Rabu, 21 Mac 2012

Pahang Daily Online

Pahang Daily Online


Panas: Gadis Yang Di Percayai "Di Culik" Rupanya Hilang Gara-Gara Mengikut Teman Lelaki Sendiri!

Posted: 21 Mar 2012 01:27 AM PDT

KUANTAN, 21 Mac - Gadis yang dikatakan diculik ketika keluar membeli kad tambah nilai prabayar Ahad lepas, Siti Nur Fatihah Mahadi (foto), 15, akhirnya mengaku bahawa dia sebenarnya tidak diculik, kata polis. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang SAC T. Narenasagaran berkata gadis itu juga mengaku bahawa dia dengan rela hati melarikan diri untuk tinggal di rumah teman lelakinya yang berumur 26 tahun disebabkan tekanan emosi yang dialami. "Laporan yang dibuat kepada polis dengan mendakwa gadis itu diculik adalah tidak benar kerana dia mengaku dia tidak diculik tetapi melarikan diri dari rumah kerana tekanan perasaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Beliau berkata Siti Nur Fatihah ditemui di rumah teman lelakinya di Kampung Merchong dekat Pekan petang semalam, selepas dikatakan diculik dua lelaki dan seorang wanita semasa bersama adik lelaki dan sepupunya membeli kad tambah nilai prabayar di Taman Tas di sini, Ahad lepas. Narenasagaran berkata remaja itu sendiri yang menghubungi kedua-dua lelaki dan wanita berkenaan supaya menghantarnya ke rumah teman lelakinya pada hari dia dilapor hilang oleh keluarganya. Beliau berkata Siti Nur Fatihah kini dihantar ke Rumah Perlindungan Kanak-kanak Sultanah Fatimah di sini untuk kaunseling dan penjagaan kerana dia tidak mahu pulang ke rumah serta merayu tidak mahu menemui sesiapa. "Kes ini telah selesai dan kami menegaskan bahawa ini bukan kes culik. Mangsa keluar rumah secara sukarela dan tiada unsur paksaan atau kekerasan oleh mana-mana pihak dalam kes ini. "Mangsa keluar rumah dengan tujuan hendak menenangkan fikiran dan mahu tinggal sementara dengan keluarga teman lelakinya," katanya. Ditanya mengenai dua lelaki dan seorang wanita berumur lingkungan 20-an yang sebelum ini dikatakan melarikan gadis itu, Narenasagaran berkata mereka tidak ditahan tetapi akan dipanggil semula untuk memberi keterangan berhubung kes itu. "Mereka tidak melakukan penculikan tetapi polis akan panggil semula kedua-dua lelaki dan wanita itu untuk diambil keterangan," katanya.


Kesedihan ibu Fatihah dibalas dengan tindakan yang memalukan

[Apa yang berlaku ini jelas sekali memalukan dan sungguh mengecewakan ramai pihak sebenarnya. Kehilangan yang tidak sewajarnya dihebohkan terjadi disaat isu kes penculikan sedang hangat diperkatakan di sana sini sekarang. Ikut teman lelaki adalah sesuatu yang amat tidak wajar bagi seorang remaja yang baru berusia 15 tahun. Tambahan pula teman lelakinya dipercayai berumur 26 tahun. Tindakan ini bukan sahaja memalukan ibu bapa dan masyarakat, malahan turut menjatuhkan imej pihak sekolanya sendiri. Tergamak mengambil tindakan nekad sedemikian rupa yang akhirnya menyusahkan semua pihak. Apakah terlalu sukar untuk beliau memaklumkan kepada ibubapanya menerusi SMS jika pun ingin mengikut teman lelaki. Dengan perkembangan terbaru ini, ia jelas sekali memalukan keluarga terbabit yang dilihat gagal mendidik anaknya menjadi seorang remaja yang berakhlak dan mempunyai moral yang tinggi. Semoga insiden sebegini tidak berlaku kepada pihak lain hendaknya. Janganlah menconteng arang dimuka ibubapa. Hargailah kasih sayang !].

Panas: Gagal Patuhi Syarat, Pakatan Rakyat Tolak Penubuhan PSC Untuk Mengkaji Isu Projek Lynas

Posted: 20 Mar 2012 11:48 AM PDT

KUALA LUMPUR, 21 Mac - Pakatan Rakyat memutuskan untuk tidak menyertai Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) bagi mengkaji isu Lynas setelah mendakwa jawatankuasa itu tidak memberikan ruang kepada mereka untuk menyatakan pendapat. Keputusan itu berikutan kekecewaan mereka apabila kerajaan tidak memenuhi syarat yang dicadangkan, iaitu kerajaan perlu mengeluarkan arahan henti kerja, tarik balik permit kerja sementara (TOL) dan hentikan "import rare earth concentrate". Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh (foto), yang jelas kecewa dengan ucapan penggulungan menteri, berkata beliau mengharapkan penubuhan PSC ini akan menjadi satu platform bebas bagi memahami masalah rakyat. Malangnya, kata beliau melihat dari perbahasan dan penggulungan menteri, harapan tersebut tidak akan menjadi kenyataan. "Kita bersedia untuk terlibat dalam PSC, tetapi melihat kepada apa yang berlaku hari ini, kita tidak boleh bergantung kepada badan itu untuk menjadi satu platform kepada rakyat," tegas beliau pada sidang media, di lobi parlimen, semalam. Sebelum itu, ahli parlimen Pakatan Rakyat bertindak keluar dewan setelah kecewa dengan jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz ketika penggulungan perbahasan mengenai penubuhan PSC. Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr. Dzulkefly Ahmad, berkata Pakatan Rakyat terpaksa menolak PSC memandangkan penubuhannya tidak memberikan sebarang makna kepada rakyat, khususnya rakyat Kuantan. "Kita memang mahu berkongsi segala maklumat, tapi nampaknya ia tidak jadi kenyataan. Memang hari ini adalah hari yang paling sedih kepada rakyat Malaysia," tambah beliau.


Ahli Parlimen Pakatan Rakyat bertindak keluar dewan ketika PSC diluluskan
Terdahulu, perbahasan tentang penubuhan PSC ini menjadi hangat apabila kebanyakan ahli parlimen kerajaan berucap seolah-olah menyokong projek Lynas, yang dibina di Gebeng, Pahang sebelum sidang berhenti rehat tengahari tadi. Kemudiannya, selepas dewan kembali bersidang pada sebelah petang, kekecohan terus berlaku apabila ahli parlimen Pakatan Rakyat tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan Nazri. Ketika ditanya tindakan susulan Pakatan Rakyat ekoran keputusan tersebut, Fuziah berkata beliau menyerahkan kepada rakyat untuk bertindak selepas ini."Biarlah rakyat yang memutuskannya," kata beliau. Turut serta pada sidang media itu ialah Ahli Parlimen Batu, Tian Chua; Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr. Hatta Ramli; Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago; dan beberapa ahli parlimen Pakatan Rakyat. DAP sebelum ini membuat keputusan untuk tidak menyertai jawatankuasa itu kerana ia hanya akan menjadi fait accompli (yang telah diputuskan) atau alat untuk menghalalkan loji nadir bumi syarikat Australia itu. Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, PSC juga akan menjadi alat Barisan Nasional untuk memaksa orang awam menerima loji Lynas tanpa mempedulikan soal keselamatan, alam sekitar dan kesihatan rakyat. "DAP akan mencadangkan kepada kepimpinan Pakatan Rakyat supaya tidak membenarkan BN menggunakan penyertaan PR untuk menghalalkan loji Lynas, bagi memastikan PR tidak akan terlibat dengan apa-apa bencana alam sekitar yang mungkin berlaku pada masa depan," katanya dalam satu kenyataan kelmarin.

[Hanya rakyat yang boleh memastikan projek Lynas itu wajar diteruskan atau tidak. Jika diharapkan kepada kerajaan yang kononnya "mendahulukan rakyat", maka ternyata mereka sudah tidak akan mendengar lagi rintihan mereka sekarang. Apa yang dipertahankan ialah memastikan kilang Lynas itu terus berdiri megah di negara ini tanpa sebarang gangguan. Hujah berfakta yang dikemukakan semuanya akan ditolak bulat-bulat oleh mereka. Ini semua kerana ada pihak yang sudah mendapat habuan lumayan dan bakal meraihnya setelah kilang itu beroperasi kelak. Justeru, tidak hairanlah bilamana kerajaan tergamak memberi perlepasan cukai selama 12 tahun kepada sebuah kilang yang berisiko seperti itu. Cukai memang tidak diperolehi oleh kerajaan, tetapi dikhuatiri telah masuk ke poket pihak tertentu. Maka itulah mereka akan pertahankan Lynas bermati-matian. Semuanya bukan kerana percaya Lynas selamat, tetapi masing-masing mahu selamatkan kantung mereka sebenarnya. Oleh itu, jalan terbaik ialah rakyat mejatuhkan kerajaan yang "lupa diri" seperti ini pada PRU-13 nanti. Buat perubahan sekarang !].

Tiada ulasan: