnya sebagai satu propaganda BN semata-mata. Saya tidak begitu! Saya cuba membacanya secara tersirat.

Difahamkan, timbalannya, Noh Omar dalam beberapa pertemuan dengan pihak media dan golongan akademik turut meluahkan keyakinan yang sama. Umno yakin Selangor dapat ditawan semula.

"Adakah kerana kerajaan Pakatan sendiri yang bermasalah, wakil rakyat tidak dekati rakyat, faktor Dr Hasan Ali ataupun senarai daftar pemilih?" tanya saya kepada sumber yang dekat dengan Noh.

"Daftar pemilih," jawabnya ringkas. "BN akan lakukan apa saja untuk rebut Selangor. Agensi strategik seperti SPR, JPN dan Majlis Keselamatan Negara sendiri akan digunakan," tambahnya. "Anggota Kabinet pun yakin, selepas mendengar taklimat, bahawa Pakatan boleh dikalahkan di Selangor," sambungnya.

"Tarikh PRU13 tidak akan ditentukan selagi Najib tidak yakin BN dapat menang di Selangor," demikian posting seorang rakan Facebook saya.

Saya kira Harakah dan kolum ini sendiri sering menimbulkan rancangan dan tindakan jahat Umno-BN ini; cuba menyelongkar dan membongkarnya. Namun ia tidak pernah menghalang mereka daripada meneruskan misi yang dirancang rapi itu.

Ya, saya hanya sekadar mengulangi peringatan ... dan melihat daripada perspektif "situasi terburuk" agar seluruh aktivis Pakatan memberikan sepenuh komitmen dan kebijaksanaan bagi menghalang tipu daya BN itu.

Jahatnya DAP...

Posted: 24 Mar 2012 06:24 AM PDT

Siang 'hidup Melayu', malam 'jual tanah Melayu'

Siang hidup Melayu, malam jual tanah Melayu inilah yang selayak dilebelkan kepada pemimpin Umno. Oleh kerana sudah tersepit dengan sokongan rakyat di negara ini maka ada satu modal lagi yang perlu dimainkan oleh Umno iaitu perkauman dan agama.

Terbaru apabila pemimpin Umno menuduh kerajaan Kelantan menggadai tanah Melayu di Kelantan. Maka ia telah menjadi bahan ketawa, tidak ubah seperti pencuri menjerit pencuri.

Semua dunia maklum pemimpin Umno adalah juara broker tanah Melayu selama ini. Apabila Umno membangkitkan tanah rizab Melayu seolah-olah Umno mengusik sarang tebuan dan bola tanggung kepada PAS dan Pakatan Rakyat.

Rekod membuktikan bagaimana pengkhianatan Umno terhadap tanah rizab Melayu.

Sejahat-jahat penjajah lebih baik daripada Umno sehingga mewartakan seluas 3 juta hektar tanah rizab Melayu pada tahun 1957, namun selepas merdeka, pada tahun 1995 tanah rizab Melayu hilang seluas 1.7 juta hektar.

Sekarang mungkin tanah rizab Melayu sudah tergadai hampir 2 juta hektar. Persoalannya siapa punya angkara?

Buktinya 200 ekar tanah rizab Melayu untuk kilang simen tergadai kepada Yeoh Tiong Lay. (YTL.).

Sewaktu Umno berkuasa, 9 ribu hektar tanah rizab Melayu di Selangor telah ditukar status kepada bukan rizab Melayu, yang diganti cuma 3 ribu hektar.

Pada tahun 1990, seramai 80 orang penduduk di Pantai Chenang Langkawi yang duduk di atas tanah rizab Melayu dihalau untuk membina Pelangi Beach Resort.

Pada tahun 1990, sebanyak 930 hektar tanah rizab Melayu Kampung Mambau Negeri Sembilan telah diambil untuk projek Seremban 2.

Seluas 26,000 hektar tanah rizab Melayu di Tanjung Langsat-Tanjung Pia Johor diambil untuk New Town Ship. Projek yang diusahakan oleh Kuok Brother Collabratioan UEM.

Seluas 300 ekar tanah rizab Melayu di Pulau Redang Teregganu kepada Vicent Tan untuk projek perlancongan.

Pada tahun 1993, 1000 ekar tanah rizab Melayu di Kerpan Kedah untuk projek kolam udang.

Seluas 273 ekar tanah Melayu Kampung Chu Badak Sentul Kuala Lumpur diambil untuk projek mega.

Tanah rizab Melayu seluas 94 ekar terkorban untuk projek Pencala Link dekat Damansara Kuala Lumpur.

Daripada fakta di atas bolehlah dirumuskan Umno lah pengkhianat dan menggadai tanah orang Melayu. Bukan PAS, bukan PKR dan bukan DAP.- Harakahdaily

Khas buat makcik-makcik Felda baca...

Posted: 24 Mar 2012 01:00 AM PDT

Kroni dapat RM589 juta, rakyat dapat RM500 je


KUALA LUMPUR- Kroni Umno, Tan Sri Tajudin Ramli dapat RM589 juta sedangkan rakyat berpendapatan rendah sekadar mendapat RM500 sahaja, kata Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu.

Beliau mengulas laporan Malaysiakini hari ini yang melaporkan, pengurusuan Danaharta Nasional Bhd melupuskan hutang Tajudin sebanyak RM589 juta sebagai sebahagian daripada penyelesaian luar mahkamah yang dicapai dengan beberapa syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bulan lalu.

"Dengan segala riuh rendah yang tidak terkawal, rakyat berpendapatan rendah digula-gulakan dengan hanya RM500 sekali bagi sahaja.

"Pada masa yang sama, Tajudin boleh ketawa berdekah-dekah kerana sebesar RM589 juta diberikan percuma kepadanya," kata Mohamad.

Beliau menyifatkan kerajaan yang membelanjakan wang rakyat sesuka hati tanpa rasa bersalah adalah kerajaan yang sama sekali tidak bertanggung jawab.

"Kepada kroni itu bagi RM250 juta, kepada kroni ini pula RM589 juta.

"Itu kepada keluarga (Ketua Wanita Umno, Datuk Seri) Shahrizat (Abdul Jalil) dan kepada Tajudin, bolehkah dipercayai isteri dan anak Perdana Menteri tidak dapat apa-apa?

"Bagaimana pula dengan pembesar Umno yang lain serta keluarga mereka? Adakah anak serta menantu perdana-perdana menteri sebelum ini tidak dapat apa-apa?" Mohamad mempersoalkan.

Beliau meminta rakyat berfikir, adakah selepas menang di dalam pilihan raya akan datang, para pemimpin Umno dan kroni-kroni mereka tidak akan berbelanja sesama sendiri dengan lebih ganas lagi selepas menang pilihan raya akan datang.

"Dalam pada hendak menghadapi pilihan raya pun tidak takut langsung dan tidak rasa bersalah sedikit pun kerajaan Umno menggasak RM589 juta untuk kroninya, bayangkan apabila menang pilihan raya nanti," Mohamad mengingatkan.

Pembantaian wang rakyat itu, katanya, belum lagi termasuk pelbagai penyiksaan ke atas rakyat yang dijangka akan "dihempuk" oleh Umno ke tas rakyat seperti cukai barangan dan perkhidmatan (GST), pemotongan pelbagai subsidi seperti subsidi minyak yang pasti diikuti kenaikan harga barang yang mendadak dan meruncing, kenaikan tarif dan palbagai penyiksaan lain.

"Satu-satu pilihan yang ada untuk mengelakkan pembantaian wang rakyat dan penyiksaan itu ialah memastikan Umno dikalahkan dalam pilihan raya akan datang," katanya.

Penyelesaian luar mahkamah yang dicapai oleh Tajudin dengan beberapa GLC itu adalah berikutan persetujuannya untuk menarik balik rayuannya pada 7 Disember, 2009 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap beberapa litigan dan GLC termasuk Telekom Malaysia Bhd, Naluri Corporation, Celcom (M) Bhd, Atlan Holding Bhd dan Kumpulan CIMB Group.

Tiga tahun lalu, Mahkamah Tinggi mengarahkan Tajudin membayar jumlah berkenaan kepada Danaharta, jumlah wang yang beliau berhutang ketika pembelian kontroversi saham MAS pada tahun 1994, yang membuka jalan bagi hartawan untuk memiliki syarikat penerbangan nasional itu.

Pada masa yang sama, mahkamah juga membatalkan tuntutan balas RM13 bilion yang difailkan oleh Tajudin terhadap GLC berkenaan.

-harakahdaily

Wajah PAS 10 Tahun Akan Datang...

Posted: 23 Mar 2012 11:00 PM PDT

PAS 10 Tahun Akan Datang.


1. PAS adalah sebuah parti yang kukuh dengan prinsip perjuangan yang bertunjangkan Islam. Sebagaimana kukuhnya Islam agama yang diwahyukan oleh Allah swt maka begitulah kukuhnya prinsip perjuangan yang dipangku oleh PAS menongkah 1001 macam halangan, rintangan dan cabaran sejak hari tubuhnya.

2. Meredah masa depan, selama PAS berpegang teguh dengan perjuangan Islam, ia tetap unggul biarpun menggapai usia 100 tahun lagi justeru Islam adalah agama dari Allah swt yang sesuai sepanjang zaman sehinggalah dunia digulung kiamat kelak.

3. Sebagai sebuah Gerakan Islam, PAS adalah alternatif untuk menggagas masa depan negara yang sejahtera, menepati sebuah pemerintahan good governence, bebas korupsi dan diredhai oleh Allah swt. Dunia semakin kosong dan gersang tanpa Islam sebagai petunjuk Allah swt. Inilah yang difirmankan oleh Allah swt:

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَٰكِن كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ

Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.

4. Menyedari harapan ini, PAS sebagai sebuah wadah perjuangan ummah mesti dipersiapkan agar hadhir dan tampilnya menepati tuntutan semasa. PAS selayaknya mula menguasai polisi ke arah mempersiapkan dirinya untuk menjadi kerajaan yang mengurus tadbir negara, bukan lagi terjerat dalam kelompok pembangkang yang hanya tahu membangkang tanpa solusi yang efektif.

5. Bermula dengan menyusun saff kepimpinan parti yang terdiri dari kalangan figure mampu dan layak menggalas amanah kepimpinan, bukan sahaja kepimpinan parti tetapi juga kepimpinan negara. Andai sukar untuk memiliki figure kepimpinan sedemikian, mungkin juga boleh mengambil kaedah 2 line up kepimpinan, iaitu kepimpinan yang mengurus parti dan satu lagi ialah kepimpinan yang mengurus negara. Namun kedua-dua line up kepimpinan berada di dalam satu majlis pemesyuaratan parti.

6. Usaha pengkaderan mesti kemas dan diberi perhatian utama oleh parti untuk melahirkan anggota dan kepimpinan parti yang komited dengan dasar perjuangan sekaligus mampu mendokong aspirasi parti. Parti mesti bijak serta pantas mengurus masaalah, konflik dan tekanan agar tidak membuang terlalu banyak masa melayan karenah masaalah atau konflik yang timbul sedang perkara fundamental seperti melahirkan anggota dan kepimpinan parti yang berkualiti tinggi terabai.

7. Menuju cabaran 10 tahun akan datang, antara lain PAS perlu menumpukan kepada 2 skim kualiti.

Pertama kualiti pada figure samaada anggota atau pemimpin yang mampu serta layak menyandang amanah di mana posisi ia ditugaskan. Bukan figure yang hanya melakar publisiti melalui kepetahan berpidato tetapi lemah dalam tindakan.

Kedua ialah kualiti pada organisasi dan penstrukturannya agar dilihat lebih kemas, sistematik dan menepati piawaian sebuah organisasi moden yang mampu menangani saingan gerakan semasa.

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

Dia ni bukan Ultraman, tapi AUTAMAN... kahkahkah...

Posted: 23 Mar 2012 09:00 PM PDT

Politik Malaysia dan adiwira Jepun

Kalian pasti pernah menyaksikan cerita adiwira terkenal Jepun dalam siri Ultraman Saya kira sesiapa sahaja yang pernah hidup dengan Ultraman pasti berbangga dengan aksinya ketika bertempur dengan raksasa jahat yang berniat jahat untuk menjajah bumi.

Tapi pelik, selalunya Ultraman akan muncul dahulu entah dari mana, menjelmakan bentuknya, menggunakan kuasa ajaib untuk mempertahankan bumi. Entahlah, kata orang-orang tua, Ultraman ini saja direka untuk anak-anak jadi lalai, malas mengaji dan khayal dengan dunia fantasi yang jauh fikrahnya dari realiti.

Salah! Jangan sesekali membunuh fantasi anak-anak. Fantasi inilah realiti yang dipinjamkan kepada dunia khayalan. Realiti sebenarnya pasti ada.

Jangan terkejut kalau-kalau konspirasi Ultraman ini mampu membungkam propaganda pembodohan pemerintah. Lagi asyik kita larut dengan fantasi Ultraman, lagilah dekat kita dengan wayang-wayang diktator memancing undi.

Benar kata pengkaji filem, hal-hal propaganda paling luas tersebar melalui kaca televisyen. Adolf Hitler menyebarkan dakyah Nazisme menerusi kaedah hipnosis perfileman.

Bahasa orang-orang intelektual mencirikannya sebagai hegemoni, yang dipinjam dari perkataan Hegemon yang membawa maksud raksasa yang berkuasa dalam mitos Yunani. Mungkin Ultraman ini juga pernah berlawan dengan Hegemon. Kalah atau menang, ianya kekal sebagai mitos.

Munculnya raksasa

Salah satu adegan wajib dalam tayangan-tayangan Ultraman adalah raksasa mestilah muncul terlebih dahulu. Di saat kemunculannya yang tidak pasti dari mana, secara tiba-tiba mengamuk, membelasah dan merobek bangunanPpada masa yang sama Ultraman pasti muncul juga entah dari mana, melawan kejahatan raksasa yang memusnahkan.

Adegan yang sama telah dan sedang menjelma dalam realiti politik kita. Tiba-tiba sahaja entah dari mana, raksaksa bernama tol, cukai perkhidmatan, harga minyak dan gas dan apa-apa lagi muncul mengamuk.

Di saat hujung penggal pemerintahan, maka berbondong-bondonglah pondok tol dihapuskan, cukai mahu dikaji semula, subsidi yang ditarik balik ingin dikekalkan dan macam-macam janji lagi. Pemerintah yang mencipta raksasa, mereka jugalah menjadi Ultraman yang mahu menyelamatkan jiwa seluruh rakyat.

Taktik 'Ultraman-Raksasa' inilah yang kita perlu perhatikan dan berhati-hati. Hal ini kerana pilihan raya umum sangatlah dekat. Jadi, setiap apa yang termampu pasti akan dilakukan sekejap sebagai bodekan wajib untuk terus berkuasa.

Dalang pelaku – orang yang sama

Strategi demi strategi harus disusun sebagai skrip. Skrip ini diolah seperti merangka sebuah cerita. Ada permulaan, klimaks dan pasca-klimaks (resolusi).

Mula-mula, untuk memancing perhatian. Cara yang paling berkesan adalah mencipta kontroversi. Misalnya, perancangan untuk mengubah skim gaji dan pangkat penjawat awam. Kalau kakitangan awam diam, berjayalah konspirasi mengenakan mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana.

Kalau seluruh penjawat awam, kecuali yang di puncak kayangan, memekik untuk membantah, maka skrip seterusnya adalah strategi memberi ubat kepada penyakit terbabit. Tibalah masa untuk memansuhkan cadangan berniat busuk yang awal itu.

Shahdan, slogan-slogan terima kasih pantas menghiasi setiap ruang yang ada walhal dalang pelakunya adalah sosok yang serupa Sama sahaja seperti taktik penerbit Ultraman; keluarkan raksasa dahulu untuk membikin kecoh, kemudian barulah Ultraman datang sebagai penyelamat supaya hal-hal seterusnya selesai.

Dalam perkara ini, masih ramai antara kita yang alpa. Sehebat-hebat Ultraman sekali pun, raksasa akan terus muncul membinasakan bumi. Jadi, kenapa perlu bertanggung harap kepada Ultraman?

Perlukah adiwira menyelamatkan kita?

Sebaiknya, kita sebagai rakyat perlu secara pro-aktif memainkan tindakan untuk mencegah kemunculan raksasa-raksasa itu. Jikalau kita aplikasi hari ini di dalam realpolitik Malaysia, apakah kebobrokan yang berpanjangan selama 54 tahun itu mampu disorokkan di lubang cacing selama-lamanya? Apakah dengan sedikit kebaikan yang diulang-ulang menjelang pilihan raya kita benarkan untuk merasa nikmat ditindas kezaliman untuk satu penggal lagi?

Dalam strategi politik lapok, taktik wayang Ultraman ini sangatlah berkesan untuk terus melegarkan rakyat dengan proses pembodohan kerana penipuan yang berulang-ulang akan menjadi kebenaran. Jadi, ketika detik pilihan raya hampir berbunyi, gajah pun menyerupai tikus, besi juga mampu berganti emas.

Semuanya kerana setiap undi kita adalah permata buat setiap pemimpin politik yang cuba untuk memerintah negara dan bergelar kerajaan. Jadi, bagi kita yang sudah mengunjur ke hadapan dan bosan dengan sogokan material ini, kenapa tidak untuk kita cuba mendekati politik baru dan meninggalkan wayang-wayang Ultraman ini.

Kita sebagai pengundilah yang harus bijak memanfaatkan ruang yang diberi, undilah calon dan parti yang paling sesuai untuk menerajui tampuk kepimpinan negara. Ultraman hanya fantasi untuk kanak-kanak; kecualilah kita mahu terus dilayan seperti kanak-kanak oleh pemerintah yang ada. – Roketkini.com

Bedebah betoi bangsa UMNO sekoq nih...

Posted: 23 Mar 2012 07:00 PM PDT

Lynas: Najib putar belit lagi, cuba tutup kesilapan sendiri

KUALA LUMPUR, 23 MAC: Datuk Seri Najib Razak sekali lagi memutarbelitkan kenyataan sendiri apabila mengakui bahawa Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) mengenai loji Lynas adalah penting untuk "membuat keputusan" mengenai pusat pemprosesan nadir bumi di Gebeng, Pahang.

Sedangkan kenyataan Perdana Menteri yang dilaporkan oleh agensi berita nasional Bernama pada 17 Mac lalu dengan jelas menyatakan PSC tidak ada kuasa untuk membuat sebarang keputusan tentang loji Lynas.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, tindakan untuk berubah nada dengan mengatakan bahawa PSC itu merupakan "dasar kuat untuk membuat keputusan" mengenai Lynas adalah "flip-flop" yang bertentangan kenyataan beliau sendiri pada 17 Mac lalu.

"Adalah jelas bahawa perubahan pendirian ini adalah hasil daripada tindakan Pakatan Rakyat untuk memboikot PSC itu.

"Namun begitu, "flip-flop" yang berlaku ini menimbulkan soalan sama ada Perdana Menteri serius dan ikhlas untuk menutup Lynas sekiranya bukti bahaya terhadap alam sekitar, kesihatan dan keselamatan awam dapat ditunjukkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bernama telah melaporkan kenyataan Najib pada 17 Mac sebagai berkata:

Jawatankuasa pilihan khas (PSC) mengenai Lynas tidak akan membuat keputusan mengenai nasib loji nadir bumi yang berkontroversi itu. Sebaliknya, PSC itu adalah sebahagian daripada proses penglibatan awam supaya rakyat dapat memahami isu-isu berkenaan dan supaya kita boleh meyakinkan kumpulan-kumpulan yang masih sangsi sama ada projek itu selamat atau tidak. Beliau menambah bahawa beliau mengharapkan PSC akan meningkatkan kesedaran mengenai projek itu supaya "kita boleh mencapai keselesaan dari segi penerimaan orang ramai".

Menurut Guan Eng, dengan berpandukan kepada kenyataan Najib pada 17 Mac itu, DAP dan Pakatan Rakyat memilih untuk tidak menyertai PSC semata-mata atas kepentingan awam kerana DAP tidak mahu membantu Barisan Nasional untuk menutup kesalahannya dan menipu rakyat bahawa loji Lynas itu selamat.

"Melihat apa yang dikatakan Perdana Menteri pada 17 Mac, PSC itu jelas direka oleh BN sebagai fait accompli untuk menghalalkan loji Lynas dan memaksa orang awam menerimanya tanpa mempedulikan soal keselamatan, alam sekitar dan kesihatan.

"Kerana ini, PR dan DAP enggan menyertai PSC untuk menghalalkan sesuatu yang pada dasarnya salah dan bercanggah dengan kepentingan awam. Dengan mengatakan bahawa PSC itu tidak akan membuat keputusan mengenai nasib Lynas, adalah jelas bahawa PSC itu tidak relevan," ujarnya.

Setelah Pakatan Rakyat enggan menyertai PSC, Najib memutarbelitkan kenyataannya sendiri dengan mendakwa kononnya beliau tidak faham mengapa PR membantah usul penubuhan jawatankuasa itu.

Alasan terbaru Najib adalah kononnya isu Lynas memerlukan penyelesaian yang menjangkau politik kepartian yang perlu ditangani semua pihak. Ia jelas bertentangan dengan kenyataan beliau pada 17 Mac lalu.

Justeru, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagain mendesak Najib supaya menarik balik kenyataannya pada 17 Mac untuk menunjukkan keseriusan dan keikhlasan kenyataan terbarunya, termasuk yang dinyatakannya dalam program radio bahasa Mandarin 988 semalam bahawa kerajaan BN tidak akan membenarkan loji Lynas beroperasi sekiranya terdapat bukti saintifik yang ia berbahaya kepada kesihatan dan alam sekitar.

"Untuk membuktikan komitmen dan keseriusannya, Najib juga mesti memberi arahan hentikan kerja serta merta kepada Lynas dan mengisytiharkan bahawa kerajaan BN sanggup membayar pampasan sekurang-kurangnya RM700 juta yang telah dibelanjakan Lynas untuk membina loji tersebut," tambahnya.

Menurutnya, kegagalan untuk berbuat demikian hanya akan menimbulkan keraguan mengenai integriti PSC yang dipimpin Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Kahled Nordin sebagai alat politik BN untuk menghalalkan yang haram dan mewajarkan yang tidak wajar. – Roketkini.com

Terima kasih la Anwar oiii... yahooo!!!

Posted: 23 Mar 2012 05:00 PM PDT

PTPTN batal jika Pakatan tawan Putrajaya – Anwar

PORT DICKSON 23 Mac: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan dibatalkan serta-merta jika Pakatan Rakyat diberi mandat sebagai kerajaan baru Persekutuan pada pilihan raya umum kali ini, kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pembatalan itu katanya selaras dengan agenda Pakatan Rakyat untuk memberikan pendidikan percuma kepada rakyat seperti digariskan Buku Jingga.

"Semasa saya menjadi Timbalan Perdana Menteri, keuntungan Petronas RM30 bilion tapi ada biasiswa dan dermasiswa. Sekarang, untung Petronas, lebih RM90 bilion, tapi pelajar kita, baru masuk belajar, sudah berhutang. Belum kerja dah berhutang.

"Kalau kita diberi mandat memerintah Malaysia, saya beri jaminan, PTPTN akan kita batalkan," katanya pada majlis ceramah Pakatan Rakyat di Lukut, Negeri Sembilan, 22 Mac lalu.

Beliau menegaskan, apabila harga minyak turun, secara automatik rakyat mempunyai lebihan wang untuk dibelanjakan.

"Apa jadi kalau harga minyak turun, pengangkutan awam juga akan turun, harga makan akan turun dan harga barang akan turun.

"Saya beri jaminan harga minyak boleh diturunkan, saya Menteri Kewangan lapan tahun, saya tahulah caranya," katanya yang menjawat jawatan itu sejak 1991-1998.

Beliau turut menempelak Datuk Seri Najib Razak dan Mahathir yang mengatakan pelaksanaan gaji minima akan membankrapkan negara.

"Kalau tidak mampu laksana gaji minima, sila berundur kerana kami beri jaminan gaji minima RM1,100 akan dilaksana jika kita diberi mandat memerintah. Malaysia ini negara kaya dan ada macam-macam sumber hasil, kita yakin dasar ini boleh dibuat," tegasnya.

Beliau memberi contoh Selangor yang diperintah Pakatan Rakyat bukan sahaja berjanji malah berjaya melaksanakan dasar gaji minima sejak Januari lalu dengan permulaannya kepada syarikat kerajaan negeri.

Turut hadir, Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Mohd Taufek Abdul Ghani, Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri, Datuk Kamarul Bahrin Abbas dan pimpinan Pakatan Rakyat dari pelbagai peringkat.

Ceramah yang berlangsung kira-kira tiga jam itu menyaksikan ratusan kenderaan memenuhi perkarangan kawasan tanah lapang itu kira-kira satu kilometer.

Dua stesyen minyak berhampiran turut menjadi medan tempat meletak kenderaan orang ramai ekoran kawasan sesak dan padat dengan kehadiran ribuan rakyat malam itu.- KD

SPM 2012: Borang Permohonan Biasiswa Petronas

Posted: 23 Mar 2012 03:00 PM PDT

Borang Permohonan Biasiswa Petronas Lepas SPM 2012

Keputusan SPM 2011 sudah keluar dan menjadi kemestian bagi pelajar yang mencapai keputusan cemerlang untuk memohon biasiswa "emas" dari Petronas.

Borang Permohonan Biasiswa Petronas Lepas SPM 2012 | Petronas mempelawa calon-calon yang layak untuk memohonProgram Biasiswa Pendidikan Petronas bagi lepasan SPM 2011. Pelajar lepasan SPM 2011 yang akan menerima biasiswa Petronas ini perlulah mempunyai rekod akademik yang cemerlang, bakat kepemimpinan di dalam kegiatan ko-kurikulum, sosial dan sukarela, serta memiliki keazaman dan kesungguhan.

Biasiswa Petronas ini adalah untuk mengikuti program pengajian di Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan di universiti luar negara atau kampus cawangannya di Malaysia.

Syarat Asas Memohon Biasiswa Petronas 2012

Calon-calon mestilah menggunakan keputusan SPM 2011.
Calon-calon mestilah warganegara Malaysia.
Calon-calon mestilah berumur sekurang-kurangnya 17 tahun dan tidak melebihi 19 tahun pada tahun 2012.
Mempunyai ciri-ciri kepimpinan serta aktif di dalam aktiviti ko-kurikulum.
Cara Memohon Biasiswa Petronas 2012
Permohonan secara dalam talian dibuka mulai 21 Mac 2012.
Permohonan mestilah dibuat secara online melalui laman web http://spmonline.petronas.com.my.
Sila baca dengan teliti Panduan Memohon dan Panduan Mengisi Borang sebelum membuat permohonan.
Tarikh Tutup Biasiswa Petronas 2012

Permohonan Program Biasiswa Pendidikan Petronas Bagi Lepasan SPM 2011 ini akan ditutup pada 28 Mac 2012, jam 5.00 petang.
Permohonan yang dibuat selepas tarikh dan masa tersebut tidak akan diproses.
Petronas EduQuest Camp

Hanya pemohon yang disenarai-pendek akan dihubungi untuk melalui proses penilaian diPETRONAS EduQuest Camp pada bulan April 2012.
Sila layari laman web http://spmonline.petronas.com.my dari semasa ke semasa bagi mendapatkan maklumat tentang status permohonan anda.
Keputusan jawatankuasa pemilihan adalah muktamad.
Maklumat Biasiswa Petronas 2012

Sila rujuk laman web http://spmonline.petronas.com.my untuk membuat permohonan dan mendapatkan maklumat yang lebih terperinci.

Sila rujuk juga komen-komen di Program Biasiswa Pendidikan Petronas Bagi Lepasan SPM 2009 dan SPM 2010 sebagai panduan.
Pertanyaan Biasiswa Petronas 2012

Sila hubungi Talian Bantuan Program Biasiswa Pendidikan PETRONAS di 03 2331 2277 jika terdapat sebarang pertanyaan.

Whitney Houston Mati Akibat Dadah

Posted: 23 Mar 2012 01:00 PM PDT

Siasatan Sahkan Whitney Houston Mati Akibat Dadah

Penyanyi Whitney Houston didapati meninggal dunia akibat lemas dan kesan daripada pengambilan dadah jenis kokain serta penyakit jantung, demikian menurut koroner daerah Los Angeles, hari ini.

Penyanyi terkenal yang meninggal dunia pada usia 48 tahun yang dijumpai di bilik air di sebuah hotel Beverly Hills, bulan lalu didapati terdapat kokain dalam badannya yang menyumbang kepada kematiannya.

Perkara itu dinyatakan oleh koroner daerah berkenaan dalam kenyataannya hari ini. Kematian penyanyi itu diklafikasikan sebagai mati 'mengejut' manakala punca yang dinyatakan disebabkan lemas dan 'kesan daripada penyakit jantung serta penggunaan dadah'.

"Bagaimana kecederaan berlaku: Didapati takungan mandi penuh dengan air serta penggunaan dadah. Tiada truma atau kejadian jenayah disyaki berlaku," kata kenyataan itu dengan menambah laporan penuh koroner akan dikeluarkan dalam masa dua minggu lagi.

Sementara itu terdapat dadah lain dalam badan Whitney tetapi tidak menyumbang kepada kematiannya iaitu marijuana, alprazolam (Xanax), cyclobenzaprine (Flexiril) dan Diphenhydramine (Benadryl).- klpos

Tiada ulasan: