Anak Sungai Derhaka |
- Najib tak harus pegang jawatan menteri kewangan kata Daim
- Hanya Islam Boleh Satukan Melayu kata Tun Daim Zainuddin.. jadi bukan UMNO lah ya...
- Sharizat serah kepada Najib kedudukan selaku senator
- Nak kembali berkuasa Najib minta maaf.. bila berkuasa inilah jadinya..
- Krisis Pas Kedah 'sudah diselesai' kata Salahuddin Ayub
Najib tak harus pegang jawatan menteri kewangan kata Daim Posted: 04 Mar 2012 07:02 AM PST Seseorang perdana menteri tidak seharusnya juga memegang jawatan menteri kewangan, kata pemimpin veteran Umno dan bekas menteri kewangan, Tun Daim Zainuddin. Katanya, tradisi perdana menteri memegang dua jawatan itu menjadi amalan sejak krisis ekonomi 1997, yang dipantau rapi oleh Tun Dr Mahathir Mohamad. Daim dalam wawancaranya dengan akhbar harian Cina, China Press yang diterbitkan hari ini, berkata, perdana menteri sebagai ketua pentadbiran sesebuah negara, dan juga selaku pengerusi BN dan ketua Umno mempunyai tugas dan tanggungjawab yang sebegitu besar untuk turut mengendalikan kewangan kementerian juga. Katanya, dengan melantik menteri kewangan kedua bagi membantu perdana menteri tidak akan membantu dalam perkara itu. "Jawatan menteri kewangan kedua diwujudkan bagi menangani krisis ekonomi (1997). "Sekarang tempoh krisis sudah berakhir tetapi negara masih mempunyai menteri kewangan dan menteri kewangan kedua pada masa yang sama. Siapa yang membuat keputusan sebenar?" kata Daim yang berkhidmat pada sekitar tahun 1980-an. Katanya, perdana menteri yang merangkap sebagai menteri kewangan akan tertakluk kepada bidasan dan kritikan sengit jika ekonomi negara merudum. "Sistem yang baik adalah perdana menteri di atas menteri kewangan. Jadi, jika menteri kewangan membuat keputusan yang salah, perdana menteri boleh tampil dan membetulkan keadaan, " "Tetapi jika perdana menteri adalah menteri kewangan pada masa yang sama, tiada siapa yang berani untuk menegur atau memperbetulkannya," katanya. Malaysiakini |
Hanya Islam Boleh Satukan Melayu kata Tun Daim Zainuddin.. jadi bukan UMNO lah ya... Posted: 04 Mar 2012 03:53 AM PST Kenyataan dari Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin ini menafikan kenyataan-kenyataan dari pemimpin dan juga pencacai UMNO yang mengatakan hanya UMNO boleh menyatukan Melayu.. KUALA LUMPUR, 4 MAC : Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin berkata, perpecahan di kalangan masyarakat Melayu pada hari ini bersifat kompleks dan senario itu berada di tahap membingungkan. Menurut beliau, sejarah menunjukkan Melayu hanya pernah bersatu ketika menentang Malayan Union dan ketika UMNO dilahirkan. " Apabila kedudukan mereka dan pemerintah terancam dan melibatkan soal survival, mereka akan bersatu. " Setelah mereka mencapai matlamat, kita melihat kelahiran pelbagai parti politik Melayu yang melemahkan mereka. Pas dilahirkan bagi menjadikan Malaysia negara Islam. Parti Rakyat, sosialis kemudian Aziz Ishak, Semangat 46 dan kini Keadilan. Kemudiannya parti-parti berkenaan akan memperjuangkan cita-cita pemimpin mereka,"katanya dalam wawancara khas bersama Mingguan Malaysia. Beliau berkata demikian mengulas mengenai persoalan mengenai bagaimana kemajuan teknologi hari ini mengubah landskap sosio politik tanah air yang mana masyarakat lebih bebas dan kritis tetapi mengakibatkan perpecahan terutama di kalangan orang Melayu. Beliau juga diminta menyarankan, dalam keadaan itu,bagaimana caranya memastikan orang Melayu kekal bersatu supaya tetap berupaya mengekalkan survival demi agama dan bangsa. " Bagi Melayu untuk bersatu, ia mesti tidak melibatkan polisi yang boleh ditafsirkan sebagai ekslusif. Melayu perlu bersatu untuk menentang rasuah, pembaziran, pengurusan tidak betul dan bersetuju untuk menghukum mereka yang melanggar undang-undang," kata Daim. " Melayu perlu mempunyai pengetahuan dan memberikan keutamaan tinggi kepada pendidikan dan berpegang kepada ajaran Islam dengan menonjolkan kejujuran, disiplin, kerja keras, kejayaan dan sentiasa mengikut jalan yang benar. " Nilai Islam universal akan menyatukan Melayu," tambahnya lagi. Menurut pemimpin vateran ini lagi, populasi Melayu yang bersatu akan membawa kepada Malaysia yang bersatu dan mewujudkan keamanan, kestabilan dan kesejahteraan kepada semua. Namun ujarnya, hanya menumpukan kepada bersatunya Melayu itu sahaja tidak dapat membantu masyarakat itu untuk bersaing dan hidup senang. Melayu itu perlu mempunyai sifat-sifat yang baik. Tidak perlulah menjerit mengenai penyatuan walhal berterusan membina jalan untuk perpecahan. Oleh itu katanya, Melayu perlu ada sifat-sifat berikut : - Melayu mesti jangan sia-siakan peluang dan tidak melepaskan generasi muda kepada penagihan dadah. - Melayu perlu hidup di rumah yang selesa dan menjadi alat kepada sumber manusia dan mobiliti. - Melayu mesti boleh menulis dan bertutur pelbagai bahasa dan berpengetahuan bagi menjadi pemimpin yang hebat. - Melayu mesti belajar mensyukuri kejayaan dan tidak berhasad dengki untuk menurunkan mereka yang berjaya. Melayu berjaya di satu pihak perlu bersikap rendah diri dan tidak memberikan tanggapan mereka akan membolot segalanya. - Memerangi elitisme dengan berani dan bermaruah. Tiada ada orang pada era Melayu-DEB yang mempunyai hak untuk menjadi elit dan hebat berbanding yang lain. Ingatlah kepada penggubal DEB di mana mereka adalah pelajar pergerakan Fabian yang sentiasa melihat cara menyamakan kedudukan dalam peluang hidup. - Kerjasama tulen dengan bukan Melayu dalam perniagaan dan rundingan. - Kerja keras dan bijak pada masa sama dan jika anda fikir anda telah bekerja keras, letakkan lebih usaha dan tidak gentar kepada kegagalan. Belajar daripada kegagalan. - Perkukuhkan bahasa Melayu. - Bercita-cita menjadi pemimpin. Bercita-cita menjadi penderma. Bercita-cita untuk belajar. Bercita-cita menjadi Melayu yang baik. Antarapos |
Sharizat serah kepada Najib kedudukan selaku senator Posted: 04 Mar 2012 02:53 AM PST KUALA LUMPUR - Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Sharizat Abdul Jalil menyerahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai kedudukan beliau sebagai Senator. Sharizat yang juga Ketua Pergerakan Wanita Umno berkata terserah kepada Perdana Menteri sama ada melanjutkan tempoh penggal beliau sebagai senator yang akan berakhir bulan depan. "Semuanya terpulang kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis program kebajikan Rakyat 1Malaysia (Kar1sma), Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di sini, hari ini. Majlis julung kali diadakan itu dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan dihadiri hampir 20,000 orang termasuk 1,627 wakil NGO dari seluruh negara. Sebuah akhbar berbahasa Cina (Sin Chew) dilaporkan membuat spekulasi bahawa Shahrizat berkemungkinan tidak dilantik semula sebagai senator apabila penggalnya berakhir pada 8 April ini. Shahrizat dilantik sebagai Senator pada 9 April 2009. Shahrizat terpalit dalam isu National Feedlot Corporation (NFC), yang diterajui suaminya Datuk Dr Mohamed Salleh Ismail, yang terlibat dalam projek lembah daging Pusat Fidlot Nasional di Gemas, Negeri Sembilan. Ia mendapat perhatian setelah Laporan Ketua Audit Negara 2010 menyatakan tentang beberapa kelemahan projek itu yang bertujuan meningkatkan pengeluaran daging tempatan serta mengurangkan pergantungan negara terhadap daging import. Ia semakin panas selepas wujud dakwaan berlaku penyelewengan terhadap peruntukan kerajaan berjumlah RM250 juta yang disalurkan kepada NFC. - Bernama |
Nak kembali berkuasa Najib minta maaf.. bila berkuasa inilah jadinya.. Posted: 03 Mar 2012 07:28 PM PST Kerana menyedari banyak kesalahan yang telah dilakukan oleh UMNO/BN semasa memerintah Selangor dan juga Kedah hingga mengakibatkan UMNO/BN ditolak oleh majoriti rakyat kedua-dua negeri itu, Najib telah meminta maaf. Menggunakan skrip yang sama kecuali ditukar nama negeri Najib berkata "Kita akui mungkin kita ada buat sedikit sebanyak kesilapan pada masa dulu sebab itu rakyat tidak menyokong kita. Tapi kita sudah insaf daripada kesilapan dulu dan kita mohon maaf kepada rakyat Selangor kalau ada apa-apa kesilapan. - sepenuhnya sila baca di SINI Perlu kita akui merendah diri itu satu sifat yang terpuji.. tetapi jika merendah diri hanya untuk meraih simpati ianya bukanlah satu sifat yang terpuji.. Mungkin Najib akan terus mengulangi skrip 'Minta maaf dan sudah insafnya' sehingga PRU tiba, jika masih tiada kesan beliau mungkin akan menambah lagi skripnya dengan tambahan ayat 'Sedangkan Nabi S.A.W pun ampunkan Ummatnya.. takkanlah kita manusia biasa tidak boleh memaafkan sesama kita'.. Bagi Najib mungkin dengan meminta maaf dan mengatakan UMNO/BN sudah insaf akan ada rakyat yang lembut hatinya lantas memaafkan UMNO/BN lalu memberikan undi kepada mereka semula. Tetapi beliau juga harus sedar bukannya semua rakyat Malaysia mudah diperbodohkannya sebagaimana pencacai UMNO diperbodohkan mereka. Itu yang dilakukan Najib hanya untuk kembali berkuasa.. Berikut pula adalah apa yang dilakukan oleh BN apabila masih berkuasa dan yakin kuasa akan kekal ditangan mereka… Bantuan untuk OKU yang dikatakan Buta dipotong mereka hanya kerana OKU tersebut menyokong pembangkang di Sarawak…. Sepucuk surat yang didakwa ditandatangani oleh Menteri Muda Pertanian Sarawak Datuk Mong Dagang yang mengarahkan bantuan kerajaan kepada seorang lelaki kurang upaya dihentikan atas tuduhan menyokong pembangkang telah menimbulkan kemarahan warga maya. 'Surat' berkenaan dimuat naik di Facebook. Ia dikatakan dari "Menteri Muda Pertanian (Penyelidikan dan Pemasaran), Sarawak" dengan tajuk: "Memberhentikan segala bantuan kerajaan - Encik Frusis Lebi dari Entualang Entawa, Sri Aman". Surat yang dikatakan ditandatangani oleh Dagang itu mengarahkan Penolong Pengarah Jabatan Pertanian Sri Aman supaya semua bentuk bantuan kerajaan untuk Frusis, yang dikenal pasti sebagai orang kurang upaya dalam surat itu, diberhentikan serta-merta. "Ini adalah kerana beliau menentang dasar kerajaan dan menyokong secara terbuka calon pembangkang pada pilihan raya negeri 2011," petik surat itu. "Selain itu, beliau juga menyediakan bilik operasi untuk calon pembangkang." Johnnie B Goode, yang memuat naik salinan surat itu pada Jumaat lalu, menulis di Facebook: "Arahan tidak berperikemanusiaan dan tanpa malu dari Menteri Muda Pertanian Mong Dagang dari parti pemerintah untuk menamatkan secepat mungkin elaun OKU Encik Frusis Lebi kerana beliau secara terbuka menyokong pembangkang." Artikelnya itu kemudiannya dikongsi lebih 1,300 pembaca di Facebook dan menerima reaksi negatif dari warga maya yang ternyata berang dengan tindakan berkenaan jika ternyata benar. "Tidak manis bagi seorang Menteri Muda bertindak demikian terhadap seorang kurang upaya. Amal dan kebajikan tidak patut dicampur dengan urusan politik," komen Sunny Ng. "Ini kerja seorang yang gila," komen Simon Ritikos pula. 'Surat' bertarikh 8 Disember tahun lalu itu turut memuatkan apa yang didakwa sebagai tandatangan Mong. Ketika dihubungi oleh Malaysiakini, Mong yang juga ADUN Bukit Begunan enggan mengulas mengenai perkara itu. "Saya akan mengeluarkan satu kenyataan pada masa yang tepat," katanya. Beliau juga enggan mengesahkan atapun menafikan sama ada surat itu dikeluarkan oleh dirinya atau pejabatnya. Pada pilihan raya negeri Sarawak tahun lalu, Mong mengalahkan tiga calon lain - PKR, SUPP dan Bebas - untuk mengekalkan kerusinya. Malaysiakini |
Krisis Pas Kedah 'sudah diselesai' kata Salahuddin Ayub Posted: 03 Mar 2012 06:26 PM PST ALOR SETAR - Pertemuan khas misi damai yang diadakan kediaman rasmi Menteri Besar Kedah di sini, berlangsung lebih lima jam sehingga 3 pagi tadi, telah mencapai satu penyelesaian yang diputuskan "secara sebulat suara", kata Naib Presidennya, Salahuddin Ayub awal pagi ini. Menurut beliau, keputusan itu yang diterima semua pihak akan diumumkan dalam waktu terdekat, kemungkinan tengah hari ini, pada sidang media khas. Bagi Pas, salah satu anggota komponen Pakatan Rakyat, yang menerajui kerajaan negeri sejak Mac 2008, kontroversi terbaru ini adalah ujian paling besar menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), yang disebut-sebut akan diadakan bila-bila masa dari sekarang. "Sudah ada keputusan, keputusan ini keputusan sebulat suara... ia akan diumumkan dalam waktu terdekat. Itu sahaja yang boleh saya cakap buat masa sekarang," kata beliau kepada Sinar Harian Online ketika dihubungi sekitar jam 4 pagi tadi. Wartawan yang menunggu sejak 8 malam tadi dimaklumkan bahawa satu sidang media akan diadakan hari ini. Lokasinya akan diberitahu kemudian. Salahuddin yang dihubungi sebentar tadi, sekitar jam 10 pagi, memaklumkan bahawa pihaknya sedang meneliti beberapa perkembangan sebelum mengumumkan hasil pertemuan misi damai. Pertemuan lebih lima jam itu dibahagikan kepada dua iaitu pertemuan Salahuddin dengan pemimpin-pemimpin yang menjadi fokus kontroversi, dan keduanya mesyuarat khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat dan Badan Perhubungan Negeri. Jawatankuasa Kerja Pas Pusat telah mengadakan satu mesyuarat khas bagi membincangkan kemelut kepimpinan Kedah ini, di ibu negara Khamis lalu. Difahamkan pertemuan sesi pertama dipengerusikan oleh Salahuddin selama dua jam manakala mesyuarat khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat pula diketuai sendiri oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, bermula 12 tengah malam dan berakhir sekitar 3 pagi tadi. Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi yang menjadi fokus kontroversi ini, apabila menolak tawaran untuk dilantik semula sebagai Exco pula berkata, biar Pas Pusat memberikan kenyataan terlebih dahulu. Difahamkan kedua-dua Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan Phahrolrazi, masing-masing diberi masa sejam untuk mengemukakan hujah dalam pertemuan dengan Salahuddin. Seorang lagi Exco Kerajaan Negeri yang menolak tawaran pelantikan semula, Dr Ismail Salleh tidak dipanggil untuk memberi hujah. Kedua-dua pertemuan ini, sebahagian daripada usaha Pas Pusat untuk menyelesaikan kemelut kepimpinan negeri, diadakan di kediaman rasmi Menteri Besar, Seri Mentaloon di sini. Phahrolrazi dan Dr Ismail masing-masing merupakan Timbalan Pesuruhjaya Pas Negeri I dan II. Azizan adalah Pesuruhjaya Pas Negeri. Dalam laporan awal Sinar Harian Online, disebutkan bahawa pertemuan bersejarah ini, menurut pemerhati dan penganalisis, tidak mungkin akan membawa kepada penyelesaian muktamad. Banyak pihak meragui sama ada pertemuan misi damai akan membawa formula penyelesaian. Dalam pada itu, antara pemimpin Pas Pusat yang dilihat hadir awal pada pertemuan kali ini di Seri Mentaloon ialah Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu dan Salahuddin serta seorang lagi Naib Presiden, Datuk Mahfuz Omar. Mahfuz merupakan pemimpin dari Kedah dan Ahli Parlimen Pokok Sena. Pun begitu, Sinar Harian Online difahamkan hampir sebahagian besar ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat dan Badan Perhububungan Negeri Kedah menghadiri pertemuan kali ini. Pertemuan misi damai ini hanya bermula sekitar jam 10 malam tadi, lewat sejam berbanding maklumat yang diperoleh sebelum ini. Keperluan mengadakan pertemuan ini diputuskan pada mesyuarat khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang diadakan di ibu negara Khamis lalu susulan kunjungan misi khas oleh Salahuddin ke Kedah awal minggu lalu. Pihak media tidak dibenarkan masuk ke premis kediaman rasmi Menteri Besar untuk membuat liputan, sebaliknya hanya dibenarkan berkumpul di depan pintu masuk utama Seri Mentaloon. Wartawan Sinar Harian yang berada di lokasi pertemuan sejak 8 malam tadi juga melaporkan bahawa setiap kenderaan yang masuk ke premis kediaman rasmi Menteri Besar diperiksa rapi dengan hanya mereka yang berkaitan sahaja dibenarkan masuk. Sinar Harian Online juga difahamkan dua pemeriksaan perlu dilalui setiap kenderaan yang masuk ke pekarangan kediaman rasmi Menteri Besar. Mereka sekali lagi diperiksa sebelum masuk ke dalam dewan mesyuarat. Malah ada sumber memberitahu bahawa kesemua pemimpin tidak dibenarkan membawa masuk alat perakam termasuk telefon bimbit ke dalam bilik mesyuarat bagi mengelak perbincangan disebarkan kepada umum. Sinar Harian |
You are subscribed to email updates from Anak Sungai Derhaka To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan