Ahad, 4 Mac 2012

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Keputusan Isu Kedah Esok - Phahrolrazi & Ismail Dijangka Terima Semula Jawatan Exco

Posted: 04 Mar 2012 12:38 AM PST

PAS: Penyelesaian kemelut Kedah diumum esok

Pertemuan khas antara Jawatankuasa PAS Pusat dengan badan perhubungan PAS Kedah malam semalam dan berlarutan sehingga awal pagi ini dikatakan berjaya mencapai keputusan yang akan menyelesaikan kemelut kepimpinan di negeri itu. Gambar: Phahrolrazi (kiri) Dr.Ismail (kanan)

Menurut Harakahdaily yang memetik Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub sebagai berkata, keputusan yang dicapai itu mengambil kira pelbagai pandangan yang dibincang.

"PAS sudah ada keputusan. Ia sangat mengambil kira pelbagai pandangan yang kita bincang.

"Kita akan umum keputusan tersebut secara rasami dalam masa terdekat," katanya dipetik organ rasmi parti itu.

Sementara itu, dalam satu teks pesanan ringkas, PAS memaklumkan satu sidang media khas mengenai isu Kedah akan diadakan pada jam 11 pagi esok.

Sidang akhbar itu akan diadakan di pejabat agung PAS Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

Semalam, pertemuan khas bagi mencari penyelesaian isu Kedah itu dilaporkan berlangsung lebih lima jam bermula sekitar jam 9.30 malam sehingga jam 3 pagi tadi di kediaman rasmi Menteri Besar di Seri Mentaloon, Alor Setar.

Ia berhubung isu Datuk Phahrolrazi Zawawi dan Dr Ismail Salleh yang enggan dilantik semula sebagai exco kerajaan negeri Kedah kerana dikatakan tidak mampu bekerjasama dengan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Phahrolrazi dan Dr Ismail masing-masing merupakan timbalan pesuruhjaya PAS I dan II manakala Azizan adalah pesuruhjaya PAS Kedah.

Para pemimpin PAS Pusat seperti Timbalan Presiden, Mohamad Sabu dan Naib Presiden, Datuk Mahfuz Omar juga dilihat antara yang terawal memasuki kediaman rasmi menteri besar kira kira jam 8.15 malam.

Beberapa exco kerajaan negeri seperti Datuk Amiruddin Hamzah; Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul dan Abdul Ghani Ahad juga kelihatan memasuki Seri Metaloon.

Menurut Harakahdaily lagi, difahamkan pertemuan malam semalam itu dibahagikan kepada dua sesi iaitu pertama pertemuan empat mata antara Salahudin dengan Phahrolrazi, dan diikuti dengan Azizan.

Ia kemudiannya disusuli dengan pertemuan Jawatankuasa PAS Pusat dengan badan perhubungan PAS negeri yang dipengerusikan presiden parti sendiri, Datuk Seri Hadi Awang.

Pertemuan tertutup itu merupakan kali kedua bagi membincangkan krisis dalaman parti itu di Kedah selepas mesyuarat khas PAS di Kuala Lumpur Khamis lalu gagal menemui jalan penyelesaian.

Keputusan diumum hari ini

Sementara itu, Bernama melaporkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan mengumumkan keputusan berhubung kemelut pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah pimpinan parti itu, hari ini.

Salahuddin yang mempengerusikan pendengaran berhubung kemelut itu berkata Abdul Hadi yang mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa kerja PAS Pusat akan mengumumkan keputusan itu secara rasmi sama ada di Alor Setar atau Kuala Lumpur.

Mereka yang terlibat dalam kemelut itu ialah Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan anggota-anggota exco Datuk Phahrolrazi Zawawi dan Datuk Dr Ismail Salleh.

Phahrolrazi dan Dr Ismail tidak mengangkat sumpah bagi pelantikan semula sebagai exco bagi penggal 2012/2013 di Istana Anak Bukit pada 28 Februari lalu.

Pada hari yang sama Phahrolrazi yang juga timbalan pesuruhjaya I PAS Kedah berkata beliau enggan dilantik semula kerana mempunyai perbezaan pendapat yang "kritikal" dengan Azizan dalam soal pentadbiran kerajaan negeri.

Buat pertama kali, Azizan dan Phahrolrazi dipertemukan oleh PAS Pusat yang campur tangan untuk menyelesaikan kemelut itu dengan mendengar penjelasan mereka di kediaman rasmi Menteri Besar, Seri Mentaloon di Alor Setar, malam tadi.

Salahuddin berkata Azizan dan Phahrolrazi, masing-masing mengambil masa sejam menyampaikan fakta dan hujah pada pendengaran itu.

"Mereka memberi kerjasama cukup harmoni dan profesional. Saya yakin jawatankuasa kerja PAS Pusat yang dipengerusikan presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (kanan) akan dapat mencari penyelesaian terbaik kepada masalah ini.

"Kami berpuas hati dengan penjelasan mereka. Keputusan jawatankuasa adalah muktamad dan mereka mesti akur," katanya kepada pemberita selepas pendengaran itu selesai kira-kira tengah malam tadi.

Semua jawatankuasa PAS Pusat termasuk timbalan presiden Mohamad Sabu, tiga naib presidennya dan beberapa anggota exco kerajaan Kedah hadir kecuali Dr Ismail.

Jawatankuasa itu berbincang hampir tiga jam bermula kira-kira 12.15 tengah malam selepas Salahuddin bertemu media yang menunggu di luar Seri Mentaloon.

Sebelum itu, semua anggota jawatankuasa PAS Pusat tiba di Seri Mentaloon kira-kira pukul 8 malam dan mereka menunggu Abdul Hadi yang tiba kira-kira 9.50 malam untuk mendengar hujah dan penjelasan Azizan dan Phahrolrazi.

Seri Mentaloon dikawal ketat dan pihak-pihak tidak berkenaan termasuk media tidak dibenarkan memasuki kawasan kediaman tersebut.

Bagaimanapun, harapan media yang menunggu seawal jam 8 malam di Seri Mentaloon agar ada pemimpin tertinggi PAS akan membuat kenyataan selepas mesyuarat jawatankuasa selesai kira-kira pukul 3 pagi, hampa.

Malah kenderaan yang membawa Azizan atau Phahrolrazi juga tidak berhenti. -mk


Isu Pas Kedah: Phahrolrazi, Ismail kekal Exco?

SHAH ALAM - Perbincangan misi damai lebih lima jam di kediaman rasmi Menteri Besar di Alor Setar, yang berakhir awal pagi tadi, dipercayai telah mencari formula menjernihkan kemelut kepimpinan Pas Kedah - pastinya buat sementara waktu ini - dengan dua pemimpin parti yang sebelum ini menolak tawaran pelantikan semula sebagai Exco, akan kekal dengan jawatan mereka dalam barisan pentadbiran kerajaan negeri.

Sinar Harian Online difahamkan, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi dan Dr Ismail Salleh, yang menjadi fokus kontroversi kepimpinan Pas Kedah, sudah bersedia untuk menerima formula penyelesaian yang diusahakan oleh Pas Pusat dan kekal sebagai Exco.

Tempoh kedudukan mereka sebagai Exco sebenarnya hanya akan berakhir 7 Mac ini.

Kedua-dua Phahrolrazi dan Dr Ismail masing-masing turut memegang jawatan Timbalan Pesuruhjaya Pas Kedah. Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak merupakan Pesuruhjaya Pas Kedah.

Pada minggu lalu, hanya lapan orang mengangkat sumpah sementara kedua-dua mereka dilaporkan telah menolak tawaran pelantikan semula sebagai Exco atas alasan berhadapan dengan persekitaran kerja yang kritikal dan tidak boleh duduk dalam pasukan pentadbiran kerajaan negeri pimpinan Azizan.

"Ia satu keputusan yang baik dicapai, kesemua mereka khususnya dua Exco yang terbabit telah menunjukkan persetujuan untuk bekerja sebagai satu pasukan... akan bersama dalam satu pasukan menghadapi pilihan raya umum, ini keputusan bersama dicapai," kata sumber kepimpinan Pas Pusat kepada Sinar Harian Online.

Ketika ditanya sama ada perkembangan itu bermakna kedua-dua Phahrolrazi dan Ismail akan kekal dalam barisan Exco Kerajaan Negeri, sumber itu hanya menjawab: "Itu saya tidak boleh mengulas."

"Apa yang boleh saya katakan sekarang ialah memang wujud perbezaan pandangan, mereka berada di gelanggang yang berbeza, tetapi bukan bertindak sebagai pembangkang.

"Itu sangat jelas. Dan, mereka sekarang setuju kembali bertindak sebagai satu pasukan, khusus bagi menghadapi pilihan raya umum dan mengekalkan kerajaan negeri Pakatan Rakyat," kata beliau lagi.

Pengumuman rasmi mengenai hasil akhir pertemuan lima jam ini belum diketahui.

Bagaimanapun Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub yang diberikan tanggungjawab sebagai 'duta khas' mencari jalan penyelesaian berkata, pihaknya akan memanggil sidang media dalam waktu terdekat, kemungkinan hari ini.

"Ada beberapa perkembangan baru sedang diteliti. Kami akan memaklumkan bila sudah bersedia untuk mengadakan sidang media," katanya ketika dihubungi.

Difahamkan kedua-dua Azizan dan Phahrolrazi, masing-masing diberi masa sejam untuk mengemukakan hujah dalam pertemuan dengan Salahuddin malam tadi.

Pertemuan khas misi damai yang diadakan kediaman rasmi Menteri Besar Kedah di Alor Setar, berlangsung lebih lima jam sehingga 3 pagi tadi.

Bagi Pas, salah satu anggota komponen Pakatan Rakyat, yang menerajui kerajaan negeri sejak Mac 2008, kontroversi terbaru ini adalah ujian paling besar menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), yang disebut-sebut akan diadakan bila-bila masa dari sekarang.

"Sudah ada keputusan, keputusan ini keputusan sebulat suara... ia akan diumumkan dalam waktu terdekat. Itu sahaja yang boleh saya cakap buat masa sekarang," kata beliau.

Pertemuan lebih lima jam itu dibahagikan kepada dua iaitu pertemuan Salahuddin dengan pemimpin-pemimpin yang menjadi fokus kontroversi, dan keduanya mesyuarat khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat.

Jawatankuasa Kerja Pas Pusat telah mengadakan satu mesyuarat khas bagi membincangkan kemelut kepimpinan Kedah ini, di ibu negara Khamis lalu.

Difahamkan pertemuan sesi pertama dipengerusikan oleh Salahuddin selama dua jam manakala mesyuarat khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat pula diketuai sendiri oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, bermula 12 tengah malam dan berakhir sekitar 3 pagi tadi.

Keperluan mengadakan pertemuan ini diputuskan pada mesyuarat khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang diadakan di ibu negara Khamis lalu susulan kunjungan misi khas oleh Salahuddin ke Kedah awal minggu lalu.

Dalam pada itu, laporan Bernama menyebut, buat pertama kali, Azizan dan Phahrolrazi dipertemukan oleh Pas Pusat yang campur tangan untuk menyelesaikan kemelut itu dengan mendengar penjelasan mereka di Seri Mentaloon.

"Mereka memberi kerjasama cukup harmoni dan profesional. Saya yakin jawatankuasa kerja Pas Pusat yang dipengerusikan presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan dapat mencari penyelesaian terbaik kepada masalah ini.

"Kami berpuas hati dengan penjelasan mereka. Keputusan jawatankuasa adalah muktamad dan mereka mesti akur," kata Salahuddin kepada pemberita selepas pendengaran itu selesai kira-kira tengah malam tadi.
-SH


Ulasan GB

Jika jangkaan GB di atas benar iaitu kedua-dua exco akan menerima perlantikan exco kerajaan negeri Kedah, bererti juga menjadi kenyataan pemerhatian yang GB lakukan sebelum ini pada 28 Feb lalu bahawa 2 exco tersebut akan mengangkat sumpah di majlis yang lain.

Lapan Exco Kedah Angkat Sumpah, 2 Exco Lagi Di Majlis Kedua


Menyayat Hati: Maut Digilis Tiga Kenderaan

Posted: 03 Mar 2012 11:01 PM PST

Isteri maut, suami parah

TANAH MERAH – Seorang wanita maut di tempat kejadian manakala suaminya cedera parah apabila mereka dilanggar ketika melintas jalan di hadapan masjid dekat Kampung Panglima Bayu di Kilometer 71 Jalan Kota Bharu-Machang-Jeli, jam 7 pagi semalam.

Mangsa yang maut, Kamariah Othman,61, dan Yahya Ahmad,65, baru sahaja selesai solat Subuh dekat masjid tersebut selepas bas persiaran yang dinaiki mereka bersama 35 ahli rombongan dari surau Taman Ixora, Terengganu berhenti di tempat tersebut dalam perjalanan ke Rantau Panjang.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Abd Aziz Mahmud berkata, ketika kejadian, kedua-dua mangsa dilanggar oleh kereta dari arah Jeli menuju ke Tanah Merah menyebabkannya tercampak ke tengah jalan.

"Yahya mengalami cedera parah, tetapi isterinya dilanggar lagi oleh dua kenderaan lain yang melalui jalan tersebut yang agak gelap dalam keadaan hujan renyai-renyai. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tanah Merah untuk siasatan lanjut dan suaminya turut dihantar ke sana untuk menerima rawatan,"
katanya.

Abdul Aziz berkata, kes tersebut disiasat di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 di mana polis masih lagi mengesan dua kenderaan yang dipercayai melanggar mangsa.

Ekoran daripada kejadian tersebut, rombongan yang mahu ke Rantau Panjang itu berpatah balik dan membatalkan perjalanan tersebut.

Ahli rombongan yang juga rakan mangsa, Sharifah Mohd, 68, berkata, tiada perubahan ketara dapat dilihat pada kelakuan ketika dalam perjalanan hanya dia kelihatan ceria dan sering bergurau.

Menurutnya, dia dan ahli rombongan lain tidak menyangka kejadian tersebut menimpa Kamariah dan menganggapnya sebagai ketentuan Ilahi.

"Selepas solat Subuh semua ahli rombongan lain sudah melintas ke seberang jalan untuk kedai makan, tetapi hanya mangsa dan suami naik semula ke dalam bas kerana ingatkan pemandu bas ingin berhenti di tempat rehat lain," katanya. -SH

Lihat isteri digilis

TANAH MERAH: Menyayat hati bagi seorang suami menyaksikan sendiri isterinya digilis kenderaan tiga kali ketika cuba melintas jalan untuk bersarapan bersama ahli rombongan persatuan surau dekat Masjid Kampung Panglima Bayu, di sini, pagi semalam.

Kejadian di Kilometer 71 Jalan Kota Bharu-Machang-Jeli pada jam 7 pagi itu menyebabkan pesara jururawat, Kamariah Osman, 63, terbunuh dalam keadaan ngeri apabila badannya hancur dengan kedua-dua kaki terputus akibat digilis kenderaan yang datang dari kedua-dua arah.

Suaminya, Yahya Ahmad, 66, yang turut rebah selepas kali pertama dirempuh sempat bangun dan menyelamatkan diri ke bahu jalan dalam keadaan cedera parah sebelum dikejarkan ke Hospital Tanah Merah (HTM).

Dalam kejadian itu, mangsa dikatakan dirempuh dua kali oleh kereta dari arah Tanah Merah ke Jeli dan kali ketiga oleh sebuah lagi kenderaan dari arah bertentangan ketika berhenti di garisan kembar di tengah jalan bersama suaminya.

Menurut ahli jawatankuasa persatuan surau itu, Agil Mohamad, 74, rombongan seramai 36 orang itu ingin bersarapan di kedai makan seberang jalan sebelum meneruskan perjalanan untuk beli-belah di Rantau Panjang.

Katanya, sebelum itu mereka sempat menunaikan solat Subuh bersama di masjid berhampiran.

"Saya cuma hairan apabila dia sekali lagi mengambil wuduk walaupun selesai solat Subuh. Ia menyebabkan mereka berdua tertinggal di belakang ketika kami ingin melintas ke kedai makan di seberang jalan," katanya.

Katanya, rombongan persatuan surau dari Kemaman, Terengganu itu bertolak jam 12.30 tengah malam semalam dan tiba di masjid pada jam 5.30 pagi.

"Sebaik selesai solat Subuh, kami ingin bersarapan di kedai makan seberang jalan. Kamariah dan suaminya menyangka kami akan meneruskan perjalanan, menyebabkan mereka berdua menaiki bas semula.

"Menyedari ahli rombongan tiada dalam bas, mereka kemudian turun untuk melintas jalan. Kami yang berada di kedai makan tidak sedar kejadian itu sehingga terdengar jeritan orang ramai," katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Supritendan Abd Aziz Mahmud ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

Bagaimanapun, katanya, ketiga-tiga pemandu kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu tidak dapat dikesan apabila melarikan diri sejurus kejadian.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.


[Video] Sekitar "Majlis Mahabbah" PAS Pusat & PAS Kedah

Posted: 03 Mar 2012 09:27 PM PST

Alor Setar, 4 MAC: Pas akan mengumumkan keputusan sebulat suaranya bersabit krisis kepimpinan di Kedah pada tengah hari ini, kata Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub.

Menurut beliau mesyuarat berjaya mencapai satu penyelesaian sebulat suara selepas mesyuarat hampir enam jam yang bermula malam tadi bagi mengatasi kemelut berkenaan.

"Keputusannya, Pas akan umumkan esok tengah hari dan esok saya akan maklumkan pada media tempat dan waktunya," katanya.

Pertemuan khas pimpinan tertinggi Pas Pusat dan Kedah dimulakan dengan mendengar hujah pihak yang bertelagah - Menteri Besar Datuk Seri Azizan Razak dan Timbalan Pesuruhjaya Pas Negeri Datuk Phahrolrazi Zawawi.

Sebelum mesyuarat itu bermula, Phahrolrazi memberitahu pemberita beliau yakin akan "menang" dalam pertemuan khas itu yang diadakan di kediaman rasmi Menteri Besar di sini.

Beliau adalah seorang daripada dua Exco yang menolak tawaran dilantik semula sebagai Exco, sekali gus mendedahkan krisis kepimpinan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak. Kemelut itu membawa kepada campur tangan kepimpinan Pas Pusat.

Pada pertemuan mahabbah itu, Salahuddin berkata mesyuarat akan diteruskan hingga ke awal pagi nanti dan keputusan akan diumumkan dalam tempoh 24 jam daripada sekarang.

"Pertemuan tadi diadakan untuk dua jam untuk kami mendengar segala penjelasan yang dibuat oleh kedua-dua pihak. Kami cukup puas hati dengan penjelasan-penjelasan yang telah dibuat demi untuk mencapai jalan penyelesaian dalam tempoh yang terdekat," kata beliau.

Antara yang hadir pada perjumpaan mahabbah ialah Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden, Mohamad Sabu, Naib Presiden, Mahfuz Omar dan Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali. -AntaraPos

Laporan sebelum ini
klik untuk baca




Budak Mati Dihempap Pagar Rumah Datuk

Posted: 03 Mar 2012 07:11 PM PST

Besut - Pintu pagar besi yang menjadi kebanggaan warga emas, Mat Saman Pak Adek di hadapan rumahnya di Kampung Lay Out, Tok Saboh, Kuala Besut meninggalkan sejarah hitam hanya selepas dua bulan dipasang apabila ia tumbang dan menghempap cucunya sehingga mati pagi kelmarin.

MAJUKI membawa jenazah Mohd. Aqif Najwan (gambar kecil) keluar dari Hospital Besut untuk dikebumikan kelmarin.

Mat Saman, 66, berasa bangga kerana pintu pagar yang setiap satunya sepanjang 2.5 meter dan seberat kira-kira 40 kilogram itu dibina dan dipasang sendiri oleh menantunya, Majuki Awang Kecik, 45, seorang pengawal keselamatan sekolah yang mahir bertukang.

Namun kelmarin, perasaan itu bertukar hiba apabila ia meragut nyawa cucunya yang juga anak bongsu Majuki, Mohd. Aqif Najwan, tiga tahun.

Kejadian pada pukul 10 pagi itu dipercayai berlaku sewaktu Mohd. Aqif bermain dengan pintu pagar gelongsor, manakala abangnya Nizarudin Ikmal, 11, dan kakak, Nurul Aina, 10, bermain badminton di pintu pagar bersebelahan.

Difahamkan, Mohd. Aqif terlalu leka bermain dengan menyorong dan menarik pintu pagar besi itu tanpa menyedari ia tergelincir daripada rel gelongsornya dan terus menghempap mangsa.

Akibat kejadian itu, Mohd. Aqif jatuh terhantuk ke atas simen sebelum dihempap pagar berkenaan sehingga menyebabkan kepala dan muka sebelah kiri kanak-kanak malang itu cedera parah.

Mat Saman juga berasa terkilan kerana terlalu mengikut kehendak cucunya itu yang merengek-rengek mahu pulang bersamanya ke rumah.

"Pada pagi sebelum kejadian, cucu saya itu ikut emak dia bekerja di kilang keropok tidak jauh dari rumah saya.

"Dia nak ikut saya balik, jadi saya bawa dia pulang dan bila sampai, saya terus masuk ke dalam dan dia bermain di halaman rumah," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam. -kosmo

Budak maut dihempap pagar datuk

JERTIH: Seorang budak lelaki berusia tiga tahun maut dihempap pintu pagar besi ketika bermain di rumah datuknya di Kampung Tok Saboh, Kuala Besut, pagi kelmarin.

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, Muhammad Aqif Najwan Majuki, bermain bersendirian dengan berpaut sambil menolak dan menyorong pintu pagar besi itu.
Muhammad Aqif Najwan dari Kampung Pengkalan Nyireh, ditinggalkan ibu bapa untuk dijaga datuknya Mat Seman Pak Adek, 67, seorang pesara, ketika mereka bekerja.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria, berkata Mat Seman berada tidak jauh dari pintu pagar berkenaan ketika kejadian.

"Sebaik melihat pintu pagar itu terbalik dan menimpa cucunya, Mat Seman, berkejar mendapatkan cucunya yang berlumuran darah dan menghantarnya ke Hospital Besut (HB), di sini," katanya.

Bagaimanapun, Muhammad Aqif Najwan disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital akibat kecederaan parah di kepala dan pipi kirinya. -BH


'Misi Damai' Kedah - Letakkan Kepentingan Parti Asas Utama [updated]

Posted: 03 Mar 2012 05:19 PM PST


ALOR SETAR - Pertemuan khas misi damai yang diadakan kediaman rasmi Menteri Besar Kedah di sini, berlangsung lebih lima jam sehingga 3 pagi tadi, telah mencapai satu penyelesaian yang diputuskan "secara sebulat suara", kata Naib Presidennya, Salahuddin Ayub awal pagi ini.

Menurut beliau, keputusan itu yang diterima semua pihak akan diumumkan dalam waktu terdekat, kemungkinan tengah hari ini, pada sidang media khas.

Bagi Pas, salah satu anggota komponen Pakatan Rakyat, yang menerajui kerajaan negeri sejak Mac 2008, kontroversi terbaru ini adalah ujian paling besar menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), yang disebut-sebut akan diadakan bila-bila masa dari sekarang.

"Sudah ada keputusan, keputusan ini keputusan sebulat suara... ia akan diumumkan dalam waktu terdekat. Itu sahaja yang boleh saya cakap buat masa sekarang," kata beliau kepada Sinar Harian Online ketika dihubungi sekitar jam 4 pagi tadi.

Wartawan yang menunggu sejak 8 malam tadi dimaklumkan bahawa satu sidang media akan diadakan hari ini. Lokasinya akan diberitahu kemudian.

Pertemuan lebih lima jam itu dibahagikan kepada dua iaitu pertemuan Salahuddin dengan pemimpin-pemimpin yang menjadi fokus kontroversi, dan keduanya mesyuarat khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat dan Badan Perhubungan Negeri.

Jawatankuasa Kerja Pas Pusat telah mengadakan satu mesyuarat khas bagi membincangkan kemelut kepimpinan Kedah ini, di ibu negara Khamis lalu.

Difahamkan pertemuan sesi pertama dipengerusikan oleh Salahuddin selama dua jam manakala mesyuarat khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat pula diketuai sendiri oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, bermula 12 tengah malam dan berakhir sekitar 3 pagi tadi.

Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi yang menjadi fokus kontroversi ini, apabila menolak tawaran untuk dilantik semula sebagai Exco pula berkata, biar Pas Pusat memberikan kenyataan terlebih dahulu.

Difahamkan kedua-dua Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan Phahrolrazi, masing-masing diberi masa sejam untuk mengemukakan hujah dalam pertemuan dengan Salahuddin.

Seorang lagi Exco Kerajaan Negeri yang menolak tawaran pelantikan semula, Dr Ismail Salleh tidak dipanggil untuk memberi hujah.

Kedua-dua pertemuan ini, sebahagian daripada usaha Pas Pusat untuk menyelesaikan kemelut kepimpinan negeri, diadakan di kediaman rasmi Menteri Besar, Seri Mentaloon di sini.

Phahrolrazi dan Dr Ismail masing-masing merupakan Timbalan Pesuruhjaya Pas Negeri I dan II. Azizan adalah Pesuruhjaya Pas Negeri.

Dalam laporan awal Sinar Harian Online, disebutkan bahawa pertemuan bersejarah ini, menurut pemerhati dan penganalisis, tidak mungkin akan membawa kepada penyelesaian muktamad. Banyak pihak meragui sama ada pertemuan misi damai akan membawa formula penyelesaian.

Dalam pada itu, antara pemimpin Pas Pusat yang dilihat hadir awal pada pertemuan kali ini di Seri Mentaloon ialah Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu dan Salahuddin serta seorang lagi Naib Presiden, Datuk Mahfuz Omar.

Mahfuz merupakan pemimpin dari Kedah dan Ahli Parlimen Pokok Sena.

Pun begitu, Sinar Harian Online difahamkan hampir sebahagian besar ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat dan Badan Perhububungan Negeri Kedah menghadiri pertemuan kali ini.

Pertemuan misi damai ini hanya bermula sekitar jam 10 malam tadi, lewat sejam berbanding maklumat yang diperoleh sebelum ini.

Keperluan mengadakan pertemuan ini diputuskan pada mesyuarat khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang diadakan di ibu negara Khamis lalu susulan kunjungan misi khas oleh Salahuddin ke Kedah awal minggu lalu.

Pihak media tidak dibenarkan masuk ke premis kediaman rasmi Menteri Besar untuk membuat liputan, sebaliknya hanya dibenarkan berkumpul di depan pintu masuk utama Seri Mentaloon.

Wartawan Sinar Harian yang berada di lokasi pertemuan sejak 8 malam tadi juga melaporkan bahawa setiap kenderaan yang masuk ke premis kediaman rasmi Menteri Besar diperiksa rapi dengan hanya mereka yang berkaitan sahaja dibenarkan masuk.

Sinar Harian Online juga difahamkan dua pemeriksaan perlu dilalui setiap kenderaan yang masuk ke pekarangan kediaman rasmi Menteri Besar.
Mereka sekali lagi diperiksa sebelum masuk ke dalam dewan mesyuarat.

Malah ada sumber memberitahu bahawa kesemua pemimpin tidak dibenarkan membawa masuk alat perakam termasuk telefon bimbit ke dalam bilik mesyuarat bagi mengelak perbincangan disebarkan kepada umum. -SH

Isu Kedah selesai, diumum dalam masa terdekat

KUALA LUMPUR, 4 Mac: Pertemuan khas antara Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dengan Badan Perhubungan PAS Kedah malam tadi telah mencapai keputusan yang dijangka akan menyelesaikan kemelut kepimpinan yang berlaku di negeri itu.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub ketika dihubungi pagi ini berkata, keputusan yang dicapai malam tadi mengambil kira pelbagai pandangan yang dibincang.

"PAS sudah ada keputusan. Ia sangat mengambil kira pelbagai pandangan yang kita bincang.

"Kita akan umum keputusan tersebut secara rasami dalam masa terdekat," katanya kepada Harakahdaily.

Malam tadi, pertemuan khas bagi mencari penyelesaian isu Kedah itu berlangsung lebih lima jam bermula sekitar jam 9.30 malam sehingga jam 3 pagi tadi di kediaman rasmi Menteri Besar di Seri Mentaloon, Alor Setar.

Ianya berhubung isu Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi dan Dr Ismail Salleh yang enggan dilantik semula sebagai Exco Kerajaan Negeri Kedah yang dilihat tidak selari dengan Menteri Besar, Datuk Seri Ust Azizan Abdul Razak.

Phahrolrazi dan Dr Ismail masing-masing merupakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri I dan II manakala Azizan adalah Pesuruhjaya PAS Negeri.

Difahamkan pertemuan malam tadi itu dibahagikan kepada dua sesi iaitu pertama pertemuan empat mata antara Salahudin dengan Phahrolrazi, kemudian dengan Ustaz Azizan.

Ia kemudiannya disusuli dengan pertemuan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dengan Badan Perhubungan PAS Negeri yang dipengerusikan presiden parti sendiri.

Menurut Salahudin lagi, keputusan sebulat suara malam tadi itu juga dibuat dengan meletakkan kepentingan parti sebagai asas utama.

Malah katanya, keputusan itu juga telah dimaklumkan kepada Phahrolrazi.

"Keputusan itu telah kita sampaikan kepada Yb Phahrolrazi,"
ujarnya. -HD


Ulasan GB

Ia bertepatan sangat dengan ulasan GB dari awal lagi:

Di dalam qaedah usul-fiqh pun sepatutnya masing-masing mengetahui bahawa kita sepatutnya mengutamakan kemaslahatan jamaah ke atas kemaslahatan seseorang individu atau peribadi.


Semuga keputusan muktamad dari Missi Damai memperkukuhkan parti menghadapi pilihanraya umum selepas ini.

Tahniah dan syabas kepada Naib Presiden PAS, YB Salehuddin Ayub di atas usaha cemerlangnya mengusahakan Missi Damai ini.

Najib Minta Maaf Tetapi Terus Caci Parti Lawan

Posted: 03 Mar 2012 06:57 AM PST

Najib Minta Maaf Atas Kesilapan Lalu BN

BALING: Barisan Nasional (BN) akan memperbetulkan kesilapan lalu sehingga kalah banyak kerusi dan beberapa negeri termasuk Kedah dalam pilihan raya umum 2008, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Untuk itu, Perdana Menteri berkata beliau memohon maaf bagi pihak BN atas kesilapan itu tetapi berjanji akan membetulkannya dengan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Katanya jika pengundi menolak BN seperti di Kedah, sedikit sebanyak adalah kerana BN telah membuat kesilapan.

"Pada saya kita jangan angkuh dan bongkak. Sebab kita mesti tunduk kepada kuasa rakyat dalam demokrasi berparlimen. Kalau rakyat tolak BN dulu mesti ada kesilapan kita.

"Kita minta maaf atas kesilapan kita dulu. Yang menang minta maaf yang kalah pun minta maaf," katanya pada Perjumpaan Bersama Rakyat di Padang Awam, Kuala Ketil, dekat sini, Sabtu.

Perdana Menteri berkata BN akan belajar dan bangkit semula daripada kesilapan itu.

"Daripada runtuhan BN di Kedah kita akan bangkit dan bina mahligai yang kukuh dan kuat. Itu azam kita. kita berazam bahawa kita sudah mempelajari daripada kesilapan kita. Kita beri perakuan, akujanji kepada rakyat bahawa akan datang kita akan laksanakan perkhidmatan yang cukup baik kepada rakyat.

"Yang dulu jadi sempadan jangan dibangkit-bangkit lagi...kita janjikan perubahan untuk rakyat Malaysia dan Kedah. Perjalanan sudah bermula," katanya.

Beliau berkata hanya BN sahaja yang dapat memberikan masa depan yang lebih baik kepada rakyat.

"Kita ada perancangan yang jelas, kita ada agenda yang tersusun rapi, kita ada peta jalan, kita ada fakta dan ada angka.

Perangkaan yang cukup lengkap untuk memacu perubahan, membawa negara ke arah wawasan menobatkan negara sebagai negara maju berpendapatan tinggi. Ini bukan macam Buku Jingga," katanya.

Najib berkata kerajaan mahu memberi isyarat dan gambaran jelas bahawa kerajaan sudah hampir untuk melakukan transfomasi perubahan yang memberi banyak manfaat kepada rakyat.

Antara yang hadir sama pada majlis itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah.- BERNAMA

'Parti Asyik Serabut' Sering Menyusahkan Rakyat - Najib

BALING: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata PAS kini menjadi 'Parti Asyik Serabut' yang sering menyusahkan rakyat kerana pemimpinnya kerap mengeluarkan kenyataan yang bercanggah.

Katanya beliau sendiri tidak faham dengan hala tuju perjuangan parti berkenaan dan sering menyerabutkan pemikiran rakyat.

"Mula-mula dia kata negara Islam, kemudian negara berkebajikan dan kata bukan Melayu boleh jadi Timbalan Presiden, tapi Musyidul Am kata tidak boleh. Banyak menyusahkan rakyat, banyak bagi serabut," katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Bersama Rakyat di Padang Awam Kuala Ketil, dekat, sini Sabtu.

Katanya dalam isu PAS di Kedah di mana dua Exco tidak mahu dilantik semula, kemelut yang tidak selesai telah menyusahkan rakyat Kedah.

Beliau berkata Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula banyak menimbulkan masalah serta membuat kenyataan tidak tentu arah dan menyifatkannya sebagai "Parti Kalut dan Ribut".

"Masalah video tak selesai, masalah Jabatan Agama Islam Pahang pun tak selesai... DAP pula 'Depa Ambil Peluang', dia cari peluang saja, kalau nak masa depan terjamin lebih senang sokong Barisan Nasional (BN)," katanya.

"Kita (BN) tak pernah lari daripada prinsip perjuangan kita... BN parti yang boleh diharapkan," katanya.

"Bagaimanapun saya lihat kini sudah ada perubahan termasuk di Kedah...angin kencang menjurus kepada perubahan. InsyaAllah kita akan buat perubahan besar kepada negeri Kedah," katanya. - BERNAMA


Ulasan GB

Apa jenis manusia bernama Najib ini?

Minta maaf kepada rakyat di atas kesilapan BN yang lampaum tapi mencaci PAS sebagai Parti Asyik Serabut, PKR sebagai Parti Kalut & Ribut dan DAP sebagai Depa Ambil peluang, sedangkan rakyatlah yang memilih Pakatan Rakyat mengganti BN di kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan Selangor.

Ia melambangkan hipokrisi Najib sendiri, menunjukkan ketidak-ikhlasan beliau sendiri meminta maaf kepada rakyat kerana mencaci dan menghina parti-parti yang rakyat sendiri telah pilih untuk gantikan BN di pilihanraya yang lalu.

Dahulu anda tuduh pihak parti lawan anda suka mencaci. Sekarang terbukti siapa sebenarnya yang kuat mencaci.

Apa yang dilakukan oleh Najib tak pernah dilakukan ayahnya Tun Abdul Razak. betapa dasyat dan rendahnya moral Najib yang terdesak.

Teruskan caci - kerana apa yang anda beri akan kembali kepada diri anda sendiri, itu Hukum Kebenaran dan Keadilan.

p/s pasal kes lembu, pasal belanja melampau Rosmah, pasal hubungan dagang dengan Israel, pasal Perak, Pasal peretmuan dengan Saiful dan lain-lain bila mau minta maaf?

Laporan SPRM Terhadap Datuk Hafarizam Dan Tun Zaki

Posted: 03 Mar 2012 05:25 AM PST

Rampasan kuasa yang berlaku di Negeri Perak dilakukan dengan penglibatan pelbagai agensi kerajaan yang telah diperkudakan untuk kepentingan politik Barisan Nasional. Sistem Demokrasi tidak dihormati dan keluruhan perlembagan negara juga telah dicemari.

Dewan Negeri Perak yang mulia juga telah diceroboh oleh pihak polis dan samseng diatas arahan yang diberikan oleh Barisan Nasional.

Krisis Negeri Perak hanya boleh diselesaikan oleh pihak legislatif yang dipilih oleh rakyat melalui pilihanraya. Tetapi pihak eksekutif telah campurtangan dalam isu dewan perundangan untuk menjatuhkan kerajaan yang diberi mandat oleh rakyat. Tambahan pula pihak eksekutif telah memperalatkan mahkamah untuk kepentingan mereka. Mahkamah merupakan platfom terakhir kepada rakyat Malaysia untuk menuntut keadilan. Setiap warga negara mengharapkan keadilan yang suci daripada pihak mahkamah. Mahkamah tidak boleh dipengaruhi oleh mana-mana pihak. Mahkamah harus memberi pengadilan kepada pihak-pihak yang terlibat mengikut lunas undang-undang dan perlembagan negara.

Apa akan berlaku jika pihak mahkamah itu sendiri tidak boleh memberi pengadilan yang sebenar kerana dipengaruhi oleh faktor-faktor lain?

Terdapat beberapa kes penting di negeri Perak. Antaranya ialah kes Dato Seri Nizar vs Dato Seri Zambry, V.Sivakumar vs Dato R.Ganesan, V.Sivakumar vs Jamaludin, Osman & Hee Yit Foong, V.Sivakumar vs SPR, V.Sivakumar vs Zambry & EXCO. Pakatan Rakyat kalah dalam semua kes-kes di atas walaupun banyak kes-kes sebelum ini dan undang-undang negara lebih mirip dan condong kearah Pakatan Rakyat. Kenapa ini boleh berlaku? Kenapa pihak mahkamah kabur melihat undang-undang dan sanggup memberi keputusan berpihak kepada Barisan Nasional? Jawapan untuk soalan-soalan ini akan diperjelaskan satu per satu.

Peguam untuk Barisan Nasional ialah penasihat undang-undang UMNO iaitu Datuk Hafarizam Harun. Ketua Hakim Negara pada masa itu ialah Tun Zaki Azmi. Kontroversi terbaru timbul ekoran pemberian konsesi bernilai RM2.2 billion Lebuhraya Kinrara- Damansara (Kidex) kepada kedua-dua tokoh ini. Konsesi ini diberikan kepada dua orang tokoh yang terlibat secara lansung dalam menggulingkan kerajaan Pakatan Rakyat Perak. Antara perkara-perkara yang perlu dilihat dan diberi perhatian adalah seperti berikut:

1) Datuk Hafarizam adalah merupakan pengarah 2 buah syarikat yang menerima konsesi tersebut iaitu Emrail Sdn Bhd dan Zabima Engineering Sdn Bhd.

2) Nik Sazlina Mohd Zain, Isteri kepada Tun Zaki pula merupakan pengarah Syarikat Emrail.

3) Peguam UMNO dan Isteri Ketua Hakim Negara merupakan pengarah-pengarah dalam syarikat yang sama diberi konsesi oleh kerajaan yang bernilai RM2.2 billion. Terdapat konflik kepentingan yang jelas dalam perkara ini.

4) Emrail tidak mempunyai rekod dalam pembinaan lebuhraya. Syarikat ini hanya berhasrat menjadi syarikat kejuruteraan Rel Utama di negara dan rantau ini.

5) Apakah sebab tender ini diberikan kepada kedua-dua syarikat ini? Apakah kriteria-kriteria yang telah diguna pakai dalam isu pemberian konsesi ini ? Adakah syarikat-syarikat lain juga dipertimbangkan? Adakah tender terbuka dibuat? Apakah terma-terma konsesi? Apakah kadar tol dan perkongsian keuntungan?

6) Hafarizam sendiri mengaku bahawa syarikat-syarikatnya diserang memandangkan mereka adalah antara sebilangan kecil syarikat Bumiputera yang dianugerahkan projek ini.

7) Raja Petra dalam blognya mendakwa bahawa kerajaan Malaysia mengamalkan kroni dalam menganugerahkan konsesi projek lebuhraya ini.

Laporan dibuat di SPRM Ipoh untuk menyiasat perkara-perkara kontroversial yang ada kena mengena dengan kemelut negeri Perak. Pada dasarnya, pemberian konsesi ini adalah dilihat sebagai habuan untuk penglibatan kedua-dua tokoh ini dalam ramapasan kuasa negeri Perak. -speakforperak

Laporan sebelum ini
klik untuk baca





Ku Li Gesa BN Selesaikan Royalti Sebelum PRU

Posted: 03 Mar 2012 04:04 AM PST

Shah Alam - Barisan Nasional (BN) perlu menyelesaikan isu royalti petroleum yang dituntut oleh kerajaan negeri pimpinan Pas sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), yang disebut-sebut akan diadakan dalam beberapa bulan ini, kata Tengku Razaleigh Hamzah.

Pemimpin politik veteran kelahiran Kelantan ini berkata, perkara itu, yang kini didengar oleh mahkamah, adalah isu utama yang perlu diselesaikan jika BN mahu meningkatkan peluang mentadbir semula Kelantan.

Kerajaan Negeri Kelantan ditadbir oleh Pas sejak 1990. Kerajaan Negeri memfailkan kes tuntutan royalti minyak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur 30 Ogos 2010, sehari sebelum negara menyambut ulang tahun sambutan Hari Kemerdekaan.

"Saya nak ingatkan kita tak boleh nak kata ini tuntutan Pas, bukan tuntutan Pas kebetulan saja Pas mendapat mandat dan menubuhkan kerajaan di negeri Kelantan tetapi ramai juga orang yang menyokong Umno di sana," kata beliau dalam temu bual dengan Astro Awani, yang dirakamkan kira-kira seminggu lalu dan disiarkan hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengadakan lawatan kerja satu hari ke Kelantan semalam, dan antara lain meminta rakyatnya memberi mandat kepada kerajaan BN untuk memerintah negeri ini pada PRU13 bagi membolehkan perikatan itu menyelesaikan masalah dihadapi rakyat selama di bawah pemerintahan Pas.

Perdana Menteri berkata, kerajaan BN mampu menyelesaikan masalah rakyat termasuk masalah bekalan air, ladang rakyat, kemudahan asas dan perumahan rakyat.

Najib berkata, kerajaan BN akan mengubah landskap Kelantan dengan pelbagai pembangunan yang menjadikan Kelantan membangun dan maju.

Kerajaan negeri Kelantan memulakan tindakan perundangan dengan memfailkan saman terhadap Petronas mendakwa syarikat petroleum nasional itu tidak membayar royalti dianggarkan RM800 setahun sejak 2005 terhadap hasil minyak diperoleh dari luar pesisir pantai Kelantan.

Menurut kerajaan negeri Kelantan, tindakan Petronas itu bukan sahaja melanggar undang-undang sedia ada, tetapi juga mendakwa bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Tengku Razaleigh berkata, BN perlu menyelesaikan isu tuntutan royalti minyak memandangkan ia sudah sebati dengan rakyat negeri pantai timur itu.

"Itu satu hal kerana begitu..begitu terlekat di hati orang Kelantan.

"Jadi kalau kita tak layan macam mana kita nak cari dia nak sokong kita, jadi ini satu faktor yang besar, kita tak boleh nak ketepikan kepentingan dia dan tiba-tiba kita nak dia sokong kita,"
kata bekas Menteri Kewangan ini dan juga Pengerusi Petronas semasa perjanjian royalti petroleum ditandatangani dengan Kerajaan Negeri Kelantan pada 1975.

Dalam pada itu, Tengku Razaleigh berpendapat pemimpin Umno perlu mendekati rakyat Kelantan sepanjang masa kalau mahu diterima.

"Jadi kalaulah dekat pilihan raya baru kita nak tunjuk muka saya rasa kita tak laku, apatah lagi ada orang yang berceramah malam siang, selalu dengan mereka, kita hanya datang bermusim susah kita nak mengatasi pengaruh yang ditanam mereka mendekati rakyat umpamanya," katanya yang merupakan Ahli Parlimen Gua Musang sejak 1969.

Malah menurut beliau, politik bermusim hanya menyebabkan hubungan rakyat dan pemimpin renggang.

Tiada ulasan: