Jumaat, 2 Mac 2012

Pahang Daily Online

Pahang Daily Online


Bantah Lynas: PKR Kecam AELB Cuba Kelirukan Peratusan Untuk Perdaya Rakyat Malaysia

Posted: 02 Mar 2012 07:32 AM PST

KUANTAN, 2 Mac - Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa bahawa AELB cuba mengelirukan dan memperdayakan rakyat Malaysia dengan mengumumkan bahawa 97% daripada maklum balas yang diterima tidak membantah projek pembinaan kilang Lynas, tetapi cuma 3% masyarakat yang membantah. Ahli Jawatan Kuasa PKR Pahang Lee Chean Chung (foto) berkata, dalam borang maklum balas yang dikutip balik, majoritinya mencatatkan bahawa Lesen Operasi Sementara (TOL) tidak harus diluluskan sebelum tapak simpanan kekal (Permanent Depository Facility, PDF) dikenalpasti. "Namun pihak AELB telah mentafsir borang-borang tersebut sebagai rakyat tidak membantah projek pembinaan kilang pemprosesan nadir bumi Lynas. Ini adalah amat tidak bertanggungjawab. Malahan, daripada 1,122 borang yang dihantar, tiada satu pun yang memberi sokongan kepada projek Lynas. Padahal, 100% masyarakat membantah keras dalam isu ini!", katanya. Beliau juga merasa amat kesal atas tuduhan yang dibuat oleh AELB di mana orang awam tidak meneliti Laporan Pengurusan Sisa Radioaktif Jangka Masa Panjang yang disediakan. Padahal, AELB telah menetapkan pelbagai syarat yang ketat dan tidak munasabah seperti had masa untuk menghabiskan 300 muka surat dalam masa sejam dan laporan hanya boleh dibaca secara bergilir-gilir di tempat tertentu sahaja supaya rakyat gagal membaca laporan tersebut."Juga berkemungkinan besar bahawa Ahli Jawatanjuasa Penasihat tidak sedar bahawa NGO seperti Save Malaysia Stop Lynas dan Gabungan Hentikan Lynas telah bekerjasama mencatat setiap patah perkataan daripada laporan tersebut secara tulisan tangan, dan laporan tersebut telah dimuatnaikkan di atas internet. Tuduhan bahawa rakyat tidak membaca laporan tersebut adalah tidak benar", katanya lagi.

[Tambah Chean Chung, sokongan yang diberi oleh masyarakat seluruh negara dalam Himpunan Hijau 2.0 hari Ahad yang lepas merupakan bukti kukuh rakyat tidak mahu kilang Lynas. Pada hari tersebut, lebih daripada 15,000 orang individu dari seluruh negara telah menghadirkan diri. Resolusi Himpunan Hijau yang pertama menyeru supaya "Loji Nadir Bumi Lynas Dibatalkan Segera" dan sokongan terhadap resolusi ini telah diberi tanpa mengira bangsa dan agama. Dengan ini, PKR menyeru supaya pihak berkuasa seperti AELB berhenti memperdayakan rakyat. Sebelum ini, AELB telah meluluskan Lesen Operasi Sementara secara tergesa-gesa pada 1hb Feb sebelum Tapak Simpanan Kekal dikenalpasti tanpa mempedulikan bantahan rakyat. Bagaimanakah rakyat dapat mempercayai AELB yang sekarang cuba memutarbelitkan maklum balas rakyat bagi memenuhi kepentingan syarikat Lynas?].

Bongkar: "Blogger UMNO Fitnah", Gambar Ketika Tangkapan Di Sahkan Bukanlah Dr.Badrul Amin !

Posted: 01 Mar 2012 10:42 PM PST

Susulan kes kontroversi "khalwat" yang dikatakan melibatkan tokoh agama yang juga pimpinan tertinggi PKR, Ustaz Dr.Badrul Amin Bahron (foto) Ahad lalu maka berbagai-bagai persepsi dan versi cerita telah diwar-warkan. Malah di Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) sendiri pun kini berbagai persoalan dan kenyataan pro dan kontra dalam isu ini. Apa yang ingin PDO huraikan di sini ialah persoalan tentang bagaimana begitu cepat blog-blog pro UMNO boleh menghidu kejadian itu, sedangkan pihak JAIP membuat operasi sekitar jam 4.00 pagi. Seolah-olah memang sudah ada usaha untuk meletopkan isu ini sebelum Himpunan Hijau 2.0 berjalan pada keesokkan harinya. Malah, PDO juga hairan bagaimana mereka boleh menyiarkan gambar-gambar yang kononnya dirakamkan di dalam bilik semasa kejadian?. JAIP harus memantau perkara ini, bagaimana bukti dan bahan-bahan kes boleh terlepas kepada blogger-blogger terbabit. Kes ini sama juga dengan isu video seks Anwar sebelum ini. "Trio Datuk T" kata mereka ada VCD tulen dan ia diserahkan kepada pihak polis Bukit Aman semasa siasatan. Anehnya, dalam masa yang sama video panas berkenaan tersiar di internet dan kemudian hilang selepas ia dihebahkan. Maknanya, barang kes begitu mudah jatuh ke tangan blogger-blogger terbabit. Soalnya, jika kes yang berlaku itu benar atau sahih maka tidak mungkin ada pihak luar yang boleh begitu cepat datang ke lokasi dan mengambil gambar-gambar berkenaan. Inilah yang memusykilkan kita. Malah, penyiaran gambar yang paling sensasi telah dilakukan dalam blog "Khazanah Minda Politik Melayu" . Blog terbabit begitu rakus dan berbangga kononnya mereka berjaya menyiarkan gambar Dr.Badrul Amin dan pasangannya ketika ditangkap. Cuba lihat foto dibawah seperti yang disiarkan di laman blog terbabit atas tajuk "Bukti Bergambar: Ketika Badrul Amin Di Tangkap". Krew PDO cuba menyiasat apakah benar gambar yang disiarkan ini atau setidak-tidaknya 99.9% tulen, agar rakyat boleh menilainya. Namun, sesuatu yang memalukan telah berjaya kami bongkarkan. Sebenarnya gambar-gambar yang disebarkan itu bukanlah gambar Ustaz Badrul Amin dan pasangannya seperti yang diperkatakan itu.


Bukti, keratan artikel yang disiarkan di blog beliau itu

Ini pula kekeliruan gambar berkenaan yang telah kami kesan selepas itu

Rasionalnya, bilik kejadian bukanlah bilik Dr.Badrul Amin, maka kenapa gambar lelaki dalam gambar memegang beg hitam. Bukankah dia bermalam di situ bersama isterinya dan ini bermakna beg beliau berada dalam bilik mereka. Kenapa pula boleh ada di tempat lain?. Keduanya, ada kelibat wanita bertudung hitam di belakang (anak panah). Bagaimana pula wanita itu boleh ada dalam bilik?, sedangkan semasa tangkapan dikhabarkan hanya wanita (isteri pengadu) yang ada disitu dan yang lain semuanya lelaki. Malah lebih memusykilkan, ketika penguatkuasa JAIP tiba, Dr.Badrul Amin berada di dalam bilik berkenaan sambil dikawal oleh beberapa orang lelaki (dipercayai rakan suami wanita terbabit). Maka, macam mana pula gambar yang disiarkan ini menunjukkan mereka berdua berada dalam bilik dan keluar bersama dengan menutup kepalda dengan tuala putih. Dan yang terakhirnya, bagaiamana pula tangan Dr.Badrul Amin boleh bergari?. Sedangkan ketika ditahan beliau tidak digari pun. Malah ia disahkan oleh beberapa orang saksi yang berada di tempat kejadian. Maka , kenapa gambar itu menceritakan sebaliknya?. Ini jelas menunjukkan pihak berkenaan mempunyai muslihat tertentu untuk memalukan tertuduh, sedangkan isu tersebut tidak timbul sebenarnya. Maka, kenapa mereka cipta fitnah ini?.

[PDO bukanlah hendak mendahulu mahkamah dalam hal ini. Namun, apa yang mengarut dan tidak betul perlulah didedahkan bagi memberi keadilan kepada semua pihak. Malah, tindakan menyiarkan gambar palsu ini juga menjejaskan nama Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) sebenarnya. Justerru, pihak berkenaan juga perlulah mengambil tindakan saman terhadap blogger dan portal-portal yang menyiarkan gambar-gambar ini. Soal tangkapan atau siasatan JAIP itu adalah hal lain, Namun apa yang kami pertikaikan kenapa gambar ini dikatakan Dr.Badrul Amin?. Apakah mereka lupa ketika operasi Dr.Badrul Amin bersendirian di dalam bilik sedangkan pasangannya dan anak beliau berada di luar bilik. Makanya, tidak perlulah mereka cerita yang mengarut dan menyebabkan rakyat keliru dengan fakta sebenar kes ini. Apapun, biarlah pihak JAIP menyiasat dan mengambil tindakan susulan atas apa yang berlaku. Andai bersalah, sila dakwa Ustaz Badrul Amin, tapi jika tidak maka bersihkanlah namanya. Jangan biarkan jabatan agama juga terpalit dengan fitnah melampau ini].

Dato' Fauzi Terkejut Sikap JAIP, Walhal Timbalan Pengarah Jabatan Itu Yang Buat Tuduhan Melulu

Posted: 01 Mar 2012 08:48 PM PST

KUANTAN, 2 Mac - Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pahang, Dato' Fauzi Abd Rahman (foto) terkejut dengan kenyataan Timbalan Pengarah, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) Datuk Mohd Ghazali Abdul Aziz yang tiba-tiba mahu menyaman Ustaz Dr.Badrul Amin yang disiarkan oleh PDO hari ini. Menurut beliau, Timbalan Pengarah itu sepatutnya sedar dengan apa yang berlaku adalah berpunca daripada kenyataan dari mulutnya sendiri. "Saya hairan, dia (Datuk Mohd Ghazali) yang memulakannya, kini bila orang lain bersuara dia pula melenting dan nak saman. Kenapa perlu saman Ustaz Badrul Amin dan pihak lain termasuk PKR sendiri?. Bukankah, ketika isu ini terbongkar dia dengan sewenangnya telah mengeluarkan kenyataan bahawa seorang pemimpin PKR telah ditangkap khalwat oleh JAIP. Maksudnya dia menuduh pemimpin terbabit (Dr.Badrul Amin) ditangkap khalwat. Berita itu disiarkan secara eksklusif di media arus perdana hingga memalukan pihak terbabit. Dia yang cakap kepada media ... sedangkan ketika JAIP buat operasi dia berseorangan dalam bilik. Mana bukti dia berkhalwat?. Kenapa beliau tuduh dia ditangkap khalwat?. Sekarang dia pula mahu saman pihak yang dituduh Sepatunya dia umum JAIP ada buat operasi dan siasatan masih dijalankan... Tak perlu kata di tangkap khalwat sebab belum terbukti lagi", kata Dato' Fauzi. Menurut beliau lagi, kes yang berlaku adalah kepada Ustaz Badrul Amin maka jika tokoh agama itu bersalah dalam hal ini, JAIP perlu mendakwa dia di mahkamah. "Tidak perlu menghalang tertuduh membela diri, sebab JAIP yang tuduh di ditangkap khalwat. Dr.Badrul ada hak untuk pertahankan diri beliau dari kaca mata masyarakat", katanya.


Dato' Fauzi bersama para wartawan dalam PC ringkasnya awal pagi tadi

[Nampaknya isu Ustaz Dr.Badrul Amin kini semakin panas, walau pun timbul beberapa persoalan dan kemusykilan yang amat mencurigakan. Namun, hakikatnya tidak semua yang tahu apa yang telah berlaku dalam kes ini. Anehnya, ada blog-blog pro kerajaan UMNO BN yang tergamak mengeluarkan artikel dan gambar-gambar yang langsung tidak ada kaitan dengan kes ini sebenarnya. Mereka paparkan gambar kononnya Ustaz Badrul Amin digari ketika ditangkap oleh pihak JAIP. Malah banyak kecelaruan yang telah dilakukan yang kesemuanya mengundang fitnah semata-mata. Justertu itulah kami di PDO bersikap adil kepada semua pihak untuk menyatakan pendapat dan kenyataan mereka dalam isu ini. Bagi kami, jika benar Ustaz Badrul Amin bersalah, maka dakwalah ia mengikut undang-undang yang telah ditetapkan. Namun, jika dia tidak bersalah maka lepaskanlah ia. Usahlah menimbulkan konflik yang tidak bersudahan seperti ini dan akhirnya akan menimbulkan masalah lain pula].

Panas: Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Polis Dakwa Gani Patail Perguna SPRM!

Posted: 01 Mar 2012 04:45 PM PST

KUALA LUMPUR, 2 Mac - Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Ramli Yusuf (foto) mendakwa Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail telah mempergunakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sehingga menyebabkan beliau dan pegawainya didakwa di mahkamah. Dakwaan itu dibuat Ramli ketika menyampaikan ucapan dalam satu majlis sambutan hari lahirnya malam tadi. Katanya, kesemua dakwaan yang dihadapinya itu bermula apabila pasukannya ditugaskan untuk mengambil tindakan ke atas seorang anggota sindiket yang dihantar ke Jeli, Kelantan untuk menjalani perintah tahanan terhad. Lelaki didakwa terlibat dalam jenayah terancang, termasuk dalam kegiatan 'Along', loteri haram, pelacuran dan juga pengedaran dadah, kata Ramli. "Maklumat ini telah diberikan oleh timbalan menteri dalam negeri pada waktu itu (Datuk Johari Baharom) dan perkara itu dianggap "rahsia tertinggi" dan kes yang amat sulit. "Kemudian, saya diberitahu untuk melaporkan kepada beliau secara terus selepas fail tersebut (siasatan) dilengkapkan," katanya dalam ucapan tersebut. "Saya mengarahkan pegawai saya untuk (membuka) kes ke atas anggota sindiket itu, yang kemudiannya diserahkan kepada Timbalan Nenteri berkenaan untuk tindakan di bawah perintah RR (tahanan terhad). "Bagaimanapun selepas nasihat Peguam Negara, anggota sindiket berkenaan kemudiannya dibebaskan, tanpa syarat," kata Ramli. "Sebaliknya, pegawai saya didakwa kerana mengambil kenyataan palsu dan rekaan yang melibatkan ketua polis negara pada waktu itu (Tan Sri Musa Hassan). "Pada masa itulah AG Gani Patail memanggil fail kes asal itu, yang diklasifikasikan sebagai sangat sulit, dan menyerahkan kepada SPRM untuk ganggu saksi," kata Ramli lagi.

[Dakwaan Ramli Yusoff ini sebenarnya tidak mengejutkan rakyat Malaysia, kerana Gani Patail jugalah yang dikatakan terbabit dengan isu "Lebam Mata" Anwar bersama Musa Hassan dulu. Semua ini masih segar dalam ingatan rakyat. Lantaran itu mereka tidak hairan jika beliau terlibat dalam mempergunakan agensi lain untuk kepentingan peribadi pemimpin tertentu. Amalan guaman dan kehakiman di negara kita sudah lama tercemar bilamana individu yang terpalit dengan kerja-kerja jijik seperti ini akhirnya dianggat ke kedudukan selesa seperti sekarang. Akhirnya mereka akan laksanakan tugas seperti apa yang ditelah ditetapkan oleh majikannya iaitu kerajaan sekarang. Rakyat dianggap sebagai pengacau kepada penguasa zalim untuk terus berkuasa. Senario inilah yang menyebabkan kemarahan rakyat itu makin membuak-buak yang akhirnya mahu melakukan perubahan. Inilah yang amat ditakuti mereka sekarang].

ABIM: Himpunan Hijau 2.0, Bukti Kerajaan Perlu Dengar Suara Rintihan Rakyat Dalam Isu Lynas !!

Posted: 01 Mar 2012 04:14 PM PST

KUALA LUMPUR, 2 Mac - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memandang serius perhimpunan membantah pembinaan Kilang Lynas di Gebeng, Kuantan baru-baru ini. Presidennya, Amidi Abd Rahman (foto) berkata, ABIM menilai perhimpunan itu sebagai manifestasi rakyat secara mutlak membantah keputusan untuk meneruskan projek itu. "Ironinya, keadaan ini berlaku di sebalik pelbagai penjelasan yang telah dikemukakan daripada pihak berwajib yang menafikan implikasi negatif ekoran pembinaan kilang tersebut terhadap alam sekitar," ujar beliau. Katanya, kelestarian alam sekitar merupakan esensi penting dalam membentuk kehidupan yang positif. Justeru, beliau berkata kebimbangan serta kekhuatiran para penduduk sekitar kilang Lynas di Gebeng perlu diambil kira serta ditangani secara positif dan terbuka. Menurutnya, ia tidak seharusnya dibakulsampahkan tanpa sebarang perhatian serta tindakan yang sewajarnya. Ini, ujarnya memandangkan amalan demokrasi amat meraikan perbezaan pendapat sebagai mekanisme check and balance bagi mendapatkan impak yang terbaik. Katanya lagi, kelestarian alam sekitar perlu diletakkan pada tempat yang sewajarnya bukan perkiraan untung semata. "Sedarlah, kita sedang meminjam alam sekitar ini dari generasi masa hadapan," ujarnya lagi. Dalam konteks Himpunan Hijau 2.0, katanya menanggap sebarang pandangan serta kemusykilan yang dikemukakan oleh rakyat adalah tanda mereka mempunyai keprihatinan yang mendalam terhadap perkembangan semasa dalam isu berkaitan. "Kita tidak mahu rakyat sekali lagi menjadi mangsa kegagalan teknologi menjunjung kelestarian alam sekitar sepertimana yang pernah berlaku di Chernobyl, Bukit Merah serta Fukushima," katanya. Beliau menambah, rakyat telah dijanjikan dengan pelbagai jaminan terhadap pemeliharaan alam sekitar tapi persekitaran kita semakin merosot secara relatifnya. Katanya lagi, pencemaran sungai yang merupakan sumber air tawar utama negara juga semakin parah dan begitu halnya dengan kualiti udara. Justeru, ujarnya ABIM tuntut agar projek itu ditangguhkan serta satu pungutan suara rakyat dijalankan.

[Soalnya sekarang, kerajaan yang ada bukan lagi mahu mendahulukan rakyat dalam isu ini. Mereka lebih melihat keuntungan peribadi berupa komisyen yang bakal diterima dengan membawa masuk kilang ini ke Malaysia. Tanpa mahu memikirkan masa depan dan risiko yang bakal ditanggung oleh rakyat, maka berbagai janji-janji kosong terus diberikan untuk mengaburi mata mereka. Sebaliknya, rakyat akan terpaksa menanggung risiko anda berlaku apa jua kejadian yang tidak diingini pada masa akan datang. Inilah yang ditakuti oleh mereka sejak sekian lama. Kehidupan ini sungguh bermakna dan apakah ertinya jika keselesaan itu dicemari oleh mereka-mereka yang rakus untuk mengaut keuntungan sementara. Syabas dan tahniah diucapkan kepada ABIM kerana memahami kehendak rakyat dalam isu ini. Semoga kerajaan lebih prihatin semua ini].

Tiada ulasan: