Sabtu, 3 Mac 2012

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


"Hana" Patuk Lengan Kakitangan Zoo Mini Teruntum Hingga Koma

Posted: 03 Mar 2012 12:01 AM PST

Hana' benam taring berbisa

KUANTAN: "Sebelum ini, 'Hana' pernah cuba mematuk abang saya, tetapi dia berjaya mengelak. Mungkin sudah ditakdirkan, 'Hana' akhirnya membenamkan taringnya di lengan kiri abang hingga menyebabkannya koma di hospital," kata Abdullah Alim Kamarudin, 22, adik kepada Mohd Sabron Jamil Kamarudin, 24, yang parah dipatuk reptilia berbisa itu di Zoo Mini Teruntum, petang kelmarin. Gambar fail.

Ular tedung selar betina sepanjang kira-kira empat meter itu ditangkap di Sungai Karang Darat, di sini, kira-kira sebulan lalu dan ditempatkan di zoo mini berkenaan.

Bagaimanapun, pada jam 5.30 petang kelmarin, reptilia itu mematuk lengan kiri Mohd Sabron Jamil yang juga penjaga serta kakitangan mini zoo berkenaan.

Akibat patukan 'Hana', Mohd Sabron Jamil yang terkenal dengan keberaniannya menangkap reptilia berbisa di sekitar daerah ini, terpaksa bertarung dengan maut selama hampir empat jam apabila Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dikatakan tidak mempunyai stok antivenom untuk menawarkan bisa ular jenis itu.

Mohd Sabron dari Sungai Karang Darat, terpaksa menanggung derita selama beberapa jam sementara menunggu dos penawar bisa ular berkenaan dibawa dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebelum disuntik ke dalam badannya kira-kira jam 9 malam kelmarin.

Difahamkan, anak ketiga daripada enam beradik yang bertugas dengan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) itu dipatuk ular tedung selar ketika menjalankan rutin hariannya membersihkan sangkar haiwan bisa berkenaan.

Abdullah Alim berkata, Mohd Sabron sendiri yang menghubungi bapa mereka, Kamarudin Abdullah, 56, memaklumkan kejadian yang menimpanya dan ketika itu kecederaan yang dialaminya serius.

"Dengan nada menggigil abang berkata 'ayah...saya kena patuk ular'. Ketika kejadian ada seorang lagi rakan sekerja abang berada di situ yang cuba menyedut bisa ular berkenaan dari lengan kirinya sebelum sepupu saya tiba dan dia turut melakukan tindakan sama.

"Mereka kemudian membawa Mohd Sabron ke HTAA," katanya.

Abdullah berkata, sebaik tiba di HTAA, abangnya terus dibawa ke bahagian kecemasan sebelum dipindahkan ke unit rawatan rapi (ICU) untuk mendapatkan rawatan lanjut, namun masalah mula timbul apabila hospital berkenaan tidak mempunyai antivenom untuk menawar bisa ular tedung selar.

"Pada mulanya doktor yang merawat abang memaklumkan dia sedang menunggu anti-venom itu diambil kakitangannya dari stor namun apabila sampai, ia bukanlah anti-venom untuk ular tedung selar sebaliknya ular tedung senduk," katanya.

Katanya, mendengarkan jawapan itu, mereka sekeluarga panik memikirkan keadaan Mohd Sabron yang ketika itu sudah beberapa kali muntah serta pertuturannya juga menjadi tidak berapa jelas.

"Keadaan menjadi lebih kelam-kabut apabila doktor memaklumkan mereka perlu mendapatkan antivenom ular berkenaan dari Kuala Lumpur," katanya.

Katanya, penawar berkenaan disuntik ke dalam badan Mohd Sabron selepas kakitangan hospital yang membawa antivenom berkenaan dari Kuala Lumpur tiba di HTAA kira-kira jam 9 malam kelmarin.

Menurutnya, keadaan abangnya kini dilaporkan stabil selepas menjalani pembedahan pagi semalam.

Bapa mangsa, Kamarudin berkata, dia kesal dengan kejadian menimpa anaknya kerana HTAA tidak mempunyai antivenom untuk merawat bisa patukan ular tedung selar. -HM

PPIM Dakwa Wujud Amalan Riba Di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Posted: 02 Mar 2012 11:32 PM PST

PPIM dakwa wujud amalan riba di UIAM

SHAH ALAM - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendakwa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengamalkan riba dan menindas peniaga universiti itu apabila mengenakan kadar caj tambahan sebanyak dua peratus sebulan bagi tunggakan sewa premis mereka.

Pengerusi Majlis Penasihatnya, Tunku Azwil Tunku Abdul Razak berkata, tindakan universiti itu dilihat bukan sahaja bermotifkan keuntungan semata-mata, malah dianggap tidak membantu meningkatkan pendapatan peniaga Melayu dan memberi bebanan kepada mereka.

Menurutnya, UIAM yang terkenal sebagai sebuah institusi pengajian berkonsepkan Islamik seharusnya mencerminkan prinsip perniagaan yang dituntut agama.

"PPIM menerima aduan bahawa kontrak perjanjian perniagaan dikeluarkan pengurusan universiti berkenaan sejak mula lagi didakwa berat sebelah dan tidak adil kepada peniaga dalam aspek tertentu termasuk mengenai kadar caj tambahan sewa.

"Di dalam kontrak perjanjian menggariskan, hanya peniaga dikenakan caj tambahan sewa ini yang kononnya digelar 'caj pentadbiran' yang mana membebankan peniaga,"
katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Katanya, lebih mengejutkan apabila ia tidak termaktub dalam perjanjian terbabit bahawa peniaga juga boleh mengenakan caj sama sekiranya universiti itu berhutang atau lambat menjelaskan bayaran tempahan makanan.

"Kami menerima aduan daripada seorang peniaga di mana, UIAM menerusi penuntutnya ada menempah perkhidmatan makanan di dalam anggaran RM27,000 beberapa bulan lalu namun sehingga kini masih gagal menjelaskan baki hutang sebanyak RM16,600, Tiada caj tambahan dikenakan di atas kelewatan pembayaran berkenaan.

"Lebih mengecewakan kandungan kontrak ini turut diketahui, dipersetujui serta diluluskan seorang pegawai atasan universiti dan tindakannya dilihat tidak prihatin dalam membantu menggalakkan usaha peniaga Melayu," katanya.

Menurut kontrak, jika peniaga gagal membayar sewa dalam tempoh tertentu, pihak universiti akan bertindak menyita barangan perniagaan.

Katanya, perkara tui tidak terkandung dalam kontrak perjanjian.

"Buat masa ini, PPIM sedang membuat siasatan terperinci mengenai perkara ini dan sudah beberapa kali cuba mengadakan perbincangan mengenai isu itu bersama pihak pengurusan universiti yang bertanggungjawab dalam penyediaan kontrak dan pegawai atasan berkenaan bagaimanapun mereka enggan bekerjasama.

"Di dalam Islam, prinsip utama sesuatu perniagaan adalah tiada unsur tekanan, tiada keuntungan melampau, tiada keuntungan melalui manipulasi, tiada kezaliman dan perlu membantu mereka yang susah, tertindas atau berhutang," katanya.

"Kami minta pihak universiti segera memberikan kerjasama bagi menyelesaikan konflik berkenaan dan menggesa pihak berkuasa berkaitan supaya memandang serius perkara ini dengan mengambil tindakan sewajarnya demi kesucian agama serta membela nasib peniaga Melayu," katanya. -SH

Bawa Lynas Keluar Negara Atau Himpunan Hijau 3.0

Posted: 02 Mar 2012 09:02 PM PST

Kuala Lumpur, 3 Mac: PAS dan pelbagai NGO menuntut supaya bahan sisa dari kilang Lynas di Gebeng di bawa keluar dari negara ini.

Ini kerana, sisa itu mempunyai bahan radioaktif yang bakal kekal di bumi Malaysia jutaan tahun dan memudharatkan penduduknya di masa depan.

"Jika tuntutan ini tidak diharaukan, kita tidak menolak Himpunan Hijau 3.0 dianjurkan," kata Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PASA, Zulkefli Mohd Omar kepada Harakahdaily.

Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan, sisa dari kilang Lynas di Gebeng akan dibuang di tempat lain yang akan dikenalpasti kemudian.

Ia bertujuan untuk menghilangkan kerisauan penduduk tempatan walaupun pihak kerajaan yakin ia selamat.

Anggota Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong dalam komennya mencadangkan kepada Najib agar mengumumkan saja tempat baru sisa itu adalah dalam kawasan parlimennya iaitu Pekan.

Hujjah Najib kononnya sisa ini tidak bahaya juga ditolak oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berdasarkan apa yang berlaku kepada kilang ARE yang terletak di Bukit Merah, Ipoh sebelum ini.

Kerajaan terpaksa membuang semua tanah seluruh tapak kilang dan kawasan sekitarnya di Bukit Merah dan di simpan dalam tong dan seterusnya di masukkan ke dalam sebuah bukit di Perak.

Persoalannya, sampai berapa lama 80,000 unit tong drum 200L dan kawasan takungan itu akan selamat dan tidak pecah atau rosak akibat perubahan cuaca dan jenis tanah di kawasan itu.

Sedangkan, separuh hayat kepada bahan radioaktif yang dihasilkan dari Thorium itu akan berumur ribuan tahun kalau tidak jutaan tahun pun.

Menurut laporan sebuah akhbar Cina, Menteri Kesihatan telah mencapai kata sepakat dengan Menteri Perindustrian Antarabangsa agar sisa ini dihantar balik ke Australia atau sekurang-kurangnya luar dari Kuantan.

Namun, Australia telah membuat keputusan tidak akan menerima sisa itu balik ke negara mereka.

Dalam kes kilang ARE Bukit Merah yang dimiliki syarikat Jepun, Mitshubishi, tuntutan juga dibuat agar sisa yang memenuhi sebuah bukit itu dibawa balik ke Jepun.

"Membenarkan Lynas membuang sisa kilang ini di Malaysia adalah satu subsidi besar buat syarikat Australia itu," kata Presiden CAP, S M Mohamad Idris.

Jangkaan pendapatan yang mungkin diperolehi dari kilang ini adalah sebanyak RM30 juta untuk lima tahun.

"Namun, kesan kepada ekonomi, sosial, alam sekitar dan kos kesihatan kepada pekerja, masyarakat sekitar, tanah, air, lautan dan jenerasi akan datang dijangka berjumlah sehingga RM150 juta," kata S M Mohamad Idris lagi. -HD

Isu PAS Kedah: Utamakan Jemaah, Jangan Jadi Penderhaka

Posted: 02 Mar 2012 06:47 PM PST

PAS akui kemelut di Kedah bantutkan jentera Pakatan

PAS mengakui kemelut politik di Kedah berikutan beberapa pemimpin termasuk exco yang tidak berpuas hati dengan cara Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak mentadbir negeri itu "sedikit sebanyak kesan" terhadap fokus jentera parti dan Pakatan Rakyat bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Bahkan, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar, pergeseran berkenaan juga mengganggu kerancakan gerak kerja jentera dan 'membantutkan' usaha Pakatan Rakyat memandangkan pilihan raya umum akan berlangsung dalam masa yang terdekat.

"Ia sedikit sebanyak memberi kesan dan merencatkan kerancakan gerak kerja (jentera) pilihan raya (yang) menyebabkan semua peringkat dalam parti semua hilang fokus pilihan raya, kepada membincangkan kemelut yang berlaku.

"Bila gangguan itu berlaku kepada jentera pilihan raya, maka sudah tentu masyarakat juga akan terkesan. Sebab jentera fokus dan sentuhan mereka (untuk) menguasai masyarakat.

"Tapi jentera hari ini sendiri pun berada dalam keadaan tidak dapat memberi tumpuan kepada sasarannya (iaitu) pengundi. Maka sudah tentu semua akan 'jam' (terbantut). Ini merugikan PAS dan Pakatan Rakyat,"
katanya.

Bercakap pada wawancara dengan Malaysiakini, Mahfuz berharap isu tersebut dapat diselesaikan dengan segera supaya fokus jentera gabungan itu dapat dikembalikan bagi menghadapi pilihan raya umum kelak.

Khamis lalu, Jawatankuasa PAS Pusat mengadakan mesyuarat khas dan memutuskan untuk bertemu kepimpinan PAS Kedah termasuk Azizan yang juga pesuruhjaya negeri, timbalannya Datuk Phahrolrazi Zawawi dan ADUN Alor Mengkudu Dr Ismail Salleh bagi menyelesaikan kemelut itu.

Dilaporkan kepimpinan PAS Pusat akan bertemu di Alor Setar malam ini untuk menyelesaikan masalah yang berlarutan itu.

Phahrolrazi dan Dr Ismail dilapor enggan mengangkat sumpah semula sebagai exco kerana mendakwa tidak berpuas hati dengan pentadbiran Azizan. Ekoran itu, hanya lapan exco sahaja yang mengangkat sumpah memegang semula jawatan itu baru-baru ini.

Mengulas kemelut yang berlarutan itu, Mahfuz yang juga yang dipertua PAS Pokok Sena optimis masalah itu dapat diselesaikan walaupun mendakwa "tidak begitu tahu dan tercari-cari" apa punca sebenarnya disebabkan beliau "berada di luar kerajaan negeri".

Katanya, adalah menjadi hasrat Azizan yang juga pesuruhjaya PAS negeri, mahu mengekalkan semua sepuluh exconya tetapi Phahrolrazi dan Dr Salleh enggan menyertainya.

Mahfuz juga menolak tanggapan ketegasan Azizan dalam Akta Universiti dan Kolej Univerisiti (AUKU) atau akta yang mirip dengannya terhadap pelajar Kolej Univerisiti Insaniah (KUIN) menjadi punca permasalahan di negeri itu.

"Kami tidak duduk dalam kerajaan, sebab itu kami mencadangkan (untuk) mengadakan satu pertemuan, untuk mendengar penjelasan kedua-dua pihak. Jadi saya harap pertemuan itu nanti, dapat merungkai permasalahan yang menimbulkan rasa tidak puas hati dan sebagainya," katanya.

Ditanya mengenai dakwaan sesetengah ahli bahawa Azizan seorang pemimpin tua yang degil dan sukar didisplinkan, Mahfuz berkata manusia harus ada sentuhan seni memahami tabiat, keperibadian dan cara bergaul mengenai seseorang pemimpin.

"Jadi jika orang dapat memahami dari segi seni ini, saya percaya tidak timbul perkara-perkara itu. Sebab itu, kadang-kadang manusia tidak boleh diprovok.

"Kalau ada provok, dia akan menunjukkan satu sikap yang kadang-kadang kita tengok macam sukar untuk didisplinkan. Dia mempertahankan sesuatu yang dia buat,
" katanya sambil menjelaskan bahawa kenyataannya itu tidak merujuk kepada Azizan. -mk

Isu Kedah: Presiden PAS minta ahli bertenang

KUALA LUMPUR, 2 Mac: Seluruh ahli PAS diminta bertenang dan menyerahkan kepada kebijaksanaan kepimpinan parti menyelesaikan isu yang melanda Kerajaan Negeri Kedah.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, beliau yakin isu tersebut akan diselesaikan secepat mungkin dengan semangat ukhwah yang tinggi.

"Saya menyeru kepada seluruh ahli dan penyokong PAS supaya bertenang dan menyerahkan kepada kepimpinan untuk menyelesaikan beberapa isu yang melanda negeri Kedah mutakhir ini.

"Insya Allah ia akan selesai sehari dua lagi atas usaha kepimpinan dan semangat ukhuwah seluruh pihak yang mendukung perjuangan ini," katanya dalam kiriman mesej ringkas kepada Harakahdaily lewat petang ini.

Presiden PAS itu kini masih di luar negara dan dijangka pulang ke tanah air esok.

Dalam pada itu, seluruh pimpinan PAS Pusat akan turun ke Kedah esok bagi mengadakan pertemuan mahabbah dengan pimpinan parti di negeri itu berhubung kemelut yang melanda.

Keputusan itu dibuat selepas mesyuarat AJK PAS Pusat malam tadi.

Mesyuarat kira-kira empat jam itu yang dipengerusikan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu diadakan bertujuan menyelesaikan kemelut di Kedah selepas Phahrolrazi enggan dilantik semula sebagai exco kerajaan negeri.

Pada sidang media semalam, Naib Presidennya, Salahudin Ayub berkata, pimpinan tertinggi PAS termasuk Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang akan turun ke Kedah bagi bertemu dengan kedua-dua pihak iaitu Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan Exco, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi.

Difahamkan sebelum ini, Mohamad Sabu, Salahudin Ayub dan Penolong Setiausaha Agung, Dr Syed Azman Ahmad Nawawi telah mengadakan pertemuan hati ke hati dengan Azizan dan Phahrolrazi secara berasingan bagi menyelesaikan masalah mereka.

Hasil pertemuan tersebut dibawa ke mesyuarat malam tadi.

Pada Selasa lalu, lapan daripada 10 Exco Kedah mengangkat sumpah jawatan masing-masing di depan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Datuk Seri Tunku Annuar Sultan Badlishah.

Dua lagi exco iaitu Phahrolrazi dan Datuk Dr Ismail Salleh dikatakan enggan menyambung jawatannya.
-HD


Isu Kedah : Kenyataan Bersama Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat dan Ketua Dewan Ulamak PAS Kedah

1. Dewan Ulamak PAS Kedah dengan ini menyokong penuh dialog antara Menteri Besar Kedah, YAB Datuk Seri Diraja Ustaz Azizan Razak dan Ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri Kedah, Wakil-Wakil Rakyat PAS Kedah dan Ahli Badan Perhubungan PAS Kedah untuk mendapatkan penjelasan bagi apa sahaja isu yang dibangkitkan akhir-akhir ini. Hal ini berlandaskan arahan Allah Taala bermaksud: "Dan segala urusan mereka berlaku dengan perbincangan sesama mereka." (Surah al-Syura ayat 38)

2. Dewan Ulamak PAS Kedah menegaskan sama sekali tidak menyokong sebarang usaha untuk menjatuhkan Kerajaan PAS Negeri Kedah.

3. Dewan Ulamak PAS Kedah sentiasa istiqamah untuk mempertahankan Kerajaan PAS Negeri Kedah bersama-sama dengan ahli dan kepimpinan Parti Islam Se-Malaysia.

4. Dewan Ulamak PAS Kedah menyokong penuh sebarang usaha menggantikan mana-mana pemimpin yang sabit penyelewengannya.

YB Datuk Tuan Guru Harun Taib,
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat

Tuan Guru Syeikh Mohamad Abdullah,
Ketua Dewan Ulamak PAS Kedah.

Jumaat, 2 Mac 2012 bersamaan 8 Rabi'ulAkhir 1433H, 5.30 petang
Madrasah Makarimul Akhlak, Pondok Hj Abdullah Kecil, Langgar, Alor Star, Kedah Darul Aman.


Jangan khianati perjuangan

ALOR SETAR - Sikap beberapa pemimpin dalam Pas Kedah yang bermotifkan kepentingan peribadi dan perbezaan pandangan dengan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak hingga ada kalangan mereka sanggup mengkhianati usaha parti memberi tumpuan dalam memantapkan pentadbiran dan berdepan PRU13 amat dikesali.

Ahli Jawatankuasa Dewan Ulamak Pas Kedah, Abdul Wahab Hassan berkata, pihaknya kesal kerana ahli dan jentera parti peringkat akar umbi berusaha memenangkan parti dan membantu menjaga keutuhan kerajaan, namun pemimpin atasan pula berbalahan sesama sendiri.

"Saya ingin menasihatkan mana-mana pemimpin yang ingin menjawat jawatan tertinggi sekalipun, hendaklah menunggu masa yang sesuai.

Saya ingin merujuk kepada nasihat Presiden Pas, Dauk Seri Abdul Hadi Awang melalui sepucuk surat yang ditujukan kepada beberapa tokoh ulama di negeri ini baru- baru ini, yang menegaskan pertukaran jawatan sekarang tidak kena pada tempat dan masanya," katanya.

Menurutnya, seluruh pemimpin dan pendokong gerakan Islam harus mengelak diri daripada terlibat dalam perbuatan yang boleh digolongkan dalam usaha 'menebuk bahtera'.

"Fokus kita sekarang harus ditumpukan kepada gerak kerja untuk menang dalam PRU13 dan membina masyarakat yang patuh pada perintah ALLAH SWT," katanya.

Abdul Wahab berkata, pihaknya menyeru dan meminta semua pimpinan dan ahli Pas di semua kawasan di Kedah supaya wala' kepada kepimpinan negeri dan Pusat bagi memastikan kemenangan dalam usaha mengukuhkan jentera parti.

Abdul Wahab yang juga Yang Dipertua Pas kawasan Baling berkata, Pas kawasan itu menyokong penuh pendirian dan tindakan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dalam menyelesaikan kemelut membabitkan dua Exco Kerajaan Negeri, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi dan Dr Ismail Salleh.

Menurutnya, kesemua ahli Pas kawasan itu berdiri teguh di belakang kepimpinan Azizan dan meletakkan keyakinan penuh dengan pentadbiran cemerlang selama empat tahun menerajui Kedah.

"Tiada sebab untuk kami menentang pentadbiran Azizan. Saya ingin tegaskan kami bimbang perbuatan dan tindakan mengganggu gugat kerajaan dan parti yang sedang berlaku sekarang ini boleh membawa mereka ke dalam golongan Bughah (penderhaka) yang amat berat hukumannya di sisi Islam," katanya.

Abdul Wahab turut memetik sepotong hadis yang bermaksud: "Akan memerintah belakang daripada Aku oleh beberapa pemerintah. Maka memerintahlah yang baik itu dengan kebaikannya dan yang jahat itu dengan kejahatannya. Dan dengarlah dan taatlah akan kamu dengan pada barang yang betul dan yang sebenar. Kalau mereka itu berbuat baik bagi kamu, kamu juga akan mendapat kebaikan dan bagi mereka itu. Dan jika mereka itu berbuat jahat bagi kamu mendapat balasan kebaikan bagi mereka itu mendapat bala."
-SH


Ulasan GB

GB dah banyak kali ulas. Walaupun pada awalnya GB cuba untuk pastikan kemelut Kedah ini ditenteramkan dengan menyiarkan berita ini, tetapi ianya tidak diberikan perhatian oleh mereka berdua, maka GB terpaksa menggunakan nada keras bagi mengingatkan mereka supaya jangan dituruti sikap dan gelagat parasait terdahulu melalui ulasan GB di sini .

Pun masih tiada perubahan, malah semakin galak. Maka GB sebutlagi ulasan di sini dan di sini.

Tanpa rasa bersalah dan berdosa, sungguh malang apabila tindakan mereka dilakukan saat kita di ambang menghadapi pilihanraya.

Apa yang disampaikan oleh Yang Dipertua Pas kawasan Baling, Tn Hj. Abd Wahab Hassan yang menasihatkan mana-mana pemimpin yang ingin menjawat jawatan tertinggi sekalipun, hendaklah menunggu masa yang sesuai bertepatan dengan apa yang GB telah kemukakan sebelum ini:

Jangan terlalu angkuh dan sombong walau sebanyak manapun pendapat kita tidak diambil kira apabila berada di dalam sesebuah organisasi.

Itu adalah ujian bagi diri kita samada kita ini bersabar di dalam perjuangan atau hati masih tebal dengan penyakit mazmumah.


Ahmad Lutfi Othman, Ketua Pengarang HARAKAH, mengungkapkan di hujung tulisannya "Mungkin misi BN akan menjadi lebih mudah di Kedah berbanding Selangor" di dalam Bahaya Ribut Dalam Cawan.

Di dalam tulisan Ketua Pemuda PAS di SINI, sepatutnya diterima oleh semua pihak. Ditutup tulisannya dengan memberikan garis panduan dan seruan "Jadilah anggota atau pimpinan jamaah yang baik dan soleh" dengan:

a] Suburkan Amal Tarbawi di dalam organisasi jamaah
b] Cernakan kemurnian spiritual sebagai seorang pejuang.
c] Tutup segala ruang buat syaithan menguasai minda
d] Pelihara adab dan akhlak berjamaah.
e] Patuhi peraturan dan tatacara jamaah.
f] Dengar dan taat arahan pimpinan.
g] Utamakan jamaah mengatasi kepentingan diri.
h] Hormati pandangan sahabat seperjuangan
i] Urus konflik dengan bijak, adil, telus dan jujur.

GB pernah mengungkapkan di dalam entri yang lalu

Di dalam qaedah usul-fiqh pun sepatutnya masing-masing mengetahui bahawa kita sepatutnya mengutamakan kemaslahatan jamaah ke atas kemaslahatan seseorang individu atau peribadi.


Semuga kemelut PAS Kedah ini dapat diakhiri secepat mungkin dan semuga pertemuan malam ini di antara PAS Pusat dan pemimpin bermasalah di dalam PAS Kedah membuka lembaran baru dan memberikan kekuatan PAS Kedah untuk merapatkan ukhwah dan bertindak di dalam satu saf yang terususn rapi mempertahankan kemenangan dengan lebih gemilangan lagi di dalam pilihanraya akan datang ini.

Firmanullah:


وَاعْتَصِمُواْ بِحَبْلِ اللّهِ جَمِيعاً وَلاَ تَفَرَّقُواْ وَاذْكُرُواْ نِعْمَتَ اللّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَاء فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِ إِخْوَاناً وَكُنتُمْ عَلَىَ شَفَا حُفْرَةٍ مِّنَ النَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنْهَا كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ

Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan, lalu Allah menyatukan di antara hati kamu, maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu. Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya. Ali Imran 103


[Bergambar] Gambar-gambar Pelik, Aneh & Lucu Hujung Minggu II

Posted: 02 Mar 2012 04:17 PM PST

Dilampirkan lagi gambar-gambar pelik, aneh dan lucu untuk kita hilangkan tekanan setelah sehari suntuk mengikuti isu-isu berat yang berlaku sekeliling kita.

Gambar-gambar ini bersepah ini internet, dikutip untuk paparan di blog GB ini untuk kita segarkan semula minda kita untuk menghadapi isu-isu baru selepas ini. Selamat menyaksikan dan selamat berhibur.

Saksikan:

















Laporan sebelum ini
klik untuk baca




Surat Menyurat Mahathir Dengan Israel Bukti Pengiktirafan Malaysia Terhadap Israel

Posted: 02 Mar 2012 07:10 AM PST

Ucapan tahniah bukti pendirian Tun M 'pro-Israel'

Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan ucapan tahniah yang ditujukan atas pelantikan Ehud Barak sebagai Perdana Menteri Israel bukti pendirian Tun Dr Mahathir Mohamad selama ini.

Beliau menyifatkan ucapan tahniah itu sama seperti memberi pengiktirafan kepada Israel.

"Terima kasihlah kepada Tun Mahathir yang memberitahu satu Malaysia yang beliau mengiktiraf Israel.

"Mengiktiraf kemenangan pemimpin itu bermakna beliau mengiktiraf pembentukan negara Israel,"
katanya kepada pada sidang media di Ibu Pejabat Pas,

Menurut Mahfuz beliau percaya dasar dan polisi dengan Israel yang dibawa pada zaman Dr Mahathir itu masih diteruskan hingga ke hari ini.

Rabu lalu kerajaan telah mendedahkan tiga surat Dr Mahathir kepada tiga Perdana Menteri Israel yang jelas menunjukkan ketegasan Malaysia terhadap kekejaman Israel.

Bagaimanapun, kandungan surat yang tertulis ucapan tahniah di atas kemenangan pemimpin Israel itu dalam perenggan pertama itu telah menimbulkan pelbagai spekulasi.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, tiga surat itu adalah bagi menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa Kerajaan Malaysia tidak konsisten dalam pendirian dan dasar mengenai Palestin.

Dalam satu kenyataan sebelum ini, beliau berkata, ia adalah surat Dr Mahathir kepada Yitzhak Rabin bertarikh 21 Disember 1993, kepada Benyamin Netanyahu bertarikh 14 Mac 1997 dan Barak bertarikh 8 Jun 1999. -SH

Surat kepada Israel dedah sikap pura-pura BN

KUALA LUMPUR, 1 Mac: Pendedahan surat-surat yang ditulis Tun Dr Mahathir Mohammad kepada tiga Perdana Menteri Israel – Yitzhak Rabin, Benjamin Netanyahu dan Ehud Barak mengesakan kebenaran dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan membuktikan sikap kepura-puraan Dr Mahathir selama ini.

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution berkata, Mahathir sering tampil dengan imej luaran yang mengambil sikap keras dengan Israel dan memfitnah Anwar sebagai 'pro-Yahudi', namun secara senyap-senyap rapat dengan pemimpin Zionis.

"Mahathir pula bertemu dan berhubungan dengan PM-PM Israel dan menegaskan berulang kali keinginannya mengadakan hubungan antara Malaysia dengan Israel. Malah hasrat ini dilahirkan menerusi tulisan tangan di dalam suratnya kepada Yitzhak Rabin.

"Pendedahan ini telah mengesahkan apa yang dikatakan PKR selama ini. Mahathir dan Najib harus menghentikan kepuraan ini," katanya.

Sebelum ini kata Saifuddin lagi, Anwar diserang teruk oleh pemimpin dan media Umno-BN apabila disoal akhbar antarabangsa Wall Street Journal berkaitan dasar luar negara dan isu Palestin.

Ketika itu, Anwar menegaskan bahawa kemahuan dan hak rakyat Palestin mesti dibela dan itu merangkumi hak untuk mendirikan negara sendiri serta tidak terus dizalimi.

Sikap berbaik dengan Israel itu juga kata Saifuddin diteruskan oleh pentadbiran Datuk Seri Najib Razak yang melantik APCO sebagai perunding kerajaan BN.

Sedangkan ujarnya, antara penasihat APCO adalah Doron Bergerbest-Eilon, bekas Ketua Perlindungan dan Keselamatan, Agensi Keselamatan Israel.

"Kerajaan Malaysia juga selama ini mengambil sikap berat sebelah di dalam isu Palestin dengan hanya mengiktiraf Fatah, tanpa mengambilkira Hamas yang telah dipilih rakyat Palestin.

"Ini membuktikan kerajaan Umno-BN tunduk kepada tekanan Amerika Syarikat dan Israel," tegasnya.
-HD



PAS Persoal Kementerian Belia Taja Program Hassan Ali

Posted: 02 Mar 2012 05:30 AM PST

Mahfuz dakwa kementerian biaya program Hasan Ali

Naib presiden PAS Datuk Mahfuz Omar hari ini menuntut supaya satu audit penuh dijalankan ke atas satu unit strategik di Kementerian Belia dan Sukan yang didakwa telah menyediakan sejumlah dana untuk membiaya program bekas ahli PAS Datuk Hasan Ali.

Mahfuz mendakwa, jumlah sebanyak RM30 juta untuk unit strategik "seperti cawangan Umno" itu telah dikumpul daripada unit lain di kementerian berkenaan.

Mahfuz juga mendakwa, unit berkenaan akan membantu membiayai aktiviti berkenaan untuk menarik belia supaya menyokong Umno dan BN.

Beliau turut mendakwa bahawa keseluruhan dana RM30 juta itu, atau sekurang-kurangnya sebagian daripadanya telah diperuntukkan bagi tujuan itu. -mk

PAS dakwa kementerian belia seleweng duit untuk politik

KUALA LUMPUR, 2 Mac: PAS menuntut Kementerian Belia dan Sukan menjelaskan kewujudan Cawangan Strategik dan Urat Saraf di bawah kementerian itu yang didakwa digunakan untuk tujuan pilihan raya.

Naib Presidennya, Datuk Mahfuz Omar berkata, kewujudan cawangan itu sangat diragui ketelusannya lebih-lebih lagi ia tidak mendapat kelulusan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Menurutnya, cawangan tersebut tiada organisasi khusus, malah peruntukannya diambil daripada bahagian lain dalam kementerian.

"Banyak peruntukan di bawah Kementerian Belia dan Sukan untuk kepentingan belia tapi hakikatnya cawangan ini digunakan untuk tujuan politik, bagi tujuan pilihan raya dengan mewujudkan unit-unit tertentu dalam kementerian.

"Saya angap ini satu penyelewengan apabila mengambil peruntukan dari bahagian lain.

"Semasa pilihan raya Sarawak, cawangan ini bermukim di Sarawak selama tiga bulan dan mengadakan pelbagai program gerak saraf belia yang memakan belanja sehingga RM40 juta. Saya minta Menteri Belia dan Sukan jelaskan perkara ini," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, hari ini.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu turut menambah, Ketua Setiausaha Kementerian juga telah mengarahkan cawangan ini untuk mengadakan program politik di semua daerah lebih iaitu 2,000 program setiap negeri dengan kos RM30 juta untuk Pakar Motivasi, Datuk Dr. Hasan Ali berceramah kepada pengundi muda.

"Nampak sangat Umno guna peruntukan untuk kepentingan politik Umno. Sekarang mereka tak perlu turun padang, hanya guna Hasan Ali sebagai mata kapak dan hulu kapak," katanya.


Selain itu, beliau turut mempersoal "kehilangan RM8juta peruntukan yang sepatutnya digunakan untuk belia pada Himpunan Sejuta Belia 2011.

Menurut maklumat, hanya RM2 juta diterima oleh Majlis Belia.

"Saya setuju kalau peruntukan untuk pembangunan belia, tapi bukan dalam bentuk program himpunan sehari yang tidak memberi apa-apa kesan, hanya seperti Karnival Jom Heboh dan sebagainya," katanya.

Turut dipersoal beliau, kos yang terpaksa ditanggung kerajaan akibat pembatalan belia kreatif 2012 yang sepatutnya diadakan pada 10 hingga 12 Februari lalu serta sebab pembatalannnya.

"Karnival ini telah diiklan secara meluas di media massa tapi akhirnya dibatalkan. Kenapa program ini dibatalkan dan berapa pula kos yang terpaksa ditanggung kerajaan setelah pelbagai promosi telah dilakukan?" soalnya.

Dalam pada itu, beliau meminta Kementerian terbabit menjelaskan bagaimana projek perkhidmatan kafe di 17 Instititut Kemahiran Belia Negara (IKBN) hanya diberikan kepada sebuah syarikat yang berpangkalan di Kelantan.

"Kalau betul kerajaan ingin membangunkan syarikat bumiputera, kenapa hanya beri kepada sebuah syarikat? Sepatutnya kalau ada 17 IKBN, berilah kepada 17 syarikat," katanya. -HD


[WASPADA] Hendak Wajah Licin, Jadi Menggerutu

Posted: 02 Mar 2012 03:31 AM PST

Johor Bahru - Seorang suri rumah mengakui terpaksa menanggung kesakitan apabila wajahnya bengkak dan menggerutu selepas menjalani rawatan laser di sebuah pusat kecantikan di Ulu Tiram, di sini, akhir tahun lalu.

Menurut Teng Ann Moi, 49, dua hari selepas menjalani rawatan kecantikan bagi menghilangkan jeragat wajahnya dengan kos sebanyak RM1,888, juru kecantikan berkenaan turut memberikannya sebotol cecair helium untuk digunakan setiap hari.

"Saya hanya menuruti apa yang diarahkan, apabila berasa perubahan menyakitkan, saya menghubungi juru kecantikan berkenaan, wanita itu berjanji datang ke rumah saya keesokan harinya untuk membuat rawatan susulan," katanya.

Beliau berkata, wanita berkenaan hanya bertindak memecahkan gelembung di wajah Ann Moi menggunakan jarum dan memaklumkan ianya akan sembuh selain menganggap perubahan itu hanya bersifat sementara.

"Selepas 10 hari masih tidak sembuh, saya nekad bertemu pakar kulit profesional untuk mendapatkan rawatan lanjut. Hasil pemeriksaan mendapati kesan laser berkenaan menembusi lapisan bawah kulit menyebabkan ianya membengkak," katanya.

Ann Moi dinasihatkan mendapatkan rawatan seperti yang disyorkan pakar berkenaan selama tiga bulan dengan kos sebanyak RM23,000. Beliau bersetuju dengan cadangan itu asalkan wajahnya dapat dipulihkan.

"Saya nekad untuk memfailkan tuntutan di Mahkamah Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM), bagi menuntut ganti rugi sebanyak RM23,000 kepada pemilik pusat kecantikan terhadap kerugian yang saya tanggung akibat rawatan mereka," katanya.

Pada prosiding kelmarin, Presiden TTPM, Mohd Nasrim Datuk Mohd Salleh berkata, jumlah tuntutan Ann Moi sebanyak RM23,000 hanya boleh difailkan melalui tuntutan di mahkamah sivil manakala pemilik pusat kecantikan bersetuju membayar ganti rugi sebanyak RM5,000.

Kedua-duanya bersetuju menyelesaikan kes berkenaan secara baik, Mohd Nasrim mengeluarkan perintah bahawa bayaran ganti rugi perlu dijelaskan dalam masa 14 hari dari tarikh award dikeluarkan.

"Saya terima tawaran berkenaan kerana saya tidak mahu 'turun naik' mahkamah, saya berharap ianya menjadi pengajaran kepada semua wanita untuk berhari-hati ketika membuat rawatan kecantikan," katanya kepada Sinar Harian selesai prosiding. -SH

Jurulatih Cabul 8 Pengakap Perempuan Didakwa Di Mahkamah

Posted: 02 Mar 2012 02:30 AM PST

Didakwa cabul 8 pelajar

PETALING JAYA: Seorang sukarelawan pengakap yang juga peniaga dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam atas sembilan pertuduhan mencabul lapan pelajar berusia antara 13 dan 16 tahun di sebuah sekolah di Sungai Buloh, dekat sini, tahun lalu.

Tertuduh, Ho Lee Fong, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nor Afidah Idris.

Dia yang hadir memakai kemeja lengan panjang berwarna krim kelihatan tenang di dalam kandang tertuduh ketika pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan pertama hingga kesembilan, bapa kepada lima anak itu didakwa melakukan perbuatan mencabul lapan pelajar yang berusia antara 13 dan 16 tahun di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Sri Damansara 1, Persiaran Perdana, Sungai Buloh, di sini, antara April hingga Jun tahun lalu.

Berdasarkan pertuduhan itu dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Saphirra Selamat menawarkan jaminan RM15,000 bagi setiap pertuduhan berserta tiga syarat tambahan iaitu pasport ditahan oleh mahkamah, tertuduh perlu melaporkan diri ke balai polis berhampiran pada setiap bulan dan harus menjauhi ke semua mangsa dengan jarak 50 meter.

Peguam bela Amrit Paul Singh yang mewakili tertuduh kemudian memohon wang jaminan dikurangkan sebanyak RM2,000 bagi setiap pertuduhan berikutan tertuduh mempunyai tanggungan lima anak yang mana semuanya masih bersekolah.

"Saya juga meminta pasport tertuduh tidak ditahan, jika tertuduh ingin melarikan diri ke luar negara sudah lama dia berbuat demikian selepas masalah ini berlaku.

"Kerjasama yang diberikan tertuduh sejak dipanggil polis pada 9 Februari lalu bagi memberikan maklumat mengenai masalah ini meyakinkan saya bahawa dia seorang yang bertanggungjawab dan tidak mungkin akan melakukan perkara seperti ini," katanya. Nor Afidah membenarkan jaminan RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin berserta dua syarat iaitu tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran pada setiap awal bulan dan menjauhi semua mangsa manakala kes ditetapkan semula pada 2 April depan.

Wang jaminan dibayar isteri dan abang tertuduh yang hadir menemaninya.

Pada 16 Februari lalu, akhbar ini melaporkan seorang jurulatih didakwa mencabul lebih 10 pelajar perempuan sebuah sekolah menengah yang menyertai Pergerakan Pengakap dengan memegang payu dara, kemaluan dan punggung mereka.

Difahamkan, lelaki itu melatih pelajar berusia 13 dan 14 tahun di sekolah berkenaan sejak 2008. -hm


Laporan sebelum ini
klik untuk baca




Tiada ulasan: