Rabu, 21 Mac 2012

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


"Penculik" Nur Fatihah Hubungi Ibunya Nyatakan Fatihah Selamat

Posted: 21 Mar 2012 01:31 AM PDT

Pelajar disyaki diculik dikatakan selamat

KUANTAN - Seorang pelajar, Siti Nur Fatihah Mahadi, 15, yang dilaporkan diculik pada Ahad lepas dipercayai selamat dan berada di rumah ibu angkat seorang kawannya.

Menurut ibu remaja berkenaan, Nor Mala Mohd Lazin, 34, beliau menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang tidak dikenali memaklumkan anaknya itu kini berada di rumah ibu angkat kawan anaknya itu.

"Saya mendapat panggilan telefon pada kira-kira 2 pagi dan meminta saya dan keluarganya usah bimbang. Pada mulanya lelaki itu menyamar memberitahu dia pelajar tingkatan empat satu sekolah dengan Fatihah, namun apabila didesak dia akhirnya memberitahu dia adalah kawan kepada Fatihah," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di sini hari ini.

Nor Mala berkata lelaki itu kemudian memaklumkan bahawa Fatihah akan pulang ke rumah dalam masa terdekat setelah kehilangannya kini telah menjadi kes polis.

"Saya sempat memujuk lelaki itu malah mendakwa mengenalinya supaya memaklumkan di mana Fatihah tinggal.

"Dalam perbualan kami selama dua jam itu, lelaki itu yang berusia 20-an turut memberitahu dia serba salah untuk berterus-terang kerana dia juga ada kes polis dan tak mahu ada apa-apa rekod lagi," katanya.

Ketua Polis Kuantan ACP Mohd Jasmani Yusoff berkata kes itu masih dalam siasatan polis. - Bernama

Dengki punca anak dilarikan

NORMALA memujuk Muhammad Syahmi Aiman dan Siti Nurul Aishah ketika ditemui di rumah mereka di Kuantan, semalam.


Ibu terima panggilan gadis selamat

KUANTAN: Ibu kepada pelajar Tingkatan Tiga, Siti Nurfatihah Mahadi mengesyaki perasaan dengki dan cemburu menjadi punca anaknya dilarikan dua lelaki dan seorang wanita ketika membeli kad tambah nilai prabayar di premis berhampiran rumah di Taman Tas, Ahad lalu.

Ibu mangsa, Normala Mohd Lazin, 33, berkata beliau dihubungi lelaki berusia 20-an yang juga kenalan anaknya jam 2 pagi semalam, memaklumkan anaknya selamat.

"Saya kenal lelaki terbabit kerana dia pernah datang ke rumah. Dia memaklumkan ada seorang perempuan memberitahunya anak saya selamat dan berada di rumah ibu angkat dipercayai salah seorang individu yang mengambilnya.

"Namun lelaki terbabit enggan memberitahu di mana Siti Nurfatihah berada sekadar memaklumkan anak saya mahu pulang ke rumah hari ini (semalam), tapi sehingga kini anak saya tetap belum pulang," katanya ketika ditemui, petang semalam.

Dalam kejadian jam 3 petang Ahad lalu, Siti Nurfatihah, 15, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Pandan, di sini keluar ke sebuah premis yang terletak 100 meter dari rumahnya untuk membeli kad tambah nilai dengan ditemani dua adiknya iaitu Muhammad Syahmi Aiman dan Siti Nurul Aishah, masing-masing berusia 11 tahun sebelum dipercayai diculik suspek menaiki sebuah kereta jenis Honda berwarna ungu.

Selain itu, Normala berkata, dalam perbualan telefon hampir dua jam, beliau turut meminta lelaki terbabit untuk memujuk pihak yang mengambil Siti Nurfatihah memulangkan anaknya semula.

"Mungkin kerana dengki menjadi punca anak saya dilarikan, malah lelaki terbabit berkata perempuan yang mengetahui di mana anak saya berada marah apabila kes ini tersebar selain menjadi kes polis.

"Saya mengesyaki ada pakatan antara lelaki ini dan perempuan terbabit yang seakan-akan menyembunyikan sesuatu sehingga enggan memaklumkan di mana Siti Nurfatihah berada," katanya.

"Kami sekeluarga sangat tertekan dan runsing memikirkan bagaimana keadaan Siti Nurfatihah," katanya.

Suri rumah terbabit menolak andaian sesetengah pihak yang mendakwa anaknya sengaja melarikan diri mengikut teman lelaki dan bukan diculik.

"Saya sangat rapat dengannya dan tahu sikapnya malah setahu saya, Siti Nurfatihah tiada teman lelaki cuma dia ramah dan mempunyai ramai kenalan," katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff ketika dihubungi berkata siasatan berhubung kejadian berkenaan masih diteruskan, termasuk mengambil keterangan lanjut dua adik mangsa yang juga individu terakhir dilihat berada bersama mangsa sebelum kejadian.
-BH


Laporan sebelum ini
klik untuk baca




Dirogol Tunang Dalam Kereta, Dikerjakan Abang Angkat Di Tangga Shopping Centre

Posted: 21 Mar 2012 12:25 AM PDT

Tunang dajal

KAJANG: Hanya kerana tidak puas hati ikatan pertunangan bakal terputus di tengah jalan dan impian untuk mendirikan rumah tangga tidak kesampaian, seorang lelaki sanggup merogol tunangnya sendiri dalam kereta, malam kelmarin.

Wanita berusia 24 tahun terbabit diperdaya tunangnya itu untuk berbincang mengenai hubungan mereka sebelum bersetuju mengikut tunangnya menaiki kereta.

Difahamkan, lelaki berusia 24 tahun yang berasal dari Utara Semenanjung itu menjemput mangsa di pejabatnya di Taman Keramat, di sini, jam 6 petang.

Sebaik wanita terbabit menaiki Proton Perdana dipandu tunangnya, lelaki terbabit dikatakan memecut ke arah Kajang
.

Mangsa yang menyedari sikap pelik tunangnya itu dan bimbang diapa-apakan cuba bertindak nekad melawan dan terjun daripada kenderaan berkenaan.

Malangnya, tindakan itu gagal apabila tunangnya itu menghalangnya dengan menarik baju dipakai mangsa hingga terkoyak hingga menampakkan sebahagian badannya.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, suspek kemudian membawa mangsa ke Hentian Rawat dan Rehat Bukit Dukong, di sini sebelum memberhentikan keretanya di satu kawasan sunyi.

"Mangsa cuba melarikan diri selain melawan dan mempertahankan diri. Bagaimanapun, mangsa dipukul dan ditumbuk suspek sebelum dirogol di dalam keretanya
.

"Selepas insiden itu, mangsa dihantar pulang ke rumahnya di Kajang. Namun, kelibat mencurigakan suspek dan mangsa disedari abang mangsa. Lelaki itu kemudian bertindak mengejar suspek tetapi gagal," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di sini, semalam.

Berikutan itu, mangsa menceritakan kejadian dia dirogol tunangnya itu sebelum ditemani abangnya ke balai polis berhampiran membuat laporan.

Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang remaja berusia 17 tahun turut diperkosa seorang lelaki dipercayai abang angkat mangsa di kawasan tangga sebuah pusat beli-belah di Kajang, di sini.

Ab Rashid berkata, gadis lepasan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) itu membuat laporan berkenaan kelmarin dan dipercayai kejadian itu berlaku bulan lalu dan mendakwa dirogol abang angkatnya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di pusat beli-belah sama.

Menurutnya, mangsa yang juga pekerja di pusat beli-belah berkenaan hanya berborak kosong dengan suspek di kawasan tangga itu namun dia dipeluk sebelum dirogol.


Katanya, polis masih menjalankan siasatan berhubung laporan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
-hm

Ulasan GB

Berita rogol-merogol sentiasa ada. Angkara menolak, mempersenda dan mempermainkan hukum Allah (hudud) oleh pihak berkuasa. Maka inilah balanya.

Hasbie Satar, Bekas SU Politik Hadapi 28 Pertuduhan

Posted: 20 Mar 2012 09:37 PM PDT

Shah Alam - Hasbie Satar, bekas setiausaha politik Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap 28 pertuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu transaksi mendepositkan wang tunai berjumlah RM935,000 ke dalam akaun 11 individu termasuk anggota keluarganya.

Hasbie (gambar), 39, yang memakai sut kelabu membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Aslam Zainuddin.

Tertuduh didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di beberapa bank dan Tabung Haji di tiga lokasi iaitu di Salak Tinggi, Sepang, Bandar Baru Bangi dan Putrajaya antara 4 Dis 2008 dan 18 Jun 2009.

Hasbie didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Anselm Charles Fernandis dan Hazril Harun mencadangkan agar tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM100,000 dan memohon kesemua 28 pertuduhan itu dibicarakan bersama.

Pihak pendakwaan turut memohon agar kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang di mana tertuduh mempunyai satu lagi pertuduhan di bawah akta yang sama.

Permohonan di bawah Seksyen 165 Kanun Prosedur Jenayah itu dibuat atas alasan kesemua 28 pertuduhan tersebut melibatkan seksyen yang sama dan kebanyakan saksi adalah saksi yang sama dalam kes di Mahkamah Sesyen Butterworth.

Pada 10 Feb tahun lepas, Hasbie mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth atas tuduhan memiliki wang daripada hasil aktiviti haram berjumlah RM2,134,656 dan dia dibebaskan dengan jaminan RM60,000 serta dua orang penjamin.

Peguam Y. Sheelan Samuagam yang mewakili tertuduh memohon mahkamah menetapkan ikat jamin RM30,000 atas alasan jumlah yang ditawarkan pihak pendakwaan terlalu tinggi memandangkan anak guamnya telah dituduh di Mahkamah Sesyen Butterworth.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM90,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 April ini untuk sebutan semula kes.

Beliau turut membenarkan permohonan pihak pendakwaan agar kesemua 28 pertuduhan dibicarakan bersama tetapi menolak permohonan mereka untuk memindahkan kesemua kes itu ke Mahkamah Sesyen Butterworth. - Bernama

Ulasan GB

GB sudah ulas dahulu. Petikan:

Ini merupakan Setiusaha Politik kedua Mohd Nor Yaakob yang berdepan dengan kes rasuah. Yang pertama ialah Datuk Norza Zakaria.

Kita merasakan ada sesuatu di sebaliknya. Mohd Nor Yaakob adalah Menteri Kewangan Kedua. Apakah ia lubuk bagi pengumpulan kekayaan?

Wang RM2juta itu yang ditahan. Bagaimana dan berapa pula jumlah sebenar termasuk yang telah digunakan untuk membeli hartanah yang dilaporkan berlaku di sekitar lembah kelang.

Dan peranan Mohd Nor Yaakob itu sendiri perlu diberikan perhatian.



Laporan sebelum ini
klik untuk baca




Hassan Ali Dah Jadi 'Katak Sumbang', Lansung Dah Tak Datang

Posted: 20 Mar 2012 08:00 PM PDT

Pas persoal Hasan Ali tidak hadir majlis santapan diraja

SHAH ALAM - Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Meru, Dr Rani Osman mempersoalkan ketidakhadiran Adun Gombak Setia, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali pada Majlis Santapan Diraja, semalam.

Menurutnya, Hasan perlu hadir dalam majlis tersebut sekiranya benar beliau mempunyai prinsip memperjuangkan Islam, Melayu dan Raja (IMR).

Beliau menegaskan, Islam tidak mengajar sikap mementingkan satu kaum sahaja seperti yang mahu dibawa oleh Hasan menerusi Badan Bukan Kerajaan (NGO), Jati.

"Hari ini (semalam) saya ingat mahu tujukan hujah ini kepadanya tetapi Gombak Setia tidak hadir, semalam majlis santapan diraja pun beliau tidak datang.

"Saya juga tidak setuju dengan konsep IMR yang dibawa oleh beliau, kerana Islam diturunkan untuk semua,"
katanya pada sesi perbahasan Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun), hari ini.Majlis Santapan Diraja diadakan di Hotel Concorde di sini, disertai oleh kesemua Adun Negeri Selangor.

Difahamkan, Hasan tidak hadir dalam majlis berkenaan kerana berpuasa dan beliau juga pulang awal dalam upacara pembukaan Sidang Dun Kali Kelima, pada sebelah pagi.

Beliau juga tidak hadir dalam sesi perbahasan yang bermula hari ini.

Setelah tiga bulan dipecat sebagai ahli Pas, Hasan tampil kali pertama pada Sidang Dun iaitu sebagai wakil bebas dan yakin tidak akan menghadapi masalah dengan situasi baru itu.

Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor itu berkata, beliau akan meneruskan agenda IMR dalam perbahasan Sidang Dun, walaupun atas kapasiti Adun Bebas.

Menurutnya, beliau tidak mempunyai masalah berhadapan dengan Adun Pakatan Rakyat (PR) dan Barisan Nasional (BN) dalam sesi perbahasan kali ini. -SH

Ulasan GB

Hassan Ali perjuangkan raja yang mana sedangkan santapan diraja pun tak hadir?

Katakanlah beliau berpuasa, perbahasan pun tak datang?

Puasa itu sunat, menunaikan amanah sebagai wakil rakyat itu wajib.

Itulah sikap "pengkhianat" yang sebenar sebab tidak menjalankan amanah yang diberikan oleh rakyat.

Nazatul, Mangsa Culik Yang Ditemui Di Thailand Masih Trauma

Posted: 20 Mar 2012 05:57 PM PDT

Misteri 'van putih' kembali

SHAH ALAM: Misteri 'van putih' kini kembali apabila mangsa culik Nazatul Fadiana Mohd Izwan, 14, yang ditemui di Bangkok 11 Mac lalu, dikatakan diculik sekumpulan lelaki tidak dikenali menaiki van berwarna putih sewaktu berada berdekatan sebuah restoran di Seksyen 9, di sini pada hari kejadian 30 Januari lalu.

Perkara itu diceritakan mangsa kepada ibunya dalam perbualan telefon pada 12 Mac lalu selepas diselamatkan polis Thailand sewaktu ditemui di Stesen Kereta api Hualamphong, Bangkok, Thailand.

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, apa yang diceritakan mangsa kepada ibunya belum cukup untuk polis mengaitkan kejadian berkenaan dengan motif sebenar mangsa dilarikan ke Thailand.

"Ini kerana buat masa ini polis belum mendapat sebarang maklumat daripada mangsa kerana dia masih dalam keadaan trauma dan menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, di sini, semalam.

HILANG...Zahedi menunjukkan gambar Nazatul Fadiana yang ditemui di Bangkok.

Sebelum ini, sebuah van putih turut dikaitkan dengan kejadian penculikan Nurin Jazlin Jazimin, 8, di pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju pada 20 Ogos, 2007.

Ada saksi ternampak Nurin ditarik masuk ke dalam sebuah van sebelum mayat mangsa ditemui disumbat dalam beg berhampiran PJS1, Petaling Jaya, beberapa hari kemudian. Kejadian sama berulang apabila seorang lagi kanak-kanak perempuan, Sharlinie Mohd Nashar, 5, turut dilaporkan hilang pada awal Januari 2008 selepas didakwa dilihat bersama seorang suspek dalam sebuah van putih di Cheras. Mangsa gagal ditemui sehingga kini.


Zahedi berkata, Nazatul Fadiana atau lebih dikenali sebagai Nana akan terus mendapatkan rawatan di PPUM manakala lima warga Myanmar masing-masing tiga lelaki dan dua perempuan yang diselamatkan bersama mangsa kini masih berada di Bangkok, Thailand.

"Semua warga Myanmar terbabit berdaftar di bawah Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR). Mereka dibawa pulang ke Malaysia bagi membantu polis mengumpul bukti dan menjalankan siasatan menyeluruh," katanya.

Menurutnya, Nana menaiki pesawat dari Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, Bangkok dan tiba di Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT), di Sepang, dengan diiringi ibunya, selain beberapa pegawai polis dan imigresen Thailand, malam kelmarin.

"Sebaik mendarat, mangsa terus dikejarkan ke PPUM, Petaling Jaya untuk pemeriksaan kesihatan," katanya. Akhbar semalam melaporkan, Nazatul Fadiana dilaporkan hilang selepas dihantar ibunya ke perhentian bas di Seksyen 9, di sini bagi mengulang kaji pelajaran bersama rakannya, pada jam 3 petang, 30 Januari lalu.

Namun, sehingga malam hari kejadian, mangsa tidak pulang ke rumah sebelum ibunya membuat laporan polis di IPK Selangor. Selepas dua bulan dilaporkan hilang, mangsa diselamatkan polis Thailand yang menemuinya di Stesen Kereta Api Hua Lampong, Bangkok, bersama lima warga Myanmar, 11 Mac lalu. -hm

Nazatul gadis pengutip derma

USAHA wartawan untuk menemu bual keluarga Nazatul gagal kerana rumahnya di Seksyen 8, Shah Alam berkunci dan tiada penghuni.

SHAH ALAM - Nazatul Fardiana Mohd. Norizwan, 15, remaja yang dilaporkan hilang pada Januari lalu dan ditemui di Bangkok, Thailand baru-baru ini merupakan seorang pengutip derma di beberapa lokasi di sini.

Seorang jiran mangsa yang mahu dikenali sebagai Ahmad, 47, mendakwa, dia pernah ternampak Nazatul mengutip derma di beberapa buah stesen minyak di Seksyen 9 di sini pada tahun lalu.

Dakwa Ahmad, remaja terbabit melakukan kerja itu antara pukul 5 petang hingga 10 malam dengan menunjukkan kad yang mempunyai logo Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Sumbangan itu kononnya untuk disalurkan kepada Madrasah Ta'allimun Islam dan Sekolah Hafiz al-Quran Tanjumas di Thailand.

"Saya mengetahui kegiatan Nazatul ketika mengisi minyak di Seksyen 9 pada hujung tahun lalu. Saya ambil kad yang mempunyai logo MAIWP daripada Nazatul," kata Ahmad ketika ditemui di kawasan rumah Nazatul di sini semalam.

Dakwa Ahmad, Nazatul dihantar ke stesen-stesen minyak itu untuk meminta derma oleh seorang wanita dipercayai ibunya.

Selain di stesen-stesen minyak, Nazatul juga pernah dilihat mengutip derma di beberapa buah bank di Seksyen 9 di sini.

Jelas lelaki itu, sejak kad MAIWP itu dirampas, kelibat remaja itu tidak lagi kelihatan di Seksyen 9.

Menurut Ahmad, Nazatul mendakwa dia disuruh mengutip derma oleh seorang ketua yang tinggal di Ampang, Selangor.

"Saya juga pernah membuat panggilan telefon kepada lelaki yang didakwa Nazatul sebagai bos dan lelaki itu mengaku mengenali Nazatul tetapi enggan bercakap banyak," kata Ahmad.

Ahmad kemudian menyerahkan kad tersebut kepada MAIWP dan ternyata kad kutipan derma tersebut tidak sah.
-kosmo


Wajah Terang Bapa Kandung Dirang, Handry, Sebelum Dihantar Pulang

Posted: 20 Mar 2012 03:30 PM PDT

Kes bunuh Dirang: Handry diserah kepada Imigresen

SENAI – Polis mengesahkan bapa kandung Nurul Nadirah Abdullah atau Dirang, 5, Handry Yongot, 30-an telah dibebaskan, semalam, dan diserah­kan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.

BAPA kandung Dirang, Handry Yongot bertemu anak lelakinya, Mohd Hafis dan bekas ibu mentuanya, Minar Jul sebelum dihantar pulang ke Filipina di Jabatan Imigresen Johor Bahru, hari ini. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin/BH

Handry ditahan reman selama seminggu bagi membantu siasatan kes berkaitan pembunuhan kejam anaknya Dirang selain pemeriksaan mendapati dia tiada sebarang dokumen perjalanan sah.

"Handry kami bebaskan hari ini (semalam), namun kami serah kepada pihak Imigresen untuk tindakan selanjutnya berikutan dia tiada dokumen pengenalan diri," kata Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Roslan Zainuddin kepada Sinar Harian semalam.

Beliau berkata, siasatan berhubung kes berkenaan masih diteruskan dan tiga suspek termasuk seorang wanita ditahan sebelum ini masih ditahan reman sehingga 23 Mac ini.

Sementara itu, ibu Dirang, Roselyn Alan, 25, sekali lagi merayu pihak berkuasa agar tidak menghantar bekas suaminya itu pulang ke negara asalnya, Filipina.

Menurutnya, Handry tidak mempunyai saudara di negara itu kerana dibesarkan di Kota Kinabalu, Sabah sejak kecil.

"Saya mohon jika boleh berilah peluang dia tinggal di sini, kerana dia tidak tahu asal usulnya di Filipina. Malah, dia masih ada anak iaitu Mohd Hafis yang berusia enam tahun di sini.

"Saya bimbang, jika dia dihantar pulang ke negara asalnya akan lebih menyukarkan untuk dia bertemu dengan satu-satunya anak kandung kami yang masih hidup," katanya.

Roselyn berkata, bekas suaminya itu pernah memohon untuk mendapatkan kerakyatan negara ini, namun malangnya permohonannya tidak diluluskan atas beberapa faktor.

"Apa yang saya tahu, dia pernah memohon, tetapi permohonannya ditolak dengan alasan maklumat ibu bapanya yang kurang jelas di mana mereka sudah meninggal dunia.

"Berikutan itu, Handry hanya diberikan dokumen sementara untuk menetap di negara ini. Bagaimanapun saya terkejut selepas dimaklumkan dia tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan sah," katanya.

Terdahulu, Handry ditahan reman selama seminggu bagi membantu siasatan kes berkaitan pembunuhan kejam anaknya Dirang selain pemeriksaan mendapati dia tiada sebarang dokumen perjalanan sah. -SH

PR Boikot Sertai PSC Lynas: Percubaan Najib Perbodohkan Rakyat Gagal

Posted: 20 Mar 2012 08:40 AM PDT

PSC Lynas: Dewan Rakyat kecoh, Pakatan tak sertai

Usul berkaitan penubuhan Jawatankuasa Terpilih Parlimen (PSC) untuk mengkaji isu kilang memproses nadir bumi Lynas di Gebeng, Kuantan, menghangatkan Dewan Rakyat, pagi ini.

Selepas perbahasan itu, ahli parlimen pembangkang yang tidak sependapat dengan rakan BN mereka.

Mereka mendakwa, tindakan kerajaan menubuhkan PSC itu hanya cubaan menutup keburukan terhadap pusat nadir bumi milik syarikat Australia itu.

"Kami harap dapat ambil bahagian (dalam PSC), tetapi tiada makna...

"Kalaupun PSC isytihar ia berbahaya, pentadbiran BN akan memanipulasi situasi itu," kata Fuziah Salleh (PKR-Kuantan) kepada pemberita di lobi Parlimen.

Sebelum itu, ketika perbahasan, Harakahdaily melaporkan Dr Hatta Mohd Ramli (PAS-Kuala Krai) yang mencelah hujah Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) mempersoalkan tentang keperluan penubuhan PSC memandangkan terdapat kenyataan daripada bakal pengerusi PSC, Datuk Seri Khalid Nordin berkenaan projek itu.

"Hari ini kita berbincang tentang keperluan projek Lynas, tapi sudah ada kenyataan daripada menteri bahawa penubuhan PSC adalah untuk mengubah tanggapan negatif rakyat terhadap projek tersebut.

"Belum apa-apa lagi, sudah ada kenyataan. Jadi, untuk apa PSC ditubuhkan kalau memang kerajaan hendak teruskan juga projek ini?"
soal beliau.

Perbahasan terus hangat apabila ahli parlimen BN dan Bebas cuba mengaitkan ketiadaan pakar nuklear daripada PAS, iaitu Dr Che' Rosli Che' Mat (PAS-Hulu Langat) di dewan hingga menimbulkan kekecohan.

Bagaimanapun, Timbalan Speaker, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar hanya berdiam diri sehingga beberapa tempoh sebelum meminta wakil rakyat duduk di tempat masing-masing.

"Jika benar PAS ikhlas, saya cabar PAS mencalonkan Ahli Parlimen Hulu Langat untuk disenaraikan sebagai ahli jawatankuasa yang akan ditubuhkan. Jika tidak disenaraikan, ianya dianggap sandiwara semata-mata," kata Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) ketika berbahas.

Dalam pada itu, Khalid Samad (PAS-Shah Alam) mendakwa penubuhan PSC ini hanya untuk memberikan gambaran indah-indah, sedangkan Lynas ini penuh dengan masalah.

Selain itu beliau meminta segala yang berkaitan projek itu di Gebeng, Kuantan dihentikan sehingga satu keputusan mengenai penubuhan PSC ini diputuskan.

Manakala, Dr Dzulkefly Ahmad (PAS-Kuala Selangor), ketika berbahas melahirkan kekecewaan apabila rakyat Malaysia hanya tahu mengenai projek itu setelah hampir 95 peratus projek berkenaan selesai.

"Inilah kerajaan yang mengutamakan rakyat apabila projek sudah 95 peratus siap, baru rakyat tahu mengenainya.
Itupun melalui laporan New York Times," kata beliau. -mk

Pakatan Rakyat tidak akan sertai PSC Lynas

KUALA LUMPUR, 20 Mac: Pakatan Rakyat memutuskan untuk tidak menyertai Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) bagi mengkaji isu Lynas setelah mendakwa jawatankuasa itu tidak memberikan ruang kepada mereka untuk menyatakan pendapat.

Keputusan itu berikutan kekecewaan mereka apabila kerajaan tidak memenuhi syarat yang dicadangkan, iaitu kerajaan perlu mengeluarkan arahan henti kerja, tarik balik permit kerja sementara (TOL) dan hentikan 'import rare earth concentrate'.

Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh, yang jelas kecewa dengan ucapan penggulungan menteri, berkata beliau mengharapkan penubuhan PSC ini akan menjadi satu platform bebas bagi memahami masalah rakyat.

Malangnya, kata beliau melihat dari perbahasan dan penggulungan menteri, harapan tersebut tidak akan menjadi kenyataan.

"Kita bersedia untuk terlibat dalam PSC, tetapi melihat kepada apa yang berlaku hari ini, kita tidak boleh bergantung kepada badan itu untuk menjadi satu platform kepada rakyat," tegas beliau pada sidang media, di lobi parlimen, hari ini.

Sebelum itu, ahli parlimen Pakatan Rakyat bertindak keluar dewan setelah kecewa dengan jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz ketika penggulungan perbahasan mengenai penubuhan PSC.

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr. Dzulkefly Ahmad, berkata Pakatan Rakyat terpaksa menolak PSC memandangkan penubuhannya tidak memberikan sebarang makna kepada rakyat, khususnya rakyat Kuantan.

"Kita memang mahu berkongsi segala maklumat, tapi nampaknya ia tidak menjadi kenyataan. Memang hari ini merupakan hari yang paling sedih kepada rakyat Malaysia,"
kata beliau.

Terdahulu, perbahasan tentang penubuhan PSC ini menjadi hangat apabila kebanyakan ahli parlimen kerajaan berucap seolah-olah menyokong projek Lynas, yang dibina di Gebeng, Pahang sebelum sidang berhenti rehat tengahari tadi.

Kemudiannya, selepas dewan kembali bersidang pada sebelah petang, kekecohan terus berlaku apabila ahli parlimen Pakatan Rakyat tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan Nazri.

Ketika ditanya tindakan susulan Pakatan Rakyat ekoran keputusan tersebut, Fuziah berkata beliau menyerahkan kepada rakyat untuk bertindak selepas ini.

"Biarlah rakyat yang memutuskannya," kata beliau.

Turut serta pada sidang media itu ialah Ahli Parlimen Batu, Tian Chua; Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr. Hatta Ramli; Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago; dan beberapa ahli parlimen Pakatan Rakyat.

DAP sebelum ini membuat keputusan untuk tidak menyertai jawatankuasa itu kerana ia hanya akan menjadi fait accompli (yang telah diputuskan) atau alat untuk menghalalkan loji nadir bumi syarikat Australia itu.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, PSC juga akan menjadi alat Barisan Nasional untuk memaksa orang awam menerima loji Lynas tanpa mempedulikan soal keselamatan, alam sekitar dan kesihatan rakyat.

"DAP akan mencadangkan kepada kepimpinan Pakatan Rakyat supaya tidak membenarkan BN menggunakan penyertaan PR untuk menghalalkan loji Lynas, bagi memastikan PR tidak akan terlibat dengan apa-apa bencana alam sekitar yang mungkin berlaku pada masa depan,
" katanya dalam satu kenyataan semalam.
-HD



Pembangkang Boikot Sertai PSC Lynas

KUALA LUMPUR: Gara-gara tidak berpuas hati apabila usul penubuhan Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) bagi mengkaji mengenai Projek Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) mendapat undi sokongan majoriti, Ahli Parlimen pembangkang bertindak keluar dewan sebagai tanda protes.

Majoriti wakil rakyat pembangkang diketuai Fuziah Salleh (PKR-Kuantan) dilihat keluar daripada dewan sejurus selepas Timbalan Speaker, Datuk Ronald Kiandee mengumumkan usul penubuhannya diluluskan Dewan Rakyat.

Kesemua wakil rakyat pembangkang itu kemudiannya mengadakan sidang media di lobi Parlimen.

Malah kumpulan wakil rakyat itu sebulat suara menyatakan pendirian memboikot penyertaan mereka dalam jawatankuasa berkenaan.

"Kami kecewa kerana kerajaan tidak menyatakan dengan jelas terma dan rujukan khusus mengenai objektif penubuhan jawatankuasa tersebut.

"Melalui kertas usul yang dinyatakan kerajaan mengenai PSC Lynas, hanya dinyatakan bahawa penubuhannya sekadar mahu meneliti isu keselamatan, jumlah keanggotaan serta tempoh yang diberikan kepada jawatankuasa itu," katanya pada sidang di lobi Parlimen di sini,Selasa.

Sementara itu Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua berkata, walaupun pada awalnya pembangkang menyambut baik kewujudan jawatankuasa itu namun begitu selepas mengkaji pelbagai perkara,pihaknya kini tidak akan menyertainya.

"Kita mahu jawatankuasa ini bersikap adil dengan memberi penekanan kepada soal keselamatan rakyat, namun melihat kepada reaksi Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), kita tahu bahawa projek ini tetap akanditeruskan.

"Kita sudah jangkakan projek ini akan diteruskan, mengapa lagi kita mahu menyertai dan kita tahu apa saja yang kami (pembangkang) bangkitkan tidak akan diberi perhatian," katanya yang juga Ahli Parlimen Batu.

Terdahulu ketika membentangkan usul berkenaan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata penubuhan jawatankuasa itu bertujuan meneliti isu-isu yang menjadi perhatian pihak awam serta standard keselamatan projek tersebut.

Jawatankuasa berkenaan yang diberi tempoh selama tiga bulan akan dianggotai oleh sembilan Ahli Parlimen iaitu lima daripada Barisan Nasional (BN), tiga mewakili pembangkang dan seorang wakil Bebas.
-mstar







Ulasan GB

Sebenarnya, J/P Pilihan Parlimen (PSC) untuk Lynas adalah tipudaya dan helah kerajaan terhadap rakyat menjelang pilihanraya.

Ia sama seperti PSC Penambahbaikan Sistem Pilihan Raya, yang akhirnya terbukti hanya menjadi "rubberstamp" kepada penipuan-penipuan dan penyelewengan SPR.



Lembu-Lembu NFCorp Sudah Kecut, Tidak Beri Kerjasama Kepada PAC

Posted: 20 Mar 2012 06:21 AM PDT

LAC Tangguh Siasatan Isu NFCorp

KUALA LUMPUR: Pendengaran siasatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara(PAC) berhubung kontroversi National Feedlot Corporation (NFCorp) terpaksa ditangguhkan kerana pengurusan tertinggi syarikat milik keluarga Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil itu enggan memberikerjasama.

Sebaliknya NFCorp hanya menghantar seorang jurucakap yang juga Pengurus Besar Sumber Manusia, Wan Zurina Saaran bersama dua peguam bagi menghadiri sesi pendengaran tersebut.

Pengerusi PAC, Datuk Seri Azmi Khalid berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa keengganan pengurusan tertinggi NFCorp untuk hadir sesi berkenaan adalah atas nasihat peguam dengan alasan kes berkaitansyarikat itu kini sedang melalui proses mahkamah.

Bagaimanapun menurut beliau, PAC akan mendapatkan nasihat Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berhubung sama ada jawatankuasa berkenaan boleh meneruskan siasatan tanpa mengganggu proses undang-undang.

"Kita akan dapatkan pandangan Speaker berhubung perkara ini. Malah sebelum ini pun Speaker pernah menolak usul bagi membincangkan isu NFCorp dalam dewan dengan alasan yang sama.

"Tapi sebelum ini PAC pernah menghadapi situasi yang sama dalam kes membabitkan skandal PKFZ (Zon Bebas Pelabuhan Klang), namun kita masih boleh meneruskan pendengaran selagi tidak mengganggu siasatan pihak berkuasa," katanya ketika ditemui pemberita di bangunan Parlimen disini, Selasa.

PAC sebelum ini mengarahkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani agar menjemput NFCorp hadir memberi keterangan kepada jawatankuasa itu, Selasa.

Sementara itu Ahli Jawatankuasa PAC, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, sesi pendengaran yang bermula pukul 9.30 pagi tadi tidak memperolehi hasil ekoran keengganan wakil NFCorp memberi sebarangketerangan.

"Wakil-wakil yang hadir sememangnya tidak mahu menjawab sebarang soalan yang kita kemukakan.

"Walaupun kita menyatakan bahawa PAC tidak akan menyentuh mengenai isu yang berkaitan proses mahkamah," katanya.

Baru-baru ini Pengerusi Eksekutif NFCorp, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat tuduhan berasingan melakukan pecah amanah membabitkan RM49.7 juta danmenggunakan harta syarikat itu tanpa kebenaran tiga tahun lalu.

Mohamad Salleh menghadapi tuduhan pertama sebagai pengarah NFCorp yang diamanahkan penguasaan terhadap harta syarikat, pecah amanah dengan menyalahgunakan wang RM9,758,140 melalui empat cek di CIMB Islamic Bank Bhd, 138, Jalan Burhanuddin Helmi, Taman Tun Dr Ismail di sini,antara 1 dan 4 Disember 2009.

Wang itu untuk membiayai sebahagian daripada harga pembelian dua unit Kondominium One Menerung, parcel nombor B1-1 dan B1-2, Blok B, yang terletak di geran nombor 65152, no lot 56454, Mukim Kuala Lumpur, oleh syarikat dimiliki keluarga tertuduh, National Meat & LivestockCorporation Sdn Bhd (NMLC).

Dia turut menghadapi tuduhan kedua menggunakan harta syarikat berjumlah RM9,758,140 tanpa kebenaran mesyuarat agung syarikat itu bagi tujuan sama untuk NMLC mendapat keuntungan secara langsung.

Bagi tuduhan ketiga, Mohamad Salleh dituduh pecah amanah dengan menyalahgunakan wang RM40 juta dengan cara memindahkannya melalui cek ke akaun NMLC di Malayan Banking Berhad, Cawangan Solaris Mont Kiaradi sini, bagi kegunaan NMLC.

Selain itu, dia menghadapi tuduhan menggunakan harta syarikat RM40 juta tanpa kebenaran mesyuarat agung syarikat itu dengan memindahkannya melalui cek ke akaun NMLC bagi kegunaan NMLC dan mendapatkan keuntungan secara langsung. -mstar

NFCorp belum bayar balik pinjaman

KUALA LUMPUR - Jawatan­kuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), mengesahkan bahawa National Feedlot Corporation (NFCorp) masih belum membuat bayaran ansuran berhubung pinjaman dana awam RM250 juta bagi projek Pusat Fidlot Nasional (NFC).

Pengerusinya, Datuk Seri Azmi Khalid berkata, NFCorp seharusnya membuat pembayaran pinjaman itu bermula Januari lalu, tetapi sehingga hari ini belum dilaksanakan.

"PAC dimaklumkan tiada pembayaran dibuat, sepatutnya mereka melaksanakan tanggungjawab itu mengikut jadual ditetapkan.

"Berkemungkinan kelewa­tan ini berpunca daripada masalah dihadapi dan kami memahaminya," katanya,.

Azmi berkata, pengurusan­ NFCorp tampil memberi penerangan mengenai isu itu Selasa ini (hari ini).

Selain itu beliau berkata, Kementerian Kewangan melalui jawatankuasa khas mengeluarkan arahan pada 2009 bagi menangguhkan projek itu untuk dikaji semula.

Bagaimanapun katanya, beberapa proses dilaksanakan sebelum arahan dibuat dan ia tidak boleh ditarik balik.

Sebelum ini, Pengarah Eksekutif NFCorp, Wan Shahinur Izmir Salleh beri jaminan syarikat berupaya membayar balik perjanjian pinjaman antara mereka dengan kerajaan dalam perjanjian pada Disember 2007.


Debat Wikileaks: Oh Rupanya RPK Hanya Mahu Jadi Pak Sibuk Dalam Wawancara

Posted: 20 Mar 2012 04:48 AM PDT

Isu Wikileaks: Siapa sebenarnya yang takut berdebat

KUALA LUMPUR, 19 Mac: Wawancara antara pemilik Wikileaks, Julian Assange dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan diteruskan tanpa penyertaan penumpang dalam wawancara ini.

Menurut Ketua Staf Pejabat Anwar, Ibrahim Yaacob, Anwar dan penerbit wawancara ini, Quick Roll Productions telah bersetuju dengan keputusan ini.

Media BN melaporkan kononnya Anwar didakwa takut untuk berdebat dengan Raja Petra Kamarudin, pemilik blog Malaysian-today.

"Pertamanya kami mahu menjelaskan bahawa permohonan yang diajukan oleh Wikileaks kepada Pejabat Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah satu wawancara antara Julian Assange dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Kemudiannya barulah pihak kami diberitahu Raja Petra mahu menumpang dalam wawancara tersebut.

"Makanya Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa beliau hanya menyatakan persetujuan untuk permintaan yang asal iaitu wawancara antara beliau dengan Julian Assange,"
kata Ibrahim Yaacob.

Oleh itu, katanya, Quick Roll Productions, pihak produksi yang terlibat dengan wawancara ini telah membuat keputusan editorial untuk meneruskan format wawancara antara Julian Assange dengan Anwar Ibrahim tanpa melibatkan penumpang lainnya.

Keputusan editorial tersebut semata-mata dibuat oleh Quick Roll Productions dan tidak dipaksakan oleh Pejabat Datuk Seri Anwar Ibrahim ke atas mereka, beritahu beliau.

Debat Anwar-Najib

Menurut pejabat Anwar itu, mereka merasa terpanggil apabila Datuk Seri Najib Razak menggunakan isu ini sebagai pelantar untuk mentohmah Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya takut berdebat dengan Raja Petra.

"Kami kesal kerana Datuk Seri Najib Razak bercakap tidak berdasarkan fakta yang sebenar kerana tidak timbul soal debat sedangkan yang dipersetujui antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Julian Assange adalah wawancara satu sama satu.

"Akan tetapi oleh kerana YAB Perdana Menteri beriya-iya bercakap soal debat, kami berpendirian adalah sangat baik untuk rakyat dan negara ini sekiranya Datuk Seri Najib Razak bersetuju untuk berdebat dengan YB Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya.

Menurut beliau, perdebatan antara Ketua Pembangkang dengan Perdana Menteri berkaitan isu nasional pastinya memberi manfaat yang banyak kepada rakyat dan negara Malaysia.

Justeru keengganan Datuk Seri Najib Razak untuk berdebat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim memunculkan tanda tanya di kalangan rakyat terbanyak.

"Sama ada Perdana Menteri takut ataupun tidak punya komitmen untuk menyuburkan amalan Demokrasi di negara ini," tambahnya. -HD

Wawancara Anwar tanpa RPK diputuskan sendiri oleh Wikileaks

KUALA LUMPUR: Wawancara Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan pengasas Wikileaks, Julian Assange diputuskan sendiri pihak editorial badan itu tanpa paksaan dari pejabat Anwar.

Penjelasan itu dibuat Ketua Staf Pejabat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ibrahim Yaacob sebagai mengulas tindakan Datuk Seri Najib Razak memutar belit isu itu.

"Pertamanya kami mahu menjelaskan bahawa permohonan yang diajukan Wikileaks kepada Pejabat Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah satu wawancara antara Julian Assange dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Kemudiannya barulah pihak kami diberitahu Raja Petra mahu menumpang dalam wawancara tersebut," katanya.

Ibrahim berkata, selepas Anwar bersetuju dengan wawancara itu, barulah Ketua Pembangkang itu diberitahu blogger kontroversi, Raja Petra Kamaruddin mahu menumpang dalam wawancara itu.

"Makanya Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, beliau hanya menyatakan persetujuan untuk permintaan asal iaitu wawancara antara beliau dengan Julian Assange.

"Oleh itu Quick Roll Productions, pihak produksi yang terlibat dengan wawancara ini membuat keputusan editorial untuk meneruskan format wawancara antara Julian Assange dengan Anwar Ibrahim tanpa melibatkan penumpang lainnya," tegas Ibrahim.

Oleh itu, kata Ibrahim, tindakan Najib memutar belit isu itu hanya taktik Presiden Umno itu untuk mengelak dari berdebat dengan Anwar.

"Keduanya, kami merasa terpanggil apabila Datuk Seri Najib Razak menggunakan isu ini sebagai pelantar untuk mentohmah Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya takut berdebat dengan Raja Petra.

"Kami kesal kerana Datuk Seri Najib Razak bercakap tidak berdasarkan fakta yang sebenar kerana tidak timbul soal debat sedangkan yang dipersetujui antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Julian Assange adalah wawancara satu sama satu,"
tegasnya.

Ibrahim juga melihat keengganan Najib berdebat dengan Anwar menimbulkan persoalan bahawa Presiden Umno itu menolak amalan demokrasi atau Najib sebenarnya pengecut untuk berdebat dengan Anwar.

"Akan tetapi oleh kerana Perdana Menteri beriya-iya bercakap soal debat, kami berpendirian adalah sangat baik untuk rakyat dan negara ini sekiranya Datuk Seri Najib Razak bersetuju untuk berdebat dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Perdebatan antara Ketua Pembangkang dengan Perdana Menteri berkaitan isu nasional pastinya memberi manfaat yang banyak kepada rakyat dan negara Malaysia," katanya lagi.
-KD


Kesalahan Serius: PM Sepatutnya Bercuti Jika Mahu Berkempen Untuk UMNO BN

Posted: 20 Mar 2012 03:12 AM PDT

PM sepatutnya bercuti, kata Bersih 2.0

KUALA LUMPUR, 13 April – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) hari ini menasihatkan Datuk Seri Najib Razak lebih pentingkan masa depan Barisan Nasional (BN) daripada kepentingan kerajaan ekoran tindakan Perdana Menteri memberikan tumpuan ke atas pilihan raya negeri Sarawak.

Pengerusi Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan berkata, sebagai seorang perdana menteri, Najib telah menunjukkan teladan yang tidak baik kepada negara kerana sanggup berkempen di Sarawak sehingga mengabaikan tanggungjawab menguruskan pentadbiran, yang sepatutnya menjadi keutamaan.

Najib secara peribadi mengetuai kempen di Sarawak sejak Ahad lalu. Beliau dijangka berada di negeri bumi Kenyalang itu sehingga Jumaat ini.

"Bersih 2.0 mempersoalkan tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang membatalkan mesyuarat Kabinet kerana mahu membantu kempen BN di Sarawak, sebagai seorang pemimpin kerajaan dan BN, beliau telah menunjukkan teladan yang tidak baik kerana tidak mengimbangi antara kepentingan politik dan juga pentadbiran kerajaan.

"Sepatutnya beliau (Najib) mencontohi perdana menteri Malaysia yang pertama Tunku Abdul Rahman yang mengambil cuti selama dua bulan untuk berkempen pada pilihan raya 1959.

"Dalam tempoh itu, timbalan perdana menteri Tunku Abdul Razak akan mengetuai pentadbiran negara, kami amat kecewa apabila kedua-dua perdana menteri dan timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berada di Sarawak untuk berkempen," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga menegaskan pihaknya menuntut agar pilihan raya negeri Sarawak dijalankan dengan telus dan adil.

Bagaimanapun, kata Ambiga, ia agak sukar dilaksanakan selepas pemimin-pemimpin BN termasuk Muhyiddin meminta agar rakyat dan kakitangan awam di negeri itu agar patuh kepada kerajaan.

"Sebelum ini Setiausaha Politik Ketua Menteri Sarawak Wilso Nyabong Ijang meminta anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) agar memastikan kemenangan calon BN pada pilihan raya kali ini.

"Malah timbalan perdana menteri juga mengingatkan guru-guru agar memangkah BN," katanya.

Justeru beliau menegaskan, mana-mana parti politik sama ada BN atau Pakatan Rakyat tidak mengaitkan antara kepentingan politik dan pentadbiran.

"Bersih 2.0 mahu menekankan parti politik tidak seharusnya mengelirukan rakyat demi kepentingan politik yang berat sebelah.

"Kami mengingatkan pemimpin politik baik BN atau Pakatan Rakyat agar mematuhi prinsip ini," katanya.

Menurut Ambiga, pihaknya menolak keras amalan "rasuah" termasuk janji-janji pembangunan dengan niat untuk mendapatkan sokongan pengundi di Sarawak.

"Bersih 2.0 mengutuk amalan menawarkan hadiah, wang dan janji-janji pembangunan dengan niat untuk mempengaruhi para pengundi, ini adalah kesalahan-kesalahan pilihan raya.

"Jadi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan-kesalahan ini," katanya.

AMK desak PM bercuti jika mahu berkempen untuk Umno BN

Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK), berasa kecewa dengan kenyataan Perdana Menteri Najib Tun Razak yang mengelirukan khasnya berkaitan dengan pihak UMNO/BN sukar untuk menyewa dewan di Selangor. Kenyataan tersebut adalah berniat jahat untuk memburukkan prestasi pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor serta menjejaskan imej seorang Perdana Menteri sendiri.

Sebagai Perdana Menteri, Najib Tun Razak bukan sahaja tidak menunjukkan bukti sewa dewan ditolak atau dihalang, malah cuba untuk mengaut simpati daripada pengundi bahawa UMNO/BN dibuli oleh Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor.

Mustahil Perdana Menteri tidak mengetahui bahawa UMNO/BN boleh menganjur sebarang aktiviti di seluruh pelosok Malaysia tanpa sebarang halangan atau mengalami masalah dizalimi mana-mana pihak. Namun demikian, banyak perhimpunan dan ceramah yang dianjurkan oleh Pakatan Rakyat telah mengalami kacau ganggu daripada politik samseng yang ganas.

Contohnya kereta Ketua Pembangkang Dewan Rakyat Anwar Ibrahim yang dilempar batu dan dirosakkan sekumpulan samseng semasa beliau berucap di Johor. Naib Presiden Nurul Izzah juga nyaris-nyaris dipukul semasa berucap di Pahang serta ceramah yang dianjurkan oleh masyarakat sivil juga dicerobohi dan dihentikan sekumpulan samseng.

Sampai hari ini, Perdana Menteri masih mengambil sikap berdiam diri serta tidak membuat sebarang kenyataan untuk mengutuk tindakan yang tidak bertamadun dan samseng tersebut.

AMK berpendapat bahawa walaupun Perdana Menteri cuba sedaya upaya untuk merampas kuasa kerajaan negeri Selangor, beliau mesti memastikan bahawa pilihanraya yang akan datang akan dijalankan dengan bebas, adil dan bersih. Masyarakat umum telah banyak kali mendesak kerajaan melaksanakan lapan tuntutan Bersih 2.0 sebelum mengadakan Pilihanraya Umum ke-13. Sekiranya tidak, prinsip demokrasi sebenar tidak dapat diwujudkan malah kerajaan yang bakal dipilih juga tidak berwibawa dan tidak ada kredibiliti.

Oleh itu, AMK mendesak PM Najib Razak untuk memohon cuti jawatan Perdana Menteri sekiranya ingin berkempen untuk UMNO/BN yang sudah berlaku selama ini. Perdana Menteri telah berkempen dengan menggunakan jentera kerajaan seperti pejabat, bas, kereta dan agensi kerajaan untuk mengadakan aktiviti, memanggil kakitangan awam untuk menyokong UMNO/BN nyata sekali telah bercanggah dengan etika politik serta salahguna kuasa.

Akhir sekali, AMK menegaskan bahawa sistem demokrasi memerlukan media yang bebas untuk membenarkan ahli politik daripada kedua-dua pihak menyalurkan maklumat kepada orang ramai.

Maka Perdana Menteri yang ikhlas, yakin diri serta komited dengan transformasi perlu membuka media arus perdana kepada pembangkang untuk menyebarkan manifesto dan dasar alternatif Pakatan Rakyat serta sekaligus mewujudkan masyarakat yang berlandaskan demokrasi tulen.

LEE KHAI LOON
Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN Malaysia


Ulasan GB

Mana-mana penjawat awam termasuk PM dan TPM yang berkempen untuk UMNO BN semasa waktu bekerja sepatutnya dikenakan tindakan undang-undang.

Tetapi kerana agensi penguatkuasaan undang-undang berpihak kepada UMNO BN termasuklah SPR, maka ianya terlepas begitu sahaja.

Kemenangan yang bakal diperolehi UMNO/BN adalah kemenangan haram yang tidak diberkati kerana kesalahan serius yang dilakukan oleh para pemimpin tertingginya.

Apabila PR memerintah pastikan mereka ini dihadapkan ke muka pengadilan.

Tiada ulasan: