Sabtu, 3 Mac 2012

ANAK SENGAT

ANAK SENGAT


POLITIK DAN DAKWAH............

Posted: 02 Mar 2012 09:23 AM PST

Perjuangan Islam merupakan satu sunnah yang sewajibnya diteruskan oleh generasi kini sebagaimana yang telah diwarisi oleh Baginda Rasulullah SAW, para sahabat dan seterusnya ummat yang terdahulu. Perjuangan Islam adalah dilandaskan kepada Aqidah yang benar dan jelas, bersumberkan kepada Al-Quran dan As-sunnah sebagai panduan. Ia dihiasai dengan Jihad dan Pengorbanan yang menjadi kekuatan kepada Perjuang Islam itu sendiri. Inilah antara asas dan konsep yang perlu difahami dan dihayati oleh semua Pejuang Islam.

Walaupun asas perjuangan Islam itu tetap, namun method dan kaedah kepada perjuangan itu adalah bersifat anjal dan berubah, sesuai mengikut zaman dan keadaan semasa. Method inilah juga yang seharusnya difahami oleh para pejuang Islam agar setiap tindakan dan strategi dalam perjuangan Islam itu tepat dan mencapai matlamatnya. Di Malaysia kini, antara method dan wasilah dalam memperjuangkan Islam itu adalah melalui medan politik demokrasi, iaitu keterlibatan dalam sistem pilihanraya. Alhamdulillah, PAS, sebuah gerakan Islam, telah mengambil satu ijtihad yang baik dengan menyertai pilihanraya bagi mendapatkan kuasa untuk melaksanakan amanah pemerintahan di bumi ini mengikut acuan Islam.

Sehingga kini, PAS telah menunjukkan satu komitmen yang tinggi dalam gelanggang politik ini bagi mencapai hasrat murni memartabatkan sistem pemerintahan Islam di negara ini. Hakikatnya, dalam usaha ke arah mencapai hasrat dan matlamat ini, PAS terpaksa mengambil pendekatan untuk menyertai arena politik demokrasi, bagi memastikan maslahat Islam dan ummat yang lebih besar dapat diraikan kelak. Tidak dapat dinafikan, apabila bergelumbang dalam arena politik demokrasi ciptaan barat ini, PAS perlulah berfikiran lebih terbuka dan meraikan banyak pihak. Namun bagitu PAS dilihat tidak menggadaikan asas Perjuangan Islam dan tetap komited dengan agenda Islam mereka.

Namun di sana, pasti akan ada kelompongan dan kelemahan apabila bergelumang dalam medan politik demokrasi ini. Tidak dapat dinafikan, bukan semua mereka yang terlibat dalam menggerakkan agenda politik PAS benar-benar memahami dan menghayati akan konsep sebenar politik dalam Islam. Harus diingat mereka yang begitu bersemangat menggerakkan agenda politik PAS ini adalah terdiri daripada pelbagai latar belakang, yang mana khidmat dan peranan mereka ini adalah amat besar kepada keberkesanan penyertaan PAS dalam politik Malaysia.

Penulis melihat, sudah mula merebak di dalam PAS simptom-simptom penyakit politik yang mampu membentuk satu barah yang kronik yang akhirnya mampu menjatuhkan PAS jika tidak diubati dan dikawal dengan sebaiknya. Apa yang penulis maksudkan di sini ialah sudah ada di kalangan pemimpin mahupun ahli PAS yang sudah mula menjauhkan diri dengan Aqidah Perjuangan yang sebenar apabila mereka mula larut dalam gelanggang politik demokrasi ciptaan barat ini. Mereka sudah lupa bahawa politik demokrasi ini hanyalah semata-mata wasilah yang dipilih oleh PAS dalam melaksanakan amanah Perjuangan Islam.

Ramai di kalangan orang PAS sudah mula memandang politik ini sebagaimana pandangan golongan sekular, yang menganggap ianya merupakan salah satu cara untuk mengaut kemewahan, kuasa dan penghormatan daripada manusia. Sebab itulah kini sudah merebak penyakit-penyakit orang UMNO di dalam PAS. Tidak perlulah penulis menyebutkan apakah penyakit-penyakit tersebut, cukup sekadar penulis menyatakan bahawa penyakit-penyakit itu sudah mula merebak ke dalam PAS secara perlahan-lahan. Dan sebab itulah ramai yang melihat PAS hanyalah sebagai sebuah parti politik sebagaimana parti-parti yang lain, bukan lagi sebagai sebuah Gerakan Islam, yang memperjuangkan Dakwah, Tarbiyah dan Siasah secara selari.

Justeru bukanlah sesuatu yang pelik kini jika ada di kalangan ahli PAS yang begitu bersemangat dengan gerak kerja politik, namun tersungkur dan tewas apabila diajak ke program dakwah dan tarbiyah. Ya, politik itu terkandung di dalamnya elemen dakwah dan tarbiyah, namun jika nilai dan konsep yang diamalkan itu adalah politik demokrasi ciptaan barat, bukannya politik sebagaimana yang dianjurkan Islam, maka tidak salahlah jika masyarakat mula menganggap PAS adalah sebuah parti politik semata-mata sebagaimana parti-parti lain. Tidak salahlah juga jika masyarakat mengaanggap orang PAS ini adalah orang politik semata-mata, bukan lagi 'orang dakwah dan tarbiyah'.

Justeru, penulis ingin menyeru kepada semua penggerak PAS, sama ada pimpinan mahupun ahli biasa untuk kita kembali menghayati dan memahami konsep perjuang Islam yang sebenar. Fahamlah apa itu Aqidah Perjuangan, apa itu Politik Islam, apa itu jihad pengorbanan, apa itu mehnah dan ujian. Ingatlah, di saat kita diberikan amanah mentadbir beberapa negeri, janganlah kita dibuai leka dan lalai, sehingga kita berasa begitu selesa dan yakin dengan semua tindakan kita. Hakikatnya, di saat inilah, musuh-musuh mudah untuk mencari peluang dan ruang untuk menjatuhkan kita.

Penulis ingin sekali tegaskan, PAS adalah sebuah Jemaah Islam, hadirnya adalah untuk memperjuangkan Islam melalui tarbiyah, dakwah dan siasah. Maka pandulah kereta 'PAS' ini sebagai sebuah Jemaah Islam, bukan sebagai parti politik semata-mata. Jika ditakdirkan suatu masa politik itu tidak wujud, maka pada waktu itu PAS tetap akan wujud dan hidup, kerana di sana masih ada Dakwah dan Tarbiyah, yang merupakan dua tonggak utama yang hadir sebelum politik. Inilah yang telah ditunjukkan oleh Baginda Rasulullah SAW, tugas awal Baginda adalah Dakwah dan Tarbiyah. Selepas dua elemen ini mampu dihayati dan difahami oleh para sahabat Baginda, maka barulah Rasulullah SAW menyambungkannya dengan elemen Siasah, namun dalam keadaan dakwah dan tarbiyah itu tetap menjadi tonggak kepada politik itu sendiri.

Semoga perkongsian ini sedikit sebanyak mampu mengurangkan keresahan penulis melihat perkembangan PAS kini. Jika perkongsian ini ada manfaat dan benarnya, ambillah peringatan dan pengajaran daripadanya. Jika perkongsian ini bukanlah menggambarkan realiti yang sebenar, maka penulis ingin memohon maaf atas pandangan yang lemah ini. Berlapang dadalah. Semoga kita semua terus diberikan kekuatan oleh Allah SWT untuk meneruskan agenda Perjuang Islam yang menjadi amanah kita semua di muka bumi ini. Siru 'Ala Barakatillah.

Insan Rabbani,
Kota Bharu, Kelantan Darul Naim.

SUMBER

Tiada ulasan: