Dzulkefly Ahmad Tidak Boleh Idealis SangatSelalu terjadi di dalam politik orang Melayu sedia memberi sesuatu yang orang tidak minta, atau pun sebelum orang buka mulut kita sudah memberi. Politik terlebih baik atau terlebih timbang rasa. Politi seperti ini bagi saya politik bermuka-muka dan mengada-ngada hendak menunjukkan kita baik dan profesional?
Sifat politik begini bagi saya sifat politik yang tidak bijaksana dan berhikmah yang mana boleh menyusahkan diri sendiri. Baik-baik orang tidak tahu kita memberi tahu. Walhasilnya kekok dan tersekat-sekat untuk kita menjawab dan melepaskannya bila ada yang mempersoalkan tindakan kita.
Dalam politik kejujuran tidak semestinya kita disanjung dan diterima umum. Kejujuran boleh menyebabkan kita dipalu masalah. Usaha menjelaskan kebenaran di dalam politik kalau tidak dilakukan dengan berhemah ia sia-sia saja dan mendatangkan masalah kepada parti dan diri sendiri.
Demikian juga hakikat dalam politik dan perjuangan tidak semua mengetahuinya. Sebab itu dalam kita mencurahkan sesutau harus bijak membaca apalah ia tidak merugikan diri sendiri atau menguntungkan orang lain atau apa? Mencurah idea tanpa berfikir satu kesilapan.
Itu yang dapat saya simpulkan apa yang berlaku dan dilakukan kepada Pegawai Penyelidik Pas, Dzulkefly Ahmad apabila beliau menjelaskan Pas sedia untuk mengisikan jawatan timbalan presidennya dari kalangan bukan Melayu.
Hakikatnya memang begitu. Pas boleh dipimpin oleh sesiapa saja asalkan ia sedia memperjuangkan prinsip perjuangan Pas. Seseorang itu bukan saja setakat untuk menjadi timbalan presiden tetapi presiden pun boleh kalau ia memenuhi syarat-syarat utamanya iaitu dia mesti beragama Islam dan sedia memikul tanggungjawab dan amanah Islam.
Kalau sekali pun dia Islam berkopiah dan bersarban tetapi mengalpakan kepada prinsip dan dasar Islam dia tidak layak untuk diangkat menjadi wasir atau amir dalam Pas - Islam. Apa lagi yang berpura-pura memegang tasbeh ditangan, mengziarahi kuburan ulamak untuk memperlihatkan dirinya Islam, lagi tidak layak.
Dalam perlembagaannya Pas tidak menetapkan seseorang pemimpin itu mesti Melayu. Pas tidak menjadikan Melayu sebagai syarat tetapi yang penting agama. Lantaran itu perjuangan Pas dilihat lebih universal daripada perjuangan Umno yang terbelenggu dalam soal bangsa dan kaum.
Bagaimana pun walaupun itu hakikat ia tidak perlu diperjelaskan demikian rupa dalam forum terbuka. Dzulkefly tidak payah menjelaskan atau menegaskan Pas bersedia melantik bukan Islam sebagai timbalan presiden. Dalam konteks politik Malaysia yang masih kuno dan
rigid ini, pernyataan demikian tidak menguntungkan Pas sebaliknya membahayakan Pas.
Umno yang selalu menanti isu-isu sebegitu akan meneruskan kerja jahat mereka. Lidah Umno akan terjelir tujuh inci bila mendengar Dzulkefly atau sesiapa berkata-kata begitu. Mereka tidak akan melihat dalam konteks maksud sebenar kata-kata itu dan juga hakikat Pas sebagai sebuah badan siasah, tetapi melihat itulah keanjalan atau perubahan Pas yang menghakiskan identiti Pas.
Sudah pasti pernyataan idealis Dzulkefly itu akan diguna pakai oleh Ngo beras kampit untuk menempelak Pas.
Tanggapan bodoh yang dibuat atas penegasan tidak berhati-hati dan lebih untuk menunjukkan keterbukaan Dzulkefly itu bukan saja rakyat bawahan yang bingung dan akan terkejut, tetapi bekas Perdana Menteri sendiri turut menjadi bingung sama. Mahathir dalam menerima reaksi kata-kata Dzulkefly itu menyuruh Pas lantik Lim Kit Siang menjadi timbalan presiden Pas.
Saya tidak fikir fikiran Mahathir sesesat itu tetapi dia telah eksploitasikan kenyataan kurang ceramat Dzulkefly kitu untuk mengelirukan pemikiran umum agar menolak Pas.
Makanya dilain kali sebelum mengeluar apa-apa pandangan dan penegasan Dzulkefly hendaklah melihat akan implikasinya. Ingat kejujuran dalam politik tidak akan diterima sebagai satu kebaikan dan dilihat sebagai sesuatu yang ikhlas. Kejujuran tidak bertempat akan mendatangkan masalah.Bahayanya juga penegasan Dzulkefly itu juga akan dijadikan pegangan dan azimat oleh orang bukan Melayu. Mereka mungkin tidak akan mengungkit hari ini dan esok tetapi untuk masa akan datang. Bila mana Dewan Penyokong Pas telah mencapai angka ribuan nanti ketika itu mereka akan menuntut apa yang diucapkan oleh Dzulkefly itu.
Bukan bermakna ia tidak boleh dilaksanakan tetapi, akibat kata-kata itu menyebabkan orang Melayu akan kerugian satu jawatan penting dalam Pas. Sekali lagi hendak ingatkan ahli Parlimen Kuala Selangor itu kesilapan dalam politik tidak boleh diralat dan ia tetap akan dijadikan petikan sejarah!
[wm.kl.4:32 pm 01/03/12]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan