Jumaat, 16 Mac 2012

Kerabu Bersuara ®

Kerabu Bersuara ®


Najib timbang 3 Jun tarikh PRU13?

Posted: 16 Mar 2012 05:26 AM PDT


Oleh: Wartawan Sinar Harian

SHAH ALAM - Kerajaan Pusat sedang mempertimbangkan kemungkinan mengadakan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada Mei atau Jun ini, lapor Bloomberg hari ini.

Dengan memetik empat sumber yang tidak mahu namanya didedahkan, Bloomberg melaporkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual bercakap di hadapan sekitar 4,000 orang kakitangan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, khususnya dari Jabatan Penerangan, yang akan membantu menyelia perjalanan pilihan raya yang akan dikendalikan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Salah satu tarikh yang disyorkan ialah 3 Jun, demikian menurut tiga pegawai dipetik laporan portal Bloomberg.

"Kesemua petanda menuju ke arah pilihan raya pada akhir Mei atau awal Jun ini," kata Ong Kian Ming, penganalisis politik dari UCSI.

"Ia adalah masa yang sesuai bagi Najib," katanya.

Kian Ming juga berkata, "jika beliau menunggu lebih lama, skandal-skandal lain akan muncul."

Sehubungan itu katanya, jika keadaan sedemikian wujud, ia sudah pasti akan menjejaskan segala 'suasana mesra' BN yang wujud sekarang, yang antara lain disumbangkan oleh pengagihan bantuan dijanjikan dalam Bajet 2012.

Dalam kenyataan kepada Sinar Harian Online awal minggu ini, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pada pandangan beliau tempoh yang sesuai yang ada sebelum sesi Parlimen Julai ini ialah dua minggu pertama Mei dan dua minggu kedua Jun.

Penemuan kajian Merdeka Center yang dikeluarkan minggu lalu menyebut populariti Najib telah mengalami peningkatan semula berbanding kedudukan Ogos lalu.

Kajian terbaru firma itu menunjukkan kadar populariti beliau meningkat kepada 69 peratus berbanding 59 peratus Ogos lalu, selepas ia mengalami penurunan jika dibandingkan dengan kedudukan tahun 2010.

Kajian Ogos lalu dikendalikan kira-kira sebulan selepas Perhimpunan Bersih 2.0 di ibu negara. Sejak itu Najib mengumumkan beberapa pembaharuan sosiopolitik.

Populariti Najib, hasil kajian berkala Merdeka Center, telah menurun ke paras 59 peratus pada Ogos lalu selepas mencatat paras paling tinggi iaitu 72 peratus pada Mei 2010.

Populariti 69 peratus kali ini sama dengan paras yang direkodkan pada Mac 2010 iaitu 14 bulan selepas menjadi Perdana Menteri.

Pada Mei 2009, lebih sebulan selepas dilantik sebagai Perdana Menteri yang keenam, populariti Najib adalah sekitar 45 peratus.

Di sebalik peningkatan populariti itu, Najib juga dilihat telah menyelesaikan dua isu besar iaitu skim gaji Saraan Baru Perkhidmatan Awam dan projek Pusat Fidlot Kebangsaan.

Mandat semasa Kerajaan Pusat pimpinan Barisan Nasional (BN) hanya akan berakhir pada April 2013.

'Jangan sampai adat susahkan urusan kahwin'

Posted: 16 Mar 2012 04:26 AM PDT


Oleh: norhasram Mohamad

KOTA BHARU - Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menasihatkan orang Melayu tidak terlalu memberi tumpuan pada soal adat dan budaya sehingga menyusahkan urusan perkahwinan termasuk "terpaksa berhutang."

Beliau yang juga Mursyidul Am Pas berkata, urusan perkahwinan sepatutnya dipermudahkan dan tidak wajar membiarkan diri dibebani pelbagai 'gangguan' budaya Melayu.

"Soal nikah kahwin dalam Islam adalah perkara yang amat digalakkan dan boleh disempurnakan walaupun hanya dengan mas kahwin 'cincin besi'.

"Malangnya, pengaruh masyarakat yang mahukan keindahan budaya Melayu ditonjolkan yang menjurus kepada kemewahan dan pembaziran menyebabkan golongan muda yang mahu berkahwin menangguhkan dahulu hasrat tersebut," katanya.

Nik Abdul Aziz berkata, bakal pengantin dan keluarga sepatutnya hanya memikirkan belanja mas kahwin dan jamuan untuk tetamu sahaja.

Budaya Melayu yang mahu ditonjolkan katanya, menunjukkan banyak duit tapi pada hakikatnya banyak antara masyarakat yang terpaksa berhutang.

"Kita lihat banyak pameran perhiasan, pintu gerbang perkahwinan yang sengaja dibuat-buat sedangkan ia memakan banyak belanja," katanya ketika menyampaikan kuliah mingguan di Medan Ilmu di sini, hari ini.

Beliau berkata, jika tidak kena caranya, si suami mungkin terpaksa mengambil semula mas kahwin dan berhutang dengan isteri kerana mahu melangsaikan pinjaman persiapan majlis perkahwinan.

"Padahal mas kahwin itu seratus peratus milik isteri, tetapi akhirnya habis di tangan suami dek kerana hutang yang banyak," katanya.

Dalam perkembangan lain, Nik Abdul Aziz menyelar pihak yang mendakwa Kelantan sebagai negeri termiskin di negara ini.

Katanya, sindiran sedemikian tidak sepatutnya timbul kerana Kelantan juga negeri dalam persekutuan Malaysia yang sepatutnya dilayan serupa dengan negeri-negeri lain.

"Kalau kita berkereta ke sempadan Terengganu di Bukit Yong, Pasir Puteh, kita dapat lihat dengan jelas perbezaan keadaan jalan antara dua negeri. Perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku kerana duit yang dibelanjakan kerajaan persekutuan bukannya milik 'mak bapak' mereka.

"Sebab tu saya tidak akan halalkan sedikitpun harta Kelantan seperti royalti minyak yang dinafikan sekian lama, saya tidak akan halal sesenpun dan mengajak semua rakyat menuntutnya di hadapan Allah di akhirat nanti," katanya.

Tiada ulasan: