Rabu, 7 Mac 2012

Addin

Addin


Lucu!! Ali Rustam Tak Dapat Beza Insinerator Dengan Projek Lynas

Posted: 07 Mar 2012 02:30 PM PST

Isu sisa buangan pepejal dalam ekosistem Bandar amat sinonim dengan proses perbandaran dan pemodenan yang pesat. Pertambahan jumlah penduduk selaras dengan perubahan masa dan ruang memberi banyak laluan bagi penjanaan sisa buangan pepejal. Kelemahan pengurusan dan penjanaan berterusan memerlukan pendekatan bersepadu dilaksanakan.

Cadangan pembinaan insinerator sebagai salah satu komponen pengurusan sisa buangan pepejal bersepadu dilihat sebagai alternatif terbaik bagi mengatasi masalah kekurangan kawasan untuk pelupusan secara kambusan (landfill).

Kajian tentang insinerator sebagai simbol antara tuntutan pembangunan dan pengorbanan alam sekitar dalam isu berkaitan penyelesaian masalah sisa buangan pepejal yang kronik mendapati kesejahteraan alam sekitar perlu dipertahankan walaupun pembangunan (pembinaan insinerator) yang dicadangkan membawa kebaikan kepada kelestarian manusia dan alam.

Dapatan kajian juga mendapati wujudnya satu sindrom yang dikenali sebagai NIMBY (Not In My Back Yard) yang merupakan sindrom global yang sukar dibendung dalam mengatasi masalah yang berkaitan dengan sisa buangan.

Akhirnya, keperluan  Risk Communication Approach  juga amat penting dalam menangani isu antara tuntutan pembinaan insinerator dan keperluan kesejahteraan alam sekitar bagi memastikan wujud keseimbangan dan persefahaman antara masyarakat ke atas penerimaan insinerator sebagai penyelamat alam sekitar dan menolak peranannya sebagai pembinasa alam sekitar.



Hari ini (7 Mac) sidang DUN Melaka membuktikan ketua kerajaan yang diketuai oleh Ali Rustam seakan-akan tidak tahu beza Insinerator dengan projek Lynas di Kuantan. Beliau menyindir ADUN-ADUN DAP bahawa Insinerator ini bukan nuklear.

Apa punya Ketua Menteri? Ali Rustam kena tahu apa itu insinerator seperti yang dijelaskan di atas. Berbeza dengan projek Lynas di Kuantan. Projek Lynas itu memang projek nadir bumi yang membahayakan rakyat dan bersifat radioaktif. Manakala insinerator ini bukan bahan nuklear.

Ali Rustam, insinerator bukan reaktor nuklear macam projek Lynas. Biar tahu beza antara timun depan dengan timun belakang bab kata ADUN Taboh Naning. ~kijang59

Addin :

Dapat bayangkan ucapan Ali Rustam yang panjang berjela tapi tak menjawab soalan.

Menteri Ni Perolehi Kontrak Kerajaan Bernilai RM100 Juta

Posted: 07 Mar 2012 07:43 AM PST

Sebelum ini kami telah melaporkan mengenai konsesi pembalakan dan perladangan kelapa sawit yang besar, dan kini kami ingin mendedahkan lebih banyak lagi bukti bagaimana Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan Naroden Majais menerima kontrak kerajaan bernilai RM100 juta untuk syarikatnya sendiri! Para pengunjung blog kami ini telah menunjukkan kepada kami butir-butir yang terdapat dalam laman web Lembaga Pembangunan Industri Binaan (CIDB) di mana syarikat Embun Pelangi Sdn Bhd diketuai oleh dua orang ahli keluarga Naroden sendiri iaitu, isterinya Massenah Binti Ahmad dan anak lelaki mereka Kamaruzaman Bin Naroden.

Sesiapa yang menjawat jawatan menteri tidak boleh menerima sebarang kontrak kerajaan, apa lagi menerima projek pembinaan RM100 juta yang tidak diisytiharkan.

Siasatan kami menunjukkan bahawa wakil rakyat kawasan pilihanraya Simunjan itu amat gembira melihat ahli-ahli keluarganya bekerja sebagai pengarah dan memegang saham yang banyak. Menerusi anaknya, Naroden memegang 50% saham dari projek-projek yang besar! Naroden sememangnya menyahut seruan bosnya Taib Mahmud menggesa orang-orang Sarawak berkecimpung dalam aktiviti keusahawanan.

Dasar keusahawanan yang diperkenalkan Taib Mahmud selama 30 tahun memimpin telah mengeringkan sumber-sumber di Sarawak, tetapi menjadikan dirinya dan ahli-ahli politik BN Sarawak yang lain kaya-raya!

Para pengunjung blog kami ini seharusnya membantu kami dalam usaha kami mendedahkan kegiatan haram yang dijalankan oleh ahli-ahli BN di Sarawak! ~sarawakreport


Kroni Ketua Menteri Perolehi Kontrak Setengah Billion Ringgit Secara Rundingan Terus?

Posted: 07 Mar 2012 06:38 AM PST

Pada minggu lalu kami telah melaporkan bagai mana kontrak-kontrak kerajaan yang mencecah angka RM100 juta telah diawadkan kepada dua buah syarikat, Dema Tega yang ditadbirurus Menteri Kerajaan Pusat Jacob Sagan dan Embun Pelangi, kendalian Naroden Majais, salah seorang orang kanan Abdul Taib Mahmud. Kini kita cuba mendedahkan awad berasuah yang diterima oleh syarikat milik keluarga Timbalan Ketua Menteri Sarawak Alfred Jabu Numpang dan rakan-rakan politiknya yang amat besar nilainya.

KACC Construction Sdn Bhd telah menerima kontrak bernilai lebih kurang setengah billion ringgit dari dana kerajaan dalam masa sepuluh tahun ini.

Syarikat berkenaan merupakan aktiviti perkongsian antara keluarga Alfred Jabu dan Setiausaha Negeri Sarawak Mohd Morshidi Abdul Ghani dan juga ahli parlimen BN Fadillah Yusof, dari kawasan pilihanraya parlimen Petra Jaya yang juga merupakan Menteri Muda Sains Sarawak.

Para pemegang utama saham-saham di syarikat itu adalah Jennifer Jabu dan sepupunya YB Robert Lawson Chuat, dan saudara kepada Setiausaha Negeri Sarawak, Mohd Taufik Abdul Ghani dan juga Fadillah Yusof.

Saudara kepada YB Fadillah Yusof, Bustari Yusof juga menerima konsesi kayu balak yang besar yang juga bertindak selaku wakil kepada Abdul Taib Mahmud.

Kenapakah kontrak yang besar-besar dengan mudahnya diawad kepada rakan-rakan menteri atau ahli keluarga Taib Mahmud? Mungkin itukah yang telah membolehkan timbalannya, Alfred Jabu kini dapat memperbesarkan kediamannya? Setakat yang diketahui umum Alfred Jabu bukanlah arif dan mahir sangat dalam bidang pembinaan kerana jurusan pengajiannya dahulu adalah pertanian dan penternakan.

Konsesi-konsesi yang lain yang telah mereka dapati adalah perladangan kelapa sawit yang diusahakan menerusi syarikat Herba Aromatics, yang diuruskan oleh anak-anaknya, Gerald Rentap Jabu dan Barbara Jabu bersama ahli DUN Bukit Saban Robert Lawson Chuat. Di kawasan Betong, kesemua tanah yang diusahakan oleh Herba Aromatics adalah merupakan tanah-tanah NCR orang Betong yang hanya dibayar pampasan sebanyak RM500 untuk satu keluarga, walaupun nilai ladang-ladang yang diusahakan itu mencecah jutaan ringgit.

Di samping itu SALCRA yang diamanahkan untuk mengusahakan ladang-ladang kelapa sawit dipengerusikan oleh Alfred Jabu. Awad setengah billion ringgit yang diberikan kepada KACC Construction merupakan salah satu resos yang diberi kepada seorang lagi kroni Taib, Mohd Morshidi Abdul Ghani.

Sarawak Report pernah melaporkan bagai mana Mohd Taufik Abdul Ghani menerima kawasan tanah yang amat luas menerusi syarikat-syarikat Derawan Sdn Bhd dan Sahua Enterprise Sdn Bhd. Sekali lagi menerusi kontrak-kontrak kerajaan yang mencecah setengah billion ringgit menunjukkan bagaimana pimpinan Taib Mahmud mengatur kewangan negeri Sarawak.

Melalui konsesi dan kontrak kerajaan yang besar jumlah yang diawadkan kepada rakan menterinya dan juga kroninya Abdul Taib Mahmud telah berjaya mempertahankan kedudukan mereka yang akhirnya menjadikan dia bertambah kaya-raya. ~sarawakreport


Makin Hari, Makin Terselak Kain Kak Jat..

Posted: 07 Mar 2012 06:10 AM PST

PKR hari ini mendakwa bahawa pengarah National Feedlot Corporation telah menggunakan pinjaman mudah oleh kerajaan sebagai cagaran untuk membeli lapan hartanah komersial di Bangsar, Kuala Lumpur. Pengarah strateginya, Rafizi Ramli mendakwa pengerusi eksekutif NFC, Datuk Mohamad Salleh Ismail telah menggunakan kawalan ke atas dana berkenaan untuk mendapatkan pinjaman bagi membeli lapan lot kedai berkenaan.

"Dana awam yang diberikan kepada NFC untuk mengusahakan projek fidlot telah diselewengkan untuk dijadikan jaminan bagi mendapatkan pinjaman peribadi dan dibelanjakan dengan membeli hartanah di atas nama peribadi mereka," dakwanya dalam satu sidang media hari ini.

Rafizi yang memetik dokumen bank, sebahagiannya diedarkan kepada wartawan, mendakwa unit kedai KL Eco City itu dibeli dengan nilai tebusan pinjaman RM9.69 juta.

Bercakap dalam sidang media di ibu pejabat PKR hari ini, Rafizi menganggarkan bahawa nilai pasaran hartanah berkenaan boleh mencecah sehingga RM12 juta.

"Berdasarkan harga pasaran semasa unit komersial di KL Eco City iaitu RM1,000 hingga RM1,100 setiap persegi dan kami anggar harga pasaran semasa unit ini boleh mencecah RM12 juta," dakwanya lagi.

Rafizi mendakwa pembelian tersebut dibuat dengan menggunakan pinjaman oleh Mohamad Salleh dan juga oleh individu yang setakat ini masih belum dapat dikenalpastinya.

Rafizi mengemukakan beberapa dokumen bank sebagai bukti bahawa Mohamad Salleh dan pengarah NFC diberikan pinjaman bersama itu melalui kawalan ke atas akaun syarikat berkenaan.

Dokumen yang didedahkannya itu menyebut, NFC mempunyai simpanan sebanyak RM71.4 juta di dalam akaun di sebuah bank.

Dokumen itu seterusnya menyatakan bahawa Mohamad Salleh hanya mempunyai RM421 di dalam akaunnya di bank tersebut pada satu masa, namun tetap diberikan pinjaman berjumlah RM4,391,240 untuk membeli hartanah.

Selain itu, dokumen itu juga menunjukkan bahawa Mohamad Salleh telah bertindak sebagai penjamin untuk satu lagi pinjaman berjumlah RM663,743.

Ia turut menunjukkan bahawa dua lagi syarikat yang turut dimiliki Mohamad Salleh – National Meat and Livestock Corporation (NMLC) dan Agroscience Industries masing-masing merekodkan baki sebanyak RM1,872,254 dan RM197,338 melalui akaun di bank sama.

Rafizi mendakwa, pembelian hartanah tersebut, yang setiap satunya bernilai antara RM1.1 juta hingga RM1.56 juta dibuat oleh ahli keluarga Mohamad Salleh.

Rafizi mendakwa perkara itu telah disahkan oleh satu sumber beliau, yang tidak didedahkan. ~malaysiakini

Addin :

Makin senseng lengan.. makin terselak kain Kak Jat..


Gempar!! Pemimpin Umno Pahang Bakal Keluar Parti

Posted: 07 Mar 2012 05:38 AM PST

KUANTAN, 7 Mac - Seorang lagi pemimpin UMNO Pahang bakal mengikut jejak langkah Dato' Ariff Sabri (Bekas ADUN Pulau Manis dan Ketua Penerangan UMNO Pekan) untuk meninggalkan parti itu dalam masa terdekat ini. Namun, pendiriannya berbeza dan tidak akan sertai mana-mana parti pembangkang atau lain-lain komponen BN seperti Ariff Sabri (masuk DAP). Beliau khabarnya berbuat demikian untuk bertanding sebagai "Calon Pro Rakyat" di salah satu kerusi Dewan Undangan Negeri Pahang pada Pilihanraya Umum Ke-13 akan datang.

Ketika dihubungi, beliau menjelaskan sudah tiba masanya untuk dia berpihak kepada rakyat secara lebih jelas lagi.

"Bukan saya tak suka berada dalam mana-mana parti. Tapi, apalah guna saya berjuang dari dalam jika suara saya tidak mahu didengari oleh pemimpin atasan. Banyak teguran yang saya buat telah dipandang sepi oleh mereka.

Saya berjuang demi rakyat berbagai bangsa, agama dan negara tercinta. Maka, lebih elok saya tawarkan diri bertanding sebagai calon bebas (pro rakyat) untuk membolehkan saya membela semua rakyat tanpa membezakan fahaman politik masing-masing", katanya.

Menurut sumber, beliau kemungkinan besar akan bertanding di salah satu DUN di Kawasan Parlimen Pekan, Kuantan, Indera Mahkota atau pun Paya Besar memandangkan beliau lebih dikenali oleh rakyat di kawasan tersebut.

Walau bagaimana pun, namanya memang cukup dikenali di peringkat negeri dan negara. Tambahan pula, hubungan beliau yang cukup rapat dengan pemimpin atasan selama ini.

Beliau yang juga berkelulusan dalam bidang Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBA) itu khabarnya cukup dekat dihati rakyat kerana banyak kerja-kerja amal dan kebajikan yang dilakukan selama lebih dari 37 tahun yang lalu. ~pahangdaily


Ini Wajah Sebenar Najib

Posted: 07 Mar 2012 02:31 AM PST

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulau Manis, Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz berkata, beliau sedia mendedahkan tembelang sebenar sikap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam mentadbir negara. Menurutnya, pendedahan tentang Najib yang menguasai parlimen Pekan sejak Allahyarham bapanya Tun Abdul Razak Hussein meninggal dunia itu akan dibuat dalam satu ceramahnya bersama Timbalan Presiden PAS, Mohammad Sabu pada 15 Mac ini di Pekan, Pahang.

Mohd Ariff berkata demikian ketika ditemui dalam sesi Cakap-cakap Bersama Harakah di Pejabat Editorial Harakah dekat sini baru-baru ini.

Mohd Ariff yang juga bekas Ketua Penerangan Umno Bahagian Pekan berkata, beliau sangat mengenali Najib dan peribadi Perdana Menteri itu dalam berpolitik serta pentadbiran.

Ini kerana beliau pernah menjadi orang penting Umno selaku Ketua Penerangan Umno Bahagian Pekan dalam mengembalikan sokongan ke atas Najib selepas hampir tewas pada Pilihan Raya Umum ke-10 (tahun 1999).

Mohd Ariff yang terkenal dengan blog Sakmongkol berkata, Najib bukanlah seorang yang tegas dalam kepimpinannya, sebaliknya hanya menggunakan taktik 'membayar' untuk mendapatkan sokongan.

Beliau yang sangat arif dengan sikap politik Najib berkata, "Perdana Menteri itu hanya mahu dengar yang 'indah-indah sahaja' termasuklah apa yang berlaku di Pekan semasa hampir tewas di tangan PAS pada pilihan raya umum ke-10 tahun 1999."

Saya ada sebutkan dalam blog saya, penerima subsidi terbesar di Malaysia ini ialah Najib, kerana beliau dapat Parlimen Pekan kerana subsidi daripada kawasan Allahrayham Tun Razak, jadi Timbalan Perdana Menteri (TPM) sebab bapa saudaranya Perdana Menteri, dia jadi Naib ketau Pemida Umno sebab dia ikut Dato' Seri Anwar Ibrahim,

Dia (Najib) tidak pernah berlawan, gaya dan kepimpinan itu dia tidak ada, dan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin sendiri mengakui bahawa keburukan Najib ini tidak tahu mentadboir negara ini dan hilang punca.

"Najib ini tiada wawasan, dia ini mentadbir dan urus negara macam urus Umno Bahagian Pekan, dia baik dengan sana sini bukannya untuk menyatukan, dia ini juga tidak berani, dia ini macam lalang," ujarnya lagi.

Beliau juga memaklumkan, sewaktu bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah menetang Tun Dr Mahathir, Najib menyokong Ku Li pada awalnya.

Namun, pada saat-saat akhir mengalih sokongan kepada Mahathir kerana Mahathir mempunyai rahsia besar mengenai Najib.

"Najib ini tak bersih sangat, saya tahu sebab saya sangat kenal dia, keduanya dia ini tidak boleh buat keputusan yang tegas. Dia boleh berubah atas tekanan. Dia ini ingin semua sokong dia, dan dia akan mendapatkan kesetiaan semua orang dengan cara bayar orang sana sini," katanya lagi.

"Satu cara Najib menyelesaikan masalah hanya dengan membayar dan menyogok pihak yang dikehendaki." katanya.

Disebabkan itulah, Najib terbawa-bawa kaedah itu dalam dasar belanjawan yang dibentangkannya sebelum ini, ujarnya.

"Dalam belanjawan, rakyat dapat melihat Najib memberikan bantuan 'one off' sejumlah RM500 dan RM100, yang kesemuanya hanya untuk mendapatkan sokongan bersifat sementara," katanya.

"Ini bukan duit UMNO atau dia (Najib), tetapi ini duit kerajaan, yang dia mahu lihat bahawa dia ini nampak pemurah," katanya.

Beliau yakin, zaman 'bayar dan sokong' yang diamalkan Najib ini sudah berlalu kerana rakyat kini semakin sedar akan masa depan mereka.

"UMNO berada dalam kepayahan, saya tidak merasa yakin jika mereka mendapat sokongan rakyat dengan bayaran ini."

"Najib ini dia rasuah semua orang, dia pergi ke Haji pun Tuhan dia nak rasuah. Bayar Dam ini hanya dalam kes tertentu sahaja seperti Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya kata, " katanya sinis.

Bercakap mengenai peribadi Najib, Mohd Ariff berkata, Najib hanya menjadi 'Melayu' pada tahun 1976 selepas pulang daripada luar negara setelah ketiadaan Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein (bekas Perdana Menteri yang juga ayahnya).

"Selepas Ayahnya meninggal, barulah dia berjinak dengan Melayu, masa dia balik pelat (loghat) dia itu masih pelat Inggeris, perangainya yang saya tahulah," katanya sinis.

Mohd Ariff juga memaklumkan, Najib sangat tidak rapat dengan keluarganya di Pekan, malah isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor juga sangat tidak disukai masyarakat di Pekan. ~utaranews

Umno Cipta Rekod 'Bail Out' Terbesar Di M'sia Dengan Membeli Syarikat Ananda Krishnan

Posted: 06 Mar 2012 11:36 PM PST

KUALA LUMPUR, 6 Mac – Perdana Menteri Najib Razak digesa membentangkan laporan kepada parlimen pada persidangan yang akan bermula minggu hadapan tentang status pelaburan syarikat milik penuh kerajaan Malaysia, 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Gesaan tersebut adalah berikutan langkah syarikat itu yang dilaporkan telah membeli Tanjong Energy Holdings, sebuah syarikat penjanakuasa bebas milik Ananda Krishnan yang memiliki loji janakuasa di serata Asia.

Semalam The Singapore Straits Times melaporkan bahawa 1MDB telah mengambil alih kepentingan Ananda dalam Tanjong Energy pada nilai RM8.5 Bilion.

Menurut Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua, 1MDB adalah sebuah syarikat pemudahcara strategik untuk ide-ide dan sumber pembangunan baru, sedangkan "perniagaan janakuasa elektrik bukanlah suatu sumber pembangunan baru," kata Tony dalam sidang medianya di Ibu Pejabat DAP hari ini.

Menurut beliau yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu, kemasukan 1MDB ke dalam industri penjanakuasaan elektrik tidak akan memberi nilai tambahan yang besar memandangkan negara sudah cukup meriah dengan syarikat-syarikat penjanakuasa bebas (IPP), seperti Malakoff Bhd, YTL Power dan Genting Sanyen yang mendahului senarai 20 IPP di negara kini.

Lebih merisaukan, operasi 1MDB dibiayai dengan pinjaman yang dijamin oleh Kerajaan Persekutuan. "Kali terakhir ia membuat pinjaman bernilai RM5 bilion, 1MDB melabur RM4.2 bilion dalam satu usahasama spekulatif dengan sebuah syarikat minyak, PetroSaudi International. Bagaimanapun, dalam jangkamasa 6 bulan sahaja, 1MDB telah menukar pelaburan sebanyak 40% dalam usahasama itu menjadi pinjaman berjangkamasa 11 tahun kepada sebuah syarikat yang 'rekodnya' hanya bermula pada tahun 2005."

Penglibatan 1MDB dalam usahasama PetroSaudi itu akhirnya menyebabkan syarikat milik negara itu tidak memiliki dana untuk menjalankan projek-projeknya sendiri. 1MDB masih perlu mendapatkan dana untuk membangunkan Bandar Malaysia di Sungai Besi dan Kuala Lumpur International Financial District (KLIFD) yang bernilai RM26 bilion.

Menurut Pua, semua risiko daripada tindakan 1MDB akan terpaksa ditanggung oleh rakyat Malaysia. "Tanpa kemahiran atau pengalaman dalam industri minyak dan gas, pembangunan hartanah dan kini ditambah dengan pelaburan terbaru sebanyak RM8.5 bilion dalam Tanjong Energy, 1MDB sedang menyiapkan diri untuk mencipta rekod bail-out terbesar di Malaysia."

Justeru itu Pua menggesa Najib mengemukakan laporan rasmi daripada pihak kementerian berkenaan di Parlimen untuk mengelakkan negara daripada terjebak dalam malapetaka sektor kewangan yang dapat memicu krisis ekonomi terburuk dalam sejarah negara ini. ~roketkini

Wajib Baca!! MB Umno Nih Suka Memfitnah

Posted: 06 Mar 2012 11:00 PM PST


Zambry Kadir membuat fitnah menyatakan PAS Kamunting meminta penduduk miskin yang dapat BR1M untuk menderma kepada PAS.

Sebenarnya PAS Taiping hanya meminta kepada mereka yang mendapat bonus sama ada kerajaan,swasta dan badan berkanun.

Derma pula untuk jenterapilihanraya melawan UMNO/BN. Berita di bawah membuktikan Zambry suka buat fitnah.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyifatkan Pas Cawangan Kamunting semakin terdesak apabila mengarahkan setiap ahlinya menyerahkan sebanyak 15 peratus daripada Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) kepada parti berkenaan untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Menurutnya, pihak berkenaan seolah-olah berasa tidak bersalah untuk berbuat demikian dengan alasan sebagai satu sumbangan derma.

"Difahamkan bahawa satu surat pekeliling dikeluarkan kepada ahlinya supaya mereka mengeluarkan 15 peratus daripada BR1M itu sebagai sumbangan derma untuk parti bagi menghadapi pilihanraya. ~sisibukit

Artikel asal baca di sini.

Ketua Pemuda Umno Sertai PAS

Posted: 06 Mar 2012 09:08 PM PST

PADANG TERAP - Pemimpin Umno cakap tidak serupa bikin, kata bekas Ketua Pemuda Umno cawangan Kampung Pauh, dekat sini Mohd Yunus Harun, 36, Pedu, Mohd Yunus Harun, 36. Beliau berkata demikian sewaktu berucap selepas menyerahkan borang permohonan menjadi ahli PAS kepada Anggota Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad, di sini.

"Umno ni cakap lain buat lain. Cakap nak bela rakyat, tapi harga barang duk naik hingga menyusahkan rakyat.

"Dia (Umno) kata kalau menang nak bela rakyat, tapi sampai sekarang membiarkan rakyat terhimpit dengan masalah hidup," katanya.

Ketika ditanya kenapa memilih PAS, beliau memberitahu, PAS telah membuktikan melaksanakan apa yang diucapkan oleh pemimpin mereka sebelum ini.

"Kalau cukup waktu mereka semua (ahli PAS) sudah ada di surau ataupun masjid. "Kenduri kendara orang-orang PAS sahaja yang banyak menolong berbanding dengan orang Umno," katanya lagi.

Ujarnya lagi, beliau tidak dapat merasai suasana seperti demikian sewaktu berada dalam perjuangan Umno. Sambungnya, beliau telah merancang selama lima bulan bagi menimbangkan untuk menyertai PAS.

Sementara itu, Ahli Parlimen Padang Terap, Ustaz Nasir Zakaria, memberitahu, masyarakat di kawasannya kini terbuka untuk menerima maklumat khususnya menerusi internet.

"Sekarang ni masyarakat di Padang Rakyat mudah menerima maklumat khususnya menerusi internet.

"Ada yang cakap dengan saya, BN tidak payahlah nak berbohong menerusi media yang dikuasai oleh mereka kerana dia orang (masyarakat Padang Terap) boleh mengetahui berita menerusi internet," ujarnya.

Beliau menambah, masyarakat di kawasannya menunjukan perubahan yang positif dengan memberi sokongan yang lebih kepada PAS. ~paspb2

Tiada ulasan: