Ahad, 18 Mac 2012

Kerabu Bersuara ®

Kerabu Bersuara ®


Kerajaan akui hubungan dagang dengan Israel

Posted: 18 Mar 2012 07:57 AM PDT


Oleh: ROSALWANI CHE SOH

KOTA BHARU - Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, beliau akan memperjelaskan isu mengenai hubungan perdagangan dengan Israel pada sidang Parlimen dalam masa terdekat.

Persidangan Dewan Rakyat yang bermula Isnin lalu akan disambung esok.

Menurutnya, kerajaan tidak pernah menyembunyikan fakta bahawa negara ini mempunyai hubungan dagangan dengan Israel, namun sama sekali tidak mengiktiraf negara tersebut yang jelas menindas rakyat Palestin.

"Sebagai sebuah negara Islam, kita tidak iktiraf Israel kerana mereka menindas rakyat Palestin dari segi kepentingan hak rakyat, namun Kerajaan Pusat tidak pernah menyembunyikan yang kita ada jalankan perniagaan dengan mereka.

Kerana dalam perkembangan dunia hari ini amat sukar untuk mengasingkan perdagangan dengan negara luar termasuk Israel," katanya kepada pemberita selepas majlis seminar panel penasihat peringkat Kelantan di Politeknik Kota Bharu, hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan, Makhtar Mustafa serta Pengarah Kesihatan Datuk Dr. Nordayanah Hassan.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menegaskan negara Islam boleh bekerjasama dengan Israel dari segi hubungan dagangan namun tidak menyokong kefahaman Zionis.

Abdul Hadi berkata, bangsa Yahudi pernah menjalankan hubungan perniagaan dengan Nabi Muhammad SAW ketika berada di Madinah. Sebelum ini Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengkritik Kerajaan Pusat menjalinkan hubungan dagang dengan Israel dan membenarkan pelabuhan negara disinggahi kapal Israel.

Mustapa yang juga Pengerusi Perhubungan Barisan Nasional Kelantan berkata, hubungan perdagangan dengan Israel melibatkan perniagaan yang dijalankan oleh syarikat-syarikat multinasional.

"Namun dari segi politik kita memang tidak langsung menyokong mereka dan masih menganggap mereka masih sebagai musuh dalam Islam, Insya-Allah saya akan beri penerangan mengenai perkara ini di Parlimen dalam masa terdekat," katanya.

Annuar Musa: Azzuddin tiada kuasa buat kenyataan

Posted: 18 Mar 2012 07:55 AM PDT


Oleh: Wartawan Sinar Harian

SHAH ALAM - Tan Sri Annuar Musa menegaskan, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad tidak wajar mengeluarkan kenyataan media bahawa beliau telah dipanggil untuk menghadap Jawatankuasa Tatatertib badan itu.

Timbalan Presiden FAM ini berkata, Azzuddin tidak diberikan kuasa untuk mengeluarkan kenyataan media dan berharap Setiausaha Agung itu tidak dihadapkan kepada jawatankuasa disiplin ekoran tindakannya.

"Setahu saya, Jawatankuasa FAM tidak pernah memberi kebenaran kepadanya untuk membuat sebarang kenyataan akhbar apatah lagi mendedahkan secara terperinci pertuduhan sebelum ianya sampai kepada saya.

"Lagipun buat masa ini Presiden berada di luar negara dan saya adalah antara pegawai tertinggi yang ada dalam negara untuk dirujuk," kata beliau dalam laman Facebooknya, petang ini.

Annuar berkata demikian mengulas laporan media hari ini bahawa Jawatankuasa Tatatertib FAM kelmarin telah memanggilnya menghadap FAM berhubung kenyataannya mengenai prestasi skuad kebangsaan ketika Majlis Penutup Bengkel Pemasaran dan Pembangunan Penyokong Kelab MSL, Selasa lalu.

Azzuddin dipetik berkata, surat yang dihantar melalui faks dan e-mel itu lebih bertujuan kepada perbincangan.

"Kita akan menunggu maklum balas timbalan presiden sehingga 23 Mac ini. Sekiranya beliau tidak mengaku salah, barulah kita akan meneruskan siasatan dan mengadakan pertemuan dengannya 29 Mac nanti," kata Azzuddin kepada Sinar Harian.

Dalam tulisannya, Annuar juga berkata, beliau masih lagi belum menerima sebarang surat yang telah dinyatakan oleh setiausaha agung itu.

"Mungkin kerana saya masih lagi di Ipoh sementara itu pula pejabat saya di Kota Bharu cuti pada hari Jumaat dan Sabtu manakala KL pula cuti hari sabtu dan ahad jadi saya perlu mencari surat itu dulu sebelum memberi sebarang komen," katanya.

Annuar yang dipetik dari laman sosialnya juga berkata, beliau berharap Setiausaha Agung itu tidak akan dibawa ke jawatankuasa disiplin kerana telah membuat kenyataan media.

Tiada rombakan Pas Kedah

Posted: 17 Mar 2012 07:03 PM PDT


Oleh: ROSNANI SAAD

KOTA SARANG SEMUT - Tiada rombakan dalam Jawatankuasa Perhubungan Pas Kedah walaupun kira-kira 90 peratus suara dari kawasan mahu penyusunan semula dilakukan bagi memantapkan jentera parti menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) susulan kemelut kepimpinan negeri baru-baru ini.

Sinar Harian difahamkan, usul penyusunan semula jawatankuasa itu dikemukakan oleh Dewan Pemuda Pas negeri dan mendapat sokongan majoriti kepimpinan kawasan termasuk Sungai Petani, Jerlun, Kulim-Bandar Baharu, Kubang Pasu dan Pokok Sena.

Malah, majoriti wakil yang menghadiri mesyuarat bulanan Pas Kedah di Kompleks Pas Batu 9, semalam, turut menyuarakan kebimbangan mengenai kesukaran yang mungkin dihadapi jika kedua-dua timbalan pesuruhjaya Pas, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi dan Dr Ismail Salleh, kekal dalam jawatankuasa itu.

Susulan kebimbangan itu, ada wakil Pas kawasan yang mengutarakan usul mendesak agar Phahrolrazi dan Ismail dilucutkan jawatan, namun Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Seri Azizan Abdul Razak telah menolak.

Difahamkan, keengganan Azizan adalah disebabkan pendiriannya tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan ,selain memberi ruang kepada kedua-duanya untuk memperbaiki keadaan.

Sementara itu, Azizan ketika ditemui media selepas mempengerusikan mesyuarat terbabit, tidak menafikan isu mengenai usul penyusunan semula jawatankuasa Perhubungan Pas negeri turut dibincangkan.

"Tidak semestinya bila ada orang minta lucut, kita akan lucutkan (jawatan), tetapi kita ada bincang secara umum mengenainya," katanya.

Menurutnya, terdapat dua peringkat pelucutan iaitu peringkat keahlian dan pelucutan beberapa jawatan.

"Peringkat keahlian, bukan hak negeri tetapi hak Pusat, mengenai pelucutan beberapa jawatan pula, bukan hak pesuruhjaya tetapi pesuruhjaya boleh membuat tuntutan dengan persetujuan jawatankuasa. Namun ada beberapa faktor yang perlu diambil kira, tidak semudah itu," katanya.

Azizan berkata, selain isu berkenaan, mesyuarat bulanan yang bermula jam 9.30 pagi sehingga 2 petang itu turut menyentuh pelbagai isu termasuk kewangan, program serta persiapan pilihan raya.

Tiada ulasan: